Lailatul Qadar & I’tikaf

Risalah (2)Ramadhan Al-Mubarak Lailatul Qadar & I’tikaf. 


Bismillahirrahmanirrahim.Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita di kalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad r itu pesuruh Allah I. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad r, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.Firman Allah SWT yang bermaksud: {Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang batil)}. [Al-Baqarah: 185] Bersyukur kepada Allah Taala, kerana dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, sekali lagi pada tahun ini kita dipertemukan dengan Ramadhan. Alangkah bertuah bagi sesiapa yang menyambutnya dengan ibadah dan mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada-Nya. Dan alangkah ruginya bagi sesiapa yang tidak bertambah Iman dan amal di bulan berkat ini.

Kini, sepuluh terakhir Ramadhan menjelma lagi. Hanya beberapa hari, Allah Taala menyediakan untuk hamba-hamba-Nya segala kebaikan, ganjaran, keampunan, kelebihan yang tidak mampu dihitung oleh kita.

 a) Lailatul Qadar.Di dalam Ramadhan yang mulia ini Allah SWT menghadiahkan kepada hamba-hamba-Nya satu malam yang yang sangat berkat iaitu Lailatul Qadar. Malam ini dinamakan dengan Lailatul Qadar, diambil daripada kalimah al-Qadar yang bererti kemuliaan atau kedudukan yang tinggi, kerana malam ini adalah malam yang sangat mulia. Ataupun diambil daripada kalimah qadar atau taqdir, kerana pada malam ini Allah SWT memutuskan urusan-Nya dan menetapkan taqdir segala perkara.Firman Allah I: Maksudnya: {Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan malaikat Jibril akan turun dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Pada malam itu penuh dengan kesejahteraan sehinggalah terbit fajar}. [Surah al-Qadar: 1-5].Firman-Nya lagi: Maksudnya: {Sesungguhnya kami menurunkannya (al-Quran) pada suatu malam yang diberkati (Lailatul Qadar) dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. laitu urusan yang besar dari sisi Kami, sesungguhnya Kamilah yang mengutus para Rasul. Sebagai rahmat dari Tuhan kamu sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Mengetahui}.  [Ad-Dukhan: 3-6].Sabda Rasulullah r: ((مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [البخاري ومسلم]Maksudnya: “Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” [HR: Al-Bukhari dan Muslim].Beberapa kelebihan tentang Lailatul Qadar yang dapat diambil dari surah al-Qadar antaranya ialah:·        Allah menurunkan al-Quran pada malam tersebut yang mana ia memberi petunjuk kepada manusia dan memberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.·        Allah SWT menyoal “Apakah kamu mengetahui apakah dia Lailatul Qadar?” Persoalan seperti ini menunjukkan keagungan dan kemuliaan perkara tersebut.·        Ia lebih baik daripada 1000 bulan (83 tahun 3 bulan).·        Para Malaikat akan turun ke dunia pada malamnya dengan membawa kebaikan,  keberkatan dan rahmat.·        Malam ini adalah malam kesejahteraan sehingga terbitnya fajar. laitu kesejahteraan daripada neraka dan azab Tuhan bagi hamba yang menghidupkannya dengan amal ibadah.·        Allah menurunkan kelebihannya dengan menurunkan satu surah penuh yang akan dibaca sehingga ke hari akhirat.Para ulama’ Salaf dikalangan Sahabat dan Tabi’in bersedia dengan mandi dan berwangi-wangian pada malam-malam sepuluh yang terakhir sebagai persediaan untuk beribadat serta mencari dan menjejaki Lailatul Qadar yang telah dimuliakan oleh Allah dan diangkatkan kedudukannya.

Rugilah orang yang mensia-siakan umurnya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Tampunglah segera kelalaian yang lalu dengan mencari Lailatul Qadar. Sesungguhnya ia menyamai umur manusia bahkan lebih dari itu. Apakah tempoh 83 tahun 3 bulan, sesuatu yang singkat? Beramal pada malam tersebut lebih baik dari kita beramal dalam tempoh 83 tahun, sesiapa yang telah melepaskan peluang kebaikan ini adalah orang yang akan kerugian.

 Bilakah Lailatul Qadar?·        Bulan Ramadhan.Tidak syak bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan berdasarkan ayat-ayat al-Quran bahawa aI-Quran diturunkan pada Lailatul Qadar, dan diturunkan pada bulan Ramadhan. Maka semestinya ia berlaku pada bulan Ramadhan. Dalam satu hadis, Abu Zar ra bertanya kepada Nabi  SAW, maksudnya: “Wahai Rasulullah, khabarkan padaku tentang Lailatul Qadar, adakah ia pada bulan Ramadhan?” Jawab Baginda SAW: “Bahkan pada bulan Ramadhan”. [HR: Ahmad dan Nasa’i].·        Sepuluh terakhir Ramadhan.Lebih dikhususkan pada sepuluh terakhir Ramadhan berdasarkan banyak hadis, antaranya hadis muttafaq alaih: ((تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ)) [متفق عليه]Maksudnya: “Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan”. [HR: Al-Bukhari dan Muslim].Aisyah radhiallahu’anha(ra) meriwayatkan bahawa Rasulullah r bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir melebihi kesungguhannya pada masa-masa lain. Di dalam hadith muttafaq alaih kata Aisyah ra: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh terakhir Baginda mengetatkan kainnya (tidak mendatangi isterinya), menghidupkan malam dan mengejutkan keluarganya”.Aisyah ra juga meriwayatkan, maksudnya: “Adalah Nabi SAW pada dua puluh malam terawal mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba sepuluh terakhir, Baginda bersungguh-sungguh, dan mengetatkan kainnya”. [HR: Ahmad].Kata Syeikh Muhammad bin Soleh aI-Uthaimin: “Zahir hadis ini menunjukkan bahawa Baginda menghidupkan keseluruhan malam dengan beribadah; iaitu berzikir, membaca al-Quran, bersolat dan membuat persediaan untuk ibadah lain seperti bersahur. ” Menghidupkan malam bukan hanya dengan solat, malahan dengan pelbagai jenis ibadah seperti zikir, membaca aI-Quran, beristighfar, berdoa dan lain-lain. Oleh itu, apa yang dimaksudkan oleh Aisyah ra: “Aku tidak mengetahui Rasulullah  pernah mendirikan malam sehingga pagi”, maksudnya Rasulullah SAW tidak pernah solat sahaja sepanjang malam.”Rasulullah SAW juga mengambil peluang sepuluh terakhir Ramadhan ini dengan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah SWT. Firman Allah SWT: Maksudnya: {Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka}. [At-Tahrim: 6].·        Tujuh malam terakhir.Bagi mereka yang tidak mampu menghidupkan pada permulaan sepuluh terakhir, maka boleh memulakan pada tujuh malam terakhir. Sabda Rasulullah SAW:((التَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ -يَعْنِي لَيْلَةَ الْقَدْرِ- فَإِنْ ضَعُفَ أَحَدُكُمْ، أَوْ عَجَزَ،  فَلا يُغْلَبَنَّ عَلَى السَّبْعِ الْبَوَاقِي)) [مسلم]Maksudnya: “Carilah pada sepuluh terakhir. Jika salah seorang di kalangan kamu lemah atau tidak berupaya, maka janganlah dia tertewas pada tujuh yang berbaki lagi.” [HR: Muslim].·        Malam-malam ganjil (21,23,25,27,29).Malam-malam ini lebih diharapkan adanya Lailatul Qadar, kerana warid bahawa Nabi SAW menyebut malam-malam tersebut.·        Malam 27 Ramadhan.Boleh jadi malam yang sangat diharapkan ialah pada malam 27, ini berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Ubai bin Ka’ab ra beliau berkata, yang bermaksud: “Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang mana Rasulullah SAW telah menyuruh kami untuk bangun beribadah, iaitu malam yang ke 27,” dan Ubai berkata lagi: “Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada pagi harinya tiada (شعاع) sinarnya”. Namun ramai ulama’ berpendapat malam Lailatul Qadar berpindah di antara malam-malam witir, tetapi yang ghalib kebanyakannya pada malam 27, dan bukanlah suatu yang tepat sekiranya kita menganggap pada malam tersebutlah sahaja akan berlaku Lailatul Qadar.  Wallahu a’lam.Bacaan Malam Lailatul Qadar.Aisyah ra berkata: ”Wahai Rasulullah, sekiranya aku dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar apakah yang harus aku ucapkan?” Rasulullah SAW bersabda: ((اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي))Maksudnya: “(Ucapkanlah) Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Pemurah dan suka mengampunkan maka ampunkanlah aku.” [HR: Ahmad, at-Tirmizi, sahih]. Hikmah Disembunyikan Lailatul Qadar.Mungkin ada yang bertanya kenapa Allah SWT sengaja menyembunyikan Lailatul Qadar. Kenapa tidak dijadikan satu malam tertentu sebagai malam berkat ini supaya mudah hamba-hamba-Nya mendapat kelebihan ini. Hikmahnya banyak samada diketahui oleh kita atau tidak. Antara yang jelas ialah:·        Sebagai rahmat kepada hamba-hamba-Nya supaya mereka memperbanyakkan amalan untuk mencari Lailatul Qadar. Jika hanya tertentu pada suatu malam, mereka hanya akan bersungguh-sungguh pada satu malam itu sahaja.·        Ujian terhadap hamba-hamba-Nya, supaya nyata siapakah yang benar-benar ingin mendapatkannya, dan nyata siapakah yang hanya berolok-olok, bermain-main dan bersikap sambil lewa. 


b) Beri’tikaf:Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadhan ini, ialah digalakkan beri’tikaf padanya. Apakah erti i’tikaf?I’tikaf dari segi bahasa ialah: Menahan, menetap, dan melazimi sesuatu. Dari segi istilah, i’tikaf ialah: Melazimi masjid oleh individu tertentu dengan niat. Sesetengah ulama’ menambah, “…..untuk melakukan ketaatan”. Tujuan ditambah ayat ini untuk memberi isyarat bahawa hendaklah memulakan ibadah ini dengan niat ikhlas kerana Allah. Bukan datang ke masjid kerana ingin berbual-bual dengan rakan-rakan. Bukan juga kerana semata-mata ingin mengasingkan diri dari orang lain. Tetapi mestilah datang untuk membuat ketaatan kepada Allah.Hukum Beri’tikaf:Beberapa ulama’ ijma’ menaqalkan  bahawa hukumnya adalah sunat, tidak wajib. la hanya menjadi wajib sekiranya dinazarkan.Kata Ibnu Shihab: “Alangkah peliknya orang-orang muslimin yang meninggalkan i’tikaf, sedangkan Nabi SAW tidak pernah sekalipun meninggalkannya semenjak Baginda masuk ke Madinah.”Walaupun i’tikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tetapi terdapat galakan khusus untuk beri’tikaf pada sepuluh terakhir Ramadhan. Dalil-dalil:Abu Hurairah ra meriwayatkan, maksudnya: “ Rasulullah SAW akan beri’tikaf pada sepuluh akhir setiap kali datang bulan Ramadhan. Tetapi pada tahun Baginda diwafatkan Baginda beri’tikaf selama 20 hari.” [HR: Al- Bukhari].Daripada Ibnu Umar ra maksudnya: “Rasulullah SAW beri’tikaf pada sepuluh terakhir Ramadhan”. [HR: Al-Bukhari].Daripada Aisyah ra maksudnya: “Nabi SAW beri’tikaf pada sepuluh terakhir Ramadhan sehingga Allah mewafatkan Baginda. Kemudian, isteri-isterinya terus beri’tikaf selepasnya”. [HR: Al-Bukhari].Amalan ketika beri’tikaf:I’tikaf adalah diantara ibadat yang terkumpul di dalamnya banyak amalan-amalan soleh dan ketaatan seperti membaca al-Quran, solat, zikir, doa dan sebagainya.Satu perkara yang sepatutnya diketahui oleh orang-orang yang beri’tikaf ialah hukum, syarat, peraturan dan adab beri’tikaf. Secara ringkas, orang yang beri’tikaf tidak dibenarkan keluar dari masjid sehinggalah selesai pada waktu yang sepatutnya. Keringanan untuk keluar hanyalah untuk memenuhi hajat-hajat yang lazim untuk keperluan diri, seperti mencari makanan dan ke tandas. Sepatutnya mereka juga meninggalkan apa jua urusan yang tidak berkaitan dengan ibadat seperti urusan keduniaan dan cakap-cakap kosong. Sesetengah ulama’ mengatakan digalakkan juga dalam tempoh i’tikaf ini menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid tempat i’tikafnya. Ini kerana menuntut ilmu adalah salah satu ibadah kepada Allah SWT sebagaimana sesetengah ulama’ salaf mengatakan: “Tiada ibadah kepada Allah yang lebih baik daripada menuntut ilmu”. Namun ada juga ulama’ yang tidak menggalakkannya, seperti Imam Malik. Sebagai contoh, beliau akan meninggalkan pengajian ilmu hadis di Masjid Nabawi dan menyibukkan diri dengan al-Quran. Katanya: “(Sewaktu i’tikaf) Jangan menyibukkan diri dengan majlis-majlis ilmu dan jangan juga mencatat ilmu”. Bagi beliau majlis-majlis seperti itu boleh menghilangkan tumpuan terhadap ibadah i’tikafnya. Kesimpulannya, tidak salah menghadiri majlis-majlis ilmu sewaktu i’tikaf melainkan jika ia berpanjangan dan menyebabkan hilang tumpuan kepada maksud utama i’tikaf.Hikmah digalakkan beri’tikaf pada sepuluh malam terakhir:·        Supaya seorang muslim lebih terjaga dirinya daripada terlalai dan melakukan larangan Allah. Apabila berada di dalam masjid, peluang untuk membuat maksiat adalah terhad.·        Supaya mudah dan dekat dengan ibadah-ibadah dan ketaatan.·        Mengharapkan supaya bertemu dengan Lailatul Qadar, kerana ia hanya berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sahaja.

     

Penutup:Sabda Rasulullah SAW sewaktu menaiki mimbar di Madinah:((رَغِمَ أنف عبد دخل عليه رمضان فلم يُغفر له)) [صحيح ابن خزيمة، السنن الكبرى للبيهقي]Maksudnya: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya”. [HR: Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi]Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seorang muslim yang berakal melepaskan peluang yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. la bukanlah satu masa yang panjang. Hanya beberapa malam yang boleh dihitung dengan jari. Boleh jadi, pada malam-malam ini seseorang muslim mendapat pemberian daripada Tuhannya, lalu dia termasuk di kalangan orang yang berbahagia di dunia dan akhirat.Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah supaya kita semua dapat mengambil peluang keemasan ini. la adalah peluang untuk menggandakan amalan dan peluang untuk mendapatkan keampunan Allah SWT. Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan dalam keadaan melakukan amal soleh dengan sepenuhnya.  


Rujukan:مجالس رمضانية. الدكتور سلمان بن فهد العودة.حال السلف في رمضان. دار الوطن، الرياض.رسالة شهر رمضان المبارك. دار الوطن، الرياض.Sepuluh Terakhir Ramadhan: Satu Pesanan. Oleh: Ust. Lokmanulhakim bin Hussain, PPM Madinah 2005. 

Akhukum:Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian, Kelantan.15 Ramadhan 1428H- 27 Sep 2007.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *