View Categories

SURAH MARYAM : AYAT 7-11

\"\"

KHABAR GEMBIRA BAGI ZAKARIA AS, ANAKNYA YAHYA BAKAL DILAHIRKAN DARI IBU YANG MANDUL & ZIKIR PAGI DAN PETANG.

Full video: https://youtu.be/93s0ANbZ5hI

MUQADDIMAH :
1. Sebelum ini kita belajar adab dan sunnah berdoa yang ditunjukkan oleh Nabi Zakaria a.s.
1. Ada 5 adab berdoa dan 10 Kelebihan berdoa secara perlahan dan tersembunyi.
3. Terdapat beberapa pengajaran daripada kisah Nabi Zakaria dan anaknya Yahya.
4. Dalam siri ini kita akan melihat bagaimana doanya dikabulkan oleh Allah s.w.t.

AYAT 07- {(NABI ZAKARIA DISERU SETELAH DIKABULKAN DOANYA):\”WAHAI ZAKARIA! SESUNGGUHNYA KAMI MEMBERIKAN KHABAR YANG MENGEMBIRAKANMU DENGAN MENGURNIAKAN SEORANG ANAK LELAKI BERNAMA YAHYA, YANG KAMI TIDAK PERNAH JADIKAN SEBELUM ITU, SEORANGPUN YANG SENAMA DENGANNYA\”.} (MARYAM 19:7).
1.SELEPAS doanya yang penuh adab dan tawadhuk itu, lalu Allah s.w.t menyeru nama Zakaria dan memberikannya khabar gembira melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril a.s.
2. Iaitu doanya diperkenankan dan dia akan mendapat seorang anak lelaki yang dinamakan Yahya. Satu nama yang tidak pernah digunakan sebelum ini, orang pertama yang menggunakan nama Yahya ini.
3. Nabi Zakaria ini duduk beribadat di sebuah Haikal (nama tempat ibadat), dialah yang ditugaskan menjaga Maryam yang dinazarkan oleh ibu bapanya untuk berkhidmat di Haikal itu.
4. Bilakah khabar ini diterimanya ada dinukilkan dalam al-Quran: {Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri solat di Mihrab, (katanya): \”Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh\”.} (A-li\’Imraan 3:39)
5. Ulama\’ membincangkan maksud ayat: {..yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu..} yakni terkumpul di atas Yahaya apa yang tidak pernah berlaku kepada nabi lain, iaitu:
i- mendapat jawatan nabi ketika masih kecil.
ii- Yahya terpelihara daripada sifat biasa dan terjaga maruahnya daripada melakukan yang haram, حصورا yakni dia tidak berkahwin dan berkeluarga, ini untuk menumpukan terhadap jalan Allah, dakwah dan agama, tidak sibuk dengan anak-isteri.
iii- Kelahirannya daripada dua ibu bapa yang sudah tua dan mandul.
iv- Maksudnya nama Yahya belum pernah digunakan oleh orang lain sebelum ini.
*Kata ulama\’ inilah 4 kelebihan dan kemulilaan yang diberikan kepada Yahya dan bapanya, dari sudut terkumpul kepadanya beberapa kelebihan yang tidak ada pada nabi-nabi lain. Tetapi bukan bermakna dia lebih mulia daripada nabi-nabi lain.

6.Boleh digunakan doa Nabi Zakaria ini untuk mendapat zuriat:
{رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ}
\”Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi\”. [Al-Anbiya’: 89.]

7. Nama Nabi Zakaria a.s ada disebut dalam al-Quran sebanyak 7 kali;
i & ii- 2 kali dalam ayat 37 surah Aal-Imran.
iii- 1 kali dalam ayat 38 surah Aal-Imran.
iv- 1 kali dalam surah al-An’am ayat 85,
v & vi- 2 dalam surah Maryam, ayat 2 & 7,
vii- sekali dalam surah al-Anbiya’- ayat 89.

AYAT 08- {NABI ZAKARIA BERTANYA: \”WAHAI TUHANKU! BAGAIMANAKAH CARANYA AKU AKAN BEROLEH SEORANG ANAK, SEDANG ISTERIKU ADALAH SEORANG YANG MANDUL DAN AKU SENDIRI PULA TELAH SAMPAI HAD UMUR YANG SETUA-TUANYA?\”} (MARYAM 19:8)
1. Mendengar khabar gembira itu, Zakaria berasa sangat teruja dan takjub lalu bertanya kepada Tuhannya bagaimana dia akan mendapat anak itu?
2. Ini kerana isterinya seorang perempuan yang mandul (tidak pernah melahirkan anak sebelum ini) sementara dia sendiri pula telah sangat tua usianya.
3. Bukan tidak percaya, tetapi kerana sangat takjub, ingin faham, kepastian dan pengesahan, kerana ada ulama\’ kata ketika berdoa itu Zakaria lupa akan halangan-halangan yang ada pada dirinya untuk mendapat zuriat iaitu tua dan mandul kerana terlalu mengharapakan pewaris.

AYAT 09- {PENYERU ITU MENJAWAB: DEMIKIAN KEADAANNYA – JANGANLAH DIHAIRANKAN; TUHANMU BERFIRMAN; \”HAL ITU MUDAH BAGIKU KERANA SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENCIPTAKANMU DAHULU, SEDANG ENGKAU PADA MASA ITU BELUM ADA SEBARANG APAPUN.\”} (MARYAM 19:9)
1. Penyeru; yakni malaikat yang membawa berita menjawab dengan berkata jangan pelik, sedangkan Allah s.w.t telah berfirman: {Hal itu mudah bagi-Ku kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apapun.}
2. Tiada yang mustahil dan pelik bagi Allah s.w.t Yang Maha Berkuasa dan Maha Mencipta. Firman Allah s.w.t: {Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya.} (Al-Anbiyaa\’ 21:90)

AYAT 10- {NABI ZAKARIA MERAYU LAGI: \”WAHAI TUHANKU! JADIKANLAH SATU TANDA BAGIKU (YANG MENUNJUKKAN ISTERIKU MENGANDUNG)\”, ALLAH TAALA BERFIRMAN: \” TANDAMU ITU IALAH ENGKAU TIDAK AKAN DAPAT BERKATA-KATA DENGAN ORANG RAMAI SELAMA TIGA MALAM, SEDANG ENGKAU DALAM KEADAAN SIHAT\”.} (MARYAM 19:10)
1. Lalu Nabi Zakaria meminta daripada Allah s.w.t tanda-tanda/bukti bahawa isterinya telah mengandung.
2. Lalu Allah s.w.t berfirman bahawa tandanya bahawa dia tidak akan dapat bercakap dengan orang ramai selama tiga malam, sedang dia dalam keadaan sihat, yakni bukan sebab sakit apa-apa.
3. Dalam surah Aal-Imran ayat 41- Dinyatakan Nabi Zakaria tidak dapat bercakap selama 3 hari kecuali dengan isyarat. Maka lengkaplah maksudnya bahawa dia tidak dapat bercakap selama 3 hari & 3 malam, sebagai tanda kehamilan isterinya.
Firman Allah s.w.t: {Nabi Zakaria berkata lagi: \”Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)\”. Allah berfirman: \”Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam) melainkan dengan isyarat sahaja; dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi\”.} (A-li\’Imraan 3:41)

KATA AAM:- DALAM DUNIA HARI INI:
1- Semua benda kita nak positif kecuali result covid!!
2. Semua benda kita nak yang ori/asli kecuali orang.
3. Hatta dalam ibadat kiat mesti pastikan yang sahih dan ori daripada Nabi s.a.w.

AYAT 11- {MAKA DIA PUN KELUAR MENDAPATKAN KAUMNYA DARI MIHRAB (TEMPAT SEMBAHYANGNYA), LALU IA MEMBERI ISYARAT KEPADA MEREKA: \”HENDAKLAH KAMU BERTASBIH (MENGERJAKAN IBADAT KEPADA ALLAH) PAGI DAN PETANG\”.} (MARYAM 19:11).
1. Selepas mendapat khabar dan tanda itu, maka dia pun keluar dari mihrab, iaitu tempat ibadatnya, sedangkan dia sudah tidak dapat bercakap, menunujukkan tanda bahawa isterinya telah hamil.
2. Maka dia pun memberi isyarat kepada kaumnya memberi arahan supaya mereka bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah) setiap pagi dan petang.

PENGAJARAN DAN FAEDAH :
1. Dibolehkan bagi seorang muslim itu menyatakan kegembiraan apabila mendengar berita bahawa sahabatnya mendapat nikmat, rezeki dan sesuatu yang baik, seperti mengucapkan tahniah kepada orang yang baru mendapat anak dan lain-lain.
Ini sebagaimana Allah s.w.t menghantar malaikat sebagai utusan untuk menyampaikan khabar gembira kepada Zakaria.
2. Apakah maksud nama YAHYA?
i- Nama yang bertepatan dengan hakikat reality kehidupan, iaitu betul-betul diperlukan yakni dia akan hidup untuk memenuhi harapan bapanya, meneruskan legasi kerasulan dan dakwahnya.
ii- Dengan makna hidup sungguh, hidup dengan cara fizikal, dan hidup hatinya dengan agama dan ilmu, hidup dengan wahyu daripada Allah s.w.t.
3. Dua keistimewaan nabi Yahya :
a- Nama Yahya ini dipilih dan diberikan oleh Allah s.w.t sendiri.
b- Nama ini tidak pernah diberikan kepada orang lain, menunjukkan kelebihan dan keistimewaannya.
4- Kenapa nabi Zakaria meminta tanda bukti kehamilan isterinya? Ini kerana bukanlah mendengar cerita itu sama dengan melihatnyat sendiri. Lalu dia mahukan kepastian untuk menenangkan hati dan menambahkan keyakinannya.
5- Apa maksudnya zikir pagi petang ini? Yakni ia zikir yang dibaca selepas solat fardhu yang tiada solat sunat ba’diyyah selepasnya, iaitu selepas solat Subuh dan Asar. Maka jangan sekali-kali kita lupa untuk membacanya setiap hari.
6. Sesiapa yang bersumpah bahawa dia tidak akan bercakap dengan seseorang, maka dia boleh menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs