SURAH SABA\’ : AYAT 20-23

\"\"

BENAR SANGKAAN IBLIS BOLEH MENYESATKAN MANUSIA, KUMPULAN SYIRIK TIDAK ADA KUASA & GOLONGAN YANG DIBENARKAN MEMBERI SYAFAAT.

Full video : https://youtu.be/BFh8fRHyAJ8

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini, adalah tentang sangkaan iblis bahawa dia telah berjaya menyesatkan bani Adam. Walaupun dia tidak dapat menyesatkan semua manusia, tetapi dapat sebahagian pun itu sudah satu kejayaan baginya.
  2. Juga tentang rapuhnya kepercayaan orang kafir yang melakukan syirik kepada Allah s.w.t.
  3. Juga ditegaskan bahawa tiada yang dapat memberi syafaat pertolongan kepada orang lain kecuali dengan izin Allah s.w.t.
  4. Kesinambungan ayat ialah setelah menceritakan perihal negeri Saba\’ dan akibat yang mereka terima kerana mengikuti hawa nafsu dan syaitan, lalu Allah s.w.t. berfirman menceritakan perihal orang-orang yang serupa dengan mereka, iaitu orang-orang yang mengikuti iblis dan hawa nafsu, menentang kebenaran dan jalan petunjuk.

AYAT 20 – {DAN SESUNGGUHNYA IBLIS TELAH DAPATI SANGKAANNYA TEPAT TERHADAP MEREKA, IAITU MEREKA MENURUTNYA, KECUALI SEBAHAGIAN DARI ORANG-ORANG YANG BERIMAN (YANG TIDAK TERPEDAYA KEPADA HASUTANNYA).} (SABA\’ 34: 20)

  1. Munasabah ayat, setelah Allah sebut kepada kita tentang kisah Saba\’, yang binasa kerana ikut hawa nafsu syaitan, maka dalam ayat ini diceritakan tentang sangkaan syaitan bahawa dia telah berjaya menjadikan manusia terperangkap dengan hasutan syaitan.
  2. Sesungguhnya iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap manusia, bahawa mereka akan mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman. Maka mereka tidak terpedaya kepada hasutannya tidak akan mengikutinya.
    Semoga kita termasuk dalam golongan yang mantap iman teguh pendirian dan selamat dari hasutan syaitan.
  3. Ulama\’ membincangkan apakah maksud sangkaannya tepat وَلَقَدْ صَدَّقَ عَلَيْهِمْ:
    i- ada yang kata untuk ahli Saba\’ yang telah terpedaya dengan hawa nafsu dan syaitan lalu mereka binasa.
    ii- ada ulama\’ kata untuk manusia seluruhnya yang telah terpedaya dengan syaitan, termasuk ahli Saba\’, kecuali beberapa golongan yang selamat.
    *Ini kerana setiap manusia itu pasti akan terperangkap dengan tipu-daya syaitan sedikit atau banyak.
  4. Permainan syaitan ia tidak akan masuk melalui lorong \”no entry\”, tetapi ia akan masuk melalui jalan yang sesuai, ia ada strategi yang khas untuk meyesatkan manusia. Kita pun kena ada sentiasa berhati-hati, jaga diri dan iman dari kelicikan syaitan ini. Kena strategi untuk selamat dari ia, semoga Allah s.w.t melindunngi kita semua dari kejahatan syaitan!
  5. Apakah pula perancangan/sangkaan iblis untuk merosakkan kita ini? Allah s.w.t telah berfirman:
    i- {Ia berkata lagi: \”Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya)\”.} (Al-Israa\’ 17:62)

ii- {Iblis berkata: \”Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;} (Al-A\’raaf 7:16)
{\”Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur\”.} (Al-A\’raaf 7:17)

  1. Tetapi alhamdulillah, walaupun syaitan menang tetapi firman Allah ini: {kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).}- menunjukkan masih ada orang yang berjaya ikhlas beriman, menjaga diri dan akidah mereka, semoga kita termasuk dalam golongan ini.
  2. Kita tidak boleh rasa selamat dari ganguan syaitan dengan hanya mengaku beriman.
    Ulama\’ kata rosaknya akidah manusia ini melalui 3 perkara; iktikad kepercayaannya, perbuatannya dan percakapannya.
    Syaitan akan masukkan jarum halusnya melalui jalan-jalan inilah, yang kita tak nampak dan tak perasan.
    Hati-hati jangan tersalah percaya kepada amalan dan kepercayaan yang boleh memesongkakan akidah, meletakkan pergantungan selain daripada Allah.
  3. Syaitan itu tidak putus asa, tidak letih, berstrategi dan tiada cuti.
    Maka untuk menghadapi musuh yang begitu licik ini, kita kena kuat juga strategi dan pertahanan diri. Sebagai usaha boleh baca kitab yang dicadangkan untuk menjadi rujukan: Kitab Mastika Hadis J1- Bab Kewajipan Menjaga Iman/Akidah.
    Kitab keluaran oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) JAKIM sekarang.
  4. Oleh kerana itu, mereka yang kufur kepada Allah termasuk orang-orang yang membenarkan sangkaan iblis, terbawa oleh godaan dan rayuannya.

AYAT 21- {DAN SEMEMANGNYA TIADALAH BAGI IBLIS SEBARANG KUASA UNTUK MENYESATKAN MEREKA, MELAINKAN UNTUK MENJADI UJIAN BAGI MELAHIRKAN PENGETAHUAN KAMI TENTANG SIAPAKAH YANG BENAR-BENAR BERIMAN KEPADA HARI AKHIRAT DAN SIAPA PULA YANG RAGU-RAGU TERHADAPNYA. DAN (INGATLAH) TUHANMU SENTIASA MENGAWAL SERTA MENGAWASI TIAP-TIAP SESUATU.} (SABA\’ 34:21)

  1. Setelah Allah s.w.t ceritakan tentang sangkaan iblis yang nampak macam dia berjaya menggoda anak Adam, Allah menafikannya, hanya sedikit yang ikut iblis, ramai lagi manusia yang beriman kepada Allah s.w.t dan ikut Syariah.
  2. Tidak ada bagi iblis sebarang kuasa untuk menyesatkan manusia kecuali satu ujian yang diberi untuk Allah nak serlah dan zahirkan; siapa yang lemah, terpengaruh dengan iblis dan siapa yang mantap akidahnya lalu selamat.
  3. Firman Allah s.w.t:
    i- {\”Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).} (Al-Hijr 15:42).

ii- {Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.}
(Al-Nahl 16:99)

iii- {Sesungguhnya pengaruh Syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.} (Al-Nahl 16:100)

  1. Yakni syaitan dan iblis itu sebenarnya bukan kuat atau berkuasa tetapi kerana manusia itu lemah pergantungan dan imannya maka mereka terpedaya dengan waswas hasutan syaitan.
  2. Allah s.w.t tutup ayat ini dengan mengingatkan manusia bahawa setiap sesuatu itu Allah s.w.t yang kawal dan jaga, orang beriman di bawah jagaan Allah, ahli maksiat itu pula di bawah pengawasan Allah, dan Dia akan membalas semuanya mengikut perbuatan masing-masing.

AYAT 22 -{KATAKANLAH (WAHAI MUHAMMAD KEPADA KAUM MUSYRIK): \”SERUKANLAH MAKHLUK-MAKHLUK YANG KAMU DAKWAKAN SEBAGAI TUHAN SELAIN DARI ALLAH; MEREKA TIDAK MEMILIKI KUASA SEBERAT DEBU PUN DI LANGIT DAN DI BUMI, DAN MEREKA TIADA SEBARANG BAHAGIAN PERKONGSIAN (DENGAN ALLAH) DALAM (MENCIPTA DAN MENTADBIRKAN) LANGIT DAN BUMI, DAN ALLAH PULA TIDAK MENDAPAT SEBARANG PERTOLONGAN DARI MEREKA\”.} (SABA\’ 34:22)

  1. Allah s.w.t memerintahkan kepada Rasulullah s.a.w untuk berkata kepada kaum musyrikin yang menyekutukan Allah, supaya menyeru sekutu-sekutu yang mereka anggap sebagai tuhan dan sembah selain Allah agar memberi manfaat kepada mereka.
  2. Sedangkan terbukti semua sekutu-sekutu itu lemah, tidak memiliki kekuasaan, tidak dapat memberi manfaat, tidak dapat menimpakan bahaya dan tidak mampu mengabulkan permintaan dan doa.
  3. Sekutu-sekutu itu tidak memiliki apa-apa kuasa dan milikpun samada di langit dan di bumi walaupun seberat zarrah, atom yang paling kecil. Mereka juga sama sekali tidak mempunyai peranan atau suatu saham pun dalam penciptaan langit dan bumi.
  4. Kita telah diperingatkan akan apa yang terjadi kepada kaum terdahulu untuk diambil iktibar pengajaran sebagaimana kisah Saba\’ untuk kaum Quraisy dan kita juga. Oleh sebab mereka kufir tidak beriman kepada Allah s.a.w maka mereka binasa.
  5. Ayat ini menerangkan bahawa tujuan asal para rasul itu diutus adalah untuk membina akidah yang mantap, menyembah dan tauhid kepada Allah s.w.t yang Esa semata.
  6. Malanglah nasib jika masih percaya kepada benda pelik dan khurafat, sanggup memutar-belit dan takwil hadis untuk membela mereka yang cenderung ke arah itu.
  7. Ayat ini sehingga ayat ke 27 adalah perbincangan tentang keburukan syirik! Mantapkan aqidah kita kepada Allah s.w.t serta ikut sunnah Nabi s.a.w.

AYAT 23 – {DAN TIDAK BERFAEDAH SYAFAAT DI SISI ALLAH KECUALI BAGI ORANG YANG TELAH DIIZINKAN ALLAH, (MAKA ORANG-ORANG YANG HENDAK MEMOHON SYAFAAT TERPAKSA MENUNGGU IZIN ITU DENGAN PENUH PERASAAN TAKUT DAN BIMBANG) SEHINGGA APABILA DIHAPUSKAN ALLAH PERASAAN TAKUT DARI HATI MEREKA (DENGAN PEMBERIAN IZIN ITU) BERSUKARIALAH MEREKA DENGAN BERTANYA-TANYAAN SESAMA SENDIRI: \”APAKAH YANG TELAH DITITAHKAN OLEH TUHAN KAMU?\” SEBAHAGIAN DI ANTARA MEREKA MENJAWAB: \”TUHAN TELAH MENITAHKAN KEBENARAN\”; DAN DIA LAH JUA YANG MAHA TINGGI KEADAANNYA, LAGI MAHA BESAR KEKUASAANNYA.} (SABA\’ 34:23)

  1. Tiada orang yang dapat memberi syafaat pertolongan kepada sesiapa kecuali yang diizinkah oleh Allah s.w.t.
  2. Allah s.w.t telah memberi kuasa syafaat yang tertinggi (Syafaat al-Uzhma) kepada nabi kita Muhammad, Rasulullah s.a.w untuk digunakan pada hari Kiamat nanti. Kemudian kepada sesiapa saja yang dikehendaki-Nya dari kalangan malaikat dan orang soleh.
  3. Firman Allah s.w.t tentang syafaat lagi:
    i- {(Golongan yang musyrik mengharapkan pertolongan benda-benda yang mereka sembah itu) padahal berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.} (An-Najm 53:26)

ii- {Dan Maha Tinggilah Kebesaran Tuhan yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; dan Dia lah jua yang mengetahui tentang (masa datangnya) hari kiamat; dan kepadanyalah kamu semua akan dikembalikan.} (Az-Zukhruf 43:85)

{Dan segala yang mereka sembah yang lain dari Allah, tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan syafaat pertolongan, kecuali sesiapa yang memberi penerangan mengakui kebenaran dengan mentauhidkan Allah, Tuhan Yang Sebenar-benarnya secara mereka mengetahuiNya dengan yakin (bukan dengan kata-kata orang; maka merekalah yang mungkin diizinkan memberi dan mendapat syafaat itu).} (Az-Zukhruf 43:86)

{Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: \”Siapakah yang menciptakan mereka?\” Sudah tentu mereka akan menjawab: \”Allah!\”. (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?} (Az-Zukhruf 43:87)

  1. Maka sesiapa yang tidak mendapat keizinan Allah s.w.t tidak akan sekali-kali akan dapat memberinya.
  2. Ulama\’ membincangkan apa maksud : {sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: \”Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?\”
    i- Sebahagian ulama menafsirkan bahawa ayat ini adalah berkenaan dengan para malaikat. Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w:

\”Apabila Allah s.w.t. hendak memutuskan suatu perintah atau urusan di langit, maka Dia berfirman menyampaikannya. Maka semua langit dan penduduknya mendengar firman-Nya. Para malaikat bergetar mengepak-ngepakkan sayapnya atau bergoncang kuat kerana sangat takut terhadap Kebesaran dan Keagungan-Nya. Dari sayap mereka keluar bunyi seperti rantai yang jatuh di atas batu licin. Mereka bersujud kepada Allah dan menjadi seperti orang yang pengsan.

Malaikat yang mula-mula mengangkat kepalanya adalah Jibril a.s. Lalu Allah berfirman kepadanya menyampaikan perintah atau wahyu yang dikehendaki-Nya. Lalu Jibril a.s. turun menjumpai para malaikat.

Apabila dihilangkan ketakutan yang mencekam hati para malaikat, barulah mereka dapat berbicara. Setiap kali Jibril a.s. melintasi suatu langit, maka para penduduknya bertanya, \”Apakah yang difirmankan Tuhan kalian?\”

Maka Jibril a.s. menjawab, \”Kebenaran.\” Iaitu Dia berfirman begini dan begini. Sampaikanlah firman-Nya seadanya, jangan ditambah-tambahi atau dikurang-kurangi.

Para malaikat penyangga Arasy yang ada di sisi Tuhan menyampaikan berita itu kepada para malaikat yang ada di bawah mereka, lalu disampaikan kepada para malaikat yang ada di bawahnya, dan seterusnya hingga berita itu sampai kepada para malaikat yang ada di langit dunia.

Para malaikat saling bertanya, \”Apa yang difirmankan Tuhan kalian?\” Sebahagian mereka menjawab, \”Kebenaran.\” Mereka mengucapkan seperti yang disampaikan oleh Jibril a.s. Lalu Jibril a.s. membawa wahyu itu ke tempat yang diperintahkan oleh Allah, baik di langit atau di bumi.

Namun ketika itulah ada jin atau syaitan mencuri dengar berita itu. Lalu ia menyampaikannya kepada temannya yang ada di bawahnya, lalu disampaikan kepada temannya yang ada di bawahnya, dan seterusnya hingga sampai berita itu kepada penyihir dan tukang tenung.

Ada syaitan dilempari dengan bintang menyala (meteor yang mengeluarkan sinar yang terang) sebelum ia sempat menyampaikannya kepada syaitan yang ada di bawahnya. Ada juga syaitan yang sempat menyampaikannya sebelum terkena lemparan bintang menyala itu.(Mereka duduk bertingkat-tingkat dari bumi sehingga ke atas langit).

Apa yang disampaikan oleh para jin itu pada asasnya adalah benar, tetapi mereka sentiasa mencampuradukkannya dengan tambahan-tambahan atau seratus kedustaan dari mereka sendiri.

Syaitan itu berkata, \”Bukankah telah disampaikan kepada kita bahawa hari ini akan terjadi ini dan ini,\” dan ia bersesuaian dengan kalimat yang didengar dari langit.
[HR Bukhari].

  1. Allah Maha Tinggi dengan sifat-Nya, dengan zat-Nya, berkuasa di atas seluruh makhluk-Nya, dan tinggi kedudukan-Nya kerana Dia memiliki sifat-sifat yang agung. Dia Maha Besar Maha Kuasa tiada yang dapat melawan-Nya.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 20 – {Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka,} – yakni Allah s.w.t menyatakan bahawa iblis itu adakalanya betul tetapi kebanyakannya adalah bohong!
    Jangan sekali-kali kita terpedaya dengan tipu-daya syaitan.

i- Firman Allah s.w.t: {Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.} (An-Nisaa\’ 4:120)

i- Hadis syaitan mencuri harta zakat:
Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w. untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan.
Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan.
Namun Abu Hurairah berjaya menangkapnya. \”Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah s.a.w.,\” gertak Abu Hurairah. Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, sehingga dia merayu: \”Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya ramai dan saya sangat memerlukan makanan.\”Maka pencuri itu pun dilepaskan.

Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah s.a.w. Maka bertanyalah Baginda: \”Apa yang dilakukan kepada tetamu semalam, ya Abu Hurairah?\” Dia mengeluh, \”Ya Rasulullah, dia seorang miskin, keluarganya ramai dan sangat memerlukan makanan,\” jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa ia kasihan kepada pencuri itu, lalu dilepaskannya.
\”Dia berbohong\” kata Rasulullah s.a.w.: \”Pada waktu malam nanti dia akan datang lagi.\” Begitulah malam berikutnya berulang lagi sehinggalah malam ketiga barulah Abu Hurairah tidak terpedaya dengan pencuri itu.
Selepas menangkapnya pencuri itu merayu tetapi Abu Hurairah berkata: \”Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga\”. \”Lepaskan saya,\” pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini ia tidak akan dilepaskan lagi.
Maka dengan rasa putus-asa akhirnya pencuri itu berkata: \”Lepaskan saya, saya akan mengajar tuan beberapa kalimah yang sangat berguna dan memberimu manfaat dengannya.
\”Kalimah-kalimah apakah itu?\” Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. \”Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi: Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. dan seterusnya sampai akhir ayat.
Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi.\”
Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah.
Keesokan harinya, Abu Hurairah kembali menghadap Rasulullah s.a.w. untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa malam tadi.
Apabila mendengarnya Baginda berkata, \”Sungguh dia telah berkata benar, walaupun dia sebenarnya banyak berdusta.\” Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya pula: \”Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?\” \”Entahlah.\” Jawab Abu Hurairah. \”Itulah syaitan.\” jawab Rasulullah s.a.w.\”
(HR Bukhari no. 2187)

  1. Ayat 20 – {Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).}- kata ulama\’ syaitan itu imam (pemimpin) kepada golongan yang sesat.
    Ayat ini juga dalil bahawa kebanyakan manusia ikut syaitan (majoriti).
    Orang yang beriman dapat hidayat Allah s.w.t tidak ramai.
    Maka hidayat itu amat mahal nilainya, siapa mendapatnya gigitlah dengan sekuat hati kamu, pedulikan orang lain, Rasulullah s.a.w telah tinggalkan dua perkara itu dengan jelas!
    Ramai tidak semestinya betul dan sedikit itu tidak semestinya salah.
    Begitulah Sunnatul-Hayah (ketetapan hidup) yang salah dan maksiat itu ramai peminatnya.
    Tidak semestinya ramai followers dan penonton itu benar, juga tidak semestinnya yang sedikit benar, parameter kebenaran ialah ikut Syariah Allah s.w.t dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang betul!
  2. Ayat 20 – {kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).}- iman yang mantap dan jitu itulah yang akan menjadi tembok dan pagar daripada mengikut syaitan. Jika tidak mahu ikut syaitan maka mantapkan keimanan dan pegangan akidah kita untuk selamat, ikut Rasulullah s.a.w dan para ulama\’ safus-soleh serta ulama\’ kini yang muktabar.
  3. Ayat 20- {kecuali sebahagian dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada hasutannya).}- Allah peringkan kepada orang beriman bahawa syaitan akan cuba goda menyesatkan kamu, maka berhati-hatilah dengan waswas, kenalilah jalan-jalan yang dapat dimasuki syaitan supaya dapat dielakkan. Syaitan akan masuk melalui lorong yang betul dan dibenarkan, ahli ibadat dengan caranya, mungkin dengan sum\’ah, riya\’ takabbur, serta cara beribadat dan lain-lain.
  4. Ayat 21- {Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa}- Allah kata syaitan dan iblis itu tiada kuasa sedangkan dalam firman-Nya yang lain Allah s.w.t kata syaitan ada kuasa. [An-Nahli 100]
    Seolah kontra, bagaimana kita kumpulkan antara keduanya? Tiada kontra – kerana pada peringkat awalnya ia tiada kuasa, tetapi setelah digoda dan manusia mulai lemah, akan mula masuk perangkapnya. Ertinya ia akan dapat menguasai orang yang lemah dan goyah imannya, tetapi bagi orang yang beriman dia tidak mampu untuk menguasainya.
  5. Ayat 22- {mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi,} – Allah s.w.t menafikan semua dakwaan kepercayaan dan sebarang jenis pergantungan kepada selain dari Allah.
    Ada manusia yang menyembah batu, pokok dan lainnya yang dipercayai mempunnyai kuasa.
    Jangan sekali-kali dari segi ghaib dan pergantungan hati untuk meminta perlindungan dan bantuan dari sesiapa saja selain dari Allah.
    Seperti minta izin atau laluan dari penjaga hutan penjaga laut dan seumpamanya. Sedangkan kita sudah ada doa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w apabila memasuki atau tiba di tempat baru.
    Syaitan dan jin ini asalnya lemah tetapi mereka boleh menjadi bertambah kuat dan berkuasa dengan sebab manusia mengikut, percaya dan memujanya.
  6. 6. Ayat 22 -{ mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi,} – sekali lagi dalam ayat ini Allah s.w.t menafikan kekuasaan sekutu-sekutu serta sembahan para musyrikin itu. Penegasan bahawa semua yang disembah itu lansung tiada kuasa! Hanya Allah s.w.t yang Maha Berkuasa lagi Maha Memiliki.
  7. Ayat 23 – {Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah,} – ayat ini menunjukan kuasa syafaat itu ada dengan izin dan kuasa Allah dan terhad kepada orang yang diizinkah Allah s.w.t. sahaja.
    Kuasa syafaat itu bermula dengan nabi Muhammad s.a.w, juga malaikat dan orang beriman yang soleh dengan izin Allah s.w.t. Maka mereka dapat beri perolongan kepada golongan tertentu di akhirat kelak dengan izin Allah Azza wa Jalla.
  8. Ayat 23 – { sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka} – kata ulama\’ ini menunjukkan Kalam Allah itu tidak sama dengan kalam makhluk. Apabila didengar oleh malaikat mereka diam dan amat berat, ambil perhatian dengan cemat, hatta wahyu yang turun kepada Rasulullah s.a.w amat berat.
    Jika Baginda di atas unta, unta itu duduk, jika datangnya pada musim sejuk pun Baginda s.a.w akan berpeluh.
    Pernah suatu ketika Rasulullah tertindih paha sahabat ketika wahyu turun dan sahabat itu menceritakan betapa dia berasa seolah akan tercabut nyawanya kerana terlalu berat rasanya.
    Allah s.w.t berkata kalam-Nya dengan cara yang selayak denganNya, yang penting kuat beriman dengan sifat bahawa Allah itu berkata-kata.
  9. Ayat 23 – {sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka}- kata ulama\’ ini menunjukkan bahawa malaikat itu ada hati, ada akal, ada perasaan, mereka ada jasad dan bercakap sesama mereka, bukan hanya secara maknawi tetapi secara fizikal.
    Jika mereka muncul di hadapan sahabat Rasulullah s.a.w mereka berupa seperti manusia, seperti dalam hadis Islam, Iman & ihsan.
    Malaikat itu satu makhluk yang Allah ciptakan ada akal dan perasaan, cuma mereka tiada nafsu kerana itu mereka tidak makan minum dan tidak kahwin.
    Itulah pegangan kita ahlus-Sunnah wal Jama\’ah.

Powered by BetterDocs