Surah Al-Ankabut : Ayat 48-52

Al-Quran Bukan Tulisan Nabi S.A.W, Kafir Quraisy Minta Mukjizat Yang Nyata & Allah S.W.T Saksikan Kebenarannya.💎

♥ Live Pagi Khamis 23 Safar 1443H = 30/09/2021 Selepas Subuh Dr Abu Anas Madani – Tafsir Surah Al-Ankabut (11) Ayat [48-52♥

Full video: https://fb.watch/8kIC463RfM/

🎀 Muqaddimah:

  1. Dalam siri ini ditetapkan akan kebenaran dan mukjizat al-Quran yang mulia.
  2. Al-Quran itu adalah dari Allah s.w.t. wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bukan penulis atau penyusunnya, kerana Allah s.w.t telah jaganya tidak dapat membaca dan tidak menulis. الأمي
  3. Al-Quran itu adalah mukjizat yang datang dari Allah s.w.t tanpa syak ragu lagi:
    i- maklumatnya tidak ada yang bercanggah.
    ii- maklumat dan fakta yang dibawanya tidak dapat disanggah.
  4. Orang kafir sentiasa menimbulkan keraguan tentang Rasulullah dan tentang al-Quran, memberi cadangan dan cabaran yang tidak masuk akal lalu dibatalkan oleh Allah s.w.t dengan hujjah yang mantap.
  5. Allah s.w.t menegaskan bahawa Dia adalah saksi akan kebenaran al-Quran dan Rasulullah s.a.w.

🌺*Ayat 48- {Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).}
(Al-‘Ankabuut 29:48)

  1. Allah s.w.t tegaskan dalam ayat ini bahawa Rasulullah s.a.w itu dengan kehendak Allah s.w.t adalah seorang yang tidak tahu membaca dan juga tidak menulis. النبي الأمي seorang Nabi yang tidak membaca dan tidak menulis.
  2. Ini adalah satu mukjizat baginya, jangan kata seorang yang buta huruf, kerana Baginda s.a.w adalah seorang yang bijak dan amat pintar serta fasih kata-katanya.
  3. Mukijizat yang Allah s.w.t jadikan, agar tidak boleh menjadi hujjah dan alasan bagi orang-orang kafir yang menentangnya untuk menimbulkan keraguan tentang kebenarannya.
  4. Bahawa al-Quran itu bukan tulisan atau rekaan Baginda s.a.w, mereka para penentang Rasulullah tidak akan dapat membuat tuduhan dan keraguan itu dari awal lagi!! Tetapi mereka menukarnya pula menuduh Rasulullah seorang tukang sihir, orang gila atau penyair pula!!
  5. Ada ulama’ kata maksudnya mubtilun لَارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ di sini ialah ahli Kitab, iaitu yahudi dan Nasrani, ini kerana dalam kitab Taurat sudah menyebut sifat Nabi yang ini. Yang penting umum untuk semua penentang Rasulullah dan al-Quran, ini adalah hujjah yang rapuh seperti sarang labah-labah.
  6. Firman Allah s.w.t: {Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka.} [Al-A’raf: 157]

🌺*Ayat 49- { (Al-Quran tetap datangnya dari Allah dengan tidak syak lagi) bahkan ia ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang zalim.}
(Al-‘Ankabuut 29:49)

  1. Al-Quran itu adalah mukjizat yang datang dari Allah s.w.t tanpa syak ragu lagi.
  2. Ayat-ayat al-Quran adalah jelas nyata dan terpelihara dalam dada/hati orang-orang yang berilmu. Yakni mudah untuk dihafaz dalam hati orang beriman sejak zaman Rasulullah dan para sahabat lagi serta sehingga kini.
  3. Maka orang-orang yang mengingkari al-Quran adalah orang yang melakukan kezaliman terhadap dirinya sendiri kerana telah menjadi kafir. Orang kafir pula akan mengundang kemurkaan Allah s.w.t terhadap dirinya!
  4. Ulama’ kata Allah s.w.t sebut tiga kali sifat orang yang menentang al-Quran dalam surah ini:
    i- ayat 47. {وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا الْكَافِرُونَ } [العنكبوت: 47]- dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang berdegil dalam kekufurannya.}
    ii- ayat 48. {إِذًا لَارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ } [العنكبوت: 48]- orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).}
    iii- ayat 49. {وَمَا يَجْحَدُ بِآيَاتِنَا إِلَّا الظَّالِمُونَ} [العنكبوت: 49] – dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang zalim.}

🌺*Ayat 50- {Dan mereka berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?” Jawablah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah, dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata”.}
(Al-‘Ankabuut 29:50)

  1. Kaum musyrikin Quraisy berkata untuk menimbulkan keraguan, “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?”
  2. Sebelum inipun mereka sudah membawa beberapa cadangan untuk membuktikan dakwah Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Isra’ ayat 90-93:
    {Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.}
    {Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus.}
    {Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.}
    {Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?} (Al-Israa’ 17: 90-93)
  3. Allah s.w.t mengajar kepada Rasulullah agar tidak melayan permintaan mereka itu dan untuk menjawab: “Sesungguhnya (urusan menurunkan) mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah.” Yakni terserah kepada Allah, bukan kerja Baginda untuk menurunkan wahyu atau memuaskan hati mereka.
  4. Tugas Baginda s.a.w sebagai seorang nabi dan rasul hanyalah: “dan aku hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata”.

🌺*Ayat 51- { (Patutkah mereka meminta mukjizat-mukjizat yang lain?) tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.}
(Al-‘Ankabuut 29:51)

  1. Perbuatan cadangan dan cabaran mereka itu tidak patut sama sekali.
  2. Sedangkan Rasulullah s.a.w sudah diturunkan mukjizat al-Quran yang para pakar bahasa dan sejarah mereka tidak menafikan kebenaran dan keajaibannya.
  3. Tidak cukupkah Al-Quran yang diturunkan itu dibaca dan difahami dengan akal dan hati yang terbuka?
  4. 5 kelebihan al-Quran berbanding dengan mukjizat yang lain:
    i- dibaca ke atas mereka (يُتْلَى عَلَيْهِمْ ) pada setiap masa dan tempat. al-Quran dibaca, dikaji dan diteliti pada sepanjang zaman. Setiap masa ada sahaja yang mengkaji Quran, di setiap tempat, di barat di timur, oleh orang Islam atau orang kafir jua!
    ii- dibaca ke atas mereka (يُتْلَى عَلَيْهِمْ ) – ia juga menjadi bahan bacaan, bahan bacaan dengan ilmu untuk menguasai maklumat. Tetapi untuk memahaminya seseorang itu perlukan akal, bukan sekadar mukjizat yang hanya boleh dilihat dengan mata sahaja.
    iii- ia adalah rahmat إِنَّ فِي ذَلِكَ لَرَحْمَةً – yakni sesiapa yang membaca al-Quran akan dapat rahmat, hukum-hakam dan juga ilmu maklumat. Menyeluruh faedah dan manfaatnya.
    iv- Zikra- peringatan. Ia juga mengandungi nasihat dan pemberi amaran. وَذِكْرَى
    v- kitab yang dibaca dan dapat difahami oleh orang Arab dan juga yang bukan Arab yang mempelajari bahasa Arab. Contoh seperti Imam Sibawaih (سيبويه), seorang pakar Nahu bahasa Arab yang masyhur adalah bukan Arab, seorang Parsi berasal dari Iran.

🌺*Ayat 52- {Katakanlah (wahai Muhammad): “Cukuplah Allah menjadi saksi (yang mengetahui perkara yang berbangkit) antaraku dengan kamu; Ia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi. Dan mereka yang percaya kepada perkara yang salah dan tidak percaya kepada Allah, mereka itulah orang-orang yang rugi.}
(Al-‘Ankabuut 29:52)

  1. Allah s.w.t memerintahkan agar Rasulullah berkata kepada kaum musyrikin yang menentangnya: “Cukuplah Allah menjadi saksi antara kita.”
  2. Allah s.w.t. lebih mengetahui tentang kedustaan yang mereka perbincangkan dan apa yang Beliau s.a.w. sampaikan kepada mereka. Jika Baginda s.a.w. berdusta, tentulah Allah s.w.t. terlebih dulu yang akan mengetahuinya.
  3. Di mana bumi subur di situlah benih ditabur. Yakni jika dakwah kita sudah tidak diterima lagi selepas segala usaha dilakukan, maka boleh berpindah mencari tempat lain untuk berdakwah kepada mereka yang mahu menerima dan memerlukannya.

🎀 Penutup/Beberapa Faedah Ringkas:

  1. Ayat 49- {Yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu;} –
    بَلْ هُوَ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ فِي صُدُورِ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ yakni al-Quran itu pertamanya tersimpan dalam dada Rasulullah s.a.w, kemudian para sahabat, tabiin dan para huffaz sepanjang zaman. Yakni al-Quran itu mampu dihafal. Allah s.w.t memuji orang yang berilmu dalam ayat ini, ilmu yang paling mulia ialah yang berkait dengan al-Quran dan ilmu tentang sunnah Nabi s.a.w. dalam Islam juga ada ilmu Fardhu Ain dan Farduh Kifayah.
  2. Ayat 51- {tidakkah cukup bagi mereka bahawa Kami telah menurunkan kepadamu Al-Quran} – jika benar-benar mahu beriman tak perlu lagi cari mukjizat lain. Cukuplah bagi orang yang mahu belajar dan mengambil ilmu dan hikmah membaca dan belajar al-Quran serta mengamalkannya. Ingat al-Quran bukan dibaca untuk ambil pahala atau upah sahaja, tetapi untuk diambil pahala dan manfaatnya!
  3. Ayat 51- {Sesungguhnya Al-Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.}- orang yang paling kuat imannya paling rapat dia dengan al-Quran. Ini kerana dia baca, faham, ambil manfaat dan beramal dengan isi kandungannya.
  4. Ayat 48- {Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya } – Allah s.w.t tegaskan bahawa Nabi s.a.w tidak pernah tahu menulis dan membaca. Maka ayat ini menolak dakwaan bahawa Rasulullah s.a.w yang menulis al-Quran.
  5. Ayat 48- {(kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).} – jika sebaliknya, pastilah mereka akan menimbulkan keraguaan kepada Rasulullah dan al-Quran. Allah namakan puak ini orang yang batil, yang menolak kebenaran, الْمُبْطِلُونَ.
  6. Ayat 48- {akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).} – إِذًا لَارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ perkataan keraguan لَارْتَابَ ini maksudnya bukan setakat ragu atau syak شك saja tetapi juga akan menimbulkan keraguan dan keresahan orang ramai serta membatalkannya.
  7. Ayat 48- {Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini} – Allah s.w.t nafikan sebelum turun al-Quran lagi, kerana Allah s.w.t mahu menyekat tuduhan dan keraguan yang mereka akan timbulkan dari awal lagi!
  8. *Ayat 49- {yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu;} – ini kerana akal dan pemikiran yang waras duduk dalam hati, bila hati itu cerah dan baik, maka ia akan dapat menerima al-Quran. Firman Allah s.w.t:
    {(Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.} (Al-Hajj 22:46)
  9. Ayat 51- {Al-Quran yang dibacakan kepada mereka?} – yakni bila kita boleh kemukakan hujjah al-Quran, dibaca dengan difahami, kepada orang yang menentang bermakna kita telah tegakkan hujjah, dia nak terima atau tidak terserah. Cukup sudah dalil dengan menunjukkan al-Quran kepada yang memahaminya. Tetapi jika kita tunjuk kepada orang yang tidak memahaminya ia tidak dapat menjadi hujjah.
  10. Ayat 50- {mukjizat-mukjizat itu adalah tertentu bagi Allah} – al-Quran ini adalah mukjizat yang terbesar kepada Rasulullah s.a.w, mukjizat yang kekal sepanjang masa. Jika ada orang yang cuba mencabar dan mengkaji al-Quran jika dia ikhlas akan terbuka hatinya untuk menerima Islam walaupun pada awalnya tujuan mereka mengkaji adalah untuk mencari kelemahannya. Insya’ Allah dari John akan bertukar kepada Muhammad.