View Categories

SURAH FUSSILAT : AYAT 25-29

\"\"

SEBAB KEROSAKAN BERKAWAN DENGAN ORANG JAHAT, GENG KAFIR BERPESAN JANGAN DENGAR QURAN & MEREKA BERBALAH DALAM NERAKA.

Full video : https://youtu.be/E39ggIye9LY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini dijelaskan tentang antara sebab kerosakan seorang manusia ialah akibat dari berkawan Dengan Orang Jahat
  2. Antara perbuatan jahat puak kafir ini apabila dengar orang baca Quran dia akan buat kacau. Tujuannya untuk sekat, menghalang orang lain dari mendengar al-Quran kerana takut akan terkesan di dalam hati mereka. Ini kerana al-Quran itu adalah satu mukjizat.
  3. Apabila masuk dalam neraka mereka berbalah sesama mereka pula, ingin membalas dendam ke atas orang yang dikatakan menghasut dan menyebabkan mereka terpedaya lalu masuk ke dalam neraka itu.
  4. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas, Allah s.w.t sebut janji dan amaran keras tentang siksaan dan azab di dunia dan Akhirat bagi orang kafir.

ii- Maka dalam ayat ini Allah s.w.t beritahu antara sebab besar manusia kekal dalam kekufuruan, menjadi degil dan keras kepala, adalah kerana kami berikan dan permudahkan kepada KAWAN_KAWAN YANG JAHAT! Mereka inilah yang mengajak menentang Rasulullah s.a.w dan Islam berpaling dari menerima al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w.

  1. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.} (An-Nisaa\’ 4:38)

Semua yang menderhaka kepada Allah s.w.t samada jin atau manusia dipanggil syaitan. Syaitan ada dua kumpulan jin dan manusia.

ii- Sebab itu Allah s.w.t sebut: {\”(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia\”.} (An-Naas 114:6)

AYAT 25- {DAN KAMI ADAKAN UNTUK MEREKA TEMAN-TEMAN RAPAT (DARI JIN DAN MANUSIA), LALU TEMAN-TEMAN ITU MEMPERHIASKAN KEPADA MEREKA (FAHAMAN-FAHAMAN SESAT) MENGENAI PERKARA-PERKARA DUNIA YANG ADA DI HADAPAN MEREKA, SERTA PERKARA-PERKARA AKHIRAT YANG ADA DI BELAKANG MEREKA; DAN (DENGAN SEBAB ITU) TETAPLAH HUKUMAN (AZAB) ATAS MEREKA BERSAMA-SAMA DENGAN UMAT UMAT (YANG SESAT) DARI JIN DAN MANUSIA YANG TERDAHULU DARIPADA MEREKA. SESUNGGUHNYA MEREKA SEMUANYA ADALAH GOLONGAN YANG RUGI (BAWAAN HIDUPNYA).} (FUSSILAT 41:25)

  1. Bagi mereka yang kufur dan menentang Allah dan rasul ini, Allah jadikan bagi mereka teman-teman rapat yang jahat, terdiri dari jin dan manusia. Maka sebab besar manusia menjadi jahat ialah kawan YANG JAHAT.
  2. Yakni ia telah:
    i- memperelokkan dan memperhiaskan kepada mereka tentang kehidupan dunia dan fahaman-fahaman sesat, yang buruk dan melanggar perintah Allah menjadikannya seperti perkara biasa yang seolah benar dan tidak salah.

ii- serta perkara-perkara akhirat yang ada di hadapan mereka nanti, samada kebangkitan semula, azab dan hari Akhirat, dengan mengatakan itu semua hanya palsu dan tidak benar, tidak perlu takut dan percaya.

  1. Firman Allah s.w.t: {Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): \”Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat!

Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman\”.
(Lalu dikatakan kepada mereka): \”Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab\”.} (Az-Zukhruf 43: 36-39)

  1. Maka wajiblah ke atas mereka semua azab dari Allah s.w.t ke atas orang kafir termasuk juga umat terdahulu, samada dari kalangan jin dan manusia!
  2. Firman Allah s.w.t: {Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)\”.} (As-Sajdah 32:13)
  3. Maka mereka ini yang kafir dan terkena azab adalah orang-orang yang rugi dunia dan akhirat. Begitu juga orang yang melakukan keburukan dengan berselindung di sebalik nama agama!

AYAT 26- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR BERKATA: \”JANGANLAH KAMU MENDENGAR AL-QURAN INI DAN TENTANGLAH DIA (DENGAN NYAYIAN-NYANYIAN DAN JERITAN-JERITAN RIUH RENDAH SERTA TEPUK SORAK), SUPAYA KAMU BERJAYA (MENGGANGGU BACAAN ATAU MENENGGELAMKAN SUARA PEMBACANYA)!\”} (FUSSILAT 41:26)

  1. Antara sifat orang kafir ini ialah menganggu dan membuat bising apabila orang membaca al-Quran. Mereka melawannya dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak untuk menenggelamkan suara pembaca al-Quran.
  2. Munasabah ayat:
    i- setelah Allah ceritakan tentang keadaan orang kafir yang menentang Rasulullah s.a.w maka dalam ayat ini Allah ceritakan pula antara sifat mereka.

ii- iaitu menganggu dan membuat kacau agar orang lain tidak mendengar al-Quran.

  1. Dulu mereka buat kacau apabila orang baca al-Quran, sekarang ini ditukar pula dengan program bergendang dan melompat dalam majlis menggantikan majlis ilmu atau orang yang mahu baca al-Quran di masjid.
    Apatah lagi membaca al-Quran dengan iringan muzik dan lagu- الله المستعان.
  2. Hati-hati dan jagalah anak-anak tahfiz agar jangan lari dari tujuan asal mereka untuk menghafaz al-Quran dengan terlalu terdedah kepada nasyid, qasidah dan gendang-gendang!
  3. Kata pendakwah: Cinta kepada al-Quran dan cintakan kepada lagu & muzik; tidak akan berkumpul dalam satu hati seorang muslim.

AYAT 27- {MAKA, DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI AKAN MERASAKAN ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU AZAB SEKSA YANG SEBERAT-BERATNYA, DAN KAMI AKAN MEMBALAS MEREKA DENGAN SEBURUK-BURUK BALASAN BAGI APA YANG MEREKA TELAH KERJAKAN.} (FUSSILAT 41:27)

  1. Ayat ini adalah ancaman keras kepada orang kafir yang mengingkari dan menggangu dakwah Rasulullah dan semua pendakwah Islam dengan seberat-berat azab dan seburuk-buruk balasan bagi perbuatan jahat mereka di atas dunia ini!

AYAT 28- {DEMIKIANLAH KEADAANNYA BALASAN MUSUH-MUSUH ALLAH IAITU NERAKA; DISEDIAKAN UNTUK MEREKA TEMPAT TINGGAL YANG KEKAL DIDALAMNYA, SEBAGAI BALASAN BAGI PERBUATAN MEREKA SENTIASA MENGINGKARI AYAT-AYAT KAMI.} (FUSSILAT 41:28)

  1. Allah jelaskan dan sebut dengan nyata bahawa balasan bagi mereka yang kafir adalah neraka, mereka akan kekal di dalamnya, menjadi tempat tinggal yang kekal didalamnya, sebagai balasan bagi perbuatan mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Allah s.w.t!
  2. Kemudian dalam ayat berikutnya Allah s.w.t gambarkan perbalahan ahli neraka sesama mereka.

AYAT 29- {DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR BERKATA: \”WAHAI TUHAN KAMI! PERLIHATKANLAH KEPADA KAMI DUA GOLONGAN YANG TELAH MENYESATKAN KAMI DARI JIN DAN MANUSIA, UNTUK KAMI MELETAKKAN MEREKA DI BAWAH TAPAK KAKI KAMI, SUPAYA MEREKA MENJADI GOLONGAN YANG TERKEBAWAH DALAM KEHINAAN\”.} (FUSSILAT 41:29)

  1. Orang kafir ahli neraka menyeru kepada Allah: wahai Tuhan kami! Huh baru kenal tuhan sekarang! Mereka minta Allah perlihatkan kepada mereka dua golongan yang telah menyesatkan mereka dulu, samada dari kalangan jin dan manusia.
  2. Untuk mereka itu letak di bawah tapak kaki mereka dan pijak-pijak penyesat itu supaya mereka menjadi golongan yang terkebawah dalam kehinaan! Ini untuk membalas dendam dan melepaskan kemarahan mereka! Sedangkan mereka sudah sama-sama di dalam neraka, tidak mungkin lagi dapat membalas dendam!
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: \”Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?

\”Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!

\”Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)\”.} (Al-Furqaan 25: 27-29) |

ii- {Allah berfirman: \”Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: \”Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka\”. Allah berfirman: \”Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui\”.} (Al-A\’raaf 7:38)

  1. Inilah perbalahan sesama ahli neraka yang saling tuduh-menuduh dan menyalahkan antara satu sama lain, tetapi ini semua tiada guna lagi, semuanya akan kena azab dan siksa, tidak akan terlepas dan selamat lagi darinya!

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 25- {Dan Kami adakan untuk mereka teman-teman rapat (dari jin dan manusia), lalu teman-teman itu memperhiaskan kepada mereka (fahaman-fahaman sesat)}- ayat ini memberi peringatan kepada kita yang berakal agar mencari teman yang dapat membawa dan memberi kebaikan, serta ketaatan kepada Allah s.w.t.

Kata ulama\’: \”Apabila Allah s.w.t mahu beri kebaikan kepada seseorang hamba, Dia akan beri kepada mereka sahabat-sahabat yang baik, yang dapat mengajak dan mengajar mereka ke arah kebaikan, membantu mereka atas ketaatan.\”

Ya Allah kurniakan kepada kami sahabat yang dapat mengingatkan kepada-Mu, kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah, serta menjauhkan dari segala maksiat dan kemungkaran.
Ya Allah anugerhakan kepada para pemimpin kami penasihat yang baik, yang dapat tegur dan ajar mereka ke arah kebaikan, keadilan dan Syari\’ah Islam.

  1. Ayat 26- {Dan orang-orang yang kafir berkata: \”Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak),}- kenapa mereka mahu kacau ini? Kerana mereka tahu jika dengar al-Quran akan boleh mempengaruhi dan memberi kesan, al-Quran akan masuk ke dalam hati seseorang. Jadi mereka mahu halang dan sekatnya dari awal lagi.

Kata ulama\’ tadabbur: Ini adalah satu persaksian yang diberi oleh musuh, bahawa al-Quran itu dapat memberi pengaruh dan kesan. Yakni jika dengar al-Quran dengan tafsiran dan huraian yang baik, ia dapat memberi kesan ke atas hati seorang manusia yang buka pintu hati dan mindanya!
Kebenaran akan terserlah apabila musuh yang mengakui kebaikan dan kelebihannya.

Pengajaran kedua yang kita dapat dari ayat ini ialah: Tidak boleh buat bising dalam majlis atau apabila orang membaca al-Quran. Ada juga orang yang suka baca alunan al-Quran sambil dia buat kerja, ini baik jika hanya diam; yang tidak bolehnya berbual dan buat bising sambil dengar al-Quran. Apatah lagi baca al-Quran dengan iringan muzik, jangan begitu, hati akan terkesan, khusyuk dan ingat Allah dengan al-Quran bukan dengan muzik itu!

Ayat ini juga mencela orang yang meninggalkan al-Quran, tidak baca dan tidak beramal dengannya.

  1. Ayat 29- {Dan orang-orang yang kafir berkata: \”Wahai Tuhan kami! Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia,}- ayat ini memberi pengajaran wajib ke atas seseorang itu untuk menjauhkan diri dari kawan-kawan yang jahat.

Hadis Rasulullah s.a.w:
i- bahawa seseorang itu atas agama kawannya.
Sabdanya: \”Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya.\” (HR at-Tirmizi dan Abu Daud).

ii- Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: \”Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi (penjual minyak wangi) dan peniup api (tukang besi), maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk.\” (HR al-Bukhari dan Muslim).

  1. Ayat 29- { Perlihatkanlah kepada kami dua golongan yang telah menyesatkan kami dari jin dan manusia,}- ayat ini menunjukkan bahawa manusia dan jin adalah dua golongan makhluk yang dikenakan taklif iaitu kewajipan beragama. Cuma mereka tiada rasul dan kitab sendiri, mereka harus beriman dan mengikut nabi kita Muhammad, Rasulullah s.a.w dan panduan kitab al-Quran juga.

Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku}. (Az-Zaariyaat 51:56)

  1. Ayat 27- {Dan Kami akan membalas mereka dengan seburuk-buruk balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.}- balasan adalah mengikut apa yang kamu kerjakan, tiada kezaliman dan terlepas pandang dari Allah s.w.t!
    Kata ulama\’: Balasan itu mengikut kategori amalan.
    السيئات بالعدل والحسنات بالفضل
    Maksudnya: Orang yang buat buruk Allah s.w.t balas dengan keadilan-Nya (satu sama satu), manakala kebaikan Allah s.w.t akan balas dengan rahmat kelebihan-Nya (berlipat kali ganda atas rahmat-Nya).

Powered by BetterDocs