View Categories

SURAH AS-SOFFAT : AYAT 139-148

\"\"

KISAH NABI YUNUS A.S, LARI MENAIKI KAPAL DITELAN OLEH IKAN & KERANA DIA BANYAK BERTASBIH ALLAH SELAMATKANNYA.

Full video : https://youtu.be/Owvwm5afD5A

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita akan baca pula kisah Nabi Yunus a.s yang lari dari kaumnya yang enggan beriman.
  2. Nabi Yunus menaiki kapal kemudian terpaksa dicampak ke dalam laut, ditelan ikan, hidup dalam perut ikan buat beberapa lama.
  3. Kemudian kerana dia banyak bertasbih Allah s.w.t menyelamatkannya dan mengeluarkan semula dari perut ikan, tercampak ke pantai.
  4. Kisah ini menceritakan tentang Nabi Yunus yang diuji dengan kesabarannya serta bagaimana Allah mengangkat darjatnya dengan sebab dia seorang yang banyak berzikir dan bertasbih kepada Allah s.w.t semasa senangnya dulu.

AYAT 139- {DAN SESUNGGUHNYA NABI YUNUS ADALAH DARI RASUL-RASUL (KAMI) YANG DIUTUS.} (AS-SAAFFAAT 37:139)

  1. Allah menyatakan demi sesungguhnya bahawa nabi Yunus adalah salah seorang daripada rasul yang Allah s.w.t utuskan kepada kaumnya, di Ninawa, Mousil, Iraq.
  2. Allah s.w.t menyebut nama nabi Yunus dalam al-Quran sebanyak 4 kali:
    i- {Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya; dan Kami juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman; dan juga Kami telah memberikan kepada Nabi Daud: Kitab Zabur.} (An-Nisaa\’ 4:163)

ii- {Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).} (Al-An\’aam 6:86)

iii- {Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).} (Yunus 10:98)

iv- {Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.} (As-Saaffaat 37:139)

  1. Manakala dua kali Allah sebut dengan sifatnya yang berkait dengan ikan yang menelannya (tuan ikan/orang yang ditelan ikan) iaitu:
    i- {Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, (وَذَا النُّونِ) ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan.} (Al-Anbiyaa\’ 21:87)

ii- {Maka bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), dan janganlah engkau bersikap seperti orang yang telah ditelan oleh ikan (كَصَاحِبِ الْحُوتِ). (Ingatlah kisahnya) ketika ia berdoa merayu dengan keadaan sesak sebak terkurung dalam perut ikan.} (Al-Qalam 68:48)

  1. Nama penuhnya Yunus bin Matta, dari Ninawa, Iraq. Ceritanya sudah banyak disebut dalam surah lain di dalam al-Quran.
  2. Yunus ini adalah salah seorang rasul yang tidak mempunyai Kitab dan perundangan sendiri, dia ikut dan sambung Kitab dan ajaran Taurat yang dibawa oleh nabi Musa a.s.
  3. Kisah Yunus juga ada disebut dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w semasa pergi berdakwah ke Taif. Secara ringkasnya; apabila Baginda diusir oleh penduduk Taif, Rasulullah dan Zaid r.a yang menemaninya berehat di kebun anggur kepunyaan Utbah dan Syaibah, dari suku \’Abd Syams, keturunan Quraisy. Kebun itu dijaga oleh pembantu mereka Addas yang yang beragama Nasrani.

Addas kemudian mendekati Rasulullah dan menghulurkan setangkai anggur. Rasulullah memetik sebutir anggur dan mengucapkan terimakasih.

\”Bismillah (Dengan nama Allah),\” sabda Rasulullah sebelum memakan anggur tersebut.

Addas terkejut mendengar kalimat yang baru saja dilafazkan Rasulullah. Dia pun bertanya tentang kalimat tersebut, Rasulullah menerangkannya.

\”Dari negeri mana asalmu dan apa agamamu,\” tanya Rasulullah kepada Addas.

\”Aku seorang Nasrani dari penduduk Ninawa (Nineveh),\” jawab Addas.

\”Ninawa, kota tempat asal seorang hamba yang soleh, Yunus putra Matta,\” Sabda Rasulullah s.a.w.

Addas pun semakin kagum. Dia pun bertanya bagaimana Rasulullah tahu tentang Yunus bin Matta yang kemudian dijawab Rasulullah, \”Beliau (Yunus) adalah saudaraku, Beliau seorang nabi begitu pula aku.\”

Pemuda Nasrani itu pun memeluk dan mencium tangan serta kaki Rasulullah. Namun perbuatan Addas.itu tidak disukai majikannya, Utbah dan Syaibah.

Setelah rasa penat dan kesakitan hilang, Rasulullah dan Zaid pun meninggalkan kebun anggur itu dan kembali ke Makkah. [HR

Sebahagian ahli sejarah mengatakan bahawa pada akhirnya Addas memeluk Islam. Tempat bertemunya Rasulullah dengan Addas di Taif itu kini diabadikan dengan dibina sebuah masjid bernama Masjid Addas.

  1. Riwayat dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda, bahawa Allah s.w.t berfirman: \”Tidak selayaknya bagi seorang hamba Aku untuk berkata: Bahawa aku lebih baik daripada Yunus bin Matta.\” [HR Bukhari & Muslim].
  2. Ulama\’ berkata ada dua tafsiran dari hadis ini, iaitu:
    i- jangan sesiapa berkata dia lebih baik daripada Yunus kerana kononnya dia tidak lari seperti Yunus apabila berdakwah kepada kaumnya.

ii- Yunus itu Allah s.w.t beri ujian kepadanya dengan peristiwa tersebut kerana Allah s.w.t mahu ajar kepadanya kelebihan zikir ketika senang. Zikir itu akan menjadi satu saham, tawassulnya ketika dia susah.
Maka kita juga ambil pengajaran, jangan baru nak ingat untuk berzikir ketika susah sahaja.

  1. Hadis riwayat Ibnu Mas\’ud r.a pula: Rasulullah bersabda: \”Tidak sepatutnya bagi seorang antara kamu mengatakan bahawa aku (yakni Nabi s.a.w) lebih baik daripada Yunus bin Matta.\” [HR Bukhari].

Hadis ini pula dari sudut bahasa menunjukkan tawadhuknya Rasulullah s.a.w. Walaupun Baginda sebagai sayyidul-anbiya\’ pastilah lebih tinggi kedudukannya daripada rasul dan nabi lain, tetapi Baginda s.a.w tidak suka dibuat bandingan dengan Nabi Yunus yang diuji, jangan pula kita mengejinya!

AYAT 140- {(INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA IA MELARIKAN DIRI KE KAPAL YANG PENUH SARAT.} (AS-SAAFFAAT 37:140)

  1. Ingatlah peristiwa apabila Nabi Yunus a.s ini melarikan dirinya (فَسَاهَمَ) meninggalkan kaumnya.
  2. Ulama\’ berbeza pendapat bilakah masa kerasulan Yunus dan ke manakah Yunus diutuskan kepada kaumnya itu?
  3. Said bin Jubair meriwayatkan pendapat dari Ibnu Abbas r.a: Bahawa nabi Yunus ini diberi risalah kenabiannya selepas dia keluar dari perut ikan.
    Ini berdasarkan firman Allah s.w.t ayat 145, 146 & 147 di bawah ini bahawa selepas Allah s.w.t campakkan dia keluar dari perut ikan dalam keadaan lemah, Allah tumbuhkan pokok sebagai teduhan untuknya, kemudian Allah s.w.t katakan: {Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.}
    *Maka ayat ini menunjukkan tertib bahawa dia diutus selepas dia keluar dari perut ikan.
  4. Tetapi ulama\’ tafsir lain tidak menerima pendapat ini. Mereka mengatakan Yunus telah dilantik menjadi nabi dan rasul sebelum itu lagi, sebelum dia lari.
    Dalilnya firman Allah s.w.t sebelum menceritakan semua kejadian itu, Allah telah katakan: Ayat 139- {Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.}
    Kemudian ayat seterusnya menceritakan bagaimana dia lari, naik kapal, ditelan ikan dan seterusnya. Jadi Yunus telah melakukan kesalahan, sepatutnya dia minta izin dulu dari Allah s.w.t sebelum meningalkan kaumnya.
  5. Jadi kita boleh terima dan jamakkan dua pendapat ini, bahawa Yunus a.s telah dilantik menjadi rasul sebelum dia lari lagi, tetapi selepas itu Allah mengampunkannya dan mengangkat darjatnya lagi, diutuskan kepada kaum yang lebih ramai maka lagi besar dan jawatannya.
  6. Kenapa nabi Yunus ini lari?
    Kita kena tahu kenapa, kata Ibnu Juzai rhm. dalam tafsirnya:
    Allah mengutus Nabi Yunus a.s kepada penduduk Ninawa di bumi Muosil (Iraq). Nabi Yunus menyeru mereka agar beribadah hanya kepada Allah s.w.t namun mereka mendustakannya.
    Keadaan ini berlaku sekian lama sehingga Nabi Yunus marah dan meninggalkan mereka dengan ancaman akan datang azab kepada mereka setelah tiga malam berlalu.

Setelah Nabi Yunus keluar dari kalangan mereka, mereka menyaksikan kebenaran turunnya azab kepada mereka sehingga Allah meletakkan dalam hati mereka rasa untuk bertaubat dan kembali kepada Allah.
Mereka lembut hati dan insaf lalu bertaubat kepada Allah s.w.t sehingga Allah s.w.t tidak jadi menurunkan azab.

Inilah uniknya, kaum Nabi Yunus a.s. satu-satunya kaum yang tidak diazab oleh Allah dan Allah telah mengampunkan dosa mereka. Yunus pun melarikan diri kerana takut mereka akan menuduhnya pendusta pula!

  1. Nabi Yunus telah membuat keputusan meninggalkan kaumnya dan lari menaiki sebuah kapal yang penuh sarat dengan muatan orang.
  2. Dalam peristiwa ini, diceritakan tentang bagaimana kapal yang sarat itu, tiba-tiba berlakunya kejadian yang tidak diduga iaitu kapal terumbang-ambing, serta datang guruh dan ombak bergelombang dengan kuatnya.
  3. Mereka yang berada di atas kapal telah membuat keputusan untuk membuang barang-barang terlebih dahulu. Selepas barang tersebut dibuang, keadaan kapal masih lagi tidak aman malah terus berada di dalam keadaan terumbang-ambing seperti ingin pecah.
  4. Lalu mereka ambil keputusan untuk membuang/menyingkir penumpang pula!

AYAT 141- {(DENGAN SATU KEADAAN YANG MEMAKSA) MAKA DIA PUN TURUT MENGUNDI, LALU MENJADILAH IA DARI ORANG-ORANG YANG KALAH YANG DIGELUNSURKAN (KE LAUT).} (AS-SAAFFAAT 37:141)

  1. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk melakukan penyingkiran melalui undian. Mereka telah menyenaraikan semua nama penumpang dan membuat cabutan undi dan nabi Yunus pun turut menyertainya.
  2. Setelah dilakukan cabutan undian keluar nama nabi Yunus. Undian kedua dan ketiga juga berlaku perkara yang sama.
    Akhirnya, dengan pasrah dan tawakal kepada Allah, Nabi Yunus a.s. pun terjun ke dalam laut.
  3. Di laut manakah peristiwa ini berlaku? Allah s.w.t tidak menyebutnya di dalam al-Quran tetapi ada ulama\’ yang menyatakan pandangannya.
  4. Kata Ibnu Asyur rhm.- Laut ini dikatakan adalah Laut Mediterranean yang dipangil oleh orang Arab sebagai – البحر الأبيض المتوسط/ بَحْرَ الرُّومِ (Laut Putih Tengah atau Laut Rom), ini kerana ia terletak ditengah daratan atau benua, ia bukan sungat tetapi laut.

AYAT 142- {SETELAH ITU IA DITELAN OLEH IKAN BESAR, SEDANG IA BERHAK DITEMPELAK.} (AS-SAAFFAAT 37:142)}

  1. Apabila Nuh mencampakkan dirinya ke dalam laut, sudah ada penunggunya.
  2. Allah s.w.t lalu mengutus seekor ikan besar (الْحُوتِ) yang bernama ikan Nun (النُّونِ), lalu menelannya.
  3. Nabi Yunus ditempelak oleh Allah s.w.t kerana dia telah melaikan diri meninggalakan kaumnya yang menentangnya tanpa mendapat keizinan dari Allah s.w.t. Maka dia dicela, ditempelak (وَهُوَ مُلِيمٌ).
  4. Yakni Allah s.w.t ambil tindakan ke atasnya bukan kerana Allah zalim kepadanya tetapi dia yang telah menzalimi dirinya sendiri.

AYAT 143- {MAKA KALAULAH IA BUKAN DARI ORANG-ORANG YANG SENTIASA MENGINGATI ALLAH (DENGAN ZIKIR DAN TASBIH)} (AS-SAAFFAAT 37:143)

  1. Setelah berada di dalam perut ikan, Nabi Yunus tidak panik, dia sentiasa merayu kepada Allah, terus berzikir dan bertasbih mengingati Allah s.w.t. ada juga ulama\’ kata dia bersolat.
  2. Yakni kita jamakkan bahawa Yunus terus beribadat kepada Allah s.w.t walaupun berada dalam perut ikan, dia berzikir, bertasbih, bersolat, bertaubat dan berdoa meminta ampun kepada Allah s.w.t.
  3. Antara bacaan nabi Yunus semasa dalam perut ikan itu:
    لَّآ اِلٰهَ اِلَّآ اَنْتَ سُبْحٰنَكَ اِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظّٰلِمِيْنَ –
    \”Tidak ada tuhan selain Engkau, Mahasuci Engkau. Sungguh, aku termasuk orang-orang yang zalim.\”
  4. Ayat ini menjadi dalil kepada kelebihan bertasbih dan hikmah mengingati kepada Allah s.w.t ketika susah dan senang.
  5. Dari Ibnu Abbas r.a, sabda Rasulullah s.a.w: \”Ingatlah Allah di waktu engkau dalam keadaan senang, nescaya Dia (Allah) akan mengingatmu di waktu engkau mengalami kesusahan.\” (HR Ahmad dan lain-lain.).
  6. Kata ulama\’ tafsir: Jika kamu ingat kepada Allah s.w.t ketika senang, Allah s.w.t akan ingat dan tolong kamu ketika susah.

i- Nabi Yunus a.s seorang hamba Allah yang soleh, sentiasa berzikir dan ingat kepada Allah s.w.t maka ketika dia susah dan masuk dalam perut ikan, Allah ingat dan tolongnya ketika dia dalam kesusahan.

ii- manakala Firaun pula seorang hamba yang taghut, angkuh dan sombong, dia tidak pernah berzikir kepada Allah s.w.t. Apabila masuk tenggelam di dalam laut dia berkata: Aku beriman kepada Allah s.w.t. Allah kata: Sekarang baru kamu nak beriman? Maka datang ombak terus menelannya lalu binasalah Firaun yang angkuh.

AYAT 144- {TENTULAH IA AKAN TINGGAL DI DALAM PERUT IKAN ITU HINGGA KE HARI MANUSIA DIBANGKITKAN KELUAR DARI KUBUR.} (AS-SAAFFAAT 37:144)

  1. Allah s.w.t berkata jika Yunus ini tidak ingat kepada Allah. tidak berzikir dan bertasbih kepada Allah, nescaya dia tidak akan selamat dan mati begitu sahaja.
  2. Dia akan berada dalam perut ikan itu sehingga hari manusia semua dibangkitkan dari kubur, iaitu hari Kiamat. Yakni perut ikan akan menjadi kuburnya sehingga Kiamat.
  3. Lalu dengan sebab dia seorang hamba Allah yang sentiasa ingat kepada Allah dan berzikir, Allah s.w.t perintahkan kepada ikan itu untuk muntahkan keluar dia balik dari perutnya.

AYAT 145- {OLEH ITU KAMI CAMPAKKAN DIA KELUAR (DARI PERUT IKAN) KE TANAH YANG TANDUS (DI TEPI PANTAI), SEDANG IA BERKEADAAN SAKIT.} (AS-SAAFFAAT 37:145)

  1. Yunus dicampakkan keluar ke tepi pantai yang tandus, dalam keadaan lemah dan lembik. Ini kerana keadaan dalam perut ikan pastilah gelap, tiada cahaya dan udara yang mencukupi. Juga tiada makanan dan minuman yang sesuai.
  2. Berapa lama tempohnya Yunus berada dalam perut ikan, wallahu a\’lam. Allah s.w.t tidak menyebutnya, maka tidak perlulah kita mengorek mencarinya.

AYAT 146- {DAN KAMI TUMBUHKAN (UNTUK MELINDUNGINYA) SEBATANG POKOK YANG BERDAUN LEBAR. (AS-SAAFFAAT 37:146)

  1. Lalu Allah s.w.t tumbuhkan satu pokok yang berdaun lebar untuk memberi bayang dan perlindungan kepada Nabi Yunus.
  2. Ada ulama\’ kata pokok ini adalah pokok labu (يَقْطِينٍ) yang batangnya menjalar, daunnya lebar dan dapat memberi bayangan dan menjauhkan lalat daripada datang menghurungi Yunus yang sedang lemah.
  3. Semua ini untuk menjadi sebab, boleh saja Allah bawa awan untuk memberi bayang dan lain-lain.

AYAT 147- {DAN (NABI YUNUS YANG TERSEBUT KISAHNYA ITU) KAMI UTUSKAN KEPADA (KAUMNYA YANG SERAMAI) SERATUS RIBU ATAU LEBIH. (AS-SAAFFAAT 37:147)

  1. Inilah kisah nabi Yunus yang diutuskan kepada kaumnya yang seramai 100, 000 atau lebih itu.
  2. Cuma ulama\’ berbeza pandangan adakah dia kembali semula ke kampung asalnya di Ninawa atau ke tempat kaum lain. Ini juga tidak disebut, apa yang penting dia berdakwah kepada 100 ribu orang lebih daripada kaum itu dan mereka semuanya beriman. Kaum mana wallahu a\’lam.

AYAT 148- {(SETELAH BERLAKU APA YANG BERLAKU) MAKA MEREKA PUN BERIMAN, LALU KAMI BIARKAN MEREKA MENIKMATI KESENANGAN HIDUP HINGGA KE SUATU MASA (YANG DITETAPKAN BAGI MASING-MASING).} (AS-SAAFFAAT 37:148)

  1. Setelah kejadian ini, mereka itu (kaum yang 100 ribu lebih itu) beriman kepada Yunus a.s.
  2. Lalu Allah s.w.t memberikan kepada mereka nikmat dan kesenangan hidup sehingga ke suatu tempoh yang telah ditetapkan bagi mereka.
  3. Inilah antara keistimewaan kaum Yunus yang Allah s.w.t tarik balik dari azab daripada mereka. Kaum lain jika Allah sudah janjikan azab, akan datang dengan sebenarnya.
  4. Maka jangan mudah-mudah kita buat ramalan, tentang akhir zaman, Kiamat, imam Mahdi dan lain-lain.
  5. Inilah kisah nabi Yunus secara ringkas, episod lain telah ada dalam surah-surah lain.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 139- {Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus.}- Allah sebut kisah nabi Yunus untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w. Juga sebagai satu peringatan dan pengajaran kepada para pendakwah agar jangan mudah lemah dan putus asa dalam berdakwah dan menyampaikan kebenaran. Jangan lari walaupun berat setara mana risalah dan dakwah yang kamu bawa.

Ayat ini menunjukkan walaupun seseorang itu nabi, tetapi boleh jadi ada juga sesuatu perkara atau tindakan yang yang dia tersilap buat.

  1. Ayat 141- {(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi,}- dalil bahawa harus kita buat undian jika sudah tidak ada cara atau pilihan lain atau kita tidak boleh membuat keputusan yang tepat. Syari\’ah atau perundangan orang terdahulu yang tidak bercanggah dengan Islam boleh diikuti.
    Sebagaimana Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan para isterinya apabila mahu keluar bermusafir.

Ibnu Asyur rhm. kata: Tetapi ia bukan menunjukkan satu kemestian atau keharusan untuk membuat undi dalam semua hal. Ini kerana kita tidak tahu bagaimana keadaan mereka pada masa itu.

  1. Ayat 142- {Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.}- dalam ayat ini Allah s.w.t ajar jika kita nak ambil tindakan atau hukuman ke atas seseorang, kita kena nyatakan sebab atau keuzurannya. Bukan Allah s.w.t mahu menzaliminya tetapi kerana dia memang berhak ditempelak atau dihukum.

Contoh; Boleh kita boikot tidak pergi ke majlis rumah orang yang tidak mahu hadir solat jemaah ke masjid tanpa sebab yang munasabah daru segi Syara\’.

Sebab kedua Nabi Yunus banyak bertasbih maka Allah s.w.t selamatkan dia dan campakkan smeula dia ke daratan.

  1. Ayat 146- {Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar.}- dalam kehidupan seseorang manusia, sebab yang zahir dapat memberi kesan.
    Jadi dalam kes Yunus ini Allah s.w.t tumbuhkan pokok sebagai satu sebab untuk memberi perlindungan kepadanya. Daunnya yang lebar dapat memberi bayang yang teduh, menjauhkan lalat dan lain-lain faedah kepada nabi Yunus.

Allah s.w.t itu Maha Berkuasa Dia akan berbuat apa Yang dikehendaki-Nya. Pokok itu sebagai satu sebab zahir yang memberi kesan kepada kehiduapan manusia, ini dibolehkan. Ini bukan sebab secara batin atau ghaib (ramalan dan nujum), itu salah dan khurafat.

  1. Ayat 147- {Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.- Yunus kemudiannya diutus untuk berdakwah kepada kaum yang lebih ramai lagi.
    Allah s.w.t menyebut bilangan angka kaum itu, ini adalah seolah satu rekod bilangan penduduk. Menunjukkan betapa detail dan luasnya ilmu dalam al-Quran, ilmu tentang statistik bilangan daftar penduduk pun ada disebut.

Tamatlah episod kisah ENAM orang rasul dalam surah ini.

Powered by BetterDocs