SURAH SABA\’ : AYAT 40-42

\"\"

GOLONGAN KAFIR DIMALUKAN HADAPAN SEMBAHAN MEREKA, ALLAH TANYA MALAIKAT YANG DISEMBAH & HARI YANG SEMUA MAKHLUK TIADA KUASA.

Full video : https://youtu.be/l-sIsq8HjEM

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan tentang puak kafir musyrik dikumpulkan di Akhirat dan dimalukan di hadapan sembahan mereka sendiri.
  2. Allah s.w.t bertanya kepada malaikat yang disembah oleh sebahagian musyrikin apakah mereka menyuruhnya? Mereka juga mendakwa malaikat sebagai anak perempuan tuhan.
  3. Malaikat menafikan sekerasnya seraya mensucikan Allah s.w.t dari sebarang sekutu serta menyatakan mereka itu sebenarnya menyembah jin dan syaitan.
  4. Dalam siri yang lepas Allah s.w.t ceritakan bahawa keadaan yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w samalah seperti keadaan rasul-rasul yang terdahulu.
    Yang ditentang, diancam, dihina dan diperli oleh umat mereka.
    Umat mereka juga seperti Rasulullah s.a.w ada yang terima dakwahnya ada yang mendustakannya.
  5. Allah s.w.t juga membatalkan sangkaan dan dakwaan mereka yang batil yang menyangka bahawa mereka tidak akan di azab. Mereka disayangi dan diredhai Allah s.w.t dengan diberi harta yang banyak, anak yang ramai, serta pangkat kedudukan yang tinggi di dunia ini.
  6. Allah S.W.T jug membatalkan SYUBHAT keraguan yang ditimbulkan oleh kaum kafir ini dan menyatakan bahawa semua urusan di bawah kuasa Allah s.w.t. Dia berkuasa untuk memberikan rezekinya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, luas atau sempit!
  7. Kemudian mereka tukar hujjah pula dengan mendakwa mereka menyembah malaikat yang mereka dakwa sebagai anak perempuan tuhan! Sedangkan para nabi itu mengakui kewujudan malaikat, maka sekali lagi mereka berasa adalah benar!
  8. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat ke-40 ini, untuk membatalkan sekali lagi hujjah batil mereka yang sesat dan karut! Mereka sembah malaikat dan katanya anak perempuan kepada tuhan, sedangkan mereka sendiri nak anak lelaki.
  9. Dalam siri yang lepas kita dengar perdebatan antara golongan pengikut dengan orang yang diikutinya, dalam siri ini kita dengar pula malaikat berhujjah memberi jawapan, berlepas diri dari mereka yang mengaku menyembahnya!
  10. Kemudian Allah s.w.t juga menegaskan bahawa pada hari Kiamat kelak semua makhluk tiada kuasa, kecuali Allah Azza wa Jalla .

{AYAT 40 – {DAN (INGATKANLAH) MASA ALLAH MENGHIMPUNKAN MEREKA SEMUA (PADA HARI KIAMAT), KEMUDIAN IA BERTANYA KEPADA MALAIKAT: \”ADAKAH ORANG-ORANG INI, (KAMU SETUJUI) MENYEMBAH KAMU DAHULU?\”} (SABA\’ 34:40)

  1. Ingatlah pada hari kiamat kelak, ketika Allah mengumpulkan semua manusia, samada orang beriman & musyrik.
    Yang ketua atau yang pengikut, yang benar yang salah, yang besar atau yang kecil. Kemudian Allah mengecam mereka yang syirik di hadapan semua makhluk.
  2. Nama tempat itu bumi/padang Mahsyar, satu tempat yang lapang dan luas, semua kumpulan dan golongan manusia dikumpulkan mengikut kategori masing-masing.
  3. Kemudian Allah bertanya kepada para malaikat, \”Adakah mereka ini dahulu menyembah kamu?\” Maksudnya, kamukah yang setuju dan memerintahkan mereka untuk menyembah kamu? Soalan ini untuk memalukan dan menyedarkan mereka yang menyembahnya.
  4. Para malaikat menjawab dengan berlepas diri dari penyembahan mereka dengan menjawab;

AYAT 41 – {MALAIKAT MENJAWAB: \”MAHA SUCI ENGKAU (DARI ADANYA SEBARANG SEKUTU DENGANMU). ENGKAULAH (YANG KAMI HUBUNGI SEBAGAI PEMIMPIN DAN) PELINDUNG KAMI BUKAN MEREKA. (TIDAK ADA HUBUNGAN DARI PIHAK KAMI DENGAN MEREKA MENGENAI PENYEMBAHAN MEREKA KEPADA KAMI), BAHKAN MEREKA ADALAH MENYEMBAH JIN SYAITAN; KEBANYAKAN MEREKA PULA PERCAYA KEPADA JIN SYAITAN ITU (SEBAGAI SEKUTU TUHAN YANG DIPUJA DAN DIPATUHI)\”.} (SABA\’ 34:41)

  1. Maha Tinggi lagi Maha Suci Engkau dari sekutu, tandingan dan tidak ada tuhan lain selain Engkau. Engkaulah Pelindung kami, kami hamba yang perlu perlindungan-Mu, bukan mereka.
  2. Tidak patut bagi kami mengambil pelindung selain-Mu. Kami tidak pernah mengajak orang lain untuk menyembah kami. Kami adalah hamba-hamba-Mu dan berlepas diri kepada-Mu dari apa yang dilakukan oleh mereka.
  3. Jawapan malaikat yang panjang ini untuk menafikan dakwaan kaum musyrikin itu! Mereka tidak mengakuinya sekali-kali! Untuk membuktikan tidak pernah ada hubungan antara malaikat dan mereka yang menyembahnya.
  4. Sebenarnya orang-orang musyrik itu telah menyembah jin-jin yang derhaka, iaitu syaitan-syaitan.
    Kebanyakan mereka beriman kepada jin itu. Mereka membenarkan kata-kata syaitan, tunduk kepadanya dan mentaatinya.
  5. Kata Syeikh Ibnu Atiyah rhm.: Penyembahan kepada jin itu ialah mereka dengar dan taat kepada apa yang diajar/disuruh oleh jin.
    Ketaatan mereka itu telah termasuk dalam kategori ibadah penyembahan, kerana ibadah adalah ketaatan. Bahkan ada yang menyembah jin sungguh dengan perbuatan seperti sujud, ada yang sembah dengan hati saja dengan taat dan ikut segala perintah.
  6. Maka setelah mereka sembah malaikat secara automatiknya mereka telah menyembah syaitan; begitu juga penyembah segala benda lain selain dari Allah s.w.t.
    Ini kerana syaitanlah yang mengajar, mengajak dan memerintahkan mereka untuk menyembah malaikat-malaikat, berhala-berhala atau selainnya selain Allah dan syaitanlah yang telah menyesatkan mereka.
  7. Begitulah ketaatan dan akur kepada semua perintah dan perbuatan walaupun tidak sujud termasuk dalam menyembah!
    Sebagaimana firman Allah s.w.t ini:
    {Mereka menjadikan orang-orang alim (Yahudi), dan rahib-rahibnya (Nasrani) sebagai tuhan selain Allah,} [At-Taubah: 31].
    Yakni mereka menjadikan orang-orang alim Yahudi, dan rahib-rahibnya Nasrani sebagai tuhan selain Allah, iaitu dengan mematuhi ajaran orang-orang alim dan para rahib itu dengan membabi buta, sekalipun mereka menyuruh berbuat maksiat, dan menyeleweng dari ajaran dan Kitab yang asal.
  8. Firman Allah s.w.t: {\”Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
    \”Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.
    \”Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?} (Yaa Sin 36: 60-62)

AYAT 42 – {MAKA PADA HARI INI, MASING-MASING DI ANTARA KAMU TIDAK BERKUASA MEMBERI SEBARANG MANFAAT KEPADA KAWANNYA, DAN TIDAK PULA DAPAT MENOLAK SESUATU BAHAYA DARIPADANYA; DAN KAMI KATAKAN KEPADA ORANG-ORANG YANG ZALIM (YANG BERLAKU SYIRIK) ITU: \”RASALAH AZAB NERAKA YANG KAMU DAHULU MENDUSTAKANNYA\”.} (SABA\’ 34:42)

  1. Setelah jelas terbatalnya dakwaan, aqidah dan perbuatan mereka itu salah dan batil, maka mereka akan dihukum dan diazab.
    Apa benih yang ditabur, itulah hasil yang dituai.
  2. Maka pada hari ini yakni hari Kiamat, dikatakan kepada kaum kafir itu samada manusia atau jin, apa yang kamu sembah dan anggap berkuasa dulu tidak dapat memberi sebarang pertolongan, manfaat atau syafaat, untuk menyelamatkan kamu dari sebarang bahaya, azab kebinasaan Allah s.w.t!
  3. Semua ini di bawah kuasa Allah s.w.t, tiada sesuatu yang dapat melawan atau menghalang-Nya! Semuanya tiada faedah dan mudharat (نَفْعًا وَلَا ضَرًّا) tanpa keizinan dan kuasa dari Allah.
  4. Kemudian Allah s.w.t. mengecam dan mencemuh mereka yang zalim, yang meletakkan ibadat bukan pada tempatnya itu, \”Rasakanlah oleh kamu azab neraka yang dahulunya kamu tidak mahu percaya.\” Yakni begitulah akibat orang yang tidak dengar larang dan nasihat!
  5. Azab neraka itu datang dalam dua-dua keadaan, secara fizikal- siksaan azab ke atas tubuh badan dan secara mental- penyiksaan jiwa dengan penghinaan, kecaman dan cemuhan.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 40 – {Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat),} – ayat ini mengajar kepada kita bahawa menjadi kewajipan kepada kita semua untuk saling mengingatkan kepada hari kematian dan Kebangkitan nanti. Ingatkan diri kita sendiri dan semua orang disekeliling kita, ini agar kita semua takut dan tidak berani untuk buat maksiat, dosa dan ingkar kepada Allah s.w.t. Ingat mati adalah satu cara untuk cerahkan hati, lapangkan dada dan sentiasa berasa kita duduk di bahawa pengawasan Allah s.w.t.
  2. Ayat 41 – {Malaikat menjawab: \”Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu).} – malaikat apabila mendengar mereka disembah, terus dia menafikan dan mensucikan Allah s.w.t dan berlepas diri darinya!
    Kata ulama\’; Bagi semua orang yang mendekatkan diri kepada seseorang dengan melakukan maksiat atau keingkaran kepada Allah s.w.t, maka Allah s.w.t akan jadikan hati mereka keras serta mereka akan berkelahi dan tidak bersatu akhirnya. Contoh nak ambil hati boss/ketua- sanggup buat apa saja walaupun kejahatan.
  3. Ayat 40 – { kemudian Ia bertanya kepada malaikat: \”Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu dahulu?\”} – ayat ini menunjukkan harus orang yang sudah tahu bertanya lagi kepada orang di bawahnya, kerana dia ingin orang itu menjawabnya. Allah sudah tahu kebenaran malaikat cuma mahu mereka sendiri menjawabnya di hadapan para musyrikin itu. Untuk mengambil perhatian mereka dan supaya mendengar sendiri penafian malaikat itu!

Ada beberapa jenis pertanyaan:
i- orang yang bertanya kerana memang dia tidak tahu dan nak tahu.
ii- tanya walaupun sudah tahu tetapi untuk orang lain dengar jawapannya.
iii- tanya untuk menguji, dia sudah tahu cuma nak uji atau soalan provokasi.
Soalan malaikat, sudah tahu cuma nak menguji atau mengesahkannya.

  1. Ayat 40 – { kemudian Ia bertanya kepada malaikat:} – ayat ini mengisbatkan bahawa Allah s.w.t itu berkata-kata.
    Macamana dia berkata itu hak Allah s.w.t dan kita tidak perlu korek yang penting kita beriman dengan sifat-Nya yang berkata-kata ini!
  2. Ayat 41 – {Malaikat menjawab: \”Maha Suci Engkau (dari adanya sebarang sekutu denganMu).}- ayat ini menunjukkan bahawa malaikat itu sangat mengagungkan Allah s.w.t terus menafi dan mensucikan Allah s.w.t dari segala sekutu dan kekurangan apabila ditanya soalan itu.
  3. Ayat 41 – { bahkan mereka adalah menyembah Jin Syaitan; kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu (sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi)\”.}- malaikat kata kebanyakan daripada mereka (أَكْثَرُهُمْ) dia tidak kata semua mereka sedangkan mereka semua itu adalah kafir yang ikut jin syaitan.

Ulama\’ kata ini kerana: –
i- ini kerana bukan semua mereka sembah jin, ada yang sembah batu, kayu, maka malaikat ceritakan apa yang dia tengok kebanyakan mereka.
ii- ibadat itu amalan zahir, perbuatan yang dapat dilihat, iman itu amalan bain perkara dalam hati. Jadi itulah yang malaikat nampak, kebanyakan dari mereka. Manakala perkara dalam hati malaikat tidak tahu dan tidak korek.

iii- ayat ini juga mengajar kita agar bercakap itu berlapik dan tidak tangkap muat semua. Bagi ruang untuk ada pengecualian dan penafian, jika tidak kita juga yang terperangkap nanti.

  1. Ayat 40 – {Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua (pada hari kiamat), – ayat ini sambungan kepada ayat 31 sebelum ini.
    Ayat ini melengkapkan lagi gambaran betapa dahsyatnya perhimpunan manusia pada hari Kiamat itu. Mereka semua berdiri menunggu perbicaraan dan hukuman lalu dimalukan di depan semua yang berhimpun.
  2. Ayat 42 – {Maka pada hari ini, masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat kepada kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya;} – ayat ini untuk menghina dan menyedarkan puak kafir akan apa yang mereka harapakan dulu tiada gunanya. Bahkan segala sembahan mereka seperti batu kayu dan seumpamanya dihumbankan ke dalam neraka bersama penyembah-penyembahnya!
    Menambahkan siksaan dan penghinaan.
  3. Ayat 42 – {Maka pada hari ini, masing-masing di antara kamu tidak berkuasa memberi sebarang manfaat kepada kawannya, dan tidak pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya; {Pada hari ini (hari Kiamat) tiada siapa yang boleh memberi manfaat dan darurat HANYA Allah s.w.t sahaja, tidak seperti semasa di dunia ini dulu, kita boleh meminta bantuan sesama manusia. Tetapi pada hari Akhirat kelak lansung tiada bantuan dan manfaat selain dari Allah s.w.t sahaja.
  4. Ayat 42 – {dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik) itu: \”Rasalah azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya\”.} – dalam ayat ini Allah s.w.t bawa atau sebut sifat neraka
    (الَّتِي كُنْتُمْ بِهَا تُكَذِّبُونَ)
    iaitu sifat untuk neraka itu sendiri yang kaum kafir itu ingkarinya.

Ianya berbeza dengan sifat yang disebut dalam surah as-Sajdah ayat 20 ini:
{Dikatakan kepada mereka: \”Rasakanlah siksa neraka yang (عَذَابَ النَّارِ الَّذِي) dahulu kamu mendustakannya\”.}

Apa perbezaannya di sini?
Perbezaannya ialah penggunaan kalimat \”yang\”, (الَّذِي) dan (الَّتِي) yang dalam bahasa Arab dipanggil (اسم موصول):
i- dalam ayat pertama digunakan (الَّتِي) dengan sighah muannas (untuk perempuan) kerana ia kembali atau merujuk kepada dhomir (kata nama) neraka (النَّار).
ii- dalam ayat kedua digunakan (الَّذِي) dengan sighah muzakkar (untuk lelaki) kerana ia kembali atau merujuk kepada dhomir azab (عَذَابَ).

Begitulah bahasa al-Quran dan bahasa Arab yang amat kaya dan menarik, belajarlah jika mampu agar kita dapat menambah kemanisan dalam tadabbr dan memahami makna al-Quran, insya\’ Allah.

Powered by BetterDocs