ORANG KAFIR TIDAK MENGHORMATI ALLAH, LANGIT DAN BUMI DI BAWAH KUASA ALLAH & HUKUMAN YANG ADIL TIADA YANG DIZALIMI.
Full video : https://youtu.be/8TptCKuLSjA
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini adalah perbincangan tentang orang kafir yang tidak menghormati Allah s.w.t walaupun mereka tahu akan kewujudan-Nya.
- Semua makhluk ini; langit dan bumi adalah di bawah kekuasaan Allah Azza wa Jalla.
- Allah s.w.t Maha Adil, setiap orang akan menerima balasan yang setimpal dengan apa yang dilakukannya. Tidak akan ada makhluk yang dizalimi. Jika buat baik atas dunia akan mendapat kebaikan, jika jahat, akan terimalah balasannya!
- Munasabah ayat: Dalam ayat-ayat lepas puak kafir telah mengajak Rasulullah s.a.w untuk turut sama menyembah berhala seperti mereka.
Lalu Allah s.w.t menyatakan betapa rosaknya pegangan mereka itu dan perintahkan Rasulullah s.a.w agar menyembah Allah s.w.t semata-mata tanpa menyukutukan Allah s.w.t dan syirik kepada-Nya. - Puak kafir itu jika mereka benar-benar mengenali Allah s.w.t, mereka tidak akan buat perkara karut iaitu syirik dan menyembah selain daripada Allah s.w.t!
AYAT 67- {DAN MEREKA (YANG MUSYRIK) TIDAK MENGHORMATI ALLAH DENGAN PENGHORMATAN YANG SEWAJIBNYA DIBERIKAN KEPADANYA, SEDANG BUMI SELURUHNYA – PADA HARI KIAMAT – DALAM GENGGAMAN KUASANYA, DAN LANGIT TERGULUNG DENGAN KEKUASAANNYA. MAHA SUCILAH IA DAN TERTINGGI KEADAANNYA DARI APA YANG MEREKA SEKUTUKAN.} (AZ-ZUMAR 39:67)
- Ada dari golongan kafir musyrikin ini yang mengenali Allah dan mengetahui bahawa Allah adalah Pencipta alam ini yang sebenarnya!
- Tetapi mereka TIDAK menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya. Mereka hanya buat-buat kenal Allah s.w.t, kerana itu mereka mensyirikkan-Nya dengan yang lain.
- Kita sebagai muslim wajib mentauhidkan Allah s.w.t dengan sebenarnya, murnikan akidah kita, jauhi segala syirik. Syirik ini kadang kita tidak nampak dan sedar bahawa ia hadir dan wujud dalam hidup kita, kita kena ingat dan berhati-hati.
- Setelah Allah s.w.t menyatakan kesesatan dan kekufuran mereka yang telah menyatakan tentang Allah yang bukan-bukan, maka dalam ayat ini Allah s.w.t memperkenalkan sifat-Nya yang hakiki, siapakah Allah yang sebenarnya!
- Dalam ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa bumi semuanya dalam genggaman Allah s.w.t (قَبْضَتُهُ).
Ada yang terjemah dalam kekuasaan Allah s.w.t.
Manakala langit tergolong dengan kuasa-Nya juga, yakni dalam genggaman tangan kanan-Nya (بِيَمِينِهِ). - Ayat ini telah ditafsirkan oleh beberapa hadis Rasulullah s.a.w:
i- Dari Abdullah bin Umar ra. Sesungguhnya Allah menggenggam bumi atau bumi-bumi dan langit-langit dengan tangan kanan-Nya, kemudian Dia berfirman: \”Aku Raja! Dimanakah raja-raja yang berkuasa di bumi dulu?\”.[HR Bukhari & Muslim].
ii- Hadis riwayat Ibnu Abbas r.a, dia bertanya kepada muridnya Mujahid: Adakah kamu tahu seluas mana neraka Jahannam itu? Muridnya menjawab: Kami Tidak tahu, tuan ceritakanlah! Dia berkata: Benar jika kamu tidak tahu kerana kamu tidak mendengar lagi hadis Rasulullah s.a.w ini.
UM Aisyah r.a menceritakan kepadaku bahawa dia telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang ayat ini iaitu: {Sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya.} Maka di manakah manusia berada pada hari itu wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w bersabda: \”Manusia pada waktu itu berada di atas jambatan (titian) neraka Jahannam.\” [HR at-Tirmizi dan lain-lain.].
Ini menunjukkan betapa luasnya neraka Jahannam itu! Kita minta berlindung darinya dengan Allah s.w.t!
iii- Hadis riwayat Ibnu Mas\’ud r.a: \”Datanglah salah seorang pendeta berjumpa Rasulullah saw. dan berkata: \”Wahai Muhammad, sesungguhnya kami dapati bahwa Allah menjadikan langit atas satu jari dan bumi-bumi atas satu jari, pohon atas satu jari dan semua makhluk atas satu jari, dan Allah berfirman: \”Akulah Raja\”.
Nabi saw tertawa sehingga tampak gigi taring Baginda dan membenarkan kata-kata pendeta itu, kemudian Rasulullah s.a.w. membaca ayat ini: {\”Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari Kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya, Maha Suci Tuhan dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan\”}. [HR Bukhari].
- Bagaimanakah sikap dan cara penerimaan para ulama\’ dan kita orang Islam seharusnya tentang ayat-ayat yang menyebut sifat Allah s.w.t ini, seperti tangan, genggaman dan sebagainya?
i- Pertama sekali wajib kita kembali kepada ayat bahawa Allah s.w.t itu:
{ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ} – Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)} (Asy-Syuura 42:11). Allah s.w.t itu tidak sama dengan makhluk, maka kita jangan fikir bagaimana tangan Tuhan, bagaimana Allah s.w.t genggam dan lain-lain.
Kita ambil sebagaimana yang Allah s.w.t sebut dan Rasulullah s.a.w sebut, jangan pandai-pandai cuba takwil dan bayangkan! - Dari Tafsir al-Munir tentang ayat ini, kata Syeikh Wahbah az-Zuhaili, dalam tafsir ini ada dua pandangan ulama\’, -agar kita tidak keliru dan tidak mudah melemparkan sebarang tuduhan terhadap orang-:
i- ulama\’ khalaf menafsirkan makna {dilipat dengan tangan-Nya}; ditakwilkan dengan dibawah kekuasaan Allah s.w.t.
Jumlah ayat ini menunjukkan keagungan Allah, bahawa Dia berkuasa dan mampu untuk ambil bumi dan langit ini dihimpun dan dilipat serta sebagainya.
Ada yang kata bahawa pandangan ulama\’ Khalaf ini lebih kuat kerana kita tidak perlu lagi berfikir dalam kepala untuk menyamakan Allah s.w.t makhluk! Tetapi ini jika kita tidak ikut kaedah – { لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ}- tidak ada sesuatu yang menyerupai Allah s.w.t.
ii- manakala ulama\’ Salaf mengatakan bahawa wajib kita beriman dengan ayat ini secara zahirnya, Allah s.w.t tidak turunkan ayat-ayat al-Quran untuk kita keliru.
Ayat sebut {Sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya} maka kita wajib beriman dengan apa Allah s.w.t sebut, bahawa Allah s.w.t ada sifat-Nya, dia ada tangan kanan dan sebagainya, kita percaya dan beriman dengan apa yang disebut oleh Allah dan Rasul-Nya sebut.
Cuma kita jangan fikir bagaimana cara dan bentuknya kerana kita juga wajib beriman bahawa { لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ} – tidak ada sesuatu yang menyerupai Allah s.w.t.
Serta kita beriktikad bahawa Allah s.w.t ada sifat-sifat-Nya yang tersendiri yang Dia sendiri sebutnya. Ini kerana asal pada ucapan dan kata-kata Allah s.w.t itu kita kena letak atas hakikatnya!
Kerana itu timbulnya pendapat ulama\’ bahawa pandangan ulama\’ Salaf adalah lebih selamat dan tepat kerana kita berpegang dengan apa yang Allah s.w.t sebut dan apa yang Nabi s.a.w sebut, tanpa perlu mentakwilnya.
Kita beriman dengan apa yang Allah s.w.t sebut, jangan berfikir bagaimana dan macamana, serta ingat bahawa {لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ} serta Allah s.w.t itu sifat-Nya juga {Berbeza dengan semua makhluk ciptaan-Nya – مخالفته للحوادث}.
iii- Syeikh Wahbah pula menyatakan bahawa dia lebih cenderung kepada pandangan ulama\’ Salaf kerana ia lebih selamat. Wallahu a\’lam!
- Ayat-ayat begini amat perlu kepada huraian dan penjelasan, agar masyarakat hari ini tidak mudah membuat tuduhan dan label kepada mereka yang berpegang kepada pandangan ulama\’ Salaf. Ini kerana apabila datang ulama\’ Khalaf dan Kalam, kerana mahu tidak mahu kecelaruan mereka pun takwilnya.
AYAT 68- {DAN SUDAH TENTU AKAN DITIUP SANGKAKALA, MAKA PADA WAKTU ITU MATILAH MAKHLUK-MAKHLUK YANG ADA DI LANGIT DAN YANG ADA DI BUMI, KECUALI SESIAPA YANG DIKEHENDAKI ALLAH (TERKEMUDIAN MATINYA); KEMUDIAN DITIUP SANGKAKALA SEKALI LAGI, MAKA DENGAN SERTA MERTA MEREKA BANGUN BERDIRI MENUNGGU (KESUDAHAN MASING-MASING).} (AZ-ZUMAR 39:68)
- Setelah Allah s.w.t ceritakan tentang kuasa mutlak-Nya pada hari Kiamat, Allah s.w.t ingatkan balik manusia apa yang akan terjadi.
- Iaitu apabila tiba hari Kiamat, ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah semua makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah, terkemudian matinya.
- Hadis riwayat Abu Hurairah r.a, bahawa dua orang muslim dan yahudi berbalah dengan yang muslim mengatakan: Demi Tuhan yang membangkitkan Muhammad s.a.w. Yang yahudi pula mengatakan: Demi Tuhan yang membangkitkan Musa. Muslim itupun menampar yahudi itu lalu si yahudi pergi mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Mereka menceritakan apa yang berlaku.
Rasulullah s.a.w lalu bersabda: Jangan melebihkan aku daripada Musa a.s, kami sama-sama nabi, pada hari Kiamat nanti semua manusia akan mati. Tetapi akulah manusia pertama yang akan sedar selepas ditiup sangkakala yang kedua. Tetapi aku melihat Musa telah berada di tepi Arasy. Aku tidak tahu samada dia yang sedar dulu daripada aku atau dia termasuk dalam golongan yang Allah s.w.t sebut: {Kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); }. [HR Bukhari & Muslim].
- Bahawa ada pengecualian, bukan semua makhluk mati serentak, ada yang dilambatkan kematiannya. Siapakah mereka itu? Ada pelbagai pendapat; ada kata para malaikat, para syuhada\’ dan lain-lain, yang penting wallahu a\’lam; siapa yang dikehendaki Allah s.w.t itu!
- Lalu apabila semula ditiup sangkakala yang kedua semua manusia bangun berdiri hidup semula untuk menunggu pengadilan dan kesudahan masing-masing.
AYAT 69- {DAN AKAN BERSINAR TERANG-BENDERANGLAH BUMI (HARI AKHIRAT) DENGAN CAHAYA TUHANNYA; DAN AKAN DIBERIKAN KITAB SURATAN AMAL (UNTUK DIBICARAKAN); DAN AKAN DIBAWA NABI-NABI SERTA SAKSI-SAKSI; DAN AKAN DIHAKIMI DI ANTARA MEREKA DENGAN ADIL, SEDANG MEREKA TIDAK DIKURANGKAN BALASANNYA SEDIKITPUN.} (AZ-ZUMAR 39:69)
- Pada hari Kiamat nanti bumi Mahsyar akan bersinar terang-benderang dengan cahaya Tuhannya. Yakni manusia banngkit dalam keadaan gelap gelita. Kemudian akan terang apabila Allah s.w.t menzahirkan zat-Nya yang mulia untuk menyelesaikan pengadilan pada hari Kiamat nanti!
- Firman Allah s.w.t:
i- {(Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu (balasan azab yang menimpa mereka); dan kepada Allah jua kembalinya segala urusan.
(Al-Baqarah 2:210)
ii- {Dan (perintah) Tuhanmu pun datang, sedang malaikat berbaris-baris (siap sedia menjalankan perintah)}. (Al-Fajr 89:22)
- Sahal bin Saad r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: \”Akan dikumpulkan manusia di Padang Mahsyar pada Hari Kiamat nanti di atas bumi yang putih, seperti kamu berada di atas kepingan roti yang dalam keadaan kosong, masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain.\” [HR Bukhari & Muslim].
Manakala bumi itu cerah bercahaya dengan nur Allah s.w.t. - Sabda Rasulullah s.a.w: \”Sesungguhnya Allah \’Azza wa Jalla tidak tidur dan tidak sepatutnya bagi-Nya untuk tidur. Dia mengangkat dan meletakkan segala keadilan. Diangkat amalan malam sebelum amalan siang (yakni dua kali sehari). Hijab (pendinding) Allah adalah Nur, jika Allah buka hijab itu akan terbakar segala makhluk yang melihat-Nya. [HR Muslim].
kecuali setelah kita masuk syurga dan mendapat keredhaan Allah s.w.t, Dia akan buka hijab-Nya untuk kita lihat Allah Azza wa Jalla. - Kemudian setiap orang akan menerima kitab suratan amalnya masing-masing. Cara penerimaan itu pula bermacam-macam caranya, yang baik dengan tangan kanannya, yang buruk ada dengan tangan kiri, melalui belakang dan lain-lain.
Ya Allah jadikanlah kami golongan yang menerima surat amalannya dengan tangan kanan. - Firman Allah s.w.t:
i- {Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).
(Lalu Kami perintahkan kepadanya): \”Bacalah Kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah engkau lakukan)\”.} (Al-Israa\’ 17: 13-14)
ii- {Dan \”Kitab-kitab Amal\” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: \”Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!\” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.} (Al-Kahfi 18:49)
Maka marilah kta bertaubat dan minta ampun kepada Allah sebelum tiba hari yang ditakuti itu!
- Juga akan dibawa para nabi dan saksi-saksi didepan manusia, semuanya akan dihakimi dengan adil tanpa sebarang kekurangan dan kezaliman!
- Kita umat nabi Muhammad s.a.w akan menjadi menjadi saksi kepada para nabi-nabi a.s yang terdahulu.
Hadis riwayat Abu Said al-Khudri r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Nuh a.s dipanggil pada hari kiamat. Beliau menjawab: \”Ya, Tuhan!\” Tuhan berfirman: \”Sudahkah engkau sampaikan ajaran agama?\” Beliau menjawab: \”Ya, sudah\”. Lalu ditanyakan kepada umatnya: \”Adakah Nuh menyampaikan kepada kamu?\” Mereka menjawab: \”Tiada datang kepada kami orang yang menyampaikan peringatan\”. Ditanyakan kepada Nuh: \”Siapakah yang jadi saksi engkau?\” Nuh menjawab: \”\’Nabi Muhammad dan umatnya\”. Lalu mereka (umat Muhammad) menjadi saksi, bahawa sesungguhnya Nuh telah menyampaikan, dan Rasulullah jadi saksi terhadap kamu (umat). Hal itu disebutkan dalam firman Tuhan: \”Dan begitulah Kami jadikan kamu umat pertengahan (adil) supaya kamu menjadi saksi terhadap manusia dan Rasulullah menjadi saksi terhadap kamu\”. (Surat Al Baqarah, 143).\” [ HR Bukhari]. - Semua perbicaraan pada hari Kiamat kelak amat telus, tidak akan ada kezaliman, semuanya penuh keadilan.
Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.} (Al-Anbiyaa\’ 21:47) - Kerana itu kata UM Aisyah r.a, bahawa timbangan kita ini bukan dengan kilo, kati atau pikul, tetapi dengan zarrah iaitu seberat atom pun akan dihisab.
AYAT 70- {DAN AKAN DISEMPURNAKAN BAGI TIAP-TIAP SEORANG – BALASAN APA YANG TELAH DIKERJAKANNYA, DAN ALLAH LEBIH MENGETAHUI AKAN APA YANG MEREKA TELAH LAKUKAN.} (AZ-ZUMAR 39:70)
- Ayat ini menenangkan kita orang yang beriman. Bahawa Allah s.w.t tahu bahawa semua para rasul dan nabi serta para pendakwah itu telah menjalankan tugasnya.
- Maka semua manusia akan dibalas mengikut apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 67- {Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya,}- orang kafir tidak menghormati Allah s.w.t, kita pula sebagai orang mukmin; di mana Allah di hati kita? Setinggi mana pengantungan kita terhadap Allah? Bila bilal melaungkan azan menyeru kita dengan nama Allah, bagaimanakah respon dan jawapan kita?
i- Maka kita orang mukmin wajib mengagungkan Allah s.w.t sepenuhnya, dengan penuh kemuliaan di dalam hati kita.
ii- Ayat 68- {Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala,}- kerana itu kata ulama\’ sesiapa yang mahu melihat gambaran pada hari Kiamat maka bacalah surah az-Zumar agak kita nampak dengan hati kita suasana yang akan berlaku dan membawa keinsafan!
- Ayat 67- {Sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya.}- ayat ini menunjukkan tentang perhatian dan peringatan keagungan dan kekuasan Allah s.w.t, langit dan bumi hanyalah dalam genggaman-Nya, maka betapa hinanya makhluk yang besar dan berkuasa atas dunia ini dibandingkan dengan kuasa Allah s.w.t!
- Ayat 69- {Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya;}- Bumi akan bercahaya cerah dengan zat Allah s.w.t. Kerana itu ramai ulama\’ kata Rasulullah s.a.w tidak melihat Allah s.w.t dengan nyata pada malam Isra\’ Mikraj. Orang yang beriman yakin dapat melihat Allah pada hari kiamat. Itu janji Allah yang wajib dipercayai oleh orang beriman
- Ayat 69- { dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.}- tidak akan ada orang yang akan dizalimi. Sempurnanya keadilan dan pembalasan Allah s.w.t! Bahkan Allah s.w.t bawa saksi dan beri buku rekod amalan agar kita sendiri tengok, sedar dan lihat kembali apa yang telah kita lakukan di dunia dulu. Sedangkan semua itu tidak perlu bagi-Nya!
- Ayat 70- {Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang – balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.}- dalam ayat ini Allah s.w.t bawa empat ibarat yang menunjukkan sempurnanya keadilan Allah s.w.t;
i- Allah jatuhkan hukuman dengan benar dalam pengadilan.
ii- mereka tidak akan dizalimi,
iii- Allah sempurnakan setiap diri mengikut dengan apa yang dia buat,
iv- Allah lebih mengetahui apa yang manusia telah lakukan dengan ilmu-Nya sedangkan mereka tidak tahu.
Beginilah al-Quran makin dikorek makin manis dan makin banyak ilmu yang didapati!
Seperti kata ulama\’ ibarat seperti buah kurma yang makin dikunyah makin manis. Semoga kita sentiasa merasai kemanisan al-Quran dan semakin mencintainya.