View Categories

SURAH ASY-SYURA : AYAT 25-28

\"\"

ALLAH MENERIMA TAUBAT HAMBA-NYA, REZEKI DIBERI IKUT KESESUAIAN & NIKMAT TURUN HUJAN.

Full video : https://youtu.be/z84cbW0Ovk4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan bahawa Dia menerima taubat hamba-nya yang insaf dan bertaubat dari dosa-dosanya.
  2. Allah nyatakan bahawa semua rezeki Dia yang tentukan, ini untuk menjaga kestabilan dan keharmonian, berdasarkan ilmu dan hikmah-Nya.
  3. Allah juga nyatakan tentang hujan sebagai salah-satu dari nikmat Allah s.w.t kepada makhluk-Nya.
  4. Munasabah ayat: dalam ayat 24 sebelum ini dinyatakan bahawa puak kafir telah membuat rekaan dan tuduhan jahat untuk mendustakan Allah s.w.t.
    Kemudian Allah lepaskan Rasul-Nya daripada tuduhan jahat itu.

Sebagaimana diketahui bahawa orang yang buat jahat ini pasti akan mendapat balasan azab siksa yang dahsyat.
Lalu Allah s.w.t nyatakan dalam ayat-ayat ini bahawa Dia buka pintu taubat dan akan menerima taubat mereka yang bertaubat.

Kisah beberapa orang sahabat yang menyesal dengan sikap mereka terhadap Rasulullah s.a.w dan Islam seperti Amru bin al-As r.a dan lain-lain.

ii- tentang orang yang berhujjah dengan fahaman yang sesat dan batil semata-mata nak menegakkan fahaman mereka,
Kemudian Allah nyatakan dalam ayat 22, keadaan orang yang zalim apabila melihat siksaan yang balasan yang mereka terima serta digambarkan juga keadaan orang mukmin yang sebaliknya.

  1. Maka dalam ayat ini Allah menyeru kepada:
    i- mereka yang masih kufur dan syirik agar insaf dan kembali kepada Islam, kerana pintu taubat masih terbuka.

ii- juga kita orang Islam yang beriman ini, yang pasti ada tersilap dan salah yang kita lakukan secara sedar atau tidak, kita juga perlu kepada pintu taubat ini untuk kita mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

AYAT 25- {DAN DIA LAH TUHAN YANG MENERIMA TAUBAT DARI HAMBA-HAMBANYA (YANG BERTAUBAT) SERTA MEMAAFKAN KEJAHATAN-KEJAHATAN (YANG MEREKA LAKUKAN); DAN IA MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU SEMUA KERJAKAN.} (ASY-SYURA 42:25)

  1. Allah s.w.t menyatakan DIa sebagai Tuhan yang:
    i- menerima taubat (يَقْبَلُ التَّوْبَةَ) hamba-Nya yang kembali bertaubat kepada-Nya serta

ii- memaafkan kejahatan-kejahatan (وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ) yang mereka lakukan dulu.

  1. Maka kita sebagai hamba hendaklah sentiasa bertaubat kembali kepada Allah s.w.t. Satu doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w, lebih-lebih lagi kita sekarang berada pada 10 Akhir Ramadhan ini, perbanyakkanlah doa ini:

Dari Aisyah R.A, beliau bertanya kepada Nabi S.A.W:
Wahai Rasulullah, jika aku menjumpai satu malam merupakan Lailatul Qadar, apa yang harus aku ucapkan di malam itu
Baginda s.a.w menjawab: Ucapkanlah:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: \”Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.\” [HR. Ahmad 25384, At-Tirmizi 3513, Ibn Majah].

  1. Terdapat banyak hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan taubat ini antaranya ialah yang menceritakan bagaimana Allah sangat suka dengan taubat seorang hamba-Nya yang bertaubat:

i- Sabda Rasulullah s.a.w: \”Sungguh kegembiraan Allah kerana taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan salah seorang daripada kamu terhadap binatang tunggangannya di sebuah padang pasir yang luas, namun tiba-tiba binatang tersebut hilang. Sedangkan di atasnya ada bekalan makanan dan minumannya sehinggalah akhirnya dia berasa putus asa untuk mencarinya.
Kemudian dia beristirehat di bawah sebatang pohon dalam keadaan putus asa untuk menemuinya kembali.
Sewaktu dalam keadaan itu, tiba-tiba dia mendapati binatang tunggangannya sudah ada berdiri di sisinya. Dia pun segera mengambil tali kekangnya kemudian berkata dengan sangat gembira: \”Ya Allah, Engkau hambaku dan aku ini Tuhanmu.\” Dia tersalah tutur kata kerana terlalu gembira.\” (HR Muslim)

Yakni Rasulullah s.a.w buat analogi bandingan bahawa Allah s.w.t lebih suka dan gembira menerima taubat hamba-Nya daripada kegembiraan lelaki yang jumpa semula kenderaan dan barangnya yang hilang itu!

ii- Nabi S.A.W bersabda maksudnya: \”Sesungguhnya Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari untuk menerima taubat orang yang bersalah pada siang hari dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari menerima taubat orang yang bersalah pada malam hari, hingga matahari terbit dari barat.\” (HR Muslim)
Ini taubat manusia seluruh makhluk. Masih terbuka sepanjang masa kini.

iii- Rasulullah S.A.W bersabda, \”Sesungguhnya Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Agung menerima taubat seseorang sebelum nyawanya sampai di halkum.\” (HR At-Tirmizi, Ibnu Majah & Ahmad.
Ini taubat individu bagi setiap manusia yang akan terbuka selagi dia masih hidup.

  1. Kata Ibnu Juzay rhm – Allah s.w.t maafkan hamba-Nya tanpa perlu taubat ada empat kategori:
    i- memaafkan orang yang kafir & syirik: tidak mungkin, wajib bertaubat.

ii- memaafkan kezaliman yang berlaku sesama hamba- demikianlah sifat Allah.

iii- memaafkan dosa-dosa kecil- jika pelakunya tidak melakukan dosa besar. Ini ittifaq para ulama\’.

iv- memaafkan dosa-dosa besar- pegangan ahli Sunnah ini di bawah kehendak Allah s.w.t!

  1. Allah s.w.t maafkan kesalahan dengan sebab taubat: [Petikan dari Tafsir Ibnu Asyur rhm.].
    i- Allah s.w.t ampunkan dosa seseorang sebelum dia bertaubat, jika dia buat dosa, tak sempat bertaubat tetapi dia telah melakukan ibadat yang besar seperti Haji yang mabrur, maka Allah maafkannya sebelum bertaubat.

ii- Orang yang mati syahid, jika ada dosanya Allah s.w.t akan hapuskan semua dosanya. Tetapi ingat kecuali hutang dengan manusia lain, wajib dibayar oleh pewarisnya.

iii- Allah maafkan dosa-dosa seseorang dengan sebab banyak kebaikan yang dibuat.

Asas kepada kemaafan itu TAUBAT, tetapi jika dia taubat dari dosanya yang lain, Allah maafkan juga dosanya yang lain, menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah s.w.t!

  1. Setelah Allah nyatakan taubat sebagai salah satu kerja utama yang besar bagi seseorang manusia:
    i- maka sesiapa yang bertaubat dengan benar-benar ikhlas maka selesailah masalahnya.

ii- Tetapi jika ada manusia yang bertaubat tetapi masih cuai, taubatnya belum begitu padu, maka Allah s.w.t nyatakan bahawa: {dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan!}.

Yakni semuanya di dalam ilmu Allah s.w.t yang mengetahui segala apa yang ada di dalam dada manusia, kita manusia tidak dapat menilainya.
Jika kamu nak taubat, kena ikhlas dan betul-betul taubat!

AYAT 26- {DAN IA MEMPERKENANKAN DOA PERMOHONAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN SERTA BERAMAL SOLEH, DAN IA MENAMBAHI MEREKA DARI LIMPAH KURNIANYA (SELAIN DARI YANG MEREKA POHONKAN). DAN (SEBALIKNYA) ORANG-ORANG YANG KAFIR, DISEDIAKAN BAGI MEREKA AZAB SEKSA YANG SEBERAT-BERATNYA.} (ASY-SYURA 42:26)

  1. Allah s.w.t nyatakan di sini bahawa sifat-Nya yang akan memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh apabila mereka ikhlas dan bertepatan dengan Sunnah Nabi s.a.w. Ini dua syarat diterima amal-ibadat.
  2. Apakah maksudnya Allah s.w.t memperkenankan doa permohonan ini?
    i- yakni apabila kita berdoa Allah akan perkenankan iaitu kabul doa orang-orang yang beriman serta beramal soleh dengan ikhlas dan ikut Sunnah Nabi s.a.w.

ii- orang beriman yang memperkenankan arahan dan perintah Allah s.w.t.

iii- orang yang beriman minta Allah s.w.t perkenankan doa mereka.
Kata ulama\’ yang pertama lebih tepat dengan makna ayat.

  1. Apabila kita berdoa dengan ikhlas dan beramal dengan baik, maka dengan limpah kurnia-Nya Allah s.w.t akan beri lebih daripada apa yang kita pinta! Yakni tambah lagi ke atas doanya atau tambah pahala yang dia buat.
  2. Firman Allah s.w.t: {Sesudah itu, orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka, dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka.} (An-Nisaa\’ 4:173)
  3. Manakala bagi orang kafir azab siksa yang pedih dan dahsyat! Maka pilihlah jalan mana yang kamu mahu????!!!

AYAT 27- {DAN KALAULAH ALLAH MEMEWAHKAN REZEKI BAGI SETIAP HAMBANYA, NESCAYA MEREKA AKAN MELAMPAUI BATAS DI BUMI (DENGAN PERBUATAN-PERBUATAN LIAR DURJANA); AKAN TETAPI ALLAH MENURUNKAN (REZEKINYA ITU) MENURUT KADAR YANG TERTENTU SEBAGAIMANA YANG DIKEHENDAKINYA. SESUNGGUHNYA IA MENGETAHUI DENGAN MENDALAM AKAN SEGALA KEADAAN HAMBANYA, LAGI MELIHAT DENGAN NYATA.} (ASY-SYURA 42:27)

  1. Allah nyatakan di sini jika diberi nikmat kemewahan kepada semua manusia di bumi ini mereka akan jadi sombong dan angkuh di muka bumi ini!
  2. Kerana Allah s.w.t yang Maha Mengetahui siapa yang akan menjadi kufur atau syukur dengan nikmat-Nya, maka rezeki manusia itu berbeza-beza.
    Mungkin yang diberi harta banyak akan jadi takabbur dan tidak syukur, manakala yang miskin akan mengamuk pula.
  3. Dalam ayat yang lepas Allah beritahu bahawa Dia perkenankan doa orang mukmin. Lalu timbul persoalan adakala orang mukmin itu lemah, miskin dan sakit, adakah doanya tidak diterima? Sedangkan dia seorang yang soleh dan baik.
  4. Maka jawapan ada dalam ayat ini:
    i- Allah s.w.t perkenankannya tetapi sesuai dengan keadaan dan keperluan seseorang itu.

ii- jika Allah perkenankan semua doa orang nak kaya, maka manusia akan mudah tak sedar diri, mungkin kan menjadi angkuh dan takabbur di atas muka bumi ini!

iii- Ia sebagai medan ujian dan muhasabah diri kepadanya, adakah dia dapat bersabar atas ujian itu lalu akan mendapat pahala dan keredhaan Allah s.w.t.

  1. Firman Allah s.w.t: {Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),
    Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.} (Al-\’Alaq 96: 6-7)
  2. Hadis: Rasulullah s.a.w bimbang jika khazanah dunia terbuka di depan mata umatnya lalu mereka berkejar mencari dunia seperti umat terdahulu, maka mereka akan dibinasakan seperti umat terdahulu juga! [HR Bukhari & Muslim].
  3. Inilah yang kita takuti jika kita diberi harta dunia, kita akan menjadi sombong takabbur sebagaimana kisah Qarun yang akhirnya binasa dek azab Allah Allah s.w.t!
  4. Allah turunkan kadar rezeki bagi setiap manusia mengikut kadar yang dia kehendaki dan dengan ilmunya. Ada orang yang sesuai banyak ini, ada yang sesuai setakat itu.
    Manusia ini ada yang kaya tetapi tawadhuk, ada juga yang miskin tetapi sombong.
  5. Jadi ujian Allah itu macam-macam, ada yang asal susah bila dapat nikmat akan sombong atas muka-bumi, beraja di mata bersultan di hati, ikut segala keinginan nafsu. Takut jadi begitu, maka kita sabar dan syukurlah atas segala rezeki yang ditetapkan Allah ini.
  6. Allah tutup perbincangan ayat ini mengatakan: {Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.}
    *Maka janganlah kita pertikaikan dan bandingkan rezeki sesama manusia.

AYAT 28- {DAN DIA LAH YANG MENURUNKAN HUJAN SETELAH MEREKA BERPUTUS ASA, DAN IA PULA MENYEBARKAN RAHMATNYA MERATA-RATA. DAN (INGATLAH) DIA LAH PENGAWAL (YANG MELIMPAHKAN IHSANNYA), LAGI YANG MAHA TERPUJI.} (ASY-SYURA 42:28)

  1. Allah s.w.t turunkan hujan ke atas sesuatu negeri sebagai satu nikmat yang besar ke atas mereka selepas mereka berputus-asa akibat kemarau dan ujian yang berpanjangan.
  2. Setelah Allah nyatakan bahawa ada manusia yang luas rezekinya, ada yang sempit, maka Allah s.w.t nyatakan pula nikmat hujan yang diberinya kepada manusia.
    Asas hujan itu membawa rahmat dan berkat.
  3. Allah tutup ayat ini dengan menyatakan bahawa sifat-Nya adalah:
    i- Dia-lah pengawal (الْوَلِيُّ) yang melimpahkan ihsan-Nya, yang menetapkan bagi kita bila turun hujan dan tumbuhnya pokok.

ii- Lagi Yang Maha Terpuji (الْحَمِيدُ)- dengan kuasa-Nya. Maka kita hanya berhak memuja dan memuji Allah s.w.t atas nikmat yang dikurniakan kepada kita.
Selepas makan kita kata-alhmdulillah, bila hujan kita kata: الحمد لله

Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Ayat 25- {Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya}- ayat ini bukan cerita semata-mata tetapi merupakan galakan kepada manusia untuk sentiasa bertaubat, kembali kepada Allah.
    Berdoalah selalu: أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ

Allah s.w.t juga kata bahawa Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan – maka ia mengisbatkan ilmu Allah yang meliputi segalanya. Bila kita tahu Tuhan tahu, maka kita kena ikhlaskan ibadat kita hanya kepada Allah s.w.t kerana Dia Maha Mengetahui!
Tiada faedah untuk riya; dan bermuka-muka lagi.

  1. Ayat 26- {Dan Ia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,}- ayat ini membawa erti bawa sesiapa yang ikut perintah Allah s.w.t akan diperkenankan doanya.
    Doa secara ghaib itu yang mustajab, bukan doa yang dicanang di medsos untuk dilike oleh orang ramai.

Kemudian Allah s.w.t akan limpahkan lagi kurnianya kepada mereka yang beramal soleh itu. Ianya berganda sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
i- { al-An\’am: 160}
ii- { al-Baqarah: 261}

Tetapi adakalanya tambahan itu bukan dengan bilangan, tetapi Allah tambahkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa kita, lagi banyak doa lagi mantap imannya!

Diakhir ayat Allah s.w.t kata bagi puak kafir azab yang dahsyat.
Allah buat satu kaedah:
i- Jika Allah s.w.t menyebut sesuatu perbuatan yang ada azab, janji azab dan dilaknat, maka ia adalah dalil bahawa ia haram.
Jika sebaliknya jika buat ada pahala, maka ia adalah tanda kita disyariatkan untuk melakukannya.

  1. Ayat 27- {Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); – ulama\’ kata ini menjadi dalil bahawa banyaknya harta/kaya boleh menjadi penyebab rosaknya iman seseorang, ini kerana kaya itu adalah punca kemegahan dan kesombongan.
    Walaupun tidak dinafikan ada juga orang miskin yang sombong, tetapi susunan ayat kita ini membincangkan tentang hikmah sebab kenapa rezeki disekat daripada seseorang itu.

Allah s.w.t juga kata Dia beri rezeki mengikut kadarnya, maka ulama\’ kata jika nak banyak rezeki kena banyak usaha.
Doa itu doa juga, tapi kena usaha, ikhtiar yakni perkerjaan buat.

  1. Ayat 28- {Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa,}- ayat ini menunjukkan tabiat manusia itu tidak sabar lalu mudah berputus harap dari rahmat Allah s.w.t. Sedangkan haram bagi seorang muslim untuk kecewa dan putus harap dari rahmat Allah.
    Maka setiap kita kena akur dan sabar atas ujian yang Allah beri, jangan kecewa dan terus putus asa daripada rahmat Allah s.w.t.
    Maka ayat ini bukan bermakan Allah terima putus harap mereka itu, tetapi untuk menyatakan keadaan yang berlaku pada masa itu, yang sudah tiada harapan bahawa hujan akan turun selepas kemarau yang panjang.
  2. Ayat 28- {Dan Ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata}- Allah itu bersifat Rahmat dan antara kesan rahmat Allah s.w.t ialah turunnya hujan lalu bumi menjadi subur.
    Kerana itu Allah s.w.t kata Dia menyebarkan rahmat-Nya (رَحْمَتَهُ) bukan menurunkan hujan, ini kerana hujan itu dinamakan rahmat kerana dengan hujan banyaknya rahmat Allah s.w.t yang kita dapat, dengan pokok-pokok tumbuhan, buahan, sayuran dan lain-lain.

Allah s.w.t nyatakan sifat-Nya dengan menyebut di akhir ayat bahawa dia adalah wali, penguasa kepada semua makhluk serta di atas dunia ini serta rezeki mereka juga. Dia juga yang Maha Terpuji.

Firman Allah s.w.t: { Lukman 26

  • Ini menyatakan Allah s.w.t itu:
    i- bersifat kaya kerana Dia mampu menyediakan semua rezeki ke atas seluruh penduduk atas dunia ini! Luas atau sempit cerita lain.

ii- Allah s.w.t itu dipuji dalam semua keadaan, dia bagi rahmat dan senang; kita syukur dan ucap alhdulillah.
Manakala apabila diberi ujian dan musibah; kita sabar dan redha juga ucap alhamdulillah atas segala ketetapan-Nya. الحمد لله على كل حال

Powered by BetterDocs