SURAH YAASIN : AYAT 20-27

\"\"

KISAH SEORANG LELAKI MENYOKONG 3 ORANG RASUL, MENYATAKAN SEBAB DIA BERIMAN & MENGIKLANKAN IMANNYA DAN DIA DIBUNUH.

Full video : https://youtu.be/9AYMM0DHxy0

MUQADDIMAH :

  1. Dalam siri ini kita masih lagi dalam kisah tentang 3 orang rasul yang diutuskan kepada satu kaum di sebuah bandar.
  2. Sambungannya hari ini kita akan dengar tentang satu watak lelaki pejuang dalam surah Yaasin, seorang lelaki yang beriman kepada para rasul itu.
  3. Tidak juga disebut nama dan siapakah dia. Ada ulama\’ tafsir menggelarkannya sebagai sahibu-Yasin, lelaki dalam surah Yasin sahaja.
  4. Lelaki ini mengiklankan akan keimanannya dan sokongannya kepada para rasul itu, berdakwah dan memberi nasihat kepada kaumnya lalu dia telah dibunuh oleh mereka.
  5. Begitulah setiap pejuang kepada kebenaran akan menghadapai ancaman dan tentangan dan pengorbanan yang bukan kecil.

AYAT 20- {DAN (SEMASA RASUL-RASUL ITU DIANCAM), DATANGLAH SEORANG LELAKI DARI HUJUNG BANDAR ITU DENGAN BERLARI, LALU MEMBERI NASIHAT DENGAN KATANYA: \”WAHAI KAUMKU! TURUTLAH RASUL-RASUL ITU -} (YAA SIIN 36:20)

  1. Apabila penduduk negeri itu telah membuat keputusan untuk membunuh 3 orang rasul, dan sampai khabar ini kepada seorang lelaki yang beriman yang tinggal dihujung bandar itu.
  2. Dia lalu bersegera datang, berlari dengan cepat dari hujung bandar, memberi nasihat kepada kaumnya agar beriman dan mengikut para rasul itu. Dia pula yang berdakwah dan memberi nasihat peringatan kepada mereka.

AYAT 21- {\”TURUTLAH ORANG-ORANG YANG TIDAK MEMINTA KAPADA KAMU SESUATU BALASAN, SEDANG MEREKA ADALAH ORANG-ORANG MENDAPAT HIDAYAH PETUNJUK\”.} (YAA SIIN 36:21)

  1. Nasihatnya agar mereka mengikut para rasul itu yang tidak meminta balasan dan upah atas usaha dakwah, bimbingan dan tunjuk ajar kepada mereka.
  2. Dia juga menyatakan bahawa para rasul itu adalah orang yang mendapat hidayah dan dapat membawa mereka ke arah jalan kebenaran dan keselamatan.

AYAT 22- {DAN (APABILA DITANYA: SUDAHKAH ENGKAU MENERIMA AGAMA MEREKA? MAKA JAWABNYA): \”MENGAPA AKU TIDAK MENYEMBAH TUHAN YANG MENCIPTAKAN DAKU, DAN YANG KEPADANYALAH (AKU DAN) KAMU SEMUA AKAN DIKEMBALIKAN?} (YAA SIIN 36:22)

  1. Kaumnya lalu bertanya adakah dia telah beriman dan menerima ajaran para rasul itu? Menerima agama yang dibawa mereka?
  2. Dia menjawab dengan mantap dan penuh semangat, mengakui telah beriman tanpa teragak-agak dan takut akan akibat buruknya!
  3. Sambil terus berdakwah: \”Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepada-Nyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?\”
  4. Inilah orang berdakwah dengan prinsip, ilmu dan semangat. Tidak ada alasan baginya dan bagi mereka untuk tidak menyembah Allah yang telah menciptakan mereka dan kepada Allah jualah mereka semua akan kembali!
  5. Jawapan ini sama dengan jawapan yang diberikan oleh para nabi-nabi dan orang yang beriman sebelum ini dalam firman Allah s.w.t ini:

i- Nabi Hud: {Wahai kaumku! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah dari Allah yang menciptakan daku; maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran)?} (Hud 11:51)

ii- Nabi Ibrahim: {Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: \”Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sembah. Yang lain dari Tuhan yang menciptakan daku, kerana sesungguhnya Ia tetap memberi hidayah petunjuk kepadaku\”.} (Az-Zukhruf 43: 26-27)

iii- Ahli sihir Firaun yang beriman: {Mereka menjawab: \”Kami tidak sekali-kali akan mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja.(Taha 20:72)

  1. Itulah iman apabila telah masuk dan terpasak dalam hati ia tidak akan keluar lagi, seperti sahibu Yasin ini juga, masya\’ Allah Tabarakallah.

AYAT 23- {\”PATUTKAH AKU MENYEMBAH BEBERAPA TUHAN YANG LAIN DARI ALLAH? (SUDAH TENTU TIDAK PATUT, KERANA) JIKA ALLAH YANG MAHA PEMURAH HENDAK MENIMPAKAN DAKU DENGAN SESUATU BAHAYA, MEREKA TIDAK DAPAT MEMBERIKAN SEBARANG SYAFAAT KEPADAKU, DAN MEREKA JUGA TIDAK DAPAT MENYELAMATKAN DAKU.} (YAA SIIN 36:23)

  1. Dakwahnya lagi kepada mereka: Patutkah aku akan menyembah tuhan-tuhan selain-Nya? Seandainya Allah menghendaki keburukan terhadap diri seseorang, tidak ada yang mampu menghalangnya melainkan Allah. Berhala-berhala sembahan itu tidak dapat memberi sebarang syafaat pertolongan, tiada kuasa untuk menolak dan menyelamatkan aku daripada sebarang mudharat.

AYAT 24- {\”SESUNGGUHNYA AKU (KALAU MELAKUKAN SYIRIK) TENTULAH AKU PADA KETIKA ITU BERADA DALAM KESESATAN YANG NYATA.} (YAA SIIN 36:24)

  1. Sesungguhnya sekiranya aku berbuat syirik dengan menjadikan berhala-berhala sebagai sembahan selain dari Allah, pasti aku benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata.

AYAT 25- {\”SESUNGGUHNYA AKU TELAH BERIMAN KEPADA TUHAN KAMU, MAKA DENGARLAH (NASIHATKU)\”,.} (YAA SIIN 36:25)

  1. Katanya lagi sambil mengisytiharkan; Aku telah beriman dengan Tuhan kamu maka dengarlah nasihat aku.
  2. Ulama\’ membincangkan kenapa lelaki itu sebut: {aku telah beriman kepada Tuhan kamu (بِرَبِّكُمْ)}, siapakah maksud kamu di sini:
    i- pendapat pertama mengatakan ucapan ini kepada para rasul itu, bahawa dia beriman kepada Tuhan mereka dan bersama mereka dan maka saksikanlah.

ii- kepada kaumnya yang kafir, bahawa apabila dia beri nasihat mereka tak peduli, maka diiklankan bahawa dia telah beriman, maka marilah beriman bersamanya.

iii- ucapan yang umum, tidak tahu kata kepada siapa diucapkan, kepada kaumnya atau kepada para rasul itu. Yang penting dia telah mengisytiharkan keimanannya kepada Allah Azza wa Jalla, keimanan yang sangat mantap dan tidak goyah!

AYAT 26- {(SETELAH IA MATI) LALU DIKATAKAN KEPADANYA: \”MASUKLAH KE DALAM SYURGA\”. IA BERKATA; \”ALANGKAH BAIKNYA KALAU KAUMKU MENGETAHUI -} (YAA SIIN 36:26)

  1. Ayat ini adalah ucapan para malaikat kepadanya selepas kematiannya yang dibunuh oleh kaumnya.
  2. Masuklah wahai roh yang beriman ke dalam syurga Allah s.w.t., sebagaimana para syuhada\’ yang lain.
  3. Apabila dia melihat syurga yang begitu indah dan penuh nikmat itu, dia terus teringat kepada kaumnya dan tidak sabar untuk memaklumkan kepada mereka apa yang dia dapat.
  4. Dia berfikir alangkah baiknya jika kaumnya yang tidak beriman itu mengetahui;

AYAT 27- {\”TENTANG PERKARA YANG MENYEBABKAN DAKU DIAMPUNKAN OLEH TUHANKU, SERTA DIJADIKANNYA DAKU DARI ORANG-ORANG YANG DIMULIAKAN\”.} (YAA SIIN 36:27)

  1. Iaitu jika kaumnya tahu tentang kebenarannya dan nikmat syurga yang dia dapat, pasti mereka juga akan ikut beriman.
  2. Akhirnya matilah Sahibu Yasin dan mendapat balasan yang sewajarnya dari Allah s.w.t. Mendapat keampunan dan menjadi dari golongan orang yang dimuliakan. 3 orang rasul itu juga begitu juga cuma tidak disebut di sini wallahu a\’lam.
  3. Begitulah lumrah setiap perjuangan itu pasti ada pengorbanan. Bila kita kata kita berjuang menegakkan Islam, pasti akan ada orang kafir yang menentang, bila kita isytihar berjuang menghidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w, pasti ada golongan yang menyokong amalan rekaan dan yang tidak sahih menentang!
  4. Begitulah lumrah pasti ada tentangan, tetapi apa yang kita cari ialah keredhaan Allah s.w.t dan menghidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w. Semoga diberi pertolongan oleh Allah s.w.t.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS :

  1. Ayat 20- {Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari,} – ayat ini memberi pencerahan dan pendidikan kepada kita orang mukmin agar sentiasa memberi nasihat dan bersegera dalam menyampaikan kebenaran dan mencegah kejahatan.
    Tidak takut akan ancaman dan balasan jahat yang akan dikenakan. Seorang pejuang sanggup terkorban untuk menegakkan kebenaran, berani mati atas landasan perjuangan.
  2. Ayat 20- {lalu memberi nasihat dengan katanya:\” Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -} – dakwah itu kena ada kasih sayang dan berlemah lembut, ada kasihan belas. Jangan menggunakan ayat atau perkataan yang kasar dan tidak elok, walaupun untuk menegur orang jahat atau yang salah, itu bukan mencerminkan sikap orang yang beriman dan pendakwah hakiki.
  3. Ayat 21- {\”Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan,}- ayat ini mengajar kepada kita kena ikhlas dan tidak boleh letak harga dalam kerja agama dan dakwah. Tidak sepatutnya para pendakwah mengambil upah dan meletakkan cas yang melampau, letak rate dan seumpamanya.
    Kita mulakan dengan dakwah, duit itu kemudian.
    Fikirkan juga adakah dakwah dan ilmu kita sampaikan itu masuk ke dalam hati pendengar dan boleh membuat mereka terkesan?

Boleh ambik ikut keperluan dan keadaan semasa yang sesuai, pihak penganjur pun kena timbang-tara juga, fikirlah jangan sampai teraniaya pendakwah yang tiada pendapatan lain.
Ambil yang diperlukan jangan sampai membebankan dakwah atau pendakwah.

  1. Ayat 21- {sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk\”} – maksud mendapat hidayah ini (مُهْتَدُونَ) ialah wajib seorang pendakwah itu mempunyai ilmu, berdakwah dengan ilmu dan kefahaman yang jelas, bersumber dari DUA wahyu, al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w yang sahih.
    Jika bukan daripada dua sumber ini maka ia bukan ilmu hakiki, hanya sekadar cerita dan kisah.
  2. Ayat 22- {Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): \”Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?}- apabila kita mengajak orang ke arah kebaikan dan berdakwah kita kena sebutkan kelebihan dan kebenarannya.
    Samalah seperti orang berkempen iklan tentang produk jualannya.
    Kita para pendakwah kena berkempen akan ajaran dan sebutkan kelebihan ajaran atau amalan yang kita bawa ini.
    Seperti dakwah yang dibawa ini menggalakkan orang mengamalkan Sunnah Nabi s.a.w yang sahih, terangkan kelebihannya dan kerugian orang yang meninggalkan jalan sunnah Nabi s.a.w. Apa yang tidak tepat kita betulkan dan tinggalkan yang salah.
  3. Ayat 23- {\”Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah?}- ayat ini menunjukkan kelemahan dan penipuan orang yang syirik dan berhala yang disembahnya itu! Mereka tahu berhala atau sembahan itu adalah ciptaan atau buatan mereka sendiri yang pasti tidak akan dapat memberi pertolongan atau mudharat kepada mereka, sesama makhluk. Mereka tukat pula ayat dengan mengatakan berhala dan lain-lain smebahan itu sebagai perantaraan pula dengan tuhan, tetapi semuanya sama saja!
    Hanya Allah s.w.t Yang Maha Esa dan Berkuasa sahaja yang layak disembah.
  4. Ayat 26- { (Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: \”Masuklah ke dalam Syurga\”. Ia berkata; \”Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -}- ayat ini menunjukkan dalil yang besar bahawa kita mesti menahan kemarahan dan jangan berhujjah dengan orang jahil secara keras dan ikut perasaan! Kena sabar dalam menyampaikan dakwah dan berhujjah dengan ilmu, dan dengan niat untuk menyelamatkan keluarga rakan dan orang yang kita sayang. Lelaki ini walaupun dibunuh oleh kaumnya, tetapi dia tidak berdendam lansung, bahkan terus teringat kepada kaumnya dan mengharapkan agar mereka juga mendapat hidayah dan mendapat khabar gembira seperti dia juga dan terselamat dari azab Allah s.w.t.

Kata Syeikh Qatadah rhm.: Kamu jangan berjumpa seorang mukmin kecuali dengan niat untuk memberi nasihat kepada mereka dan jangan berjumpa orang sebagai seorang penipu. Apabila seorang pendakwah mendapati kelebihan yang dia dapat dengan sebab dakwah ini, maka dia baca ayat al-Quran ini:
{\”Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui, tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.}, dia bercita-cita mengharapkan Allah sampaikan khabar gembira kepada kaumnya juga selepas dia melihat apa kelebihan yang dia dapat.
Kita orang mukmin mesti bercita-cita menjdi penasihat untuk menyelamatkan manusia, bukan hanya keluarga terdekatnya sahaja.

  1. Ayat 27- {\”Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan\”.}- kurniaan kemuliaan Allah s.w.t bukan hanya untuk lelaki itu saja, tetapi untuk seluruh manusia yang berusaha berdakwah sepertinya! Lelaki itu mendapat kemuliaan selepas dia berusaha dan bekerja keras untuk berdakwah kepada kaumnya.
    Maka kita pun kena ada usaha dalam dakwah, mulakan dengan usaha yang kecil dulu setakat kemampuan, kongsi dan ajarkan zikir-zikir dan doa yang ma\’thur, kemudian diikuti dengan yang lebih besar secara ansur-ansur.
    Kerja dakwah kena berterusan dan sentiasa ada walaupun kecil dan sedikit.
  2. Ayat 20- {Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu (الْمَدِينَةِ)} & Ayat 13- {Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (الْقَرْيَةِ) }-
    i- Kata ulama\’ di dalam al-Quran, jika Allah s.w.t gunakan dua perkataan ini ia membawa makna yang sama.
    Bandar atau kampung.
    Tetapi jika dalam penggunaan bahasa Arab sekarang ini, kena bezakan antara dua perkataan ini kerana ia membawa makna yang berbeza- الْقَرْيَةِ dengan makna kampung manakala (الْمَدِينَةِ) dengan makna bandar.
    Tetapi dalam al-Quran sama, dalilnya Allah s.w.t namakan Makkah dengan qaryah juga. Maknanya tempat orang berkumpul.
    Ahli qaryah- orang kampung kita, orang bukan qaryah.

ii- ayat ini juga menunjukkan dakwah 3 rasul itu sudah sampai sehingga ke penghujung negeri itu! Dakwah itu mesti diperluasakan ke segenap penjuru kawasan!

  1. Ayat 22- {Maka jawabnya): \”Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?}- ayat ini menunjukkan wajib kita ikhlaskan ibadat kepada Allah s.w.t. Kata ulama\’ ayat ini juga menunjukkan tanda pendakwah yang hebat dan dakwah yang baik ialah menyatakan sebab, dalil dan alasan untuk sesuatu perbuatannya. Seperti kenapa kita wajib menyembah Allah s.w.t; kerana Dia yang mencipta kita dari awal kejadian dan Yang kepada-Nya juga kita semua akan dikembalikan dan diberi pembalasan!

Powered by BetterDocs