SURAH MUHAMMAD : AYAT 25-28

\"\"

MAINAN SYAITAN TERHADAP MUNAFIQIN, KETAATAN KEPADA KAFIR & KEADAAN KETIKA NAK MATI.

Full video : https://youtu.be/5hN0kCPOre4

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang syaitan yang bermain-main dengan puak munafiq yang terperangkap dan terpedaya dengan syaitan.
  2. mereka juga telah menyatakan taat-setianya kepada orang kafir, dalam masa yang sama berpura-pura baik dengan kaum muslimin.
  3. Kemudian Allah s.w.t gambarkan kedaan mereka pada saat kematian, kematian yang buruk dalam keadaan tidak beriman, sedang buat maksiat dan bukan di atas landasan sunnah. Na\’uzubillah kita berlindung darinya.
  4. Kita berdoa agar Allah s.w.t tetapkan kita di atas landasan iman, dan istiqomah dalam iman dan amal mudah-mudahan kita mati dalam husnul-khatimah!
  5. Munasabah ayat: Dalam ayat yang lepas (ayat 24) Allah s.w.t telah sebut bahawa di atas hati kaum munafiq itu ada kunci yang menutup hati mereka, maka dalam ayat seterusnya Allah nyatakan pula kenapa hati mereka itu terkunci & tertutup.
    Kita akan lihat punca dan sebabnya dalam ayat 25 pula.

AYAT 25-{SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG TELAH BERBALIK KEPADA KEINGKARAN MEREKA SESUDAH TERANG NYATA KEPADA MEREKA KEBENARAN PETUNJUK (YANG DIKEMUKAKAN KEPADANYA), SYAITANLAH YANG MEMPERDAYAKAN MEREKA (BERLAKU DEMIKIAN), SERTA MEMANJANGKAN ANGAN-ANGAN MEREKA.} (MUHAMMAD 47:25)

  1. Mereka ini telah melihat dan menyaksikan segala kebenaran yang sudah jelas nyata, mereka hidup bersama Rasulullah s.a.w, bergaul dengan kaum muslimin dan tetapi semua itu tidak memberi kesan dan petunjuk kebenaran bagi mereka bahkan mereka lari berpaling tadah (الَّذِينَ ارْتَدُّوا).
  2. Ini kerana puncanya penyakit itu:
    i- syaitan telah memperdayakan (الشَّيْطَانُ سَوَّلَ لَهُمْ) mereka, menghiasi keburukan menjadi seolah kebaikan dan benar.
    ii- syaitan juga memanjangkan angan-angan mereka (وَأَمْلَى لَهُمْ). Perhiaskan kepada mereka sebagai amalan yang betul.
  3. Kata Ibnu Asyur rhm.: Boleh jadi maksudnya kumpulan yang lari ini (الَّذِينَ ارْتَدُّوا) ini adalah mereka yang mengikut Abdullah bin Ubai bin Salul (ketua munafiq) lari balik semasa dalam perjalanan ke peperangan Uhud.
    Cerita penuh sila lihat dalam buku Madinah; Kelebihan & Sejarah:
    http://www.dartaibah.com/…
  4. Dalam ayat ini Allah nyatakan sebabnya iaitu permainan syaitan sebagaimana firman-Nya juga:
    {Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.} (An-Nisaa\’ 4:120)

AYAT 26-{BERLAKUNYA YANG DEMIKIAN IALAH: KERANA MEREKA BERKATA KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK MENYUKAI PERKARA YANG DITURUNKAN OLEH ALLAH: \”KAMI AKAN PATUH KEPADA KAMU PADA SETENGAH PERKARA (YANG BERHUBUNG DENGAN MENENTANG MUHAMMAD DAN PENGIKUTNYA) ITU\”; SEDANG ALLAH MENGETAHUI SEGALA (PERKATAAN DAN PERBUATAN) YANG MEREKA SEMBUNYIKAN.} (MUHAMMAD 47:26)

  1. Mereka ini (golongan munafiq) berkata kepada kaum kafir yang mereka ikut dan berikan taat setia bahawa mereka akan patuh dalam setengah perkara yang berhubung dengan menentang Rasulullah s.a.w dan pengikutnya.
    Yakni mereka bersatu dalam menentang Rasulullah s.a.w & Islam walaupun tidak dalam hal lain.
  2. Sedangkan Allah s.w.t mengetahui segala perkataan dan
    perbuatan yang mereka sembunyikan kepada kaum mukmin. Segala konspirasi dan janji jahat mereka, munafiq dan kafirun, Allah s.w.t tahu semuanya!
  3. Tetapi Allah s.w.t tidak ambil tindakan segera ke atas mereka, bagi tempoh sehingga mereka meninggal, Rasulullah s.a.w juga tidak memecahkan tembelang mereka sehinggalah kematian mereka walaupun Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Baginda rahsia ini. Ini menyebabkan mereka makin bersemangat dan naik tocang!
  4. Rasulullah s.a.w telah memberitahu kepada seorang sahabat- Huzaifah ibnu al-Yaman r.a tentang rahsia ini, dia adalah pemegang rahsia senariaigolongan munafiqin di Madinah ini!
  5. Sayyidina Umar al-Khattab r.a apabila ada kematian orang yang tidak berapa dikenalinya di Madinah, dia tunggu dan lihat apakah Huzaifah pergi solat jenazahnya, baru dia pergi juga.
  6. Umar r.a juga pernah bertanya kepada Huzaifah r.a adakah namanya tersenarai dalam golongan munafiq itu?. Huzaifah r.a terus menafikannya!! Allahu Akbar betapa warak dan zuhudnya Sayyidina Umar r.a sampai begitu takut!
  7. Berbeza dengan manusia hari ini, dengan sombong dan megah mendabik dada mendakwa iman mantap walaupun tidak solat dan tidak ikut Sunnah nabi s.a.w, perempuan-perempuan yang jelas tidak tutup aurat juga mendakwa keimanan dalam dada mereka sudah memadai dan mereka tidak kacau orang!

AYAT 27-{(KALAULAH MEREKA TERLEPAS SEKARANG DARI BENCANA KEJAHATAN MEREKA) MAKA BAGAIMANAKAH (MEREKA DAPAT MENOLAK AZAB SEKSA) APABILA MALAIKAT MENGAMBIL NYAWA MEREKA SAMBIL MEMUKUL MUKA DAN PUNGGUNG MEREKA?} (MUHAMMAD 47:27)

  1. Allah nyatakan lagi, walaupun mungkin mereka terlepas dari sebarang tindakan atas dunia ini; contohnya Rasulullah s.a.w tidak ambil tindakan ke atas mereka atau kerajaan Islam tidak dapat bertindak; tetapi mereka tidak akan terlepas dan selamat apabila malaikat datang mencabut nyawa mereka nanti!
  2. Mereka tidak akan dapat menolak azab seksa yang ditetapkan ke atas mereka, bermula dari saat kematian lagi apabila malaikat datang mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan belakang mereka.
  3. Firman Allah s.w.t juga: {Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): \”Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar\”.} (Al-Anfaal 8:50)

AYAT 28-{(KEMATIAN MEREKA DALAM KEADAAN YANG BURUK) ITU, KERANA MEREKA MENURUT (SERTA MELAKUKAN) PERKARA-PERKARA YANG MENYEBABKAN KEMURKAAN ALLAH, DAN MEREKA PULA MEMBENCI PERKARA-PERKARA YANG DIREDHAINYA; OLEH ITU, ALLAH GUGURKAN AMAL-AMAL MEREKA (YANG BAIK, YANG PERNAH MEREKA LAKUKAN).} (MUHAMMAD 47:28)

  1. Ini semua berlaku, kehinaan & kematian yang buruk ini kerana:
    i- mereka derhaka kepada Allah dengan membuat perkara maksiat yang dimurkai Allah s.w.t.

ii- serta membenci perkara yang diredhai Allah seperti peperangan dan kebaikan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah Azza wa Jalla.

iii- menentang Rasulullah s.a.w; serta menyakitinya dan kaum muslimin.

iv- taat kepada syaitan dan berwalikan kepada puak kafir yang membenci ayat-ayat Allah dan rasul itu.

  1. Kita hari ini juga kena lihat dan pastikan dengan kumpulan mana kita nak buat pakatan, jika mereka adalah golongan yang benci kepada Allah & rasul, yang terang-terangan menentang Islam maka kita wajib jauhi, kita tidak mahu jadi seperti golongan munafiq, kita mahu jadi orang mukmin yang bencikan kekufuran dan kemungkaran.
  2. Maka Allah s.w.t membatalkan segala amal kebajikan mereka (yang mereka buat semasa di atas dunia ini), tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada mereka di Akhirat kelak! Amat rugilah mereka!
  3. Kita dapat tadabbur dari ayat ini beberapa perkara yang perlu kita berikan perhatian, semoga kita & keluarga kita selamat, masyarakat & negara juga selamat insya\’ Allah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 25-{Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk (yang dikemukakan kepadanya), Syaitanlah yang memperdayakan mereka (berlaku demikian), serta memanjangkan angan-angan mereka.}- dalam ayat ini adalah sebab-sebab yang menyebabkan munafiq berterusan dalam kesesatan mereka dan menentang Rasulullah s.a.w:
    i- syaitan telah memperdayakan mereka (الشَّيْطَانُ سَوَّلَ لَهُمْ) dengan menghiasi perbuatan yang buruk dan sesat sebagai sesuatu yang baik dan benar! Buruknya perangai orang yang mahu memperelokkan benda yang memang buruk dan salah! Apatah lagi orang yang bertanggung-jawab dan mempunyai kuasa atas dunia ini! Inilah permainan syaitan.

Kita hari ini hati-hatilah, syaitan menyusup masuk dalam ajaran batiniyyah yang berselindung disebalik amalan-amalan yang mahu membersihkan hati kononnya, syaitan berselindung di sebalik jubah dan serban ulama\’, yang menakutlan lagi di sebalik pakaian rasmi yang penuh kemegahan.

ii- syaitan memanjangkan angan-angan (وَأَمْلَى لَهُمْ) dengan menjadikan perasaan bahawa mati itu masih jauh dari kita. Masih ada masa untuk bersuka-ria kemudian untuk bertaubat.
Umur masih panjang, masa masih banyak!
Sedangkan bagi orang mukmin; cukuplah kematian itu sebagai satu peringatan!

  1. Ayat 26-{Berlakunya yang demikian ialah: kerana mereka berkata kepada orang-orang yang tidak menyukai perkara yang diturunkan oleh Allah: \”Kami akan patuh kepada kamu pada setengah perkara (yang berhubung dengan menentang Muhammad dan pengikutnya) itu\”;}- kata para ulama\’ ayat ini menunjukkan wajib ke atas orang muslim pada zaman ini untuk memerhati dan mentadabbur ayat-ayat ini lalu mengambil langkah yang cukup teliti serta berhati-hati dengan janji yang dahsyat yang Allah janjikan, agar jangan sekali-kali kita termasuk dalam golongan ini!
    Yakni jangan sekali-kali bersatu dan berkerjasama dengan puak kafir dan yang menentang Islam walaupun hanya dalam sesetengah perkara.

Yang kita nak untuk bekerjasama menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w!
Kata ulama\’ seperti Syanqiti rhm.: \”Jangan sekali-kali kita bersama dengan golongan kafir walaupun hanya dalam beberapa isu yang dipilih sahaja! Takutlah kepada Allah s.w.t, dunia ini hanya sementara dan pendek!

Kata ulama\’: \”Dalam isu bertoleransi ada satu kaedah yang disebut, iaitu;
Kita bekerjasama dalam perkara yang kita sepakati dan persetujui serta bertoleransi dalam perkara yang kita berbeza.

Sepatutnya kita kena bincang dalam perkara yang kita berbeza!
Kenapa berbeza, apa dalilnya perselisihan ini, mana sandarannya dan sebagainya.
Apa yang berbeza kita kena bincang, mana yang lebih tepat dan sahih kita ambil, baru betul!!!

  1. Ayat 28-{(Kematian mereka dalam keadaan yang buruk) itu, kerana mereka menurut (serta melakukan) perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhaiNya;} dalam ayat ini Allah s.w.t mencela dua kumpulan ini kerana mereka:
    i- menyukai apa yang dimurkai Allah s.w.t seperti maksiat dan kemungkaran.

ii- membenci apa yang diredhai Allah dan Rasul-Nya iaitu Syari\’ah Allah.

Kita kena lawan sebagaimana kaedah yang dibuat oleh Nabi s.a.w dalam sabdanya:
\”Seseorang tidaklah beriman (dengan sempurna) sehingga aku lebih dicintainya berbanding anak dan ibu bapanya serta manusia lain keseluruhannya.\”. [HR Bukhari dan Muslim].

Maka kita jika kita cinta dan mahu keredhaan Allah s.w.t, wajib cinta dan ikut Sunnah Rasulullah s.a.w bukan sayang saja tetapi tidak ikut ajaran dan Sunnahnya s.a.w.
Cinta Nabi ikutlah Sunnahnya bukan hanya sekadar menggosok replica dan menjejak tempat sejarah semata!

  1. Ayat 28- {(Kematian mereka dalam keadaan yang buruk) itu, kerana mereka menurut (serta melakukan) perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah,}- dalam ayat ini Allah s.w.t sebut apa yang dibenci oleh Allah bukan apa yang diredhai Allah- ini kerana rahmat Ini kerana rahmat Allah itu luas dan berterusan.

Maka jangan buat apa yang Allah murka dan jangan benci apa yang Allah suka & redhai!

Ini menunjukkan bahawa bahayanya orang yang melakukan kebaikan tetapi tidak ikut SOP Syari\’ah dan tidak ikhlas kepada Allah s.w.t!
Maka gugurlah amalan mereka yang baik dahulu, amalan boleh hilang dengan sebab keburukan yang dibuat!

  1. Ayat 28-{(Kematian mereka dalam keadaan yang buruk) itu, kerana mereka menurut (serta melakukan) perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhaiNya;}- orang kafir itu bukan benci keredhaan Allah terus tetapi benci kepada amalan-amalan yang boleh membawa kepada keredhaan Allah, bukan membenci atau tidak suka kepada keredhaan Allah untuk diri mereka sebagai mana dalam ayat ini:

Firman Allah s.w.t:
i- {Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): \”Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya.\”} (Az-Zumar 39:3)

ii- {\”Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia) supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?\” (Al-A\’raaf 7:53)

Hadis Rasulullah s.a.w telah membawa satu kaedah: \”Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.\” [HR at-Tirmizi, hasan sahih)

Kita jangan tinggalkan apa yang sahih dari Rasulullah s.a.w tetapi mencari pula amalan dan pegangan yang ada khilaf dan meragukan!
Tinggalkan amalan yang ada bantahan dan perselisihan di kalangan ulama\’.

Powered by BetterDocs