SURAH AS-SOFFAT : AYAT 22-34

\"\"

KEADAAN ORANG ZALIM DI AKHIRAT, MEREKA MENGHADAPI PERBICARAAN & BERKELAHI SESAMA KAFIR.

Full video : https://youtu.be/LYfmpfA-70o

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah perbincangan tentang orang yang zalim iaitu zalim yang paling besar ialah dari segi akidah iaitu puak musyrikin dan kafir yang menzalimi diri sendiri.
  2. Kemudian yang zalim sesama manusia juga adalah berdosa dan haram.
  3. Kemudian tentang puak kafir yang berkelahi sesama mereka di Akhirat kelak pada saat menghadapai perbicaraan dan hukuman.
  4. Surah as-Soffat ini ayatnya pendek-pendek dan bekisar tentang azab neraka dan pembalasan, tidak perlu kepada huraian yang panjang, yang penting keinsafan dan pengajaran yang kita dapat kutip!

AYAT 22- {(ALLAH BERFIRMAN KEPADA MALAIKAT): \”HIMPUNKANLAH ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU, DAN ORANG-ORANG YANG BERKEADAAN SEPERTI MEREKA, SERTA BENDA-BENDA YANG MEREKA SEMBAH}\” (AS-SAAFFAAT 37:22)

  1. Allah s.w.t memerintahkan malaikat untuk menghimpun dan mengumpulkan golongan yang zalim itu, bersama pasangan/golongan yang seperti mereka juga (وَأَزْوَاجَهُمْ) serta semua benda-benda yang mereka sembah semasa di dunia dulu.
  2. Inilah keadaan orang kafir yang keras kepala tidak mahu beriman di Akhirat kelak.
  3. Majoriti ulama\’ berkata maksudnya pasangan (وَأَزْوَاجَهُمْ) dalam ayat ini ialah:
    i- satu kumpulan, golongan yang sama geng dan satu kepala. Contoh- yahudi sama dia, nasrani sama dia, penzina sesamanya, pencuri sesamanya dan lain-lain.
    ii- ada juga tafsiran yang kedua; pasangan iaitu suami atau isteri yang satu fahaman dan akidah, yang syirik akan duduk bersama- ini kerana ada pasangan yang yang tidak sama seperti isteri Firaun yang beriman atau isteri Nabi Nuh & Lut yang tidak beriman. Tetapi ini hanya pandangan kecil saja kata Ibnu Kathir.
  4. Ya Allah kumpulkanlah kami di akhirat bersama kumpulan para rasul, anbiya dan hamba-hamba-Mu yang soleh dan benar.
  5. Segala berhala sembahan seperti batu, kayu dan segalanya akan dimasukkan ke dalam neraka bersama para penyembahnya.
    Juga orang yang suka atau suruh orang menyembahnya!
    Kecuali Nabi Isa a.s, Uzair dan para malaikat dan semua yang disembah tanpa izin dan bukan dengan kehendak mereka.

AYAT 23- {\”YANG LAIN DARI ALLAH SERTA HADAPKANLAH MEREKA KE JALAN YANG MEMBAWA KE NERAKA.} (AS-SAAFFAAT 37:23)

  1. Setelah dikumpulkan semua golongan kafir ini, malaikat lalu diperintahkan untuk hadapkan, menghalau/membawa mereka ke neraka. Na\’uzubillah.
  2. Doa: Ya Allah lindungilah kami dan orang-orang yang kami sayangi dari azab neraka!

AYAT 24- {\”DAN HENTIKANLAH MEREKA (MENUNGGU), KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA AKAN DISOAL:} (AS-SAAFFAAT 37:24)

  1. Ada ulama\’ kata ini sebelum masuk ke dalam neraka mereka dikumpulkan dulu untuk ditanya, dipersoal sekali lagi.
  2. Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila semua manusia telah mati selepas tiupan sangkakala yang pertama; Kemudian Allah menurunkan air dari langit lalu menumbuhkan manusia seperti tumbuhan tanaman. Lalu Israfil meniup tiupan yang kedua lalu mereka semua bangkit keluar. Lalu malaikat pun berkata: Wahai manusia bangkitlah kamu berkumpul kepada Tuhan kamu, dan berdiri di sini, kamu akan ditanya! [HR Muslim].

AYAT 25- {\”MENGAPA KAMU TIDAK BERTOLONG-TOLONGAN (SEBAGAIMANA YANG KAMU DAKWAKAN DAHULU?\”} (AS-SAAFFAAT 37:25)

  1. Lalu dikatakan kepada mereka: Kenapa pada hari ini kamu tidak saling bantu mebantu? Sedangkan atas dunia dulu kamu berkomplot untuk menghhina Nabi dan menjatuhkan Islam?
  2. Mereka tidak berdaya dan tidak ada penolong.

AYAT 26- {(MEREKA PADA KETIKA ITU TIDAK DAPAT BERBUAT APA-APA) BAHKAN MEREKA PADA HARI ITU MENYERAH DIRI DENGAN HINA (UNTUK DIADILI);} (AS-SAAFFAAT 37:26)

  1. Bahkan pada hari itu mereka tidak dapat berbuat apa, semuanya menyerah diri dengan takut dan hina, dalam keadaan hina dina diam tidak boleh bercakap.

AYAT 27- \”{DAN MASING-MASING PUN MENGADAP SATU SAMA LAIN, SAMBIL KATA MENGATA DAN CELA MENCELA.} (AS-SAAFFAAT 37:27)

  1. Lalu apabila mereka berjumpa sesama mereka, pengikut jumpa boss, mereka lalu saling berkelahi, kata-mengata dan berbantah-bantah, saling tuduh-menuduh.

AYAT 28- {PENGIKUT-PENGIKUT BERKATA (KEPADA KETUANYA): \”SESUNGGUHNYA KAMU DAHULU SELALU DATANG MENYEKAT KAMI (DARIPADA BERIMAN) DENGAN MENGGUNAKAN KUASA KAMU\”.} (AS-SAAFFAAT 37:28)

  1. Pengikut berkata dan menuduh ketua sebagai orang yang menyekat mereka dari beriman dan menyesatkan mereka. Mereka atas dunia dulu mengacau mereka dari kanan (عَنِ الْيَمِينِ).
  2. Ulama\’ kata yamin (عَنِ الْيَمِينِ) ini membawa beberapa makna:
    i- sekat daripada melakukan kebajikan dan kebaikan.

ii- menggunakan kuasa dan kekuatan, menghalang dari melakukan kebaikan.

iii- mereka bersumpah apa yang mereka bawa itu betul, sehingga berjaya menyesatkan orang lain.

Ulama\’ mutakhir seperti al-Qurtubi berkata: Boleh dijamakkan ketiga-tiga makna ini. Semuanya terpakai dan lebih kurang saja ertinya.

AYAT 29- {KETUA-KETUANYA MENJAWAB: \”(TIDAK!) BAHKAN KAMULAH SENDIRI TIDAK MAHU MENJADI ORANG-ORANG YANG BERIMAN!} (AS-SAAFFAAT 37:29)

  1. Ketuanya pula menjawab dan memberi hujjah mereka; TIDAK! Itu tabiat dan kemahuan kamu sendiri yang tidak mahu beriman! Jangan menyalahkan kami!
  2. Yakni mereka membalas dengan menjawab bahawa keadaan bukanlah seperti yang para pengikut itu dakwa.

AYAT 30- {\”DAN KAMI (SELAIN DARIPADA MENGAJAK KAMU (TIDAK MEMPUNYAI SEBARANG KUASA MEMERINTAH KAMU, BAHKAN KAMU SEMEMANGNYA KAUM YANG MELAMPAUI BATAS.} (AS-SAAFFAAT 37:30)

  1. Mereka hanya ajak saja atau beri contoh buruk saja, sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk menyesatkan para pengikut itu.
  2. Mereka sendiri yakni para pengikut sendiri adalah kaum yang melampaui batas, sombong daripada menerima kebenaran dan kufur yang melampau!
  3. Kata ulama\’ kuasa (sultan) di sini (سُلْطَانٍ) bermana hujjah atau memang kuasa mengarah dan menyekat.

AYAT 31- {(DENGAN KEADAAN DIRI KITA YANG SEDEMIKIAN) MAKA TETAPLAH DI ATAS KITA JANJI SEKSA (YANG DIJANJIKAN) OLEH TUHAN KITA, BAHAWA KITA SEMUA TENTU AKAN MERASAI (AZAB ITU).} (AS-SAAFFAAT 37:31)

  1. Akhirnya mereka mengakui, tidak ada guna lagi berkelahi dan berbalah sesama sendiri, tiada faedah dan manfaatnya lagi.
  2. Mereka akui mereka telah tetap akan mendapat azab siksa, akan menjadi ahli neraka sebagaimana yang telah dijanjikan Allah s.w.t, tidak ada jalan lagi untuk selamat dan terlepas.

AYAT 32- {\”(DENGAN SEBAB KETENTUAN YANG TERSEBUT) MAKA KAMI PUN MENGAJAK KAMU MENJADI SESAT, KERANA SEBENARNYA KAMI ADALAH ORANG-ORANG SESAT\”} (AS-SAAFFAAT 37:32)

  1. Mereka juga akui mereka (para ketua) telah sesat dan mengajak pengikutnya menjadi sesat, ini kerana mereka sebenarnya adalah orang yang sesat!

AYAT 33- {MAKA SESUNGGUHNYA MEREKA SEMUA PADA HARI ITU, MENDERITA AZAB BERSAMA.} (AS-SAAFFAAT 37:33)

  1. Maka pada hari itu semuanya akan di azab ketua atau pengikutnya. Akan berada dalam azab neraka semuanya bersama-sama.
  2. Cuma tahap azab siksaan adalah bergantung kepada dosa dan kejahatan masing-masing.

AYAT 34- {SESUNGGUHNYA DEMIKIANLAH KAMI MELAKUKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG BERDOSA.} (AS-SAAFFAAT 37:34)

  1. Demikianlahlah balasan dan pengakhiran bagi orang berdosa dan sesat kerana memilih untuk kafir daripada beriman!
  2. Kita memohon kepada Allah s.w.t untuk selamat daripada golongan ini, daripada menjadi golongan yang sesat. INGAT! Nerca timbangan kita hanyalah dua al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang sahih.
  3. Kita sebagai orang yang beriman kena faham dan belajar apakan sebenarnya yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w kepada kita agar kita tidak terperangkap dengan hasutan syaitan dan kafir yang sesat!

Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Ayat 22- {(Allah berfirman kepada malaikat):\” Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah}- maksudnya orang yang sama kumpulan dalam kezaliman dan kesesatan. Maka ayat ini melarang kita daripada berkawan dan bersama golongan yang zalim dan ahli maksiat, supaya kita tidak turut sama terpalit keburukannya.

i- Rasulullah S.A.W bersabda: \”Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti dengan penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau terpercik api kainmu, atau (sekurangnya) kamu akan mendapatkan bau asapnya yang tidak sedap\”. (HR Bukhari No: 1959)

ii- Rasulullah S.A.W bersabda: \”Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya.\” (HR Bukhari No: 5702)
Maka berkawanlah dengan orang yang baik, mukmin dan orang soleh dimana sahaja kita berada.
Cintailah orang yang soleh kerana seseorang akan dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang yang dicintainya.

  1. Ayat 27- \”{Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata mengata dan cela mencela.}- masing-masing saling tuduh menuduh dan menyalahkan satu sama lain.
    Kerana itu kita wajib berhati-hati, mantapkan iman agar jangan terikut dan terpedaya dengan ajaran sesat dan batil. Orang yang tidak mantap imannya, kesan ajaran sesat ini akan cepat meresap dan mudah terpesong.
    Pada setiap zaman alhamdulillah ada ulama\’ yang mengorek dan membongkar kebatilan dan ajaran sesat pada zamannya, maka kita kena banyak membaca dan mencari panduan yang benar.
  2. Ayat 22- {(Allah berfirman kepada malaikat):\” Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka,}- apabila Allah sebut orang yang zalim dalam al-Quran maka secara umumnya ia bermaksud orang kafir iaitu zalim dari segi akidah, kecuali dinyatakan secara khusus.
    Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.} (Al-Baqarah 2:254).

ii- {Bahkan orang-orang yang zalim (dengan perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas nyata.} (Luqman 31:11)

  1. Ayat 22- {(Allah berfirman kepada malaikat):\”
    Himpunkanlah orang-orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti mereka, serta benda-benda yang mereka sembah}- Allah s.w.t mahu memberi penghinaan dan penyesalan yang besar kepada kaum kafir itu dengan meletakkan sekali apa yang mereka sembah bersama mereka di dalam azab neraka! Menghina apa yang disembah adalah satu penghinaan juga kepada para penyembahnya!
  2. Ayat 23- {\”Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka.}- kata ulama\’ kalimah beri hidayah/petunjuk (فَاهْدُوهُمْ) ini boleh diterjemahkan kepada beberapa makna.

Petunjuk (huda) ada 4 erti:
i- petunjuk secara umum- iaitu bagi garis panduan secara umum agar orang lain selamat. Umum dalam apa jua keadaan, panduan sekolah, jalan raya dan lain-lain.

ii- hidayah memberi bimbingan dan petunjuk (Irsyad) ke arah amal kebaikan. Seperti para rasul dan pendakwah, tetapi kamu yang pilih nak buat atau tidak.

iii- Hidayah yang membuka hati orang untuk menerima dan buat benda baik. (Taufiq) ini di tangan Allah s.w.t semata-mata.

iv- adalah hidayah menuntun. Tunjuk jalan (guide-bawa- tunjuk arah), iaitu dalam kes ini para malaikat yang bawa golongan kafir itu ke jalan menuju neraka!

Ya Allah hidayahkan kami jalan yang Engkau redhai, jalan hidayah kepada syurga-Mu.

Powered by BetterDocs