View Categories

SURAH AS-SOFFAT : AYAT 149-163

\"\"

AQIDAH MUSYRIKIN MALAIKAT ANAK TUHAN, ALLAH NYATAKAN PEMBOHONGAN MEREKA & HUBUNGAN NASAB JIN DENGAN TUHAN.

Full video : https://youtu.be/C9gebM0pHng

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang aqidah puak kafir musyrikin yang mengatakan malaikat itu anak tuhan dan ibunya jin!
  2. Jadi Allah s.w.t mengajar Rasulullah s.a.w untuk berdialog dan berdebat dengan mereka untuk menunjukkan kesesatan dan kekarutan kepercayaan mereka.
  3. Ini supaya mereka dapat melihat kebenaran dan memperbetulkan aqidah yang sesat dan silap itu.
  4. Jika mereka tidak dapat hidayat petunjuk dan tidak mahu menerima kebenaran, maka kitalah yang ambik iktibar dan petunjuknya.
  5. Dalam ayat-ayat lepas kita telah mendengar tentang kisah enam rasul dan nabi yang Allah utuskan kepada kaum masing-masing.
  6. Dalam siri ini kita lihat pula akan kejelekan dan keburukan aqidah kaum musyrikin Makkah pada masa itu.

AYAT 149- {(OLEH SEBAB ADA DI ANTARA KAUM MUSYRIK ARAB YANG MENDAKWA BAHAWA MALAIKAT ITU ANAK-ANAK PEREMPUAN ALLAH) MAKA BERTANYALAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA MEREKA ITU: ADILKAH MEREKA MEMBAHAGI UNTUK TUHANMU ANAK-ANAK PEREMPUAN, DAN UNTUK MEREKA ANAK-ANAK LELAKI? (AS-SAAFFAAT 37:149)

  1. Ada di kalangan kaum musyrikin Makkah itu yang mendakwa bahawa para malaikat itu anak perempuan tuhan.
  2. Maka Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w bertanya kepada mereka dengan ayat sentap dan menyindir: Apakah bagi kamu anak lelaki tetapi bagi tuhan kamu berikan anak perempuan? Adilkah kamu berikan kepada tuhan sesuatu yang kamu tidak suka dan benci? Adilkah pembahagian ini?
  3. Firman Allah s.w.t lagi: {Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat sahajalah, yang tergamak menamakan malaikat itu dengan nama perempuan,} (An-Najm 53:27).

AYAT 150- {ATAU ADAKAH MEREKA HADIR SENDIRI MENYAKSIKAN KAMI MENCIPTA MALAIKAT-MALAIKAT ITU – PEREMPUAN?} (AS-SAAFFAAT 37:150)

  1. Soalan sentap lagi; Adakah kamu hadir semasa kejadian penciptaan para malaikat itu? Kamu saksikan dengan mata kepala kamu sendiri bahawa mereka itu perempuan?

AYAT 151-{KETAHUILAH! BAHAWA SESUNGGUHNYA, DENGAN SEBAB TERPESONGNYA DARI KEBENARAN, MEREKA BERKATA:} (AS-SAAFFAAT 37:151)

  1. Mereka memutarkan belit kenyataan dengan memesong dan menyeleweng daripada kebenaran dengan mengatakan:

AYAT 152- {\”ALLAH BERANAK\”; SEDANG MEREKA, SESUNGGUHNYA ADALAH ORANG-ORANG YANG BERDUSTA!} (AS-SAAFFAAT 37:152)

  1. Allah itu beranak, yakni melahirkan anak perempuan yang dijadikan malaikat!
  2. Sedangkan mereka sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdusta! (لَكَاذِبُونَ). Pembohong besar!
  3. Manusia perlukan anak kerana kita akan kesunyian bila tua, perlu anak untuk tolong jaga apabila kita sudah tua dan memerlukan bantuan.
  4. Sedangkan Allah s.w.t Maha Berkuasa (الصَّمَدُ) tidak perlukan kepada sesuatu atau apa-apa bantuan!

AYAT 153- {(PATUTKAH KAMU MENDAKWA BAHAWA TUHAN MEMPUNYAI ANAK, DAN ANAK ITU PULA IALAH ANAK-ANAK PEREMPUAN YANG KAMU TIDAK SUKAI?) ADAKAH TUHAN MEMILIH SERTA MENGUTAMAKAN ANAK-ANAK PEREMPUAN DARI ANAK-ANAK LELAKI (SEDANG KEDUA-DUA JENIS ITU DIA LAH YANG MENCIPTAKANNYA)?} (AS-SAAFFAAT 37:153)

  1. Allah s.w.t bawa lagi hujjah dan tempelak mereka, patutkah mereka mendakwa Allah s.w.t ada anak dan anak itu pula perempuan? Ini kerana mereka amat tidak suka dan marah apabila mendapat anak perempuan. Pada zaman jahiliyah mereka menanam hidup-hidup anak perempuan semasa kecil.
  2. Adakah Allah s.w.t akan pilih untuknya anak perempuan, yang kamu sendiri tidak mahu itu? Sedangkan kedua-duanya adalah ciptaan Allah s.w.t yang masing-masing ada keistimewaan dan hikmahnya.

AYAT 154- {APA SUDAH JADI KAMU? BAGAIMANA KAMU MENETAPKAN HUKUM (YANG TERANG-TERANG SALAHNYA ITU)?} (AS-SAAFFAAT 37:154)

  1. Apa sudah jadi dengan kamu, bagaimana kamu menetapkan hukuman yang terang-terangan zalim dan tidak adil?
  2. Kita ini apabila mahu memberikan sesuatu kepada orang atau sahabat kita, kena beri apa yang dia suka, bukannya beri barang reject, apa yang kita tidak mahu!

AYAT 155- {SETELAH DITEGUR, MAKA TIDAKKAH KAMU MAHU BERUSAHA MENGINGATKAN (BAHAWA ALLAH MUSTAHIL BAGI-NYA ANAK-PINAK)?} (AS-SAAFFAAT 37:155)

  1. Setelah ditegur, apakah kamu masih mahu lagi mengatakan sesuatu yang mustahil dan tidak benar tentang Allah s.w.t?
  2. Kita sudah belajar tentang sifat Allah, yang wajib harus dan mustahil.
    Mempunyai anak ini adalah satu sifat yang mustahil bagi Allah s.w.t!

AYAT 156- {ATAU ADAKAH KAMU MEMPUNYAI SEBARANG BUKTI YANG NYATA (MENERANGKAN BAHAWA MALAIKAT ITU ANAK-ANAK PEREMPUAN ALLAH)?} (AS-SAAFFAAT 37:156)

  1. Sekali lagi Allah s.w.t hempapkan soalan ini di atas kepala mereka; apakah kamu ada sebarang bukti atau hujjah yang jelas nyata yang membenarkan dakwaan kamu itu. Allah s.w.t ajar Rasulullah untuk cabar mereka dengan hujjah yang mereka tidak dapat menjawabnya.
  2. Apakah kamu lihat dan saksikan sendiri bahawa malaikat itu adalah anak-anak perempuan Allah s.w.t?

AYAT 157- (KIRANYA ADA) MAKA BAWALAH KITAB KAMU (YANG MENERANGKAN DEMIKIAN), JIKA BETUL KAMU ORANG-ORANG YANG BENAR.} (AS-SAAFFAAT 37:157)

  1. Jika kamu benar, ada hujjah dan dalil, maka bawa marilah kitab yang kamu ada itu, yang dapat membenarkan dakwaan kamu itu!

AYAT 158- {DAN MEREKA MENGADAKAN (HUBUNGAN) NASAB (KELUARGA) ANTARA DIA (ALLAH) DAN JIN. DAN SESUNGGUHNYA JIN TELAH MENGETAHUI BAHAWA MEREKA PASTI AKAN DISERET (KE NERAKA)} (AS-SAAFFAAT 37:158)

  1. Mereka menambah hujjah dan tuduhan lain pula, yang lebih karut dan batil!
  2. Mereka mengatakan pertalian kerabat antara Allah dan malaikat (الْجِنَّةِ), padahal malaikat itu mengetahui orang yang melakukan tuduhan ini akan diseret dan diazab di dalam neraka kelak!
  3. Ada juga ulama\’ yang menterjemahkan perkataan jin (الْجِنَّةِ) ini kepada maksud lain, bukan malaikat tetapi jin:
    i- iaitu sesuatu makhluk yang kita tidak nampak.
    ii- kerana ini bayi di dalam perut dipanggil janin (sesuatu yang tidak nampak).
  4. Kata Mujahid rhm.: Ini kerana puak kafir musyrikin Quraisy itu buat tuduhan bahawa malaikat itu anak tuhan manakala ibunya adalah jin!!!!
  5. Syeikh ar-Razi berkata: Pendapat ini jauh sikit kerana jika keturunan dipanggil (musoharah).
  6. Puak Zindiq yang sesat dan karut pula berkata: Allah dan Iblis adalah dua beradik (أخوان)- Allah yang membawa kebaikan manakala Iblis yang bawa kejahatan.
  7. Ada juga yang kata jin itu malaikat, sebagaimana terjemahan dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman ini.
  8. Kata Imam al-Qurtubi rhm.: Berkata ulama\’-ulama\’ lughah (bahasa) kenapa dikatakan kepada malaikat itu juga jin? Ini kerana dia adalah benda ghaib yang kita tidak nampak juga.
  9. Mujahid pula berkata: Kerana ada juga sekumpulan malaikat yang namanya Jinnah, Ini riwayat Ibnu Abbas r.a. Kerana mereka adalah penjaga kepada janin dan semua malaikat itu tidak dapat dilihat semuanya! Wallahu a\’lam.
  10. Walaupun apa saja tuduhan dan perkataan kamu, para malaikat itu sudah tahu dan yakin bahawa sesiapa yang tidak beriman akan dicampakkan ke dalam neraka!

AYAT 159- {MAHA SUCI ALLAH DARI APA YANG MEREKA KATAKAN ITU!} (AS-SAAFFAAT 37:159)

  1. Maha Suci Allah s.w.t daripada segala tuduhan jahat dan buruk para kafir musyrikin itu!

AYAT 160- {KECUALI HAMBA-HAMBA ALLAH YANG DIBERSIHKAN DARI SEBARANG SYIRIK, (MAKA MEREKA AKAN TERSELAMAT, DAN AKAN MENDAPAT SEBAIK-BAIK BALASAN).} (AS-SAAFFAAT 37:160)

  1. Orang yang beriman dan ikhlas, yang tidak berbuat syirik kepada Allah s.w.t akan selamat dan mendapat balasan yang baik, selamat daripada azab neraka!

AYAT 161- {MAKA SEBENARNYA KAMU (WAHAI ORANG-ORANG MUSYRIK), DAN APA YANG KAMU SEMBAH ITU.} (AS-SAAFFAAT 37:161)

  1. Apa saja perbuatan jahat, kata-kata fitnah dan tuduhan sesat orang musyrikin itu serta apa yang mereka sembah;

AYAT 162- {TIDAK AKAN DAPAT MEROSAKKAN PERHUBUNGAN SESEORANG DENGAN TUHANNYA,} (AS-SAAFFAAT 37:162)

  1. Tidak akan memberi kesan kepada orang yang benar-benar beriman. Yakni tidak akan goyah keimanan dan hubungan akidahnya dengan Allah s.w.t, walau apa pun sekali dakyah dan tuduhan jahat itu!
  2. Jika orang yang lemah dan tidak mantap imannya maka akan memberi kesan! Na\’uzubillah!

AYAT 163- {KECUALI ORANG-ORANG YANG TELAH DITETAPKAN BAHAWA DIA AKAN DIBAKAR DI DALAM NERAKA YANG MENJULANG-JULANG.} (AS-SAAFFAAT 37:163)

  1. Kecuali orang yang telah ditetapkan bahawa mereka akan dibakar dalam api neraka yang menjulang.
  2. Iaitu puak musyrikin dan apa saja sembahan mereka akan dibakar dalam neraka, kecuali beberapa orang yang disembah tanpa izin dan kehendak mereka seperti Nabi Isa a.s, Uzair dan para malaikat.

Penutup/Beberapa Faedah Ringkas :

  1. Ayat 149- {(Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu: Adilkah mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk mereka anak-anak lelaki?
  2. Kata ulama\’, ayat ini menyatakan bahawa:

i- puak kafir membuat pembahagian yang tidak adil, dia beri kepada Tuhan apa yang mereka tidak mahu, iaitu anak-anak perempuan.

Firman Allah s.w.t: {Padahal apabila diberitahu kepada salah seorang dari mereka dengan (berita bahawa ia beroleh anak perempuan seperti) yang dijadikannya sekutu yang sejenis dengan Allah Yang Maha Pemurah, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.} (Az-Zukhruf 43:17)

ii- mereka jadikan malaikat itu jenis perempuan. Sedangkan mereka sendiri tidak mahu anak perempuan. Kerana itu Allah s.w.t ulang banyak kali dalam al-Quran tentang tuduhan ini, malaikat itu perempuan dan anak tuhan, untuk menyatakan pembohongan dan tuduhan palsu mereka.

iii- dalam ayat ini ada 3 pembohongan orang kafir terhadap Allah s.w.t:
a) mengatakan malaikat itu anak perempuan tuhan.
b) mengatakan Allah s.w.t ada anak.
c) kemudian mereka sembah pula malaikat itu!

  1. Ayat 150- {Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami mencipta malaikat-malaikat itu – perempuan?}- Allah s.w.t ajar dalam ayat ini bahawa sesiapa yang buat tuduhan kepada orang, kita boleh tuntut daripadanya dalil dan bukti yang mesti dikemukan!
    Bukannya orang yang kena tuduh kena buktikan kebenarannya, seperti zaman kita hari ini, ini sudah terbalik!

Rasulullah S.A.W bersabda:
الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ
Maksudnya: \”Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.\” [HR Al-Baihaqi dalam Al-Sunan (10/252)].

Rasulullah S.A.W juga bersabda :
لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى نَاسٌ دِمَاءَ رِجَالٍ وَأَمْوَالَهُمْ وَلَكِنَّ الْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ
Maksudnya: \”Sekiranya diberikan kepada manusia itu semata dengan mengikut dakwaan-dakwaan mereka, nescayalah orang ramai akan mendakwa darah dan harta orang lain (sebagai milik mereka). Akan tetapi sumpah itu adalah ke atas mereka yang dituduh.\” [HR Muslim (1711)].

  1. Ayat 157- (Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.}- ulama\’ kata sesiapa yang mengeluarkan perkataan, kenyataan atau tuduhan tetapi dia tidak membawa hujjah atau dalil, maka dia akan dipanggil pembohong yang jelas lagi nyata!
    Mesti kena ada dalil dan sandaran, hujjah keterangan yang betul dan sahih!

Ayat ini juga mengajar kepada kita untuk berhujjah dengan mantap, cari dalil dan cabaran yang memamng tidak dapat dicabar sebagaiman al-Quran.

  1. Ayat 160- {Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat, dan akan mendapat sebaik-baik balasan).}- ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa hamba Allah yang ikhlas dan benar-benar beriman wujud, hamba Allah yang selamat di dunia dan akhirat ada wujud, iaitu mereka yang bebaskan dirinya daripada segala bentuk maksiat dan syirik.
    Maka itulah disfatkan sebagai orang yang ikhlas (الْمُخْلَصِينَ).
    Iaitu kita berpegang dengan tauhid yang murni yang Allah s.w.t gambarkan dalam al-Quran dan Rasulullah s.a.w ajar dalam Sunnahnya.
  2. Ayat 160- {Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik, (maka mereka akan terselamat, dan akan mendapat sebaik-baik balasan).}- akal pemikiran kita ini mudah terpengaruh dan tidak selamat dengan apa yang kita buat dan terdedah. Kerana itu para ulama\’ salafus-Soleh tidak benarkan kita mendengar ajaran agama dari para ahli Bid\’ah seperti muktazilah qadariyyah dan lain-lain yang memeningkan!

Kerana sesuatu yang buruk bila dah masuk dalam telinga dia payah nak keluar dan akan lekat di dalam hati, kecuali benda baik, masuk telinga kanan keluar telinga kiri!

Kita mahu akal kita sejahtera dengan cara kita ikhlaskan ibadat kepada Allah s.w.t mengikut apa yang diajar oleh Allah dan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah melalui Sunnahnya, jika tidak ia memang akan celaru!

Carilah ilmu kepada orang yang benar-benar alim dalam ilmunya bukan yang menyeleweng!

Akal manusia ini jika tidak dipandu oleh wahyu maka ia akan sesat!

Powered by BetterDocs