LIHATLAH TANDA QUDRAT ALLAH PADA LANGIT, BUMI, TUMBUHAN DAN HUJAN & BUKTI KEBANGKITAN SEMULA.
Full video : https://youtu.be/2yngvxOX4OI
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t perintahkan kepada hamba-hamba-Nya supaya melihat kepada makhluk ciptaan Allah sebagai bukti kepada kudrat dan kuasa Allah untuk mencipta alam ini dan menghidupkan manusia.
- Juga bahawa Allah s.w.t berkuasa untuk menghidupkan semula manusia selepas mereka mati pada kali keduanya.
- Bukti-bukti dan tanda ini adalah yang sangat penting dan besar bagi kita orang mukmin untuk memantapkan iman kita. Kerana kita kenal Allah melalui nama, sifat dan makhluk yang dicipta-Nya yang menunjukkan kepada kudrat dan kekuasaan Allah Azza wa Jalla.
- Munasabah ayat: Allah s.w.t telah sebut dalam ayat yang lepas keadaan orang yang mendustakan Allah dan apa yang mereka kata, maka Allah panggil mereka; cuba kamu lihat kepada kejadian makhluk-Ku.
Supaya mereka mengambil iktibar dan dalil dengannya dengan apa yang Allah jadikan ia sebagai dalil atas kekuasaan-Nya.
AYAT 6- {(KALAULAH MEREKA MENYANGKA KAMI TIDAK BERKUASA MENGEMBALIKAN MEREKA HIDUP SEMULA) MAKA TIDAKKAH MEREKA MEMANDANG KE LANGIT YANG ADA DI SEBELAH ATAS MEREKA (DENGAN TIDAK BERTIANG) BAGAIMANA KAMI MEMBINANYA (DENGAN RAPI) SERTA KAMI MENGHIASINYA (DENGAN BINTANG-BINTANG), DAN DENGAN KEADAAN TIDAK ADA PADANYA RETAK-RENGGANG?} (QAAF 50:6)
- Ini adalah seruan pertama Allah ke atas mereka yang mendustakannya untuk melihat kepada makhluk Allah s.w.t di sebelah atas iaitu kepada kejadian langit yang amat hebat!
- Lihatlah bagaimana Allah jadikan langit yang begitu besar itu:
i- dengan tidak bertiang untuk menahannya dari jatuh,
ii- membinanya dengan rapi dan teguh,
iii- menghiasinya dengan bintang-bintang yang indah,
iv- serta tidak ada padanya retak-renggang, tanpa cacat cela. - Allah Yang Maha Berkuasa untuk menciptakan semua itu, tidak ada sesuatu yang boleh melemahkan-Nya. Siapa yang kata Allah lemah itu adalah orang yang sesat dan terpesong!
AYAT 7- {DAN JUGA (KEADAAN) BUMI INI, (BAGAIMANA) KAMI BENTANGKAN DIA SEBAGAI HAMPARAN, DAN KAMI LETAKKAN PADANYA GUNUNG-GANANG YANG TERDIRI KUKUH, SERTA KAMI TUMBUHKAN PADANYA PELBAGAI JENIS TANAMAN YANG INDAH SUBUR?} (QAAF 50:7)
- Kemudian seruan Allah yang kedua untuk melihat kepada makhluk Allah s.w.t di sebelah bawah pula iaitu kepada kejadian bumi yang tidak kurang hebatnya juga!
- Lihatlah bagaimana Allah jadikan bumi itu:
i- bentangkan dia sebagai hamparan, yang luas terbentang sama & rata.
ii- diletakkan padanya gunung-ganang yang terdiri kukuh, sebagai pasak dan pengimbang bumi supaya tidak bergoncang.
iii- serta ditumbuhkan padanya pelbagai jenis tanaman yang indah subur sebagai perhiasan & rezeki untuk manusia dan haiwan.
Ada pokok yang berbatang, yang menjalar, yang menegak dan sebagainya.
AYAT 8- {(KAMI ADAKAN SEMUANYA ITU) UNTUK MENJADI PERHATIAN DAN PERINGATAN, (YANG MENUNJUKKAN JALAN KEBENARAN), KEPADA TIAP-TIAP SEORANG HAMBA ALLAH YANG MAHU KEMBALI KEPADANYA (DENGAN TAAT DAN BERBAKTI).} (QAAF 50:8)
- Allah ciptakan semua itu untuk menjadi perhatian (تَبۡصِرَةٗ) dan peringatan (وَذِكۡرَىٰ) kepada manusia, setiap hamba yang mahu kembali kepada Allah (عَبۡدٖ مُّنِيبٖ) dengan ketaatan dan taqwa!
- Orang yang banyak kembali kepada Allah, semua ini akan menjadi dalil dan tanda kepadanya akan kekuasaan Allah s.w.t. Mereka akan ingat dan berfikir akan sempurnanya kuasa dan kudrat Allah s.w.t sebagai Pencipta untuk menghidupkan semula orang yang mati di akhirat kelak!
- Manusia ini daripada tiada, dikandung ibunya, lahir, hidup dan membesar kemudian mati, akan hidup balik.
AYAT 9- {DAN JUGA KAMI TELAH MENURUNKAN DARI LANGIT AIR (HUJAN) YANG BANYAK FAEDAHNYA, LALU KAMI TUMBUHKAN DENGAN AIR ITU POKOK-POKOK TANAMAN (BUAH-BUAHAN) DAN BIJI-BIJIAN YANG DITUAI;} (QAAF 50:9)
- Ini adalah dalil yang dapat dilihat antara langit dan bumi. Allah turunkan air hujan dari langit yang begitu banyak faedahnya! Ia turun ke bumi membawa pelbagai kebaikan.
- Allah tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman, buah-buahan dan biji-bijian yang dituai. Ini adalah pokok-pokok jenis bijiran yang sekali tuai kemudian perlu ditanam lain.
AYAT 10- {SERTA POHON-POHON KURMA YANG TINGGI MENJULANG, YANG MENGELUARKAN MAYANG, BERLAPIS-LAPIS, LAGI LEBAT PUTIKNYA;} (QAAF 50:10)
- Kemudian Allah sebutkan pula khas tentang pokok tamar. Ini kerana ia adalah pokok yang sinonim dan amat penting dalam kehidupan puak Arab pada masa itu.
- Pokok tamar ini sifatnya:
i- tinggi menjulang,
ii- mengeluarkan mayang berlapis-lapis,
iii- lagi lebat putik buahnya.
AYAT 11- (SEMUANYA ITU) SEBAGAI REZEKI BAGI HAMBA-HAMBA KAMI. DAN LAGI KAMI TELAH HIDUPKAN DENGAN AIR ITU BUMI YANG MATI; DEMIKIANLAH PULA KEADAAN KELUARNYA (ORANG-ORANG YANG MATI DARI KUBUR SETELAH DIBANGKITKAN HIDUP SEMULA). (QAAF 50:11)
- Semua tanda Allah di langit, bumi dan hujan itu adalah sebagai rezeki hamba-Nya samada yang beriman atau yang kafir!
- Allah tidak hadkan rezekinya atas dunia ini kepada hamba-Nya yang mukmin sahaja. Bahkan kadang-kadang orang kafir lebih banyak dan luas rezekinya!
Jangan bimbang itu semua adalah kerana Allah nak bagi mereka bahagian atas dunia kerana di akhirat kelak mereka tidak akan ada bahagiannya. - Kita kena ingat semua rezeki ini adalah datang dari Allah, jadi kita jangan takabbur dan sombong, rezeki ini adalah peringatan dari Allah.
- Ini adalah sebagai satu dalil untuk kita; sebagaimana Allah telah hidupkan dengan air itu bumi yang mati; demikianlah juga Allah hidupkan kembali orang-orang yang mati dari kubur.
- Hadis- diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:
مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ \”. قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ. قَالَ \” ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً. فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: \”Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40.
Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari?
Abu Hurairah berkata: \”Aku enggan menjawab\”.
Adakah 40 bulan? Beliau berkata: \”Aku enggan menjawab\”.
Adakah 40 tahun? \”Aku enggan menjawab\”
Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah S.W.T menurunkan hujan.
Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.\” [HR al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)]
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- {Ayat 6- sehingga Ayat 8}- ulama\’ tadabbur kata ayat ini menjadi hujjah untuk kita buat dalil dari perkara yang nampak kepada perkara yang tidak nampak dari kudrat kekuasaan Allah s.w.t.
Kerana itu dipanggil ayat tadabbur kerana kita tengok perhati dan berfikir!
Jika kita tidak nampak, tidak dapat lihat Allah s.w.t, Allah suruh kita lihat kepada makhluk ciptaan-Nya, orang yang ada akal akan berfikir, merenung dan nampak bahawa disebalik semua kejadian yang amat besar dan banyak ini pasti adanya Pencipta (الخالق) yang Maha Berkuasa.
Orang yang ada akal dia akan berfikir, orang yang tidak mahu berfikir walaupun ada otak adalah orang kerugian.
Mudahnya seperti kata orang badwi: Jika ada najis unta itu, pastilah ada untanya!
- {Dari Ayat 6- sehingga Ayat 7 pula}- Allah s.w.t menyebut bahawa :
a- di langit ada 3 perkara yang kita kena fikir:
i- binaan yang kukuh
ii- Allah letakkan perhiasan seperti bintang-bintang.
iii- tidak pernah pecah dan jatuh terhempas atas bumi.
b- di bumi juga ada 3 perkara yang kita kena fikir:
i- Allah hamparkannya luas tebentang
ii- Allah jadikan bukit-bukau sebagai pengimbang.
iii- Allah s.w.t tumbuhkan pokok-pokok tumbuhan.
c- persamaan antara keduanya:
i- langit Allah kata Dia bina manakala bumi Dia hampar.
ii- hiasan langit adalah bintang manakala hiasan bumi adalah bukit-bukau.
iii- Allah nafi langit akan pecah manakala di bumi ada tumbuhan.
- Ayat 8- {(Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti).}- dalam ayat ini Allah s.w.t perintahkan agar kita jadikan perhatian dan peringatan.
Apakah perbezaannya?
Maka ulama\’ buat perbezaan antara dua arahan ini:
i- tengok dan ambil perhatian (تَبۡصِرَةٗ) sesuatu yang berterusan.
ii- peringatan (وَذِكۡرَىٰ) adalah apabila kita lupa, maka kita peringatkan balik.
Maka tanda-tanda kekuasaan Allah s.w.t ini adalah untuk dua-dua (تَبۡصِرَةٗ وَذِكۡرَىٰ).
Apabila kita tengok kita nampak kekuasaan Allah s.w.t itu, bila kita ingat kita kembali kepada Allah dan kita kena bersyukur kerana Allah s.w.t yang memberi semua ini kepada kita.
Bezanya juga:
i- (تَبۡصِرَةٗ) Bila kita sentiasa perhatikan kita akan dapat ilmu & makrifat.
ii- (وَذِكۡرَىٰ) peringatkan pula akan membawa kita kepada tunduk dan akur kepada perintah Allah s.w.t.
Melalui dua inilah sempurnanya hidayah seorang hamba Allah s.w.t itu.
Kenapa Allah sebut (تَبۡصِرَةٗ) dulu sebelum (ذِكۡرَىٰ)?
Sedangkan bila ingat kepada Allah, baru dia tengok dan fikir kepada makhluk Allah s.w.t. Yakni kena ingat dulu sebelum fikir.
Kenapa dalam ayat ini sebaliknya?
Jawapannya:
Walaupun disebut lafaz terbalik tetapi makna sebenarnya begitulah, ingat dulu baru fikir, keduanya mesti menjadi perkara yang mesti kita ada dan amalkan.
Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).} (Al-A\’raaf 7:201)
- Ayat 9- {Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai;}- kenapa Allah turunkan air itu dari atas iaitu dari langit, bukan dari bawah?
Jawapan:
Supaya tempat tinggi dapat sampai air kepadanya, jika dari bawah bagaimana pula kita mahu mengepam dan menyampaikan air ke atas bukit dan tempat-tempat tinggi yang lain. Allah jadikan tangki air bumi ini di atas bukit kemudian dihantar ke sana sini. Sama seperti manusia yang buat tangki air rumahnya di tempat tinggi. - Ayat 11- (Semuanya itu) sebagai rezeki bagi hamba-hamba Kami.}- Allah bagi rezeki untuk hamba-hamba-Nya semuanya. Allah tak kata untuk yang mukmin atau yang kembali bertaubat kepada-Nya sahaja.
Ini kerana rezeki Allah ini sampai kepada semua manusia, makhluk yang berakal atau tidak seperti haiwan juga.
Betapa luasnya rahmat Allah, jika tidak mati kering orang kafir atas dunia ini, tiada air dan makanan. Sabarlah jika kita kurang rezekinya daripada mereka; kerana dunia ini adalah penjara bagi orang mukmin manakala seolah syurga bagi orang kafir.
Semua kesenangan atas dunia ini kecil sahaja jika dibandingkan dengan nikmat atau azab akhirat yang kekal abadi kelak.
Ya Allah jadikan kami orang yang akan termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat dan syurga-Mu di akhirat kelak!