SURAH TO-HA : AYAT 65-76

\"\"

NABI MUSA BERLAWAN DENGAN AHLI SIHIR, AHLI SIHIR BERIMAN KEPADA ALLAH & SIKAP MEREKA TERHADAP ANCAMAN FIRAUN

Full video: https://youtu.be/ZPJ8iQJd0kw

MUQADDIMAH :
1. Siri lepas tentang persetujuan antara Nabi Musa a.s dan Firaun untuk mengadakan pertemuan dengan para ahli sihir di satu tempat khas.
2. Sebelum perlawanan bermula nabi Musa a.s sempat menyampaikan tazkirah tentang kebenaran yang dibawanya dan berjaya mencuit hati para ahli sihir Firaun yang ramai itu.
3. Mereka lalu berbisik-bisik sesama mereka apa yang akan dilakukan jika menang dan jika kalah. Mereka buat keputusan akan mengikut dan beriman kepada Musa jika Musa menang dan membuktikan apa dia bawa itu benar. Yakni Allah telah campakkan ke dalam hati mereka sinar hidayah.
4. Jika mereka menang pula, mereka akan menjadi orang besar yang akan mendapat habuan dari Firaun. Jadi dua-dua keadaan akan menguntungkan mereka.
5. Begitulah sepatutnya bagi setiap perbincangan, kita kena buka minda dan bersedia untuk menerima kebenaran pihak lawan jika mereka dapat membuktikannya, bukan pergi dengan minda yang memang sudah tertutup tidak akan menerima apa saja pun.
6. Lalu bermulalah episod kali ini tentang perlawanan antara haq dan batil.

AYAT 65- {MEREKA BERKATA: \”WAHAI MUSA! ENGKAUKAH YANG AKAN MENCAMPAK LEBIH DAHULU ATAU KAMIKAH YANG MULA-MULA MENCAMPAK?\”} (TAHA 20:65)
1. Apabila selesai peringkat perundingan dan perbincangan, maka akan bermulalah perlawanan. Ahli sihir bertanya kepada Musa a.s tentang siapa yang akan memulakann dulu serangan? Yakni untuk campakkan alat-alat sihir mereka seperti tali, kayu, tongkat dan lain-lain.
Firman Allah s.w.t: {Mereka berkata: \”Wahai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?\”} (Al-A\’raaf:115)

AYAT 66- {NABI MUSA MENJAWAB: \”BAHKAN KAMULAH CAMPAK DAHULU\”. TIBA-TIBA TALI-TALI MEREKA DAN TONGKAT-TONGKAT MEREKA TERBAYANG-BAYANG KEPADANYA SEOLAH-OLAH BENDA-BENDA BERJALAN, DISEBABKAN SIHIR MEREKA.} (TAHA 20:66)
1. Musa a.s tidak gopoh dan dengan tenang minta ahli sihir supaya mencampakkan dulu senjata mereka.
2. Lalu dengan ilmu sihir mereka, tali-tali dan tongkat-tongkat yang mereka campakkan itu terbayang-bayang kepada Musa dan orang ramai seolah-olah benda-benda berjalan, ular-ular kecil yang merayap. Sihir yang mengaburi dan mengkhayalkan mata manusia.

AYAT 67- {MAKA YANG DEMIKIAN MENJADIKAN NABI MUSA MERASA TAKUT SEDIKIT DALAM HATINYA.} (TAHA 20:67)
1. Apabila melihat keadaan sihir itu Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya.
2. Ulama\’ berbincang tentang perasaan takut ini, Ibnu Jauzi kata samada:
i- Sebagai manusia biasa perasaan takut dan geli terhadap ular yang merayap-rayap itu.
ii- Nabi Musa a.s rasa takut dan bimbang orang ramai akan terpengaruh dengan sihir itu dan tidak akan mempedulikan lagi kepada apa yang akan didakwahnya, kerana terkesan dengan permainan ahli sihir.
* Pandangan kedua lebih tepat dan lebih baik.

AYAT 68- {KAMI BERFIRMAN KEPADANYA: \”JANGANLAH ENGKAU TAKUT (WAHAI MUSA)! SESUNGGUHNYA ENGKAULAH YANG TERTINGGI MENGATASI MEREKA DENGAN KEMENANGAN. (TAHA 20:68)
1. Allah s.w.t lalu berfirman menenangkan hati Musa a.s supaya jangan takut. Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi dan akan mengatasi mereka dengan kemenangan

AYAT 69- {\”DAN CAMPAKKANLAH APA YANG ADA DI TANGAN KANANMU, NESCAYA IA MENELAN SEGALA (BENDA-BENDA SIHIR) YANG MEREKA LAKUKAN, KERANA SESUNGGUHNYA APA YANG MEREKA LAKUKAN ITU HANYALAH TIPU DAYA AHLI SIHIR; SEDANG AHLI SIHIR ITU TIDAK AKAN BEROLEH KEJAYAAN, DI MANA SAHAJA IA BERADA\”. (TAHA 20:69)
1. Maka Allah menyuruh Musa a.s campakkan apa yang ada di dalam tangannya. Allah tidak sebut tongkat lagi, tetapi apa yang ada iaitu suatu alat yang sudah teruji mukjizatnya.
2. Maka tongkat Musa a.s bertukar menjadi ular besar yang menyedut dan menelan segala benda-benda sihir yang mereka buat itu.
3. Allah s.w.t sebut ular Musa a.s sedut (تلقف) yakni berbunyi lagi sedutannya, ada tiga tempat Allah s.w.t sebut tentang ular Musa a.s ini sedut (talqaf) betapa indah dan terperincinya bahasa al-Quran.
4. Apa yang berlaku ini amat luar biasa. Kerana apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada

AYAT 70- { (NABI MUSA PUN MENCAMPAKKAN TONGKATNYA YANG TERUS MENELAN SEGALA BENDA SIHIR MEREKA), MAKA KEADAAN YANG DEMIKIAN MENJADIKAN AHLI-AHLI SIHIR ITU SEGERA MEREBAHKAN DIRI SUJUD SAMBIL BERKATA: \”KAMI BERIMAN KEPADA TUHAN YANG MENGUTUS NABI HARUN DAN NABI MUSA\”. (TAHA 20:70)
1. Maka Musa a.s pun mencampakkan tongkatnya yang bertukar menjadi ular besar yang menyedut dan menelan segala benda-benda sihir yang mereka buat itu, sehingga menjadi kosong medan itu tanpa tinggal apa-apa kesan alat-alat mereka.
2. Peristiwa diceritakan dengan jelas dalam firman Allah s.w.t ini:
{Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan batallah (sihir) yang mereka telah lakukan. Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina. Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud, Sambil berkata: \”Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam: \”(Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun\”.}
(Al-A\’raaf: 118-122)

AYAT 71- {FIRAUN BERKATA: \”PATUTKAH KAMU BERIMAN KEPADA MUSA SEBELUM AKU MEMBERI IZIN KEPADA KAMU? SESUNGGUHNYA DIA LAH KETUA KAMU YANG MENGAJAR SIHIR KEPADA KAMU. OLEH ITU, DEMI SESUNGGUHNYA, AKU AKAN MEMOTONG TANGAN DAN KAKI KAMU DENGAN BERSILANG, DAN AKU AKAN MEMALANG KAMU PADA BATANG-BATANG POHON TAMAR; DAN DEMI SESUNGGUHNYA KAMU AKAN MENGETAHUI KELAK SIAPAKAH DI ANTARA KITA YANG LEBIH KERAS AZAB SEKSANYA DAN LEBIH KEKAL\”. (TAHA 20:71)
1. Melihat keadaan ini Firaun terus mencelah dan menunjukkan kesombongan dan kekuasaannya. Marah kerana mereka beriman tanpa izinnya!!
2. Firaun cuba menimbulkan keraguan terhada Musa a.s dan Harun, dengan mengatakan itu semua adalah konspirasai, bahawa Musa a.s adalah ketua yang mengajar sihir kepada mereka (para ahli sihir) lalu berpakat untuk mengalahkannya.
3. Lalu terus memberi amaran kepada ahli sihir yang telah beriman itu dengan ancaman hukuman yang zalim; akan memotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang, dan akan memalang mereka pada batang-batang pohon tamar.
4. Ini katanya supaya mereka tahu siapa yang lebih berkuasa dan dahsyat azabnya, Firaun atau Tuhan Musa a.s .

AYAT 72- {MEREKA MENJAWAB: \”KAMI TIDAK SEKALI-KALI AKAN MENGUTAMAKANMU DARIPADA APA YANG TELAH DATANG KEPADA KAMI DARI MUKJIZAT-MUKJIZAT YANG TERANG NYATA, DAN (TIDAK AKAN MENGUTAMAKANMU DARIPADA) TUHAN YANG TELAH MENJADIKAN KITA SEMUA. OLEH ITU, HUKUMKANLAH APA SAHAJA YANG ENGKAU HENDAK HUKUMKAN, KERANA SESUNGGUHNYA ENGKAU HANYALAH DAPAT MENGHUKUM DALAM KEHIDUPAN DUNIA INI SAHAJA. (TAHA 20:72)
1. Ahli sihir yang telah beriman itu menjawab bahawa mereka yakin itu adalah satu kebenaran, mukjizat yang nyata, dan bukan sihir seperti yang mereka belajar dan amalkan selama ini.
2. Maka mereka bersedia menerima apa saja hukuman di atas dunia ini, tidak akan berganjak daripada keimanan mereka yang baru dapat itu. Ini kerana itu hanya dunia yang sementara.
3. Keadaan mereka ini tepat sekali sebagaimana hadis ini:
Dari Anas bin Malik dari Nabi SAW, baginda bersabda: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali karena Allah. Dan dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka”(HR Bukhari)
4. Ada pula perbicangan ulama\’ dan ahli sejarah adakah Firaun benar-benar membunuh mereka ini atau sekadar ancaman sahaja?
i- Ada yang berberpendapat hukuman itu benar-benar dilaksanakan. Ibnu Kathir menyokong pendapat ini berdasarkan kata-kata Ibnu Abbas kata: “Betapa bahagianya para ahli sihir Firaun, pagi sebagai ahli sihir dan pada petangnya telah menjadi para syuhada’ di sisi Allah swt.
ii- Syeikh Syanqiti berpendapat Firaun tidak mampu menjalankan hukumannya kerana Allah s.w.t telah menjaga mereka kerana iman mereka yang mantap dan jitu. Firman-Nya: {Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang\”.} [Al- Qasas: 35]. Wallahu a’lam.

AYAT 73- {\”SESUNGGUHNYA KAMI TELAH BERIMAN KEPADA TUHAN KAMI, SUPAYA DIAMPUNKANNYA KESALAHAN-KESALAHAN KAMI, DAN DOSA-DOSA SIHIR YANG ENGKAU PAKSAKAN KAMI MELAKUKANNYA. DAN ALLAH JUALAH YANG LEBIH BAIK DAN LEBIH KEKAL BALASAN PAHALANYA.} (TAHA 20:73)
1. Ahli sihir ini pula memberi tazkirah peringatan kepada Firaun. Bahawa mereka telah beriman dan semoga Allah s.w.t ampunkan dosa-dosa mereka yang lepas sebagai ahli sihir. Itupun kerana dipaksa oleh Firaun.
2. Mereka tidak takut lansung akan ancaman Firaun kerana yakin Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala-Nya.

AYAT 74- {\”SEBENARNYA SESIAPA YANG DATANG KEPADA TUHANNYA PADA HARI AKHIRAT SEDANG IA BERSALAH MAKA SESUNGGUHNYA ADALAH BAGINYA NERAKA JAHANNAM YANG IA TIDAK MATI DI DALAMNYA DAN TIDAK PULA HIDUP. (TAHA 20:74)
1. Ahli sihir meneruskan tazkirah berdakwah kepada Firaun lagi: Sesiapa yang kembali kepada Allah dalam keadaan bersalah maka sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.

AYAT 75- {\”DAN SESIAPA YANG DATANG KEPADANYA SEDANG IA BERIMAN, SERTA IA TELAH MENGERJAKAN AMAL-AMAL YANG SOLEH, MAKA MEREKA ITU AKAN BEROLEH TEMPAT-TEMPAT TINGGAL YANG TINGGI DARJATNYA: (TAHA 20:75)
1. Sebaliknya sesiapa yang kembali kepada Allah dalam keadaan beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya.

AYAT 76- {\”(IAITU) SYURGA-SYURGA YANG KEKAL, YANG MENGALIR PADANYA BEBERAPA SUNGAI, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA; DAN YANG DEMIKIAN ITU IALAH BALASAN ORANG-ORANG YANG MEMBERSIHKAN DIRINYA DARI PERBUATAN KUFUR DAN MAKSIAT\”. (TAHA 20:76)
1. Iaitu syurga yang kekal dan penuh nikmat di dalamnya. Inilah balasan bagi mereka yang bersih dari perbuatan kufur dan maksiat.
2. Demikian tamatlah dakwah dan peringatan ahli sihir yang telah beriman kepada Firaun yang mengancam mahu menghukum bunuh mereka.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1. Seseorang itu kena fikir antara keuntungan dunia dan akhirat. Sebagaimana para ahli sihir ini memberi jawapan mantap kepada Firaun, tidak fikir akan keuntungan dunia lagi, bahkan ingat tentang akhirat, kerana hidup atas dunia ini hanya sementara.
2. Jika iman sudah mantap, ancaman menjadi kecil dan tidak memberi kesan lagi.
3. Kenapa nabi Musa a.s menyuruh ahli sihir lakukan perbuatan sihir dulu? Untuk menunjukkan hakikat dan kebenaran,keyakinan dan ketenangan Nabi Musa a.s, bukan kerana membenarkan amalan mereka itu.
4. Subhanallah, betapa hebatnya kisah ahli sihir ini, berbeza antara dua campakan. Ketika mereka campakkan tongkat dan tali mereka, mereka dalam keadaan kafir, kemudian selepas melihat kebenaran, mereka campakkan diri mereka dengan sujud di atas dahi mereka dalam keadaan penuh beriman kepada Allah s.w.t. Masya’ Allah tabarakallah.

Wallahu a’lam.

Powered by BetterDocs