SURAH ASY-SYU\’ARA\’ : AYAT 1-9

\"\"

MUQADDIMAH & INTISARI SURAH, MUSYRIKIN MENDUSTAKAN QURAN, ALLAH TENANGKAN NABI S.A.W AGAR TERUS BERDAKWAH.

Full video : https://youtu.be/PMcpcPcRBYc

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah kita diberi nikmat untuk terus belajar dan mentadabbur al-Quran sempena ujian musim PKP ini. Inilah peluang atau hikmah yang datang di sebalik PKP ini. Orang mukmin itu berada di antara syukur dan sabar. Syukur atas nikmat yang diberi dan sabar atas ujian yang dilalui.
  2. Pada hari ini 23hb Zulhijjah kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Asy-Syu\’ara\’.
  3. Surah Asy-Syu\’ara\’, surah ke-26 dalam tertib susunan al-Quran, dalam juz ke 19 dan mengandungi 227 ayat.
  4. Surah ini diturunkan di Makkah maka ia adalah surah Makkiyyah. Namun ada juga mengatakan ia surah Makkiyyah cuma dua atau empat ayat terakhir yang dikatakan turun di di Madinah.
  5. Surah ini ayatnya pendek-pendek dan banyak tentang cerita-cerita.
  6. Dinamakan surah ini Surah Asy-Syu\’ara\’, yang bererti perihal Para Penyair; kerana perkataan ini disebut dalam ayat 224. Juga terdapat namanya disebut dalam beberapa \’Athar\’, perkataan sahabat seperti Ibnu Abbas dan Ibnu az-Zubair r.a.

MAQASID / OBJEKTIF KANDUNGAN SURAH :

  1. Allah s.w.t mahu menyebut tentang mukjizat al-Quran, juga memaklumkan bahawa orang kafir walaupun mereka para penyair dan pakar bahasa Arab, tetapi mereka tidak mampu mencabar atau meniru al-Quran.
  2. Untuk menenangkan hati Rasulullah s.a.w yang menghadapi tentangan yang hebat dari kaumnya, ancaman Quraisy yang begitu dahsyat. Maka pastilah memerlukan didikan, motivasi, sokongan dan kata-kata semangat dari Tuhan Sekelian Alam, Allah s.w.t yang mengutus dan melantiknya.

INTISARI KANDUNGAN :

  1. Menarik perhatian Rasulullah s.a.w agar jangan kecewa dan merosakkan dirinya akibat menanggung duka perbuatan kaum Quraisy yang menentang dan menyakiti.
  2. Tugas Baginda s.a.w hanya menyampaikan dakwah agama Allah kepada mereka (hidayah irsyad), dan untuk menerima hidayah petunjuknya (hidayah taufiq) adalah di bawah kuasa Allah s.w.t.
  3. Jika Allah mahu memaksa mereka semua menerimanya pastilah Dia akan menurunkan mukjizat besar dari langit. Tetapi tidak begitu, mereka diberi kuasa memilih selepas diberi keterangan dan penjelasan tentang yang baik dan buruk.
  4. Menyatakan tentang kekuasan Allah s.w.t yang melakukan apa yang dikehendaki-Nya seperti menurunkan azab kepada mereka yang kufur ingkar. Allah s.w.t juga Maha Mengasihani menangguhkan azab mereka yang berdosa, memberikan tempoh agar mereka dapat bertaubat lalu beriman dan beramal soleh.
  5. Juga cerita perihal rasul-rasul yang telah lalu dan kaum masing-masing, yang berakhir dengan kemenangan bagi rasul dan mereka yang beriman dan kebinasaan golongan yang ingkar dan dusta.
  6. Semua ini diceritakan untuk memberi semangat kepada Rasulullah s.a.w untuk berjuang terus dan mengembangkan Islam sehingga berjaya.
  7. Lalu ditegaskan bahawa dalil kenabian Rasulullah ialah al-Quranul-Karim yang diturunkan kepada Baginda s.a.w melalui Jibril a.s.
  8. Ini kerana kafir musyrik pernah menuduh Rasulullah s.a.w sebagai seorang dukun/pawang yang sentiasa berhubung dengan jin syaitan serta apa yang turun adalah dari jin & syaitan yang dibawa kepada pemujanya.
    Maka Allah s.w.t mendedahkan kepalsuan tuduhan itu dan bahawa syaitan tidak layak membawa al-Quran kepada Rasul-Nya dan tidak mampu berbuat demikian sama sekali kecuali malaikat yang diperintahkan Allah s.w.t.
  9. Menerang bahawa ajaran Rasulullah s.a.w yang benar, mendapat wahyu dari a;h s.w.t, bukanlah seperti tuduhan mereka, pendusta, pawang, bomoh, tukang sihir atau penyair. Ditegaskan bahawa al-Quran itu bukan syair yang hanya rekaan dan khayalan para penyair sifatnya biasa merayau tanpa arah tujuan dan ketentuan.
  10. Tetapi bukan semua sayar dan ahli syair itu terkeji, ada juga penyair dan syair yang yang beriman dan diredhai oleh Allah s.w.t dan diakui sebagai kata-kata indah dan sopan. Contoh Hassan bin Thabit yang dikenali sebagai Penyair Rasulullah s.a.w. yang menggambarakan kebesaran Allah s.w.t dan kebenaran Rasulullah s.a.w dan perjuangannya. Mereka ini mendapat galakan dan restu Rasulullah s.a.w, mereka ini muncul sepanjang zaman silih berganti sehingga ke hari ini.
    Inilah antara sinopsis dari Surah Asy-Syu\’ara\’ini.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Menyatakan ketinggian darjat al-Quran dan sikap kaum kafir kepadanya dan Allah s.w.t menenangkan hati Rasulullah untuk berdepan dengan kaum Quraisy.
  2. Allah sebut beberapa kisah nabi-nabi dan beberapa kaum yang menentang mereka,
  3. Kisah Nabi Musa a.s dan Harun a.s serta Firaun serta ahli sihir yang beriman. Bagaimana Firaun tenggelam dalam laut dan selamatnya Nabi Musa a.s serta pengikutnya. Kisahnya panjang dan terperinci bermula dari ayat 10 sehingga 68.
  4. Kisah dakwah Nabi Ibrahim a.s kepada bapanya Azar dan kaumnya.
  5. Kisah Nabi Nuh a.s dan dakwah kepada kaumnya yang hampir 1000 tahun dan apa kesudahan mereka yang kafir, tenggelam dalam banjir besar.
  6. Kisah Nabi Hud a.s dan dakwah kepada kaumnya kaum Ad dan apa yang terjadi selepas mereka ingkar.
  7. Kisah Nabi Saleh a.s dan dakwah kepada kaumnya kaum Thamud dan apa yang terjadi selepas mereka ingkar dan menyembelih unta mukjizatnya.
  8. Kisah Nabi Lut a.s dan perjuangannya berdakwah dan menentang kaumnya yang gila, yang terperangkan dengan LGBT dan bagaimana Allah selamatkan Nabi Lut a.s.
  9. Allah sebut juga kisah Nabi Syu\’aib a.s dan kaumnya yang binasa selepas mereka ingkar.

10. Ada tujuh kisah rasul-rasul.

11. Allah sebut tentang turunnya al-Quran dan penyaksian dari ahli -kitab atas kebenarannya. Al-Quran ini bukan syair, bukan sajak, bukan kata-kata manusia atau syaitan, ia datang dari Allah s.w.t. Jadi Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w untuk memberi amaran kepada mereka yang menentangnya dengan azab dan kebinasaan.

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.


AYAT 1- {TOO, SIIN, MIIM.} طسم (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:1)

  1. Surah ini dimulai dengan huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah المقطعة – ), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ط س م – طسم (To Sim Mim )
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruh terputus begini. Ini untuk menyatakan i\’jaz (mukjizat) al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
  3. Ia juga mengambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w. Tetapi pada zaman kita hari ini terbukti ia mempunyai rahsia tersendiri seperti barcode yang ada maknanya apabila di scan komputer.
  4. Maksudnya wallahu a\’lam. Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.
  5. Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 2- {INI IALAH AYAT-AYAT KITAB (AL-QURAN) YANG JELAS NYATA.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:2)

  1. Allah s.w.t menyatakan ayat al-Quran adalah kitab yang jelas dan nyata, datangnya dari Allah s.w.t. Para ulama\’dari kalangan tabi\’en dan selepasnya telah banyak membuat huraian dan penjelasan bagi orang awam untuk lebih memahaminya.
  2. Tetapi malangnya masih ada lagi yang mendusta dan menolaknya.

AYAT 3- {JANGAN-JANGAN PULA ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD), MEMBINASAKAN DIRIMU DENGAN MENANGGUNG DUKACITA, KERANA MEREKA TIDAK MENJADI ORANG-ORANG YANG BERIMAN. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:3)

  1. Allah s.w.t memberi semangat dan peringatan kepada Rasulullah s.a.w agar jangan membinasakan diri sendiri akibat terlalu kecewa, sedih dan dukacita, kerana dakwahnya tidak disambut oleh ahli keluarganya sendiri dan penduduk Makkah umumnya. Rasulullah s.a.w mendapat tentangan yang hebat dari kalangan bapa saudaranya sendiri seperti Abu Lahab.
  2. Ini kerana Rasulullah s.a.w itu sangat mengharapakan dan mahu agar mereka semua itu beriman dan selamat dari azab Allah stw di akhirat kelak.
  3. Itulah kerja para pendakwah teruskan usaha, walaupun halangan dan rintangan menanti, jika halangan kecil anggaplah ianya seumpama kemuncup yang melekat di kain aje, teruskan jangan sibuk dengannya.

AYAT 4- {KALAU KAMI MAHU, TENTULAH KAMI AKAN TURUNKAN KEPADA MEREKA SATU MUKJIZAT DARI LANGIT, YANG MENJADIKAN MEREKA TUNDUK KEPADANYA.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:4)

  1. Jika Allah s.w.t mahu memaksa mereka untuk beriman pastilah Allah akan menurunkan satu mukjizat besar dari langit yang akan menyebabkan mereka takut lalu beriman.
  2. Tetapi Allah s.w.t tidak berbuat demikian, kerana masing-masing diberi pilihan, selepas diterangkan kepada mereka mana yang benar dan mana yang salah, maka ada yang kufur ada yang beriman.
  3. Ini kerana iman seseorang manusia itu adalah pilihan إختياري bukan paksaan إجباري .
    Firman Allah s.w.t: { لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ } -{ Tiada paksaan dalam agama.} [Al-Baqarah: 256.]
  4. Itulah keindahan Islam yang tersebar dengan dakwah dan hikmah, bukan dengan pedanga tau perang, itu hanyalah pilihan terakahir selepas disekat dan ditentang.

AYAT 5- {DAN TIDAK DATANG KEPADA MEREKA PERINGATAN SERTA PENGAJARAN YANG BAHARU DARI (ALLAH) AR-RAHMAN, MELAINKAN MEREKA TETAP BERPALING MENGINGKARINYA.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:5)

  1. Keadaan orang kafir itu setiap kali datang kepada mereka peringatan serta pengajaran yang baru dari (Allah) Ar-Rahman, mereka tetap berpaling mengingkarinya مُعْرِضِينَ maksudnya menolak secara fizikal (berpaling badan) dan maknawi, berpaling dengan pemikiran, tidak mahu terima.
  2. Kita ada dua (maknawi – fizikal & hissi – fikiran/hati) tengok dengan mata kepala atau tengok dengan mata hati..

AYAT 6- {OLEH KERANA MEREKA TELAH MENDUSTAKAN AL-QURAN, MAKA SUDAH TENTU AKAN DATANG KEPADA MEREKA BERITA-BERITA (AZAB) MENGENAI PERKARA YANG MEREKA EJEK-EJEK ITU. (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:6)

  1. Selepas berlaku perlawanan itu, pendustaan dan penghinaan, maka Allah s.w.t kata tunggulah bila sampai masanya, akan datang azab yang kamu pinta dulu, yang akan membuktikan semua yang kamu ejek itu benar!
  2. Ketika itulah baru kamu tahu mana yang benar mana yang dusta.

AYAT 7- {MASIHKAH MEREKA BERDEGIL DAN TIDAK MEMPERHATIKAN BUMI, BERAPA BANYAK KAMI TUMBUHKAN PADANYA DARI BERBAGAI JENIS TANAMAN YANG MEMBERI BANYAK MANFAAT?} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:7)

  1. Tidakkah kamu lihat segala bukti yang ada di depan mata kamu, bagaimana Allah s.w.t tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat? Dalam ayat ini Allah s.w.t ajar manusia itu untuk berfikir dengan apa yang ada di depan matanya.
  2. Sepatutnya mereka memerhati dan berfikir tentangnya kerana yang demikian bermanfaat bagi mereka.Tetapi mereka masih berdegil dan tidak berfikir dengannya serta masih menjadikan berhala sebagai tuhan mereka.

AYAT 8- {SESUNGGUHNYA PADA YANG DEMIKIAN ITU TERDAPAT SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEKUASAAN DAN RAHMAT PENGURNIAAN ALLAH); DAN (DALAM PADA ITU), KEBANYAKAN MEREKA TIDAK JUGA BERIMAN.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:8)

  1. Sesungguhnya pada semua kejadian itu ada dalil tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat kurniaan Allah s.w.t. Gunakan akal untuk fikir.
  2. Tetapi dalam masa itu kebanyakan mereka tidak juga beriman. Manakala yang beriman terperangkap dengan tablis Iblis yang akan menghiasi maksiat dan keburukan.
  3. Ulama\’ kata kenapa Allah s.w.t hanya guna perkataan satu/singular ( لَآيَةً) saja untuk perkataan tanda ini, bukan guna tanda-tanda, sedangkan pokok-pokok dan tumbuhan itu banyak? Jawapannya kata ulama\’ Tafsir kerana ia kembali kepada sifat Yang Berkuasa menumbuhkan itu, jadi merujuk kepada satu tanda saja.

AYAT 9- {DAN SESUNGGUHNYA TUHANMU (WAHAI MUHAMMAD) DIA LAH SAHAJA YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (ASY-SYU\’ARAA\’ 26:9)

  1. Allah tutup perbincangan dengan mengatakan sesungguhnya Allah s.w.t, adalah Tuhanmu Yang Maha Gagah Perkasa dan Kuat, Dia mampu untuk mengambil tindakan, menghukum dan menurunkan azab ke atas mereka, tetapi dalam masa yang sama Allah s.w.t itu juga lagi Maha Mengasihani kepada hamba-Nya yang beriman dan tidak beriman.
  2. Bagaimana rahmat Allah ke atas mereka yang tidak beriman? Dengan memberi mereka tempoh dan waktu untuk bertaubat dan beriman, lalu mengakhiri hidup mereka dengan husnul-khatimah, masya\’ Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

  1. Kita sebagai penerus tugas Rasulullah dalam berdakwah jangan mudah kecewa dan putus-asa. Untuk sama-sama berkongsi rasa nikmat mengikut ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
  2. Firman Allah s.w.t: {Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya.}
    Hikmah Allah s.w.t tidak menurunkan tanda/mukjizat besar ini, kerana iman adalah pilihan bukan paksaan. Jika dipaksa mereka akan menjadi munafik, Allah s.w.t mahu mereka yang ikhlas beriman dengan pilihan sendiri.
  3. Pernah Allah s.w.t menurunkan malaikat untuk meletakkan bukit di atas kepala bani Israil untuk menetapkan iman mereka yang mudah goyah, bukan memaksa mereka untuk beriman kepada nabi Musa a.s.
  4. Maksud ayat مُعْرِضِينَ {mereka tetap berpaling mengingkarinya} – menunjukkan usul ingkar ada 3 tahap:
    i- berpaling dan ingkar dari ajaran. اعرض
    ii- mendustakan تكذيب
    iii- mengejek, memerli. استهزاء
  5. Sebagaimana usul Usul dakwah juga ada 3 perkara:
    i- ilmu- العلم
    ii- amal- العمل
    iii- Sifat/kata-kata yang boleh memberi kesan kepada orang ramai- التأثير
  6. Punca atau usul maksiat juga ada 3 perkara:
    i- Syirik- Apabila hati bergantung kepada yang lain selain dari Allah.
    ii- Sifat marah yang melampau adalah punca kejahatan.
    iii- Kekuatan syahwat, hawa nafsu yang tidak terkawal.
  7. Semoga kita semua terpelihara dari segala sifat buruk yang boleh membawa kepada kemurkaan dan azab Allah s.w.t. wal-\’iyazu billah.
    Wallahu a\’lam.

Powered by BetterDocs