View Categories

SURAH AS-SOFFAT : AYAT 171-182

\"\"

PENDOKONG AGAMA ALLAH PASTI MENANG, BALA DATANG WAKTU PAGI & BACAAN AKHIRI DOA.

Full video : https://youtu.be/nd8d92ldOa4

MUQADDIMAH :

  1. Ini adalah siri yang terakhir bagi pengajian surah As-Soffat ini dari ayat 171-182.
  2. Kita akhiri pengembaraan dalam surah ini dengan janji Allah bahawa Dia akan memberi pertolongan kepada hamba-Nya yang beriman, yang ikhlas beramal dan berjuang menegakkan agama Allah s.w.t dia atas dunia ini.
  3. Munasabah susunan ayat; Allah s.w.t setelah memberi amaran kepada puak kafir dalam ayat sebelum ini, mereka yang mengingkari dan mendustakan al-Quran setelah ia turun. Allah memberi amaran keras bahawa sesiapa yang menentang Nabi akan binasa, tidak binasa di dunia di Akhirat kelak.
  4. Ayat ini memberi ketenangan kepada Rasulullah s.a.w. walaupun Baginda ditentang, dilawan, didustakan, dituduh dan dikhianati, jangan sedih dan bimbang, sesungguhnya kamu orang yang beriman akan menjadi golongan yang diberi pertolongan oleh Allah s.w.t.

AYAT 171- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA! TELAH ADA SEMENJAK DAHULU LAGI, KETETAPAN KAMI, BAGI HAMBA-HAMBA KAMI YANG DIUTUS MENJADI RASUL.} (AS-SAAFFAAT 37:171)

  1. Allah memberi jaminan bahawa telah menjadi ketetapannya semenjak dulu bagi hanba-hamba-Nya yang diutus menjadi rasul dan menghadapi tentangan.
  2. Ulama\’ membincangkan tentang maksud perkataan ketetapan kami (كَلِمَتُنَا) ataupun janji Allah kepada rasul-Nya bahawa mereka akan menang.
  3. Ulama\’ kata maksudnya seperti dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Allah telah menetapkan: \”Sesungguhnya Aku dan Rasul-rasulKu tetap mengalahkan (golongan yang menentang)\”. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha kuasa.} (Al-Mujaadalah 58:21)
  4. Pendapat kedua adalah melalui Ayat 172 & 173 dalam surah ini dibawah.
  5. Maknanya telah berlaku ketetapan dan hukum dalam Ummul Kitab dan Lauh Mahfuz bahawa golongan yang beriman dan ikhlas akan menang.
    Cuma dia tidak datang dengan sekelip mata, Allah s.w.t mahu angkat darjat orang beriman maka dihadapkan dengan sunnah pertembungan atau jihad.
  6. Kata ahli Sejarah, jarak antara doa Nabi Musa a.s agar Firaun dibinasakan sehingga Firaun tenggelam dalam laut adalah dalam tempoh 40 tahun.
  7. Maka sabarlah para pendakwah jangan gopoh, jangan mudah kecewa, teruskan perjuangan menegakkan kebenaran, jangan rasa Allah s.w.t tidak dengar doa kita, insya\’ Allah pertolongan Allah s.w.t akan datang.

AYAT 172- {BAHAWA SESUNGGUHNYA MEREKALAH ORANG-ORANG YANG DIBERIKAN PERTOLONGAN MENCAPAI KEMENANGAN.} (AS-SAAFFAAT 37:172)

  1. Sesungguhnya orang yang beriman akan diberi pertolongan samada di dunia atau di akhirat. Hatta walaupun di akhir pusingan perjuangan dan pertembungan, sabarlah cabaran mesti datang dan dilalui. Tiada perjuangan tanpa cabaran dan perlawanan.
  2. Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat).} (Ghaafir 40:51)
  3. Apa yang penting kita buat kerja untuk Islam, berdakwah kepada Sunnah, orang terima alhamdulillah, orang tolak dan lawan kita tetap lawan, kita teruskan berjuang, jangan mudah kecewa, mudah rasa susah dan mahukan kemenangan yang segera!

AYAT 173- {DAN BAHAWASANYA TENTERA KAMI (PENGIKUT-PENGIKUT RASUL), MEREKALAH ORANG-ORANG YANG MENGALAHKAN (GOLONGAN YANG MENENTANG KEBENARAN).} (AS-SAAFFAAT 37:173)

  1. Bahawasanya tentera Islam yang beriman mengikut Rasulullah s.a.w itu adalah orang-orang yang akan mengalahkan golongan kafir yang menentang kebenaran.
  2. Kata ulama\’ tafsir maksudnya tentera kami (جُنْدَنَا) itu ialah para nabi dan rasul serta para pengikutnya!
  3. Tentera Islam ada 5 sayap/battalion;
    -kepala, sayap kiri & kanan, qalb- jantung di tengah dan ekor di belakang sekali.

AYAT 174- {OLEH ITU BERPALINGLAH (WAHAI MUHAMMAD) DARI MEREKA, (JANGAN HIRAUKAN CELAAN MEREKA SERTA BERSABARLAH) HINGGA KE SUATU MASA.} (AS-SAAFFAAT 37:174)

  1. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w agar bersabar jangan hiraukan celaan mereka, tunggulah sehingga suatu masa Allah s.w.t akan datangkan pembalasannya.
  2. Berpaling, tinggalkan yakni jangan hiraukan dengan keranah mereka sehingga beberapa ketika yang ditentukan oleh Allah s.w.t.
  3. Ada ulama\’ kata ia adalah sehingga hari peperangan Badar.
    Selepas Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, maka pada tahun Kedua Hijrah, berlakulah perang Badar, berlaku pertambungan antara Rasulullah s.a.w dan tentera pimpinan Abu Jahal.
    Abu Jahal terbunuh dan dicampakkan ke dalam telaga di Badar bersama kuncu-kuncunya yang lain yang turut terbunuh.
    Rasulullah s.a.w dan umat Islam mendapat kemenangan pertama.
  4. Ada juga ulama\’ kata tempohnya sehingga berlaku Pembukaan Kota Makkah pada tahun Kelapah Hijrah. Pada masa itu manusia berduyun-duyun masuk Islam.
  5. Ini sebelum turun ayat perang, bila dah ada arahan untuk berperang maka lawan tetap lawan.

AYAT 175- {DAN LIHAT (APA YANG AKAN MENIMPA) MEREKA; TIDAK LAMA KEMUDIAN MEREKA AKAN MELIHAT (KEMENANGAN YANG TELAH KAMI TETAPKAN UNTUKMU).} (AS-SAAFFAAT 37:175)

  1. Lihatlah apa yang telah menimpa ke atas kaum musyrikin sebelum ini.
    Kekalahan pertama kaum kafir Quraisy dalam peperangan Badar adalah satu amaran dan peringatan, barulah mereka buka mata.
  2. Juga semasa Pembukaan Kota Makkah, Abu Sufyan yang menjadi pemimpin Makkah masa itu mengakui kebesaran dan kekuatan kerajaan pimpinan Muhammad s.a.w. Lalu dia menyerah kota Makkah dan dirinya kepada Islam.

AYAT 176- {MAKA TIDAKLAH PATUT MEREKA MEMINTA DISEGERAKAN AZAB (YANG TELAH DITETAPKAN OLEH) KAMI!} (AS-SAAFFAAT 37:176)

  1. Jika puak kafir itu tahu dan percaya, mereka tidak akan meminta disegerakan azab, mereka berani kerana mereka tidak percaya dan yakin bahawa Rasulullah s.a.w dan pengikutnya akan mendapat kemenangan.
  2. Dengan strategi pasukan tentera dan pertolongan Allah s.w.t Rasulullah dan kaum mukmin mencapai kejayaan!

AYAT 177- {KERANA APABILA AZAB ITU TURUN DALAM DAERAH DAN KAWASAN MEREKA, SUDAH TENTU BURUKLAH HARI ORANG-ORANG YANG TIDAK MENGINDAHKAN AMARAN YANG TELAH DIBERIKAN.} (AS-SAAFFAAT 37:177)

  1. Apabila azab itu turun pada sesuatu tempat, itu adalah hari yang paling buruk bagi mereka yang tidak mengendahkan amaran dan peringatan sebelum ini!
    Azab itu biasanya turun pada waktu pagi.
  2. Hadis dari Anas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w sampai di Khaibar (200km dari Madinah) pada waktu malam. Ini pada tahun ke-7H. Tetapi Baginda tidak terus menyerangnya tetapi tunggu sehingga masuk waktu subuh.
    Islam akan beri 3 pilihan untuk berunding; Masuk Islam, hidup di bawah pemerintahn Islam tetapi tidak masuk Islam atau mahu lawan dan berperang!

Begitulah Rasulullah s.a.w setiap kali memerangi suatu kaum, Baginda tidak pernah menyerang kecuali menunggu pagi datang.
Jika mendengar azan, ia akan menahan serangan, dan ketika sudah tidak mendengarnya, ia akan menyerang.
Rasulullah s.a.w bermalam di perbatasan wilayah Khaibar sebelum kemudian memasuki kota tersebut.
Pada pagi harinya, Rasulullah melihat para petani Khaibar berangkat ke tanah pertanian mereka masing-masing sambil membawa peralatan pertanian mereka.
Ketika melihat Rasulullah, mereka berteriak, \”Muhammad dan pasukannya!\” dan langsung melarikan diri.
Mereka takut Rasulullah dan semua umat Islam membunuh para petani Khaibar. Padahal, Rasulullah tidak akan memerangi suatu kaum jika mereka tidak memerangi ajaran Islam.
Melihat reaksi penduduk Khaibar itu, Rasulullah berseru kepada para sahabat,
اللَّهُ أَكْبَرُ، خَرِبَتْ خَيْبَرُ، إِنَّا إِذَا نَزَلْنَا بِسَاحَةِ قَوْمٍ فَسَاءَ صَبَاحُ الْمُنْذَرِينَ
Ertinya, \”Allah Maha Besar! Hancurlah Khaibar! Jika kita masuk ke wilayah mereka, pagi ini pasti akan menjadi pagi yang buruk bagi orang-orang yang telah diberi peringatan itu.\” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Dalam kes yahudi Khaibar ini mereka mahu lawan, maka binasalah mereka, kaum lelaki dibunuh, harta dirampas, wanita dan kanak-kanak menjadi tawanan perang.
    Ini termasuklah Sofiyyah binti Huyai al-Akhtab, anak ketua yahudi Khaibar, yang akhirnya mejadi salah seorang Ummul-Mukminin, isteri kepada Rasulullah s.a.w.

AYAT 178- {DAN BERPALINGLAH (WAHAI MUHAMMAD) DARI MEREKA, (JANGAN HIRAUKAN CELAAN MEREKA SERTA BERSABARLAH) HINGGA KE SUATU MASA.} (AS-SAAFFAAT 37:178)

  1. Allah s.w.t ulang sekali menyuruh Rasulullah s.a.w bersabar, berpaling dari mereka, yakni jangan hiraukan mereka buat beberapa ketika.
    Ambil tempoh bertenang dan membina kekuatan.

AYAT 179- {DAN LIHATLAH (APA YANG AKAN JADI); TIDAK LAMA KEMUDIAN, MEREKA PUN AKAN MELIHAT JUGA.} (AS-SAAFFAAT 37:179)

  1. Di mana akhirnya mereka akan lihat apa yang akan terjadi iaitu kemenangan Rasulullah s.a.w dan kaum Islam.
  2. Pertama dalam Perang Badar, berapa ramai pemuka besar Quraisy yang terbunuh, kemudian penawanan Kota Khaibar, kubu yahudi yang besar dan kuat kahirnya jatuh ke tangan orang Islam.

AYAT 180- {AKUILAH KESUCIAN TUHANMU, – TUHAN YANG MEMPUNYAI KEAGUNGAN DAN KEKUASAAN, – DARI APA YANG MEREKA KATAKAN!} (AS-SAAFFAAT 37:180)

  1. Segala puji hanya bagi Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa.
  2. Allah s.w.t membersihkan dirinya daripada sebarang perkara yang tidak layak kepadanya, dari apa yang dikatakan oleh puak kafir dan musyrikin.
  3. Munasabah ayat ini Allah s.w.t bersihkan dirinya setelah pelbagai tuduhan jahat dan tohmahan puak kafir ke atas-Nya.
    Maka wajib juga ke atas kita untuk sucikan dan bersihkan Allah s.w.t dari segala tuduhan jahat itu.

AYAT 181- DAN (UCAPLAH) SALAM SEJAHTERA KEPADA SEKALIAN RASUL.} (AS-SAAFFAAT 37:181)

  1. Ucapkanlah salam sejahtera ke atas semua para rasul yang telah berjuang, menjalankan tugas, tanggung-jawab, amanah dan bimbingan dakwahnya kepada manusia. Tunjukkan jalan apa yang patut bagi mereka agar tidak tersesat dan terpesong.

AYAT 182- {SERTA (INGATLAH BAHAWA) SEGALA PUJI TERTENTU BAGI ALLAH, TUHAN YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN SELURUH ALAM.} (AS-SAAFFAAT 37:182)

  1. Segala puji bagi Allah juga, Tuhan yang menjaga, memelihara dan mentadbir seluruh alam ini!
  2. Maka lengkaplah segala pujian dan tasbih pembersihan kepada Allah s.w.t. Kita wajib puji dan sayang Allah s.w.t setiap waktu.
  3. Tetapi untuk manusia jangan kita memuji didepan-depannya. Boleh membawa keburukan dan penyakit hati.

Penutup/Beberapa Faedah Ringkas :

  1. Ayat 172- {Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan.}- bahawa para rasul dan orang mukmin itu telah diberi pertolongan oleh Allah s.w.t samada dengan hujjah atau secara fizikal dengan senjata.
    Ayat ini memberi khabar gembira kepada tentera Allah s.w.t iaitu orang yang beriman dan ikhlas berjuang kerana Allah s.w.t.
    Ayat ini juga memberi amaran bahawa orang yang menentang Islam akan kalah, tidak di dunia di Akhirat kelak.
  2. Ayat 172- {Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan.}- Allah s.w.t kata tentera Kami yang menang. Bagaimana kita mahu kaitkan dengan realiti?
    Dalam perang Badar, tentera Islam menang, dalam Uhud ramai tentera Islam yang syahid, yakni ada menang dan kalah.

Ulama\’ kata maksudnya ada beberapa penjelasan:
i- kemenangan itu akan datang kepada Rasulullah dan pengikutnya pada pusingan akhirnya, di tengah-tengah semasa dalam perjalanan itu diberi ujian. Seperti mana selepas Pembukaan Makkah kosong ia daripada orang kafir.

ii- ada juga kata ia menunjukkan kepada kebanyakkan orang muslim yang menang, ada juga sekali-sekala diberi ujian dengan kekalahan.

iii- pertolongan yang total adalah di Akhirat, di dunia ini adalah tempat ujian dan kesabaran. Untuk diberi pahala kepada para syuhada\’ dan pejuang.

iv- maksudnya kemenangan ini adalah menang dengan hujjah dan dalil kenyataan.

  1. Ayat 177- {Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan.}- ayat ini memberi peringatan bahawa apabila datang azab baru nak beriman tidak akan diterima lagi.

Firman Allah s.w.t: {Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata: \”Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik\”. Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami, tidak berguna lagi kepada mereka; yang demikian adalah menurut \”Sunnatullah\” (undang-undang peraturan Allah) yang telah berlaku kepada hamba-hambaNya. Dan pada saat itu rugilah orang-orang yang kufur ingkar.} (Ghaafir: 84-85)

Sebagaimana Firaun yang mahu berimam apabila sudah lemas di dalam laut, atau manusia biasa apabila melihat malaikat maut, yakni apabila nazak, pintu taubat sudah tertutup, tiada guna lagi keinsafan dan taubat.

  1. Ayat 177- {Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak mengindahkan amaran yang telah diberikan.}- ayat ini menjadi dalil bahawa Allah s.w.t tidak akan membinasakan mana-mana umat kecuali setelah datangnya rasul, keterangan dan hujjah! Lawan juga barulah akan dikenakan balasan, selepas diberi masa yang panjang dan cukup untuk berfikir, ambil pengajaran dan iktibar!
    Lawan juga maka mereka akan mati!
  2. Ayat 180 & Ayat 182- Kita kena sentiasa memuji dan memuja Allah s.w.t, membersihkannya dari segala sifat yang tidak baik, dari segala kekurangan. Teruskan beriman dengan ayat Allah s.w.t sebagaimana yang ditafsir dan dijelaskan oleh para ulama\’ salafus-soleh sebelum kita, jangan terpesong dengan golongan yang memesongkan ayat Allah s.w.t. menafsirkannya mengikut kehendak mereka.

Elok bagi orang yang berdoa untuk baca di akhir doanya ayat-ayat ini sebagai penutup doa.

Alhamdulillah tamatlah surah kita ini dengan tafsiran secara ringkas.
Ya Allah jadikanlah kami pencinta al-Quran, membenci segala maksiat dan kemungkaran, pengamal Sunnah Nabi-Mu s.a.w dan istiqomah dalam melakukan kebaikan dan amal ibadat.

Powered by BetterDocs