ALLAH TENANGKAN HATI NABI S.A.W, KEDUDUKAN NABI DAUD DIJADIKAN CONTOH & BERTASBIH BERSAMANYA BURUNG DAN BUKIT.
Full video : https://youtu.be/zh6MgsItE10
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t tenangkan hati Rasulullah s.a.w, memerintahkannya supaya bersabar dengan karenah dan perbuatan jahat puak kafir musyrikin.
- Kesinambungan ayat: dalam ayat-ayat yang lepas kita telah dengar apa yang puak kafir musyrikin kata kepada Rasulullah s.a.w- menuduhnya sebagai ahli shir, pembohong serta mengejek dan memerli, mencabar Baginda s.a.w untuk membawa datang segera azab yang dijanjikannya ke atas mereka.
- Lalu Allah s.w.t bawa contoh seorang nabi yang sabar dan kuat kepada Rasulullah s.a.w iaitu nabi Daud a.s. yang kuat beribadat dan kembali kepada Allah s.w.t selalu.
- Diceritakan juga dalam ayat ini tentang dua mukjizat dan kelebihan yang diberikan Allah s.w.t kepada nabi Daud a.s iaitu Bertasbih Bersamanya Burung Dan Bukit.
AYAT 17 -{BERSABARLAH (WAHAI MUHAMMAD) TERHADAP APA SAHAJA YANG MEREKA KATAKAN, DAN INGATLAH AKAN HAMBA KAMI NABI DAUD, YANG MEMPUNYAI KEKUATAN (DALAM PEGANGAN AGAMANYA); SESUNGGUHNYA IA ADALAH SENTIASA RUJUK KEMBALI (KEPADA KAMI DENGAN BERSABAR MEMATUHI PERINTAH KAMI).} (SAAD 38:17)
- Allah s.w.t memerintahkan Rasulullah s.a.w supaya bersabar (اصْبِرْ) atas apa saja kebodohan puak kafir Quraisy itu yang menyusah dan menyakiti kamu samada dari perkataan atau perbuatan!
- Sabar dan teruskan perjuangan dan dakwah, begitulah jalan dakwah tidak mudah pasti ada penentang dan perlawanan.
- Allah s.w.t lalu bawa contoh seorang nabi lain untuk menenangkan hati Rasulullah tentang nabi Daud a.s yang mempunyai kekuatan (ذَا الْأَيْدِ) dan kesabaran dan banyak kembali kepada Allah s.w.t!
- Nabi Daud (a.s) ini seorang yang mempunyai kekuatan (ذَا الْأَيْدِ) samada dari segi:
i- ibadat, kuat dan bersungguh dalam mentaati Allah
ii- dari segi fizikal, seorang yang kuat dan gagah perkasa. - Firman Allah s.w.t: {Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.} (Al-Baqarah 2:251)
- Sabda Rasulullah s.a.w: \”Solat yang disukai Allah adalah solatnya Nabi Daud, dan puasa yang disukai Allah adalah puasanya Nabi Daud. Dia tidur separuh malam, lalu bangun mengerjakan solat sepertiganya, dan tidur lagi seperenamnya. Dia mengerjakan puasa sehari (berpuasa) dan sehari tidak puasa. [HR Bukhari].
7.Sabda Rasulullah s.a.w juga: \”Adalah Nabi Daud sehebat-hebat manusia yang beribadat.\” [HR al-Bukhari dan Muslim].
- Pada hadis yang lain, Nabi S.A.W menegaskan kepada Abdullah bin Amru bin al-As R.A mengenai puasa Nabi Daud itu: \”Tiada yang lebih baik daripada yang demikian.\” [HR al-Bukhari.]
Ini kerana Abdullah bin \’Amr sangat bersemangat melakukan ketaatan. Dia ingin melaksanakan puasa setiap hari tanpa henti dan ingin solat malam semalam suntuk. Disebabkan itu, Nabi S.A.W melarangnya dan memberikan jalan penyelesaian padanya dengan cara yang lebih baik.
Lalu Rasulullah S.A.W memberi jalan penyelesaian agar berpuasa sehari dan tidak berpuasa keesokan harinya. Lalu tidak ada lagi yang lebih afdhal dari itu.
Begitu pula dengan solat malam, Nabi S.A.W memberi petunjuk seperti solat Nabi Daud. Nabi Daud tidur dipertengahan malam pertama hingga sepertiga malam terakhir. Lalu beliau bangun dan mengerjakan solat hingga seperenam malam terakhir.
- Nabi Daud juga seorang yang sentiasa kembali kepada Allah s.w.t (أَوَّابٌ), bersabar dalam mematuhi dan taat kepada perintah Allah s.w.t.
AYAT 18- {SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MUDAHKAN GUNUNG-GANANG TURUT BERTASBIH MEMUJI KAMI BERSAMA-SAMA DENGANNYA; PADA WAKTU PETANG DAN KETIKA TERBIT MATAHARI.} (SAAD 38:18)
- Antara keistimewaan Nabi Daud a.s ialah Allah s.w.t permudahkan bukit-bukau gunung-ganang turut bertasbih memuji Allah s.w.t bersamanya!
- Nabi Daud bertasbih pada setiap petang dan pagi apabila terbit matahari. Ulama\’ kata ini juga menunjukkan waktu solat dhuha.
- Firman Allah s.w.t juga:
{Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): \”Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!\” Dan juga telah melembutkan besi baginya;} (Saba\’ 34:10) - Ini bukanlah sesuatu yang pelik apabila Allah s.w.t mengkehendakinya!
Firman Allah s.w.t: {Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.} (Al-Israa\’ 17:44)
AYAT 19- {DAN (KAMI MUDAHKAN JUGA) UNGGAS TURUT BERHIMPUN (UNTUK BERTASBIH MEMUJI KAMI BERSAMA-SAMA DENGANNYA); TIAP-TIAP SATUNYA MENGULANGI TASBIH MASING-MASING MENURUTNYA.} (SAAD 38:19)
- Bukan setakat bukit, Allah s.w.t juga permudahkan segala unggas, burung-burung berkumpul untuk turut bertasbih bersama nabi Daud a.s.
- Nabi Daud ini dikatakan mempunyai suara yang merdu dan indah, membuat semua tertarik dan suka untuk mendengar dan turut bertasbih bersamanya!
- Setiap satunya bertasbih dengan cara masing-masing menurut cara yang diberikan Allah s.w.t kepada mereka.
AYAT 20- {DAN KAMI KUATKAN KERAJAANNYA, SERTA KAMI KURNIAKAN KEPADANYA HIKMAH KEBIJAKSANAAN DAN KEPETAHAN BERKATA-KATA (DALAM MENJALANKAN HUKUM DAN MENJATUHKAN HUKUMAN).} (SAAD 38:20)
- Antara anugerah nikmat Allah s.w.t kepada Nabi Daud lagi ialah:
i- Kerajaan yang kuat (مُلْكَهُ) – Allah kuatkan kerajaannya dengan sokongan alam seperti bukit-bukau dan haiwan, serta disambung oleh anaknya Sulaiman a.s.
ii- hikmah kebijaksanaan (الْحِكْمَةَ)- kemampuan untuk meletakkan sesuatu itu ditempatnya yang benar, tidak zalim, berdasarkan ilmu dan wahyu dari Allah s.w.t. Yakni mempunyai kefahaman yang jelas dan mantap.
iii- fasih dan petah berbicara (فَصْلَ الْخِطَابِ) – apabila dia berkata-kata suaranya merdu, bahasa yang fasih dan petah. Fasih dan bijak juga dalam berhukum apabila berlaku sesuatu pertikaian. Yakni dia juga sebagai Ketua Hakim Negaranya.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 17 -{Bersabarlah (wahai Muhammad) terhadap apa sahaja yang mereka katakan, dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan agamanya); sesungguhnya ia adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan bersabar mematuhi perintah Kami).} – Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w tengok dan lihat kepada perjuangan nabi Daud a.s sebelum ini.
Dalam ayat ini Allah s.w.t puji nabi Daud kerana dua sifatnya:
i- kerana dia kuat! Kuat tubuh badan fizikalnya, besi lembut ditangannya, kuat dan gagah dalam berperang- ketua panglima musuh dia sendiri yang bunuhnya. tetapi dalam masa yang sama dia juga kuat dalam beribadat! Kita tidak mahu kuat badan tetapi lemah dalam ibadat! Mukmin yang kuat iman dan ibadatnya pastilah lebih disukai oleh Allah s.w.t.
ii- Nabi Daud adalah seorang hamba yang sentiasa kembali kepada Allah s.w.t (أَوَّابٌ)! Sabar dan patuh kepada segala perintah Allah s.w.t!
Firman Allah s.w.t: {Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: \”Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.} (Al-An\’aam 6:90)
Maka kita yang bukan nabi ini, pastilah kena perbanyakkan lagi amal ibadat dan kembali kepada Allah s.w.t juga!
- Ayat 17 -{Bersabarlah (wahai Muhammad) terhadap apa sahaja yang mereka katakan,} – dalam ayat ini Allah s.w.t menyuruh Rasulullah s.a.w supaya bersabar dan menjadikan Nabi Daud a.s sebagai contohnya.
Sabar atas kejahatan dan tentangan golongan kafir Quraisy yang mengata dan membuat tuduhan jahat, Rasulullah s.a.w sebagai seorang manusia, pasti hatinya terkesan dan terasa juga dengan tuduhan dan cemuhan jahat mereka tu!
Kita dapat lihat di sini Rasulullah s.a.w, seorang rasul dan nabi yang sangat bersabar dan kuat berjuang, diajar dan diperintahkan agar bersabar, maka kita sebagai hamba Allah yang biasa pastilah lebih selayaknya untuk untuk mengikut nasihat dan perintah ini.
Juga menunjukkan betapa mulianya nabi Daud a.s, sehingga dijadikan contoh oleh Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w, supaya tengok dan ikut caranya. Begitulah kita, jika nak pilih role model atau contoh ikutan kena cari yang betul-betul layak dan berhak menjadi ikutan!
- Ayat 17 -{Bersabarlah (wahai Muhammad) terhadap apa sahaja yang mereka katakan, dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang mempunyai kekuatan (dalam pegangan agamanya);} – Timbul persoalan di sini; apakah munasabah atau kaitan antara perintah Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w bersabar dengan ingat kepada Nabi Daud a.s?
Jawapan; Ini kerana semua kisah para nabi yang sebelum ini dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada Baginda, sabar jangan sedih, sebagaimana Allah beri nikmat anugerah yang hebat kepada mereka, begitulah Allah s.w.t juga akan memenangkan Baginda s.a.w nanti.
Yakni untuk menenang & menguatkan hati Rasulullah s.a.w; ingat kepada Nabi Daud dan nabi-nabi selepasnya, semuanya beroleh kemenangan, supaya Rasulullah kembali tenang dan bersemangat untuk berjuang menentang kaum kafir yang menentang dakwahnya!
- Ayat 17 -{sesungguhnya ia adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan bersabar mematuhi perintah Kami).}- ulama\’ tadabbur kata Allah s.w.t nyatakan di sini sebab. Iaitu sebab kenapa nabi Daud a.s telah dijadikan satu contoh dalam sifat yang kuat dalam bab fizikal dan ibadatnya.; iaitu kerana dia seorang yang sentiasa kembali (أَوَّابٌ) kepada Allah s.w.t!
Dari Abu Hurairah r.a dia berkata; \”Rasulullah S.A.W bersabda: \’Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah S.W.T daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan.\” [HR Muslim].
Tetapi ingat walaupun tubuh badan fizikalnya lemah jangan sesekali melemahkan dirinya dalam ibadat, buatlah setakat mampu kerana Allah s.w.t telah katakan bahawa masing-masing terdapat kebaikan. Tubuh yang kuat tiada gunanya jika lemah dalam ibadat dan melakukan ketaatan!
Allah s.w.t juga sebut bahawa nabi Daud ini sentiasa beribadat pada waktu pagi & petang- ini menjadi dalil kepada kita untuk menjadikan amalan zikir pagi petang dan juga jangan lupa solat dhuha!
Rasulullah s.a.w telah menamakan solat dhuha sebagai solat orang yang kembali kepada Allah atau orang yang bertaubat (Awwabin)
Dari Zaid bin al-Arqam r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
صَلَاةُ الأَوَّابِينَ حِينَ تَرْمِضُ الفِصَالُ
Maksudnya: \”Solat Awwabin ialah solat yang dilakukan ketika pasir (di tanah lapang) menjadi panas (kerana matahari sudah terik).\” [HR Muslim].
Yakni kita dapat kesimpulan di sini untuk menjadi golongan orang sentiasa kembali kepada Allah s.w.t, jadikan solat dhuha sebagai amalan samada:
i- solat dhuha yang afdhal ialah apabila matahari mulai panas iaitu dari jam 9-10 pagi.
ii- manakala solat dhuha bagi orang yang tunggu dari waktu subuh sehingga selesai waktu naik matahari (waktu haram), ia mempunyai kelebihan dan pahalanya yang tersendiri pula. Rasulullah S.A.W menyatakan pahala yang besar bagi sesiapa yang melaksanakan ibadah tersebut.
Baginda S.A.W bersabda:
مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِى جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ
Maksudnya: \”Sesiapa solat Subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga naik matahari dan mengerjakan solat dua rakaat (Solat Sunat Isyraq/Dhuha). Maka adalah baginya pahala seperti pahala Haji dan Umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna.\” [HR al-Tirmizi dan at-Tabarani].
Peringatan; Kepercayaan atau pegangan bahawa solat dhuha solat tarik rezeki atau solat projek tidak tepat!
Jangan kaitkan solat sebab nak murah rezeki, kita buat ikhlas kepada Allah s.w.t apa yang kita dapat Allah masukkan kita ke dalam kumpulan orang yang kembali kepada Allah s.w.t. bersamanya pastilah nikmat dan anugerah yang lain juga!
- Ayat 18- {Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya;}- pasti manusia akan bertanya bagaimana benda yang pejal dan tidak bernyawa itu dapat bertasbih? Jika burung dapat juga kita bayangkan.
Jawapan; Ini kerana benda-benda begini pun ada kehendaknya, seperti bukit-bukau dan pokok-pokok mempunyai kehendak untuk beribadat mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t yang berkuasa yang mencipta semuanya maka tidak pelik untuk dia memberi mereka kemudahan untuk bertasbih mengikut caranya.
Kecanggihan teknologi moden kita hari ini telah membuktikan bahawa besi plastik dan lain-lain gajet juga telah dapat bercakap dan menayangkan gambar video dan sebagainya.
Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah Isra\’ ayat 44 di atas tadi bahawa semua makhluk bertasbih kepada Allah s.w.t cuma kita manusia yang tidak tahu dan tidak memahaminya.
Ia juga termasuk dalam 3 nikmat yang Allah s.w.t anugerah kepada nabi Daud a.s tadi.