SURAH ASY-SYURA : AYAT 1-6

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, WAHYU ALLAH KEPADA PARA NABI & MAKHLUK MENGAGUNGKAN ALLAH S.W.T.

Full video : https://youtu.be/v0_cF_pbo60

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini, Pagi Khamis 19 Ramadhan 1443H bersamaan 10hb April 2022 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah As-Syura – سورة الشورى.
  2. Surah As-Syura, adalah surah ke-42 dalam tertib susunan al-Quran, iaitu selepas surah Fussilat dalam juz ke 25. Ia mengandungi 53 ayat.
  3. Para ulama\’ tafsir sepakat (ijma\’ ulama\’) mengatakan surah ini diturunkan di Makkah iaitu sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah maka ia adalah surah Makkiyyah.
  4. Dinamakan surah ini sebagai Surah As-Syura (سورة الشورى)- kerana Allah s.w.t menyebut perkataan As-Syura yang bermaksud; bermesyuarat pada ayat ke38. Diterangkan antara sifat terpuji orang yang beriman yang diredhai Allah ialah amalan mereka bermesyuarat sesama sendiri apabila mereka mahu melakukan sesuatu urusan.
    Kita kena belajar jangan diktator memutuskan keputusan sendiri.
  5. Tetapi tiada nas yang sorih dari Rasulullah s.a.w yang menyebut nama surah ini sebagai Surah As-Syura (سورة الشورى), tetapi masyhur namanya kerana di ambil dari ayat 38 tadi.
  6. Ia juga dipanggil dengan nama Ha mim ain sin qaf (حم عسق). Tetapi nama yang masyhurnya ialah Surah As-Syura (سورة الشورى).

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Pada awal surah Allah s.w.t menegaskan kebenaran wahyu al-Quranul Karim dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.
    Serta menyatakan bahawa apa yang diwahyukan kepada Baginda tentang perkara asas dalam Islam seperti perkara tauhid, Kebangkitan semula, Hari Kiamat dan balasan amal adalah sama seperti yang diwahyukan kepada rasul-rasul terdahulu darinya.
    Agama Islam ini asasnya sama, cuma berbeza dari segi perundangan dan ibadat.
  2. Juga ditegaskan jika Allah s.w.t mengkehedaki, tentulah Dia dapat menjadikan umat manusia bersatu di atas agama yang satu, tetapi bukan demikianlah perancangan Allah s.w.t.
    Bahkan Dia akan memasukkan ke dalam rahmat-Nya mereka yang beriman dan mengikut peraturan yang ditetapkan. Manakala orang yang zalim terhadap diri mereka sendiri dengan sebab syirik dan maksiat, tiada siapa dapat memberi pertolongan dan perlindungan kepada mereka!
  3. Setelah itu diperintahkan kepada Nabi Muhammad s.a.w supaya menyampaikan kepada umatnya bahawa apa jua perkara yang mereka perselisihkan dalam agama, hukum pemutusnya kembali kepada Allah. Sebagaimana yang diterangkan satu persatu dalam al-Quran dan dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
  4. Ditegaskan bahawa agama yang diredhai oleh Allah s.w.t bagi umat manusia seluruhnya ialah Agama Islam, agama tauhid dan taat, yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w dan para rasul yang terdahulu darinya a.s.
  5. Lalu diperintahkan supaya orang yang beriman menegakkan pendirian agama yang berdasarkan rukun-rukun Iman dan Islam serta dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan.

Selepas itu diterangkan sesiapa yang mengkehendaki dengan amalan usahanya untuk mendapat faedah di Akhirat; maka dia akan mendapat tambahan dari Allah selain dari faedah yang dikehendakinya itu.

Sebalinya sesiapa yang mengkehendaki dengan amalan usahanya kebaikan dunia semata-mata, maka Allah akan berikan kebaikan dunia untuknya sekadar yang Allah tentukan. Dan dia tidak akan dapat sesuatu bahagianpun di Akhirat kelak, rugi saja-saja.

  1. Kemudian Allah s.w.t menerangkan bahawa apa jua yang menimpa manusia dari sesuatu kesusahan, ujian dan bala bencana maka ia adalah dari sebab apa yang mereka lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa. Dalam pada itu Allah mengampunkan sebahagian besar dari dosa-dosa mereka.
  2. Selepas itu diterangkan jika sesiapa mahu membalas satu kejahatan, balaslah dengan kejahatan yang sama juga, iaitu satu sama satu.
    Dalam pada itu sesiapa yang memaafkan kesalahan orang lain dan berbuat kebaikan kepadanya, maka pahalanya dijamin oleh Allah s.w.t dengan sebaik-baik balasan dari-Nya.

KELEBIHAN SURAH :

  1. Ia merupakan surah ketiga yang dimulai dengan (حم) Ha Mim daripada tujuh surah dalam al-Quran.
    Dipanggil surah yang tujuh ini (حواميم السبع) iaitu 7 surah yang bermula dengan (حم), bermula dari surah Ghafir, Fussilat, Asy-Syura, Zukhruf, Ad-dukhan, al-Jathiyah sehingga Surah al-Ahqaf. Semuanya surah Makkiyah.

OBJEKTIF/ MAQASID SURAH :

  1. Antara objektif utamanya ialah menegakkan dalil atas keesaan dan kekuasaan Allah s.w.t.
  2. Mengisbatkan bahawa al-Quran ini wahyu yang turunnya dari sisi Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w.

TAJUK-TAJUK ATAU ISU DALAM SURAH :

  1. Menyatakan bahawa al-Quran itu wahyu dari Allah, yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w sebagaimana diwahyukan kepada nabi terdahulu.
  2. Ayat ini menceritakan tentang sebahgian dari tanda-tanda kekuasaan dan kudrat Allah s.w.t. serta betapa luasnya kerajaan Allah s.w.t.
  3. Mengingkari pegangan kaum musyrikin dengan menyatakan beberapa dalil yang menyatakan bahawa batalnya perbuatan syirik mereka.
  4. Arahan supaya mengembalikan semua urusan kembali kepada Kitab Allah dan Sunnah Nabi s.a.w apabila berlaku perselisihan.
  5. Memperakui bahawa semua ajaran para rasul adalah sama iaitu kepada tauhid Allah Azza wa Jalla. Berlakunya perbalahan antara manusia kerana kejahatan mereka dan sifat mereka yang ikut hawa nafsu dan bukan wahyu.
  6. Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya berdakwah dan istiqomah, serta membatalkan hujjah-hujjah penentang dengan memberi amaran janji siksa (الوعيد) kepada mereka.
  7. Menyebut bahawa Kiamat sudah hampir serta sikap orang kafir dan mukmin tentangnya. Kemudian diceritakan keadaan dua golongan itu di Akhirat kelak.
  8. Allah s.w.t sebut beberapa syubhah, keraguan dan provokasi yang ditimbulkan oleh orang kafir, serta bagaimana hujjah dan cara untuk menolaknya,
  9. Allah s.w.t sebut beberapa tanda kekuasaan-Nya dan nikmat-nikmat yang diberikan kepada hamba-Nya:
    i- Allah s.w.t terima taubat mereka dan memaafkan kesalahan mereka,
    ii- turunkan hujan untuk kegunaan manusia.
    iii- cipta haiwan untuk kegunaan manusia.
    iv- lautan serta isinya sebagai makanan dan perhiasan juga untuk kapal belayar di atasnya,
  10. Menjelaskan beberapa sifat orang mukmin yang benar dengan imannya (الصَّادِقِينَ).
  11. Menyatakan keadaan buruk yang akan menimpa puak kafir dan zalim pada hari Kiamat kelak.
  12. Arahan agar akur dan patuh menerima arahan Allah s.w.t serta tunduk kepada segala hukuman Allah.
  13. Menenangkan hati Rasulullah s.a.w bahawa Allah akan balas semua perbuatan jahat mereka yang mendustakan Baginda, kerjanya hanya menyampaikan, siapa menentang Allah yang akan balas.
  14. Mendedahkan sebahagian tabiat manusia ketika senang dan
    susah.

15 Allah sebut kerajaan di langit dan bumi adalah milik Allah. Dia anugerahkan nikmat kesenangan kepada sesiapa yang dikehendaki dari kalangan hamba-Nya.

  1. Dinyatakan cara turunnya wahyu ke atas Nabi s.a.w.
  2. Penutup surah, Allah tutup surah ini dengan menyatakan nikmat yang dikurniakan kepada Rasul-Nya dengan menurunkan wahyu dan menjelaskan bahawa semua perkara akan kembali kepada Allah! Kita akan mati kemudian dihidupkan semula untuk pengadilan dan pembalasan.

Ya Allah jadikan kita semua orang yang layak ke syurga dan bebas dari neraka!

Ya Allah jadikan kami, ibu bapa dan keluarga kami pada bulan yang mulia ini tersenarai sebagai orang yang Engkau bebaskan dari neraka!

DENGAN NAMA ALLAH, YANG MAHA PEMURAH, LAGI MAHA MENGASIHANI.

AYAT 1- {HAA, MIIM- حم} (ASY-SYURA 42:1)

AYAT 2- {AIN, SIIN, QAAF- عسق} (ASY-SYURA 42:2)

  1. Surah ini dimulai dengan dua ayat yang mengandungi huruf yang terputus (al-Muqatta\’ah- المقطعة), iaitu tulisan yang hurufnya bersambung tetapi dibaca satu persatu iaitu – ح, م (Haa-Mim) dan {Ain, Siin, Qaaf- عسق}. Allah jadikan permulaan bagi beberapa surah dalam al-Quran (tujuh surah) yang dimulakan dengan Ha Mim, surah ini yang ketiga.
  2. Allah s.w.t mulakan beberapa surah dengan huruf terputus begini.
    Ini untuk menyatakan i\’jaz (إعجاز) mukjizat al-Quran yang tidak boleh ditiru oleh mana-mana makhluk.
    Lemahnya makhluk untuk mengatasi, mencabar dan meniru al-Quran.
    *Mukjizat pula sesuatu yang mencarik adat, perkara di luar kebiasaan yang diberi kepada para rasul.
  3. Ia juga menggambarkan bahawa kita sebagai manusia tidak dapat memahami dan tidak tahu apa-apa kecuali yang ingin diberitahu oleh Allah s.a.w dan Rasul-Nya s.a.w.
  4. Ia tiada maksudnya yang khas, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui- wallahu a\’lam.
    Tetapi manusia pada hari ini amat sombong, samada kerana kejahilan atau ikut hawa nafsu.

AYAT 3- {SEBAGAIMANA YANG TERKANDUNG DALAM SURAH INI DAN SURAH-SURAH YANG LAIN – DIWAHYUKAN KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) DAN KEPADA RASUL-RASUL YANG TERDAHULU DARIPADAMU, OLEH ALLAH YANG MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (ASY-SYURA 42:3)

  1. Yakni dalam al-Quran ini, samada dalam surah ini atau surah lainnya; kandungannya adalah perkara yang berkait dengan tauhid, kerasulan, kebangkitan semula dan akhlak yang mulia, perangai buruk kaum terdahulu serta kebinasaan mereka.
  2. Allah menegaskan bahawa Al-Quran ini diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w dan kepada rasul-rasul sebelumnya oleh Allah s.w.t yang sifat-Nya: Allah Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزُ)- gagah perkasa, lagi Maha Bijaksana (الْحَكِيمُ).
  3. Kita wajib dan yakin dan percaya bahawa semua yang Allah s.w.t turunkan itu adalah penuh hikmah dan dengan Kebijaksanaan-Nya. Maka sesiapa yang mempertikaikan hukum-hakam dalam al-Quran maka seolah dia mempertikaikan kebijaksanaan Allah s.w.t!
  4. Juga oleh Allah Yang Maha Berkuasa, maka jika kamu berani nak lawan tunggulah akibat dan balasannya!

AYAT 4- {DIA LAH YANG MEMPUNYAI DAN MENGUASAI SEGALA YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI; DAN DIA LAH YANG TERTINGGI KEADAANNYA, LAGI MAHA BESAR (KEKUASAANNYA).} (ASY-SYURA 42:4)

  1. Setelah Allah s.w.t nyatakan tentang Dia yang turunkan wahyu kepada para nabi a.s maka maka Allah tegaskan sekali lagi bahawa Dia-lah yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Maka jangan ada yang mengaku lebih tahu dan bijak daripada-Nya.
  2. Serta sifat-Nya Yang Tertinggi keadaan-Nya (الْعَلِيُّ), lagi Maha Besar kekuasaan-Nya (الْعَظِيمُ)- maka kita kena akur dan tunduk kepada peraturan Allah s.w.t.

AYAT 5- {ALAM LANGIT NYARIS-NYARIS PECAH DARI SEBELAH ATASNYA (KERANA NGERI DAN TAKUTNYA KEPADA KEMURKAAN ALLAH TERHADAP PENDUDUK BUMI YANG LUPAKAN KEBESARAN ALLAH SEHINGGA MENYELEWENG DARI JALAN YANG BENAR); DAN MALAIKAT BERTASBIH DENGAN MEMUJI TUHANNYA SERTA MEMOHON AMPUN BAGI MAKHLUK-MAKHLUK YANG ADA DI BUMI. INGATLAH! SESUNGGUHNYA ALLAH, DIA LAH YANG MAHA PENGAMPUN, LAGI MAHA MENGASIHANI.} (ASY-SYURA 42:5)

  1. Allah nyatakan bahawa langit hampir pecah dan terbelah kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah terhadap penduduk bumi yang lupa akan kebesaran Allah sehingga menyeleweng dari jalan yang benar, syirik dan kufur!
  2. Kenapa langit nyaris terbelah, runtuh dan pecah itu? Kata Ibnu Asyur rhm.:
    i- kerana ia sangat takut dan hormat kepada keagungan dan kebesaran Allah s.w.t.

ii- kerana geram nak marah terhadap perbuatan orang kafir yang mensyirikkan Allah s.w.t!

  1. Firman Allah s.w.t: {Dan mereka yang kafir berkata: \”(Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak.\” Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!
    Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,} (Maryam 19: 88-90)
  2. Sedangkan tidak layak sama-sekali bagi Allah s.w.t untuk mempunyai anak seperti manusia seperti dakwaan mereka itu, maka kita berhati-hati jangan turut terlibat bergembira bersama golongan ini.
  3. Allah nyatakan juga bahawa para malaikat kerjanya:
    i-bertasbih dengan memuji Allah Azza wa Jalla daripada perkara yang tidak layak bagi-Nya, mereka menyifatkan Allah dengan sifat yang sempuran kerana sayang dan mengagungkan-Nya.

ii- dan memohon keampunan bagi makhluk yang ada di bumi, iaitu bagi mereka yang beriman, orang yang soleh dan melakukan amal ibadat mengikut peritah Allah s.w.t.

Lihat Kuliah DDAM 12 golongan yang mendapat doa malaikat:
https://youtu.be/SwqHYSv3-LA

  1. Firman Allah s.w.t: {Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): \”Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.} (Ghaafir/Mukmin 40: 7)
  2. Hadis malaikat berdoa untuk para mukmin yang berada di tempat solatnya.
    Sabda Rasulullah s.a.w: \”Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan tidak berhadas. Doa malaikat: Ya ALLAH ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.\” [HR Bukhari & Muslim].
  3. Ingatlah bahawa Allah s.w.t sifatnya juga Yang Maha Pengampun (الْغَفُورُ), lagi Maha Mengasihani (الرَّحِيمُ). Betapa besarnya rahmat Allah s.w.t ke atas hamba-hamba-Nya.

AYAT 6- {DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG MENJADIKAN SESUATU YANG LAIN DARI ALLAH SEBAGAI PELINDUNG (YANG DISEMBAH DAN DIHARAPKAN PERTOLONGANNYA), ALLAH SENTIASA MENGAWASI TINGKAH LAKU MEREKA (SERTA AKAN MEMBALASNYA); DAN ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD HANYALAH PENYAMPAI) BUKANLAH MENJADI WAKIL YANG MENGUASAI SOAL (BAWAAN DAN AMALAN) MEREKA.} (ASY-SYURA 42:6)

  1. Manakala golongan yang menjadikan bagi Allah sekutu untuk disembah dan diharapkan pertolongannya, Allah nyatakan bahawa DIA sentiasa mengawasi tingkah laku mereka serta akan membalasnya.
  2. Juga mengingatkan Rasulullah s.a.w bahawa Baginda hanya hanyalah penyampai, yang berdakwah membimbing menunjuk jalan yang benar kepada mereka. Mereka terima atau tidak, bukanlah menjadi tanggung-jawab tentang bawaan dan amalan mereka.
  3. Yakni Allah s.w.t ringankan sedikit bebanan Rasulullah s.a.w bahawa tugasnya hanya menyampaiakn apa yang Allah suruh, bukan tugasnya untuk memberi hidayah kepada mereka.
  4. Sebagaimana yang kita sudah belajar bahawa hidayah itu ada dua jenis:
    i- Pertama (Hidayatul Irsyad Wal Bayan), hidayah memberi bimbingan, penunjuk jalan, memberi ajaran dan keterangan itu kerja Nabi s.a.w dan para rasul yang disambung oleh para sahabat, tabi\’en, imam-imam dan pendakwah semuanya.

ii- Hidayah Taufiq- Hidayah untuk beri taufiq buka hati manusia untuk terima apa yang kita ajar, apa yang dibawa oleh al-Quran dan hadis, itu kerja Tuhan. Bukan di bawah kuasa manusia.

  1. Jika mereka ingkar, mereka akan menyesal nanti apabila masuk ke dalam kubur. Kamu bacalah berpuluh hadis pun jika hati mereka tertutup, hidayah tidak akan dapat memasukinya.
  2. Rasulullah s.a.w mengatakan bahawa: Dua rakaat solat sunat yang ringkas, yang kamu lakukan itu, amat diingini oleh ahli kubur jika mereka boleh tebus dengan dunia yang ada hari ini. Tetapi apakan daya sudah tiada guna lagi penyesalan dn taubat selepas mati.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 1- {Haa, Miim- حم} & Ayat 2- {Ain, Siin, Qaaf- عسق} kenapa dalam surah ini di jadikan dua ayat, tidak disambung terus menjadi satu perkataan seperti dalam surah-surah lain; seperti surah ar-Ra\’du, al-A\’raf dan Maryam, dan lain-lain?

Penjelasan ulama\’:
i- kerana selepas huruf mim dalam surah lain itu hanya ada satu atau dua huruf saja, contoh- (المر, المص, كهيعص) jadi boleh disambung terus, manakala dalam surah ini ada 3 huruf selepas mim {Haa, Miim- حم} iaitu {Ain, Siin, Qaaf- عسق}, jadi seolah satu kalimah lain, maka lebih aula dipisahkan menjadi dua perkataan.

ii- kerana ia adalah termasuk dalam kumpulan surah (ha-mim- yang tujuh) maka jika ia disambung, akan lari dari kumpulannya itu. Maka {Haa, Miim- حم} sebagai mubtada\’ manakala {Ain, Siin, Qaaf- عسق} ayat kedua sebagai khabar.

iii- serta terdapat beberapa penjelasan dan tafsiran lagi mengikut ulama\’ tadabbur, wallahu a\’lam.

  1. Ayat 3- {Sebagaimana yang terkandung dalam surah ini dan surah-surah yang lain – diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu, oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.}- dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan kelebihan-Nya dalam menurunkan Kitab-kitab dan melantik para rasul. Apa yang Rasulullah bawa dan ajar bukan dari rekaanya semata-mata tetapi, semua para nabi dan rasul ini sejak dari Adam dan Nuh a.s adalah ajaran dan dakwah yang mengajak kepada tauhid Allah s.w.t.

Dibawa dua sifat (Allah Yang Maha Kuasa (الْعَزِيزُ), lagi Maha Bijaksana (الْحَكِيمُ).) untuk menyatakan sempurnanya kemuliaan, kekuasaan dan kebijakan Allah s.w.t.
Bukan seperti makhluk yang tidak sempurna dan banyak kekurangannya. Tiada benda yang sia-sia atau tanpa faedah yang Allah s.w.t buat. Maka yakin dan percayalah kepada al-Quran yang datang dari Tuhan yang bersifat sedemikian.

  1. Ayat 5- {Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya (kerana ngeri dan takutnya kepada kemurkaan Allah}- ayat ini menyatakan keagungan kekuatan & kekuasaan Allah s.w.t., langit yang begitu besar dan teguh boleh menjadi pecah dan hancur kerana takut kepada Allah Azza wa Jalla.

Contoh kecil seperti firman Allah s.w.t ini:
i- {Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: \”Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu\”. Allah berfirman: \”Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu\”, Setelah Tuhannya \”Tajalla\” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) \”TajalliNya\” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: \”Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)} (Al-A\’raaf 7:143)

ii- {Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.} (Al-Hasy-r 59:21)

Betapa bukit yang besar itu takut kepada Allah sehingga pecah, kita manusia ini pula tidak terasa apa-apa atas kejadian yang berlaku.

  1. Ayat 5- {dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi.}- ayat ini menunjukkan kelebihan untuk mencampur antara tasbih mensucikan Allah, memuji dan istighfar memohon keampunan Allah s.w.t.
    i- Hadis dari Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda,
    كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ
    \”Dua kalimat yang dicintai oleh Ar Rahman, ringan diucapkan di lisan, namun berat dalam timbangan (amalan) iaitu:
    سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ
    (Maha Suci Allah, segala pujian untuk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Mulia).\” [HR Bukhari].

Ayat ini juga menunjukkan dimulai dengan tasbih dulu baru tahmid.
Ini kerana tasbih ialah kita mensucikan dulu Allah s.w.t dari segala kekurangan kemudian kita bertahmid yakni memuji sifat Allah yang sempurna dan membesarkan Allah s.w.t.

Tetapi tidak mengapa dan tidak menjadi kesalahan untuk kita mulakan dengan lafaz zikir yang mana dulu pun sebagaimana hadis ini.

ii- Empat Kalimah Yang Paling Disukai Allah:
عَنْ سَمُرَةَ بْنِ جُنْدَبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَحَبُّ الْكَلاَمِ إِلَى اللَّهِ أَرْبَعٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ لاَ يَضُرُّكَ بَأَيِّهِنَّ بَدَأْتَ
Daripada Samrah bin Jundab r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Ada empat ucapan yang paling di sukai Allah s.w.t:
Subhanallah سُبْحَانَ اللّهُ [Maha Suci Allah],
Alhamdulillah اَلْحَمْدُلِلّهِ [Segala Puji Bagi Allah],
Laa ilaaha illallah لاَ اِلَهَ اِلاَّ اللّهُ [Tiada ilah yang berhak disembah kecuali Allah]
dan Allahu Akbar اَللّهُ اَكْبَرُ [Allah Maha Besar].
Tidak berdosa bagimu dengan mana saja kamu memulai. (HR Muslim No: 2137/12)

  1. Ayat 6- {Allah sentiasa mengawasi tingkah laku mereka (serta akan membalasnya); dan engkau (wahai Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai soal (bawaan dan amalan) mereka.}- ayat in menjelaskan luasnya ilmu Allah s.w.t dan Dia tahu apa saja yang kamu buat, kecil atau besar, cerah atau gelap semua di bawah ilmu Allah s.w.t.

i- Maksud Rasulullah s.a.w bukan wakil kepada bawaan mereka itu; Baginda dilantik Allah menjadi rasul menyampaikan ajaran kepada manusia, tetapi Baginda tidak akan dipertanggung-jawabkan jika manusia ingkar dan kufur. Ini kerana Rasulullah s.a.w telah menjalankan tugas dan amanahnya maka dia tidak akan dipersalahkan lagi atas pilihan manusia, setelah laksanakan tugas.

ii- Setelah Rasulullah s.a.w menyampaikan beberapa wasiat dalam Khutbah pada Haji Wada\’, apabila sampai pada penutupnya, Baginda bertanya kepada para sahabat adakah mereka menyaksiakan bahawa Baginda telah menyampaikan risalahnya:
\”Ya Allah! Sudahkah kusampaikan?!\”
Maka serentak dari segenap penjuru orang ramai menjawab: \”Ya!\”
Lalu Nabi berkata: \”Ya Allah, saksikanlah ini!\” [HR Bukhari].

Semoga Allah memberi taufik kepada kita untuk beramal dengan Sunnah Rasulullah s.a.w dan meningglkan perkara rekaan yang tidak ada dalam sunnah.

Serta semoga Allah beri kita pahala menyampaikan kepada masyarakat dan Allah tidak ambil tindakan atas kelemahan dan kecuaian kita.

Powered by BetterDocs