SURAH SABA\’ : AYAT 12-14

\"\"

TIGA NIKMAT ALLAH KEPADA NABI SULAIMAN A.S, JIN SEBAGAI PEKERJANYA & SAAT KEMATIAN NABI SULAIMAN A.S.

Full video : https://youtu.be/8xhDiEgWZ30

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan pula tentang nabi Sulaiman a.s yang diberi nikmat kekuasaan dan kerajaan yang besar.
  2. Dalam siri yang lepas disentuh secara ringkas tentang kelebihan (فَضْلًا) yang Allah s.w.t anugerahkan kepada Nabi Daud a.s. Dalam siri ini disambung pula kisah tentang anakandanya nabi Sulaiman a.s.
  3. Mereka berdua adalah nabi, rasul dan raja pemerintah yang besar. Yakni contoh rasul dan ahli ibadat dari kalangan raja dan penguasa yang hebat. Sulaiman a.s lebih besar lagi kerajaannya.
  4. Tetapi mereka berdua adalah dua orang hamba Allah yang sagat munib, awwab, kembali kepada Allah s.w.t. sentiasa ingat dan bersyukur atas nikmat-Nya, tidak angkuh dan lupa diri.
  5. Nabi Daud juga seorang yang berusaha bekerja dan makan dari hasil pekerjaan tangannya sendiri.

AYAT 12 – {DAN KAMI KURNIAKAN KEPADA NABI SULAIMAN KUASA MENGGUNAKAN ANGIN UNTUK PERJALANANNYA: SEPAGI PERJALANANNYA ADALAH MENYAMAI PERJALANAN BIASA SEBULAN, DAN SEPETANG PERJALANANNYA ADALAH MENYAMAI PERJALANAN BIASA SEBULAN; DAN KAMI ALIRKAN BAGINYA MATAIR DARI TEMBAGA; DAN (KAMI MUDAHKAN) SEBAHAGIAN DARI JIN UNTUK BEKERJA DI HADAPANNYA DENGAN IZIN TUHANNYA. DAN SESIAPA DARI JIN ITU YANG MENYELEWENG DARI PERINTAH KAMI, KAMI AKAN MERASAKANNYA (PUKULAN) DARI AZAB API NERAKA.} (SABA\’ 34:12)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t sebutkan tiga nikmat-Nya yang dianugerahkan kepada nabi Sulaiman a.s. mukjizat yang sangat ajaib.
  2. Pertama Allah s.w.t kurniakan kepadanya kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya. Dia tundukkan angin hingga menerbangkan hamparan permadani Sulaiman a.s. Angin itu berhembus mengikuti perintahnya, dapat membawanya bersama apa yang dibawanya.
  3. Nabi Sulaiman a.s. berangkat di pagi hari dengan naik permadani terbangnya pergi ke tempat yang biasa memakan masa sebulan bagi orang yang naik unta. Pada waktu petangnya begitu juga, dia ke tempat yang jaraknya juga sebulan, tetapi perjalanan yang jauh itu hanya ditempuh dalam waktu sebentar. Yakni dalam sehari nabi Sulaiman a.s dapat menempuh jarak perjalanan yang biasa memakan masa dua bulan
  4. Nikmat yang kedua ialah Allah s.w.t. tundukkan dan alirkan bagi Sulaiman a.s. matair dari tembaga. Dimudahkan segala sebab untuk menghasilkan barang-barang dari tembaga seperti bejana dan lain-lain. Tembaga itu dapat dicairkannya dengan mudah.

5 Nikmat yang ketiga ialah sebahagian dari jin ada yang ditundukkan untuk untuk melakukan pekerjaan-pekerjaan berat di bawah kekuatan dan kekuasaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada Sulaiman a.s., sehingga mereka tidak menderhakai perintahnya.

  1. Nabi Sulaiman a.s berdoa kepada Allah s.w.t dengan penuh rendah diri:
    {Katanya: \” Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya \”.} (Saad 38:35)

{Lalu Allah kabulkan pdoanya itu dengan menjawab:
{Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendaK ditujunya;} (Saad 38:36)

{Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing).} (Saad 38:37)

{Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu.} (Saad 38:38)

{(Serta Kami katakan kepadanya): \”Inilah pemberian Kami (kepadamu), maka berikanlah (kepada sesiapa yang engkau suka), atau tahankanlah pemberian itu; (terserahlah kepadamu) dengan tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu) \”.} (Saad 38:39)

  1. Firman Allah s.w.t juga:
    {Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Anbiyaa\’ 21:81)
    {Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk menyelam baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari itu; dan adalah Kami mengawal mereka (daripada melanggar perintahnya).} (Al-Anbiyaa\’ 21:82)
  2. Jika jin dan syaitan itu ingkar dan melawan, menyeleweng dari perintah-Nya dan memberontak dari ketaatan, Allah s.w.t. akan merasakannya pukulan dari azab yang membakarnya.
  3. Ulama\’ membincangkan apakah azab itu di dunia atau di akhirat? Ada kata di dunia terus kena, ada kata di akhirat kelak, ada kata keduanya! Yang penting jika ingkar akan diazab!

AYAT 13 – {GOLONGAN JIN ITU MEMBUAT UNTUK NABI SULAIMAN APA YANG IA KEHENDAKI DARI BANGUNAN-BANGUNAN YANG TINGGI, DAN PATUNG-PATUNG, DAN PINGGAN-PINGGAN HIDANGAN YANG BESAR SEPERTI KOLAM, SERTA PERIUK-PERIUK BESAR YANG TETAP DI ATAS TUKUNYA. (SETELAH ITU KAMI PERINTAHKAN): \”BERAMALAH KAMU WAHAI KELUARGA DAUD UNTUK BERSYUKUR!\” DAN SEMEMANGNYA SEDIKIT SEKALI DI ANTARA HAMBA-HAMBAKU YANG BERSYUKUR.} (SABA\’ 34:13)

  1. Apakah pekerjaan jin itu pula? Para jin itu sentiasa bekerja keras untuk Sulaiman a.s. Mereka membuat apa saja yang Beliau kehendaki. Di antaranya membina bangunan-bangunan yang tinggi (مَحَارِيبَ) samada masjid atau istana.
  2. Mereka juga membuat patung-patung (تَمَاثِيلَ) yang dibuat dari tembaga, tanah liat atau kaca. Patung ini boleh jadi bentuk manusia, haiwan pokok atau apa saja ini kerana dalam Syari\’at Nabi Sulaiman a.s kettika itu membuat patung tidak haram.
    Tetapi ingat: Adapun dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w. hal itu diharamkan dengan tegas kerana ia membawa kepada kesyirikan. Jangan kita pandai-pandai kata nak ikut syariat nabi Sulaiman a.s pula!
  3. Para jin membina untuk Sulaiman a.s. pinggan-pinggan hidangan (وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ) yang besarnya seperti kolam tempat penampungan air untuk makan. Ikut permintaan dan keperluan nabi Sulaiman a.s.
  4. Mereka juga membina periuk-periuk yang sangat besar (وَقُدُورٍ رَاسِيَاتٍ), yang terletak tetap di atas tungkunya dan tidak dipindah-pindahkan kerana sangat berat dan besar kerana itu kata ulama\’ ia tidak diangkat turun dari tungkunya atau dipindahkan. Atau kerana berterusan memasak tidak sempat berhenti.
  5. Selepas menyebut segala nikmat yang dianugerahkan kepada nabi Sulaiman a.s ini Allah s.w.t berfirman memerintahkan: (Setelah itu Kami perintahkan): \”Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!\”}
  6. Nabi Sulaiman a.s adalah seorang yang tawadhuk- doanya lagi: {Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh\”.} (An-Naml 27:19)
  7. Kenapa Allah s.w.t memerintahkan keluarga Daud dan Sulaiman a.s ini bersyukur? Ini kerana: {Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.}
    Tidak ramai sekali orang yang bersyukur. Syukur itu juga maksudnya beribadat mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

AYAT 14 – {SETELAH KAMI TETAPKAN BERLAKUNYA KEMATIAN NABI SULAIMAN, TIDAK ADA YANG MENUNJUKKAN KEPADA MEREKA TENTANG KEMATIANNYA MELAINKAN SEMUT PUTIH (ANAI-ANAI) YANG TELAH MEMAKAN TONGKATNYA. MAKA APABILA IA TUMBANG, TERNYATALAH KEPADA GOLONGAN JIN ITU, BAHAWA KALAULAH MEREKA SEDIA, MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB NESCAYA MEREKA TIDAK TINGGAL SEDEMIKIAN LAMANYA DI DALAM AZAB (KERJA BERAT) YANG MENGHINA.} (SABA\’ 34:14)

  1. Tiada orang yang akan selamat dari kematian! Allah s.w.t. telah menetapkan bahawa Sulaiman a.s. juga akan wafat bila tiba waktunya.
  2. Dikatakan bahawa Sulaiman a.s. wafat dalam keadaan berdiri tegak sambil bertopang pada tongkatnya. Tetapi Allah s.w.t. menyembunyikan kematian Sulaiman a.s. terhadap makhluk jin.
  3. Jin terus bekerja keras di hadapan Sulaiman a.s. seperti biasa sambil memandang ke arahnya dengan sangkaan bahawa dia masih hidup dan mereka merasa takut kepadanya. Diceritakan Sulaiman a.s. dalam keadaan begitu selama lebih kurang satu tahun, tetapi tempoh sebenar yang sahih tidak diketahui.
  4. Allah s.w.t. mengirimkan anai-anai masuk dan memakan bahagian dalam tongkat Sulaiman a.s. Maka hancurlah tongkat itu dan tidak mampu lagi menampung tubuh Sulaiman a.s. Akhirnya jasad Sulaiman a.s. jatuh ke tanah. Pada ketika itu barulah disedari bahawa dia telah wafat. Ketika jin melihat peristiwa itu, maka mereka segera bersurai dan pergi.
  5. Terbuktilah bahawa sebenarnya makhluk jin itu tidak mengetahui yang ghaib. Seandainya mereka mengetahui yang ghaib, tentulah tidak tersembunyi bagi mereka tentang wafatnya Sulaiman a.s., dan mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam pekerjaan yang berat untuk kepentingan Sulaiman a.s.
  6. Maka buanglah kepercayaan kita kepada bomoh-bomoh yang menggunakan perantaraan jin, walaupun mungkin sekali-sekali mereka benar dalam ramalan dan tilikan mereka, itu untuk membuatkan orang percaya. Itu maklumat yang mereka curi dari langit dulu, tetapi tidak lengkap. Jika kita percaya adalah satu dosa besar yang akan membawa kepada syirik.
  7. Sabda nabi SAW lagi: \”Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam – [HR Muslim].
  8. Ulama bersepakat bahawa mepelajari sihir, mengajar serta mempraktikannya adalah haram. Hatta berjumpa bomoh untuk mengubati sihir pun hukumnya adalah haram. Kenapa haram? Sebabnya perbuatan tersebut membawa kepada pergantungan kepada selain Allah iaitu jin syaitan yang membawa kepada syirik kepada Allah! Nauzubillah!
  9. Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud bahawa jin atau syaitan itu bercakap benar sekali saja kemudian ia akan tipu 100 sekali lagi.
  10. Tamatlah kisah nabi Sulaiman a.s dalam episod ini, yang tidak sama dengan apa yang kita dengar dalam siri lain yang sebelumnya. Kerana itu al-Quran ini kita kena baca dan fahami keseluruhnya, bukan mengulang sebahagian tertentunya sahaja.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 12 – {Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya..} – dalil bahawa jin itu wujud. Bahkan dalam al-Quran ada surah khas dinamakan sempena namanya iaitu surah al-Jin. Banyak juga hadis Rasulullah s.a.w yang menyebut tentangnya. Ia adalah makhluk yang kita manusia biasa tidak nampak kecuali orang tertentu yang diberi kelebihan seperti nabi Sulaiman a.s. juga nabi kita Rasulullah s.a.w. Mereka pula nampak dan dapat melihat kita manusia. Ini menggambarkan bahawa kehidupan jin di alam ghaib adalah benar seperti yang diceritakan di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:
    إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ
    Maksudnya: {Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.} (Sural al-A\’raf: 27)
  2. Ayat 12 – {Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka.}- kata ulama\’ ini menunjukkan jin itu juga ada taklif (tanggung-jawab) dalam agama, sama juga seperti kita manusia. kerana itu jika ingkar mereka akan diazab samada di dunia atau di akhirat. Firman Allah s.w.t:
    {Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.} (Az-Zaariyaat 51:56)
  3. Ayat 13 – {Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman ……dan patung-patung,} – ulama\’ kata boleh jadi mereka buat patung itu maksudnya bentuk benda yang tidak bernyawa, seperti pokok atau bangunan. Ataupun jika mereka buat patung sungguhpun itu kerana dalam Syari\’ah mereka pada masa itu ia bukan yang dilarang. TETAPI dalam Syariah kita ia adalah dilarang, kerana patung ini adalah punca syirik seperti dalam kisah kaum Nuh a.s. Begitu juga dalam zaman kita ini seperti replika-replika yang dibuat, mula-mula sekadar gambar kemudian mungkin digosok, dihormati dan seterusnya yang kita takuti. Kerana itulah ia mesti disekat dari awal lagi!!!
  4. Ayat 13 – {Dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya.}- menunjukkan pemurahnya Nabi Sulaiman a.s, periuknya tidak sempat turun dari dapur, asyik memasak je untuk menjamu. Kitapun rebutlah peluang jika ada untuk menjamu orang samada dengan wang, tenaga atau bantuan lain.
  5. Ayat 13 – {(Setelah itu Kami perintahkan): \”Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!\”} – nabi Daud ini ketua atau bapa kepada satu kabilah khas dalam bani Israil. Satu cabang kabilah dari bani Israil yang dinamakan – Aal (keluarga) Daud.
  6. Ayat 13 – {Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.}- maksudnya yang banyak bersyukur (الشَّكُورُ) yang betul-betul bersyukur kepada Allah s.w.t dengan ibadat kepada Allah s.w.t itu tidak ramai. Bukan disebut yang bersyukur (الشاكر) kerana boleh jadi ada ramai tetapi yang hanya bersyukur dengan lidah sahaja.
  7. Ayat 13 – {(Setelah itu Kami perintahkan): \”Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!\”} – ayat ini menjadi isyarat agak kita jangan tenggelam dengan kesibukan dunia sahaja, dunia kita ambil tetapi jangan kejar. Serta semua dunia yang kita dapat itu digunakan untuk hasil pulangan di akhirat kelak. Jadi wajib kita buat amal soleh sebagai ibadat dan tanda bersyukur.
  8. Ayat 13 – {(Setelah itu Kami perintahkan): \”Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!\”} – dalil bahawa syukur itu ada 3 kategori: ada syukur dengan lidah, tangan dan hati, mudah-mudahan kira dapat bersyukur dengan ketiga-tiganya. Sebagaimana Rasulullah s.a.w yang solat sehingga bengkak kakinya, sebagai tanda bersyukurnya Baginda s.a.w! [HR Bukhari & Muslim].
  9. Ayat 14 – {Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya.} – apabila Allah s.w.t telah membuat ketetapan tentang sesuatu perkara yang walaupun nampak kecil dan lekeh tetapi ia membawa kesan yang besar, seperti anai-anai ini. Contoh lain seperti gagak yang mengajar cara menanam mayat kepada Qabil yang membunuh saudaranya Habil. Maka jangan kita rasa diri hebat dan besar, lalu hina dan memperlekeh orang yang kita rasa kecil dan tidak hebat.
  10. Ayat 14 – {Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.}- ayat ini membatalkan kepercayaan bahawa jin dan syaitan itu mengetahui benda ghaib. Hanya Allah s.w.t sahaja yang mengetahui benda ghaib ini! Hadis Rasulullah s.a.w banyak menyebut tentang ini:

i- Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: \”Sesiapa yang mendatangi tukang ramal (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.\” [HR Muslim (5957)].

ii- Sabda Nabi S.A.W:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya: \”Sesiapa yang mendatangi dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W.\” [HR Ahmad (9171)].

Semoga Allah selamatkan kita dari terjebak dengan perbuatan syirik atau pengaruh jin.

Powered by BetterDocs