SURAH AL-ANBIYA’ : AYAT 101-105

Para Ahli Syurga Dijauhkan Dari Neraka, Mereka Tidak Takut Saat Kematian& Telah Ditetapkan Bumi Akan Dikuasai Oleh Orang Soleh.

Full video: https://youtu.be/syR9N6RFAB0

MUQADDIMAH :
1. Dalam siri yang lepas huraian ayat ke 98- di mana kaum musyrikin dan sembahan mereka dari segala jenis berhala akan dimasukkan ke dalam neraka.
2. Hikmahnya untuk menambah azab siksaan dan penghinaan ke atas mereka, melihat apa yang mereka sembah itu tiada daya upaya apatah lagi kuasa untuk menyelamatkn mereka yang menyembahnya.
3. Ayat seterusnya ini menerangkan bahawa orang soleh yang beriman, yang telah disembah secara sesat oleh pengikut mereka sedangkan mereka tidak redha atau menyuruhnya, mereka juga akan selamat. Cuma patung-patung ukiran mereka yang disembah itu pasti akan dimasukkan ke dalam neraka.

AYAT 101- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG TELAH TETAP DARI DAHULU LAGI MEMPEROLEH KEBAIKAN DARI KAMI, MEREKA DIJAUHKAN DARI NERAKA ITU.} (AL-ANBIYAA’ 21:101)
1. Allah s.w.t menerangkan bahawa sudah menjadi satu ketetapan, orang yang beriman itu akan selamat dan dijauhkan daripada neraka dan azabnya.
2. Mereka akan berada di tempat yang lain dan sebaliknya.
3. Asbabun-Nuzul: Ibnu Abbas r.a berkata:
i- “Satu ayat yang besar dalam al-Quran, tetapi orang ramai tidak bertanya kepadaku tentangnya. Aku tidak tahu adakah mereka sudah memahaminya tau tidak faham lansung tentangnya.”
ii- Dia lalu ditanya apakah ayat itu? Katanya Ayat 98, surah al-Anbiya’– {Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilimparkan ke dalam neraka Jahannam; kamu (sudah tetap) akan memasukinya.}
iv- Lalu puak Quraisy mengatakan Nabi Muhammad ini tidak habis-habis mengatakan akan tuhan kita, mereka merasa susah hati. Lalu seorang daripada mereka yang bernama Ibnu az-Ziba’ra bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Apakah hanya tuhan kami atau semua yang disembah oleh orang lain? Rasulullah menjawab iya kesemuanya.
v- Lalu bertanya lagi Ibnu az-Ziba’ra: “Apakah penyembah matahari, bulan, malaikat, dan penyembah ‘Uzair seluruhnya di dalam neraka beserta tuhan-tuhan kami?” Sebagai satu tempelakan kepada Rasulullah kononnya.
vi- Maka turunlah ayat ini: {(Bahawasanya orang-orang yang telah ada untuk mereka ketetapan yang baik dari kami..}. (al-Anbiyaa’: 101), sebagai penegasan bahawa orang-orang yang menepati ketetapan-ketetapan Allah (beriman dan soleh) akan dijauhkan dari api neraka.
Ini kerana Malaikat, Isa dan Uzair:
a- Mereka tidak pernah menyuruh manusia menyembah mereka bahkan, telah menjalankan tugas mereka menyeru manusia untuk menyembah Allah s.w.t semata-mata. Mereka adalah hamba Allah yang beriman lagi soleh.
b- Berhala sembahan tadi bukan benda hidup semuanya, hanya menjadi bahan bakaran untuk menambahkan lagi penyesalan dan kekecewaan para penyembahnya.
c- Begitu juga orang soleh yang beriman lain, yang telah disembah secara sesat oleh pengikut mereka sedangkan mereka tidak redha atau menyuruhnya, mereka juga akan selamat. Cuma patung-patung ukiran mereka yang disembah itu pasti akan dimasukkan ke dalam neraka.
vii- Lalu Allah s.w.t turunkan pula ayat ini: {Dan ketika (nabi Isa) anak Maryam dikemukakan sebagai satu misal perbandingan, (untuk membantahmu wahai Muhammad), tiba-tiba kaummu bersorak-sorak kesukaan terhadapnya (kerana menyangka bahawa mereka telah menang).} (Az-Zukhruf:57)
{Dan mereka berkata lagi: “Manakah yang lebih baik, benda-benda yang kami sembah atau Isa?” Dan (sebenarnya) mereka tidak mengemukakan perbandingan itu kepadamu (wahai Muhammad) melainkan kerana membantah semata-mata (bukan kerana mencari kebenaran); bahkan mereka itu adalah kaum yang suka sekali mengemukakan bantahan.} (az-Zukhruf: 58).

viii- Maka terbatallah hujjah kaum musyrikin itu yang mahu mengejek Rasulullah s.a.w dengan firman Allah s.w.t ini.

AYAT 102- {MEREKA TIDAK MENDENGAR SUARA (JULANGAN) API NERAKA ITU, DAN MEREKA AKAN KEKAL SELAMA-LAMANYA DI DALAM (NIKMAT-NIKMAT SYURGA) YANG DIINGINI OLEH JIWA MEREKA.} (AL-ANBIYAA’ 21:102)
1. Mereka bukan saja selamat daari azabnya, bahkan jauh daripada neraka, tidak mendengar sama sekali bunyi suara azabnya yang dahsyat dan kuat itu.
2. Mereka akan kekal selama-lamanya di dalam nikmat-nikmat Syurga yang amat diingini semua.

AYAT 103- {HURU-HARA BESAR YANG AMAT MENGERIKAN (PADA HARI KIAMAT) ITU TIDAK MERUNSINGKAN MEREKA, DAN (SEBALIKNYA) MEREKA DISAMBUT OLEH MALAIKAT-MALAIKAT DENGAN BERKATA: “INILAH HARI KAMU (BEROLEH KEBAHAGIAAN), YANG TELAH DIJANJIKAN KEPADA KAMU (DI DUNIA) DAHULU”.} (AL-ANBIYAA’ 21:103)
1. Semua huru-hara dan kedahsyatan hari Kiamat sekali-kali tidak akan merunsingkan orang-orang yang beriman dan soleh.
2. Ini kerana sebelum mati mereka sudah mendapat khabar gembira akan nasib balasan kebaikan mereka.
3. Apabila dibangkitkan dari kubur pula, malaikat menyambut mereka dengan khabar gembira juga, inilah balasan nikmat kebahagian yang dijanjikan kepada kamu dulu.
4. Allahu Akbar, semoga kita semua termasuk dalam golongan ini.
5. Maka kita kena hati-hati dan beringat, ikut ajaran sunnah Nabi s.a.w dan jauhkan diri dari segala larangan Allah s.w.t.
6. Firman Allah s.w.t dalam surah Fussilat ayat 30-32:
{Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.} (Fussilat 41:30)
{“Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.} (Fussilat 41:31)
{“(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan dari Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!”} (Fussilat 41:32) |

AYAT 104- { (INGATLAH) HARI KAMI MENGGULUNG LANGIT SEPERTI MENGGULUNG LEMBARAN SURAT CATITAN; SEBAGAIMANA KAMI MULAKAN WUJUDNYA SESUATU KEJADIAN, KAMI ULANGI WUJUDNYA LAGI; SEBAGAI SATU JANJI YANG DITANGGUNG OLEH KAMI; SESUNGGUHNYA KAMI TETAP MELAKSANAKANNYA.} (AL-ANBIYAA’ 21:104)
1. Allah s.w.t gambarkan keadaan pada hari Kiamat, di mana langit akan digulung sebagaimana digulung lembaran kertas catitan kita.
2. Firman Allah s.w.t dalam surah Az-Zumar ayat 67:
{Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasa-Nya, dan langit tergulung dengan kekuasaan-Nya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan.}
3. Segalanya mudah bagi Allah s.w.t, Allah untuk ulang balik putaran kejadian manusia, Seluruh alam dan makhluk atas dunia ini akan dimusnahkan kemudian diganti dengan yang baru, kerana Allah s.w.t Maha Berkuasa untuk mengadakan segala-galanya dari tiada kepada ada dan sebaliknya.
4. Allah SWT berkuasa mengembalikan ciptaan-Nya yang sudah berubah bentuk atau hancur lebur seperti kekuasaan-Nya mencipta pada kali pertama. Menciptakan semula ialah sesuatu yang mudah bagi Allah SWT.
5. Ini adalah janji Allah s.w.t yang tetap akan dilaksanakannya.
6. Dari Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya kalian akan dikumpulkan menuju Allah SWT dalam keadaan tidak memakai kasut, bertelanjang dan tidak berkhatan.” Kemudian Baginda s.a.w membaca ayat 104 ini. [HR Bukhari & Muslim].

AYAT 105- {DAN DEMI SESUNGGUHNYA, KAMI TELAH TULIS DI DALAM KITAB-KITAB YANG KAMI TURUNKAN SESUDAH ADA TULISANNYA PADA LAUH MAHFUZ: “BAHAWASANYA BUMI ITU AKAN DIWARISI OLEH HAMBA-HAMBA-KU YANG SOLEH”.} (AL-ANBIYAA’ 21:105)
1. Allah s.w.t menyatakan lagi bahawa dalam kitab-kitab yang diturunkan dari langit (Zabur, Taurat, Injil dan lain-lain), sudah tertulis tentang aturannya pada Lauh Mahfuz.
2. Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba Allah yang soleh, yang beriman dan baik amal ibadatnya.
3. Ulama’ kata tafsiran “bumi yang akan diwarisi” ini maksudnya:
i- Bumi syurga di akhirat kelak, selepas hari Kiamat dan kebangkitan semula.
ii- Ada ulama’ kata, bumi dunia kita ini. Contohnya sebelum ini bumi Mesir dikuasai Firaun, kemudian berjaya diwarisi oleh orang yang beriman. Bumi Makkah awalnya dikuasai oleh musyrikin Makkah,Madinah juga akhirnya dikuasai kaum muslimin.
4. Hadis Rasulullah s.a.w: Pada akhir zaman umat Islam akan menguasai dunia.

PENUTUP/BEBERAPA FAEDAH RINGKAS:
1- Insya Allah semoga perjuangan dan dakwah kita dapat diteruskan sebagaimna sunnah para nabi a.s, tanpa menghiraukan kemuncup di jalan (halangan kecil).

Wallahu a’lam.