SURAH GHAFIR : AYAT 23-27

\"\"

KISAH NABI MUSA A.S DENGAN FIR\’AUN DAN QARUN, FIR\’AUN MEMBUNUH ANAK LELAKI & NABI MUSA MOHON PERLINDUNGAN DENGAN ALLAH.

Full video : https://youtu.be/K8mHfB6xmZg

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang nabi Musa a.s diancam oleh Firaun dan menterinya Haman. Serta seorang ahli korporat dizamannya iaitu Qarun, yang muncul selepas Firaun tenggelam dalam Laut Qalzum.
  2. Munasabah ayat: Cerita tentang Nabi Musa a.s ini datang selepas ayat (21 & 22) yang Allah s.w.t beri arahan agar kita mengembara di muka bumi ini untuk melihat kesan peninggalan orang yang terdahulu untuk mengambil ibrah, iktibar dan pengajaran. Mereka ini lebih kuat dan gagah daripada kita serta kesan peninggalan mereka ada di atas muka bumi ini.
  3. Antara kesan peninggalan besar yang boleh kita nampak ialah Firaun yang mayatnya tidak masuk dalam kubur serta piramid yang besar-besar di Mesir. Juga barang-barang milik Firaun dikumpulkan oleh orang Mesir dan dibuat sebuah muzium khas untuk pameran.
  4. Maka Allah s.w.t tonjolkan kepada kita siapakah salah seorang yang dijadikan contoh untuk kita ambil iktibar dan pengajaran daripada kisahnya, yang ada kesan peninggalannya!
  5. Mereka adalah orang yang kuat, gagah perkasa, bijak dan berkuasa di di atas muka bumi ini dahulunya, tetapi kerana mereka kafir; maka Allah s.w.t ambil tindakan dan binasakan mereka.

AYAT 23-{DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TELAH MENGUTUSKAN NABI MUSA MEMBAWA AYAT-AYAT KAMI DAN BUKTI (MUKJIZAT) YANG JELAS NYATA.} (GHAAFIR 40:23)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t katakan bahawa Dia telah hantar nabi Musa a.s dengan mukjizat. Ayat (بِآيَاتِنَا) ini juga boleh memberi makna tanda, hujjah, benda-bena yang boleh dilihat sebagai bukti/dalil kekuasaan Allah s.w.t!
  2. Ayat-ayat tanda ini pula tediri dari dua:
    i- ayat maqru\’ah (آيات مقروءة)- yang dibaca seperti ayat al-Quran ini.
    ii- ayat manzhurah (آيات منظورة)- yang boleh kita lihat dan nampak dengan mata kepala kita.
  3. Allah s.w.t hantar nabi Musa a.s kepada Firaun dan umatnya dengan mukjizat dan hujjah yang dapat menzahirkan kebenaran!
  4. Apakah ayat atau tanda bagi nabi Musa a.s ini:
    i- ayat-ayat dari Kitab Tauratnya.

ii- 9 tanda yang diberi oleh Allah s.w.t sebagaimana firman Allah s.w.t:
{Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya); maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang itu): Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya: \”Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang terkena sihir\”.} (Al-Israa\’ 17: 101)

AYAT 24-{KEPADA FIRAUN DAN HAMAN SERTA QARUN; MAKA MEREKA (MENUDUHNYA DENGAN) BERKATA: \”IA SEORANG AHLI SIHIR, LAGI PENDUSTA!\”} (GHAAFIR 40:24)

  1. Nabi Musa a.s diutus kepada Firaun, iaitu Raja Mesir yang memerintah pada masa itu digelar Firaun. Ada kata nama sebenarnya Ramses dan lain-lain pendapat.
  2. Juga kepada menteri atau penasihat Firaun yang bernama Haman, serta seorang ahli perniagaan yang kaya raya pada zaman itu, iaitu Qarun.
  3. Qarun adalah dari kalangan nabi Musa a.s iaitu bani Israil asalnya. Dia pada asalnya beriman dan mengikut nabi Musa a.s menyeberang Laut Merah lari dari tentera Firaun dulu, tetapi menjadi perderhaka dan murtad kerana kekayaannya.
  4. Mereka ini mewakili tiga golongan manusia dalam masyarakat: Ketua, penasihat dan tokoh perniagaan yang berjaya! Ketiganya sepakat mengatakan nabi Musa a.s adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta! Seorang pembohong yang mengaku menjadi rasul!
  5. Jika Allah mahu uji mana-mana kaum Dia akan tengok perangai kaum itu, seperti kaum Musa yang memuja sihir pada zaman itu, dia beri mukjizat yang seolah sihir dan yang dapat mengatasinya! Zaman Rasulullah s.a.w penyair dan ahli sastera yang menjadi pujaan dan kemuliaan, maka Allah turunkan al-Quran yang tidak dapat ditandingi oleh mereka dari segi sastera dan gaya bahasa, lalu Rasulullah s.a.w dituduh sebagai penyair yang mencipta syair pula!
  6. Firman Allah s.w.t: {Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi (mendustakannya), padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah).} (Al-\’Ankabuut 29:39)

AYAT 25-{SETELAH NABI MUSA DATANG KEPADA MEREKA DENGAN MEMBAWA KEBENARAN DARI SISI KAMI, MEREKA BERKATA (DENGAN MARAHNYA): \”BUNUHLAH ANAK-ANAK LELAKI ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG MENGIKUTNYA, DAN BIARKAN HIDUP ANAK-ANAK PEREMPUAN MEREKA\”. (TETAPI USAHA) DAN TIPU DAYA ORANG-ORANG KAFIR ITU HANYA MENYEBABKAN MEREKA TENGGELAM DALAM KESESATAN DAN KEBINASAAN SAHAJA.} (GHAAFIR 40:25)

  1. Apabila nabi Musa a.s membawa dakwah dan keterangan yang nyata ini mereka amat marah lalu mengambil keputusan untuk membunuh anak-anak lelaki dari kalangan pengikut Nabi Musa a.s dan hanya membiarkan anak sperempuan saja yang hidup.
  2. Mereka menyangka dengan membunuh anak lelaki akan membuatkan pengikut nabi Musa a.s lemah dan tidak kuat, tiada yang dapat melawan atau menjadi tentera, hanya tinggal perempuan yang lemah- yang akan dijadikan hamba dan pekerja mereka.
  3. Firman Allah s.w.t lagi tentang peristiwa ini: { Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: \”Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?\” Firaun menjawab: \”Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka\”.} (Al-A\’raaf 7:127)
  4. Tetapi usaha perancangan jahat mereka itu tidak kesampaian, bahkan hanya menyebabkan mereka terus tenggelam dalam kesesatan dan akhirnya mereka dulu yang ditimpa kebinasaan oleh azab dari Allah s.w.t!
  5. Firman Allah s.w.t: {Dan tipu daya Firaun itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan kebinasaan.} (Ghaafir 40:37)
  6. Begitulah manusia termasuk kita semua, kita rasa bijak dan mempunyai strategi dan perancangan yang hebat, tetapi semua itu tidak berjaya tanpa kehendak Allah s.w.t!

AYAT 26-{DAN BERKATALAH FIRAUN (KEPADA ORANG-ORANGNYA): \”BIARKANLAH AKU MEMBUNUH MUSA, DAN BIARLAH DIA MEMOHON KEPADA TUHANNYA (MEMINTA PERTOLONGAN)! SESUNGGUHNYA AKU BIMBANG DIA AKAN MENUKAR AGAMA KAMU, ATAU IA MENIMBULKAN KEROSAKAN DI MUKA BUMI\”.} (GHAAFIR 40:26)

  1. Firaun menyatakan kebimbangannya dan berbincang dengan penasihat & pengikutnya tentang ancaman nabi Musa a.s kepada mereka. Dia membuat keputusan mahu membunuh Musa a.s serta memerli agar Musa a.s memohon perlindungan denganTuhannya dari keputusannya ini.
  2. Alasan Firaun untuk membunuh Musa a.s ialah:
    i- untuk menjaga akidah dan agama pengikutnya, takut Musa a.s akan menukar agama pengikutnya kepada Islam dan meninggalkan agama asal mereka.
    ii- takut Musa a.s dan pengikutnya membuat kerosakan di atas muka bumi ini! Bukan kerosakan apa, takut merampas kekuasaan dan kerajaannya!
    *inilaha angan-angan Firaun yang tidak kesampaian!
  3. Firaun pun bercakap juga tentang masalah menjaga akidah umatnya takut Musa a.s kacau, sedangkan akidah mereka adalah sesuatu yang batil dan sesat.
    Maka kita pun sebagai orang yang berpegang akidah ahli Sunnah berhati-hati; ambil ibrah dari kisah Firaun ini,
    Berhati-hati dengan orang bawa ajaran dia yang pelik-pelik lalu mengaku dan mendakwa dia pula sebagai ahli Sunnah manakala orang yang berpegang dan mngajar sunnah yang sahih ini tidak benar pula!
    Beginilah dunia nak Kiamat semuanya tebalik kuang!
  4. Munasabah ayat ini: Setelah Allah s.w.t ceritakan kepada kita tentang perbuatan Firaun yang menyembelih anak lelaki dari kalangan pengikut Musa a.s tidak berjaya, Firaun lalu buat keputusan akhir untuk membunuh Musa a.s sendiri. Serta biarkan Musa a.s berdoa dengan Tuhannya, kita tengok macaman Tuhannya itu dapat sekat aku daripada membunuh Musa a.s!

AYAT 27-{DAN (SETELAH MENDENGAR ANCAMAN ITU) NABI MUSA BERKATA: \”SESUNGGUHNYA AKU BERLINDUNG KEPADA ALLAH TUHANKU DAN TUHAN KAMU – DARI (ANGKARA) TIAP-TIAP ORANG YANG SOMBONG TAKBUR, YANG TIDAK BERIMAN KEPADA HARI HITUNGAN AMAL!\”} (GHAAFIR 40:27)

  1. Setelah mendengar ancaman dan perancangan mereka itu nabi Musa a.s berdoa memohon perlindungan kepada Allah s.w.t dengan berkata: \”Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu – dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!\”
  2. ayat ini mengajar kepada kita, beginilah sepatutnnya, bila kita dengar ada orang mahu mengkhianati dan menyakiti kita atau agama kita ini, maka kita hendaklah terus berdoa dan hanya memohon perlindungan dan pertolongan dari Allah s.w.t semata-mata.
  3. Hadis – dari Abu Musa Al-Asya\’ari bahawa Rasulullah s.a.w apabila takut ancaman akan sesuatu kaum, Baginda akan membaca doa ini:
    اَللّهُمَّ اِنَّانَجْعَلُكَ فِيْ نُحُوْرِهِمْ وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ
    Ertinya: \”Ya Allah, sesungguhnya aku menjadikan Engkau di leher mereka (agar kekuatan pada orang jahat itu tidak berdaya saat berhadapan dengan kami) dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan mereka.\” (HR. Abu Daud dan lain-lain.)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 23-{Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Nabi Musa membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata.}- ayat ini menunjukkan benarnya dakwah nabi Musa a.s.
    Allah s.w.t utuskan nabi Musa a.s dengan ayat/tanda mukjizat yang nyata untuk manusia boleh menerima dan beriman dengan tauhid yang dibawa olehnya.

Ayat ini ditafsir oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya:
Rasulullah S.A.W bersabda: \”Tidaklah seorang pun dari para Nabi dari kalangan nabi yang diutuskan melainkan pasti diberi kepada mereka tanda (mukjizat) yang akan membuatkan manusia beriman kepadanya. Namun yang diberikan kepadaku adalah wahyu yang diwahyukan Allah kepadaku. Aku berharap menjadi Nabi yang paling ramai pengikutnya di hari kiamat.\” [HR Bukhari & Muslim].

  1. Ayat 24- {Kepada Firaun dan Haman serta Qarun;}- kenapa Allah s.w.t hanya sebut nama 3 orang ini sahaja? Risalah nabi Musa a.s diutuskan kepada semua umatnya pada masa itu, disebut mereka ini sebagai mewakili tiga watak golongan manusia dalam setiap masyarakat, manakala yang lain hanya pengikut mereka. Iaitu Allah gambarkan tiga kategori watak manusia ini:
    i- Firaun sebagai watak pemerintah- mewakili kerajaan yang mempunyai kuasa yang mutlak. KUASA.
    ii- Haman- sebagai watak seorang penasihat kepada raja/pemerintah. Mewakili golongan pekerja yang mempunyai jawatan. PANGKAT JAWATAN.
    iii- Qarun- sebagai watak seorang tokoh korporat yang kaya raya. Mewakili golongan rakyat yang berjaya. HARTA.

Tetapi ketiga-tiganya menolak nabi Musa a.s dan menuduhnya sebagai seorang ahli Sihir yang berdusta! Yakni mereka cuba memperlekehkan kehebata nabi Musa a.s, tidak ada apa, sama aje seperti ahli ishir yang lain pada zaman mereka!

  1. Ayat 25-{\”Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka\”.}- keputusan mereka untuk membunuh anak-anak lelaki kaum Musa a.s., diberi peluang oleh Allah untuk mereka menunjukkan kekuatan dan melaksanakan kejahatan ini sebagai satu ujian kepada orang yang beriman serta untuk diangkat darjat ibu bapa yang kena musibah itu. Walaupun ujian ini sangat berat ke atas mereka!

Kemudian Allah katakan lagi dalam ayat ini: {(Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan sahaja.}- Kata ulama\’ ayat ini memberi khabar gembira yang lengkap kepada orang yang beriman, bahawa puak kafir ini walaupun rasa bijak setinggi mana pun, mereka tetap akan gagal dan tidak akan berjaya! Yakni bak bahasa kelantan kata: Walaupun mereka ramai pakar tetapi semuanya \”tak ppaka\” (tidak berguna).
Kita minta berlindung dari menjadi orang yang \”tak ppaka\” ini.

Firman Allah s.w.t: {Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa\”.} (Al-A\’raaf 7:128).

  1. Ayat 27- {Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: \”Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu}- Setelah mendengar ancaman dan perancangan Firaun untuk membunuhnya, nabi Musa a.s terus berdoa minta perlindungan dari Allah, \”Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu .\”

Begitulah adab para nabi apabila mereka bercakap, mereka mulakan dengan dirinya dulu baru secara umum- Tuhanku & Tuhan kamu semua.

Yakni kita dibawah satu Tuhan iaitu Allah, nabi yang satu, Rasulullah s.a.w dan al-Quran yang satu, yakni di bawah satu bumbung, tetapi kenapa kita berkelahi seperti bukan dalam satu agama. Jika ada perselisihan dalam cabang-cabang yang kecil. Kita boleh bincangkan dengan baik mana yang lebih hampir dan betul dengan Sunnah Nabi s.a.w.

Fakta penting seperti di atas tadi; Jangan lupa Firaun tadi mahu membunuh Musa a.s dengan alasan mahu menjaga akidah dan pegangan agama rakyatnya, takut terpesong dan ikut Musa a.s.
Inilah fahaman yang sonsang, sama seperti penguasa hari ini yang bawa masuk ajaran pelik-pelik, orang yang bercakap tanpa hujjah kepada masyarakat dengan alasan mahu jaga akidah ummat!

Kita sebagai orang beriman kena ingat untuk sentiasa meminta pertolongan dari Allah s.w.t dalam semua perkara dan keadaan.

  1. Ayat 27-{dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!\”}

Punca kerosakan atas dunia ini ialah sifat takabbur! Nabi s.a.w telah mengatakan bahawa manusia yang angkuh dan takabbur ialah yang menolak kebenaran dan menghina orang lain yang tidak sama aliran/pemahaman dengan mereka.

Kita telah belajar dan tadabbur bahawa banyak teknik yang digunakan oleh Firaun ini gagal, begitu juga pemimpin yang zalim hari ini cuba menggunakan teknik ini juga tanpa cuba mengambil iktibar dan pengajaran dari kisah ini!

Marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t, jauhkan sifat takabbur dan angkuh yang boleh membawa kepada kerosakan!
Marilah kita bertawadhuk, tunduk patuh kepada perintah Allah s.w.t , kepada Kitab Allah dan Sunnah Nabi s.a.w berdasarkan tafsir ulama\’ salafus-soleh yang diakui dan muktabar!

Powered by BetterDocs