SURAH AR-RUUM : AYAT 38-40

\"\"

GALAKAN INFAQ KEPADA KELUARGA, LARANGAN MENGAMBIL RIBA & ALLAH BERKUASA MENGHIDUP DAN MEMATIKAN.

Full video : https://youtu.be/FzZ_7YxKZvE

MUQADDIMAH :

  1. Kita belajar ayat-ayat Allah s.w.t untuk faham dan beramal dengannya, jika tidak tiada faedah. Begitu juga jika beramal tanpa faham, akan rosak agama. Maka kena belajar dan tuntut ilmu untuk beramal yang soleh dan benar.
  2. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t telah menjelaskan bahawa Dia membuka pintu rezeki-Nya bagi sesiapa yang dikehendaki luas atau sempit.
  3. Juga diingatkan agar kita ingat kepada Allah pada setiap waktu, bukan hanya ketika susah, ketika senang lupa.
  4. Dalam siri ini pula kita digalakan untuk infaq bersedekah kepada keluarga dan mereka yang memerlukan sebagai tanda syukur atas harta anugerah Allah s.w.t.
  5. Juga larangan mengambil riba dan menindas yang haram dan berdosa besar.
  6. Perintah dan peringatan agar ikhlas dalam melakukan segala amal kebaikan.
  7. Peringatan sekali lagi bahawa Allah s.w.t itu berkuasa menghidup Dan mematikan sekelian makhluk serta untuk kembali menghidupkan manusia bagi Hisab Perhitungan dan Pembalasan.

AYAT 38- {MAKA (BAGI MENYATAKAN SIKAP SYUKUR) BERIKANLAH KEPADA KERABATMU, DAN ORANG MISKIN SERTA ORANG MUSAFIR AKAN HAKNYA MASING-MASING; PEMBERIAN YANG DEMIKIAN ADALAH BAIK BAGI ORANG-ORANG YANG BERTUJUAN MEMPEROLEH KEREDAAN ALLAH DAN MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG BERJAYA.} (AR-RUUM 30:38)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w dan umatnya seluruhnya sebagai tanda syukur kepada Allah, agar berbuat baik kepada mereka yang susah dan memerlukan.
  2. Tunaikan hak harta ke atas 3 golongan yang disebut ini, iaitu kepada kerabatmu, orang miskin serta orang musafir.
  3. Kenapa difokuskan kepada 3 golongan ini?
    i- kepada kaum kerabat – ini nafkah wajib kepada anak isteri. Orang yang paling hampir dengan kamu.
    Ibu bapa, adik beradik dan seterusnya jika mereka miskin.
    ii- orang miskin – miskin ini lebih senang dan tinggi darjat daripada faqir, maka secara lansung termasuklah orang faqir juga walaupun tidak disebut.
    iii- orang musafir yang terputus bekalan dalam perjalanannya itu dan memerlukan bantuan. Walaupun dia sebenar orang kaya di negara asalnya.
  4. Kenapa dalam ayat ini Allah sebut khas 3 golongan ini sahaja?
    i- Kerana kaum kerabat untuk mengeratkan lagi silaturrahim dan hubung kekeluargaan.
    Inilah golongan utama yang perlu kita siasat dan beri bantuan terlebih dahulu!
    ii- Manakala orang miskin dan musafir untuk membantu mereka yang memerlukan.
  5. Dalam Islam hubungan sesama Islam ada dua jenis:
    i- bagi kaum keluarga pula ada dua kategori: samada yang mempunyai pertalian rahim (sebelum ibu) ذوي الأرحام – atau kaum kerabat sebelum bapa – ذو القربى.
    ii- hubungan persaudaraan sesama Islam tanpa pertalian darah dipanggil ukhuwwah – الأخوة maka jangan salah guna istilah nak hubung silaturrahim jika nak ziarah kawan-kawan atau jiran biasa.
  6. Semua pemberian dan pertolongan ini dibuat bertujuan semata-mata untuk memperoleh keredhaan Allah. يُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ
  7. Allah s.w.t apabila Dia rezekikan kepada hamba-Nya harta, maka harta itu tidak akan berkurangan dengan sebab infaq dan tidak akan bertambah rezeki itu dengan sebab bakhil!
  8. Dalam ayat ini ada dua tanda keimanan yang mantap kepada Allah s.w.t:
    i- mengagungkan perintah Allah s.w.t. – hubungan dengan Allah.
    ii- sifat kasihan belas, bertimbang-rasa dan cakna sesama makhluk Allah – hubungan dengan makhluk.
  9. Maka sesiapa yang melakukannya ikhlas kerana Allah maka mereka itulah orang-orang yang berjaya dunia dan akhirat.
    Semoga kita semua terselamat dari penyakit riya\’ yang menyusup masuk ke dalam hati lalu membatalkan pahala amalan yang dilakukan.

AYAT 39- {DAN (KETAHUILAH BAHAWA) SESUATU PEMBERIAN ATAU TAMBAHAN YANG KAMU BERIKAN, SUPAYA BERTAMBAH KEMBANGNYA DALAM PUSINGAN HARTA MANUSIA MAKA IA TIDAK SEKALI-KALI AKAN KEMBANG DI SISI ALLAH (TIDAK MENDATANGKAN KEBAIKAN). DAN SEBALIKNYA SESUATU PEMBERIAN SEDEKAH YANG KAMU BERIKAN DENGAN TUJUAN MENGHARAPKAN KEREDAAN ALLAH SEMATA-MATA, MAKA MEREKA YANG MELAKUKANNYA ITULAH ORANG-ORANG YANG BEROLEH PAHALA BERGANDA-GANDA. (AR-RUUM 30:39)

  1. Tetapi ingat, jika sesiapa yang melakukan pemberian itu bukan ikhlas kerana Allah, tetapi ada tujuan lain disebaliknnya (matlamat dunia) beri dengan niat supaya dapat pulangan yang lebih seperti RIBA contohnya atau lain-lain kepentingan, tidak akan mendatangkan kebaikan.
  2. Riba ini peringatan khas kepada kaum Quraisy di Makkah dan kaum Thaqif di Taif yang terkenal dengan amalan riba pada masa itu. Mereka beri orang pinjam kemudian minta bayar lebih, dipanggil Riba al-Jahiliyyah.
    Malangnya amalan ini berleluasa sehingga ke hari ini, iaitu amalan di bank-bank conventional, apatah lagi ceti haram.
  3. Riba ini haram dan salah satu dosa besar!
    Firman Allah s.w.t:
    {Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.} (Al-Baqarah: 276).
  4. Ulama\’ juga berkata; ia juga termasuk bukan maksudnya riba jahiliyyah saja, bahkan jika melakukan kebaikan memang dengan niat mahu pulangan lebih (tetapi bukan bisnis riba seperti jahiliyyah tadi) mereka akan hanya mendapat habuan dunia, tiada apa pulangan di akhirat walaupun harus dan tidak berdosa.
    Contoh:
    Melakukan majlis perkahwinan dengan mengharapkan pulangan atau keuntungan daripada hadiah/duit tetamu yang datang.
    Maka walaupun tidak berdosa, tetapi sia-sia amal menjamu makan tetamu dan tidak akan dapat pahala.
    Orang Kelantan panggil: Nak duit ngeley, salam kaut.
  5. Sesiapa yang memberikan sesuatu kemudian mengharapkan sesuatu pulangan seolah telah meminta bayaran.
    Contoh: Walaupun dengan berkata:
    Tolong doakan saya sekian-sekian, panggil orang makan tetapi minta solat hajat, berdoa atau tahlil dulu sebelum diberi makan, seolah minta buat kerja baru upah makan, dan yang seumpamanya.
    Ini juga dibimbangi termasuk dalam perkara tersebut.
  6. Manakala mereka yang melakukan sedekah dan pemberian itu, semata-mata mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.
    Firman Allah s.w.t: {Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.} (Al-Baqarah 2:245)

Abu Hurairah berkata, \”Rasulullah ﷺ bersabda, \”Tidaklah seseorang bersedekah dengan sesuatu yang baik -dan Allah tidak menerima kecuali yang baik- melainkan Allah akan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya (yang layak dengan kebesaran Allah).
Bila itu sebutir kurma, maka ia akan diperlihara dalam genggaman Ar Rahman Tabaraka wa Ta\’ala hingga menjadi lebih besar dari sebuah gunung. Allah akan memeliharanya untuk kalian sebagaimana kalian memelihara anak unta.\” (HR. Ibnu Majah: 1832)

Abu Hurairah dari Rasulullah ﷺ bersabda \”Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri karena Allah, melainkan Allah akan mengangkat derajatnya.\” (HR. Muslim: 4689)

Hadis- sabda Rasulullah s.a.w:
فَاتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَةٍ
\”Jagalah diri kalian dari neraka meskipun hanya dengan sedekah setengah biji kurma. Barangsiapa yang tak mendapatkannya, maka ucapkanlah perkataan yang baik.\” [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 40- {ALLAH JUALAH YANG MENCIPTA KAMU; KEMUDIAN IA MEMBERI REZEKI KEPADA KAMU; SESUDAH ITU IA MEMATIKAN KAMU; KEMUDIAN IA MENGHIDUPKAN KAMU SEMULA. ADAKAH DI ANTARA MAKHLUK-MAKHLUK YANG KAMU SEKUTUKAN DENGAN ALLAH ITU SESIAPA YANG DAPAT BERBUAT SESUATU PUN DARI SEGALA YANG TERSEBUT? MAHA SUCI ALLAH DAN TERTINGGI KEADAANNYA DARI APA YANG MEREKA SEKUTUKAN (DENGANNYA).} (AR-RUUM 30:40)

  1. Allah s.w.t memperingatkan kita bahawa Dia yang mencipta kita dan Dia juga yang memberi rezeki kepada manusia dan sekelian makhluk-Nya. Maka kita kena syukur dengan berinfaq dari rezeki itu.
  2. Sesudah itu Allah s.w.t mematikan kita; kemudian Ia menghidupkan kita semula untuk perhitungan dan pembalasan.
  3. Kemudian Allah s.w.t cabar dan hina puak kafir dengan mengatakan bahawa tidak ada satu pun sekutu mereka, samada patung dan berhala atau apa saja selain Allah yang disembah kaum musyrik itu, yang mampu serta ikut menciptakan, memberi rezeki, menghidupkan dan mematikan. Bahkan semuanya itu tidak mampu berbuat sesuatu pun.
  4. Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 38- {pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah} – maksudnya jika buat bukan kerana Allah s.w.t maka tidak akan dapat apa-apa faedah di akhirat nanti.
  2. Ayat 38- dari ayat ini lagi, jika bukan kerana Allah, akan rugi pahala di akhirat, kita hanya akan dapat habuan dunia saja. Menunjukkan kepentingan ikhlas dalam niat.
  3. Ayat 38- {Maka berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir} -ذَا الْقُرْبَى Allah sebut yang punyai hubungan kaum kerabat ذا- kerana hubungan kerabat / keluarga tidak akan berubah, tidak bertambah atau berkurangan tetap akan menjadi keluarga dan kaum kerabat selamanya, tidak putus.
    وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ manakala untuk mereka ini Allah tidak sebut yang mempunyai ذا – ini kerana miskin dan musafir tidak tetap sifatnya. Mungkin miskin sekarang tetapi tidak mustahil akan bertukar nasibnya selepas ini, orang miskin mungkin akan menjadi senang dan kaya, hari ini penerima zakat mungkin esok pemberinya.
    Begitu orang musafir akan hilang kesusahannya bila kembali ke tempatnya.
  4. Ayat 38- {Maka) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing} – yakni maksud pemberian di sini ialah khas untuk harta, bantuan kewangan bukan yang selainnya.
  5. Kenapa Allah s.w.t sebut hanya 3 golongan ini sahaja, kerab dan orang miskin serta orang musafir?
    Sedangkan dalam zakat ada 8 asnaf yang berhak.
    Ulama\’ kata ini kerana 3 golongan ini wajib kita berbuat baik memberi bantuan dengan segera kepada mereka.
    Tidak kira dalam apa keadaanpun, dari harta yang mana yang ada, bukan semestinya zakat, wajib ihsan kepada mereka setiap masa. Tidak perlu tunggu zakat atau tunggu cukup haul (tempoh masa zakat). Ini infaq sepanjang masa bukan zakat yang ada nisab dan haulnya.
  6. Allah hanya sebut khas tentang kebajikan infaq dan harta dalam ayat ini, kerana tentang ibadat dan perintah lain telah disebut dalam ayat lain sebelum ini. Ini kerana bagi setiap majlis dan suasana ada percakapan/tindakan khasnya.
  7. Ayat 39- {Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata} – isyarat kepada sesiapa yang infaq kerana Allah maka akan mendapat balasan dari Allah, sampai ke syurga dan memandang wajah-Nya yang mulia.
  8. Mana-mana perbuatan yang tidak memberi pulangan disisi Allah tidak akan ada keberkatan, telah dicabut keberkatannya.
  9. Ayat 39- {Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata} – مِنْ زَكَاةٍ – maksudnya subur dan bersih, maka zakat dan harta itu ialah membersihkan harta. Suci dan selesai di dunia lagi.
  10. Allah s.w.t ulang dua kali ayat ini:
    mencari keredhaan Allah وَجْهَ اللَّهِ
    Ayat 38- {bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah} يُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّهِ
    Ayat 39- {Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah semata-mata} تُرِيدُونَ وَجْهَ
    Kenapa diulang dua kali?
    Kerana ikhlas itu adalah sesuatu perkara yang susah dan payah sekali, sesuatu yang sangat mulia dan besar kerana itu diulang untuk mantapkan kefahaman kita dan perjalanan hidup kita.

Moga kita semua ikhlas dalam belajar dan mengajar ilmu agama dan al-Quran, insya\’ Allah.
Kita harapkan redha Allah, biarlah apa pandangan manusia.

Powered by BetterDocs