SURAH AZ-ZUMAR : AYAT 24-26

\"\"

GOLONGAN YANG MENJAGA DIRINYA DARI NERAKA, BINASANYA PARA PENDUSTA & AZAB YANG HINA DI DUNIA DAN AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/_Kc52LcjCY8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang adanya golongan yang cuba menepis dengan muka dari api neraka, tetapi manakan mampu untuk menyelamatkan diri dari azab neraka yang sangat kuat dan dahsyat itu!
  2. Ada juga golongan yang bangnkit di Akhirat kelak aman daripada azab api neraka, berjalan di bawah teduh bayangan yang Allah s.w.t sediakan.
    Inilah golongan yang mendapat cahaya hidayah Allah s.w.t.
  3. Pastilah dua golongan ini sangat berbeza dan tiada persamaam walaupun semasa di atas dunia dulu mereka mungkin dari golongan yang sama, sama kaum dan negaranya.
    Tetapi berbeza dari sudut pegangan dan kefahaman, maka berbezalah kedudukannya!
  4. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t menyatakan keingkaran kepada orang yang menyamakan antara yang sempit dadanya dan yang luas dadanya.
    Orang yang luas dadanya adalah orang yang mendapat hidayah Allah s.w.t! Manakala yang sempit dada adalah yang sesat.
  5. Allah s.w.t juga nyatakan sesiapa yang hatinya keras, dengar al-Quran tidak mahu ikut, dengar sunnah tidak mahu ikut maka Allah s.w.t jatuhkan hukuman di dunia ini sebagai orang yang sesat!
  6. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan pula tentang kedua-dua kumpulan tersebut:
    i- bagaimana kesan orang yang sempit dada dan bagaimana kesan orang yang lapang dadanya.
    ii- hukuman yang akan dijatuhkan kepada mereka di akhirat kelak, iaitu azab yang dahsyat, na\’uzubillah!
  7. Semoga kita adalah termasuk dalam golongan yang tenang, gembira hatinya apabila dibincangkan tentang Islam, tentang ayat-ayat al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

AYAT 24- {MAKA ADAKAH ORANG YANG MENAHAN DENGAN MUKANYA AKAN (SELARAN) AZAB YANG BURUK PADA HARI KIAMAT (SAMA SEPERTI ORANG YANG TERSELAMAT)? DAN (PADA SAAT ITU) DIKATAKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG ZALIM ITU: \”RASALAH (BALASAN) APA YANG KAMU USAHAKAN DAHULU\”.} (AZ-ZUMAR 39:24)

  1. Allah s.w.t bertanya lagi dalam ayat ini adakan sama antara:
    i- orang yang sedang menahan dengan mukanya akan selaran api neraka, yang diazab neraka buruk pada hari kiamat. Dengan;
    ii- orang yang terselamat dari azab itu, Iaitu mereka yang beiman dan taat kepada Allah s.w.t.
  2. Ini adalah soalan yang tidak perlu difikir lagi, pastilah orang yang baik itu adalah orang selamat daripada azab Allah s.w.t!
  3. Lalu dikatakan kepada mereka yang zalim itu, rasalah, ambillah balasan yang hasil kerja, usaha kamu di dunia dulu.
    Yang kamu dustakan dan cabar-cabar dulu! Ayat ini lebih kepada perli dan penghinaan kepada puak kafir yang dulu tak dengar kata dan keras kepala.
  4. Zalim ada dua jenis:
    i- zalim diri sendiri dengan syirik, kufur atau melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.
    ii- zalim kepada orang lain!
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: \”Rasalah azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu\”.} (As-Sajdah 32:20)

Kerana itu surah as-Sajadah dibaca pada setiap minggu pada hari Jumaat untuk mengingatkan kita akan kematian, azab kubur, balasan yang menanti di akhirat kelak. Ini untuk menggilapkan kembali hati dan meningkatkan lagi iman.
Kerana itu khutbah Jumaat itu besar peranannya bukan hanya sekadar baca teks tanpa murajaah & penghayatan yang sepenuhnya!

AYAT 25- {(INGATLAH! BAHAWA) ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARI MEREKA TELAH MENDUSTAKAN (RASUL-RASUL YANG DIUTUSKAN KEPADA MEREKA), LALU ORANG-ORANG ITU DIDATANGI AZAB DARI ARAH YANG MEREKA TIDAK MENYEDARINYA.} (AZ-ZUMAR 39:25)

  1. Allah s.w.t memperingatkan bahawa kaum kafir dari kalangan umat terdahulu dari awal lagi juga telah mendustakan rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka.
  2. Allah s.w.t tidak akan membinasakan mana-mana kaum KECUALI setelah dihantar rasul, diberi peringatan dan ajaran. Ada rasul yang diberi Kitab, ada rasul yang menyambung dakwah dan ajaran rasul sebelumnya.
  3. Tetapi apabila mereka derhaka kepada rasul-rasul yang diutuskan itu, maka akan dihantar azab ke atas mereka dari arah yang yang tidak dijangka dan terfikir!
  4. Azab umat dulu adalah secara total (استئصال), musnah binasa keseluruhannya!

Azab umat ini lebih berbentuk (جزئي) iaitu sebahagian sahaja walaupun ada skala kecik ada skala besar, seperti tsunami dulu.

  1. Azab itu datang tanpa dijangka dan disedari. Mereka semua tidak bersedia dan menjangkanya akan diserang bala itu, samada orang terdahulu atau orang zaman ini!
  2. Ayat ini sama dengan firman Allah s.w.t ini juga:
    {Sebenarnya orang-orang yang terdahulu dari mereka telah menjalankan rancangan jahat (terhadap agama Allah dan Rasul-rasulNya); maka Allah binasakan bangunan (rancangan jahat) mereka dari asas-asasnya, lalu bumbung (bangunan itu) jatuh menimpa ke atas mereka, dan mereka pula didatangi azab kebinasaan dari arah yang mereka tidak menyedarinya.} (Al-Nahl 16:26)
  3. Kerana itu kita kena sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi kematian, sediakan amalan dan bekalan yang dapat menyelamatkan diri kita daripada azab neraka kelak!!!
    Kematian dan Kiamat juga akan bila-bila masa tanpa dapat dijangka atau diteka!

Sepatutnya ayat-ayat ini dapat menyedarkan dan memberi motivasi kepada kita.
Itulah kewajipan utama kita membuat persiapan untuk mati sebelum mati!

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:
    [عن أبي هريرة:] مَنْ صاحِبُ هذا القبرِ؟ فَقالوا: فُلانٌ فقال: رَكْعَتانِ أحبُّ إلى هذا من بَقِيَّةِ دُنْياكُمْ
    Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w berjalan bersama para sahabat sehingga samapai dekat sebuah kubur. Lalu Baginda bertanya: \”Kubur siapakah ini?\”
    Mereka menjawab: \”Kubur si fulan.\”
    Lalu Rasulullah s.a.w bersabda lagi:
    \”Jika orang dalam kubur ini boleh bangun; solat dua rakaat lebih bernilai baginya daripada memiliki seluruh dunia yang menjadi milik kamu ini.\” [HR at-Tobarani- sahih].
  2. Kita hari ini yang hidup segar bugar, tidak terasa nilainya solat dua rakaat yang kita telah cuai dan terlepas dari melakukannya selama ini. Jangan tungu mati baru terasa nilai
  3. Seorang Imam salafus-soleh baru siap mengebumikan sahabatnya di kubur. Selepas itu dikumpulkan sahabatnya yang datang dan memberi tazkirah:
    \”Kamu semua rasa apa yang diimpikan oleh mayat ini? Apa yang dia mahu?\”
    Mereka menjawab: \”Pasti dia mahu kembali hidup untuk beribadat menambah kebajikan.\”
    Lalu Imam itu berkata: \”Peluang dan masa tempoh untuk dia telah tamat, tetapi kita yang masih hidup masih ada peluang dan tempoh ini, maka gunakannya untuk teruskan amal ibadat kamu.\”
  4. Maka jangan kering lidah kita daripada zikir dan tasbih kepada Allah s.w.t sepanjang masa yang ada ini!
    Azab dan kematian itu datang tanpa janji dan disedari!
    Kurangkan sibuk membicarakan hal orang lain, sebut nama Allah nikmat, sebut nama orang bala!

AYAT 26- {MAKA ALLAH MERASAKAN MEREKA KEHINAAN DALAM KEHIDUPAN DUNIA (DENGAN BERBAGAI BALA BENCANA), DAN SESUNGGUHNYA AZAB SEKSA HARI AKHIRAT (YANG DISEDIAKAN UNTUK MEREKA) LEBIH BESAR LAGI. KALAULAH MEREKA MENGETAHUI (HAKIKAT INI, TENTULAH MEREKA TIDAK MENDUSTAKAN RASUL).} (AZ-ZUMAR 39:26)

  1. Allah s.w.t segerakan kepada umat kafir daripada umat yang terdahulu azab yang hina bermula di atas dunia ini lagi!

Contoh dalam peperangan Badar: Abu Jahal yang dibunuh dan dihina oleh para sahabat! Mayat-mayat kafir lain dicampakkan ke dalam telaga buruk!
Pada malamnya Rasulullah s.a.w datang sambil menyebut nama mereka yang telah menyakiti Islam dan Baginda dahulu, satu persatu!!

  1. Tetapi ingat puak kafir! Azab di akhirat nanti adalah lebih dahsyat dari yang kamu sudah dapat di dunia ini!
    Kalaulah kamu mengetahuinya pasti kamu tidak akan buat seperti yang kamu buat sekarang! Mereka akan mengambil pengajaran iktibar lalu beriman!
  2. Menunggu tamatnya tempoh sesuatu yang menyakitkan atau sesuatu yang tidak disenangi itu adalah sesuatu yang menyenangkan hati!
    Contoh seperti orang sakit, apabila doktor kata akan sembuh tidak lama lagi, orang kuarantin menunggu tamat tempoh kuarntinnyanya.
  3. Hadis – jika manusia tahu kelebihan saf awal & Azan:
    لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الأَوَّلِ، ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلاَّ أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لاَسْتَهَمُوا
    Sabda Rasulullah s.a.w: \”Kalau sekiranya manusia itu tahu apa yang ada pada Azan dan saf di barisan pertama (dalam solat), kemudian tidak mendapat (tempat) melainkan dengan mengundi, nescaya mereka akan mengundi. Dan jika mereka tahu (kelebihan datang pada awal waktu (ke masjid), nescaya mereka akan berlumba-lumba ke sana. Dan jika mereka tahu apa yang ada pada solat isyak dan subuh (berjemaah di masjid), nescaya mereka akan datang walau dengan merangkak!\” [HR al-Bukhari].
  4. Dalam ayat ini Allah s.w.t kata: {Kalaula kamu tahu (لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ)}, maka kita semua jangan lagi buat tak tahu akan apa yang disampaikan oleh al-Quran dan Rasulullah s.a.w!
    Apa yang baik kita rebut dan kejar buatnya apa yang dilarang kita jauhi dan tinggalkannya!
    Jangan buat tak tahu sedangkan kita telah mendengarnya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 25- {lalu orang-orang itu didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya.}- azab akan datang dari arah yang mereka tidak jangka!
    Kata ulama\’ tadabbur:
    Azab itu datang dari sudut yang mereka rasa aman dan tidak dijangka sama sekali! Supaya mereka merasa kedahsyatannya dan menunjukkan kekuasan Allah s.w.t.
    Dia boleh mendatangkan azab dari mana-mana arah dan sudut, atas, bawah, depan-belakang, yang tidak dijangka!

Kerana itu kata-kata hikmah:
Pengkhianatan yang dibuat oleh kawan adalah lebih dahsyat daripada pengkhianatan oleh musuh!
Pukulan pedang yang dibuat oleh kaum kerabat adalah lebih berbisa daripada libasan pedang musuh!
Inilah maksudnya kawan maka kawan atau kencing kawan!

  1. Ayat 26- {Maka Allah merasakan mereka kehinaan dalam kehidupan dunia (dengan berbagai bala bencana)- antara azab yang paling dahsyat di atas dunia ini ialah kehinaan dan rendah diri di atas dunia ini lagi!

Antara doa yang sering dibaca oleh Nabi Ibrahim a.s:
{ وَلَا تُخْزِنِي يَوْمَ يُبْعَثُونَ}
{\”Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-makhluk dibangkitkan hidup semula.} (Asy-Syu\’araa\’ 26:87)

Tetapi kita kena ingat; Kehinaan dunia ini hanyalah bertempoh, tetapi kehinaan di Akhirat dan azab neraka tiada akhirnya! Tiada bandingan akan kedahsyatan dan keperitannya nanti.

  1. Ayat 24- {Maka adakah orang yang menahan dengan mukanya akan (selaran) azab yang buruk pada hari kiamat (sama seperti orang yang terselamat)?}- kata ulama\’ tadabbur ini adalah antara perbuatan pelik atau menunjukkan hinanya ahli neraka!
    Ini kerana muka adalah anggota kita yang paling mulia!
    Muka biasanya bukan menjadi anggota yang digunakan untuk mempertahankan anggota lain, bahkan kita biasanya guna tangan dan lain-lain anggota untuk melindungi muka kita dari terdedah kepada bahaya!

Sabda Rasulullah s.a.w:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ «أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ»

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Keadaan paling dekat seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia dalam keadaan sujud, maka perbanyak doa (di dalamnya).\” [HR. Muslim]

  1. Ayat 24- {Dan (pada saat itu) dikatakan kepada orang-orang yang zalim itu: \”Rasalah (balasan) apa yang kamu usahakan dahulu\”.}- rasalah akibat dari perbuatan kamu di dunia ini.

Kata ulama\’ ini menunjukkan bahawa balasan itu mengikut amalan- Allah s.w.t itu Maha Adil dalam mengazab manusia yang zalim, yang ingkar, munkar, mereka tetap tidak akan dizalimi.

Kenapa Allah s.w.t guna perkataan apa yang kamu usahakan (تَكْسِبُونَ) bukan apa yang kamu lakukan (يَعْملونَ)?
Ini kerana percakapan ini ketika mereka berusaha menyelamatkan diri dengan muka, maka padanlah dengan usaha kamu itu!
Usaha itu biasanya dilakukan oleh orang yang mahu mencari kebaikan, tetapi mereka ini berusaha ke arah kejahatan dan keburukan.

  1. Ayat 25- {(Ingatlah! Bahawa) orang-orang yang terdahulu dari mereka telah mendustakan (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka), lalu orang-orang itu didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya.}- ayat in menunjukkan bahawa mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t dan mendustakan ajaran Rasulullah s.a.w akan menjadi sebab mereka menerima azab

Maka samalah azab yang datang kepada kafir hari ini atau musyrikin Makkah pada masa Rasulullah s.a.w dulu!

Sebagaimana yang terjadi kepada musyrikin Makkah yang diketuai oleh Abu Jahal, mereka telah berkumpul keluar dari Makkah pergi ke Badar dengan niat menunjukkan kekuatan dan kekuasaan mereka, tetapi rupanya mereka pergi untuk menghadapi kebinasaan mereka yang tidak dijangka sama sekali!
Walaupun tentera Islam hanya sedikit tanpa senjata yang lengkap, mereka berjaya membunuh seramai 70 orang lebih musyrikin dengan pertolongan Allah s.w.t!

Maka jika kita nak selamat, jangan mendustakan ayat-ayat al-Quran dan jangan memperkecilkan Sunnah Nabi s.a.w. Bahkan menjadi kewajipan kita sebagai ahli Sunnah untuk berpegang dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w bukan dengan buku-buku atau orang yang mendakwa sebagai ahli Sunnah.

Powered by BetterDocs