SURAH SABA\’ : AYAT 15-19

\"\"

KISAH NEGERI SABA\’ YANG SUBUR, BANJIR AL-\’ARAM MEMBINASAKANNYA & TINGGINYA NILAI SABAR DAN SYUKUR.

Full video : https://youtu.be/qljTCFGW_wc

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini dari ayat ke-15, bermulalah kisah Kerajaan Saba\’ dalam surah Saba\’.
  2. Setelah Allah s.w.t menyatakan dalam siri yang lepas kisah tentang sebahagian orang yang bersyukur atas nikmat-nikmat-Nya, antara contohnya iaitu dua orang Nabi dan Raja a.s (2 beranak) yang amat bersyukur dan kuat ibadatnya kepada Allah s.w.t.
    Maka di hari ini bawa pula kisah tentang orang kafir yang kufur terhadap nikmat Allah dengan dibawa cerita tentang ahli Saba\’.
  3. Saba\’ ini adalah satu nama kabilah yang terkenal di Yaman, yang dinamakan sempena nama datuk mereka iaitu Saba\’. Negeri mereka dipanggil Ma\’arib sebuah tempat yang jauhnya tiga marhalah dari kota San\’a, di Yaman.
    Ratu Balqis @ Bilqis adalah salah seorang dari kalangan pemimpin mereka.
  4. Kenapa selepas kisah Nabi Sulaiman a.s dibawa cerita Saba\’ sedangkan jarak keduanya jauh, kerajaan Sulaiman a.s di Palestin (Syam) sedangkan Saba\’ di Yaman (hujung semenanjung Tanah Arab).
  5. Ini kerana kesinambungang kisah kerajaan mereka yang ada hubungan antara Sulaiman a.s dengan Ratu Bilqis/Balqis dengan sebab burung hudhud. Juga untuk menunjukkan perbezaan dua kerajaan yang besar; tetapi satu yang beriman dan satu yang kufur.
  6. Cerita yang dibawa ini juga untuk iktibar puak Quraisy agar jangan sombong. Ini mereka kenal dan tahu tentang tamadaun kerajaan Saba\’ yang besar dan canggih dulu. Tetapi telah hancur binasa segalanya kerana kesombongan dan kekufuran mereka.

AYAT 15 – {DEMI SESUNGGUHNYA, ADALAH BAGI PENDUDUK NEGERI SABA\’, SATU TANDA (YANG MEMBUKTIKAN KEMURAHAN ALLAH) YANG TERDAPAT DI TEMPAT TINGGAL MEREKA, IAITU: DUA KUMPULAN KEBUN (YANG LUAS LAGI SUBUR), YANG TERLETAK DI SEBELAH KANAN DAN DI SEBELAH KIRI (KAMPUNG MEREKA). (LALU DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”MAKANLAH DARI REZEKI PEMBERIAN TUHAN KAMU DAN BERSYUKURLAH KEPADANYA; (NEGERI KAMU INI ADALAH) NEGERI YANG BAIK (AMAN DAN MAKMUR), DAN (TUHAN KAMU ADALAH) TUHAN YANG MAHA PENGAMPUN!} (SABA\’ 34:15)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyebut tentang kisah Kerajaan Saba\’ yang terletak di Yaman Tua, kisahnya telah ada dulu dalam surah an-Namli, tentang Ratu Balqis dan dakwah nabi Sulaiman a.s kepadanya.
  2. Allah berkata bahawa terdapat tanda kekuasaan Allah s.w.t yang sangat besar yang Dia anugerahkan kepada penduduk Saba\’, yang jika dilihat akan nampak jelas.
  3. Ulama\’ membincangkan apa pula makna آيَةٌ yakni tanda ini.
    Sheikh Syanqiti berkta juka disebut dalam al-Quran ia membawa dua maksud:
    i- yang berlaku kepada alam ini – tanda kepada kekuasan Allah s.w.t. Tanda yang boleh dilihat seperti kejadian alam dan kebinasaan kaum dahulu.
    ii- ayat al-Quran yang menjadi mukijizat kepada Nabi s.a.w. Tanda itu adalah ayat-ayat yang boleh dibaca.
  4. Imam al-Mawardi berkata maksud آيَةٌ tanda dalam ayat ini ialah:
    i- tiada serangga dan binatang yang menyakiti di Saba\’ seperti nyamuk, kutu, kala jengking dan seumpamanya. Ini kerana udaranya yang amat segat dan bersih.
    ii- Kebun yang subur di dalam negeri, yakni apabila seorang perempuan berjalan dengan menjunjung bakul di atas kepalanya melalui kebun-kebun itu, akan penuh dengan buah yang masak tanpa perlu dipetiknya.
    iii- dalam kisah mereka itu sendiri ada tanda kuasa Allah s.w.t, dari negara yang subur dan makmur kepada negara yang rosak binasa, dengan kuasa Allah s.w.t.
  5. Allah s.w.t ceritakan terdapat dua kebun yang subur mengapit negeri mereka itu di kiri-kanan. Lalu mereka diperintahkan untuk makan dan menikmati rezeki yang diberikan kemudian hendaklah bersyukur kepada Allah s.w.t.
  6. Negeri mereka amat subur tanahnya, udaranya segar, tiada binatang berbisa dan yang menyakiti penduduknya, Allah s.w.t berfirman tentang mereka lagi – بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ negeri yang baik, aman dan makmur, dan Tuhan kamu adalahTuhan yang Maha Pengampun!

AYAT 16 – {MAKA MEREKA BERPALING INGKAR, LALU KAMI HANTARKAN KEPADA MEREKA BANJIR YANG MEMBINASAKAN, DAN KAMI GANTIKAN DUA KUMPULAN KEBUN MEREKA (YANG SUBUR) ITU DENGAN DUA KUMPULAN KEBUN YANG BERISI DENGAN POHON-POHON YANG PAHIT BUAHNYA, DAN POHON-POHON YANG JARANG BERBUAH, SERTA SEDIKIT POHON-POHON BIDARA.} (SABA\’ 34:16)

  1. Tetapi malangnya walaupun dengan nikmat yang begitu indah dan banyak, mereka tidak menerima tawaran untuk beriman bahkan mereka berpaling ingkar.
  2. Lalu Allah s.w.t hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, air merah yang meruntuhkan empangan besar mereka dan meranapkan segala kebun yang subur dan makmur itu.
  3. Allah s.w.t. gantikan kedua kebun mereka dengan dua kebun yang yang tidak ada manfaatnya, pohon-pohon yang pahit buah-buahnya, pokok yang jarang berbuah dan rerumput yang berduri. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apakah jenisnya.
  4. Juga ditumbuhkan sedikit pokok Sidr (sejenis pohon bidara). Itulah pohon-pohon pengganti yang terbaik untuk mereka. Semuanya berduri dan sedikit buahnya.

AYAT 17 – {DEMIKIANLAH KAMI MEMBALAS MEREKA DISEBABKAN KEKUFURAN MEREKA; DAN SEBENARNYA KAMI TIDAK MENIMPAKAN BALASAN YANG DEMIKIAN MELAINKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG AMAT KUFUR.} (SABA\’ 34:17)

  1. Demikianlah Allah s.w.t. memberi balasan kepada mereka dengan sebab mereka kufur, (كَفَرُوا) mempersekutukan Allah serta tidak mensyukuri nikmat-Nya.
  2. Balasan dahsyat ini Allah s.w.t tidak berikan kecuali kepada mereka yang amat kufur, (الْكَفُورَ) bukan setakat tidak beriman mempersekutukan Allah serta amat menentang dan mendustakan apa yang dibawa oleh rasul-Nya.

AYAT 18 – {DAN – DI ANTARA TEMPAT TINGGAL MEREKA (DI NEGERI YAMAN) DENGAN BANDAR-BANDAR (DI DAERAH NEGERI SYAM) YANG KAMI LIMPAHKAN BERKAT KEPADANYA (DENGAN KEMAKMURAN), – KAMI ADAKAN BEBERAPA BUAH BANDAR YANG JELAS KELIHATAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG MELALUI JALAN ITU), DAN KAMI TENTUKAN JARAK PERJALANAN DI ANTARANYA (SEKADAR YANG DAPAT DIJADIKAN TEMPAT-TEMPAT PERSINGGAHAN), (SERTA DIKATAKAN KEPADA MEREKA): \”BERJALANLAH KAMU DI BANDAR-BANDAR ITU PADA BILA-BILA MASA YANG KAMU SUKA, MALAM DAN SIANG, DALAM KEADAAN YANG AMAN\”.} (SABA\’ 34:18)

  1. Sekarang dalam ayat ini diceritakan pula tentang satu tempat, negeri yang terletak di antara di negeri Yaman dengan bandar-bandar di daerah negeri Syam, satu mercu tanda seolah tempat rehat di antara keduanya, bandar yang jelas kelihatan, dikenali serta menjadi tempat persinggahan khas bagi mereka yang bermusafir dari Yaman ke Syam dan sebaliknya. Seolah satu R & R yang besar, lengkap dengan segala kemudahan yang selesa.
  2. Dikatakan kepada ahli Saba\’; Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman, tanpa perlu takut kepada gangguan perompak atau seumpamanya.
  3. Yakni ini satu lagi nikmat yang amat besar Allah s.w.t anugerahkan kepada mereka. Tempat persinggahan yang selesa dan aman untuk kafilah perdagangan mereka berhenti rehat dalam musafir.

AYAT 19 – {(MAKA KEMAKMURAN DAN KEMUDAHAN ITU MENJADIKAN MEREKA SOMBONG DAN KUFUR) LALU BERKATA: \”WAHAI TUHAN KAMI, JAUHKANLAH JARAK PERJALANAN KAMI (DI ANTARA SEBUAH BANDAR DENGAN YANG LAIN)\”, DAN MEREKA BERLAKU ZALIM KEPADA DIRI MEREKA SENDIRI; LALU KAMI JADIKAN (KISAH PERBUATAN DERHAKA) MEREKA: BUAH MULUT ORANG RAMAI, SERTA KAMI PECAH BELAHKAN MEREKA BERKECAI-KECAI. SESUNGGUHNYA KISAH MEREKA YANG TERSEBUT MENGANDUNGI TANDA-TANDA (YANG BESAR PENGAJARANNYA BAGI TIAP-TIAP SEORANG (MUKMIN) YANG SENTIASA BERSIKAP SABAR, LAGI SENTIASA BERSYUKUR.} (SABA\’ 34:19)

  1. Tetapi malangnya apabila datang kepada mereka rasul menyeru untuk beriman dan bersyukur atas segala nikmat yang banyak dan begitu besar itu, mereka bosan dan enggan menerimannya!
  2. Bahkan mereka menjawab dengan sombong dan angkuhnya meminta agar kota-kota yang berdekatan itu tadi dihapuskan dan dijadikan padang sahara yang tandus dan daerah-daerah yang tidak berpenghuni. Maka jarak perjalanan mereka menjadi panjang, di bawah terik matahari dan di tempat-tempat yang menakutkan.
  3. Ulama\’ kata ini mungkin kerana sudah jemu dengan segala nikmat yang diberikan itu, apa yang penting ialah mereka sombong angkuh dan tidak mahu beriman!
  4. Kata Ibnu Asyur rhm.: Yang jelasnya jawapan angkuh mereka itu ialah untuk rasul-rasul yang datang berdakwah kepada mereka, kerana mereka tidak mahu menerimanya dan mendustakannya.
    Ini serupa dengan apa yang dikatakan oleh kaum Quraisy kepada Rasulullah s.a.w dalam firman Allah s.w.t ini:
    {Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: \”Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya\”.} (Al-Anfaal 8:32)
  5. Bererti mereka menzalimi diri mereka sendiri disebabkan kekafiran mereka. Mereka mengubah syukur kepada kufur kepada Allah dan kepada nikmatNya. Mereka menjadi bongkak kerana nikmat tersebut.
  6. Maka nikmat yang mereka dapati diubah kepada hukuman. Kerana itu Allah s.w.t. menghukum mereka dengan mengirimkan banjir besar yang merobohkan empangan mereka dan membinasakan kebun-kebun mereka.
  7. Allah s.w.t. jadikan mereka bahan pembicaraan dan contoh. Kaum lain dan generasi setelah mereka sering menyebut-nyebut dan menceritakan bagaimana Allah menimpakan azabNya kepada mereka. Sisa peninggalannya dapat disaksikan, terutamanya oleh orang Arab Quraisy.
  8. Kisah mereka ini menjadi tanda-tanda yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang mukmin yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 15 – {Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba\’, satu tanda} – ayat ini menjadi dalil bahawa maksiat itu akan menghilangkan nikmat! Iktibar bagi orang yang beriman, ingat maksiat akan menjadi punca hilang nikmat di samada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Walaupun pada zahirnya mereka yang kafir atau ahli maksiat nampak senang dan gembira sekarang ini.
    Kata ulama\’ tiadalah hilang nikmat yang lebih besar selain dari nikmat beribadat kepada Allah.
  2. Ayat 16 – {Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan} – bila mereka sombong dan ingkari Nabi barulah datang bala dan banjir besar itu! dalil juga bahawa orang yang ingkar nikmat dan tidak mensyukurinya akan ditimpa bala, yakni bertukar keadaan dari kedudukan baik kepada sebaliknya.
  3. Ayat 16 – { dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya}- menunjukkan bahawa dunia ini akan sentiasa berubah, hari ini di atas esok mungkin di bawah.
    Serta Allah melakukan apa yang kehendaki tetapi bersebab, Allah s.w.t itu Maha Adil dan tidak menzalimi hamba-hamba-Nya. Manusia sendiri yang menzalimi dirinya maka ketika itulah datangnya bala!
  4. Ayat 18 – {Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)\”, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri;}- ayat ini menunjukkan bahawa perjalanan dan lebuhraya yang aman itu adalah satu nikmat yang besar. Menyediakan kemudahan, keselesaan, keperluan dalam perjalanan manusia mencari rezeki ini adalah termasuk nikmat yang Allah s.w.t anugerahkan kepada mana-mana negeri!
    Maka menjadi kewajipan kepada pemerintah untuk menyediakan prasarana yang baik dalam segala aspek untuk kegunaan dan kemudahan rakyat, inilah tanda ciri-ciri yang baik dalam sebuh negara.
    Kata seorang pendakwah; Jika kamu melihat satu negara itu sumber alam dan rezekinya seperti minyak dan galian banyak, tetapi keadaan negaranya mundur dan tidak maju, rakyatnya tetap miskin, maka kamu tahulah di situ ada pencuri! Yakni pemerintanyna yang mengaut segala kekayaan negara!
  5. Ayat 19 – {(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: \”Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)\”, – dengan nikmat keamanan dan pembangunan yang begitu besar ini mereka menjadi jemu dan bosan, begitulah manusia itu mudah jemu dengan sesuatu walaupun ianya baik. Kaum Saba\’ ini adalah satu kejemuan kerana angkuh dan sombong! Sebagaimana kaum bani Israil yang jemu dengan nikmat hidangan \”manna & salwa\” yang turun dari langit lalu meminta Nabi Musa a.s meminta makanan lain pula dari Allah s.w.t.
  6. Ayat 19 – {Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.} – Allah s.w.t gabungkan dua sifat ini, kerana inilah sifat yang perlu ada dan dikumpulkan dalam diri seorang muslim; sabar & syukur.
    Sabar ketika susah dan syukur apabila senang,

Rasulullah s.a.w. bersabda, \”Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya.\” [HR Muslim].

  1. Ayat 16 – {dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya}- hukuman atas kekufuran mereka ditukar kebun yang subur kepada kebun yang tandus dan tidak berbuah, yakni balasan azab adalah berdasarkan amal perbuatan mereka. Mereka sombong dan angkuh maka Allah s.w.t tarik balik nikmat kebun. Seperti Qarun dan Firaun, semuanya mendapat balasan yang setimpal dengan jenayah mereka, tenggelam dalam bumi dan dalam air.
  2. Ayat 18 – {Dan – di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran),}- ini adalah tentang satu tempat di luar Kota Saba\’, manakala ayat 15-17 sebelumnya adalah tentang kota Saba\’ itu sendiri. Ia adalah tempat persinggahan mereka dalam musafir yang Allah berikan dan jaga keamanannya untuk mereka.
  3. Ayat 18 – {Pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman\”.}- kenapa Allah s.w.t biasanya menyebut malam dulu sebelum siang? Kerana orang Arab biasanya menggunakan malam untuk sampai kepada siang. Hatta kiraan kalendar Lunar dan waktu dalam Islam juga bermula dari malam iaitu selepas tenggelam matahari. Semua ibadat seperti puasa juga bermula dari waktu malam kecuali waktu Arafah bermula siang iaitu dengan masuknya waktu zohor. Sebagaimana Firman Allah s.w.t yang lain:
    {Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang.} (Al-Haaqqah 69:7)
  4. Ayat 19 – {dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai.} – kezaliman yang paling besar ialah syirik kepada Allah s.w.t.
    Kata ulama\’:
    Orang yang baik ialah dia mengambil pengajaran iktibar dari kisah orang lain yang berlaku, manakala orang yang jahat dan celaka itu akan menjadi bahan iktibar kepada orang lain.

Mudah-mudahan kita menjadi orang yang mengambil iktibar pengajaran dari apa yang berlaku kepada orang lain, insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs