💎Isteri-Isteri Nabi S.A.W Diberi Pilihan Hidup, Kadar Nilai Pahala Dan Dosa Mereka & Beberapa Faedah Dari Peristiwa Ini.💎

♥Live Pagi Sabtu 08 R. Thani 1443H = 13/11/2021 Selepas Subuh Dr. Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Ahzab (10) Ayat [28-31]♥

Full video: https://fb.watch/9eNUZaXwSr/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dari medan perang Ahzab dan Bani Quraizah dalam siri-siri yang lepas, hari ini ini kita kembali ke rumah Rasulullah s.a.w.
  2. Dua asas akhak yang mulia ialah:
    i- Mengagungkan seluruh arahan Allah s.w.t samada yang perintah atau larangan.
    ii- Kasihan belas, berlemah-lembut dan berbuat baik sesama makhluk.
    *Yakni WAJIB baik dengan Allah dan baik dengan manusia.
  3. Sebagaimana ayat pertama surah Ahzab, Allah s.w.t menyeru Rasulullah s.a.w secara rasmi (يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ) dan diperintahkan untuk bertaqwa kepada Allah s.w.t.
  4. Dalam ayat 28 ini Allah s.w.t menyeru pula (يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ) dan mengajar untuk berbuat baik kepada sesama manusia dan yang paling utamanya ahli keluarga di dalam rumah sendiri iaitu isteri dan anak-anak.
  5. Ayat 28 ini khasnnya ditujukan perbincangan tentang para isteri Rasulullah s.a.w iaitu para Ummahatul-Mukminin.
  6. Maka jelaslah di sini kaitan DUA ayat ini, ayat 1 & ayat 28 yang merupakan DUA tonggak kepada asas kemuliaan akhlak – مكارم الأخلاق.

🌺*Ayat 28- {Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.}
(Al-Ahzaab 33:28)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru (يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ) sebagaimana telah kita bincangkan dalam ayat pertama sebelum ini bahawa Allah s.w.t tidak memanggil rasul kita kecuali dengan jawatan Baginda. Maka kita pun kena buat begitu juga sebagaimana yang diajar oleh Allah s.w.t ini.
  2. Boleh baca lebih lanjut tentang bandingan 41 Kelebihan Rasulullah s.a.w dengan rasul yang lain:
    http://www.dartaibah.com/…
  3. Apabila diseru begini adalah menunjukkan bahawa Allah mahu memberi satu arahan dan pengajaran yang besar kepada Rasulullah s.a.w.
  4. Allah s.w.t perintahkan Rasulullah untuk berkata kepada para isterinya dan memberi dua pilihan samada mahu kehidupan yang mewah di atas dunia ini atau memilih Allah dan Rasulullah s.a.w.
  5. Kenapa peristiwa ini berlaku? Selepas Allah s.w.t memberi kemenangan kepada Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin ke atas yahudi bani an-Nadhir yang kaya, mereka diusir keluar dan meninggalkan segalanya. Kemudian selepas Perang Ahzab, kaum muslimin mengalahkan pula yahudi bani Quraizah, maka bertambahlah harta rampasan, ghanimah milik kaum muslimin.
  6. Selepas itu para isteri Rasulullah menyangka taraf hidup mereka akan naik sikit, lalu mereka meminta dengan Rasulullah s.a.w, sedikit sahaja nafkah yang lebih, tidak banyakpun lalu berlakulah peristiwa besar ini!
  7. Sebab turun ayat berdasarkan hadis:
    Riwayat Jabir ibnu Abdullah dia berkata, “Abu Bakar pernah meminta izin untuk masuk menemui Rasulullah s.a.w., lalu dia mendapati para sahabat duduk di depan pintu (rumah) Baginda dan tidak ada seorang pun di antara mereka yang diizinkan masuk. Tetapi Abu Bakar diizinkan untuk masuk, maka dia pun masuk, lalu Umar datang dan meminta izin untuk masuk, maka dia juga diizinkan. Mereka berduai ni adalah bapa mentua kepada Rasulullah s.a.w.
    Lalu Umar mendapati Nabi s.a.w. dalam keadaaan duduk dan menahan sedihnya sambil diam (tidak berkata-kata), sedangkan isteri-isterinya berada di sekelilingnya. Umar berkata, “Aku akan mengatakan sesuatu yang dapat membuat Nabi s.a.w. tersenyum,” Umar pun berkata, “Wahai Rasulullah, kalau sekiranya engkau melihat puteri Kharijah (isterinya), jika dia meminta nafkah kepadaku, maka aku bangkit menghampirinya lalu menekan lehernya.”
    Maka Rasulullah s.a.w. tersenyum, dan bersabda, “Mereka ini berada di sekelilingku sebagaimana yang kamu lihat juga meminta nafkah kepadaku.”
    Lalu Abu Bakar bangkit menghampiri Aisyah dan menekan lehernya, Umar juga bangkit menghampiri Hafsah lalu menekan lehernya, keduanya sambil berkata, “(Mengapa) kamu meminta kepada Rasulullah s.a.w. nafkah yang tidak ada pada sisinya.”
    Mereka pun berkata, “Demi Allah, kami tidak meminta kepada Rasulullah s.a.w. sesuatu yang tidak ada padanya selamanya.”
    Maka Baginda menjauhi mereka selama sebulan atau 29 hari. Kemudian turunlah ayat ini kepada Baginda,
    “Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu,” …dan seterusnya, sampai, “bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu.” (Al-Ahzab 33:28-29),
    Rasulullah s.a.w memulainya dengan bertanya kepada Aisyah dan berkata, “Wahai Aisyah! Sesungguhnya aku akan menawarkan kepadamu perkara yang aku ingin engkau tidak terburu-buru menjawabnya sebelum engkau bermusyawarah dengan kedua orang tuamu.” Aisyah berkata, “Apa itu wahai Rasulullah?” Maka Baginda s.a.w membacakan ayat tersebut kepadanya.
    Maka Aisyah berkata, “Apakah dalam memilih engkau aku perlu bermusyawarah kepada kedua orang tuaku. Bahkan aku memilih Allah dan Rasul-Nya, serta negeri akhirat, dan aku meminta kepadamu agar engkau tidak memberitahukan kepada seorang pun di antara isteri-isterimu tentang perkataanku.”
    Baginda menjawab, “Tidak ada salah seorang isteri(ku) yang bertanya kepadaku kecuali aku akan beritahukan. Sesungguhnya Allah tidak mengutusku sebagai orang yang menyusahkan manusia dan tidak pula menginginkan kesesatan mereka. Akan tetapi, Dia mengutusku sebagai guru dan pemberi kemudahan.” [HR: Muslim No. 1478]
    Allah s.w.t. memerintahkan Rasulullah s.a.w. untuk memberi pilihan kepada para isterinya dengan menurunkan ayat ini.
  8. Kedudukan sebagai isteri-isteri Rasulullah s.a.w adalah sangat tinggi dan berat berbanding dengan isteri orang mukmin biasa. Oleh itu Allah s.w.t menyuruh Rasulullah memberi pilihan kepada mereka, kerana jika mereka memilih dunia, maka kehidupan itu tidak akan sesuai sebagai isteri seorang rasul, lalu mereka akan diceraikan dengan dada yang lapang dan hati yang senang daripada masalah rumah tangga semakin parah, dan diberi (mut’ah) saguhati.
    *Mut’ah adalah suatu pemberian yang diberikan kepada perempuan yang telah diceraikan menurut kemampuan suami.

🌺*Ayat 29- {“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar”.}
(Al-Ahzaab 33:29)

  1. Tetapi jika mereka memilih untuk hidup sederhana dengan Baginda s.a.w, dan memilih akhirat, maka mereka akan diberi balasan dan pahalanya di akhirat kelak yang tiada bandingannya.
  2. Alhamdulillah jelaslah bahawa semua para isteri Rasulullah s.a.w memilih Allah dan Akhirat dan untuk bersama Baginda s.a.w. daripada kehidupan dunia. Tiada seorang pun yang memilih untuk berpisah dengan Baginda s.a.w. Mereka tidak peduli terhadap susah atau senangnya kehidupan mereka, mereka qana’ah (menerima seadanya) pemberian sedikit dari Rasulullah s.a.w. dan tidak akan meminta sesuatu yang menyusahkan Baginda s.a.w.
  3. Antara faedah dari diberi pilihan ini:
    i- Allah s.w.t tidak mahu menyusahkan Rasulullah s.a.w, beri kata putus, hitam putih terus, agar perkara ini tidak akan timbul lagi selepas ini.
    ii- selepas pilihan ini, selepas pilih Allah dan rasul, Allah s.w.t beri kebenaran kepada Rasulullah untuk mendidik isterinya supaya bersifat zuhud, ada makanan bawa balik, jika tiada tak apa. Bermulalah ujian, dididik supaya bersifat zuhud dan sabar!
    iii- untuk membersihkan rumah-tangga Rasulullah s.a.w dari sifat materialistic dan cintakan dunia, jangan ada di kalangan isterinya yang mata duitan!
    iv- Allah mahu jaga dan selamatkan para Ummahatul-Mukminin daripada sifat yang boleh menyusahkan Rasulullah s.a.w dan mengundang kemurkaan Allah s.w.t.
    v- dengan ujian ini, Allah s.w.t mahu mengangkat darjat para Ummahatul-Mukminin, tidak ada seorang pun yang bercita-cita mahukan dunia, semuanya memilih Allah dan Rasul-nya.
    vi- Allah s.w.t membuat persiapan untuk mereka dengan pilihan ini, untuk menjadikan mereka yang terbaik!
    vii- Allah s.w.t mahu seimbangkan, sesuai dan serasikan akhlak dan peribadi mereka juga dengan Rasulullah s.a.w yang begitu tinggi, luhur keperibadian, mulia akhlaknya dan paling indah sifatnya. Kerana Allah s.w.t sudah katakan seorang lelaki yang baik itu untuk perempuan yang baik! Sebagaiman firman Allah s.w.t:
    وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
    {Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula).} [An-Nur:26].
    Kerana itu keserasian antara suami isteri kena ada, kena fahama apa yang isteri/suami suka atau tidak suka.
    viii- pilihan ini mendidik mereka untuk bersifat “qana’ah”- zuhud sesuai dengan kehidupan Rasulullah s.a.w, sederhana dan mencukupi dengan apa yang ada. Jika ada rezeki kita makan, jika tiada kita puasa. Apa yang dikehendaki hanyalah kerehatan yang abadi bersama Rasulullah s.a.w di Syurga kelak!
    ix- pilihan ini menjadikan sebab bertambahnya dan bergandanya pahala mereka. Mereka telah mencapai satu darjat yang tidak akan sampai oleh para wanita lain. Jangan ada sesiapa yang bercakap ada wali wanita atau sesiapa saja yang lebih tinggi darjatnya dari para Ummahatul-Mukminin ini. Mereka adalah wanita yang telah dididik oleh Allah s.w.t dan di bawah didikan Rasulullah s.a.w sendiri. Apatah lagi untuk mengatakan ada wali atau manusia lain yang lebih mulia daripada Rasulullah s.a.w!
  4. Allah s.w.t mahu memberi pahala yang besar kepada para isteri Nabi, iaitu al-Muhsinat (المحسنات) perempuan yang baik, yang tidak langar perintah Allah dan Rasul-Nya, yang tidak menyusahkan suami. Maka sesuailah gelaran al-Muhsinat (المحسنات) untuk mereka, sesuai dengan al-Muhsin, seorang suami yang berjawatan Rasulullah s.a.w.
  5. Ketika itu Nabi s.a.w. mempunyai sembilan orang isteri. Lima orang isteri dari kalangan kabilah Quraisy, iaitu Aisyah, Hafsah, Ummu Habibah, Saudah, dan Ummu Salamah r.anhunna. Selain itu adalah Safiyyah binti Huyay An-Nadriyyah, Maimunah bintil Haris Al-Hilaliyah, Zainab binti Jahsy Al-Asadiyah, dan Juwairiyah binti al-Haris Al-Mustaliqiyah r.anhunna. Semoga Allah melimpahkan redha-Nya kepada mereka dan membuat mereka semua redha dengan pahala-Nya.

🌺*Ayat 30- {Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
(Al-Ahzaab 33:30)

  1. Ayat ini satu amaran besar kepada para wanita. Dalam ayat ini Allah s.w.t menyeru يَانِسَاءَ النَّبِيِّ Wahai para Isteri Nabi- Ayat ini sebagai satu ujian dan peringatan untuk Ummahatul-Mukminin dan seluruh wanita beriman semuanya.
  2. Para Ummahatul-Mukminin diberi ingatan agar jangan sekali-kali membuat perbuatan keji dan melanggar perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika mereka melakukannya, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda.
  3. Maka disini Allah s.w.t tekankan bahawa dosa para Ummahatul-Mukminin itu akan berganda berbanding dengan wanita lain. Ini kerana mereka mempunyai darjat yang tingi dan kedudukan yang mulia.
  4. Allah s.w.t berfirman: {jangan buat perbuatan yang keji بِفَاحِشَةٍ } iaitu menyebut perkataan فَاحِشَةٍ secara nakirah (umum). Ulama’ membincangkan pula tentang maksud perkataan ini dengan beberapa pendapat:
    i- ulama’ kata ia bermaksud maksiat- derhaka kepada Nabi s.a.w. Ibnu Abbas kata maksudnya derhaka kepada Nabi dan tidak baik perangai. Tidak mungkin benda keji! Allah pilih menjadi isteri Nabi, maka mustahil bersifat begitu.
    ii- ada juga yang kata dengan maksud zina tetapi bukan dalam ayat ini.
    iii- ada yang kata dengan makna maksiat yang zahir, derhaka kepada suami dan buruk perangai.
    iv- Kata Ibnu Arsyur- fahisyah yang nakirah dengan makna maksiat, jika sebut dengan ma’rifah (khas) seperti al-fahisyah maka baru bermakna zina, liwat dan seumpamanya.
  5. Ini kerana dalam ayat al-Quran Allah s.w.t tidak akan kata kepada para isteri Nabi bahawa mereka akan buat perangai keji seperti zina, jadi jelas maksudnya di sini hanya perangai akhlak yang tidak baik iaitu derhaka kepada Rasulullah s.a.w.
  6. Ibnu Kathir buat kesimpulan: Ia syarat kepada sesiapa yang buat, sedangkan ia tidak semestinya berlaku, bahawa sesiapa yang buat perangai tidak baik dan buruk kepada Nabi s.a.w, dosanya akan digandakan.
  7. Ini sebagaimana telah kita pelajari bahawa pahala dan dosa itu berganda dengan beberapa sebab seperti:
    i- tempat seperti di Tanah Haram, di masjid dan lain-lain.
    ii- masa – seperti bulan Ramadahan, 10 Awal Zulhijjah, dekat subuh, waktu sahur dan berbuka puasa dan lain-lain.
    iii- pelaku itu sendiri. Seperti ustaz/ustazah atau ahli agama yang buat keburukan kerana ia akan menjadi ikutan dan hujjah bagi orang awam yang melihat mereka. Isteri ustaz atau ustazah yang bermekap (kening luntung) tidak sama dosanya dengan para pelakon. Ustaz yang hisap rokok atau mengumpat tidak sama dengan dosa orang kampung.
  8. Maka dalam ayat ini Allah s.w.t jelaskan kerana para isteri nabi itu mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi, Allah akan gandakan dosanya jika mereka buat salah. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
  9. Maka manusia yang bahagia ialah orang yang sudah mati tetapi kebaikan dan pahalanya tidak mati, begitu juga orang yang celaka ialah mereka yang telah mati tetapi kejahatan dan dosanya tidak mati!

🌺*Ayat 31- {Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.}
(Al-Ahzaab 33:31)

  1. Ayat ini jika di dalam tafsir Pimpinan ar-Rahman ia sudah masuk dalam juzuk ke-22. Semoga kita semua sihat, tahan ujian dan semangat agar tidak lari, dapat sudahkan pengajain Tafsir ini.
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t juga jelaskan bahawa jika mereka para Ummahatul-Mukminin berbuat kebaikan dan amal yang soleh, pahalanya juga bertambah dan berganda sebagaimana berganda dosa mereka jika menyakiti Nabi s.a.w.
  3. Allah s.w.t juga akan sediakan bagi mereka limpah kurnia yang sangat mulia, rezeki yang baik di akhirat kelak!
  4. Bahagialah mereka para Ummahatul-Mukminin yang terpilih menjadi peneman Rasulullah di dunia dan di dalam syurga kelak!! Lebih-lebih Sayyidah Khadijah r.a yang menemani Baginda di awal perjuangan dakwah pada waktu yang begitu susah dan getir.
  5. Allah s.w.t memberi ujian untuk mengangkat darjat kita dan supaya kita sedar dan insaf jika telah tersasar dan lupa, agar kembali kepada Allah Azza wa Jalla.
  6. Ujian atas dunia ada dalam pelbagai bentuk, ada yang dalam bentuk kesihatan & kesakitan, harta kesenangan & kesusahan dan kecaman fitnah. Jangan goyah teruskan perjuangan lihatlah kepada Rasulullah s.a.w yang telah melaluinya dengan penuh sabar dan kental. Teruskan perjuangan kita mengangkat al-Quran dan hadis nabi s.a.w, jangan hiraukan kecaman dan halangan di tengah jalan, anggaplah ia hanya sebagai kemuncup jangan berhenti semata untuk mencabutnya. Tungu sehingga sampai ke destinasi atau hujung padang.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Allah s.w.t memberi dua pilihan dan dua bandingan dari Ayat 28- {Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) DAN Ayat 29- {“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar”.} – kata ulama’ ini menunjukkan niat yang baik itu akan meningkatkan pahala. Pahala itu mengikut pilihan kamu. Niat membezakan antara adat & ibadat, niat juga membezakan antara sesama ahli ibadat.
  2. Ayat 29- {“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar”.} – sesiapa yang pilih kekal bersama Nabi bermakna dia telah memilih 3 perkara: Allah, Rasul & Akhirat. Maka amat tinggi darjatnya.
  3. Ayat 30- {Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda.} – apabila sempurnanya nikmat Allah s.w.t ke atas hamba-Nya, maka dosanya juga besar jika mereka buat dosa dan derhaka. Ini kerana orang yang baik tidak sepatutnya buat tidak baik, secara logik akal pun, tidak sama jika orang besar atau tinggi kedudukannya buat salah!
  4. Ayat 30- {Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda.} – orang yang mempunyai kemuliaan jika cuai tidak menjalankan tugasnya dan tidak jalankan tanggung-jawabnya maka kesalahannya lebih besar daripada orang biasa yang tidak bertugas.
    Disyorkan baca buku: Wahai Perempuan Para Pendakwah.
    يا نساء الدعاة
  5. Ayat 28- {Wahai Nabi, يَاأَيُّهَا النَّبِيُّ }- Allah s.w.t muliakan Rasulullah s.a.w dengan memanggilnya dengan jawatan Baginda bukan dengan namanya. Maka kita pun beradablah dengan Rasulullah s.a.w jangan cuba-cuba panggil namanya!
  6. Ayat 28- {Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah),} – ayat ini juga memberi hukum bahawa mana-mana wanita yang tidak mendapat hak dari suaminya, duduk rumah orang kaya tetapi bakhil dalam nafkah, maka dia berhak berbincang dengan keluarganya samada mahu terus bersama dengannya atau tidak!
    Begitu juga sebalinya, seorang isteri yang asal susah tetapi masih tidak syukur dan meminta-minta yang berlebihan, sedangkan suami sudah beri nafkah yang sepatutnya dan tunai haknya, maka diberi pilihan juga untuk terus bersama atau tidak!
  7. Ayat 28- {Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati),} – pilihan yang diberi bermakna pilihan yang terbuka, bukan bermakna terus menceraikanya. Pilih dulu baru buat keputusan selepas itu.
  8. Ayat 29- {“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya..} – matlamat, kemuncak kepada semua amalan dan perbuatan orang baik adalah kena buat kerana Allah dan rasul. Baru dapat pahala bukan bala.
  9. Ayat 29- {“Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredhaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat}- setakat zuhud atas dunia saja tidak dipuji, yang terpuji ialah sifat zuhud dan tinggalkan dunia kerana mahukan Akhirat dan kerana Allah. Jika tinggalkan dunia kerana mahu dipuji manusia atau ada sebab lain maka tidak akan dapat pahala. Begitu juga orang yang cari dunia kerana Allah s.w.t juga akan dapat pahala!
  10. Ayat 31- {Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda,} – Allah janjikan kepada orang yang baik, jika dia buat kebaikan pahalanya besar, begitu juga orang yang buat keburukan dosanya juga besar. Ingatlah pahala dan dosa boleh berganda, tengok kepada masa, tempat dan pelakunya maka hati-hatilah! Para ahli agama dan ilmuwan serta pasangannya, hati-hatilah, jangan kamu buat sesuatu yang tidak baik yang menjadi ikutan orang awam dan boleh menjadi hujjah ke atas kamu!
    Lihat 6 sebab dosa kecil jadi besar:
    Link: https://youtu.be/kNy0zQ6uFvs

Selamat di dunia di Akhirat nanti tidak akan terlepas.