SURAH AS-SOFFAT : AYAT 35-49

\"\"

SEBAB ORANG KAFIR KENA AZAB, ALLAH S.W.T TOLAK HUJJAH MEREKA & MENYATAKAN NIKMAT ORANG MU\’MIN.

Full video : https://youtu.be/A9fEZdg_0q0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini insya\’ Allah kita dengar tentang nikmat syurga yang Allah s.w.t sediakan bagi orang mu\’min.
  2. Allah s.w.t juga nyatakan sebab kenapa orang kafir mendapat siksa serta ditolak hujjah alasan mereka.
  3. Allah s.w.t juga menjawab kepada tuduhan dan fitnah jahat mereka terhadap Rasulullah s.a.w.

AYAT 35- {SEBENARNYA MEREKA DAHULU APABILA DIKATAKAN KEPADANYA; \”(KETAHUILAH, BAHAWA) TIADA TUHAN YANG SEBENAR-BENARNYA MELAINKAN ALLAH\” – MEREKA BERSIKAP TAKABBUR MENGINGKARINYA,} (AS-SAAFFAAT 37:35)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan sebab kenapa orang kafir itu mendapat azab.
  2. Ini kerana apabila dikatakan kepada mereka, didakwah dan diajak kepada tauhid, untuk beriman kepada Allah s.w.t yang Esa, mereka bersikap takabbur dan tidak mahu terima kebenaran dan beriman kepada Allah. Mereka degil dan dengan keras kepala menentang dan memerli, bahkan menyakiti Rasulullah s.a.w.

AYAT 36- {SERTA MEREKA BERKATA: \”PATUTKAH KAMI MESTI MENINGGALKAN TUHAN-TUHAN YANG KAMI SEMBAH, KERANA MENDENGAR AJAKAN SEORANG PENYAIR GILA?\”} (AS-SAAFFAAT 37:36)

  1. Bahkan mereka berkata dengan jahatnya; patutkah kami meninggalkan berhala tuhan-tuhan yang kami sembah ini semata-mata kerana mendengar dakwah seorang penyair yang gila???!!!!
  2. Ini satu tuduhan yang berat dan jahat, bertujuan menjatuhkan Rasulullah s.a.w dan menjauhkan orang ramai daripada menerima dakwahnya.
  3. Maka untuk membalasnya, kita hendaklah berdakwah kepada non-muslim yang kita kenali di sekeliling kita, agar mereka mendapat maklumat dan hidayah insya\’ Allah.

AYAT 37- { (TIDAK! NABI MUHAMMAD BUKAN PENYAIR DAN BUKAN PULA SEORANG GILA) BAHKAN IA TELAH MEMBAWA KEBENARAN (TAUHID), DAN MENGESAHKAN KEBENARAN (TAUHID) YANG DIBAWA OLEH RASUL-RASUL (YANG TERDAHULU DARIPADANYA).} (AS-SAAFFAAT 37:37)

  1. Allah s.w.t menjawab dan menafikan tuduhan dan fitnah jahat mereka itu!
  2. Bukanlah Nabi Muhammad seorang penyair dan seorang yang gila! Baginda adalah rasul yang diutus Tuhan untuk membawa kebenaran tauhid (بِالْحَقِّ).
  3. Rasulullah s.a.w juga diutus untuk mengesahkan kebenaran tauhid dan menjadi saksi kepada dakwah rasul-rasul yang terdahulu sebelum darinya.

AYAT 38- {SESUNGGUHNYA KAMU (WAHAI ORANG-ORANG MUSYRIK) AKAN MERASAI AZAB SEKSA YANG TIDAK TERPERI SAKITNYA.} (AS-SAAFFAAT 37:38)

  1. Allah bagi amaran terus kepada mereka: Wahai kaum kafir musyrikin, kamua akan mendapat azab seksa yang tidak dapat dibayang berapa dahsyat dan tidak terperi sakitnya!
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t sendiri yang menceritakan apa yang akan terjadi kepada mereka! Dengan sebab mereka syirik dan mendustakan ayat-ayat Allah dan ajaran Rasulullah s.a.w!

AYAT 39- {DAN KAMU TIDAK DIBALAS MELAINKAN (DENGAN BALASAN YANG SEPADAN) DENGAN APA YANG KAMU TELAH KERJAKAN;} (AS-SAAFFAAT 37:39)

  1. Kamu akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang telah kamu kamu lakukan di dunia.
    Kata ulama\’ tadabbur: Balasan itu mengikut jenis amal, (الجزاء من جنس العمل).
  2. Allah s.w.t itu Maha Adil dan tidak akan menzalimi makhluk-Nya walaupun yang jahat dan yang berbuat maksiat kepada-Nya.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): \”Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan\”.} (An-Naml 27:90)

ii- {Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.} (Yaa Siin 36:54)

AYAT 40- {KECUALI HAMBA-HAMBA ALLAH YANG DIBERSIHKAN DARI SEBARANG SYIRIK,} (AS-SAAFFAAT 37:40)

  1. Kecuali hamba-hamba Allah yang bersih dari syirik, sentiasa beribadat, beristihgfar kepada Allah s.w.t.
  2. Mereka ini akan selamat dari azab Allah s.w.t dan layak mendapat rahmat dan balasan pahala dari Allah s.w.t.

AYAT 41- {MEREKA ITU BEROLEH LIMPAH KURNIA YANG TERMAKLUM,} (AS-SAAFFAAT 37:41)

  1. Mereka akan mendapat balasan nikmat, limpah kurnia yang sudah termaklum رِزْقٌ مَعْلُومٌ.
  2. Kata ulama\’ seperti Ibnu Jauzi maksudnya رِزْقٌ مَعْلُومٌ:
    i- iaitu Syurga itu sendiri,
    ii- rezeki yang Allah s.w.t sediakan di dalam syurga itu. Isi kandungan nikmat yang disediakan di dalam syurga.
  3. Ulama\’ kata kedua-duanya boleh dikumpulkan, bila masuk syurga pastilah segala nikmat di dalamnya juga akan didapati.

AYAT 42- {IAITU BUAH-BUAHAN (YANG LAZAT), SERTA MEREKA MENDAPAT PENGHORMATAN,} (AS-SAAFFAAT 37:42)

  1. Antara rezeki itu ialah buah-buahan yang lazat! Yang mereka akan dapat makan dengan selesa dan lazat. Yakni mereka makan itu BUKAN kerana lapar atau dahaga tetapi hanya untuk berseronok dengannya.
  2. Mereka juga akan mendapat penghormatan dan kemuliaan yang besar.
  3. Kata Ibnu Abbas walaupun ada sesetengah nama buah-buahan yang disebut itu sama, tetapi tetap tidak sama buah yang di dunia dan yang di dalam Syurga.

AYAT 43- {DI DALAM SYURGA-SYURGA YANG PENUH MELIMPAH DENGAN BERJENIS-JENIS NIKMAT.} (AS-SAAFFAAT 37:43)

  1. Di dalam syurga penuh nikmat yang melimpah ruah dan perbagai jenis.
  2. Di dalam syurga tiada hospital dan tandas lagi. Ini kerana tiada penyakit dan manusia tidak mengalami proses perkumuhan lagi.

AYAT 44- {MEREKA DUDUK BERHADAP-HADAPAN DI ATAS PELAMIN-PELAMIN KEBESARAN;} (AS-SAAFFAAT 37:44)

  1. Ahli syurga duduk berhadap antara satu sama-lain, di atas pelamin dan singgahsana yang indah.
  2. Kerana itu majlis ilmu dipanggil taman syurga kerana para pelajar duduk menghadap gurunya, seolah keadaan majlis ahli syurga.
  3. Tetapi malangnya menjadi adat kita di mana ada tiang di situ ada penunggunya, tempat-tempat gelap di belakang menjadi pilihan. Lebih malang lagi yang tidak mahu dengar Kuliah lansung!
  4. Maka marilah kita tiru sifat dan suasana ahli syurga semoga kita akan menjadi penghuninya kelak!

AYAT 45- {DIEDARKAN KEPADA MEREKA PIALA YANG BERISI ARAK (YANG DIAMBIL) DARI SUNGAINYA YANG MENGALIR,} (AS-SAAFFAAT 37:45)

  1. Bekas minuman bagi di dalam syurga ialah piala-piala iaitu gelas berkaki kecil, yang indah.
  2. Airnya ialah arak yang diambil terus dari sungai yang mengalir, alangkah indahnya!

AYAT 46- {MINUMAN ITU PUTIH BERSIH, LAGI LAZAT RASANYA, BAGI ORANG-ORANG YANG MEMINUMNYA,} (AS-SAAFFAAT 37:46)

  1. Minuman itu warnanya putih bersih. Lazat bagi yang meminumnya, tidak memberi mudharat atau mabuk!

AYAT 47- {IA TIDAK MENGANDUNGI SESUATU YANG MEMBAHAYAKAN, DAN TIDAK PULA MEREKA MABUK KERANA MENIKMATINYA.} (AS-SAAFFAAT 37:47)

  1. Tetapi arak di dalam syurga bukan sama seperti arak yang memabukkan dan memudharatkan seperti di atas dunia ini! Ingat; Nama sama, tetapi sifat lain.

AYAT 48- {SEDANG DI SISI MEREKA ADA PULA BIDADARI-BIDADARI YANG TIDAK MENUMPUKAN PANDANGANNYA MELAINKAN KEPADA MEREKA, LAGI YANG AMAT INDAH LUAS MATANYA;} (AS-SAAFFAAT 37:48)

  1. Pasangan mereka pula bidadari-bidadari yang tidak melihat atau memberi perhatian kepada orang lain selain kepada pasangan masing-masing.
  2. Digambarkan kecantikan mereka dengan mata yang luas dan indah!
  3. Kita manusia beriman yang menjadi ahli syurga insya\’ Allah akan sentiasa muda dan cantik seperti bidadari ini juga, Tiada yang tua dan huduh di dalam syurga.

AYAT 49- {(PUTIH KEKUNING-KUNINGAN) SEOLAH-OLAH MEREKA TELUR (BURUNG KASUARI) YANG TERSIMPAN DENGAN SEBAIK-BAIKNYA.} (AS-SAAFFAAT 37:49)

  1. Digambarkan lagi, warna kulit mereka pula putih kekuningan, seolah telur burung yang tersimpan rapi (بَيْضٌ مَكْنُونٌ).
  2. Ulama\’ kata burung itu ialah seperti burung Kasuari, yang melapik telurnya dengan bulu dan daun-daun, untuk melindunginya dari bahaya dan kekotoran.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 35- {Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya; \”(ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah\” – mereka bersikap takbur mengingkarinya,}- ayat ini menunjukkan apabila diucapkan kalimah syahadah, wajib tunduk dan akur patuh kepada perintah Allah s.w.t. jika tidak akan menjadi seperti golongan yang takabbur itu.
  2. Ayat 44- {Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin kebesaran;}- kata ulama\’ ini menunjukkan sempurnannya adab dan akhlak ahli syurga, mereka saling berhadap, tiada lapisan atau tingkatan.
    Kita pun dalam majlis ilmu tunjukkan akhlak dan adab yang mulia, duduk di depan, menghadap muka kepada ustaz dan dengar Kuliah dengan sebaiknya!
    Jangan bermain hp tanpa keperluan, seolah sedang berbual dalam majlis ilmu, apatah lagi yang tidak ikuti Kuliah terus.
  3. Ayat 48- {Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi yang amat indah luas matanya;}- antara sifat wanita ahli syurga ialah tidak lihat kepada orang lain. Kata ulama\’ ini samada:
    i- pasangan mereka itu terlalu kacak atau cantik.
    ii- atau sifat mereka yang mulia dan beradab.
  4. Ayat 36- {Serta mereka berkata: \”Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?\”}- antara punca manusia rosak ialah kerana sombong! Apabila diajak kepada kebaikan tidak mahu menerimanya bahkan mengejek dan mempermainkannya.
    Syarat untuk orang mendapat ilmu ialah tawadhuk- buka telingan dan mata, lalu nilai dengan akal dan hati, bukan terus menghukum dan memberi gelaran.
  5. Ayat 39- {Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan;}- setiap balasan keburukan itu dengan amal atau perbuatan yang dilakukan. Ini untuk orang jahat, Allah tidak akan balas kecuali dengan apa yang mereka buat! (الجزاء من جنس العمل).

Ayat ini dalil akan keadilan Allah s.w.t.
Juga dalil bahawa orang kafir akan dibalas mengikut kejahatan yang dia buat, seperti:
i- menyembah berhala.
ii- mendustakan dan mengingkari Nabi.
iii- menyakiti orang mukmin.
iv- buat maksiat dan kejahatan, dan lain-lain.

Berbeza dengan balasan ahli syurga, Allah s.w.t akan beri nikmat dan balasan baik dengan limpah kurnia-Nya, unlimited,

Powered by BetterDocs