SURAH QURAISY : AYAT 1-4

\"\"

MUQADDIMAH DAN INTISARI SURAH, ANUGERAH ALLAH KEPADA QURAISY & SERUAN AGAR SEMBAH ALLAH.

Full video : https://youtu.be/GlHvP-o-i8Q?si=MFg8U8L6Vkfl9NJu

MUQADDIMAH SURAH :

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah s.w.t kerana pada pagi ini, Rabu 29 Muharram 1445H bersamaan 16hb Ogos 2023 kita dapat mulakan pengajian Kuliah tafsir bagi Surah Quraisy – سورة قريش.
  2. Semoga Allah s.w.t kabulkan amalan kita, buka dan cerahkan hati kita untuk menerima panduan & hidayat dari al-Quran ini yang dapat membawa kita syurga-Nya.
  3. Surah Quraisy – سورة قريش adalah surah ke-106 dalam tertib susunan al-Quran, surah yang kedua-puluh sembilan dalam juz ke 30, iaitu selepas Surah Al-Fil – سورة الفيل.
    Mengandungi 4 ayat yang pendek.
  4. Ulama\’ tafsir ijma\’ mengatakan surah ini Makkiyyah, yakni turun di Makkah sebelum hijrahnya Rasulullah s.a.w ke Madinah.
  5. Dalam surah ini Allah menyebut anugerah Allah kepada Quraisy serta seruan agar mereka menyembah Allah s.w.t untuk mensyukuri anugerah nikmat itu.

NAMA SURAH :

  1. Dinamakan surah ini sebagai:
    i- Surah Quraisy – سورة قريش yang bermakna {Kaum Quraisy} kerana dalam keseluruhan surah ini Allah s.w.t menyebut perihal tentang kaum Quraisy, penduduk Kota Makkah.
    Tidak ada perkataan Quraisy {قُرَيش} ini disebut dalam surah lain dalam al-Quran ini!
  2. Surah ini tidak dikenali dengan nama lain.

INTISARI KANDUNGANNYA :

  1. Mengingatkan kaum Quraisy secara khusus & umat manusia secara umum supaya tunduk patuh, taat memperhambakan diri kepada kepada Allah terutama dalam keadaan mereka hidup mewah & aman tenteram; supaya keadaan itu berkekalan & bertambah-tambah.
  2. Kaum Quraisy ialah suku kaum atau kabilah Nabi Muhammad s.a.w di Makkah & dari kalangan merekalah dakwah Islamiyah mula-mula disebarkan.

Rezeki mereka, Arab Badwi di padang pasir yang tandus, tanpa kemajuan yang canggih; tetapi dengan adanya Ka\’bah menjadi tempat tumpuan manusia & dengan kedatangan Rasulullah s.a.w maka bertambah-tambahlah keistimewaan & keceriaan bumi Makkah yang bersejarah itu!

  1. Meskipun pada mulanya mereka menentang dakwah Rasulullah s.a.w, sehinggalah Rasulullah berhijrah ke Madinah dan berterusanlah penentangan sehingga berlakunya Perjanjian Hudaibiyah! Iaitu 13 + 7 = selama 20 tahun berlawan sehinggalah selepas Pembukaan Kota Makkah puak Quraisy berduyun-duyun masuk Islam.
  2. Tetapi pada akhir hayat Rasulullah s.a.w seluruh kaum Quraisy telah memeluk Islam disertai oleh suku kaum Arab yang lain.

Boleh lihat Sejarah ini dalam buku Makkah ini:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

MAQASID/OBJEKTIF SURAH :

  1. Antara objektifnya ialah Allah mahu memperingatkan ahli Makkah tentang nikmat & keamanan yang mereka terima- kenapa kamu masih keras kepala tidak mahu tunduk & syukur kepada Allah s.w.t!

ISU PENTING DALAM SURAH :

  1. Allah s.w.t peringatkan nikmat-Nya kepada kaum Quraisy.
    Allah beri keamanan kepada mereka untuk menjalankan pengembaraan ekonomi, pada musim sejuk ke negeri Yaman, dan pada musim panas ke negeri Syam dalam keadaan aman.
  2. Untuk menggerakkan hati mereka supaya beribadat kepada Allah & mensyukuri nikmat yang Allah anugerahkan kepada mereka.
  3. Allah sebut nikmat yang diberikan kepada mereka iaitu Allah sediakan untuk mereka makanan tidak lapar, serta keamanan yang didapati di mana kaum Arab lain menghormati mereka & Ka\’bah!
    Bahkan bulan haram juga dihormati di mana mereka tidak berperang padanya!
  4. Tetapi malangnya mereka tetap lupa kepada Allah s.w.t, tidak beriman, syirik kepada Allah & mendustakan Rasul-Nya!

MUNASABAH SURAH QURAISY – سورة قريش DENGAN SURAH AL-FIL – سورة الفيل SEBELUMNYA :

Hubung-kait surah ini dengan Surah Al-Fil – سورة الفيل:

  1. Kedua-dua surah ini memperingatkan ahli Makkah dengan nikmat dari Allah s.w.t.

Dalam surah al-Fil Allah nyatakan Dia yang jaga Ka\’bah, Makkah & Tanah Haram.
Mana-mana musuh nak kacau, mereka akan binasa!

ii- dalam surah ini pula Allah s.w.t sebut tentang pembangunan ekonomi Makkah, mereka hidup dalam keadaan aman & tenteram, walaupun padang pasir- makanan mereka tidak putus-putus masuk dari Syam.
Mereka juga tidak berpecah & berbalah.

Dengan rehlah perdagangan mereka ke Syam & Yaman, mereka telah menguasai ekonomi kawasan itu!

  1. Persamaan dua surah ini juga:
    i- ia seolah bersambung, awalnya surah al-Fil- Allah s.w.t binasakan tentera Bergajah kemudian dalam surah Quraisy Allah satukan kaum Quraisy, mereka tidak berpecah-pecah.

ii- mengikut catatan al-Quran dalam Mushaf Ubai – dua surah ini sebenarnya satu surah sahaja cuma dalam susunan Mushaf Umm yang disusun oleh Sayyidina Uthman ia dipisahkan dengan Basmalah lalu menjadi dua surah yang berbeza.
Dari sudut isi kandungan sama- binasa di sana ekonomi di sini.

Ya Allah jadikan kami & semua orang kami sayangi dari golongan {المتقين}, orang yang layak menerima nikmat-Mu pada hari Kiamat nanti.

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

AYAT 1- {KERANA KEBIASAAN AMAN TENTERAM KAUM QURAISY (PENDUDUK MAKKAH)} (QURAISY 106:1)

  1. Kabilah Quraisy itu berkumpul, bersatu-padu & sepakat { لِإِيلَـٰفِ}.
  2. Kata ulama\’ lughah seperti az-Zajjaj- perkataan huruf lam {ل} dalam { لِإِيلَـٰفِ} itu ada beberapa makna:
    i- isim mausul (اسم موصول) iaitu adalah sambungan kepada ayat sebelumnya, tentera gajah dihancurkan & Quraisy bersatu.

ii- untuk menunjukkan ketakjuban- peliknya kebiasaanya kaum Quraisy ini. Kamu hendaklah kagum dengan kesatuan mereka.

iii- lam {ل} ini pula adalah sambungan iaitu arahan agar mereka sembah Tuhan yang berikan mereka kemanan.

  1. Imam Ibnu Kathir berkata: Surah ini berpisah dengan surah al-Fil dalam mashaf al-Umm walaupun isunya bersambung dengan sebelumnya.
  2. Ayat ini & ayat berikutnya mengingatkan manusia supaya tunduk taat kepada Allah s.w.t lebih-lebih lagi kerana mereka hidup mewah lagi kaya-raya serta dalam keamanan agar nikmat itu berterusan.
  3. Iaitu jika kamu bersyukur nikmat Allah s.w.t akan bertambah & jika kamu kufur nikmat itu ia akan hilang.
  4. Kata bijak-pandai.
    Syukur itu menjaga nikmat yang sedia ada & akan menarik nikmat yang belum ada.
  5. Siapakah kaum Quraisy ini: Mereka adalah anak keturunan al-Nadr bin Kinanah bin Khuzayma bin Mudrika bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma\’add bin \’Adnan.
    Semua anak keturunan Nadr adalah Quraisy, mereka yang bukan dari anak keturunannya adalah bukan Quraisy!

AYAT 2- {(LAITU) KEBIASAAN AMAN TENTERAM PERJALANAN MEREKA (MENJALANKAN PERNIAGAAN) PADA MUSIM SEJUK (KE NEGERI YAMAN), DAN PADA MUSIM PANAS (KE NEGERI SYAM),} (QURAISY 106:2)

  1. Iaitu kebiasaan mereka ialah melakukan perjalanan (rehlah) perniagaan pada musim sejuk ke negeri Yaman, dan pada musim panas ke negeri Syam dalam keadaan aman.

Syam pada hari ini telah terbahagi kepada beberapa negara & termasuk dalam negara: Jordan, Palestin, Syria & Lubnan.

  1. Yaman ini adalah negeri yang panas maka sesuailah untuk pergi pada musim sejuk, manakala negeri Syam pula adalah sebaliknya; maka sesuailah untuk pergi pada musim panas kerana ia negeri sejuk.
  2. Maka Makkah itu seolah satu pusat dagangan dunia kerana ia terletak di tengah-tengah dunia Arab.
    Pada musim haji pula para Jemaah membawa barang dagangan mereka lalu bertukar-tukar perniagaan dengan pihak Quraisy.
  3. Begitu besar nikmat yang Allah anugerahkan kepada mereka!

AYAT 3- {MAKA HENDAKLAH MEREKA MENYEMBAH TUHAN YANG MENGUASAI RUMAH (KAABAH) INI,} (QURAISY 106:3)

  1. Maka Allah s.w.t ingatkan: apabila Aku beri nikmat yang banyak kepada kamu, kamu hendaklah mensyukurinya!
  2. Iaitu bersyukur kepada Allah dengan menyembah Allah yang Esa & yang menguasai Ka\’bah ini!

AYAT 4- {TUHAN YANG MEMBERI MEREKA PENGHIDUPAN: MENYELAMATKAN MEREKA DARI KELAPARAN, DAN MENGAMANKAN MEREKA DARI KETAKUTAN.} (QURAISY 106:4)

  1. Allah sebut lagi antara nikmat yang Allah berikan lagi kepada mereka ialah:
    i- memberi kehidupan dengan menyelamatkn mereka daripada kelaparan; pokok tidak ada tetapi buah-buahan & makanan banyak!

ii- hidup aman tanpa ketakutan & kebimbangan akan mara bahaya!

  1. Hadis- sabda Rasulullah s.a.w:
    Siapa yang bangun pada waktu pagi; tubuhnya sihat & aman dalam kehidupannya, ada makanan untuk hari itu, maka seolah dunia itu miliknya! [HR Ibnu Majah & at-Tirmizi].
  2. Firman Allah s.w.t juga tentang ini:
    i- {Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia.} (A-li\’Imraan 3: 96-97).

ii- {Dan mereka (yang kafir) berkata: \”Kalau kami menyertaimu menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang)\”. Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).} (Al-Qasas 28:57)

iii- {Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang-orang ramai yang tinggal (dalam daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh)?
Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?} (Al-\’Ankabuut 29:67)

  1. Apabila banyak anugerah yang Allah berikan kepada kita, negeri kita aman & makmur, maka kita banyakkan juga bersyukur kepada Allah- penuhkan masjid-masjid, majlis ilmu & talaqqi, sebarkan kasih sayang sesama manusia.
  2. Allah beri kita kepada kekuasaan untuk lihat apakah kita tunaikannya sebagai satu amanah, jalankan tugas dengan telus & amanah!

Tidak patutlah kita tadabbur al-Quran siang malam tetapi mulut kita sibuk mengata & tangan menyakiti orang! Dimanakah roh & keberkatan al-Quran dalam hidup kita?

  1. Al-Quran dijelmakan dengan keimaman kepada Allah, dizahirkan dengan akhlak yang dipamerkan & diamalkan dalam segenap aspek hidup kita akan perintah & larangan Allah s.w.t!!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 1- {Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Makkah)} – dalam seluruh surah ini Allah s.w.t nyatakan satu isyarat yang menunjukkan kepada sempurnanya kudrat Allah s.w.t.

Apabila Allah s.w.t mahu berikan kepada kita sesuatu, dipermudahkan sebabnya!

Apabila Allah s.w.t nak permudahkan kita jalan ke syurga, dipermudahkan kita untuk ke masjid & buat amal ibadat. Biar masjid ramai orang- bukan banyak tiang daripada orang!

Kuasa Allah s.w.t yang memberikan sebab- mempermudahkan segala urusan, Allah dapat mengangkat darjat manusia yang baik & dapat menjatuhkan manusia yang tidak baik.

Maka marilah kita zahirkan kesyukuran kepada Allah atas nikmat anugerah-Nya. Walaupun asalnya surah ini diturunkan untuk Quraisy, tetapi ia adalah anugerah untuk kita juga!

Antara hikmah bagi setiap orang yang mampu pergilah walaupun sekali ke Makkah!
Biar sampai juga ke bumi bertuah yang bahagia itu untuk lihat sendiri keajaibannya. Haji & umrah hanya diwajibkan sekali seumur hidup- jika kita mampu mengulangnya alhamdulillah!

  1. Ayat 4- {Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.}- Allah sebut bahawa Allah berikan makanan lalu mereka tidak lapar dan keamanan lalu mereka tidak takut, maka nikmat itu wajib disyukuri & jangan kufur nikmat Allah.

KATA ULAMA\’ :

Dua perkara ini apabila terkumpul atas manusia maka ia adalah satu nikmat yang tidak terperi. Jika ada makanan banyak sekalipun jika tidak ada keamanan kita tidak akan dapat menikmatinya.
Begitu juga jika hidup dalam aman tetapi tidak ada makanan- hidup dalam kelaparan juga satu musibah!

Antara ciri-ciri kufur nikmat Allah ialah: Allah berikan kita keamanan, Allah beri makanan tetapi kita melakukan maksiat atas dunia ini! Aman dan kaya raya tetapi derhaka kepada Allah.

Kerana itulah negeri kita wajib dibersihkan daripada unsur maksiat yang ada!

Para penguasa wajib menjalankan tugasnya setakat kekuasaannya! Alhamdulillah negeri kita Kelantan hari tiada pusat judi & maksiat yang legal (yang haram tu moga terkubur juga).

Pesanan kepada para bapa, suami & ketua keluarga yang bertanggung-jawab- syukurilah nikmat ini dengan mendidik & menjaga aurat dan pakaian anak isteri & wanita yang di bawah tanggung-jawab kamu! Ajaran & didikan bermula dari rumah, kemudian menjadi kewajipan kepada pemimpin untuk melaksanakan & kuatkuasakannya.

Pesanan kepada para pemimpin Islam yang berkuasa dalam negeri/negara kita ini- kuat-kuasakanlah undang-undang bab aurat, laksanakanlah semua undang-undang Syari\’ah yang tidak bercanggah dengan perlembagaan negara! Untuk menyatakan kesyukuran.

Tetapi malangnya keajaiban dunia yang ke-8 ialah anak orang Islam sendiri yang menentang undang-undang Islam.

  1. Ayat 3- {Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang menguasai rumah (Kaabah) ini,}- dalam ayat ini Allah nisbahkan rumah ini (Ka\’bah) kepada zat-Nya yang mulia, rumah ini adalah kepunyaan Allah!

Dalam al-Quran Allah telah menisbahkan zat-Nya yang mulia kepada pelbagai perkara. Apabila Allah s.w.t sandarkan sesuatu itu kepada dirinya; ini adalah untuk memuliakan tempat itu, contoh; rumah Allah (بيت الله), Kitab Allah (كتاب الله), hamba Allah (عباد الله) dan seumpamanya.

Yakni sesiapa yang sembah Allah, betul-betul mengabdikan diri kepada-Nya maka Allah s.w.t akan kumpulkan kepadanya dua nikmat- tidak akan lapar & akan aman.

Maka sesiapa yang nak aman & selamat dunia akhirat- sembahlah Allah!

  1. Ayat 4- {Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan.}

Persoalan:
Kenapa Allah s.w.t sebut Dia beri makanan yang dapat menahan kamu dari lapar? Sedangkan sudah cukup jika Allah kata beri makanan atau rezeki saja?

JAWAPAN :

i- Allah s.w.t mahu beri peringatan bawa lapar itu adalah satu musibah & siksa yang dahsyat.

Firman Allah s.w.t:
{Dan Dia-lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.} (Asy-Syuura 42:28)

Lihat saja perbelanjaan hidup kita- untuk apakah kita lebih banyak kita gunakan; untuk pakaian atau makanan?

ii- Allah mahu ingatkan bahawa kamu dulu kelaparan tiada makanan, maka Allah beri kamu makanamn sehingga hilang lapar.
iii- makanan yang paling baik itu ialah kamu makan sekadar untuk halau lapar!

Allah mahu ingatkan bahawa makanan yang baik itu ialah yang menghilangkan lapar manakala makanan yang banyak & kenyang yang berlebihan itu boleh membawa kepada batinah kegemukan (obessiti).

Waktu sihat pantang jumpa makanan- waktu sakit baru berpantang dari segala makanan! Maka berpantanglah sebelum sakit.

  1. Ayat 4- {Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.}- Ayat ini dalil bahawa doa para nabi itu mustajab. Makkah asalnya padang pasir yang kering -kontang tiada tumbuhan dan sumber air.

Nabi Ibrahim a.s apabila dia meninggalkan isterinya Hajar & Ibrahim di Makkah ketika tiada orang dulu, dia berdoa sebagaimana dalam firman Allah s.w.t ini:

i- {\”Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.} (Ibrahim 14:37)

Ini adalah antara doa yang pelik. Di Makkah itu sungai pun tiada- sumber air lain pun kurang macamana kamu berdoa nak ada buah-buahan yang banyak?

Maka Allah s.w.t hantar bandar Taif di sebelahnya (lebih-kurang 60-70 km) sebagai sebuah tanah yang subur dengan pelbagai buah-buahan & tumbuhan lain. Apa yang tiada diimport masuk pula dari bumi Syam.

ii- Kemudian Nabi Ibrahim juga doakan agar bumi Makkah itu juga aman:
{Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: \”Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala.} (Ibrahim 14:35)

iii- Kemudian didoakan agar Allah s.w.t bangkitkan seorang rasul dari kalangan penduduk Makkah itu sendiri:
{\”Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana\”.} (Al-Baqarah 2:129)

Rasul tiada di Makkah- semua rasul-rasul sebelum itu adalah disekitar Syam, lalu Allah s.w.t utuskan rasul yang terakhir dari kalangan mereka iaitu kaum Quraisy, seorang yang lahir di Makkah, membesar di Makkah, kahwin dan beranak-pinak di Makkah, terima wahyu di Makkah & berdakwah di situ!

Maka Allah s.w.t perkenankan kesemua doa Nabi Ibrahim ini dan lengkaplah Makkah menjadi sebuah kota yang aman, ada banyak makanan & ada agama!

Ya Allah curahkan dalam hati kami kesyukuran terhadap-Mu.
Kami ini hidup dalam keadaan aman, cukup makanan, jadikanlah kami orang yang sentiasa bersyukur akan nikmat-Mu, dengan sentiasa taat kepada-Mu, menjauhi maksiat kepada-Mu dan mensyukuri nikmat dengan sebaiknya!

Powered by BetterDocs