SURAH GHAFIR : AYAT 10-14

\"\"

ORANG KAFIR DITEMPELAK DALAM NERAKA, MEREKA BUAT RAYUAN POHON KELUAR & DALIL WAHDANIYAH DAN QUDRAT ALLAH.

Full video : https://youtu.be/jnYde4ODdCA

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini adalah kisah orang kafir yang mula menyesal setelah masuk ke dalam neraka, mereka merayu memohon untuk keluar dari neraka.
  2. Tetapi telah ditetapkan bahawa mereka yang syirik akan kekal di dalam neraka selamanya nauzubillah min zalik!
  3. Kerana itu di akhir ayat ini Allah s.w.t memerintahkan agar kita ikhlaskan diri dalam beribadat kepada Allah s.w.t dan menyeru kepada tauhid semata serta jauhi segala syirik.
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah menyebut tentang keadaan ehwal orang mukmin, maka sekarang disebut keadaan orang kafir pula di akhirat. Bagaimana mereka menyesal dan merayu untuk dihidupkan kembali dan keluar dari neraka!
  5. Maka datanglah ayat ini iaitu orang kafir itu dipanggil ketika mereka berada di dalam neraka dan malaikat berkata kepada mereka secara tempelakan, kecaman dan sindiran sebagai penambah azab!

AYAT 10- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR AKAN DIPANGGIL DAN DIKATAKAN KEPADA MEREKA (PADA HARI KIAMAT): \”DEMI SESUNGGUHNYA! KEBENCIAN ALLAH (KEPADA KAMU) LEBIH BESAR DARIPADA KEBENCIAN KAMU KEPADA DIRI SENDIRI, (SEBABNYA KERANA) SEMASA KAMU DISERU DAN DIAJAK (DI DUNIA DAHULU) SUPAYA BERIMAN, (KAMU ENGGAN DAN MENOLAK), LALU KAMU TERUS BERKEADAAN KUFUR\”.} (GHAAFIR 40:10)

  1. Malaikat memanggil dan menempelak berkata kepada golongan kafir yang berada di dalam neraka: Bahawa kemurkaan Allah s.w.t terhadap mereka adalah lebih besar daripada kebencian dan kemarahan mereka terhadap diri mereka sendiri.
  2. Mereka sekarang telah menyesal dan mengakui kesalahan mereka serta mereka marah terhadap diri mereka sendiri kenapa tidak ikut nabi dulu, kenapa tidak ikut al-Quran kenapa ingkar dan lain-lain.
  3. Ini kerana semasa mereka diseru dan diajak di dunia dahulu supaya beriman, mereka enggan dan menolak dengan angkuh dan takabbur, lalu kamu terus berkeadaan kufur.
  4. Tetapi semua penyesalan itu tidak berguna lagi! Tiada faedah dan tidak mungkin akan diterima lagi!

AYAT 11-{MEREKA MENJAWAB: \”WAHAI TUHAN KAMI! ENGKAU TELAH MENJADIKAN KAMI BERKEADAAN MATI DUA KALI, DAN TELAH MENJADIKAN KAMI BERSIFAT HIDUP DUA KALI, MAKA KAMI (SEKARANG) MENGAKUI AKAN DOSA-DOSA KAMI. OLEH ITU ADAKAH SEBARANG JALAN UNTUK (KAMI) KELUAR (DARI NERAKA)?\”} (GHAAFIR 40:11)

  1. Mereka menjawab dan merayu dengan mengakui bahawa mereka tahu bahawa Allah s.w.t yang telah menjadikan mereka mati dua kali, dan telah menjadikan mereka hidup dua kali.
  2. Maksudnya mereka mati dua kali ialah:
    i- mati yang pertama ialah apabila mereka mula dicipta oleh Allah s.w.t dari tiada kepada ada.
    ii- Mati yang kedua ialah apabila sampai ajal mereka setelah hidup di dunia ini.
  3. Maksudnya hidup dua kali ialah:
    i- hidup kali pertama apabila ditiup roh semasa menjadi janin di dalam kandungan ibu mereka.
    ii- hidup kedua ialah apabila bangkit semula apabila ditiup sangkakala.
  4. Mereka mengakui akan segala dosa-dosa mereka, serta mereka membuat rayuan adakah sebarang jalan untuk mereka keluar dari neraka?
    Pasti sekali tidak akan hidup kembali atau diberi peluang lagi. Semua penyesalan dan akuan itu tidak berguna sama-sekali.
  5. Maka kita di dunia ini semasa masih hidup buatlah rayuan kepada jiwa kita kepada nafsu kita agar beriman dan bertaqwa kepada Allah, sebelum pada hari tidak berguna lagi segala pengakuan dan rayuan!
  6. Firman Allah s.w.t: {Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).} (Al-Baqarah 2:28)
  7. Juga firman Allah s.w.t: {Dan mereka berkata: \”Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka\”. Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli neraka.} (Al-Mulk 67:11)
  8. Kerana itu pada setiap malam kita disuruh baca surah al-Mulk agar kita mennyedari dan merasai akan keadaan di Akhirat nanti apabila segala penyesalan tidak berguna lagi!

AYAT 12-{ (LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”AZAB YANG KAMU BERADA PADANYA ITU ADALAH KERANA KEADAAN KAMU APABILA ALLAH YANG MAHA ESA SAHAJA DISERU DAN DISEMBAH, KAMU KUFUR (DAN MENOLAK CARA BERTAUHID ITU); DAN APABILA DIPERSEKUTUKAN SESUATU DENGAN ALLAH, KAMU PERCAYA (DAN MENERIMA BAWAAN SYIRIK ITU). MAKA KUASA MENJALANKAN KEADILAN ADALAH HAK ALLAH, YANG MAHA TINGGI (DARI APA YANG DIPERSEKUTUKAN), LAGI YANG MAHA BESAR (PEMERINTAHANNYA)\”.} (GHAAFIR 40:12)

  1. Lalu dikatakan lagi tempelakan kepada mereka: Semua azab ini dikenakan ke atas kamu kerana apabila kamu diseru kepada tauhid kepada Allah kamu menolak tetapi apabila diseru kepada syirik kamu percaya dan menerimanya!
  2. Iaitu apabila diajak kepada kebenaran dan beriman krpada Allah, mereka menolak dan ingkar dengan penuh angkuh dan sombong.
    Menerima kekufuran dan syirik dengan sepenuh hati dan membelanya.
  3. Firman Allah s.w.t: {Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya; \”(ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah\” – mereka bersikap takbur mengingkarinya. Serta mereka berkata: \”Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?\”} (As-Saaffaat: 35-36)
  4. Segala pemutus hukum dan keputusan (فَالْحُكْمُ) yang adil bagi segala makhluk-Nya hanya milik Allah s.w.t Yang Maha Besar, Yang Maha Agung, yang Mempunyai Kemegahan dan Kebesaran.
  5. Firman Allah s.w.t: {Ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.} (Al-Kahfi 18:26)

AYAT 13-{DIA LAH TUHAN YANG MEMPERLIHATKAN KEPADA KAMU TANDA-TANDA KEESAANNYA DAN KEKUASAANNYA (UNTUK KEHIDUPAN ROHANI KAMU), DAN YANG MENURUNKAN (UNTUK JASMANI KAMU) SEBAB-SEBAB REZEKI DARI LANGIT. DAN TIADALAH YANG INGAT SERTA MENGAMBIL PELAJARAN (DARI YANG DEMIKIAN) MELAINKAN ORANG YANG SENTIASA BERTUMPU (KEPADA ALLAH).} (GHAAFIR 40:13).

  1. Ayat dimulakan dengan Allah tunjukkan kepada kita tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya untuk kehidupan rohani dan rezeki jasmani kita.
  2. Setelah Allah s.w.t bawa kepada kita amaran keras tentang orang kafir, dibawa pula dalam ayat ini tentang sempurnanya wahdaniyyah Allah s.w.t untuk menjadi dalil bahawa tidak boleh menjadikan batu-batu, kayu, roh-roh dan kubur sebagai sembahan selain dari Allah!
  3. Kemudian tanda-tanda untuk kehidupan jasmani kita, diberi rezeki kepada kita yang berpunca dari langit iaitu air hujan yang menumbuhkan tanaman, memberi makanan dan minuman kepada haiwan dan manusia. kemudian keduanya menjadi rezeki makanan kepada kita pula!
  4. Orang yang mendapat pengajaran dan iktibar dari ayat-ayat al-Quran ini ialah mereka yang kembali kepada Allah s.w.t (مَنْ يُنِيبُ), jauh dari segala kufur, syirik dan maksiat kepada Allah s.w.t!
    Ya Allah jadikan kami dari (مَنْ يُنِيبُ) orang yang kembali kepada-Mu!

AYAT 14-{OLEH ITU MAKA SEMBAHLAH KAMU AKAN ALLAH DENGAN MENGIKHLASKAN IBADAT KEPADANYA (DAN MENJAUHI BAWAAN SYIRIK), SEKALIPUN ORANG-ORANG KAFIR TIDAK MENYUKAI (AMALAN KAMU YANG DEMIKIAN).} (GHAAFIR 40:14)

  1. Allah beri kepada kita panduan kepada jalan yang selamat iaitu murnikanlah akidah kamu dengan ikhlaskan ibadat kepada Allah s.w.t semata!
  2. Jauhi syirik dalam segala bentuknya walaupun dibenci dan ditentang oleh orang kafir dan mereka yang menolak agama walaupun sesama Islam.
    Bila diajak kembali kepada al-Quran dan Sunnah kita dituduh menolak ulama\’ dan suka membid\’ahkan orang!
    Allahu al-Musta\’an.
  3. Antara bacaan selepas solat yang diajar oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana riwayat Abdullah bin Az-Zubair r.a:

لاَ إِلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ، لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَلَا نَعْبُدُ إِلَّا إِيَّاهُ، لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ

Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan, bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa di atas setiap sesuatu. Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan kami tidak menyembah kecuali kepadaNya. BagiNya segala nikmat, bagiNya segala kelebihan dan bagiNya pujian yang elok. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dalam keadaan mengikhlaskan ibadat kepadaNya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir. [HR Muslim 594.]
Dari App Perisai Muslim !

  1. Semoga kita semua telah hafaz dan amalkannya selalu insya\’ Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 10- {Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan dipanggil dan dikatakan kepada mereka (pada hari kiamat); \”Demi sesungguhnya! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar daripada kebencian kamu kepada diri sendiri,:}- orang kafir apabila sedar dan melihat azab di depan mata mereka, barulah mereka menyesal lalu memarahi dan mencela diri mereka sendiri kerana tidak percaya dan tidak beriman semasa hidup dulu!
    Ini adalah pengakuan dan penyesalan yang tidak berguna lansung.

Kita jika mahu mencela diri (mu\’atabah) buatlah semasa masih hidup di dunia ini. Buatlah checklist apa yang telah kita lakukan hari ini dari segi kebaikan dan keburukan.
Jika ada tersilap dan kerosakan maka kita cela diri dan nafsu kita, lalu dapat menyesal dan segera bertaubat kembali kepada Allah s.w.t!
Jika ada kekurangan dalam amal ibadat, segera baiki dan tambahnya pula.

  1. Ayat 13- {Dia lah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit.}- ayat ini menunjukkan tertib susunan yang paling penting. Iaitu pertama menjaga agama (kerohanian) kemudian barulah menjaga badan jasmani. Allah s.w.t bawa kepada kita pertamanya ayat keterangan yang jelas tentang kerohanian kemudian barulah dibawa pintu rezeki untuk jasmani dari langit.

Kena ingat jika tiada hidayah di atas dunia ini walaupun hidup mewah, akan kerugian dan menyesal di Akhirat kelak. Begitu juga kepentingan rezeki dan menjaga jasmani atas dunia supaya kita dapat hidup selesa dan beribadat kepada Allah s.w.t lalu bersyukur kepada-Nya.

  1. Ayat 13- {Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah).}- tidak akan mendapat faedah dari segala peringatan dari ayat Allah ini kecuali orang yang kembali dan ingat kepada Allah!
    Maka ayat in memberi garis panduan kepada kita untuk selamat ingatlah kepada Allah dan ingatlah kepada mati dengan membuat persediaan dan bekalan yang sepatutnya, bukan hanya ingat dan takut saja tanpa usaha dan amal.
  2. Ayat 12- {Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah,}- para ulama\’ mengatakan antara kejahatan yang dilakukan oleh para penjajah yang menjajah negara umat Islam ialah mereka akan menukar hukum dan undang-undang Allah kepada undang-undang Kanun ciptaan manusia. Contohnya seperti kita di Malaysia walaupun telah lebih 60 tahun merdeka, tetapi undang-undang kita masih terikat dengan undang-undang yang digubal oleh penjajah, undang-undang Lord Reid.

Bila bertembung antara hak Islam dengan undang-undang Perlembagaan baru kita bangkit bersama melaung solidarity membela akidah itu, membela ini!

Kita telah 60 tahun merdeka, kita ada banyak fakulti undang-undang, berapa ramai ahli undang-undang, graduan Islam yang telah lahir, tetapi mengapa masih tiada dalam kepala penggubal undang-undang dan pemerintah yang beragama Islam untuk berusaha meminda perlembagaan dan undang-undang ini?

Adalah wajib kepada penguasa dan pemerintah yang berkuasa untuk berusaha mengembalikan kegemilangan undang-undang Syari\’ah.
Jika tidak kamu tetap akan ditanya di Akhirat kelak tentang ini serta kita sebagai rakyat yang memberi undi dan mandat kepada mereka akan disoal juga tentang ini.

Maka kembalilah kepada undang-undang Allah jangan berpegang dengan undang-undang ciptaan kafir. Tetapi malangnya umat Islam masih merempat dalam negara sendiri dari segi undang-undang! Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan kepada kita untuk mengangkat kembali undang-undang Syari\’ah ini!

  1. Ayat 14-{Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).}- wajib kita ikhlaskan ibadat kita semata-mata kepada Allah s.w.t, bukan kepada makhluk yang lain samada dewa-dewi, batu atau kayu dan sebagainya segala syirik kepada Allah s.w.t!
    Wajib kita tetap atas tauhid kepada Allah s.w.t walaupun dibenci oleh orang-orang kafir atau sebahagian orang Islam sendiri!

Murnikan akidah kita, teruskan perjalanan dakwah walaupun dituduh dan ditohmah, kerana setiap yang berlawan dengan nafsu akan dikecam dan ditentang!
Sebagaimana kata Imam Bukhari rhm.: Bersabarlah wahai para ahli Sunnah, kamu dalam keadaan sedikit, yang ramainya yang ikut hawa nafsu!

Powered by BetterDocs