SURAH SAAD : AYAT 27-29

\"\"

ALLAH S.W.T CIPTAKAN LANGIT DAN BUMI DENGAN HIKMAH, TIDAK SAMA GOLONGAN YANG BAIK DENGAN YANG JAHAT & GALAKAN TADABBUR AL-QURAN.

Full video : https://youtu.be/72DrglTNEWY

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa balik cerita untuk menetapkan bahawa Kiamat itu pasti berlaku.
  2. Hujjah yang mantap telah diberikan kepada manusia iaitu penurunan al-Quran. Maka ada yang terima ada yang kacau menolak dan mendustakannya.
  3. Ayat ini menyatakan sejumlah kekuatan hujjah akan kebenaran dalil al-Quran al-Karim. Maka sesiapa yang terima akan selamat, yang menolaknya akan kena azab siksa neraka.
  4. Ini ialah ayat celahan selepas kita habis episod ringkas tentang Nabi Allah Daud a.s sebelum ini.
  5. Kemudian selepas ayat-ayat ini kita akan masuk kepada kisah anakanda kepada Nabi Daud a.s iaitu Nabi Sulaiman a.s, insya\’ Allah.

AYAT 27- {DAN TIADALAH KAMI MENCIPTAKAN LANGIT DAN BUMI SERTA SEGALA YANG ADA DI ANTARA KEDUANYA SEBAGAI CIPTAAN YANG TIDAK MENGANDUNGI HIKMAH DAN KEADILAN; YANG DEMIKIAN ADALAH SANGKAAN ORANG-ORANG YANG KAFIR! MAKA KECELAKAANLAH BAGI ORANG-ORANG YANG KAFIR ITU DARI AZAB NERAKA.} (SAAD 38:27)

  1. Ayat ini menerangkan bahawa Hari Kiamat pasti akan berlaku, jika tidak sia-sialah penciptaan langit dan bumi, orang beriman yang baik-baik yang mengalami ujian dan percubaan atas dunia ini tidak akan mendapat keadilan!
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t juga mengingatkan puak kafir; jika kamu masih tidak terima juga setelah dibawa segala dalil dan hujjah yang mengandungi segala hikmah dan keadilan; MAKA azab nerakalah bagi kamu!

Begitulah uslub dalam berdakwah selepas diberi nasihat & dakwah secara baik, hujjah dan penerangan secara ilmiah, jika masih berdegil- maka terimalah kekerasan ancaman balasan!

  1. Allah s.w.t celahkan antara dua kisah Daud & anaknya Sulaiman a.s dengan tiga ayat ini, untuk menyatakan hikmah Allah s.w.t menjadikan hari Kiamat itu sebagai hari Pembalasan dan menegakkan hujjah kebenaran bagi semua manusia.
  2. Maka bagi manusia yang taat dan beriman semasa di atas dunia dulu akan mendapat pembalasan dan keadilan yang sepatutnya jika di atas dunia dulu mereka dizalimi dan tidak mendapat keadilan. Kita orang beriman berpegang dengan keyakinan ini maka kita tidak akan rasa dizalimi walaupun hidup susah dan penuh cabaran atas dunia ini.
  3. Allah s.w.t sekali-kali tidak jadikan langit dan bumi ini sia-sia, tanpa hikmah dan keadilan pembalasan sebagaimana sangkaan puak kafir! Bagi mereka hidup ini akan berakhir dengan kematian atas dunia ini dan ditinggalkan semua.
  4. Firman Allah s.w.t banyak sekali tentang isu ini lagi:
    i- {\”Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?\”} (Al-Mu\’minuun 23:115)

ii- {Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat.} (Al-Hijr 15:85)

  1. Manakala sangkaan orang kafir lain, mereka tidak percaya Kebangkitan semula itu akan berlaku! Mereka hanya mengejar dan mencari setakat dunia tidak mengenal dan nampak keagungan, hikmah & kebenaran Allah s.w.t. Maka kerugian yang amat besar serta nerakalah balasannya bagi mereka.

AYAT 28- {PATUTKAH KAMI JADIKAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH ITU SAMA SEPERTI ORANG-ORANG YANG MELAKUKAN KEROSAKAN DI MUKA BUMI? ATAU PATUTKAH KAMI JADIKAN ORANG-ORANG YANG BERTAQWA SAMA SEPERTI ORANG-ORANG YANG BERDOSA?} (SAAD 38:28)

  1. Allah s.w.t memberi soalan sentap lagi: Adakah patut dan logik Allah jadikan orang yang beriman dan beramal soleh, ikhlas mengikut ajaran Rasulullah s.a.w itu SAMA dengan kafir yang tidak beriman, yang melakukan syirik, kerosakan, kezaliman dan kejahatan atas muka bumi ini?
  2. Atau adakah patut juga Allah jadikan orang yang bertaqwa, orang yang takut untuk melakukan dosa dan maksiat dan patuh kepada Allah s.w.t SAMA dengan orang yang jahat yang berdosa, tidak segan dan malu untuk melakukan dosa dan maksiat kepada Allah s.w.t??????
  3. Jawapannya: Pastilah TIDAK sama sekali!!!! Mereka ini tidak akan sama nilainya di sisi Allah s.w.t! Walaupun mungkin atas dunia ini nampak sama di mata manusia atau mereka yang lebih lagi. Bagi mereka di dunia dan bagi kita di akhirat kelak insya\’ Allah!
  4. Firman Allah s.w.t: {Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.} (Al-Jaathiyah 45:21)

AYAT 29- {(AL-QURAN INI) SEBUAH KITAB YANG KAMI TURUNKAN KEPADAMU (DAN UMATMU WAHAI MUHAMMAD),-KITAB YANG BANYAK FAEDAH-FAEDAH DAN MANFAATNYA, UNTUK MEREKA MEMAHAMI DENGAN TELITI KANDUNGAN AYAT-AYATNYA, DAN UNTUK ORANG-ORANG YANG BERAKAL SEMPURNA BERINGAT MENGAMBIL IKTIBAR.} (SAAD 38:29)

  1. Allah s.w.t nyatakan bahawa al-Quran ini sebuah Kitab yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w dan umatnya. Kita yang membawa faedah dan manfaat bagi yang beriman dan menerimanya.
  2. Beza antara maksudnya Kitab berdasarkan ejaan walaupun bacaannya sama:
    i- jika tidak ditulis huruf alif (الْكِتٰبُ) – maknanya Kitab al-Quran yang kita baca ini.
    ii- jika ditulis huruf alif (كِتَابٌ) – maknanya tempoh atau ajal (waktu) iaitu amali.
  3. Dalam ayat ini kita dapat ambil beberapa sifat al-Quran:
    i- turun (أَنْزَلْنَاهُ) dari langit kepada Rasulullah s.a.w dan umatnya di dunia ini. Malaikat bawa turun kepada Baginda s.a.w secara berperingkat.

ii- Kitab yang diberkati (مُبَارَكٌ) – banyak faedah dan manfaatnya, untuk dunia dan Akhirat semua ada!

iii- untuk kita teliti dan korek makna isi kandungannya (tadabbur- لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ).

iv- untuk orang yang berakal mengambil pengajaran dan iktibar dari al-Quran (وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ).

  1. Munasabah ayat: Setelah Allah s.w.t terangkan perbezaan antara orang yang beriman dan orang kafir, orang yang soleh dan orang yang toleh (buruk) adalah tidak sama, maka Allah s.w.t bawa kepada kita, tunjukkan jalan yang benar yang penuh petunjuk yang dapat membawa kepada kebenaran dan keselamatan. Iaitu Kitab al-Quran untuk kita ambil peringatan dan tadabburnya.
  2. Apakah makna tadabbur?
    i- kita kena faham maknanya, apakah maksud dan ambil perincian satu persatu lafaz ayat al-Quran dan perhatikannya, sentiasa banyak berfikir dan ulang-balik supaya kita faham apa yang terkandung rahsia dan hikmah setiap ayat! Ambil iktibar dan pengajaran daripadanya.

ii- Maka Allah s.w.t tegur orang yang baca al-Quran tetapi tidak tadabburnya: {(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?} (Muhammad 47:24)

iii- Orang yang berakal tidak akan lupa apa yang dia belajar dan mengamalkannya dalam hidup.

Firman Allah s.w.t: {(Al-Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka diberi ingat dan diberi nasihat dengannya; dan supaya mereka mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya) bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa; dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.} (Ibrahim 14:52)

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 29- {(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.}- ayat ini menggalakkan kita untuk bertadabbur al-Quran, ia juga termasuk dalam amalan yang paling afdhal.

i- Jadi selain dari membaca (tilawah) al-Quran secara biasa, kita juga kena sediakan masa untuk tadabbur al-Quran, ambil beberapa ayat, dengar apa yang kita belajar kemudian kaji renung dan muhasabah balik apa yang telah kita gunakan (apply) ayat ini dalam hidup kita, apakah fungsinya yang telah kita amalkan.

ii- Allah s.w.t juga cela orang yang baca al-Quran tetapi inti kandungannya tidak masuk dalam hati dan fikiran mereka:
{Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.} (Al-Baqarah 2:78).

Ulama\’ tafsir kata maksud perkataan atau sifat (أَمَانِيَّ- buta huruf) ini ialah baca saja al-Quran, tidak memahami dan cuba menggali apakah maksud peringatan dan ajaran yang ingin disampaikan!

2. Ayat 27- {Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan;} – jika ia tiada faedah pastilah ia satu pandangan yang BATIL- kerana tidak mungkin Allah s.w.t mencipta sesuatu tanpa hikmah dan faedah yang tertentu dan umum!

Ini kerana Allah s.w.t sentiasa membawa dalil dengan sesuatu yang kita dapat lihat, seperti bintang, bulan dan matahari di langit, bumi dan isi kandungannya. Jangan menjadi seperti puak kafir yang hanya tahu dan akui bahawa Allah s.w.t mencipta semua ini tetapi tetap tidak mahu beriman dan menerima kebenaran dakwah Nabi s.a.w.

3. Ayat 27- {Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan;} – ayat ini menunjukkkan bahawa iman dan keyakinan kita kepada Allah serta beramal dengan amalan yang soleh menjadi sebab makmurnya bumi ini!

Banyak lagi dalam firman Allah s.w.t tentang ini:
i- {Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.} (Al-A\’raaf 7:96)

ii- {Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).} (Ar-Ruum 30:41)

4. Ayat 28- {Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa?}- tidak mungkin sama-sekali! Walaupun atas dunia ini nampak beres dan mungkin orang kafir nampak lebih. Tetapi di akhirat kelak mereka akan diasingkan, masing-masing akan terima pembalasan yang setimpal dengan iman dan amalan mereka atas dunia dulu!

Timbul persoalan kenapa orang baik ramai yang susah atas dunia ini? Manakala ahli maksiat itu pula seolah ramai mendapat nikmat dan kesenangan??

Kita kena ingat, ini kerana Allah s.w.t nak uji kita untuk angkat darjat kita, beri kita pahala atas kesabaran dan kesyukuran kita, mungkin amal ibadat kita ada kekurangan dan tidak sempuna, maka kita akan mendapat pahala dan dingakat darjat yang lebih melalui ujian ini, insya\’ Allah!

PERINGATAN :

Ayat 29- {(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya,}- Al-Quran ini mempunyai begitu banyak faedah dan manfaatnya untuk manusia.

Antara tujuan dan faedah utama al-Quran ialah:
i- Kita jadikan al-Quran sebagai penawar daripada penyakit hati. Penyembuh bagi penyakit hati dan panduan hidup kita di atas dunia ini!

ii- Untuk fizikal boleh juga sebagaimana kisah sahabat dalam sebuah hadis yang membaca surah al-Fatihah sebagai rukyah. Tetapi jangan sampai kita salah guna, dikomersialkan ayat al-Quran, dibahagikan setiap ayat kepada setiap penyakit serta pelbagai masalah lagi.

iii- Dalam hati seorang hamba tidak akan berkumpul antara Al-Quran dan muzik (lagu)- seperti mana tidak akan bercampur air & minyak.

Maka berhati-hatilah semua terutama para pengguna media sosial, FB, tiktok, IG dan apa saja, jangan dibuat main dengan al-Quran; dijadikan content untuk meraih like manusia, tetapi bercampur pula dengan lagu-lagu dan muzik, Allahu al-Musta\’an.

Maka di manakah keberkatan dan keredhaan yang kita nak cari??? Walaupun mungkin ada yang kata niatnya baik nak dekatkan remaja dan anak muda dengan al-Quran, tetapi bukan begitu caranya, niat tidak menghalalkan cara yang salah!

Al-Quran itu sendiri satu mukjizat yang agung dan mulia, ia tidak perlu kepada sesuatu yang lagha dan syuhbah untuk mempromosinya lagi, apatah lagi jika yang makruh atau haram!!!

Semua perkara yang berkait dengan al-Quran diberkati Allah s.w.t, maka marilah kita menjadi ahli Quran yang murni, tidak mencampur-aduknya dengan syubhah apatah lagi kebatilan.

Powered by BetterDocs