DUA ORANG BERBANTAH BERTEMU NABI DAUD, ISU 99 EKOR KAMBING NAK SEEKOR LAGI & ALLAH PERINGATKAN PARA KHALIFAH AGAR BERLAKU ADIL.
Full video : https://youtu.be/Vi7HG7Q90L8
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini sambungan kisah Nabi Allah Daud a.s. Kali ini dikisahkan episod tentang hikmah kebijaksanaan Nabi Daud a.s dalam menjatuhkan hukuman.
- Kesinambungan ayat; Dalam ayat yang lepas Allah s.w.t memuji nabi Daud a.s dengan 10 sifat yang terpuji: sabar, kuat ibadat, kuat fizikal dan ibadat, banyak pengharapan kepada Allah (الرجاء), bukit-bukit bertasbih dengannya, burung-burung juga turut bertasbih bersamanya, kekuatan kerajaan dan pengawalnya, dikurniakan hikmah & kebijaksanaan serta fasih dan petah dalam berbicara.
- Lalu dalam ayat ini kisah tentang dua orang yang berkelahi datang mengadu kepada nabi Daud a.s untuk berhukum tentang mereka.
- Tetapi apa yang berlaku selepas menjatuhkan hukuman itu, nabi Daud berasa ada sesuatu yang tidak kena, lalu terus bertaubat dan memohon keampunan dari Allah s.w.t.
*Perhatian- ada ayat untuk sujud tilawah dalam siri ini. - Apakah sebab Nabi Daud berasa bersalah ini?
Kita akan lihat dalam terjemahan dan tafsir ayat di bawah insya\’ Allah.
AYAT 21- {DAN SUDAHKAH SAMPAI KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) BERITA (PERBICARAAN DUA) ORANG YANG BERSELISIHAN? KETIKA MEREKA MEMANJAT TEMBOK TEMPAT IBADAT;} (SAAD 38:21)
- Allah s.w.t menceritakan kepada Rasulullah s.a.w tentang kisah nabi Daud dalam perbicaraannya ini.
- Nabi Daud ini ada sebuah bilik untuk dia beribadat, tiba-tiba dua orang masuk ke dalam bilik itu dengan mengejut, memanjat tembok bilik itu tanpa melalui pintu dan pengawal yang menjaga.
AYAT 22- {IAITU KETIKA MEREKA MASUK KEPADA NABI DAUD, LALU IA TERKEJUT MELIHAT MEREKA; MEREKA BERKATA KEPADANYA: \”JANGANLAH TAKUT, (KAMI INI) ADALAH DUA ORANG YANG BERSELISIHAN, SALAH SEORANG DARI KAMI TELAH BERLAKU ZALIM KEPADA YANG LAIN; OLEH ITU HUKUMKANLAH DI ANTARA KAMI DENGAN ADIL, DAN JANGANLAH MELAMPAUI (BATAS KEADILAN), SERTA PIMPINLAH KAMI KE JALAN YANG LURUS.} (SAAD 38:22)
- Pastilah Nabi Daud terkejut melihatnya. Mereka berkata jangan takut, kami adalah dua orang yang telah berselisih-faham, salah seorang daripada kami telah melakukan kezaliman tetapi tidak mengaku!
- Maka adililah dan berhukumlah antara kami dengan adil, jangan melampaui batas dalam keadilan dan pimpinlah kami ke arah jalan yang lurus.
AYAT 23- {\”SEBENARNYA ORANG INI IALAH (SEORANG SAHABAT SEBAGAI) SAUDARAKU; IA MEMPUNYAI SEMBILAN PULUH SEMBILAN EKOR KAMBING BETINA DAN AKU MEMPUNYAI SEEKOR SAHAJA; DALAM PADA ITU IA (MENDESAKKU DENGAN) BERKATA: \’SERAHKANLAH YANG SEEKOR ITU KEPADAKU \’, DAN DIA TELAH MENGALAHKAN DAKU DALAM MERUNDINGKAN PERKARA ITU\”.} (SAAD 38:23)
- Orang yang pertama memulakan aduan dan dakwaannya: Kawanku ini ada 99 ekor kambing, sedangkan aku hanya ada seekor kambing sahaja. Dia telah mendesak untuk aku menyerahkan kambingku yang seekor itu kepadanya.
- Aku tidak mahu tetapi kerana dia pandai berunding dan mendesak, aku telah kalah dalam perundingan menyebabkan aku terpaksa menyerahkan kambing itu!
- Maka kerana berasa tidak adil dan dizalimi, dia pun datang berjumpa dan mengadu kepada Nabi Daud a.s sebagai raja & ketua hakim negara.
AYAT 24- {NABI DAUD BERKATA: \”SESUNGGUHNYA IA TELAH BERLAKU ZALIM KEPADAMU DENGAN MEMINTA KAMBINGMU ITU (SEBAGAI TAMBAHAN) KEPADA KAMBING-KAMBINGNYA; DAN SESUNGGUHNYA KEBANYAKAN DARI ORANG-ORANG YANG BERGAUL DAN BERHUBUNGAN (DALAM BERBAGAI-BAGAI LAPANGAN HIDUP), SETENGAHNYA BERLAKU ZALIM KEPADA SETENGAHNYA YANG LAIN, KECUALI ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH; SEDANG MEREKA AMATLAH SEDIKIT!\” DAN NABI DAUD (SETELAH BERFIKIR SEJURUS), MENGETAHUI SEBENARNYA KAMI TELAH MENGUJINYA (DENGAN PERISTIWA ITU), LALU IA MEMOHON AMPUN KEPADA TUHANNYA SAMBIL MEREBAHKAN DIRINYA SUJUD, SERTA IA RUJUK KEMBALI (BERTAUBAT).} (SAAD 38:24)
- Nabi Daud lalu terus mengeluarkan hukuman dan keputusan bahawa lelaki yang seorang lagi itu, yang mempunyai banyak kambing telah menzalimi kawannya itu dengan meminta dan mengambil kambingnya yang seekor.
- Begitulah dalam dalam segenap lapangan hidup manusia, pasti ada antara kawan, sesama ahli dan rakan perkongsian, pasti ada orang yang berlaku zalim kepada yang lain dalam pergaulan dan perhubungan.
- Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, tetapi mereka ini amatlah sedikit berbanding dengan zalim tadi.
- Kemudian setelah menjatuhkan hukuman itu, tiba-tiba Nabi Daud a.s berasa ada sesuatu yang tidak kena dan dia berasa bersalah. Lalu Daud a.s terus memohon keampunan kepada Allah sambil merebahkan badannya bersujud.
- Ada beberapa pendapat ulama\’ tentang ini, ada kata Nabi Daud berasa bersalah kerana:
i- kerana dia telah menjatuhkan hukuman sebelum mendengar keterangan dari pihak yang didakwa, yakni pihak satu lagi. Sepatutnya perlu mendengar keterangan dari kedua pihak dulu. - Tetapi ramai ulama\’ kata tidak logik sebab ini, kerana nabi Daud seorang hakim yang bijaksana lagi penuh hikmah, takkan dia tak dengar dulu hujjah dan pembelaan kedua belah pihak.
ii- kata Syeikh Wahbah pula: Nabi Daud berasa bersalah kerana dia timbul perasaan untuk mengambil tindakan terhadap dua orang itu yang masuk berjuma dengannya tanpa izin. Tetapi dia segera insaf dan menyesal kerana dua orang itu telah mengingatkan dia kepada tugas asalnya.
Inilah yang menjadi pilihan ramai ulama\’, kesalahannya kerana nak ambil tindakan ke atas dua orang itu.
- Ini kerana Nabi Daud dalam seminggu dia memperuntukkan hari-harinya untuk 3 perkara; hari untuk beribadat, untuk berkhalwat membaca Kitab Zabur (yakni tidak berjumpa orang). Manakala 3 hari lagi untuk mendengar pengaduan rakyat, berhukum dan menjalankan perbicaran di antara mereka.
Kebetulan dua orang itu datang pada hari dia beribadat, lalu dia berasa nak marah kepada mereka itu! - Dua orang itu sebenarnya telah berjaya menyedarkan nabi Daud a.s bahawa masanya untuk rakyat adalah tidak mencukupi dan perlu ditambah lagi, rakyat banyak masalah, memerlukan bimbingan dan panduan dari raja mereka!
- Terlalu banyak cerita israiliyyat tentang cerita kambing 99 ekor ini yang ditafsirkan dan direkacipta ke atas Nabi Daud a.s.
Yang amat tidak sedap didengar kerana boleh merosakkan akhlak, imej dan sifat seorang nabi yang mulia, seorang nabi yang yang dipuji oleh Allah s.w.t.
Maka jika kita ada dengar dari mana-mana kuliah cerita karut tentang nabi Daud ini, 99 kambing itu dikaitkan dengan 99 orang wanita maka berhati-hatilah dan terus tapisnya dan jelaskan kekarutannya kepada yang masih tidak tahu! - Hadis Rasulullah s.a.w dari Abu Said bin Al-Khudri r.a: Bahawa Rasulullah s.a.w membaca surah Sad ini di atas mimbar, lalu turun bersujud apabila sampai kepada ayat ini, lalu orang ramai turut bersujud bersama Baginda s.a.w.
Lalu pada hari lain Baginda membaca lagi ayat ini, orang ramai pun turut mahu sujud, lalu Rasulullah bersabda: \”Ini kisah taubat seorang nabi, dia yang bersalah, tetapi kerana aku lihat kamu semua mahu sujud maka aku pun sujud\”. [HR Abu Daud].
Yakni tidak wajib pun sujud di sini. - Hadis lain pula Rasulullah s.a.w bersabda: \”Nabi Daud sujud kerana bertaubat (توبة), kita pula bersujud kerana gembira dan syukur (شكرا), kerana Allah s.w.t telah menerima taubat Daud a.s.
Kita juga sebagai manusia kena sentiasa bertaubat kepada Allah s.w.t\”. [HR Bukhari].
AYAT 25- {MAKA KAMI AMPUNKAN KESALAHANNYA ITU; DAN SESUNGGUHNYA IA MEMPUNYAI KEDUDUKAN YANG DEKAT DI SISI KAMI SERTA TEMPAT KEMBALI YANG SEBAIK-BAIKNYA (PADA HARI AKHIRAT KELAK).} (SAAD 38:25)
- Maka Allah s.w.t terima taubat nabi Daud ini dan mengampunkan kesalahannya. Iaitu kesilapan mahu marah dan ambil tindakan kepada mereka yang masuk tanpa izin ke biliknya tadi.
Bukan sebab gopoh buat hukuman!!!! - Sesungguhnya Nabi Daud ini mempunyai kedudukan yang dekat dan tinggi di sisi Tuhannya (لَزُلْفَى), serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (وَحُسْنَ مَآبٍ) di akhirat kelak.
- Allah s.w.t telah jamin kedudukan Nabi Daud di dunia dan Akhirat, satu kedudukan yang tidak dapat dipetikai dan dipandang rendah!
AYAT 26- {WAHAI DAUD, SESUNGGUHNYA KAMI TELAH MENJADIKANMU KHALIFAH DI BUMI, MAKA JALANKANLAH HUKUM DI ANTARA MANUSIA DENGAN (HUKUM SYARIAT) YANG BENAR (YANG DIWAHYUKAN KEPADAMU); DAN JANGANLAH ENGKAU MENURUT HAWA NAFSU, KERANA YANG DEMIKIAN ITU AKAN MENYESATKANMU DARI JALAN ALLAH. SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG SESAT DARI JALAN ALLAH, AKAN BEROLEH AZAB YANG BERAT PADA HARI HITUNGAN AMAL, DISEBABKAN MEREKA MELUPAKAN (JALAN ALLAH) ITU.} (SAAD 38:26)
- Allah s.w.t berpesan kepada nabi Daud, seorang nabi yang telah dilantik menjadi pemerintah dan raja, khalifah yang berkuasa di bumi agar:
i- berlaku adil, menjalankan hukum dan ikut Syari\’ah yang benar di kalangan manusia.
ii- jangan ikut hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan manusia dari jalan Allah s.w.t. - Begitulah hari ini, orang yang baik-baik apabila mendapat jawatan kena hati-hati dan sentiasa muhasabah agar tidak berubah kearah yang tidak baik!!
Nabi Daud yang berkuasa pun Allah pesan, apatah lagi manusia biasa yang bukan nabi! - Allah memberi amaran lagi bahawa sesungguhnya manusia yang sesat dari jalan kebenaran, dari jalan-Nya, akan menerima azab siksa yang berat di Akhirat nanti!
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 21- {Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita (perbicaraan dua) orang yang berselisihan? Ketika mereka memanjat tembok tempat ibadat;}- Allah s.w.t bertanya kepada Rasulullah s.a.w adakah sudah sampai kepadanya tentang cerita ini.
i- Maka dari ayat ini Allah s.w.t ceritakan kepada kita adab untuk masuk ke tempat orang, samada rumah atau bilik orang. Kena ketuk pintu, minta izin baik-baik dulu serta nyatakan waktunya.
Dalam kes nabi Daud beliau cepat sedar bahawa yang datang itu bukan manusia biasa, tetapi utusan dari Allah s.w.t untuk menyedarkannya.
ii- para penguasa dan ketua pula jangan mudah nak marah dan ambil tindakan ke atas rakyatnya! Dalil kena berlembut dan bertoleransi atas kesalahan yang dibuat orang.
iii- penguasa atau qadhi kena selesaikan juga masalah atau perselisihan mereka ini dengan kebenaran dan adil, walaupun orang itu datang dengan tidak beradab atau bukan pada masa yang dikhaskan untuk itu.
- Ayat 22- {Mereka berkata: …… oleh itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang lurus.}- ayat ini mengajar kepada kita walaupun orang besar dan berada di kedudukan yang tinggi, kena dengar dan ambik kira teguran orang walaupun orang kampung atau orang bawahannya!
Ayat ini juga bukan bermakna orang itu mahu mengata buruk kepada tuan hakim, tetapi rayuannya kepada hakim itu, agar mengambil berat dan mengadili kesnya! - Ayat 24- {Nabi Daud berkata: ….. dan sesungguhnya kebanyakan dari orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!\”} – semenjak zamannya, Nabi Daud mengatakan kebanyakan manusia dalam muamalat dan pergaulannya sesama sendiri pasti ada yang berlaku zalim. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, tetapi amat sedikit golongan sebegini!
Maka marilah kita jadi orang yang baik, biarpun kita dalam golongan tidak ramai, kerana tidak bermanfaat iman saja tanpa amal, begitu juga amal tanpa iman lagi tidak bermanfaat.
Pernah dikatakan ada orang yang berdoa agar dia menjadi dari golongan yang sedikit- iaitu { orang-orang yang beriman dan beramal soleh; sedang mereka amatlah sedikit!}.
Syarat amalan kita untuk diterima dan soleh adalah:
i- ikhlas & ii-ikut cara Nabi s.a.w.
- Ayat 24- { Dan Nabi Daud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).}- setelah selesai kes ini, nabi Daud dapat rasakan bahawa itu adalah satu ujian dari Tuhan.
Isu i- Maka seorang yang pegang jawatan awam untuk masyarakat seperti imam, hakim atau ketua itu mesti: tidak boleh sembunyikan dirinya daripada orang ramai, wajib mudahkan urusan orang ramai untuk berjumpa dengannya, mengadu masalah mereka dan seumpamanya!
Isu ii- Nabi Daud rasa dia telah melakukan kesalahan. Kesalahan Daud di sini BUKAN kerana silap menjatuhkan hukuman yang tidak adil TETAPI kerana ada niat nak ambil tindakan terhadap mereka.
Walaupun belum diambil tindakan, hanya niat, tetapi ia sudah dianggap satu kesalahan bagi Daud a.s sebagai seorang nabi yang bijak & penuh hikmah.
Begitulah kebaikan yang dibuat bagi orang biasa, masih tidak kena atau kecil bagi orang yang dekat dengan Allah s.w.t.
Maka tidak logik dan makin tidak layak bagi nabi Daud untuk salah jatuh hukuman.
- Ayat 26- {Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu);- kata ulama\’ tadabbur, mana-mana orang yang ada kelayakan untuk memegang jawatan dia kena terima jangan tolak.
i- Kerana jika kita yang layak menolak, lalu dilantik pula orang yang tidak layak akan menimbulkan huru-hara dan tidak stabil! Kecuali jika memang ramai lagi orang yang alim dan lebih layak, boleh kita minta uzur.
ii- Nabi Daud as., seorang rasul dan nabi yang begitu mulia dan dipuji pun, Allah s.w.t berpesan dan menasihatinya agar berlaku adil dan berhukum dengan Syari\’ah Allah s.w.t selalu!
Maka pesanan ini juga adalah satu kewajipan bagi kita semua yang bukan nabi dan orang biasa ini, perlu sangatlah menerima teguran dan nasihat.
Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam orang yang TIDAK mengikut hawa nafsu dan menjadi hamba yang soleh dan diredhai-Nya.