SURAH MARYAM : AYAT 51-57

\"\"

KISAH NABI MUSA, NABI ISMAIL DAN NABI IDRIS SEMUANYA IKHLAS DAN SIDDIQ & ANALISA WAKTU DIUTUSKAN NABI IDRIS.

Full video: https://youtu.be/W09G3TFLfxk

MUQADDIMAH :
1. Sebelum ini kita telah membaca kisah tentang Nabi Zakaria, Yahya dan Isa a.s.
2. Hari ini kita akan membaca kisah tentang Nabi yang keempat dalam surah Maryam ini iaitu Nabi Allah Musa a.s serta yang selepasnya.

AYAT 51- {DAN BACAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) DI DALAM KITAB (AL-QURAN) INI PERIHAL NABI MUSA; SESUNGGUHNYA IA ADALAH ORANG PILIHAN, DAN ADALAH IA SEORANG RASUL, LAGI NABI.} (MARYAM 19:51)
1. Rasulullah s.a.w diperintahkan membaca pula dalam al-Quran dan menceritakan kepada umatnya tentang kisah tentang Nabi Musa a.s. Ini adalah kisah nabi yang keempat dalam surah ini.
2. Musa a.s adalah antara nabi dari kalangan ulul-‘azmi, antara nabi yang termulia, dari zuriat keturunan Nabi Ya’kub, Ishak dan Musa a.s.
3. Diceritakan 5 sifat/keistimewaan Nabi Musa a.s dalam kisah ini:
i- Seorang yang ikhlas, مخلصا mukhlasan, seorang pilihan Allah s.w.t yang bersih dan suci daripada dosa, atau boleh juga di baca sebagai mukhlisan iaitu seorang yang ihlas dalam beribadat kepada Allah s.w.t.
ii- Seorang nabi dan rasul. Musa dilantik menjadi seorang nabi dan mempunyai seorang saudara lelaki yang bernama Harun. Lalu meminta Allah lantik juga Harun sebagai Nabi dan rasul dari kalangan keluarganya.
4. Perbezaan antara nabi & rasul:
i- Nabi: Seorang yang diberi wahyu oleh Allah s.w.t dan dia beramal dengannya tetapi tidak wajib untuknya menyampaikan kepada orang lain, hanya untuknya.
i- Rasul: Seorang yang diberi wahyu oleh Allah s.w.t dan wajib untuknya menyampaikan kepada orang lain samada kaumnya atau orang lain.
5. Maka Musa a.s adalah seorang nabi dan rasul yang diutuskan kepada kaumnya, Bani Israil dan kaum Qibtiyy, iaitu keturunan Firaun di Mesir.

AYAT 52- {DAN KAMI TELAH MENYERUNYA DARI ARAH SEBELAH KANAN GUNUNG TURSINA, DAN KAMI DAMPINGKAN DIA DENGAN DIBERI PENGHORMATAN BERKATA DENGAN KAMI.} (MARYAM 19:52)
1. Dalam perjalanan Nabi Musa bersama keluarganya untuk kembali ke Madyan mereka melalui gunung Tursina ini. Lalu Musa melihat sesuatu yang cerah dan pergi mencarinya.
2. Lalu Allah s.w.t menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina. (sifat ke3) iaitu diberi penghormatan untuk bermunajat kepada Allah s.w.t di gunung Tursina.
3. Allah hampirkan Musa dengan-Nya dan diberi penghormatan mendengar percakapan Allah, yakni berkara-kata dengan Allah s.w.t tanpa ada perantaraan, menurut cara yang layak bagi Allah s.w.t. Biasanya wahyu ada perantaraan melalui malaikat Jibri. (sifat ke4).
4. Kerana itulah Nabi Musa a.s mendapat gelaran Kalimullah, yakni yang berkata-kata dengan Allah s.w.t.

AYAT 53- {DAN KAMI KURNIAKAN KEPADANYA DARI RAHMAT KAMI, SAUDARANYA: HARUN, YANG JUGA BERPANGKAT NABI.} (MARYAM 19:53)
1. Antara nikmat kurnia Allah s.w.t kepada Nabi Musa juga, memenuhi permintaannya untuk melantik saudaranya Harun sebagai Nabi pembantunya, (sifat ke5).
2. Firman Allah s.w.t: {\”Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.} [Taha 20:29]
3. Nabi Musa a.s calonkan Harun ini disebabkn kelayakannya, yang fasih berkata-kata untuk membantu dakwahnya.
4. Tamatlah kisah Nabi Musa dalam surah ini.

AYAT 54- {DAN BACAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) DI DALAM KITAB (AL-QURAN) INI PERIHAL NABI ISMAIL; SESUNGGUHNYA IA ADALAH BENAR MENEPATI JANJI DAN ADALAH IA SEORANG RASUL, LAGI BERPANGKAT NABI. (MARYAM 19:54)
1. Rasulullah s.a.w diperintahkan membaca pula dalam al-Quran dan menceritakan kepada umatnya tentang kisah tentang Nabi Ismail a.s. ini adalah kisah nabi yang kelima dalam surah ini.
2. Kenapa Allah s.w.t awalkan kisah Nabi Musa sebelum Nabi Ismail? Ssedangkan Ismail adalah anak Ibrahim a.s- lebih awal masanya dari Musa a.s yang merupakan dari keturunan Ishak, adiknya Ismail. Ini supaya ayat ini bersambung kisah keturunan Ya’kub, Ishak dan Musa sebagai dari jalur keturuanan bani Israil di Palestin dan Syam. Manakala nabi Ismail membawa jalur keturunan Arab di Semenanjung Tanah Arab.
3. Siapakah Nabi Ismail ini? Dia adalah anak sulung Nabi Ibrahim dengan isterinya Hajar dari Mesir.
4. Keturunanya berkembang biak di Makkah dan beliau digelar sebagai Bapa kepada keturunan Arab Jazirah dan sampai kepada Rasulullah s.a.w.
5. Ada empat sifat keistimewaan Nabi Ismail a.s:
i- Sesungguhnya ia adalah seorang yang amat benar dan menepati janji. Contohnya kisah dalam firman Allah s.w.t ini:
{Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: \”Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?\”. Anaknya menjawab: \”Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar\”.} [As-Saaffaat 37:102].
Sanggup dan sabar memenuhi perintah Allah s.w.t yang menyuruh bapanya menyembelihnya.
ii- Seorang nabi dan rasul. Baginda diutuskan kepada puak Jurhum di Makkah pada masa itu. Mendapat wahyu dan dilantik menjadi rasul.

AYAT 55- {DAN ADALAH IA MENYURUH KELUARGANYA MENGERJAKAN SEMBAHYANG DAN MEMBERI ZAKAT, DAN IA PULA ADALAH SEORANG YANG DIREDHAI DI SISI TUHANNYA! (MARYAM 19:55)
1. Nabi Ismail a.s diperintahkan untuk menyuruh kaum keluarganya mengerjakan solat dan memberi zakat, untuk menjadi contoh tauladan kepada orang lain. (sifat ke3)
2. Ismail juga seorang yang diredhai di sisi Tuhannya. (sifat ke4).
3. Maka begitu juga tugas kita seorang mukmin, mulakan dengan diri kita dulu untuk menjadi orang baik, kemudian menyuruh kaum keluarga terdekat barulah kepada orang sekeliling.

AYAT 56- {DAN BACAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD) DI DALAM KITAB (AL-QURAN) INI PERIHAL NABI IDRIS; SESUNGGUHNYA ADALAH IA AMAT BENAR (TUTUR KATANYA DAN IMANNYA), SERTA IA SEORANG NABI. (MARYAM 19:56)
1. Rasulullah s.a.w diperintahkan membaca pula dalam al-Quran dan menceritakan kepada umatnya tentang kisah tentang Nabi Idris a.s. iaitu kisah nabi yang keenam dalam surah ini.
2. Siapakah Nabi Idris ini? Seorang nabi dan rasul juga yang mempunyai sifat terpuji dan terpilih di sisi Allah s.w.t.
3. Bilakah zaman dibangkitkan Nabi Idris ini a.s? Terdapat dua pendapat:
i- Majoriti ulama\’ ahli tafsir dan ahli sejarah, mengatakan dia dibangkitkan selepas Nabi Adam dan sebelum nabi Nus a.s, yakni nabi yang kedua mengikut turutan serta sudut sejarah. Tafsir ar-Rahman juga memilih pandangan ini, terdahulu daripada Nuh.
ii- Manakala pandangan kedua, kajian ulama\’ ini berdasarkan analisa dan tertib dari al-Quran, mengatakan Idris adalah nabi yang terkemudian, termasuk daripada golongan nabi-nabi bani Israil, bahkan datangnya selepas nabi Daud dan Sulaiman a.s.
4. Dalilnya di dalam al-Quran: Dalam surah Maryam ini dia disebut selepas nabi Musa dan Ismail a.s, begitu juga dalam surah al-Anbiya’ apabila dikisahkan tentang para nabi dan rasul, namanya juga terkemudian disebut selepas nama-nama nabi lain sebelumnya.
5. Dalil daripada hadis pula ialah hadis Isra\’ & Mikraj Rasulullah s.a.w. Apabila Baginda naik ke langit berjumpa para nabi; nabi Adam a.s berkata kepadanya: “Selamat datang nabi yang soleh dan anak cucu yang soleh”, manakala nabi Isa, Yusuf, Harun, Musa, Idris dan lain-lain berkata: “Selamat datang saudara yang soleh.” Yakni menunjukkan Idris adalah yang terkemudian, jika dia sebelum Nuh pastilah dia datuk moyang juga. Al-Qadhi Abu Bakar Ibnu al-Arabi antara ulama\’ yang memilih pendapat ini.
Wallahu a’lam.
6. Idris dikatakan anak kepada Shith, anak Adam a.s yakni sebelum Nuh. Namanya Idris kerana dikatakan dia banyak mengajar.
7. Antara sifat Nabi Idris ini:
i- Sesungguhnya ia adalah seorang yang amat benar dan menepati janji.
ii- Seorang nabi dan rasul

AYAT 57- {DAN KAMI TELAH MENGANGKATNYA KE TEMPAT YANG TINGGI DARJATNYA. (MARYAM 19:57)
1. Allah s.w.t juga telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya. (sifat ke3).
2. Ulama\’ kata maksudnya Allah telah mengangkat Idris ke tempat yang tinggi iaitu langit yang keempat. Ada yang kata kedudukan yang mulia dan tinggi.

PENUTUP DAN KESIMPULAN :
1. Antara 5 kelebihan/sifat Nabi Musa yang disebut dalam surah ini:
i- Sesungguhnya ia adalah seorang yang amat benar dan menepati janji.
ii- Dilantik menjadi seorang nabi dan rasul.
iii- Allah s.w.t menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina. Iaitu diberi penghormatan untuk bermunajat kepada Allah s.w.t di gunung Tursina.
iv- Allah hampirkan Musa dengan-Nya dan diberi penghormatan mendengar percakapan Allah, yakni berkara-kata dengan Allah s.w.t tanpa ada perantaraan, menurut cara yang layak bagi Allah s.w.t. Biasanya wahyu ada perantaraan melalui malaikat Jibri.
v- Allah s.w.t memenuhi permintaannya untuk melantik saudaranya Harun sebagai Nabi dan pembantunya.

2. Antara 4 kelebihan/sifat Nabi Ismail yang disebut dalam surah ini:
i- Sesungguhnya ia adalah seorang yang amat benar dan menepati janji.
ii- Dilantik menjadi seorang nabi dan rasul.
iii. Nabi Ismail a.s diperintahkan untuk menyuruh kaum keluarganya mengerjakan solat dan memberi zakat.
iv. Ismail juga seorang yang diredhai di sisi Tuhannya.

3. Antara 3 kelebihan/sifat Nabi Idris yang disebut dalam surah ini:
i- Sesungguhnya ia adalah seorang yang amat benar dan menepati janji.
ii- Dilantik menjadi seorang nabi dan rasul.
iii- Allah s.w.t telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs