SURAH MUHAMMAD : AYAT 32-35

\"\"

AMARAN KEPADA PUAK KAFIR, JANGAN GUGURKAN AMALAN & MENYEKAT JALAN ALLAH.

Full video : https://youtu.be/AYOCAaGN2YU

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t cerita kepada kita tentang amaran kepada puak kafir, bahawa amalan mereka akan digugurkan, tidak akan memberi apa-apa faedah.
  2. Begitu juga bagi orang muslim, amalan mereka juga boleh gugur dengan beberapa perkara yang akan dibincangkan nanti.
  3. Antara perkara yang bahaya juga ialah menyekat pergerakan kepada jalan Allah sebagaimana yang dibuat oleh puak kafir atau pendokong-pendokong aliran ajaran sesat yang menyekat manusia daripada Sunnah Nabi s.a.w.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 32-{SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR DAN MENGHALANGI (DIRINYA DAN ORANG LAIN) DARI JALAN ALLAH, SERTA MEREKA MEMUSUHI RASUL ALLAH SETELAH TERNYATA KEPADA MEREKA KEBENARAN PETUNJUK (YANG DIBAWANYA), MEREKA TIDAK SEKALI-KALI AKAN DAPAT MENDATANGKAN MUDARAT KEPADA ALLAH SEDIKITPUN, DAN (SEBALIKNYA) ALLAH AKAN MENGHAMPAKAN PERBUATAN DAN AMAL-AMAL MEREKA.} (MUHAMMAD 47:32)

  1. Sesungguhnya orang kafir itu menyekat dari jalan Allah yakni dirinya sendiri dari beriman juga menyekat orang lain. Mereka menyalahi ajaran Rasulullah s.a.w secara keras kepala setelah mereka mengetahui apa yang Baginda bawa itu agama yang benar.
  2. Perbuatan itu tidak akan memberi kesan kepada Allah s.w.t bahkan akan merugikan diri mereka sendiri.
  3. Tentang siapakah mereka ini, yang menyekat pada jalan Allah, ada beberapa pandangan ulama\’:

i- kata Arr-Razi rhm.; mereka itu ialah ahli Kitab, yahudi bani Nadhir & bani Quraizah serta kafir Quraisy di Makkah.

ii- kata Qurtubi pula mereka ialah; munafiqin atau Yahudi.

iii- Ibnu Kathir rhm.; ialah mereka yang murtad dari beriman.

Kata ulama\’ tafsir; semua kumpulan yang cuba menyekat manusia dari jalan Allah, maka mereka akan termasuk dalam golongan ini!

  1. Perbuatan ini akan menghapuskan segala amalan baik mereka yang ada, merugikan mereka sendiri dan tidak akan memberi apa kesan kepada Allah s.w.t!
  2. Firman Allah s.w.t: {Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran.} (Ibrahim 14:18)

AYAT 33-{WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! TAATLAH KAMU KEPADA ALLAH DAN TAATLAH KEPADA RASUL ALLAH, DAN JANGANLAH KAMU BATALKAN AMAL-AMAL KAMU!} (MUHAMMAD 47:33)

  1. Allah perintahkan kepada semua orang yang beriman agar taat kepada Allah s.w.t & taat kepada Rasulullah s.a.w.
  2. Serta jangan membatalkan amalan baik kamu wahai orang yang beriman samada:
    i- dengan sebab terjebak dengan Syirik,
    ii- murtad,
    iii- dan lain-lain perbuatan yang dapat menghilangkan pahala dan manfaat amalannya.
  3. Ayat ini juga mengarahkan agar jangan sekali-kali membatalkan solat jika kita sudah bertakbir untuk solat kemudian rasa malas atau sengaja mahu berhenti tanpa sebab kecemasan yang diharuskan.
  4. Kata Ibnu Asyur rhm.: Maksudnya ialah melakukan perbuatan yang boleh membatalkan pahala amalan itu seperti; murtad, atau riya\’, sum\’ah iaitu cari glamour dan juga mengungkit perbuatan baik itu, dan lain-lain.
  5. Ada ulama\’ kata pahala itu akan hilang secara keseluruhan (كلي) jika murtad manakala kerana riya\’ akan hilang pahala yang datang perasaan itu sahaja (جزئي)!
  6. Sebagaimana hadis muflis yang panjang: Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda dengan bertanya kepada sahabatnya:
    \”Tahukah kamu sekalian, siapakah orang muflis itu?\”

Sahabat menjawab: \”Orang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda.\”

Rasulullah S.A.W membalas: \”Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang pada Hari Kiamat kelak datang dengan ibadah solat, puasa dan zakat, tetapi ia dahulu selalu mencaci maki orang ini, menfitnah orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini.
Maka, diberikan kepada setiap orang tadi daripada pahala kebaikannya.

Sekiranya pahala kebaikannya sudah habis sebelum selesai ditunaikan semua tuntutan ke atasnya, akan diambil pula daripada dosa mereka, lalu dilemparkan pula ke atasnya. Kemudian akhirnya, dia akan dihumbankan ke neraka.\” [HR Muslim].

Wal \’yazubillah semoga kita selamat dari menjadi muflis di Akhirat!

  1. Hadis kedua dari Thauban r.a, maula Rasulullah s.a.w, bahawa sabda Nabi s.a.w:

لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا، فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا\”، قَالَ ثَوْبَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا، جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ، وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ، قَالَ: \”أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ، وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ، وَيَأْخُذُونَ مِنَ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ، وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا

\”Aku sangat mengenali beberapa golongan manusia dari kalangan umatku yang datang pada Hari Kiamat dengan kebaikan yang banyak seumpama Bukit Tihamah Baidha\’.
Namun, Allah menjadikan amalan tersebut seperti debu-debu yang berterbangan (sia-sia).\”

Lalu Thauban r.a bertanya: \”Wahai Rasulallah, beritahulah kepada kami ciri-ciri golongan tersebut? Terangkanlah kepada kami supaya kami tidak menjadi seperti mereka. Sesungguhnya kami tidak mengetahuinya.

Baginda s.a.w pun bersabda: \”Sesungguhnya mereka adalah dari kalangan saudara-saudara kalian, dari golongan yang sama kulit dengan kalian dan mereka melakukan pada waktu malam sepertimana yang kalian lakukan. Namun demikian, apabila mereka bersendirian dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah, mereka sanggup melanggarnya.\” [HR Ibnu Majah].

AYAT 34-{SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG KAFIR DAN MENGHALANGI (DIRINYA DAN ORANG LAIN) DARI JALAN ALLAH, KEMUDIAN MEREKA MATI DENGAN KEADAAN KAFIRNYA, MAKA ALLAH TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENGAMPUNKAN MEREKA.} (MUHAMMAD 47:34)

  1. Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa orang yang mati dalam kafir mereka tidak akan diberi pengampunan dan tidak ada harapan lagi untuk selamat!
    Tetapi jika orang beriman mati dalam maksiat, dia akan berada dibawah budi-bicara Allah s.w.t.
  2. Firman Allah s.w.t: { Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.

Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh atau perhatian.} (Al-Baqarah 2: 161-162)

  1. Maka menjadi kewajipan kepada kita untuk menjaga tauhid dan akidah kita agar jangan rosak! Jangan terjebak walaupun dengan sesuatu yang ada khilaf dan keraguan, jangan terjebak dengan permainan syaitan yang akan menghiasi sesuatu yang buruk sehingga kelitan baik dan benar!
  2. Sebagaimana pesanan Rasulullah s.a.w: \”Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.\” [HR at-Tirmizi, hasan sahih)

AYAT 35-{(APABILA KAMU TELAH MENGETAHUI BAHAWA ORANG-ORANG KAFIR ITU DIHAMPAKAN AMALNYA DAN DISEKSA OLEH ALLAH) MAKA JANGANLAH KAMU (WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN) MERASA LEMAH DAN MENGAJAK (MUSUH YANG MENCEROBOH) UNTUK BERDAMAI, PADAHAL KAMULAH ORANG-ORANG YANG TERTINGGI KEADAANNYA, LAGI PULA ALLAH BERSAMA-SAMA KAMU (UNTUK MEMBELA KAMU MENCAPAI KEMENANGAN), DAN IA TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENGURANGI (PAHALA) AMAL-AMAL KAMU.} (MUHAMMAD 47:35)

  1. Allah mengajar orang Islam agar jangan lemah dan mudah menyerah kalah, jika musuh itu kafir yang memang jahat, jangan mengajak mereka untuk berdamai!
  2. Munasabah ayat:
    i- Dalam ayat yang lepas Allah sebutkan bahawa puak kafir itu nampak elok amalannya, tetapi gugur pahalanya, dosa yang mereka buat tidak diampunkan dan kesalahan mereka tidak dimaafkan.

ii- Maka Allah s.w.t perintahkan kita orang yang beriman agar taat kepada Rasulullah, Baginda memerintahkan kita untuk berjuang melawan puak kafir ini, maka jangan sedih dan lemah, lawan tetap lawan.

iii- Allah s.w.t telah mencela puak kafir dan mengatakan bahawa amalan mereka akan terbatal atas dunia ini samada dalam peperangan atau di Akhirat kelak; maka jangan kamu sedih dan merasa hina & lemah dalam melawan orang kafir lalu mahu mengajak mereka berdamai! Tidak sekali-kali kecuali kamu benar-benar dalam keadaan tidak berdaya dan lemah.

  1. Jangan lemah dan bimbang kerana Allah akan bersama kamu, menjaga kamu, memberi pertolongan dan bantuan untuk mengalahkan puak kafir!
  2. Allah s.w.t juga sekali-kali tidak akan mengurangkan atau membatalkan pahala amalan kita, alhamdulillah.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 33-{Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah,}- dalam ayat ini Allah s.w.t memerintahkan kepada orang mukmin supaya menyempurnakan tugas mereka dengan melakukan ketaatan kepada Allah & Rasul dengan segala perkara yang diperintahkan dengan ikhlas dan bertepatan dengan apa yang diajar oleh Baginda.

Kita orang beriman jangan ikut dan jadi seperti orang kafir, jangan langar SOP dalam kewajipan mentaati Allah & mentaati Rasulullah s.a.w!

Kata ahli syair: Kamu kata kamu sayang kepada Allah tetapi kamu derhaka kepada-Nya!!!
Sesungguhnya ini adalah sikap yang tidak baik,
Kerana orang yang sayang dia akan taat kepada orang yang disayanginya.

Kata cintakan Allah tetapi tidak ikut perintah Allah, kata cintakan Nabi tetapi tidak amalkan Sunnah Nabi s.a.w!

  1. Ayat 33-{Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!}- Jangan batalkan amalan kamu dengan melakukan maksiat kepada Allah & Rasul-Nya.

Amalan itu sudah baik tetapi jika tidak niat dengan benda baik, tidak niat kerana Allah akan hilang dan batallah amalannya!
Tidak ikut Syari\’ah Allah dan ajaran Nabi maka ia akan hilang dan batal begitu sahaja!

Sebagaimana sudah disebut tadi antara perkara yang membatalkan amalan ialah:
i- murtad meninggalkan agama!
ii- munafiq,
iii- riya\’- ingin menunjuk kepada orang,
iv- ujub & sum\’ah- bangga diri & mahu orang puji,
v- mengungkit pemberian & perbuatan baik yang dilakukan.

Hilang pahala ini samada secara:
i- total keseluruhan (كلي) seperti orang murtad & munafiq.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: \”Sesiapa yang yang tinggalkan solat asar maka akan gugur pahala-pahalanya.\” [HR Bukhari].
ii- sebahagian (جزئي)- bahagian yang dimasuki perkara buruk itu sahaja.
Kita tidak mahu kedua-duanya.

  1. Ayat 35-{(Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Ia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu.} – jangan sekali-kali orang Islam itu merasa lemah dan hina diri kepada orang kafir, mesti tunjukkan bahawa kita berada dipihak yang benar

Ini kerana kita ada tiga perkara:
i- kamu orang Islam adalah yang tertinggi dan mulia.
Mesti tunjukkan bahawa kita ini seorang muslim yang bangga dan berpegang dengan ajaran agama kita, bukan malu untuk mengaku Islam kerana lemah dan mundur!
Sebagaimana kisah semasa perang Uhud, Nabi suruh sahabat menjawab bahawa Allah s.w.t itu yang Maha Tinggi & Mulia.

ii- Allah bersama kamu. Kita pejuang Islam jangan takut, Allah jamin akan bantuan-Nya.

iii- Allah s.w.t tidak akan kurangkan pahala kamu sedikitpun!
Kita ada tida perkara ini, maka jangan takut lemah, lawan tetap lawan.

  1. Ayat 32-{ dan (sebaliknya) Allah akan menghampakan perbuatan dan amal-amal mereka.}- timbul persoalan; di awal surah Allah kata- {Dia hilangkan pahala mereka} manakala dalam ayat ini pula {Allah akan hilangkan pahala mereka} pula?

Ini adalah dua perkara yang berbeza:
i- maksudnya puak yang menyekat ke arah kebaikan di awal surah itu ialah golongan kafir. Ini adalah puak kafir yang dari awal lagi pahalanya memang sudah tiada terus, iaitu puak kafir & musyrikin, pahala mereka tiada dari awal, amalan mereka pun bertentangan dengan Syari\’ah Islam, contohnya mereka tawaf sambil telanjang.

ii- manakala maksudnya amalan akan dibatalkan dalam akhir surah ini adalah perkara yang berlaku dalam peperangan, Allah s.w.t akan batalkan amalan mereka dengan cara beri pertolongan kepada orang Islam.

iii- ada juga yang pandangan yang mengatakan \’akan hilang pada masa depan\’ itu maksudnya semua amalan orang kafir itu dari sekarang sehingga ke masa depan akan hilang semuanya.

  1. Ayat 35-{Padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Ia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu.}- dalam ayat ini Allah s.w.t mengatakan orang mukmin itu tinggi kedudukannya, gagah perkasa dan akan menang! Mendapat pertolongan Allah s.w.t di mana saja mereka berada.

Tetapi dengan bersyarat- iaitu kamu mesti menolong agama Allah dengan berdakwah dan menegakkan agama, maka Allah akan tolong perjuangan kamu itu insya\’ Allah.
Jangan hanya duduk relax memeluk tangan, tunggu kemenangan datang tanpa usaha, tidak berusaha dan berdakwah, macamana Allah nak bantu!

Kita kena buat kerja, dakwah & perjuangan memartabatkan Sunnah Nabi s.a.w mesti diteruskan, jangan hiraukan halangan, insya\’ Allah kita akan dapat pertolongan Allah s.w.t, dan Allah tidak akan mengurangkan pahala mereka sedikitpun!

Powered by BetterDocs