View Categories

SURAH AS-SAJDAH : AYAT 26-30

\"\"

AMBIL IKTIBAR DARI KEBINASAAN UMAT DAHULU, NIKMAT ALLAH HENDAKLAH DISYUKURI & DI HARI KIAMAT TIDAK DITERIMA IMAN KUFFAR.

Full video : https://youtu.be/tS81ggRuzQI

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini insya\’ Allah kita akan khatam surah as-Sajdah ini dengan ayat ke30 sebagai ayat terakhirnya.
  2. Dalam siri yang lepas kita telah belajar tentang 3 usul dalam al-Quran iaitu:
    i- tentang Risalah para Rasul.
    ii- Penciptaan makhluk- diceritakan tentang dalil penciptaan langit dan bumi, serta pelbagai lagi tanda-tanda
    iii- Tentang Ma\’ad – janji balasan dan kebangkitan semula.
  3. Kemudian Allah s.w.t ceritakan tentang risalah kenabian Musa a.s yang diutus kepada bani Israil, kemudian tentang risalah Nabi Muhammad s.a.w yang diutuskan kepada seluruh manusia sehingga ke hari Kiamat dan memansukhkan semua agama lain yang sebelumnya.
  4. Tetapi kaum yahudi dan musyrikin masih menolaknya bukan kerana mereka tidak tahu dan tidak nampak kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah tetapi puncanya kerana HASAD.
  5. Walaupun jelas dalam kitab Taurat tentang sifat dan tanda-tanda kenabian Rasulullah s.a.w.
  6. Ayat seterusnya hari ini untuk menunjukkan tanda kekuasaan dan keesaan Allah s.w.t itu dengan tanda yang kamu dapt lihat dengan mata dan dengar dengan telinga.

AYAT 26- {DAN BELUMKAH LAGI TERNYATA KEPADA MEREKA (YANG KAFIR ITU): BAHAWA KAMI TELAH BINASAKAN BERAPA BANYAK DARI KAUM-KAUM YANG KUFUR INGKAR DAHULU DARIPADA MEREKA, PADAHAL MEREKA SEKARANG BERULANG-ALIK MELALUI TEMPAT-TEMPAT TINGGAL KAUM-KAUM ITU? SESUNGGUHNYA KEBINASAAN KAUM-KAUM ITU MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN (UNTUK MENGAMBIL IKTIBAR); OLEH ITU TIDAKKAH MEREKA MAHU MENDENGAR (DAN INSAF)?} (AS-SAJDAH 32:26)

  1. Kenapa kaum kafir musyrikin masih berdegil tidak mahu menerima dakwah Rasulullah s.a.w, tidakkah menjadi petunjuk bagi orang-orang yang mendustakan para rasul, betapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan kerana telah mendustakan para rasul?
  2. Sedangkan mereka pada setiap tahun melalui tempat kebinasaan kaum-kaum, tempat lalun kafilah perniagaan mereka pada setiap musim panas dan musim sejuk. Yakni yang dapat mereka lihat sendiri dengan mata mereka dan dengar dengan telinga mereka.
  3. Kisah ini dirakamkan dalam surah Quraisy. Semasa ke Yaman mereka akan melalui kesan kaum Ad manakala ketika ke Syam pula mereka akan melalui kesan-kesan kebinasaan kaum Thamud.
  4. Kesan-kesan kebinasaan itu Allah s.w.t kekalkan agar menjadi keterangan dan untuk diambil iktibar pengajaran bagi kaum yang mahu mendengar dan menerima kebenaran.
  5. Oleh itu kenapa kamu masih tidak mahu mendengar dan insaf? أَفَلَا يَسْمَعُونَ semua maklumat ini adalah tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t bagi mereka yang mahu mendengar.
  6. Allah tutup ayat ini dengan pertanyaan sifat mendengar
    أَفَلَا يَسْمَعُونَ kerana kisah kaum-kaum ini kita hanya mendengar kisahnya dari al-Quran dan Rasulullah s.a.w, kita tidak menyaksikannya dengan mata kepala sendiri. Ini adalah dalil dengan pendengaran.
    Ini adalah ilmu tadabbur dengan dalil dengan pendengaran.
  7. Allah s.w.t telah menegakkan hujjah-Nya ke atas orang kafir dengan kebinasaan umat terdahulu supaya mereka insaf dan sedar bahawa mereka selepas mati akan dibangkitkan semula!

AYAT 27- {DAN TIDAKKAH MEREKA (YANG TIDAK MAHU TAAT DAN BERSYUKUR) ITU MELIHAT BAHAWASANYA KAMI MENGARAHKAN TURUNNYA HUJAN KE BUMI YANG KERING KONTANG, LALU KAMI TUMBUHKAN DENGAN AIR HUJAN ITU TANAMAN-TANAMAN, YANG DARIPADANYA DIMAKAN OLEH BINATANG-BINATANG TERNAK MEREKA DAN MEREKA SENDIRI? MAKA MENGAPA MEREKA TIDAK MAHU MEMERHATI (SEMUANYA ITU SUPAYA TAAT DAN BERSYUKUR)?} (AS-SAJDAH 32:27)

  1. Dalam ayat ini pula adalah ilmu tadabbur dengan menggunakan tanda yang dapat kita lihat sekarang, di depan mata kita, yang dapat kita saksikan selagi kita hidup!
    Inilah Ayatul-Manzhurah – ايات المنظورة.

Jadi hujjah apa lagi kita nak berselindung dari Allah s.w.t, kerana jika tak tahu kita boleh dengar dan terimanya dan kita hidup kita maka lihat sendiri.
Dua hujjah yang jelas dari Allah s.w.t. tiada alasan untuk tidak yakin dan beriman kepada Allah s.w.t, dua lorong sudah dibuka, dua pancaindera sudah digunakan.

  1. Iaitu bagaimana tanah yang kering kontang, bumi yang tandus tanpa tumbuhan, selepas Allah s.w.t turun hujan lalu Dia tumbuhkan tanaman yang akan menjadi makanan binatang ternakan dan manusia sendiri.
  2. Maka hijaulah bumi dengan زَرْعًا (pokok-pokok berdaun hijau seperti rumput dan sayuran), bukan pokok berbatang kayu yang besar dan mengambil masa untuk tumbuh.
  3. Di Malaysia yang memang sudah bumi hijau ini mungkin kita tidak berapa nampak suasana ini. Tetapi jika di bumi yang memang tandus, padang pasir seperti di tanah Arab memang nampak suasana hijau selepas hujan ini satu panorama yang amat indah.
  4. Kita boleh kaitkan dalil penyaksian ini dalam pelajaran sains anak-anak di sekolah, guru-guru mukmin boleh masukkan unsur-unsur tauhid dalam setiap pelajaran tentang kejadian penciptaan manusia, haiwan dan tumbuhan!
    Ini semua menunjukkan tanda keagungan Allah s.w.t di sebalik setiap eskperimen yang dilakukan dan hasil kajian yang dibuat, insya\’ Allah.
  5. Maka kenapa kamu mahu tidak memerhati أَفَلَا يُبْصِرُونَ dan tidak bersyukur atas semua nikmat ini, lalu taat kepada Allah s.w.t.
  6. Allah tutup ayat ini dengan pertanyaan sifat melihat أَفَلَا يُبْصِرُونَ kerana semua tanda yang diberikan dalam ayat ini kita dapat menyaksikannya dengan mata kepala sendiri. Ini adalah ilmu tadabbur melalui dalil dengan penglihatan.
  7. Inilah dua bukti dan hujjah yang mantap Allah berikan untuk kita samada kita dengar atau kita tengok sendiri, tiada alasan untuk tidak sampai dalil dan maklumat bagi sesiapa saja!

AYAT 28- {DAN MEREKA BERTANYA: \”BILAKAH DATANGNYA HARI PEMBUKAAN BICARA YANG DIKATAKAN ITU JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR?\”} (AS-SAJDAH 32:28)

  1. Tetapi puak kafir ini masih degil dan sombong lalu dengan mengejek mencabar Rasulullah s.a.w dengan bertanya: Bilakah hari pemutus dan pengadilan (هَذَا الْفَتْحُ) yang kamu sering sebut dan takut-takukan kami itu?
    Hari diputuskan hukuman antara mereka dan nabi Muhammad s.a.w, iaitu Hari Kiamat.
  2. Jika kamu betul orang yang benar wahai Muhammad bawakanlahnya atau beritahu kami bilakah tarikhnya!
    *Ini kerana mereka tahu Rasulullah s.a.w tidak tahu bilakah tarikh sebenar akan berlaku Kiamat kerana itu mereka berani cabar.

AYAT 29- {KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”(TIDAK PERLU DIKETAHUI MASA DATANGNYA TETAPI MESTI DIPERCAYAI BAHAWA) PADA HARI PEMBUKAAN BICARA ITU, TIDAK ADA GUNANYA LAGI KEPADA ORANG-ORANG KAFIR KIRANYA MEREKA HENDAK BERIMAN, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN DIBERI TEMPOH (BERBUAT DEMIKIAN)\”.} (AS-SAJDAH 32:29)

  1. Allah s.w.t memerintah Rasulullah menjawab bahawa tiada gunannya untuk mereka ketahui bilakah tarikhnya akan berlaku hari pembalasan itu. Hari itu akan tiba tanpa syak lagi.
  2. Ini kerana hari Perbicaraan dan hari azab di depan mata nanti tidak akan berguna lagi kepada mereka.
    Tidak akan diterima lagi taubat dan penyesalan, bukan hari untuk baru nak beriman.
  3. Hari itu adalah hari untuk menyerlahkan keimanan dan pembentangan segala amalan yang telah dilakukan.
    Golongan yang beriman berada di bawah bayangan Arasy yang khas manakala yang kafir akan menerima pembalasannya.
    Maka jika nak selamat terima dan berimanlah sekarang semasa masih di dunia ini!

AYAT 30- {OLEH ITU, JANGANLAH ENGKAU HIRAUKAN MEREKA, DAN TUNGGULAH (KESUDAHAN MEREKA), SESUNGGUHNYA MEREKA PUN MENUNGGU (KESUDAHANMU).} (AS-SAJDAH 32:30)

  1. Allah s.w.t telah menyaksikan bahawa Rasulullah s.a.w telah menjalankan tugasnya dengan sempurna, berdakwah dan menyampaikan kebenaran, tetapi puak kafir tetapi keras kepala memerli dan mengejek Baginda.
  2. Maka Allah s.w.t tutup ayat dan surah ini dengan menyuruh Rasulullah s.a.w supaya berpalinglah dari orang-orang musyrik itu, dan tunggulah kesudahan mereka, sesungguhnya mereka juga menunggu kesudahan kamu, maka lihatlah siapa yang benar nanti!
  3. Kebenaran untuk berpaling dan meninggalkan mereka ini adalah setelah habis usaha untuk berdakwah dan menyeru, maka jika masih ditolak maka selesailah tugas seorang rasul dan pendakwah itu. Yang penting jangan cepat mengalah dan berputus-asa, berusahalah semampu mungkin.
    Jika sudah tiada harapan dan terputus jalan maka serahkanlah kepada Allah kerana hidayah taufik itu di bawah kuasa Allah s.w.t, kerja kita hanya memberi hidayah irsyad petunjuk dan bimbingan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 26- {Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?} – kata ulama\’ kebinasaan umat terdahulu menjadi ibrah pengajaran kepada kita dan tanda kekuasaan Allah s.w.t.
    Pengajarannya jangan kita berani buat seperti mereka jika tidak mahu menerima nasib seperti mereka.
  2. Ayat 27- {Dan tidakkah mereka itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang,} – أَوَلَمْ يَرَوْا – ayat ini mengajar kita bahawa menjadi kewajipan kepada orang yang beriman untuk sentiasa memerhatikan tanda kekuasan Allah s.w.t, hatta apabila melihat kepada semut yang kecil sekalipun.
    Allah s.w.t telah sebut dalam al-Quran bahawa Dia tidak malu untuk membuat perbandingan tentang seekor nyamuk. Bahkan Allah sebut lebah, labah-labah dan lain-lain haiwan yang kecil.

أَوَلَمْ يَرَوْا – tidakkah kamu lihat: – soalan ini bukan soalan biasa, ia adalah soalan berbentuk cercaan dan celaan bagi orang yang tidak melihat dan mengambil manfaat.
Maka kita tengoklah dengan mata yang berfikir.

  1. Ayat 27- { Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?} أَفَلَا يُبْصِرُونَ – ayat ini pula menggalakakn kita agar sentiasa tengok, kaji, tadabbur, teliti (ta\’ammul) dan berfikir untuk melihat tanda kekuasaan Allah s.w.t.
  2. Selepas Allah sebut: Ayat 26- {Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka,}- Allah s.w.t bawa pula ayat ini { padahal mereka sekarang berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu?} – maka ayat ini menjadi dalil kepada ainul-yaqin yang kita nampak dan lihat kepada ilmul-yakin sudah ada dalam hati kita, yang sudah kita percayai dalam hati kita walaupun kita tidak pernah melihatnya.
    Kemudian Allah bawa pula dalil ainul-yaqin yang boleh kita nampak dengan mata kepala sendiri, yang kita boleh saksikannya. Contohnya; yang tidak pernah ke Makkah, ilmu yakin kita adalah Ka\’bah yang ada di Makkah, bila kita sampai di Makkah dan melihatnya sendiri maka itu adalah ainul-yaqin pula.
    عين اليقين & علم اليقين
  3. Ayat 26- {Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka,} – dalil di sini Allah s.w.t guna perkataan berapa banyak كَمْ أَهْلَكْنَا bukan sebagai pertanyaan tetapi sebagai; kam khabariyah كم خبرية- berapa untuk menyatakan betapa banyak sudah!
    Menambahkah perkataan untuk menunjukkan bahawa cerita itu benar.
  4. Ayat 27- {Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman} – ulama\’ kata ini adalah dalil pandangan mata yang dapat dilihat lagi. عين اليقين . Seperti kita yakin bahawa Kiamat itu ada tetapi kita tak tengok lagi kerana kita belum mati, tetapi tumbuhan ini kita sudah lihat kejadiannya.
  5. Ayat 27- { lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri?} – ulama\’ kata ayat ini membawa hukum asal bahawa semua pokok dan tumbuhan atas bumi ini harus dan halal untuk dimakan kecuali terbukti bahaya dan ada mudharat seperti beracun dan seumpamanya. Pengecualian jika terbukti tidak selamat.
  6. Ayat 28- {Dan mereka bertanya: \”Bilakah datangnya hari pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?\”} – sabarlah hari Perbicaran dan azab itu bukan tiada cuma Allah s.w.t tangguhkan sehingga kepada tempoh yang dikehendaki-Nya. Adakalanya lambat sikit untuk bagi peluang kepada mereka beriman.
    Kata ulama\’ dengan sebab beriman Allah s.w.t akan angkatkan azab insya\’ Allah, maka kita kena berusahalah tingkatkan iman kita dengan doa dan istighfar. Manakala turunnya bala dengan maksiat.
  7. Antara Ayat 26- {oleh itu tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?} DAN Ayat 27- { Maka mengapa mereka tidak mahu memerhati } – kata ulama\’antara dua ayat ini adalah dua kategori ayat mau\’izah, yang berbeza dihujung ayatnya.
    Ayat pertama ialah apa yang kita dengar tentang cerita orang dahulu, manakala ayat kedua yang kita lihat, yang berlaku hari ini.
    Masya\’ Allah tiada orang yang tadabbur al-Quran kecuali dia akan rasa manisnya al-Quran itu!
  8. Ayat 27- { melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan ke bumi} -{أَنَّا نَسُوقُ الْمَاءَ } dalam ayat ini Allah s.w.t menggunakan lafaz mudhari\’ (فعل المضارع) (present tense) — sesungguhnya Kami menurunkan hujan} – untuk menunjukkan bahawa ianya yakni turun hujan itu sentiasa berlaku sejak dari zaman Nabi Adam dan nabi dahulu dan akan terus berlaku sehingga masa yang Allah s.w.t kehendaki.
    Untuk menunjukkan hujan sentiasa berlaku sehingga berlakunya Kiamat agar kita sentiasa berfikir bukti kekuasaan Allah, dalil yang sentiasa berulang.
    Ingat juga akan Kiamat dan kematian yang akan berlaku bila-bila masa saja, maka buatlah persiapan untuk mati sebagai persiapan sebelum hujan atau banjir!
  9. الْحَمْدُ لِلَّهِ بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
    Alhamdulillah tamatlah kita surah as-Sajdah ini semoga kita semua mendapat manfaat dan terus istiqomah dalam tadabbur dan menuntut ilmu.

جزاكم الله خيرا كثيرا untuk al-Fadhil ustaz.

Powered by BetterDocs