SURAH AN-NUR : AYAT 3

\"\"

HUKUM BERKAHWIN DENGAN PENZINA, & SYARAT KAHWIN MESTILAH PENZINA YANG SUDAH BERTAUBAT & 14 SEBAB UNTUK MELINDUNGI KELUARGA DAN MASYARAKAT DARI MAKSIAT ZINA.

Full video : https://youtu.be/8dLjyRD-yYk

MUQADDIMAH :

  1. Siri lepas kita membincangkan tentang hukuman hudud ke atas penzina lelaki dan perempuan yang belum berkahwin (ghairu muhson-غير محصن ) iaitu disebat 100 kali kemudian dibuang daerah setahun.
  2. Adapun bagi yang telah pernah berkahwin yang halal (muhson- محصن) hukumnya ialah rejam sehingga mati sebagaimana tersebut dalam sunnah yang sahih dan masyhur.
  3. Andaikata perzinaan terjadi antara yang muhson dan ghairu muhson, hukuman ikut status masing-masing.
  4. Siri ini kita menyambung perbincangan tentang orang yang terjebak dengan dosa zina serta bagaimana mereka meneruskan hidup mereka.
  5. Selepas itu diikuti dengan hukum perkahwinan antara atau dengan mereka.

AYAT 3- {LELAKI YANG BERZINA (LAZIMNYA) TIDAK INGIN BERKAHWIN MELAINKAN DENGAN PEREMPUAN YANG BERZINA ATAU PEREMPUAN MUSYRIK; DAN PEREMPUAN YANG BERZINA ITU PULA (LAZIMNYA) TIDAK INGIN BERKAHWIN DENGANNYA MELAINKAN OLEH LELAKI YANG BERZINA ATAU LELAKI MUSYRIK. DAN PERKAHWINAN YANG DEMIKIAN ITU TERLARANG KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN.} (AN-NUUR 24:3)

  1. Allah s.w.t menyatakan bahawa para penzina in kebiasaannya tidak akan mahu berkahwin kecuali sesama mereka, atau dengan perempuan/lelaki musyrik kerana masing-masing sudah tahu akan keburukan perbuatan ini.
  2. Manakala bagi orang yang beriman pula, haram dari mengahwini mereka yang berzina dan musyrik ini. Yakni selagi mereka tidak bertaubat dan benar-benar insaf dari melakukan perbuatan yang terkeji ini.
  3. Kisah dari hadis Rasulullah s.a.w:
    Di dalam satu kisah diceritakan bahawa ada seorang lelaki bernama Marsad ibnu Abu Marsad. مرثد بن أبي مرثد الغنوي Dia adalah seorang lelaki yang bertugas membawa para tawanan perang dari Makkah ke Madinah. Di Makkah ada seorang wanita pelacur bernama Anaq. Marsad kenal baik dengan Anaq ini. عناق

Marsad telah berjanji akan membawa salah seorang tawanan yang berada di Makkah untuk dibawa ke Madinah. Maka Marsad datang ke Makkah hingga sampailah di suatu tempat di Makkah di malam yang terang bulan. Anaq datang, dia nampak ada bayangan Marsad.

Ketika telah dekat, Anaq pun mengenalinya dan berkata, \”Marsad?\” Marsad menjawab, \”Ya, aku Marsad.\” Anaq berkata, \”Selamat datang, marilah menginap di rumahku malam ini.\” Marsad menjawab, \”Wahai Anaq, Allah telah mengharamkan zina.\” Yakni Marsad menolak ajakan Anaq kerana dia telah muslim.

Maka Anaq yang marah pergi membocorkan rahsia Marsad dan berkata, \”Wahai penghuni khemah! Inilah orang yang akan membawa tawanan kalian.\”

Ketika Marsad kembali bersama tawanan yang telah dijanjikan, dia dikejar oleh lapan orang. Marsad menempuh jalan bukit Khandamah, lalu dia memasuki sebuah gua. Sampailah dia di sebuah gua, lalu dia masuk berlindung ke dalamnya.

Lapan orang itu pun datang, kemudian berdiri di atas kepala Marsad dan mereka kencing sehingga menimpa ke kepalanya, namun Allah menjadikan mereka tidak nampak Marsad.
Setelah itu mereka pulang. Maka Marsad kembali menemui tawanan itu dan membawanya di atas haiwan kenderaannya. Dia adalah seorang yang cukup berat.
Ketika Marsad sampai di tempat yang terdapat banyak rerumput izkhir, dia melepaskan tali ikatan tawanan itu. Mereka bersama-sama membawa rerumput izkhir itu ke Madinah.

Selepas selesai urusannya, maka Marsad datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya, \”Wahai Rasulullah, bolehkah aku menikahi Anaq?\”

Rasulullah s.a.w. diam dan tidak menjawab sepatah kata pun, hingga turunlah firman Allah s.w.t ini:
{Lelaki penzina tidak menikahi kecuali wanita penzina, atau perempuan musyrik;}

Setelah diturunkan ayat ini, Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Wahai Marsad, seorang lelaki pezina tidak menikahi kecuali seorang perempuan pezina atau perempuan musyrik; dan seorang perempuan pezina tidak dinikahi kecuali lelaki pezina atau lelaki musyrik. Maka janganlah engkau menikahinya.\” [HR at-Tirmizi dan Abu Daud].

Allah s.w.t. memberitakan bahawa seorang lelaki penzina tidaklah mengahwini, menikahi, bersetubuh atau berzina melainkan hanya dengan perempuan yang penzina juga atau yang musyrik.
{…dan perempuan penzina tidak menikahinya kecuali lelaki penzina atau lelaki musyrik,}.

Perempuan penzina juga tidaklah dikahwini, dinikahi, disetubuhi atau berzina melainkan hanya dengan lelaki yang penzina juga atau yang musyrik. Tiada seorang pun yang mahu melayani hawa nafsu zina seorang penzina melainkan hanyalah seorang penzina atau seorang yang musyrik.

Lelaki penzina dan perempuan penzina bermaksud orang yang derhaka kerana perbuatan zinanya. Lelaki musyrik dan perempuan musyrik bermaksud orang yang meyakini bahawa zina itu tidak haram, menyekutukan Allah, tidak beriman kepada kebangkitan, tidak beriman kepada pembalasan dan tidak memegang teguh perintah Allah.

\”dan diharamkan itu atas orang-orang yang beriman.\”

Allah s.w.t. mengharamkan orang-orang mukmin melakukan perbuatan zina dan mengahwini pelacur-pelacur, atau mengahwinkan wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya dengan lelaki yang lacur.

Orang-orang mukmin yang menikahi penzina atau menikahkan perempuan-perempuan mukmin dengan penzina, sedangkan Allah s.w.t. mengharamkannya, tidak lepas kemungkinan bahawa dia tidak berpegang teguh dengan hukum Allah dan RasulNya, dan tidak ada yang seperti itu kecuali orang musyrik.

Nabi s.a.w. bersabda, \”Tidaklah berzina seorang penzina sedangkan dia dalam keadaan mukmin.\”

Seorang penzina bukanlah seorang mukmin (mutlak). Penzina walaupun bukan musyrik, dia tidak diberikan gelaran yang terpuji, iaitu iman yang mutlak.

Hubungan suami isteri adalah hubungan yang paling kuat dan paling rapat. Allah s.w.t. mengharamkan yang demikian kerana di dalamnya terdapat keburukan yang besar, mengotori kehormatan pelakunya dan kehormatan orang yang menemani dan mencampurinya. Ia tidak seperti dosa-dosa yang lain.

Maka tidak harus seorang lelaki yang memelihara diri dari perbuatan zina mahu terhadap wanita rosak akhlaknya, selagi perempuan berkenaan masih tetap sebagai pelacur atau penzina. Begitu juga sebaliknya, iaitu menikahkan perempuan yang terpelihara kehormatan dirinya dengan seorang lelaki yang suka melacur. Namun, jika lelaki atau perempuan berkenaan telah bertaubat dengan sebenar-benarnya, maka harus.

Segolongan ulama mengatakan bahawa ayat ini telah dimansukh oleh firmanNya,
\”Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kalian.\” (An Nur 23:32)
Iaitu orang-orang yang sendirian dari kalangan kaum muslim.

Wallahu a\’lam.

HUKUM PEREMPUAN/LELAKI YANG BAIK MENGAHWINI PENZINA, ULAMA\’ BERBEZA PENDAPAT:

i- Harus tetapi makruh – dengan syarat si penzina itu telah bertaubat dan menyesal, bukan hanya kahwin begitu saja tanpa pemulihan, keinsafan dan taubat. Serta dengan niat ikhlas menolong dan membimbingnya kembali ke pangkal jalan, insya\’ Allah.

Allah s.w.t selepas menekankan pada ayat pertama bahawa surah ini yang diturunkan-Nya khas, Allah s.w.t terus menyebut dalam ayat kedua tentang jenayah zina dan hukuman ke atasnya, menunjukkan betapa berat dan dahsyatnya dosa dan isu zina ini kepada umat manusia.

Dari awal surah sehingga ke ayat 33, Allah s.w.t berikan 14 cara/jalan untuk menjaga dan menyelamatakan keluarga dan masyarakat daripada terjebak dengan perbuatan zina yang keji ini (fahisyah). Iaitu:
1- Bersihkan penzina ini dengan hukuman hudud, sebat dan rejam ikut keadaan penzina. Kenapa begitu berat, rejam sehingga mati? Kerana mereka sudah mengetahui akan nature perbuatan itu tetapi tetap melakukannya.
2- Bersihkan masyarakat dengan melarang daripada berkahwin dengan penzina, kecuali selepas kita yakin dan mengetahui bahawa dia sudah insaf, bertaubat dan benar (sodiq) dalam taubatnya.
3- Bersihkan tangan, lidah dan mulut kita dari menuduh orang sebagai penzina. Tuduhan ini dipanggil qazaf, manakala penuduh itu dipanggil qazif. Qazaf kena hukum hudud khas. قذف dan قاذف
4- Juga untuk bersihkan seorang suami dari menuduh isterinya sendiri sebagai penzina. Tuduhan ini dipanggil \’Li\’an\’, ada hukum khas juga.

Membersihkan hati kaum mukmin daripada menjadi penuduh dan bersangka buruk kepada sesama muslim dengan dosa zina.

Bersihkan kegemaran masyarakat yang suka menyebarkan berita, gambar, video dan movie lucah yang boleh menggalakkan orang kepada zina. Wajib ke atas pemerintah yang berkuasa untuk menyekat dan menghapuskannya semampu mungkin. Untuk mengelakkan kecenderungan untuk meniru dan melakukannya juga.

Penjagaan dan kawalan umum kepada masyarakat yang boleh menyebabkan masuk godaan dan waswas syaitan dalam hati mereka. Berikan pendidikan dan bimbingan agama dan adab mulia kepada para pemuda/di dan anak-anak.

Pegang adab minta izin sebelum memasuki rumah orang lain, beri salam, dan biar penghuninya tahu. Juga ajar anak-anak minta izin sebelum masuk bilik ibu-bapa atau orang dewasa.

Lelaki jaga pandangan mata dari melihat kepada wanita.

Begitu juga wanita jangan lihat lelaki ajnabi, masing-masing jaga pandangan dan diri.

Haram wanita menzahirkan perhiasan diri kepada ajnabi dan di luar rumah.
Daripada Abu Musa al-Asy`ari R.A bahawa Nabi S.A.W telah bersabda:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ
Maksudnya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina. [HR Abu Daud & Al-Nasa\’ie.]

Larangan bagi wanita daripada melakukan perkara yang boleh menaikkan syahwat lelaki. Lelaki yang ada penyakit dalam jiwanya akan mudah terfikir untuk buat jahat.

Mendidik jiwa dan nafsu bagi orang yang tidak mampu berkhwin di atas dunia ini.

Melakukan sebab-sebab yang boleh menundukkan nafsu. Kahwin antara wiqayah (sekatan) yang dapat menghalang seseorang itu daripada terjebak dengan zina. Jika tidak mampu maka berpuasalah.

PENUTUP/BEBERAPA KESIMPULAN RINGKAS :

  1. Undang-undang Syariah Islamiyah (hudud) adalah satu ubat yang mujarab untuk mengubati penyakit hati dan nafsu manusia. Malangnya ia diketepikan oleh manusia hari ini. Mereka lebih rela beramal dengan undang-undang ciptaan manusia kafir.
  2. Allah s.w.t larang daripada berkahwin dengan orang yang masih bergelumang lagi dengan dosa zina ini.
  3. Jika mahu berkahwin dengan niat melindungi dan membimbingnya pastikan dia telah benar-benar insaf bertaubat dan meninggalkan dosanya itu.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs