SURAH AN-NUR : AYAT 1-3

\"\"

MUQADDIMAH & INTISARI SURAH, KEISTIMEWAAN SURAH & HUKUM PENZINA LELAKI DAN PEREMPUAN.

Full video : https://youtu.be/aRPaj2n96Mo

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Surah An-Nur, surah ke 24 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 18 dan mengandungi 64 ayat.
  2. Ijma\’ ulama\’ mengatakan ia adalah surah Madaniyyah yang diturunkan di Madinah, namun ada juga mengatakan surah Madaniyyah (turun selepas Hijrah) tetapi diturunkan semasa Rasulullah s.a.w berada di Makkah.
  3. Surah-surah Madaniyyah ayat-ayatnya biasanya agak panjang kerana menerangkan tentang hukum-hakam, berbeza dengan surah Makkiyah yang lebih kepada pemahaman akidah serta menguatkan semangat dan keimanan muslimin yang awal.
  4. Dinamakan surah ini Surah An-Nuur, yang bererti cahaya. Kerana bandingan nur- hidayah, petunjuk Allah s.w.t yang disebut bermula pada ayat 35.
  5. Dalil penamaan surah terdapat dalam hadis dan athar.
    i- Sebuah athar dari Sa\’id bin Jubir rhm. yang menceritakan: Bahawa aku ditanya tentang hukum sepasang suami isteri yang bersumpah laknat apakah masih boleh bersama atau kena berpisah? Aku tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Lalu aku pun pergi ke rumah Ibnu Umar untuk bertanya tentangnya. Waktu itu masa tengahari yakni waktu qailulah dan Ibnu Umar sedang berehat, tetapi dia memanggil juga aku masuk. Aku melihat bantal dan alas tidurnya begitu zuhud dan ringkas.
    Lalu aku pun bertanya kepadanya tentang hukum tadi, lalu Ibnu Umar r.a menjawab: \”Ya, dan orang pertama yang menanyakan hal ini kepada Rasulullah s.a.w ialah si fulan, si fulan, … maka Rasulullah s.a.w pun membaca tentang hukumnya ayat dari SURAH AN-NUR.\” [HR Muslim].
    ii- Kisah kedua: \”Ibnu Abi Aufa r.a ditanya tentang apakah Rasulullah s.a.w pernah melakukan hukuman rejam terhadap orang yang berzina? Dia menjawab ya. Kemudian dia ditanya lagi: Apakah sebelum atau selepas diturunkan SURAH AN-NUR? Jawabnya: Aku tak tahu.\” [HR Muslim].

INTISARI KANDUNGAN :

  1. Di dalamnya terdapat hukum orang yang berzina, samada lelaki atau perempuan. Juga menerangkan hukum kepada orang yang menuduh perempuan yang baik berzina, nama hukumnya (Qazaf- قذف) dan hukum orang yang menuduh isterinya sendiri berzina, hukum (mula\’anah- ملاعنة).
  2. Kerana itu ia amat penting ditadabbur, untuk dihayati dan dipelajari, kerana banyak diterangkan hukum dan undang-undang jenayah kekeluargaan.
  3. Juga diterangkan tentang dustanya orang yang membuat tuduhan jahat terhadap Ummul Mu\’minin Sayyidah Aisyah bt Abu Bakar r.a, (kisah Hadis al-Ifki).
  4. Rancangan jahat yang diketuai oleh ketua munafik Madinah, Abdullah bin Ubai ini tidak berjaya memburukkan nama baik UM, apabila Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat al-Quran yang membersihkan Aisyah daripada segala fitnah dan tuduhan jahat itu. Setelah terkena ujian dan fitnah yang amat besar ini, diangkat darjat UM Aisyah menjadi semakin tinggi dan mulia.
  5. Menerangkan cara dan adat berziarah ke rumah orang, minta izin tuan rumah sebelum masuk dan jaga pandangan dari melilau. Serta jangan masuk jika tiada lelaki.
  6. Peringatan untuk mukmin dan mukminah agar menjaga pandangan dan menjaga kehormatan dari segala jenis zina dan perbuatan keji.
  7. Perempuan Islam dilarang daripada mendedah tubuh dan auratnya kepada lelaki bukan mahram kecuali yang zahir iaitu muka dan tapak tangan sampai pergelangan tangan.
  8. Menerangkan tentang cahaya nur Iman petunjuk Allah kepada orang yang beriman dan balasan nikmat di akhirat yang tidak terhitung kerana amalan soleh mereka. Sebaliknya orang kafir yang akan hampa dan kerugian kerana tiada nilai amalan baik yang mereka sangka dapat menolong mereka.
  9. Menceritakan tentang kejadian langit dan bumi serta segala isinya yang menunjukkan keagungan keEsaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
  10. Juga tentang golongan munafik yang hanya beriman dimulut tetapi tetap kufur dalam hati.
  11. Menegaskan bahawa umat Islam yang beriman dan beramal soleh akan dikurniakan kuasa memerintah di bumi selepas kejatuhan rejim-rejim zalim pada zaman masing-masing. Yakni umat Islam akan bangkit kembali setelah ditindas, ini telah terbukti pada zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat yang berjaya mengembang Islam ke seluruh pelusuk dunia.
  12. Surah ini akan diakhiri dengan menegasakan bahawa Allah s.w.t yang menguasai dan mengetahui keadaan semua makhluk-Nya serta mereka akan kembali kepada-Nya.

KEISTIMEWAAN SURAH :

  1. Allah menyebutnya dengan berfirman: {Ini ialah satu \”surah\” yang Kami turunkan}. Tiada surah lain yang disebut begini.
  2. Makna surah; sekumpulan ayat yang Allah s.w.t turunkan kepada Rasul-Nya s.a.w, yang diketahui permulaanya dan akhirnya juga diketahui. Ada yang panjang ada yang pendek.
  3. Ia juga bermakna baki air di dalam gelas, ini kerana setiap surah itu adalah baki (sambungan) kepada ayat-ayat daripada surah yang sebelum atau selepasnya.
  4. Juga dengan makna sekumpulan, sesuatu yang dilingkungi dengan binaan, kerana surah ini ada lingkungannya, ayat pertama dan akhirnya.

MAQASID KANDUNGAN SURAH:
A. Menyebut tentang hukum penjagaan diri dan menutup segala keaiban.
B. Di dalam surah ini ada 12 isu besar, perbincangan utamanya:
1- menetapkan kewajipan tunduk dan akur kepada hukum-hakam dan adab yang terdapat dalam surah ini.
2- Penjelasan tentang hukum zina. Kita minta selamat dari terjebak fahisyah yang keji ini.
3- Hukum orang yang menuduh perempuan-perempuan baik sebagai penzina atau pelacur.

  1. Hukum suami yang menuduh isteri berzina dan perundangan sumpah laknat ke atas keduanya.
  2. Disebut tentang tuduhan jahat ke atas UM Aisyah r.a yang dimulakan oleh golongan munafik, Abdullah bin Ubai bin Salul.
  3. Hukum adab minta izin untuk masuk ke rumah orang, jaga pandangan dan faraj.
  4. Larangan kepada wanita Islam dari menzahirkan perhiasan dan pakaian yang tidak patuh Syariah, mendedahkan tubuh badan, membuka aurat serta berhias kepada umum melainkan kepada golongan yang dibolehkan.
  5. Arahan untuk mengahwinkan lelaki dan perempuan yang tiada pasangan.
  6. Perbincangan tentang tanda-tanda kekuasan Allah s.w.t pada alam ini.
  7. Mencela perangai jahat dan sifat buruk golongan munafik.
  8. Allah menjanjikan kemenangan kepada hamba-Nya yang beriman dan ikhlas untuk melaksanakan tuntuntan agama, mendapat kemanan selepas berada dalam keadaan takut.
  9. Dinyatakan sifat-sifat mukmin yang benar-benar beriman.
    C. Kaitan dengan surah al-Mukminun sebelum ini yang menerangkan pada awal surahnya tentang sifat orang bahagia yang beriman; antaranya menjaga faraj (maruah) dan diri. Maka dalam surah an-Nur ini diterangkan pula hukum dan akibat jika melanggarnya (hukum zina).

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {INI IALAH SATU \”SURAH\” YANG KAMI TURUNKAN, DAN KAMI WAJIBKAN HUKUM-HUKUMNYA, SERTA KAMI TURUNKAN PADANYA AYAT-AYAT KETERANGAN YANG NYATA SUPAYA KAMU BERINGAT (MENGAMALKANNYA).} (AN-NUUR 24:1)

  1. Allah s.w.t berfirman menyatakan bahawa ini adalah satu surah, yang Kami turunkan dan wajibkan hukum-hukum di dalamnya. Ada hukum undang-undang hudud dan hak-hak yang wajib ditunaikan.
    Pengunaan KAMI di sini bukan dengan makna ramai, tetapi membesarkan diri, menunjukkan keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.
  2. Ayat-ayatnya adalah kenyataan yang nyata dan jelas, supaya kamu beringat, faham, ambil pengajaran dan mengamalkannya, baca dan amal, bukan sekadar baca sahaja.
  3. Kata ulama\’ salaf (Al-Hasan Al-Basri): \”Al-Quran ini diturunkan untuk diamalkan, tetapi manusia mengira beramal itu hanya dengan membacanya sahaja\”. Ini silap, kena dirurunkan untuk dibaca dan diamalkan hukum-hakamnya dalam kehidupan.
  4. Ayat pertama ini menjadikan kita rindu dan tidak sabar untuk mendengar kisah dan hukum sepenuhnya dalam surah ini.

AYAT 2- {PEREMPUAN YANG BERZINA DAN LELAKI YANG BERZINA, HENDAKLAH KAMU SEBAT TIAP-TIAP SEORANG DARI KEDUANYA SERATUS KALI SEBAT; DAN JANGANLAH KAMU DIPENGARUHI OLEH PERASAAN BELAS KASIHAN TERHADAP KEDUANYA DALAM MENJALANKAN HUKUM AGAMA ALLAH, JIKA BENAR KAMU BERIMAN KEPADA ALLAH DAN HARI AKHIRAT; DAN HENDAKLAH DISAKSIKAN HUKUMAN SEKSA YANG DIKENAKAN KEPADA MEREKA ITU OLEH SEKUMPULAN DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AN-NUUR 24:2)

  1. Ayat ini memberi hukum apabila perempuan dan lelaki berzina, hukum hadnya adalah dengan sebat (rotan) masing-masing sebanyak seratus kali. Hukum rotan dalam Islam bukan seperti sebat/rotan dalam undang-undang sivil, ada syarat dan caranya yang tertentu.
  2. Kenapa dalam ayat ini disebut perempuan yang berzina dulu baru lelaki? Sebagai satu peringatan, ini kerana kesannnya lebih besar dan buruk ke atas kaum perempuan. Berbeza dengan ayat hukum mencuri, disebut lelaki dulu.
  3. Ada ulama\’ kata ayat ini telah memansukhkan hukum kepada zina dalam ayat an-Nisa\’: 15, iaitu firman Allah s.w.t:
    {Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu)}. (An-Nisaa\’ 4:15)
    Ada pula ulama\’ kata bukan memansukhkan cuma inilah pelepasan baginya yang dikatakan ini- {atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu)}. Maka tak perlu kurung lagi, hukumlah dengan rotan atau rejam.
  4. Kemudian Allah s.w.t berpesan agar janganlah dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah ini. Jangan kasihan atau takut kepada kecaman manusia sehingga tidak terlaksana hukum Allah!
  5. Hukuman ini pula mesti dilakukan secara umum, dihadapan orang ramai, yakni disaksikan oleh orang yang beriman, sebagai pengajaran kepada orang lain agar takut untuk melakukannya juga.
  6. Zina adalah satu perbuatan yang keji membawa bahaya besar dan kesan amat buruk ke atas penzina itu sendiri dan rumahtangganya. Maka kerana itulah berat hukum yang dikenakan ke atasnya. Kerajaan yang berkuasa bertanggung-jawab untuk melaksanakan undang-undang dan hukuman ini.
  7. Di dalam al-Quran disebut secara umum tetapi ada dalam hadis Rasulullah s.a.w ada disebut secara jelas dan terperinci hukumnya.

AYAT 3- {LELAKI YANG BERZINA (LAZIMNYA) TIDAK INGIN BERKAHWIN MELAINKAN DENGAN PEREMPUAN YANG BERZINA ATAU PEREMPUAN MUSYRIK; DAN PEREMPUAN YANG BERZINA ITU PULA (LAZIMNYA) TIDAK INGIN BERKAHWIN DENGANNYA MELAINKAN OLEH LELAKI YANG BERZINA ATAU LELAKI MUSYRIK. DAN PERKAHWINAN YANG DEMIKIAN ITU TERLARANG KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AN-NUUR 24:3)

  1. Allah s.w.t menyatakan bahawa para penzina in biasanya tidak akan mahu berkahwin kecuali sesama mereka, atau dengan perempuan/lelaki musyrik kerana masing-masing sudah tahu akan keburukan perbuatan ini.
  2. Manakala bagi orang yang beriman pula, haram dari mengahwini mereka yang berzina dan musyrik ini. Yakni selagi mereka tidak bertaubat dan benar-benar insaf dari melakukan perbuatan yang terkeji ini.
  3. Kisah dari hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh (akan disambung dalam siri berikutnya).

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

A. Dalam ayat ke 2 Allah s.w.t menyebut secara umum hukum zina, tetapi dalam hadis Rasulullah s.a.w dijelaskn bahawa hukumnya secara terperinci.
Diriwayatkan daripada Ubadah bin As-Somit R.A katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda:
\”Terimalah daripada saya, terimalah daripada saya. Allah telah menetapkan hukuman bagi wanita-wanita ini. Dara dan teruna akan disebat 100 kali dan dibuang negeri selama setahun. Wanita dengan lelaki yang pernah berkahwin akan disebat 100 kali dan rejam\”. [Riwayat Muslim (1690)].
Maka hukumnya ialah:
1- Hukum untuk ghairu muhsan (orang yang belum pernah bernikah) sebat (rotan) masing-masing sebanyak seratus kali, kemudian ditambah dengan diasingkan, iaitu dibuang jauh dari negerinya selama setahun berdasarkan hadis.
2- Manakala bagi perempuan dan lelaki muhsan (orang yang pernah melakukan persetubuhan dalam ikatan nikah yang sahih, merdeka, berakal dan baligh) berzina, hadnya adalah dengan merejam mereka (dilempari batu-batu sebesar genggaman tangan hingga mati).
Tentang masalah sebat dulu kemudian rejam menjad khilaf di kalangan ulama\’, ada kata tidak perlu sebat lagi, terus rejam.

  1. Adapun hamba yang berzina, baik yang ghairu muhsan atau yang muhsan dihukum setengah dari hukuman orang merdeka, iaitu disebat sebanyak lima puluh kali dan diasingkan selama setengah tahun.
  2. Maka sabitlah hukum rejam ini dibuat selepas turunnya surah an-Nur ini. Jelas Rasulullah s.a.w. telah melaksanakan hukum rejam ini, begitu juga orang-orang sesudahnya.
  3. Semoga Allah s.w.t menjaga dan melindungi kita dan semua keturunan kita dari perbuatan keji yang amat bahaya ini.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs