ALLAH PERINTAHKAN MALAIKAT SUJUD KEPADA ADAM, IBLIS SOMBONG ENGGAN SUJUD & BERSUMPAH AKAN SESATKAN ANAK ADAM.
Full video : https://youtu.be/w_O-e3bbVY8
MUQADDIMAH :
- Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan tentang malaikat dan lawannya iblis.
- Sebelum ini Allah s.w.t telah ceritakan tentang pendustaan dan ingkarnya kaum Quraisy yang menetang Rasulullah s.a.w. Begitu juga ahli Kitab yang menentang kerana hasad dan takabbur.
- Mereka semua ini menolak Rasulullah s.a.w kerana sebab utama iaitu hasad dan sombong takabbur.
- Maka sesuailah Allah bawa pula cerita tentang iblis yang sombong dan takabbur sebagai pengajaran dan ingatan kepada semua manusia yang sombong dan takabbur agar insaf dan menjauhi sifat iblis ini.
- Dalam ayat sebelum ini iaitu ayat 69. Malaikat bertanya dan bersola-jawab kepada lah s.w.t tentang hikmah penciptaan manusia ini.
Maka dalam ayat ini adalah penjelasan dan jawapannya tentang persoalan itu!
AYAT 71- {(INGATKANLAH PERISTIWA) KETIKA TUHANMU BERFIRMAN KEPADA MALAIKAT: \”SESUNGGUHNYA AKU HENDAK MENCIPTAKAN MANUSIA – ADAM DARI TANAH;} (SAAD 38:71)
- Dalam ayat ini Allah s.w.t mengingatkan tentang peristiwa apabila Allah s.w.t hendak mencipta manusia, Allah s.w.t berfirman kepada malaikat yang sudah wujud pada masa itu.
- Allah s.w.t ceritakan bahawa Dia akan mencipta manusia daripada tanah!
AYAT 72- {\”KEMUDIAN APABILA AKU SEMPURNAKAN KEJADIANNYA, SERTA AKU TIUPKAN PADANYA ROH DARI (CIPTAAN) KU, MAKA HENDAKLAH KAMU SUJUD KEPADANYA\”.} (SAAD 38:72)
- Lalu Allah s.w.t sempurnakan bentuk ciptaannya dan tiupkan roh.
- Kemudian Allah s.w.t perintahkan para malaikat untuk sujud kepada Adam a.s.
- Sujud ini adalah sebagai memuliakan Adam serta sebagai satu kepatuhan kepada perintah Allah s.w.t.
AYAT 73- {(SETELAH SELESAI KEJADIAN ADAM) MAKA SUJUDLAH SEKALIAN MALAIKAT, SEMUANYA SEKALI,} (SAAD 38:73)
- Setelah selesai kejadian Adam, para malaikat yang taat setia inipun terus bersujud sungguh dengan cara fizikal, semua para malaikat ini tidak terkecuali. (الْمَلَائِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ)
- Betapa taat dan patuhnya para malaikat ini.
AYAT 74- {MELAINKAN IBLIS; IA BERLAKU SOMBONG TAKBUR (MENGINGKARINYA) SERTA MENJADILAH IA DARI GOLONGAN YANG KAFIR.} (SAAD 38:74)
- Kecuali Iblis, ia telah menjadi sombong dan takabbur, lalu mengingkari perintah Allah s.w.t ini.
- Maka jadilah ia dari golongan kafir yang terlaknat!
AYAT 75- {ALLAH BERFIRMAN: \”HAI LBLIS! APA YANG MENGHALANGMU DARIPADA TURUT SUJUD KEPADA (ADAM) YANG AKU TELAH CIPTAKAN DENGAN KEKUASAANKU? ADAKAH ENGKAU BERLAKU SOMBONG TAKBUR, ATAUPUN ENGKAU DARI GOLONGAN YANG TERTINGGI?\”} (SAAD 38:75)
- Lalu Allah s.w.t bertanya kepada iblis ini apa yang menghalangnya dari turut sujud kepada Adam, yang Allah s.w.t telah ciptakan sendiri dengan tangan-Ku?
- Adakah sifat kamu memang begini atau perangai kamu yang sombong? Tidak dapat menerima kejadian makhluk lain yang baru, yang lebih dimuliakan Allah s.w.t.
- Maka timbullah perasaan hasad dan dengki dalam dirinya. Yang membawa kepada takabbur dan kekufuran!
AYAT 76- {IBLIS MENJAWAB: \”AKU LEBIH BAIK DARIPADANYA; ENGKAU (WAHAI TUHANKU) CIPTAKAN DAKU DARI API, SEDANG DIA ENGKAU CIPTAKAN DARI TANAH\”.} (SAAD 38:76)
- Iblis menjawab: Aku lebih baik daripada dia yang dicipta dari tanah sedangkan aku dicipta dari api. Bagi Iblis api lebih mulia daripada tanah kerana api naik ke atas manakala tanah hanya dibawah dan dipijak-pijak.
- Firman Allah s.w.t: {Allah berfirman: \”Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?\” Iblis menjawab: \”Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.\”} (Al-A\’raaf 7:12)
AYAT 77- {ALLAH BERFIRMAN: \”KALAU DEMIKIAN, KELUARLAH ENGKAU DARIPADANYA, KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU ADALAH MAKHLUK YANG DIUSIR.} (SAAD 38:77)
- Bila mendengar jawapan Iblis ini, Allah s.w.t terus menjatuhkan hukuman!
- Jika demikianlah keluarlah kamu daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir.
- Tentang keluar dari mana ada 3 tafsiran:
- dari langit, atau dari kumpulan malaikat yang dia bersama mereka sebelumnya ataupun dari syurga.
- Ini kerana kamu adalah makhluk yang diusir, terhalau lagi hina (رَجِيمٌ).
AYAT 78- {\”DAN SESUNGGUHNYA ENGKAU DITIMPA LAKNATKU TERUS MENERUS HINGGA KE HARI KIAMAT!\”} (SAAD 38:78)
- Allah juga menjatuhkan hukuman lagi: Kamu semua, iblis dan syaitan ini akan dilaknat Allah s.w.t terus menerus sehingga ke hari Kiamat (لَعْنَتِي).
AYAT 79- {IBLIS BERKATA: \”WAHAI TUHANKU! JIKA DEMIKIAN, BERILAH TEMPOH KEPADAKU HINGGA KE HARI MEREKA DIBANGKITKAN (HARI KIAMAT)\”.} (SAAD 38:79)
- Iblis yang tahu dan sedar akan kekuasaan Allah s.w.t, yakni iblis ini ada ilmu, lalu meminta sambil berkata: Wahai Tuhanku! Jangan matikan aku lagi, berilah aku tempoh, hidup sehingga ke hari kebangkitan iaitu hari Kiamat nanti!
AYAT 80- {ALLAH BERFIRMAN: \”DENGAN PERMOHONANMU ITU, MAKA SESUNGGUHNYA ENGKAU DARI GOLONGAN YANG DIBERI TEMPOH-} (SAAD 38:80)
- Permintaan iblis ini diterima Allah s.w.t. lalu dia diberi tempoh bersama golongan-golongan yang diberilan tempoh.
AYAT 81- {\”HINGGA KE HARI MASA YANG TERMAKLUM\”.} (SAAD 38:81)
- Iaitu sehingga kepada hari yang termaklum dan dijanjikan, iaitu hari kematian semua makhluk, iaitu hari Kiamat.
AYAT 82- {IBLIS BERKATA: \”DEMI KEKUASAANMU (WAHAI TUHANKU), AKU AKAN MENYESATKAN MEREKA SEMUANYA,} (SAAD 38:82)
- Iblis tidak berdiam diri begitu saja, masih lagi membuat perancangan rapi! Dia memohon lagi kepada Allah s.w.t!
- Dia bersumpah demi kekuasaanmu wahai Tuhanku (فَبِعِزَّتِكَ), aku akan menyesatkan mereka semua, akan Adam yang aku mampu!
- Firman Allah s.w.t juga: {Iblis berkata: \”Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;
\”Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur\”.} (Al-A\’raaf 7: 16-17) - Iblis bersumpah untuk menyerang dan menghasut kita manusia dari segenap penjuru. Ia juga tiada cuti dan malas, tentera bekerja siang dan malam!
- Seperti mana kata AAM; iblis dan syaitan tidak akan masuk lorong no entry! Dia akan datang melalui jalan dan kecenderungan seseorang manusia. Ahli ibadat dengan caranya, ahli maksiat dengan caranya.
AYAT 83- {\”KECUALI HAMBA-HAMBAMU DI ANTARA ZURIAT-ZURIAT ADAM ITU YANG DIBERSIHKAN DARI SEBARANG KEDERHAKAAN DAN PENYELEWENGAN\”.} (SAAD 38:83)
- Tetapi ada juga iblis mengaku kalah dari awal lagi; kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas (الْمُخْلَصِينَ), yang Allah s.w.t jaga dan bersihkan dari sebarang penyelewangan, mereka ini akan selamat daripada godaan dan hasutannya.
- Ulama\’ tafsir kata ada dua cara bacaan (الْمُخْلَصِينَ) dalam ayat ini:
i- Mukhlasin dengan lam baris atas ((الْمُخْلَصِينَ), مفعول اسم (yang kena buat) maknanya orang ini Allah s.w.t telah suci dan bersihkan hati mereka, maka orang ini iblis tidak mampu nak kacau.
ii- Mukhlisin- lam baris bawah ((الْمُخْلِصِينَ)- اسم فاعل (pembuat) maknanya hamba-hamba yang ikhlas.
Mereka jaga tauhid daripada syirik, riya\’ dan takabbur.
Yakni samada orang yang Allah jaga dan sucikan dia dari awal, pribadinnya baik atau orang yang berusaha untuk menjadi baik; kedua-duanya syaitan mengaku kalah dari awal.
Semoga kita termasuk dalam mana-mana jenis golongan yang ikhlas ini!
- Firman Allah s.w.t: {Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.} (Al-Nahl 16: 99-100)
- Insya\’ Allah dengan jaminan Allah s.w.t ini kita selamat dari godaan syaitan dengan ilmu yang kita belajar ini.
AYAT 84- {ALLAH BERFIRMAN: \”MAKA AKULAH TUHAN YANG SEBENAR-BENARNYA, DAN HANYA PERKARA YANG BENAR AKU FIRMANKAN-} (SAAD 38:84)
- Allah berfirman bahawa Dia adalah Tuhan yang Sebenar dan semua yang Allah firmankan dan cipta ada hikmah, peraturan dan caranya yang tersendiri.
- Allah s.w.t yang benar, arahan-Nya benar maka sesiapa yang langar dia telah ingkar dan kufur!
- Firman Allah s.w.t: {Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman): \”Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: `Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)\”.} (As-Sajdah 32:13)
- Na\’uzubillah, ya Allah jauhkan dan selamatkan kami dari golongan yang akan menjadi pemenuh neraka Jahannam!
AYAT 85- {\”DEMI SESUNGGUHNYA! AKU AKAN MEMENUHI NERAKA JAHANNAM DENGAN JENISMU DAN DENGAN ORANG-ORANG YANG MENURUTMU DI ANTARA ZURIAT-ZURIAT ADAM (YANG DERHAKA) SEMUANYA\”.} (SAAD 38:85)
- Allah s.w.t tutup episod ini dengan menyatakan bahawa Dia akan memenuhkan neraka Jahannam dengan kaum dari jenis Iblis dan semua orang yang mengikut hasutan syaitan (وَمِمَّنْ تَبِعَكَ) ini dari kalangan manusia, zuriat Adam yang derhaka semuanya.
- Firman Allah s.w.t lagi: {Allah berfirman (kepada iblis): \”Pergilah (lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.} (Al-Israa\’ 17:63).
- Maka jelaslah kepada kita bahawa makhluk ini terdiri dari 3 jenis yang berlainan:
i- malaikat yang dicipta daripada nur (cahaya).
ii- iblis dari golongan jin yang dicipta daripada api. BUKAN dari kalangan malaikat.
iii- manusia yang dicipta daripada tanah. Jenis tanahnya kita lihat selepas ini.
PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :
- Ayat 75- {Allah berfirman: \”Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi?\”}- ayat ini menunjukkan dan memperingatkan anak Adam betapa mulianya kejadian manusia, yang Allah s.w.t ciptakannya sendiri.
Serta menyatakan permusuhan yang berterusan dari iblis dan tenteranya terhadap anak-cucu Adam yang berpunca dari hasad dan dengki!
Maka kita anak cucu Adam jangan ada sifat ini dalam diri kita, jika ada maka kita telah mengulangi balik sifat kafir Quraisy dan ahli kitab yang menolak Rasulullah s.a.w, puncanya kerana hasad dan takabbur.
Jika ada kita juga akan terkeluar dari landasan yang benar.
Kita orang beriman wajib ikut Rasulullah s.a.w samada Baginda ke kiri atau ke kanan, jangan sampai kita ikut syaitan yang kerjanya memang untuk mengelirukan manusia!
Maka untuk mengingatkan kaum Quraisy yang ingkar pada masa itu serta semua manusia yang selepasnya agar jangan ingkar atau derhaka dengan sebab sombong dan takabbur. Puncanya kerana hasad dan tidak boleh terima orang lain atau orang yang baru yang terpilih!
- Ayat 76- {Iblis menjawab: \”Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah\”.}- kata para ulama\’, syaitan lebih menggunakan logik akal daripada menerima dan taat kepada wahyu perintah Allah s.w.t.
Sesiapa yang mendahulukan akal lebih daripada nas-nas yang ada dan jelas, maka orang itu telah mengikut jejak langkah syaitan!
Syaitan telah guna logik ini daripada awal lagi, aku dijadikan daripada api manakala manusia hanya dari tanah yang hina!
Maka tidak patut bagi aku untuk menghormatinya!
- Ayat 82- {Iblis berkata: \”Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya,}- Iblis bersumpah dengan kemulian Allah s.w.t (فَبِعِزَّتِكَ). Maka kata para ulama\’: Antara sebab kita mendapat pertolongan dan dikabulkan doa adalah dengan menggunakan nama Allah s.w.t yang mulia, dan kekuasaan-Nya semasa memintanya.
Maka wajib kita sebagai manusia yang beriman mengambil langkah berjaga-jaga dari kejahatan dan hasutan iblis yang telah bersumpah dan berjanji dengan kemuliaan Allah s.w.t.
Bila kita dapati diri kita lemah dan malas nak buat ibadat, terus minta perlindungan dengan Allah s.w.t, bila terlintas dalam hati kita untuk buat sesuatu yang tidak baik, terus minta perlindungan dengan Allah s.w.t!
Hatta apabila nak mulakan baca al-Quran juga kita disuruh minta perlindungan dengan Allah s.w.t dulu.
- Ayat 71- {(Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: \” Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah;}- ayat ini menjadi isbat bahawa manusia dijadikan daripada tanah. Kerana itu sifatnya pelbagai-bagai kerana tanah itu pelbagai, banyak jenis dan peringkatnya.
Seperti dalam firman Allah s.w.t ini:
i- {Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia – Adam dari tanah (طِينٍ);} [Saad: 71]. Tin di sini bermaksud tanah liat!
ii- {Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering (مِنْ صَلْصَالٍ), yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya (مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ).} (Al-Hijr 15:26) – tanah kering.
iii- {Allah telah menciptakan Adam dari tanah (تُرَابٍ) lalu berfirman kepadanya: \”Jadilah engkau!\” maka menjadilah ia.} (A-li\’Imraan 3:59)- tanah debu.
iv- {Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (طِينٍ لَازِبٍ) (yang senang diubah dan diciptakan semula).} (As-Saaffaat 37:11)- tanah liat yang melekat.
Tidak ada percanggahan tentang jenis atau nama tanah ini, kerana ia adalah peringkatnnya, manakala asal.semuanya adalah TANAH!
Maka pendapat/hadis yang mengatakan Rasulullah s.a.w itu daripada Nur (cahaya) adalah tidak betul!
Hanya malaikat yang dicipta daripada Nur manakala Rasulullah s.a.w sebagai manusia keturunan Adam maka dia adalah daripada tanah juga!
- Ayat 72- {\”Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya\”.}- maka timbul pula persoalan; macamana para malaikat sujud kepada Adam sedangkan dilarang sujud kepada kepada sesama makhluk?
Jawapan: Ini adalah bukan sujud ibadat, sujud untuk penghormatan SERTA kerana bila ia adalah satu perintah dari Allah s.w.t, yang Allah izinkan, maka ia bolehlah dan wajib taat.
Allah s.w.t hanya suruh sekali itu dan hanya pada waktu itu sahaja! Malaikat tidak lagi disuruh bersujud kepada anak Adam selepas itu.
Sekarang ini Rasulullah s.a.w telah melarang dan menyatakan dalam hadisnya bahawa tidak boleh lagi sujud kepada sesama makhluk.
Semua perkara jika dibawah perintah Allah maka ia bukan lagi sesuatu yang dilarang, bahkan ketaatan dan ibadat pula.
Sebagaimana kisah Ibrahim yang diperintah untuk menyembelih anaknya Ismail sedangkan hukum asalnya adalah haram membunuh manusia. Tetapi kerana ia adalah perintah Allah s.w.t, maka ia menjadi satu ketaatan kerana semata-mata akur kepada perintah-Nya!
Begitu juga dalam undang-undang Qisas (bunuh-balas) maka ia menjadi satu perintah yang apabila dilakukan adalah satu ketaatan dan ibadat kepada Allah s.w.t!