SURAH TO-HA : AYAT 131-135

\"\"

JANGAN TERGODA DENGAN PERHIASAN DUNIA, SURUHLAH KELUARGA MELAKUKAN SOLAT & USAH LAYAN CADANGAN KAFIR MINTA MUKJIZAT YANG PELBAGAI.

Full video: https://youtu.be/Z-tW8f3ovKk

MUQADDIMAH :

1. Perbincangan siri ini tentang godaan perhiasan dunia dan sikap kita terhadap dunia.
2. Arahan menjaga dan mendidik keluarga agar menjaga solat dan jaga tauhid kepada Allah s.w.t..
3. Larangan agar jangan melayan golongan kafir yang membuat provokasi terhadap Islam. Di mana mereka membuat tuduhan-tuduhan jahat terhadap Rasulullah s.a.w.
4. Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w bersabar dengan banyakkan zikir dan ibadat kepada Allah s.w.t.
5. Ulama\’ berkata: “Menyebut nama Allah itu penawar (berzikir); manakala menyebut nama orang itu penyakit (yakni mungkin mengata atau mengumpatnya).
6. Inilah siri terakhir dan penutup kepada surah To-Ha ini.

AYAT 131- {DAN JANGANLAH ENGKAU MENUJUKAN PANDANGAN KEDUA MATAMU DENGAN KEINGINAN KEPADA APA YANG TELAH KAMI BERIKAN KEPADA BEBERAPA GOLONGAN DARI MEREKA YANG KAFIR ITU MENIKMATINYA, YANG MERUPAKAN KEINDAHAN KEHIDUPAN DUNIA INI, UNTUK KAMI MENGUJI MEREKA PADANYA; SEDANG LIMPAH KURNIA TUHANMU DI AKHIRAT LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL.} (TAHA 20:131)
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t melarang Rasulullah s.a.w dari melihat atau fokus kepada kesenangan atau kemewahan, keindahan dunia yang Allah berikan kepada golongan kafir, samada dari segi harta, pangkat, anak pinak dan sebagainya.
2. Yakni jangan menaruh hati akan kesenangan hidup golongan yang menentangnya.
3. Kerana semua itu Allah s.w.t hanya beri untuk menguji mereka, sebagai satu fitnah hidup. Semua itu tidak akan dapat menolong mereka di akhirat kelak.
4. Sedangkan limpah kurnia yang Allah rezekikan untuk Rasulullah dan golongan mukmin di akhirat kelak lebih baik dan lebih kekal.
5. Sebuah kisah tentang Umar r.a meminta Rasulullah s.a.w mendoakan kesenangan kepada kaum muslim, lalu Rasulullah s.a.w menegurnya.
6. Siapa yang letak dunia di dalam jiwa maka kefakiran terletak antara 2 mata ( sentiasa tamak melihat perhiasan duniawi). Sesiapa yang meletakkan akhirat dijiwa, dunia (kekayaan) akan mengikutinya.
7. Rezeki yang Allah berikan kepada kita adalah lebih baik, maka jangan tergoda dengan duniawi.

AYAT 132- {DAN PERINTAHKANLAH KELUARGAMU SERTA UMATMU MENGERJAKAN SEMBAHYANG, DAN HENDAKLAH ENGKAU TEKUN BERSABAR MENUNAIKANNYA. KAMI TIDAK MEMINTA REZEKI KEPADAMU, (BAHKAN) KAMILAH YANG MEMBERI REZEKI KEPADAMU. DAN (INGATLAH) KESUDAHAN YANG BAIK ADALAH BAGI ORANG-ORANG YANG BERTAQWA.} (TAHA 20:132)
1. Perintah untuk mendidik keluarga agar menjaga ibadat solat serta ibu bapa agar sabar dan istiqomah dalam menunaikannya.
2. Sabar dan bersungguh untuk solat diawal waktu, solat berjemaah di masjid, sabar dalam mendidik dan menyuruh anak-anak solat.
3. Sabda Rasulullah saw: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.” [HR Abu Daud].
4. Allah s.w.t tekankan bahawa Dia tidak meminta rezeki kepada kita hamba-Nya, (bahkan) Dia-lah yang memberi rezeki kepada kita.
5. Kenapa Allah kaitkan solat dengan rezeki? Kata ulama\’ ini kerana ia sangat sinonim dan rapat, seperti orang yang sibuk mencari rezeki sehingga sanggup meninggalkan solat, bukan itu caranya.
6. Hadis Qudsi: Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah bersabda: bahawa Allah s.w.t berfirman: Wahai anak Adam, sibukkanlah diri kamu dengan melakukan ibadat kepada-Ku pada waktunya. Maka Aku akan penuhkan dalam dada kamu perasaan cukup dan redha serta aku akan tutup kefakiran kamu (kaya jiwa, rasa cukup dengan sebab kau beribadat pada waktunya.) Jika kamu tidak berbuat begitu, aku akan sibukkan tanganmu dengan kerja dan Aku tidak akan tutup pintu kemiskinan kamu. (yakni walaupun kerja kuat, tetapi tak kaya-kaya). [HR At-Tirmizi]
7. Hadis galakan agar berpada dengan apa yang ada dan jangan terlalu mengejar dunia sehingga rasa tidak cukup.
Rasulullah s.a.w bersabda, “Barangsiapa yang kehidupan akhirat menjadi tujuan utamanya, nescaya Allah akan meletakkan rasa cukup di dalam hatinya dan menghimpun semua urusan untuknya serta datanglah dunia kepadanya dengan hina. Tapi barangsiapa yang kehidupan dunia menjadi tujuan utamanya, nescaya Allah meletakkan kefakiran di hadapan kedua matanya dan mencerai-beraikan urusannya dan dunia tidak bakal datang kepadanya, kecuali sekedar yang telah ditetapkan untuknya.” (HR Ibnu Majah).
8. Siapa yang solat subuh berjemaah di masjid akan berada di bawah jagaan Allah s.w.t. siapa yang solat telah mendampingkan dirinya dengan Allah s.w.t dan akan selamatlah dunia dan akhirta.
9. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. Allah akan memberi kehidupan dunia ini kedua-dua kepada orang yang dia sayang dan tidak sayang, tetapi akhirat hanya akan diberi kepada orang yang Dia sayang iaitu mereka yang taat dan bertaqwa.
10. Syeikh Ali bin Hasan al-Halabi rhm, seorang ulama\’ Hadis yang besar dari Jordan berkta: لا يغني الحذر من القدر – Langkah berjaga-jaga itu baik; tetapi tiada apa yang dapat melepaskan apa yang telah ditaqdirkan oleh Allah s.w.t.
Syeikh Ali ini telah meninggal dunia kerana Covid-19 di Jordan pada November 2020. يرحمه الله

AYAT 133- {DAN MEREKA YANG KAFIR BERKATA: \”MENGAPA IA TIDAK MEMBAWA KEPADA KAMI SATU TANDA MUKJIZAT DARI TUHANNYA YANG MEMBUKTIKAN KEBENARANNYA?\” BUKANKAH TELAH DATANG KEPADA MEREKA BERBAGAI-BAGAI KETERANGAN DAN KHASNYA AL-QURAN YANG MENJADI KENYATAAN YANG MENERANGKAN APA YANG TERKANDUNG DALAM KITAB-KITAB YANG DAHULU?} (TAHA 20:133)
1. Orang kafir itu berkata lagi, mengapa Rasulullah s.a.w tidak membawa satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang boleh membuktikan kebenarannya.
2. Mereka lupa atau buat-buat lupa tentang mukjizat al-Quran yang tidak dapat mereka kalahkan. Ini hanya dalih mereka untuk menolak kebenaran.
3. Allah s.w.t menolaknya dan menegaskan bahawa al-Quran itu adalah sebesar-besar mukjizat. Mengandungi kenyataan yang menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang dahulu.
4. Al-Quran juga akan kekal selamanya sehingga ke hari Kiamat, sedangkan mukjizat nabi-nabi lain sudah hilang.
5. Rasulullah s.a.w bersabda: \”Tiada satu nabi kecuali telah diberikan mukjizat/bukti yang membuat manusia beriman. Sesungguh aku, diberikan wahyu (al-Quran). Aku berharap akulah nabi yang paling ramai pengikutnya di hari akhirat.\” [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 134- {DAN SEKIRANYA KAMI BINASAKAN MEREKA DENGAN SESUATU AZAB SEBELUM DATANGNYA RASUL KAMI MEMBAWA AL-QURAN INI, TENTULAH MEREKA AKAN BERKATA PADA HARI KIAMAT: \”WAHAI TUHAN KAMI! MENGAPA ENGKAU TIDAK MENGUTUSKAN KEPADA KAMI SEORANG RASUL SUPAYA KAMI MENURUT AYAT-AYAT KETERANGANMU YANG DIBAWANYA, SEBELUM KAMI MENJADI HINA (DENGAN AZAB DI DUNIA), DAN MENDAPAT MALU (DENGAN AZAB DI AKHIRAT)?\”} (TAHA 20:134)
1. Jikalah mereka dibinasakan sebelum turunnya al-Quran, pastilah mereka akan mendakwa begini pada hari Kiamat. Hujjah untuk berlepas diri.
2. Tetapi tidak sekali-kali begitu, telah diutuskan Rasulullah s.a.w kepada mereka, jelas sekali sebaliknya telah berlaku sebagaimana Firman Allah s.w.t: {Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).} [Al-Isra’: 15]
3. Tetapi jika mereka masih lagi berdegil, masih lagi tidak dengar kata, masih lagi tidak mahu beriman selepas segala peringatan, memberi penjelasan, berhujjah berdebat dan memberi ancaman, maka apa akan terjadi? Kita akan pergi kepada ayat terakhir ini di bawah ini.

Ayat 135– {Katakanlah (wahai Muhammad): \”Tiap-tiap seorang (di antara kita) sedang menunggu; maka tunggulah kamu! Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat petunjuk\”.} (Taha 20:135)
1. Allah s.w.t mengakhiri surah To-Ha ini dengan menyuruh Rasulullah s.a.wmenjawab golongan kafir yang degil itu supaya mereka tunggu hari kematian nanti. Berhujjah di atas dunia ini tiada kesudahannya.
2. Baru kita akan tahu siapa yang benar dan siapa yang salah di akhirat kelak.

PENUTUP/ BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:

1. Maksud: {Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan..}; ayat ini mengajar kepada kita larangan untuk melihat dan menginginkan apa yang ada pada orang lain. Jika ingin tengok, tengok akan amalan akhiratnya. Jika lihat dari sudut dunia maka akan hancurlah. Di sini Allah s.w.t larang daripada tengok dengan ketamakan, jika ingin lilhat sebagai pengajaran boleh aje.
2. Yakni dalam bab dunia dan harta hendaklah kita lihat orang susah dan miskin untuk kita sentiasa bersyukur. Manakala dalam bab akhirat, kita lihatlah kepada orang yang soleh dan banyak amalnya supaya kita berusaha untuk mencontohi mereka juga, jangan tengok orang malas pula!!!!
3. Kata ulama\’: Jika kita duduk dengan orang miskin, orang yang kurang hartanya akan menjadikan kita redha dan bersyukur dengan apa yang kita ada. Tetapi jika kita duduk dengan orang kaya, sebaliknya akan terjadi, kita akan menjadi marah dan tidak redha dengan apa yang kita, padahal rezeki kita sudah mencukupipun, cuma tidak banyak seperti orang yang kita bandingkan itu.
4. Kata Ubai bin Ka’ab r.a ketika menafsirkan ayat ini:
i- Sesiapa yang tidak mengambil pengajaran dari ayat ini maka dia akan rasa kecewa dengan kehidupan dunia ini.
ii- sesiapa yang banyak memerhatikan harta milik orang lain, maka berpanjanganlah dukacita dalam hatinya,
iii- sesiapa yang tidak nampak nikmat yang Allah berikan kepadanya dari rezeki makan-minum dan pakaiannya, maka orang itu akan kurang ilmu dan banyak azab dalam jiwanya.
5. Hisyam bin Urwah menceritakan, bahawa bapanya, Urwah bin az-Zubair r.a, apabila sekembalinya dari berjumpa dengan pemimpin-pemimpin yang mewah dan banyak hartanya, sampai di rumah dia akan baca ayat ini dan menyeru kaum keluarga untuk solat. Seolah untuk menghapuskan segala kemewahan dunia yang telah dilihatnya.
6. Kata ulama\’: Tengok sahaja tetapi tidak lekat dan dalam hati tidak dilarang.
7. Sesiapa yang jaga solat, insya\’ Allah rezekinya tidak putus.
8. Kita hendaklah menjaga solat dan memastikan seluruh keluarga juga menjaganya.
9. Dengan ini tamatlah surah To-Ha dengan siri yang ke14 ini.
10. Doa; semoga segala amalan kita adalah semuanya kebaikan dan mendapat ilmu yang bermanfaat serta sifat cintakan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w untuk membaca, memahami dan mengamalkannya, serta mendapat kebaikan dunia dan akhirat.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs