SURAH GHAFIR : AYAT 36-40

\"\"

FIR\’AUN MINTA BUAT BAGUNAN TINGGI NAK TENGOK TUHAN, NASIHAT JANGAN TERPEDAYA DENGAN DUNIA & BALASAN DI AKHIRAT.

Full video : https://youtu.be/He3Ri5ZgvjY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang Firaun yang cuba menunjukkan keangkuhan dan kebodohannya minta dibuatkan bagunan tinggi untuk dia naik tengok Tuhan nabi Musa a.s di atas langit.
  2. Orang beriman itu memberi nasihat lagi kepada kaumnya supaya jangan terpedaya dengan dunia yang sementara sedangkan Akhirat jualah yang kekal.
  3. Kemudian Allah s.w.t jelaskan bahawa di Akhirat nanti bahawa semua golongan samada yang baik atau yang jahat akan mendapat pembalasannya!
  4. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sifatkan Firaun sebagai seorang yang sombong, pengganas dan pelampau batas yang zalim dan jahat.
    Dalam siri ini pula dia menunjukkan keangkuhan dan kebodohannya yang mahu naik ke atas untuk mencari Tuhan Musa a.s yang disangkanya berada di atas langit.
  5. Ini semua adalah perbuatan sia-sia dan batil, yang dihiasi oleh syaitan sehingga mereka para kafir menganggapnya benar.

AYAT 36-{DAN FIRAUN PULA BERKATA: \”HAI HAMAN! BINALAH UNTUKKU SEBUAH BANGUNAN YANG TINGGI, SEMOGA AKU SAMPAI KE JALAN-JALAN (YANG AKU HENDAK MENUJUNYA)} (GHAAFIR 40:36)

  1. Dalam ayat ini Firaun memerintahkan pembantunya Haman untuk membina sebuah bangunan yang tinggi untuk dia naiki.
  2. Iaitu sebuah bangunan yang tinggi lagi besar (صَرْحًا). Setinggi mana saja dapat mereka buat, mungkin hanya seperti piramid yang dapat kita lihat sekarang itu sahaja. Tak sampai ke langit pun!

AYAT 37-{\”(IAITU) KE PINTU-PINTU LANGIT, SUPAYA AKU DAPAT MELIHAT TUHAN MUSA; DAN SESUNGGUHNYA AKU PERCAYA MUSA ITU SEORANG PENDUSTA!\” DEMIKIANLAH DIPERHIASKAN (OLEH SYAITAN) KEPADA FIRAUN AKAN PERBUATANNYA YANG BURUK ITU UNTUK DIPANDANG BAIK, SERTA IA DIHALANGI DARI JALAN YANG BENAR; DAN TIPU DAYA FIRAUN ITU TIDAK MEMBAWANYA MELAINKAN KE DALAM KERUGIAN DAN KEBINASAAN.} (GHAAFIR 40:37)

  1. Tujuannya untuk dia sampai ke pintu-pintu langit supaya dia dapat melihat dan berjumpa dengan Tuhan Musa! Dia juga yakin bahawa Musa a.s itu hanya seorang pendusta, tiada pun tuhan selain dia (Firaun).
  2. Firman Allah s.w.t: {Dan Firaun pula berkata: \”Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta\”.} (Al-Qasas 28:38)
  3. Demikianlah Syaitan telah hiaskan kepada Firaun segala perbuatannya yang buruk itu menjadi dipandang baik, dia juga terhalang dari jalan yang benar. Maka teruslah Firaun berada dalam kesesatan dan kengakuhannya!
  4. Segala tipu-daya Firaun itu tidak akan memberinya apa-apa manfaat dan apa yang dia hendak kecuali akan membawa kepadanya kerugian dan kebinasaan! Dia buat itu menutup kerunsingannya, takut rakyatnya terpengaruh dengan dakwah nabi Musa a.s.

AYAT 38-{DAN BERKATALAH PULA ORANG BERIMAN ITU: \”WAHAI KAUMKU! TURUTLAH (NASIHATKU), AKU AKAN MENUNJUKKAN KEPADA KAMU JALAN YANG BENAR.} (GHAAFIR 40:38)

  1. Mereka yang beriman pula terus menasihati kaumnya agar menurut nasihat dan dakwahnya, dia akan menunjuk dan membawa mereka jalan yang benar, yang diredhai Allah s.w.t! Jangan hiraukan Firaun dan perbuatan zalimnya

AYAT 39-{\”WAHAI KAUMKU! SESUNGGUHNYA KEHIDUPAN DUNIA INI HANYALAH KESENANGAN (UNTUK SEMENTARA WAKTU SAHAJA), DAN SESUNGGUHNYA HARI AKHIRAT ITULAH SAHAJA NEGERI YANG KEKAL.} (GHAAFIR 40:39)

  1. Nasihat orang yang beriman lagi kepada kaumnya: sesungguhnya dunia ini hanya sementara, tidak akan kekal segala penghuninya samada manusia atau harta benda yang ada!
  2. Yang kekal abadinya adalah negeri Akhirat yang tiada akhirnya samada nikmat syurga atau azab neraka! Maka beramallah kamu untuk mendapat balasan baik di akhirat kelak yang tidak akan hilang selamanya!
  3. Inilah nasihat yang relevan dan berguna sepanjang zaman, untuk semua manusia tidak mengira sempadan waktu!

AYAT 40-{\”SESIAPA YANG MENGERJAKAN SESUATU PERBUATAN JAHAT MAKA IA TIDAK DIBALAS MELAINKAN DENGAN KEJAHATAN YANG SEBANDING DENGANNYA; DAN SESIAPA YANG MENGERJAKAN AMAL SOLEH – DARI LELAKI ATAU PEREMPUAN – SEDANG IA BERIMAN, MAKA MEREKA ITU AKAN MASUK SYURGA; MEREKA BEROLEH REZEKI DI DALAM SYURGA ITU DENGAN TIDAK DIHITUNG.} (GHAAFIR 40:40)

  1. Nasihatnya lagi: Sesiapa yang buat jahat atas dunia dulu, Allah s.w.t tidak akan balas kepadanya kecuali satu sama satu, yakni seumpamanya, tiada tambahan. Hanya balasan sebagaimana perbuatan jahatnya itu sahaja.
  2. Firman Allah s.w.t juga: {Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): \”Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan\”.} (An-Naml 27:90)
  3. Maka kita berfikir dan beringat dulu sebelum buat sesuatu atas dunia ini. Ini kerana suratan amalan yang kita akan baca di hadapan Allah s.w.t nanti, kitalah penulisnya di atas ini!

i- Apakah kita mahu membaca rekod laporan yang buruk, yang diterima dengan tangan kiri? Maka buatlah apa yang kamu mahu tanpa mengira buruk atau baik, halal atau haram!

ii- jika kita mahu rekod amalan yang penuh kebaikan, yang diterima dengan tangan, maka buatlah amal soleh dan ikut segala perintah Allah s.w.t dan Rasul-Nya! Sebagaimana dalam hujung ayat ini:

  1. Allah s.w.t telah jelaskan bahawa sesiapa yang melakukan amal soleh, lelaki atau perempuan manakala dia seorang YANG BERIMAN, maka mereka akan diberi balasan syurga yang tidak terhitung dan terbayang nikmat rezekinya.
  2. Firman Allah s.w.t juga: {Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.} (An-Nisaa\’ 4:124)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 36-{Dan Firaun pula berkata: \”Hai Haman! Binalah untukku sebuah bangunan yang tinggi,}- Firaun memerintahkan Haman untuk membakar batu-bata yang besar untuk membina bangunan yang tinggi.

Tujuannya supaya:
{Semoga aku sampai ke jalan-jalan (yang aku hendak menujunya)}- kata Firaun {Semoga- لَعَلِّي} -kata ulama\’ ini menunjukkan dalam hati Firaun sudah tahu dan mengakui bahawa sudah ada tuhan lain selain darinya yakni tuhan Musa a.s. Maka dia cuba alihkan perhatian kaumnya agar mereka tidak terus mendengar dan mengikuti dakwah Nabi Musa a.s lalu terpengaruh dan terikut dengannya.

Yakni; Tunggu dulu, jangan dengar lagi, dia sendiri yang akan pergi menyiasat dan pastikan benar atau tidak dakwaan Musa a.s itu. Kemudian belum apa-apa dia terus membawa hukum dan pemutus bahawa Musa a.s itu pendusta!

  1. Ayat 37- {dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang pendusta!}- kata ulama\’, ketua kesesatan ini mereka cuba menyekat manusia daripada menerima kebenaran dengan sedaya upayanya. Dia cuba mengalih perhatian dan sekat dari awal lagi agar orang ramai tidak mendengar dakwah dan ajaran Musa a.s dengan segera. Sabar dan tunggu aku siasat dulu!

Ini berlaku bukan hanya sekadar kepada ketua negara yang mempunyai kuasa besar sahaja, tetapi juga orang biasa, ketua-ketua ajaran/kumpulan tertentu yang mengajak orang ramai kepada pemikiran dan dakwahnya begitu juga! Caranya dengan pengaruhi orang ramai dengan cara memperlekehkan orang lain yang mahu disekatnya itu!

Untuk mengetahuinya betul atau tidak kita gunakan neraca timbangan Syari\’ah.

  1. Ayat 38-{Dan berkatalah pula orang beriman itu: }- ayat ini mengajar kepada kita bahawa sesiapa yang ada ilmu dan maklumat, walaupun tidak banyak, sampaikan kepada masyarakat. Seperti lelaki beriman ini walaupun dia dalam keadaan kerdil dan bahaya, dia tetap menjalankan tugasnya berdakwah dan memberi nasihat.

Dia juga memberi ketenangan kepada pengikutnya bahawa apa yang dia bawa itu bertepatan dengan ajaran yang dibawa oleh Allah dan Rasul-Nya dengan hujjah yang mantap! Ini juga harus dicontohi oleh para pendakwah hari ini.

Para pendakwah hendaklah sabar, sentiasa berdakwah dengan memberi galakan dan peringatan (ترغيب وترهيب). Juga tinggalkan segala fahaman dan ajaran yang pelik dan tidak tepat dengan Syari\’ah.

  1. Ayat 40-{\”Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh -}- dalam ayat ini Allah s.w.t mulakan dengan perbuatan yang tidak baik iaitu mereka yang mengerjakan amalan yang jahat dan buruk akan mendapat balasan buruk seumpamanya juga.

a- Persoalan: Kenapa adakalanya Allah s.w.t mulakan dengan sesuatu yang baik & rahmat dan kadang-kadang dengan ancaman dan azab dulu, apa bezanya?

Jawapan: Ini kerana setiap susunan ayat itu dibawa mengikut suasanan dan keadaan kisah yang sedangkan dijelaskan.
i- Ayat 40 ini dimulakan dengan azab dahulu kerana mahu memberikan amaran kepada mereka yang terpedaya dengan dunia dan melakukan keburukan. Maka diancam dengan azab dan balasan buruk.

ii- Juga dalam ayat yang menyatakan hukum, Allah s.w.t akan beri amaran bahawa azab-Nya keras atas mereka yang melanggar hukum itu tetapi Dia juga Maha Pengampun bagi mereka yang beriman dan patuh.

Seperti firman Allah s.w.t ini: {Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab seksaNya (شَدِيدُ الْعِقَابِ) (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (غَفُورٌ رَحِيمٌ) (bagi orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).} (Al-Maaidah 5:98).

iii- Juga apabila Allah s.w.t mahu bercakap tentang diri-Nya, tentang zat-Nya yang Maha Agung, maka dinyatakan sifat-Nya seperti dalam ayat ini:

Firman Allah s.w.t: {Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (الْغَفُورُ الرَّحِيمُ) (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh). Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (الْعَذَابُ الْأَلِيمُ) (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).} (Al-Hijr: 49-50)

Kata para ulama\’: [لكل مقام مقال – Bagi setiap keadaan/majlis ada ucapannya yang sesuai]. Bila kita nak bercakap biar kena pada tempat, berpijak di bumi yang nyata.
Contoh dalam majlis perkahwinan kita ucap tahniah, dalam majlis kematian kita ucap takziah, jangan tertukar sebaliknya!

Manakala ayat lain dimulai dengan rahmat untuk disesuaikan dengan jalan kisahnya! Maka sesuailah gaya percakapannya biar kena & sesuai pada tempat dan masanya!

b- Dari ayat ini juga timbul persoalan kenapa orang kafir dibalas berterusan dan berpanjangan selamanya, sedangkan mereka kufur di atas dunia ini sekejap sahaja?

Jawapan: Ini kerana orang kafir, mereka percaya bahawa kufur mereka itu betul untuk selamanya dan mereka tidak akan tinggalkan lagi berhala sembahan mereka selamanya! Mereka telah berazam untuk kekal di dalam kekufurannya selamanya, tidak akan bertaubat dan beriman! Mereka yakin bahawa iktikad mereka itu benar dan baik. Maka layaklah bagi mereka azab yang berterusan selamanya!

Ini berbeza dengan orang beriman tetapi fasiq atau ahli maksiat, ada dalam hati dan keazaman mereka untuk berhenti dan tidak akan buat perbuatan jahat mereka itu selamanya, akan tinggalkannya apabila sampai masa yang ditunggu, kerana itu azab mereka juga ada tempoh dan hadnya!

  1. Ayat 37-{Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik,}- begitulah sesuatu yang buruk dihias oleh syaitan sehingga orang melakukan keburukan merasakan perbuatannya itu baik dan benar!

Begitulah Allah s.w.t uji hamba-Nya maka syaitan akan datang dan hiaskan perbuatan manusia yang buruk dan batil itu sebagai benar dan elok.
Firman Allah s.w.t:
i- {Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.} (Al-An\’aam 6:108)

ii- {Lalu Syaitan memperelokkan pada pandangan mereka yang ingkar akan amal-amal mereka yang jahat itu; maka dia lah menjadi pemimpin mereka pada hari ini; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.} (Al-Nahl 16:63)

iii- {Dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk.} (An-Naml 27:24)

Ini adalah satu yang amat merbahaya dan menakutkan apabila Allah sebut syaitan memperhiaskan sesuatu amalan buruk jadi cantik!

Apabila kita merasakan sesuatu amalan yang kita buat itu benar dan elok, sedangkan ia adalah sesuatu yang batil dan menyalahi Syari\’ah maka akan binasalah!

Semoga kita dilindungi Allah s.w.t dari kejahatan syaitan dan mengikut amalannya ini!

Powered by BetterDocs