View Categories

SURAH AS-SOFFAT : AYAT 11-21

\"\"

GOLONGAN KAFIR TETAP INGKAR KIAMAT, GAYA MEREKA MEMPERLI NABI S.A.W & ALLAH NYATAKAN KEBINASAAN MEREKA.

Full video : https://youtu.be/qUv3kHRAu3I

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah menerangkan tentang puak kafir yang rasa pelik dengan dakwah dan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w tentang kebangkitan semula, Hisab dan Pembalasan di Akhirat.
  2. Juga tentang Rasulullah s.a.w yang berasa pelik dan hairan dengan sikap puak kafir yang degil walaupun telah dibawa hujjah, dalil yang jelas dan banyak di depan mereka. Tetapi masih degil dan keras kepala, tidak mahu menerima kebenaran dakwah dan beriman.
  3. Yang pentingnya Allah s.w.t nyatakan akan kebinasaan mereka pada akhirnya.
  4. Munasabah ayat: Allah s.w.t mulakan surah ini dengan menyatakan perkara-perkara yang menunjukkan kepada Wahdaniyyah Keesaan Allah s.w.t. iaitu penciptaan langit dan bumi dan isi kandungannya, timur dan barat, Allah jadikan malaikat sebagai makhluk yang besar dan hebat, Allah jadikan bintang-bintang sebagai penghias langit dan pelontar syaitan.
  5. Setelah mantap hujjah tetapi masih ada manusia yang degil, maka Allah s.w.t bawa pula dalil tentang kebangkitan semula, tentang perhimpunan di Mahsyar, tentang keajaiaban orang yang tidak mahu terima, maka;
  6. Akhirnya Allah s.w.t suruh Nabi s.a.w bertanya kepada mereka dari ayat 11 ini, untuk menegakkan hujjah; Apakah diri mereka manusia yang kerdil dan lemah lebih susah untuk Allah ciptakan daripada makhluk lain yang lebih hebat dan besar penciptaannya???? Siapakah yang lebih kuat, Allah yang mencipta segalanya, atau makhluk lain yang lemah dan kerdil?

AYAT 11- {(SETELAH NYATA KEKUASAAN KAMI) MAKA BERTANYALAH (WAHAI MUHAMMAD) KEPADA MEREKA (YANG INGKARKAN HIDUPNYA SEMULA ORANG-ORANG MATI): ADAKAH DIRI MEREKA LEBIH SUKAR HENDAK DICIPTAKAN, ATAU MAKHLUK-MAKHLUK LAIN YANG KAMI TELAH CIPTAKAN? SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENCIPTA MEREKA DARI TANAH LIAT (YANG SENANG DIUBAH DAN DICIPTAKAN SEMULA).} (AS-SOFFAT 37:11)

  1. Ayat ini Allah s.w.t perintahkan supaya Rasulullah bertanya kepada puak kafir yang tidak percaya kepada hidup dan kebangkitan semula itu, yang tidak mahu beriman kepada Allah dan hari Akhirat.
  2. Apakah mereka yang lemah dan berasal kejadianya dari tanah dan air yang senang diubah dan dicipta semula lebih kuat dan susah untuk dicipta berbanding dengan makhluk lain yang lebih besar dan hebat? Yakni usul kejadian manusia pertama Nabi Adam a.s adalah daripada tanah liat.
  3. Ini kerana sebagaimana yang sudah dimaklumi bahawa sesuatu yang diperbuat daripada tanah itu mudah rosak dan hancur, lemah; seperti rumah daripada tanah liat yang senang runtuh dan cair.
  4. Maka janganlah kamu keras kepala dan sombong.

AYAT 12- {(PERTANYAAN ITU TIDAK JUGA BERFAEDAH KEPADA MEREKA) BAHKAN ENGKAU MERASA HAIRAN (TERHADAP KEINGKARAN MEREKA), DAN SEBALIKNYA MEREKA MENGEJEK-EJEK (PENERANGANMU).} (AS-SOFFAT 37:12)

  1. Pertanyaan tadi dan segala dalil yang dibawa tetap tidak memberi faedah kepada mereka sehinggakan Rasulullah s.a.w merasa pelik dan ajaib (عَجِبْتَ) dengan kedegilan dan keras kepala mereka.
  2. Bukan setakat ingkar, mereka mengejek-ejek, memerli dan mempermainkan segala hujjah, penerangan dan dakwah yang dibawa oleh Baginda s.a.w.
  3. Kata Syeikh Ibnu Atiyyah:
    i- Rasulullah s.a.w merasa pelik atas keingkaran mereka dan mereka kafir dengan hujjah yang dibawa olehnya.
    ii- mereka pula pelik dengan ayat-ayat al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w dan ajaran yang dibawanya, yang dianggap pelik dan bertentangan dengan ajaran tok nenek mereka dahulu.

AYAT 13- {DAN APABILA DIPERINGATKAN, MEREKA TETAP TIDAK MAHU MENERIMA PERINGATAN ITU.} (AS-SOFFAT 37:13)

  1. Apabila diberi peringatan dan amaran tentang kematian, bangkit semula, tetapi semuanya tetap ditolak, mereka kaum jafir tidak mahu menerima peringatan.
  2. Kata Ibnu Asyur tazkirah (ذُكِّرُوا) di sini bermaksud:
    i- Nabi peringatkan apa yang mereka lupa dari kuasa Allah.
    ii- kesan-kesan peninggalan orang dahulu yang telah dibinasakan.
  3. Tetapi malangnya tetap tidak memberi manfaat kepada golongan kafir itu! Kerana hanya orang yang beriman akan mendapat manfaat darinya.
  4. Orang yang Islam pun ramai yang lupa dan tetap melakukan dosa dan maksiat seperti riba dan rasuah seolah mereka terlupa akan hukumnya.

AYAT 14- {DAN APABILA MEREKA MELIHAT SESUATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN KAMI DAN KEBENARANMU), MEREKA MENCARI-CARI JALAN MEMPEROLOK-OLOKKANNYA,} (AS-SOFFAT 37:14)

  1. Apabila Allah s.w.t menyebut tentang mereka tidak dengar dan tidak terima peringatan dan nasihat yang diberi, dalam ayat ini dibawa pula hujjah dan peringatan yang dapat dilihat dengan nyata.
  2. Tetapi apabila mereka lihat dengan mata kepala yang nampak di depan mata, bukti kekuasaan Allah s.w.t melalui mukjizat yang diberi kepada Rasulullah, mereka tetap tidak percaya dan mencari-cari jalan untuk memperolok dan menolaknya lagi.

AYAT 15- {SERTA MEREKA BERKATA: \”INI TIDAK LAIN HANYALAH SIHIR YANG NYATA.} (AS-SAAFFAAT 37:15)

  1. Akhirnya mereka kata semua mukjizat itu tidak lain tidak bukan hanyalah sihir semata. Mereka tuduh Nabi s.a.w sebagai ahli sihir pula!
  2. Firman Allah s.w.t juga: {Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: \”Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata\”.} (Yunus 10:76)

AYAT 16- {\”ADAKAH SESUDAH KITA MATI SERTA MENJADI TANAH DAN TULANG, ADAKAH KITA AKAN DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA?} (AS-SAAFFAAT 37:16)

  1. Mereka tetap tidak percaya akan kebangkitan semula! Perli mereka lagi: Apakah manusia yang mati setelah hancur dan reput segala tulang menjadi tanah, akan hidup semula???

AYAT 17- {\”DAN ADAKAH JUGA DATUK NENEK KITA YANG TELAH LALU (AKAN DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA)?\”} (AS-SAAFFAAT 37:17)

  1. Begitu juga datuk nenek kita yang telah lama mati beratus tahun dulu, apakah akan kembali dihidupkan semula juga?
  2. Setelah segala perlian dan olokan ini Allah s.w.t perintahkan Rasulullah s.a.w agar menjawabnya! Jangan biarkan mereka terus dalam hujjah kebatilan mereka, ini kerana apabila orang yang tahu kebenaran diam, orang yang jahil akan menyangka mereka betul dan berada atas kebenaran.
  3. Tetapi tegurlah dengan cara beradab dan berhikmah, ikhlas kerana Allah s.w.t dan agama, supaya ianya sampai dan menusuk ke dalam hati mereka, mudah-mudahan memberi kesan.

AYAT 18- {AYAT 18- {JAWABLAH (WAHAI MUHAMMAD): \”YA, BENAR !(KAMU SEMUA AKAN DIBANGKITKAN) DENGAN KEADAAN HINA-DINA \”.} (AS-SAAFFAAT 37:18)

  1. Allah perintahkan: Katakan kepada mereka wahai Muhammad s.a.w!
  2. YA BENAR! Kamu semua akan dibangkitkan setelah mati, setelah kamu jadi tanah dan tulang kamu reput hancur lebur, bersama datuk nenek kamu, dalam keadaan hina-dina di akhirat kelak!
  3. Atas dunia dulu kamu sombong dan ingkar maka di hadapan Allah s.w.t nanti kamu akan dihina dan mendapat balasan yang setimpal.

AYAT 19- {(KEBANGKITAN INI MUDAH) KERANA SESUNGGUHNYA IA BOLEH BERLAKU HANYALAH DENGAN SUARA SAHAJA, MAKA DENGAN SERTA MEREKA SEMUANYA (BANGKIT) MELIHAT (APA YANG AKAN JADI).} (AS-SAAFFAAT 37:19)

  1. Sedangkan semua yang kamu rasa pelik dan sukar serta mustahil itu amat mudah bagi Allah s.w.t.
  2. Kerana sesungguhnya ia boleh berlaku hanya dengan satu jeritan suara sahaja (جْرَةٌ وَاحِدَةٌ). Yakni sekali Allah s.w.t arahkan kepada Israfil untuk meniup sangkakalanya, dengan satu tiupan pertama semuanya akan mati.
  3. Manakala dengan sekali tiupan (yang kedua) juga semua manusia akan hidup dan bangkit semula daripada kubur masing-masing, tidak ada manusia yang mati dan tidak hidup. Mereka akan melihat (هُمْ يَنْظُرُونَ) apa yang berlaku.
  4. Kata ulama\’ maksudnya melihat ini (يَنْظُرُونَ):
    i- mereka tengok di depan mata sendiri apa yang berlaku pada hari Kiamat itu.
    ii- apa yang mereka tunggu sudah sampai masa, daripada hukuman yang Allah s.w.t akan jatuhkan ke atas mereka.
    Kita orang beriman mahu lihat rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t.
  5. Hadis: Apabila semua manusia mati, Allah s.w.t akan menurunkan hujan renyai-renyai yang menumbuhkan kembali tubuh manusia.
    Sabda Rasulullah s.a.w: Kemudian Allah menurunkan air dari langit lalu menumbuhkan manusia seperti tumbuhan tanaman. Lalu Israfil meniup tiupan yang kedua lalu mereka semua bangkit keluar. Lalu malaikat pun berkata: Wahai manusia bangkitlah kamu berkumpul kepada Tuhan kamu, dan berdiri di sini, kamu akan ditanya! [HR Muslim].

AYAT 20- {DAN (PADA SAAT ITU) MEREKA BERKATA:\”WAHAI CELAKANYA KAMI, INI IALAH HARI BALASAN!\”} (AS-SAAFFAAT 37:20)

  1. Maka apabila tiba hari itu di depan mata mereka, barulah mereka menyesal dan takut. Mereka berkata, binasalah kami, celakalah kami, inilah hari pembalasan yang dijanjikan, sudah berlaku!
  2. Tetapi pada hari itu adalah hari yang tiada guna lagi penyesalan dan pengakuan, mereka akan dipersoalkan!

AYAT 21- {(LALU MALAIKAT BERKATA KEPADA MEREKA): \”INI IALAH HARI MEMUTUSKAN HUKUM UNTUK MEMBERI BALASAN YANG DAHULU KAMU MENDUSTAKANNYA\”.} (AS-SAAFFAAT 37:21)

  1. Lalu malaikat berkata kepada mereka: Inilah hari Pemutus Hukuman terhadap apa yang kamu dustakan, perli dan permainkan atas dunia dulu!
  2. Terimalah, apakah pembalasan yang akan diberikan Allah s.w.t kepada kamu atas apa yang kamu dustakan semuanya dulu!

Penutup/Beberapa Faedah Ringkas :

  1. Ayat 11- {( Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula).}- kata ulama\’ ayat ini menunjukkan bahawa makhluk yang dicipta daripada air dan tanah itu adalah lemah! Maka sepatutnyalah kita sentiasa sedar diri dan berfikir bahawa kita ini lemah, yang Maha berkuasanya adalah Allah s.w.t. Pencipta Yang Maha Agung, maka serahkanlah pergantungan kepada Allah sepenuhnya!
  2. Ayat 12-{(Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka), dan sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu).}- menjadi kewajipan kepada para pendakwah untuk bersabar atas karenah dan tentangan orang yang tidak percaya dan menerima. Apa yang penting kita yakin bahawa apa yang kita bawa ini benar dari Allah dan Sunnah Nabi s.a.w yang sahih. Maka jangan mudah koyak dengan perlawanan mereka, teruskan perjuangan.
    Juga takjub dan pelik dengan benda mungkar itu sudah dikira mengingkarinya!
  3. Ayat 18- {Ayat 18- {Jawablah (wahai Muhammad): \”Ya, benar! (Kamu semua akan dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina\”.}- Allah perintahkan Rasulullah s.a.w untuk bertegas dan menjawab dengan keras; {Ya benar! Kamu semua akan dibangkitkan dalam keadaan hina dina!} Dalam keadaan ini kita patut ke depan dan tegas dalam menyatakan kebenaran. Adakala kena diam dan tunggu dulu. Sirah dakwah itu ada pelbagai uslub dan method mengikut keperluan.
  4. Ayat 11- {(Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan? – ulama\’ kata sesiapa yang perhatikan kepada ayat ini akan mendapati bahawa tertib susunan ayat-ayatnya sangat mantap!
    i- Allah bawa dalil akal dulu untuk berfikir.
    ii- kemudian dalil melalui pendengaran, diberi peringatan dan nasihat
    iii- akhirnya dibawa dalil melalui penglihatan, yang dapat dilihat!
    Ayat-ayat ini sudah mencukupi sebagai dalil dan hujjah kepada para pendakwah untuk berdakwah dan menyampaikan ilmu dan maklumat kebenaran.
  5. Ayat 11- {(Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-orang mati): Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan, atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan?}- ayat ini juga sudah cukup sebagai dalil untuk menunjukkan kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t dalam mencipta makhluk-Nya. Ada yang besar ada yang kecil, semuanya tidak menjadi sesuatu yang sukar bagi Allah s.w.t.

Semoga kita menjadi manusia yang sentiasa terbuka pintu hati dan matanya untuk melihat dan menerima kebenaran.

Powered by BetterDocs