SURAH AN-NUR : AYAT 6-10

\"\"

KISAH SUAMI MENUDUH ISTERINYA BERZINA, HUKUM LI\’AN- SUMPAH LAKNAT 5 KALI & KESAN SUMPAH INI KEPADA SUAMI ISTERI.

Full video : https://youtu.be/WwgsjOEqcD4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri yang lepas kita telah belajar mengenai hukum qazaf iaitu seseorang yang menuduh perempuan atau lelaki yang baik-baik berzina tetapi tidak dapat membawa 4 orang saksi.
  2. Maka Hukuman ke atas yang membuat tuduhan ini ada 3:
    i- hukuman fizikal – 80 kali sebatan.
    ii- maknawiyah- dari sudut harga diri, integriti- ditolak persaksiannya, hilang kepercayaan dari orang lain.
    iii- diniyyah- dari sudut keagamaan, dia sudah menjadi orang yang fasik.
  3. Dalam siri hari ini, kita akan belajar pula hukum khas jika si suami (bukan orang lain) yang menuduh isterinya berzina.
  4. Kisah yang amat menyayat hati apabila amanah dan kepercayaan seorang suami dikhianati dengan perbuatan jahat-fahisyah oleh isteri ini. Maka rosaklah sebuah rumahtangga dan keluarga yang dibina.
  5. Si suami terumbang-ambing, serba-salah samada mahu mendiamkan diri atau membuka aib dan maruah keluarga. Juga dia akan berdepan dengan hukum hudud (qazaf) yang berat jika menuduh tetapi tidak dapat membawa saksi.
  6. Maka Allah s.w.t Yang Maha Mendengar, memberi jalan kepada suami yang dikhianati ini, melepaskan mereka dari tersepit \\ dan serba-salah dengan membawa hukum khas, iaitu sumpah laknat atau \”Li\’an\” ini. Mari kita dengar kisah dan hukumnya.

AYAT 6- {DAN ORANG-ORANG YANG MENUDUH ISTERINYA BERZINA, SEDANG MEREKA TIDAK ADA SAKSI-SAKSI (YANG MENGESAHKAN TUDUHANNYA ITU) HANYA DIRINYA SENDIRI, MAKA PERSAKSIAN (SAH PADA SYARAK) BAGI SESEORANG YANG MENUDUH ITU HENDAKLAH IA BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, EMPAT KALI, BAHAWA SESUNGGUHNYA IA DARI ORANG-ORANG YANG BENAR; } (AN-NUUR 24:6)

  1. Maka apabila yang menuduh itu seorang suami, yang menuduh isterinya berzina dan dia tidak dapat membawa 4 orang saksi, hanya dia seorang sahaja yang menyaksikannya, maka dia kenakan hukum \”Li\’an\” ini.
  2. Hukum Li\’an ini khas untuk seorang suami, jika orang lain, ianya di bawah hukum Qazaf dalam ayat sebelumnya.
  3. Hukum khas bagi seorang SUAMI – hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar. Seolah-olah bagi mengganti 4 orang saksi yang amanah dalam hukum qazaf sebelum ini.
  4. Sebab nuzul (turun ayat ini):
    Kisah pertama:
    Hadis Sahl bin Saad As-Saa\’idiy r.a: Uwaimir عويمر Al-Ajlani telah datang menemui Aasim عاصم bin Adiy Al-Ansariy (ketua kabilahnya) dan berkata kepadanya: Wahai Aasim! Apa pendapatmu sekiranya ada seorang lelaki mendapati isterinya sedang bersama lelaki lain. Adakah dia boleh membunuhnya kerana pihak berkuasa pasti akan membunuhnya juga nanti atau apakah yang patut dilakukan? Tanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w, wahai Aasim!
    Lalu Aasim menanyakan perkara itu kepada Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w tidak suka dengan pertanyaan seperti itu (kerana betapa aib dan berat kesannya) menyebabkan Aasim tidak mendapatkan apa-apa jawapan dari Rasulullah s.a.w.
    Ketika Aasim kembali kepada keluarganya, Uwaimir datang dan bertanya: Wahai Aasim! Apakah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w kepadamu? Aasim menjawab kepada Uwaimir: Aku tidak bernasib baik kerana Rasulullah s.a.w tidak senang dengan pertanyaan yang kamu kemukakan itu.
    Dengan nada kesal Uwaimir berkata: Demi Allah! Aku tidak akan berdiam diri setakat ini sahaja. Aku akan menanyakannya sendiri kepada baginda. Maka Uwaimir pergi menemui Rasulullah s.a.w yang pada waktu itu sedang berada di tengah-tengah orang ramai. Dia lantas mengajukan pertanyaan:
    Wahai Rasulullah! Apakah pendapat kamu jika ada seorang lelaki mendapati isterinya bersama lelaki lain. Adakah dia boleh membunuh lelaki tersebut atau apakah yang harus dia lakukan?
    Dengan tenang Rasulullah s.a.w bersabda: Mengenai masalah yang berkaitan dengan kamu dan isterimu itu, Allah telah menurunkan ayat. Pergi dan bawa isterimu ke mari.
    Maka diadakan majlis sumpah di antara kedua suami isteri di hadapan Rasulullah s.a.w dan beberapa orang lain. Sebelum itu Baginda s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah mengetahui bahawa salah seorang daripada kamu berdusta. Adakah di antara kamu ada yang mahu bertaubat?
    Keduanya terus mahu bersumpah, dimulai dengan Uwaimir. Kemudian isterinya pula bangun, lalu dia pun melakukan persaksian. Apabila sampai kepada persaksian yang kelima orang ramai menyuruh dia berhenti. Mereka berkata: Sesungguhnya (murka Allah) akan benar-benar terjadi.
    Perempuan itu berhenti sehinggakan orang ramai menyangka dia akan menarik balik persaksiannya. Kemudian perempuan itu berkata: Aku tidak akan memalukan seluruh kaum aku hari ini. Lalu dia pun meneruskan sumpah li\’an tersebut.
    Selepas peristiwa ini Rasulullah s.a.w bersabda: Perhatikan wanita itu. Jika dia melahirkan anak yang bermata hitam, dengan pinggul besar dan betisnya besar berisi maka benarlah tuduhan Uwaimir. Tetapi jika bayi itu berkuli kemerahan maka Uwaimir telah berdusta dalam tuduhannya. Kemudian dia melahirkan seorang kanak-kanak sepertimana ciri-ciri yang disebutkan itu. Maka Nabi s.a.w bersabda: \”Seandainya tidak ada keputusan dari kitab Allah, nescaya aku dan dia memiliki urusan.\” (yakni akan dihukum rejam).
    [HR Bukhari & Muslim].
    Maka hukum \”Li\’an\” ini telah menjadi sunnah bagi orang yang menghadapi masalah seperti ini juga.

KISAH KEDUA :

\’Abdullah bin \’Abbas r.a meriwayatkan, Hilal bin Umayyah هلال بن أمية telah menuduh isterinya berzina dengan Syarik bin Sahma\’ شريك بن سحماء . Ketika itu Rasulullah s.a.w ada di sisinya.
Nabi s.a.w pun bersabda:
Engkau berikan bukti atau hukuman hudud akan dikenakan ke atas engkau!
Hilal menjawab: Ya Rasulullah, jika salah seorang daripada kami melihat seorang lelaki berada di atas tubuh isterinya, adakah dia tetap perlu mencari bukti?
Nabi s.a.w menjawab: Bukti atau hukuman hudud di kenakan ke atas engkau.
Hilal r.a menjawab: Demi Tuhan yang Mengutus engkau dengan kebenaran, sesungguhnya aku bercakap benar dan Allah akan menurunkan wahyu yang akan membebaskan aku daripada dikenakan hukuman hudud.
Jibril turun membawa wahyu kepada Nabi s.a.w (surah an-Nur ayat 6 hingga 9). Rasulullah s.a.w pun beredar dan menghantar utusan kepada isteri Hilal. Hilal pun datang lalu memberikan persaksian.
Nabi s.a.w pun bersabda: Sesungguhnya Allah mengetahui bahawa salah seorang daripada kalian berdusta. Adakah di antara kalian ada yang mahu bertaubat?
Kemudian isteri Hilal bangun, lalu dia pun melakukan persaksian. Apabila sampai kepada persaksian yang kelima orang ramai menyuruh dia berhenti. Mereka berkata: Sesungguhnya (murka Allah) akan benar-benar terjadi.
Ibnu \’Abbas berkata: Perempuan itu berhenti sehingga kami menyangka dia akan menarik balik persaksiannya. Kemudian perempuan itu berkata: Aku tidak akan memalukan seluruh kaum aku hari ini. Lalu dia pun meneruskan proses li\’an tersebut.
Nabi s.a.w pun bersabda: Perhatikan dia. Jika dia melahirkan anak yang bermata hitam, dengan pinggul besar dan betisnya besar berisi maka dia adalah anak Syarik bin Sahma\’. Kemudian dia melahirkan seorang kanak-kanak sepertimana ciri-ciri yang disebutkan itu. Maka Nabi s.a.w bersabda: \”Seandainya tidak ada keputusan dari kitab Allah, nescaya aku dan dia memiliki urusan (yakni akan dihukum rejam)\”. [Sahih al-Bukhari].

Para ulama\’ berbeza pendapat kepada siapa ayat ini diturunkan dulu, kepada Hilal atau Uwaimir atau jamak keduanya, yakni peristiwa itu berlaku dalam satu masa dan kebetulan yang sama.
i- Imam al-Hafiz Ibnu Hajar dari awal-awal lagi cuba menyatukan dua kisah ini. Kata Ibnu Hajjar, \”Tidak ada halangan sebab turunnya ayat banyak.\”
ii- An-Nawawi, diikuti oleh al-Khathib, cenderung kepada kompromi ini. Katanya, \’Barangkali keduanya kebetulan terjadi pada waktu bersamaan.\” Mereka berkata tiada halangan ayat al-Quran itu turun untuk beberapa peristiwa.
iii- Al-Qurtubi pula berkata ayat ini turun dua kali untuk dua sahabat ini, wallahu a\’lam.

KISAH KETIGA :

Hadis riwayat Ibnu Mas\’ud, kisah yang hampir sama cuma tidak disebut nama si suami, yang bertanya jika dia bunuh isterinya dan si lelaki yang berzina itu adakah dia akan dibunuh (kerana hudud) juga?
Rasulullah s.a.w tunggu sehingga turun ayat ini dan berlakulah sumpah Li\’an di antara suami isteri itu, sebelum sampai sumpah yang kelima iaitu laknat, Rasulullah suruh tunggu sekejap dan memberi tazkirah dan peringatan. Selepas itu melahirkan anak yang tidak serupa bapanya juga dan Rasulullah s.a.w bersabda begitu juga, yakni akan rejam jika tiada hukum Li\’an ini. [HR Muslim].

AYAT 7- {DAN SUMPAH YANG KELIMA (HENDAKLAH IA BERKATA): BAHAWA LAKNAT ALLAH AKAN MENIMPA DIRINYA JIKA IA DARI ORANG-ORANG YANG DUSTA.} (AN-NUUR 24:7)

  1. Selepas bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar, dia kena tambah yang kelima.
  2. Sumpah yang kelima hendaklah si suami berkata: \”Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.\”

AYAT 8- {DAN BAGI MENGHINDARKAN HUKUMAN SEKSA DARI ISTERI (YANG KENA TUDUH) ITU HENDAKLAH IA BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, EMPAT KALI, BAHAWA SUAMINYA (YANG MENUDUH) ITU SESUNGGUHNYA ADALAH DARI ORANG-ORANG YANG BERDUSTA; } (AN-NUUR 24:8)

  1. Manakala bagi isteri yang tidak mengaku dan menafikan tuduhan ini, dia juga kena bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya suami yang menuduhnya dari orang-orang yang berdusta.
  2. Jika dia tidak menafikan dan bersumpah juga, seolah mengakui tuduhan itu maka dia akan dikenakan hukuman hudud rejam.

AYAT 9- {DAN SUMPAH YANG KELIMA (HENDAKLAH IA BERKATA); BAHAWA KEMURKAAN ALLAH AKAN MENIMPA DIRINYA JIKA SUAMINYA DARI ORANG-ORANG YANG BENAR.} (AN-NUUR 24:9)

  1. Sumpah yang kelima hendaklah dia si isteri berkata: \”Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika si suami) dari orang-orang yang benar dalam tuduhannya.\”
  2. Yakni jika suaminya benar, dia memang berzina, maka pastilah laknat dan kemurkaan Allah s.w.t ke atasnya.
  3. Maka apabila dia si siteri bersumpah jatuhlah hukum 3 perkara ini:
    i- selamat dari hukuman rejam.
    ii- Furqah – berpisah secara automatik, terputus hubungan antara si suami dan isteri selama-lamanya. Haram abadan.
    iii- anak yang lahir akan ternafi nasabnya dari si bapa.

AYAT 10- {DAN KALAULAH KEPADA KAMU, DAN JUGA (KALAULAH TIDAK KERANA) BAHAWA ALLAH MAHA PENERIMA TAUBAT, LAGI MAHA BIJAKSANA, (TENTULAH KAMU AKAN) AKAN MENGALAMI KESUSAHAN YANG SUKAR DIATASI).} (AN-NUUR 24:10)

  1. Jika tidak kerana limpah kurnia Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang bertaubat, Allah yang sangat Bijaksana dalam susun atur pentadbiran-Nya, mereka akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi jika tiada hukum ini.
  2. Maka Allah s.w.t turunkan hukum Li\’an ini sebagai satu perlepasan untuk hamba-Nya.
  3. Yakni bagi si suami yang menuduh dengan benar tetapi tiada saksi, atau perempuan suci yang tertuduh, mereka semuanya selamat dari teraniayai dan dihukum tanpa hak.
  4. Atau jika mereka benar-benar bersalah (membuat tuduhan palsu atau penzina) maka boleh jadi selepas itu mereka akan bertaubat, maka Allah berikan ruang dan masa.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Allah s.w.t bawa lafaz orang yang ketiga dalam ayatnya ini: {( أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ
    {Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.}
    Imam Nawawi berkata jika kita memberi contoh perkara buruk jangan guna kafaz kata ganti nama kita sendiri, bahaya- ke atas dirinya, jangan kata ke atas diriku!
  2. Ayat terakhir, Allah s.w.t berfirman {Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu,}
    i- Yakni rahmat dan kurnianya untuk si suami dan isteri yang benar untuk selamat dari hukuman hudud yang tidak sepatutnya dikenakan ke atas mereka.
    ii- Jika mereka pendusta,bagi ruang untuk insaf dan bertaubat selepas itu.
    iii- sumpah laknat ini hanya hukum antara suami dan isteri, hanya bagi suami yang menuduh bukan bagi lelaki lain- wajib bawa saksi,
    iv- selepas berlaku sumpah, Rasulullah s.a.w berkata jika bukan kerana ada hukum ini dalam Kitabullah (isteri bersumpah menafikan) Baginda akan kenakan hukuman rejam ke atas si isteri itu kerana sudah jelas bukti dan tandanya (lahir anak seperti lelaki lain).
    v- 4 sumpah itu diulang seolah mengganti 4 orang saksi.
  3. Sumpah ini mengandungi 4 syarat:
    i- empat kali lafaz demi Allah bahawa dia orang yang benar dalam tuduhannya. 4 kali ulang untuk ta\’kid (penekanan) dalam tuduhannya serta sebagai saksi. Serta sumpah kelima bahawa akan dia dilaknat Allah jika dia berdusta.
    ii- disaksikan oleh orang ramai sebagai saksi, paling kurang 4 orang.
    iii- tempatnya jika sesuai di masjid, dekat minbar.
    iv- masa selepas solat asar jika sesuai juga.
  4. Kata ulama\’, lafaz dan saksi wajib, tempat dan masa adalah sunat, tengok kesesuaian.
  5. Kesan dari sumpah itu:
    i- selamat dari hukuman hudud- suami disebat kerana qazaf, isteri direjam kerana zina.
    ii- terputus hubungan antara si suami dan isteri selama-lamanya. Haram abadan.
    iii- anak yang lahir akan ternafi nasabnya dari si bapa.
    Ya Allah selamatkan kami dan zuriat kami dari keburukan dan kejahatan ini.

Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs