SURAH AL-BAQARAH : 275-277

RIBA HARAM, SESIAPA YANG MENGAMALKANNYA DIHUMBAN KE NERAKA & SYURGA BAGI YANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/njL7DuE_ld8?si=noSnY-lThWTzs-Uc

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 275 sehingga ayat 277 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang ketiga.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menyatakan hukum riba adalah haram.
  3. Kemudian sesiapa yang mengamalkannya akan dihumban ke dalam neraka.
  4. Diikiuti dengan ayat penenang jiwa iaitu bagi orang yg beriman, mendirikan solat & tunaikan zakat maka syurgalah balasannya.
  5. Sekali lagi Allah ulang, sesiapa yang suka berinfaq sedekah, akan tenang jiwa, lapang dada & senang hatinya tiada keserabutan & stress.
  6. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat lepas Allah nyatakan orang yang baik, yang menunaikan zakat & memberi nafkah, mengeluarkan sedekah samada secara sembunyi atau zahir, juga disebut sifat 5 golongan yang patut diberi infaq.

ii- dalam ayat ini Allah perintahkan jangan makan harta secara batil, antaranya ialah riba. Jangan terlibat dengan urusan riba iaitu makan riba; ambil & beri sama saja.

Allah juga membatalkan dakwaan orang yang mengatakan bahawa riba & jual beli adalah sama sahaja!

أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

AYAT 275- {ORANG-ORANG YANG MEMAKAN (MENGAMBIL) RIBA ITU TIDAK DAPAT BERDIRI BETUL MELAINKAN SEPERTI BERDIRINYA ORANG YANG DIRASUK SYAITAN DENGAN TERHUYUNG-HAYANG KERANA SENTUHAN (SYAITAN) ITU. YANG DEMIKIAN IALAH DISEBABKAN MEREKA MENGATAKAN: “BAHAWA SESUNGGUHNYA BERNIAGA ITU SAMA SAHAJA SEPERTI RIBA”. PADAHAL ALLAH TELAH MENGHALALKAN BERJUAL-BELI (BERNIAGA) DAN MENGHARAMKAN RIBA. OLEH ITU SESIAPA YANG TELAH SAMPAI KEPADANYA PERINGATAN (LARANGAN) DARI TUHANNYA LALU IA BERHENTI (DARI MENGAMBIL RIBA), MAKA APA YANG TELAH DIAMBILNYA DAHULU (SEBELUM PENGHARAMAN ITU) ADALAH MENJADI HAKNYA, DAN PERKARANYA TERSERAHLAH KEPADA ALLAH. DAN SESIAPA YANG MENGULANGI LAGI (PERBUATAN MENGAMBIL RIBA ITU) MAKA ITULAH AHLI NERAKA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA.} (AL-BAQARAH 2:275)

  1. Allah menegaskan dalam ayat ini bahawa sesiapa yang memakan riba (terlibat dengan riba); di Akhirat kelak akan bangkit dalam keadaan terhuyung-hayang seperti dirasuk Syaitan & seperti orang gila.
  2. Ulama’ kata maksudnya makan riba
    { ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟}
    ini adalah semua yang mengambil, memberi riba, menggunakannya untuk keperluan mereka, beri nafkah, beli rumah, kereta dan semuanya.

Yakni dikaitkan semua yang terlibat dengan segala bentuk riba, seperti ceti haram, sistem kewangan konventional yang tidak patuh syariah, semua yang pulangan di dunia baik, tetapi di akhirat tidak baik.

  1. Sebab apa jadi begitu?
    Oleh kerana kamu celaru atas dunia dulu, mendakwa bahawa jual beli itu sama dengan riba – maka kamu akan terhuyung-hayang seperti orang gila yang dirasuk Syaitan kerana atas dunia dulu kamu kebingungan, gilakan harta, tidak tahu yang mana halal yang mana haram!
  2. Kejinya perbuatan mereka kerana menyamakan yang halal seperti jual beli dengan yang haram seperti riba.
    Sedangkan jelas Allah berfirman nyatakan: {Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.}
  3. Inilah antara hujjah yang digunakan oleh mereka yang tidak mahu kembali kepada sistem kewangan Islam.
    Yang telah terjebak dengan riba dan lain-lain urusan kewangan bukan Islam akan berasa sayang untuk meninggalkannya.
  4. Hati-hatilah dengan perkara yang jelas haram atau yang masih diarugui & waswas; atas dunia ini mungkin kamu kaya & banyak duit tetapi ingatlah di Akhirat kelak tidak akan terlepas dari perhitungan & pembalasan dari Allah s.w.t!

Allah juga telah berfirman bahawa sesiapa yang ambil riba bahawa dia telah isytihar perang dengan Allah!
Bukan perang dengan israel tetapi perang dengan Allah!

  1. Sesiapa yang mempunyai hati yang hidup, apabila sampai kepadanyna hukum Allah ini iaitu peringatan larangan dari Tuhannya lalu ia berhenti dari mengambil riba.

Inilah orang yang benar-benar beriman, hatinya terus terbuka & bertaubat, gementar hatinya takut mendengar nasihat Allah ini!

  1. Hukumnya lagi Allah nyatakan bagi mereka ini: Apa yang telah diambilnya dahulu sebelum pengharaman itu adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah.
  2. Yakni dia boleh ambil semula kepala modalnya untuk digunakan semula secara halal.

Serta bonus atau dividen yang dapat hasil riba itu bebaskannya dengan digunakan untuk kemudahan awam seperti buat jalan atau tandas.

Serta jangan umumkan itu adalah hasil waqaf kita kerana ia bukan harta kita!

  1. Kemudian serahkan urusannya kepada Allah, terus bertaubat & beristighfar semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kesalahan kita yang lalu!
  2. Kita seru kepada Kementerian Kewangan untuk pastikan semua urusan kewangan rakyat Islam, yang rakyat diwajibkan mencarumnya adalah berpandukan kepada sistem Islam & patuh Syari’ah.

Kerajaan boleh kaji & ubahnya, hapuskan kewangan riba, bersihkan harta umat Islam daripada riba.

  1. Tetapi sesiapa yang mengulangi lagi perbuatan mengambil riba itu { وَمَنْ عَادَ} selepas dia tahu bahawa riba itu haram; tetapi tidak mahu ubah & bertaubat maka mereka berhak mendapat azab Allah di Akhirat kelak, itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
  2. Yakni jika mereka orang beriman yang tidak mahu taubat dia akan berada lama di dalam neraka!
    Tetapi jika mereka menghalalkan riba & benda haram yang lain maka dia telah kufur dan akan kekal di dalam neraka.
  3. Kerana itu amat besar sekali tanggung-jawab para penasihat panel Syari’ah ini di hadapan Allah s.w.t kelak!

Ini kerana Panel syariah yang bertanggungjawab dalam meluluskan segala fatwa bersangkutan dan orang ramai akan berurusan atas nasihat & fatwa mereka.

AYAT 276- {ALLAH SUSUTKAN (KEBAIKAN HARTA YANG DIJALANKAN DENGAN MENGAMBIL) RIBA DAN IA PULA MENGEMBANGKAN (BERKAT HARTA YANG DIKELUARKAN) SEDEKAH-SEDEKAH DAN ZAKATNYA. DAN ALLAH TIDAK SUKA KEPADA TIAP-TIAP ORANG YANG KEKAL TERUS DALAM KEKUFURAN, DAN SELALU MELAKUKAN DOSA.{ (AL-BAQARAH 2:276)

  1. Allah akan susut (kurangkan) harta mereka yang mengambil riba.
    Walaupun nampak banyak hartanya apada zahirnya; tetapi tiada keberkatan, ketenangan & kegembiraan.
  2. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas adalah tentang pengharaman riba, menggalakkan sedekah. Tujuan mereka ambil adalah kerana tamak hendakkan keuntungan pulangan bonus & dividen yang tinggi!

ii- kemudian dalam ayat ini Allah nyatakan bahawa riba itu akan susutkan hartanya- sebenarnya riba memberi bala di dunia, tiada keberkatan.
Walaupun nampak kaya & banyak duit, tetapi tiada keberkatan & kebaikan dalam harta haram yang diperolehi dengan riba itu!

  1. Manakala zakat & sedekah pula mengembangkan harta yakni Allah akan berkati harta yang dikeluarkan sedekah-sedekah dan zakatnya.

Harta yang halal itu juga akan bertambah & memberi ketenangan, kegembiraan kepada miliknya.

Banyak hadis-hadis tentang kelebihan sedekah yang telah kita bawa dalam siri yang lepas.

  1. Kerana nasihat dari Allah dia tidak dengar, terus menentang perintah Allah, seolah dia tidak redha dengan ketetapan Allah.
    Banyak lagi jalan & lorong yang halal tetapi kenapa pilih yang haram????
  2. Maka Allah tidak suka, tidak sayang kepada setiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dalam riba dan terus melakukan dosa.
    Allah akan humbankan mereka ke dalam neraka kelak!

AYAT 277- {SESUNGGUHNYA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH, DAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG SERTA MEMBERIKAN ZAKAT, MEREKA BEROLEH PAHALA DI SISI TUHAN MEREKA, DAN TIDAK ADA KEBIMBANGAN (DARI BERLAKUNYA SESUATU YANG TIDAK BAIK) TERHADAP MEREKA, DAN MEREKA PULA TIDAK AKAN BERDUKACITA.} (AL-BAQARAH 2:277)

  1. Munasabah ayat:
    i- setelah Allah nyatakan larangan keras ambil riba, orang yang beriman akan terus berhenti daripada riba manakala orang yang tidak mantap imannya akan terus terumbang-ambing dan berasa sayang untuk meninggalkannya.
    Besarnya keuntungan riba & besarnya dunia bagi mereka.

ii- maka sekali Allah ulang dalam ayat ini: Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh (ikhlas dalam amalan), mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, apa yang mereka dapat:
a) mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka,
b) dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka,
c) dan mereka pula tidak akan berdukacita walaupun harta mereka tidak banyak.

  1. Allah ulang ayat ini sekali lagi- sebagai penenang jiwa bagi orang yang meninggalkan harta yang haram, mereka akan beroleh pahala di sisi Allah.

Walaupun harta tidak banyak tapi mereka tidak ambil riba, maka mereka akan hidup dalam ketenangan, mereka redha dengan rezeki Allah dan Allah juga akan redha kepada mereka!

  1. Dua sebab tenang jiwa:
    i- banyak sedekah infaq fi-sabilillah.
    ii- harta kita daripada sumber yang halal- alhamdulillah.
  2. Marilah kita taubat kepada Allah, tinggalkan perbuatan riba & segala yang haram; jika tidak tinggalkannya, kita akan mengundang bala petaka kerana melawan hukum & undang-undang Allah Azza wa Jalla.

Para jemaah semua, hati-hati kita dengan isu yang besar ini!

  1. Rujukan penuh lagi untuk riba boleh dengar dan baca:
    i- Kuliah Kitab Dosa Besar:
    https://youtu.be/YCHdFs5r68s?si=DOg68iA2VacpxdvU

ii- Kuliah Kitab Fiqh Manhaji:
https://youtu.be/rCcH1k3-jLc?si=aTus7w_BSlzL2kvk

iii- Kitab Keindahan Islam- Bab Riba:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

Kuliah: https://youtu.be/1n2Wtg7DbXI?si=xVKwBNaMnf7R1BZE

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 275- {Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu}-
    Ulama’ tafsir kata orang yang makan riba ini adalah orang yang mempunyai sifat tamak yang amat dahsyat- mahu makan harta orang dengan zalim & penindasan.

Mereka mahu cepat kaya tidak kira walaupun terpaksa merampas & mengambil harta tanpa hak & dengan zalim.

Ini adalah contoh perbuatan Ah Long atau ceti haram.

Allah sebut makan- bukan makan saja tetapi seluruh penggunaan dan mengambil manfaat darinya!
Makan bagi manusia ini adalah satu perbuatan yang mereka tidak boleh sabar!

  1. Ayat 275- {Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu… Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya..}- Allah beri peringatan kepada hamba-Nya.

Sesiapa yang sudah sampai kepadanya nasihat peringatan dari Allah ini jika tidak dengar juga; amat malanglah!

Allah s.w.t tidak haramkan sesuatu perkara kecuali ada hikmah & sebab yang amat besar!

Apabila sampai kepadanya peringatan, nasihat, amaran dari Allah ini, kita dapat lihat dengan perasaan (dhamir) dalam dirinya:

i- orang yang beriman & hatinya hidup akan terus berhenti meninggalkannya.

Perasaan orang mukmin sangat cemas & sangat takut kepada ancaman Allah s.w.t!
Harta dunia ini kecil saja!

ii- orang yang hatinya keras, tamakkan harta & cintakan dunia; tidak akan terasa apa-apa kerana cintakan harta yang banyak yang sudah didapati.
Tidak terasa gentar & takut akan ancaman Allah.

Kerana itulah kita kena tahu orang yang nak perkara yang baik kena tinggalkan yang buruk & haram!

Al-Quran & nasihat sudah datang dari Allah tetapi kenapa kamu tutup pintu hati kmau?!

Berhati-hatilah para asatizah- apakah pelaburan & perniagaan yang kita ceburi & jadi ejen itu, apatah lagi yang kempen orang lain juga lalu orang lain beli & masuk kerana kita; tanya hati kita sendiri.

  1. Ayat 275- {Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.}- orang yang ambil riba di Akhirat kelak terhoyong hayang seperti orang kerasukan syaitan!

Ini kerana di dunia dulu mereka tidak dengar, kerana mereka telah dihasut syaitan!

Mereka lawannya kerana banyak sudah masuk, sekejap share kekayaan & kejayaannya dengan bangga kepada orang ramai!

Tidak akan dengar lagi nasihat peringatan kerana mata sudah dikaburi & dikelabui dengan pulangan wang & harta yang didapati dari hasil itu.

Maka mereka yang dihasut syaitan ini sudah tidak akan peduli kepada larangan Allah s.w.t.

Orang yang ambil riba- di akhirat kelak akan terhoyong-hayang, terumbang-ambing.

Di dunia mabuk dengan kekayaan hasil riba akibat rasukan syaitan, di akhirat mabuk seperti orang gila yang kerasukan syaitan juga!!

Kata Ibnu Abbas r.a: Orang yang makan riba akan bangkit di Akhirat kelak dalam keadaan terhoyong-hayang, terumbang-ambing seperti orang gila yang mabuk dan kerasukan syaitan.

  1. Ayat 275- {Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”.}- mereka menggunakan syubhat kata-kata buruk bahawa jual-beli itu adalah sama dengan riba.

Inilah kerja syaitan yang mewaswaskan manusia, menghiasi perkara haram dengan keindahan & keuntungan duniawi.

Mereka yang mengangap bahawa jual beli sama seperti riba adalah salah.
Allah tidak haramkan juall beli, tetapi Allah jelas mengharamkan riba.

Maka besarnya hukum apabila Tuhan kata haram kita kata halal atau sebaliknya; ia cukup bahaya!

Mereka yang masuk saham, cakap tak berlapik & over konfiden- bahkan ada yang buat pelaburan di Makkah lalu berates ribu tertipu!

  1. Ayat 275- {maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah.}- jika kita terlibat dengan riba ini, dengan perkara yang tidak halal dan diragui ini sebelum kita tahu hukumnya yang haram segeralah kita tinggalkannya.

Kalau kita tahu, kita ambil & terlibat dengan riba, segera kita bertaubat & tinggalkannya.

Yang tetap meneruskan sedangkan tahu hukumnya, maka azab Allah akan menunggunya di akhirat.

Hadis Ubadah bin Somit r.a, Rasulullah s.a.w bersabda;

كُنّا عِنْدَ النبيِّ ﷺ في مَجْلِسٍ، فَقالَ: بايِعُونِي على أنْ لا تُشْرِكُوا باللَّهِ شيئًا، ولا تَسْرِقُوا، ولا تَزْنُوا – وقَرَأَ هذِه الآيَةَ كُلَّها – فمَن وفى مِنكُم فأجْرُهُ على اللَّهِ، ومَن أصابَ مِن ذلكَ شيئًا فَعُوقِبَ به فَهو كَفّارَتُهُ، ومَن أصابَ مِن ذلكَ شيئًا فَسَتَرَهُ اللَّهُ عليه، إنْ شاءَ غَفَرَ له، وإنْ شاءَ عَذَّبَهُ.
الراوي: عبادة بن الصامت • البخاري، صحيح البخاري (٦٧٨٤]

Maksudnya:
“Berbai’atlah kamu kepadaku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak kamu, tidak membuat kebohongan yang kamu ada-adakan antara tangan dan kaki kamu, tidak bermaksiat dalam perkara yang ma’ruf.

Barangsiapa diantara kamu yang memenuhinya maka pahalanya ada pada Allah dan barangsiapa yang melanggar dari hal tersebut lalu Allah menghukumnya di dunia maka itu adalah kafarat baginya dan barangsiapa yang melanggar dari hal-hal tersebut kemudian Allah menutupinya (tidak menghukumnya di dunia) maka urusannya kembali kepada Allah, jika Dia mahu, dimaafkannya atau disiksanya.
Maka kami membai’at Beliau untuk perkara-perkara tersebut. [HR Bukhari].

Semoga Allah S.W.T ampunkan dosa kita dengan taubat, kembali kepada Allah dengan tinggalkan maksiat riba yang besar.
Kita terus beribadat & tingkatkannya lagi insya’ Allah.

Koleksi rakaman penuh kuliah Tafsir Surah Al-Fatihah & Al-Baqarah (setakat siri yang ada) boleh dilihat di:
https://youtube.com/playlist…

Koleksi catatan yang lain boleh lihat di:
www.abuanasmadani.com