AMARAN ALLAH AKAN DEDAHKAN RAHSIA MUNAFIQIN, BEBERAPA TANDANYA & ALLAH UJI HAMBA-NYA.
Full video : https://youtu.be/V2lEzZ7uUzs
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini masih lagi dalam isu membongkar tembelang munafiqin dan Allah bagi amaran kepada munafiq, akan dedahkan rahsia-rahsia mereka kepada Rasulullah s.a.w.
- Samada secara rasmi atau dengan tanda-tanda bukti (سِيمَا) yang menunjukkan kepada sifat/ciri munafiq mereka.
- Allah juga dedahkan mereka dengan secara ujian amali, untuk mengesan siapakah mukmin hakiki & siapa munafiq dalam negara Islam agar dapat dikenali oleh orang muslimin.
- Munasabah ayat: Ayat ini berpindah dari ayat yang lepas sebagai satu ancaman (تهديد) dan janji siksa (الوعيد) kepada orang yang ingkar kepada amaran keras (إنْذَار) bahawa Allah akan dedahkan tembelang mereka kepada Rasulullah s.a.w!
i- Segala rancangan jahat dan konspirasi yang mereka sangka sebagai rahsia adalah bukan rahsia di sisi Allah s.w.t.
ii- Rasulullah s.a.w akan mengenali dan mengetahui strategi mereka, maka sekarang ini terpulang kepada mereka samada mahu kekal munafiq atau ikhlas masuk Islam & beriman dengan sebenarnya.
- Allah gambarkan pengkhianatan yang dibuat oleh mereka dengan gambaran yang amat buruk, perbuatan yang mereka lakukan amat buruk dan menggambarkan kebodohan mereka serta menjatuhkan maruah mereka!
Sekarang Allah bagi amaran (إنْذَار), tiada lagi rahsia mereka kerana Allah dan Rasul-Nya mengetahui segalanya!
AYAT 29-{PATUTKAH ORANG-ORANG (MUNAFIK) YANG ADA PENYAKIT (SYAK, RAGU-RAGU) DALAM HATINYA: MENYANGKA BAHAWA ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENDEDAHKAN PERASAAN DENDAM DAN HASAD DENGKI MEREKA (TERHADAP NABI MUHAMMAD S.A.W DAN UMATNYA)?} (MUHAMMAD 47:29)
- Allah s.w.t bertanya patutkan para munafiq yang ada dalam hati mereka penyakit syak & ragu-ragu terhadap kebenaran Islam ini; menyangka bahawa Allah s.w.t tidak akan sekali-kali mendedahkan rahsia dan rancangan jahat mereka kepada Rasulullah s.a.w? Bahawa tiada siapa akan tahu dalam hati mereka.
- Munafiq ini amat bahaya dan wujud dalam negara Islam, pada zahirnya mereka seolah orang Islam yang beriman sedangkan dalam hati mereka kekufuran yang penuh perasaan dendam dan hasad dengki mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan umatnya.
AYAT 30-{DAN SEKIRANYA KAMI KEHENDAKI, TENTULAH KAMI AKAN MEMPERKENALKAN MEREKA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), LALU ENGKAU TETAP MENGENALINYA DENGAN TANDA-TANDA (YANG MENJADI SIFAT) MEREKA; DAN DEMI SESUNGGUHNYA, ENGKAU AKAN MENGENALI MEREKA DARI GAYA DAN TUTUR KATANYA. DAN (INGATLAH KAMU MASING-MASING), ALLAH MENGETAHUI SEGALA YANG KAMU LAKUKAN.}(MUHAMMAD 47:30)
- Jika Allah kehendaki Dia dapat menunjukkan kepada Rasulullah s.a.w dan memperkenalkan siapa golongan munafiq ini.
Rasulullah tetap akan mengenali mereka dengan tanda-tanda yang menjadi sifat mereka. - Golongan munafiq ini dapat dikenali dengan beberapa tanda & sifat:
i- melalui air muka/penampilan zahir mereka (بِسِيمَاهُمْ).
ii- dari gaya bahasa percakapan mereka (فِي لَحْنِ الْقَوْلِ)! Suka mengutuk dan menjatuhkan Islam contohnya.
Zaman kita hari ini dari segi penulisan dan status medsos!
Akan keluar dari mulut mereka perkataan-perkataan yang menunjukkan niat mereka yang buruk terhadap Islam.
- Munasabah ayat dengan ayat yang sebelumnya: Apakah mereka menyangka Allah tidak akan dedahkan rahsia mereka? Maka dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa Dia akan buka rahsia mereka dan memberikan tanda-tanda yang zahir yang dapat dikenali dan dicami sifat mereka.
- Golongan munafiq ini wujud dalam negara Islam, menjadi catatan sejarah, dalam beberapa ayat al-Quran, bahkan Allah s.w.t rakamkan satu surah khas tentang mereka iaitu Surah al-Munafiqun.
- Firman Allah s.w.t juga: {Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang \”A\’raab\” ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.} (At-Taubah 9:101)
- Merekalah penjahat yang menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan yang cuba memporak-perandakan Islam dari dalam! Jika kafir terus senang pula kita cam dan awasi!
- Hadis- sabda Rasulullah s.a.w: \”Tanda-tanda orang munafik ada tiga, jika berbicara berdusta, jika berjanji mengingkari, dan jika diberi amanah mengkhianati.\” (HR Bukhari dan Muslim).
*Serta banyak lagi hadis-hadis lain yang menyatakan sifat munafiq. - Maka jika tidak mahu jadi munafiq buanglah sikap-sikap ini dari diri.
- Bapa atau ketua munafiq yang dimaklumi di Madinah pada masa Rasulullah s.a.w ialah Abdullah bin Ubai bin Salul serta Jad bin Qais.
AYAT 31-{DAN DEMI SESUNGGUHNYA! KAMI TETAP MENGUJI KAMU (WAHAI ORANG-ORANG YANG MENGAKU BERIMAN) SEHINGGA TERNYATA PENGETAHUAN KAMI TENTANG ADANYA ORANG-ORANG YANG BERJUANG DARI KALANGAN KAMU DAN ORANG-ORANG YANG SABAR (DALAM MENJALANKAN PERINTAH KAMI); DAN (SEHINGGA) KAMI DAPAT MENGESAHKAN (BENAR ATAU TIDAKNYA) BERITA-BERITA TENTANG KEADAAN KAMU.} (MUHAMMAD 47:31)
- Allah nyatakan bahawa Dia akan menguji manusia itu sehingga dapat mengesahkan siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang hanya berpura beriman tetapi tidak di dalam hati, yakni munafiq!
- Munasabah ayat: Dalam ayat yang sebelumnya Allah telah ceritakan bahawa Dia telah mendedah dan memperkenalkan golongan munafiq kepada Rasulullah s.a.w.
Maka dalam ayat ini Allah mahu memperkenalkan pula golongan munafiq ini kepada kaum muslimin lain yang tiada wahyu.
Iaitu antara tandanya dengan ujian berjihad, berperang pada jalan Allah! - Jihad fisabilillah ialah satu medan ujian bagi semua samada yang munafiq atau yang beriman. Siapa yang rela dan sanggup berjuang dijalan Allah serta yakin & mengharapkan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah itulah mereka yang benar-benar beriman.
- Batu ujian pertama ialah dalam peperangan Uhud! Dapat dilihat siapa yang betul-betul mahu ikut perjuangan Rasulullah s.a.w dan siapa yang pengecut dan berpaling lari! Maka mereka ini dapat dikenali oleh kaum muslimin!
- Firman Allah s.w.t: {Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?} (A-li\’Imraan 3:142).
Serta banyak lagi ayat-ayat lain. - Kata para ulama\’ seperti Ibnu Jarir: Maksudnya firman Allah- Kami akan uji kamu (وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ) adalah ujian itu dengan bentuk jihad! Ia akan terserlah kerana melibatkan nyawa. Boleh baca kisah Perang Uhud dalam buku; Madinah Kelebihan & Sejarah.
- Allah s.w.t sebut diakhir ayat: Sehingga dapat disahkan benar atau tidak berita kedaan kamu. Yakni apa yang diberitakan orang tentang kamu yang kuat beribadat, mantap beriman, gagah berani berjuang menegak kebenaran dan lain-lain, serta apa yang kamu ceritakan kepada orang tentang sifat baik kamu sendiri!
- Semua itu akan disahkan oleh Allah s.w.t dengan ujian yang berupa berbagai tugasan. Akan terserlah siapa yang benar dan siapa yang hanya mengaku! Allah akan beri ujian yang akan mendedahkan kamu dan apa yang ada terkandung dalam hati kamu!
- Ini kerana bukan senang untuk menerima pengakuan orang tanpa bukti serta tugas yang dipertanggung-jawabkan.
- Semoga kita akan terdiri dalam golongan pejuang Islam yang lulus ujian Allah!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 29-{Patutkah orang-orang (munafik) yang ada penyakit (syak, ragu-ragu) dalam hatinya:}- apakah maksudnya penyakit yang ada dalam hati munafiq ini?
a) Penyakit hati ini ada dua:
i-penyakit syubhat- yang menimbulkan keraguan seperti penyakit munafiqin dan puak kafir yang tidak percaya kepada al-Quran dan dakwah Rasulullah s.a.w.
ii- penyakit syahawat- penyakit ini boleh terkena kepada semua orang; kafir, munafiqin atau kita orang Islam juga!
b) Berapa ramai orang Islam yang dikuasai syahwat nafsunya lalu sanggup menipu dan bersifat seperti munafiq juga. Penyakit ini melayakkan mereka masuk dalam kandang pesakit hati juga.
c) Ini juga menunjukkan sangkaan buruk kaum munafiq yang salah terhadap Allah s.w.t, yang tidak sesuai dengan hikmah kebijaksanaan Allah s.w.t.
Ini kerana Allah s.w.t pasti akan menzahir dan mendedahkan golongan yang tidak baik ini agar mereka dapat dikenali oleh kaum muslimin yang baik.
Maka jangan kita lalai dari kumpulan ini agar kita dapat menjauhkan diri dari mereka!
- Ayat 30-{Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad), lalu engkau tetap mengenalinya dengan tanda-tanda (yang menjadi sifat) mereka; dan demi sesungguhnya, engkau akan mengenali mereka dari gaya dan tutur katanya.}- Allah s.w.t akan mendedahkan sifat mereka melalui dua tanda iaitu:
i- tanda yang dapat dikenali melalui muka, watak dan penampilan mereka (بِسِيمَاهُمْ).
ii- tanda yang kedua ialah melalui percakapan (لَحْنِ الْقَوْلِ).
Atau pada hari ini melalui penulisan mereka atau tempat mereka berkumpul. Di mana saja tempat yang anti Islam, mereka akan muncul terus samada di mahkamah atau di mana saja.
Kerana itulah perangai mereka yang mahu mengganggu dan merosakkan Islam.
Kata Sayyidina Usman bin Affan r.a: Tidak ada sesiapa yang merahsiakan dalam hatinya satu perkara yang tidak baik, melainkan Allah s.w.t akan zahirkan melalui mimik mukanya DAN melalui ucapan perkataan yang terkeluar dari lidahnya!
Tengoklah sekarang apa ucapan kita sendiri, apakah ucapan yang mempertahankan Islam dan Sunnah Rasulullah s.a.w atau ucapan bawa cerita karut, cerita khurafat, mimpi-mimpi semata dan kisah yang tidak benar!
- Ayat 31-{Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar}- ini menunjukkan ujian itu sangat penting.
Kata ulama\’;
i- Kita tidak akan mengetahui samada emas itu tulen atau tidak sehingga diuji dengan apinya,
ii- begitu juga kita tidak tahu kayu gaharu yang asli sehingga ia dibakar dengan api juga,
iiii- demikianlah juga tidak dikenali orang yang betul-betul beriman dan mantap akidah & perjuangannya kecuali dengan ujian yang Allah s.w.t beri!
Maka hendaklah orang muslim bersabar kerana kamu mungkin akan disakiti dalam menegakkan kebenaran mahu melawan pihak yang menyebarkan bid\’ah dan khurafat.
Adakalanya kamu akan disakiti, atau diperli, diekori dipantau bahkan disekat, dan dihalang. Paling tidak nama kamu akan dilabel atau tersenarai dalam kumpulan yang tidak baik, gambar-gambar dan poster dipangkah! Bahkan secara online pun mahu dihalang serta perlu kebenaran pihak tertentu!
Tidak mengapa teruskan perjuangan menegakkan kebenaran & Sunnah Nabi s.a.w.
Kata ulama\’: Sifat orang mukmin apabila diuji dia bersabar, mengambil pengajaran dan sentiasa beristighfar. Orang mukmin tidak sibuk untuk membalas dendam terhadap orang yang mengkhianati mereka. Allah s.w.t Hakim Yang Maha Adil, jika kita tidak mendapat pembelaan atas dunia ini, insya\’ Allah kita akan dibela di hadapan Allah Azza wa Jalla.
Tidak mengapa kerana kita ada mahkamah Allah s.w.t di hari Kiamat kelak!
- Ayat 30- {Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperkenalkan mereka kepadamu (wahai Muhammad),}- kata ulama\’, ayat ini menunjukkan bahawa pada asasnya para rasul tidak tahu apa yang ada dalam hati para pengikutnya. Allah s.w.t yang memperkenalkan kepada mereka sifat munafiq itu melalui sifat, perbuatan dan tindak-tanduk mereka! Para rasul sebagai manusia tidak tahu benda ghaib kecuali dengan wahyu Allah s.w.t.
Sama seperti kita pada hari ini, kita tidak kenal orang dan tidak tahu apa yang ada dalam hati mereka kecuali melalui tindak-tanduk mereka yang terzahir.
Kata ahli fikir:
كل إناء بما فيه ينضح
i- Setiap bekas itu akan mengeluarkan isi dalamnya, yakni apa yang ada terkandung di dalamnya.
Begitulah apa yang ada dalam hati manusia, ia akan keluar dan terzahir samadayg baik atau buruk; melalui percakapan atau tulisannnya.Perkataan atau penulisan adalah ibarat cerminan hati pemiliknya.
ii- begitu juga setiap buah itu, apabila ditekan akan mengeluarkan jusnya sendiri, jika buah oren akan keluar jus oren, tidak akan keluar jus mangga atau jus buah lain. Demikianlah hati manusia, makin ditekan makin terserlah apa yang ada dalam hatinya!
Ya Allah rezekikanlah kami istiqomah untuk berjuang atas jalan kebenaran, mempertahan dan memperjuangkan Sunnah Nabi s.a.w, menentang golongan-golongan yang membawa ajaran-ajaran yang pelik dalam masyarakat, yang cuba memesongkan masyarakat daripada ajaran yang ditinggalkan oleh Baginda s.a.w.
Biarlah kita diuji oleh Allah dan kita akan lulus ujian bersama dengan mereka berpegang teguh dengan Sunnah Nabi s.a.w.
- Ayat 31-{dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.}- perlunya ujian untuk membuktikan kebenaran berita atau cerita yang diterima.
Ini kerana hakikatnya ada manusia yang hanya mendengar cerita, sifat, pandangan atau kisah tentang seseorang yang lain hanya dari orang lain juga sedangkan dia sendiri tidak pernah jumpa atau mendengar sendiri perkataan orang itu!
Contohnya: Ustaz ini kononnya tidak baik, sifatnya suka mengkafir dan membid\’ahkan orang, tetapi bukan mendengarnya sendiri.
Maka jika ada peluang untuk bersama dan mengenali, siasat dan dengarlah dulu, jangan terus menghukum dan menerima bulat-bulat tanpa siasat dan tabayyun!
Kata seorang ulama\’ salaf: Adalah seorang ulama\’ tafsir, Mujahid rhm. apabila sampai kepada ayat ini dia terus berdoa:
\”Ya Allah janganlah Engkau dedahkan rahsia-rahsia kami sehingga terdedah segala rahsia kami.\”
Semoga Allah s.w.t berikan kita kefahaman yang baik sehingga kita boleh tinggalkan yang buruk, serta jangan dedahkan rahsia kita! Biarlah perbuatan kita tidak kontra dengan ucapan kita di dalam percakapan atau Kuliah bagi para pendakwah terutamanya!