SEMUA AGAMA ADA KIBLAT, KA’BAH KIBLAT UMAT ISLAM & TAKUTLAH KEPADA ALLAH.

Full video : https://youtu.be/8t7OAfGfsDY?si=_mzkgH3pS3OQRdrb

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 148 sehingga ayat 150 bagi surah al-Baqarah, dalam juzuk yang kedua.
  2. Kita masih dalam isu kiblat. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa semua agama ada kiblat, ada arah yang dibuat sebagai tanda untuk ibadatnya.
  3. Ka’bah di Makkah al-Mukarramah adalah kiblat bagi umat Islam yang telah ditetapkan sehingga ke hari Kiamat.

Jangan pandai-pandai kita nak tukar atau menghadap kembali ke arah Baitul Maqdis.
Ia adalah sebuah binaan batu yang menjadi tanda arah kiblat kita di mana saja kita berada atas dunia ini.

  1. Kemudian Allah sebut di akhir ayat, kamu jangan takut kepada ahli kitab tetapi takutlah kepada Allah.
    Jika kita takut kepada Allah, Allah akan beri petunjuk kepada kita dengan kuasa & Zat-Nya yang Maha Agung, Maha kaya & tinggi.

AYAT 148- {DAN BAGI TIAP-TIAP UMAT ADA ARAH (KIBLAT) YANG MASING-MASING MENUJUNYA; OLEH ITU BERLUMBA-LUMBALAH KAMU MENGERJAKAN KEBAIKAN; KERANA DI MANA SAHAJA KAMU BERADA MAKA ALLAH TETAP AKAN MEMBAWA KAMU SEMUA (BERHIMPUN PADA HARI KIAMAT UNTUK MENERIMA BALASAN); SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA ATAS TIAP-TIAP SESUATU.} (AL-BAQARAH 2:148)

  1. Allah menyatakan bahawa semua umat (ahli agama) ada arah kiblat masing-masing yang dipilihnya untuk mereka menghadap ketika beribadat.

Samada kiblat yang Allah tentukan seperti Baitul Maqdis bagi bani Israil awalnya atau kiblat objek yang mereka reka sendiri.

  1. Bagi kita umat Islam arahnya adalah Ka’bah al-Musyarrafah di Makkah la-Mukarramah.
    Tidak kira di timur atau barat, utara selatan, hadaplah ke arah kiblat dari mana saja kita berada!

Ini kerana dunia ini bulat- maka uniknya Ka’bah berada di tengah (أم القرى), seluruh dunia boleh menghadap ke arahnya!

  1. Sebagaimana larangan Rasulullah s.a.w kepada umatnya agar jangan buang air dengan menghadap atau membelakangi kiblat.

Sabda Nabi s.a.w: “Apabila kamu qada hajat, janganlah menghadap atau membelakangi kiblat. Namun menghadaplah ke timur atau ke barat.” (HR al-Bukhari dan Muslim).

  1. Hadis ini semasa Rasulullah s.a.w berada di Madinah- maka arah ini tidak boleh dipakai di negara kita kerana arah kiblat dari sini adalah ke arah timur.

Bukan tidak boleh pakai hadis, larangan itu tetap terpakai ke atas kita juga cuma arahnya (timur atau barat) yang tidak boleh dipakai kerana kedudukan kita tidak sama.

Kita kena pilih arah utara atau selatan untuk dihadap apabila menunaikan hajat agar tidak menghadap atau membelakangi kiblat!

  1. Kisah tentang pertukaran kiblat ini telah kita bincangkan dalam empat siri bermula dari Ayat 142.

Maka Allah kata di masa saja kamu berada berlumba-lumbalah (bersegeralah) untuk melakukan kebaikan!

Hadis kisah sahabat yang tukar kiblat ketika sedang solat dengan patuh & taat tanpa bertangguh, ada dalam siri-siri sebelum ini.

6. Yakni betapa murninya hati mereka para sahabat Rasulullah s.a.w, apabila dengar perintah Allah itu mereka segera pusing kiblat walaupun sedang solat; tidak kata nanti dulu siapkan solat ini dulu, kemudian kita bincang atau lain-lain alasan untuk menangguhkannya.

7. Jadi Allah kata segeralah kamu mencari kebaikan {فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ} iaitu dengan melakukan ketaatan, ambil pahala besar dengan pusing wajah & tubuh kamu ke arah kiblat yang diperintah Allah s.w.t!

8. Munasabah ayat dengan ayat sebelum ini:
i- mereka tukar hadap wajah & tubuh mereka ke arah kiblat semata-mata untuk bersihkan jiwa, murnikan hati taat kepada Allah s.w.t.

Untuk mencapai iman yang murni & jiwa yang bersih, tidak akan datang kecuali dengan melakukan ketaatan & meninggalkan keburukan.

ii- maka datang ayat ini- Allah beri galakan lagi untuk cepat dan bersegera buat kebaikan!

9. Kita pun apabila dengar orang kempen tentang benda baik, jangan tangguh untuk fikir empat kali!

Jika ada ustaz yang kata nak ajar amalan Sunnah yang sahih dari Rasulullah s.a.w tentang solat. Kita belajar & jelas ia sahih serta dihurai oleh ulama’ yang muktabar; terus kita beramal dan bersegera melakukannya, jika tidak kita akan kerugian!

10. Makna {فَٱسْتَبِقُوا۟ ٱلْخَيْرَٰتِ} juga ialah cepat melakukan kebaikan yakni menerima arahan Allah & tunduk kepada Sunnah Rasulullah s.a.w.

11. Kemudian Allah ingatkan- tak kira di mana saja kamu berada; kamu semua akan dikembalikan kepada Allah.

12. Munasabah ayat ini:
i- apabila Allah memerintahkan agar kita segera melakukan kebaikan- maka antara perkara yang datang menyebabkan kita bersegera buat kebaikan itu adalah kerana di sana ada pahala yang dijanjikan Allah s.w.t!

Masuk waktu solat, segera solat, sampai waktu tunaikan zakat segera tunaikannya, bila keluar apa saja arahan Allah, patuhlah kepada-Nya sebelum kamu mati!

ii- maka selepas itu Allah s.w.t menjanjikan balasan pahala bagi setiap kebaikan yang dibuat!
Kepada Allah kita kembali & menerima Pembalasan.

13. Iaitu apabila dibangkitkan selepas mati; kita akan dihimpunkan di Padang Mahsyar
(الأرض المحشر)
kelak untuk pengadilan & pembalasan.

Allah kata: Kamu semua akan dibalas mengikut apa yang telah kamu usahakan! Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu- mematikan kamu, menghidupkan kamu kembali kemudian membalas kamu!

14. Firman Allah s.w.t juga:
{Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.} (Al-Maaidah 5:48)

AYAT 149- {DAN DARI MANA SAHAJA ENGKAU KELUAR (UNTUK MENGERJAKAN SEMBAHYANG), MAKA HADAPKANLAH MUKAMU KE ARAH MASJID AL-HARAAM (KAABAH); DAN SESUNGGUHNYA PERINTAH BERKIBLAT KE KAABAH ITU ADALAH BENAR DARI TUHANMU. DAN (INGATLAH), ALLAH TIDAK SEKALI-KALI LALAI AKAN SEGALA APA YANG KAMU LAKUKAN.} (AL-BAQARAH 2:149)

  1. Sekali lagi diulang; Allah perintahkan untuk kita hadapkan muka ke arah Ka’bah (Masjidil Haram) di mana saja kita berada.
    Ia adalah perintah yang benar dari Allah s.w.t!
  2. Munasabah ayat ini:
    i- kerana isu kiblat ini adalah satu perkara besar- puak ahli kitab pula mainkan isu ini dengan sesungguhnya sedangkan mereka tahu; pertukaran kiblat ini adalah perkara yang benar, dari arahan dari Allah s.w.t, dalam kitab mereka pun ada- tetapi mereka tak peduli terus troll, mainkannya!

Begitulah sifat yahudi yang bergabung dengan musyrikin & munafiq untuk melawan Islam.

Kerana itu Allah sudah kata orang yang bodoh akan permain & pertikaikan perkara ini- maka Rasulullah s.a.w jangan layan, tak perlu susah hati tak perlu ragu-ragu!

ii- maka dalam ayat ini Allah tegaskan sekali lagi- di lokasi mana saja kamu keluar, samada ketika berada di Makkah atau ketika keluar musafir ke tempat lain; arahkan wajah kamu ke arah Ka’bah!

Sesungguhnya perintah menghadap Ka’bah ini adalah arahan yang benar dari Tuhan kamu, tiada keraguan padanya!

3. Kemudian Allah bagi ingatan lagi- {Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.}

Yakni Allah tengok semua amalan yang kamu buat & Allah akan balas setiap orang mengikut amalan yang dibuatnya.
Jika baik amalannya baik maka dia akan dibalas baik jika buruk pastilah sebaliknya!

Maka kita patuh, akur & taat saja perintah Allah serta ikhlas kerana Allah, maka kita akan selamat!

AYAT 150- {DAN DARI MANA SAHAJA ENGKAU KELUAR (UNTUK MENGERJAKAN SEMBAHYANG), MAKA HADAPKANLAH MUKAMU KE ARAH MASJID AL-HARAAM (KAABAH); DAN DI MANA SAHAJA KAMU BERADA MAKA HADAPKANLAH MUKA KAMU KE ARAHNYA, SUPAYA TIDAK ADA LAGI (SEBARANG) ALASAN BAGI ORANG-ORANG (YANG MENYALAHI KAMU), KECUALI ORANG-ORANG YANG ZALIM DI ANTARA MEREKA (ADA SAHAJA YANG MEREKA JADIKAN ALASAN). MAKA JANGANLAH KAMU TAKUT KEPADA (CACAT CELA) MEREKA, DAN TAKUTLAH KAMU KEPADA KU (SEMATA-MATA); DAN SUPAYA AKU SEMPURNAKAN NIKMATKU KEPADA KAMU, DAN JUGA SUPAYA KAMU BEROLEH PETUNJUK HIDAYAH (MENGENAI PERKARA YANG BENAR).} (AL-BAQARAH 2:150)

  1. Kemudian dalam ayat ini dua kali lagi Allah ulang, dalam ayat 149 sebelumnya sudah disebut sekali; jadi 3 kali Allah ulang isu kiblat ini:

i- {Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah);}
ii- {dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya,}

  1. Apabila kiblat menghadap ke arah Ka’bah ia tidak akan menjadi alasan untuk orang yang menyalahi Rasulullah s.a.w mengejek, mencela & membuat isu.
  2. Ini kerana ketika kiblat menghadap ke arah Baitul Maqdis Rasulullah s.a.w menghadapi pelbagai kecaman dari semua musuh Islam:

i- yahudi mengejek dan mempermainkan isu bahawa orang Islam tolak agama mereka; tetapi ikut kiblat agama mereka, tidak ada pendirian sendiri.

ii- musyrikin Makkah pula mencemuh dengan mengatakan- Muhammad mendakwa ikut agama Nabi Ibrahim a.s tetapi tidak ikut kiblatnya iaitu Ka’bah bahkan ikuit kiblat yahudi pula!

iii- golongan munafiq ambil peluang guna hujjah kedua-dua pihak untuk hentam Islam.

  1. Isu kiblat ini adalah perkara yang besar kerana itu Allah ulangnya beberapa kali supaya ia tidak lagi menjadi alasan untuk orang menentang kamu (wahai Rasulullah s.a.w) kecuali mereka yang zalim antara mereka, ada saja mereka buat alasan.
  2. Maka janganlah kamu takut kepada cacat-cela, puak yang keras kepala lagi degil takutlah kepada-Ku semata-mata. J
    uga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah dalam perkara yang benar!
  3. Munasabah ayat:
    i- apabila telah tetap suatu perkara dengan apa yang diulang- iaitu perkara kiblat ini telah tetap & wajib diikuti (mandatory), tiada kelonggaran untuk menghadap Ka’bah sebagai kiblat semasa solat fardhu & sunat.

KECUALI untuk orang yang solat sunat semasa musafir di atas kenderannya-boleh menghadap ke arah mana dia tuju, tidak perlu kiblat.

Atau tawanan yang terikat tidak boleh bergerak- solatlah ikut kemampuanya.

Ada setengah ulamak kata waktu nak mula solat pastikan arah kiblat yang betul kemudian ikutlah perjalanan kenderaan itu.

Kempen menambah ibadat bagi sesiapa yang nak bermusafir- ambil wuduk siap-siap kemudian sepanjang perjalanan boleh solat sunat apa saja ikut perjalanan kenderaan yang dinaiki.

Semua orang mukmin terikat dengan perintah ini & semua orang mukmin juga diberi keringanan (rukhsah) ini.

7. Maklumat tambahan: ISU SOLAT HORMAT WAKTU.

i- Solat hormat waktu bermaksud solat yang dikerjakan dalam keadaan darurat atau terdesak, tanpa dapat berwuduk atau tayamum atau yang tidak dapat menghadap kiblat.
Ia adalah rukhsah yang dibenarkan ketika darurat.

ii- Apabila telah tiada lagi halangan untuk dia menyempunakan wuduk & solatnya; kena ulang balik solat yang dia terlepas itu kerana tidak cukup syarat.

Solat ini hanya untuk keadaan yang benar-benar darurat; jangan sampai kita bermudah-mudah dengan solat ini (solat fardhu). Contoh:

i- jika kita naik pesawat yang ada ruang untuk solat & boleh ambil wuduk; maka jangan hanya sekadar solat hormat waktu duduk di atas kerusi tanpa berwuduk.

ii- jika kita naik pesawat dan memang ada masa untuk solat jamak samada secara taqdim sebelum berlepas atau masih sempat secara ta’khir bila tiba di destinasi nanti- janganlah sekadar solat hormat waktu atas pesawat, dengan niat nak mudah & cepat apabila sampai nanti. Solatlah bertempat di atas bumi.

iii- Atau belum masuk waktu solat tetapi sempat berwuduk di aiport- ambillah wuduk siap-siap & cubalah solat sesempurna yang kita mampu atas pesawat nanti jika memang tak sempat waktunya untuk solat di bumi samada secara jamak taqdim atau ta’khir.
Jika hendak 1000 daya, jika tak mahu 1000 dalih- wallahu a’lam.

8. Allah nyatakan lagi pertukaran kiblat ke arah Ka’bah ini adalah untuk menyempurnakan agama kamu, agama nabi Ibrahim yang suci yang kiblat-nya adalah Ka’bah, maka kita juga ikut agama Nabi Ibrahim kiblat kita Ka’bah.

9. Maka sesiapa yang bertaqwa dan ikut arahan Allah untuk menghadap ke arah Ka’bah maka Allah tunjukkan hatinya ke arah jalan yang benar. Ia juga menunjukkan pentingnya penyatuan ummat semuanya menghadap ke arah kiblat yang satu.

10. Hikmah pertukaran kiblat ini juga kerana Allah nak uji kamu, orang yang beriman & tidak beriman, Allah nak lihat siapa yang patuh taat & siapa yang lari berpaling tadah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 148- {Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan;}-

Allah nyatakan bagi setiap umat masing-masing ada kiblatnya.
Maka kamu bersegeralah berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan!

Kata para ulama’: Arah yang satu, samada dari timur barat utara selatan dari seluruh dunia, menghadap kiblat yang sama iaitu Ka’bah adalah satu alat mekanisma untuk tauhid menyatukan umat ini!

Tetapi matlamat kitanya adalah untuk ikhlaskan diri kita beribadat kerana Allah.
Jadi di mana saja kita berada hadaplah ke arah Ka’bah kerana mengikut perintah Allah dan sunnah Nabi s.a.w.

Maka bersegeralah untuk melakukan kebaikan, apa saja kebaikan samada:
i- apabila Allah suruh tukar kiblat segera patuh & tukar.

ii- apabila masuk waktu solat segera tunaikannya kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda orang yang menangguhkan solat sehingga nak habis waktu, itu solat orang munafiq.

iii- jika kita ada duit, daftar segera untuk menunaikan haji.

Terkini tersebar isu jangan tunaikan haji & umrah di Makkah, boikot Makkah & Madinah. Ini adalah satu cadangan yang ikut emosi- jika tidak ke mana kita nak buat haji???

Jika umrah mungkin boleh kita nasihat supaya kurangkan sikit jika dah acap kali tetapi haji wajib tiada pilihan lain!

iv- apa saja iklan peluang untuk infaq sedekah terus kita sumbanngkan!

Taatlah kamu kepada perintah Allah, akur solat menghadap kepada kiblat yang satu iaitu Baitullah al-Haram & berlumba-lumba buat kebaikan!

  1. Ayat 149- {Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); & Ayat 150- {Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya,}-

Allah s.w.t telah mengulang beberapa kali isu pertukaran kiblat ini, dalam ayat ini dan ayat-ayat sebelumnya juga.
Sudah tiga siri kita mengulangnya.

Diulangnya sesuatu perkara yang penting itu banyak kali adalah untuk meneguhkan, memantapkan iman & pendirian kita juga untuk menolak segala hujjah orang kafir yang mempermain-mainkan isu ini.

Kerana itulah setiap kali Allah ulang ada makna lain yang tersendiri dalam ayat ini.
Ulang itu untuk menguatkan kefahaman kita- seperti kita hari ini setiasa ada isu besar kita akan ulang peringatannya.

Maka Allah ulang-ulang isu ini kerana ia besar bahkan sebelum tukar kiblat lagi Allah telah beri peringatan & amaran kepada Rasulullah s.a.w sebagai persediaan untuk menghadapinya.

Maka kita yang tahu isu ini jangan main-main, wajib kita taat hanya kepada perintah Allah S.W.T dalam apa jua isu!

  1. Ayat 149- {Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah);}- maka di mana sahaja kamu berada hadaplah mukamu ke arah Ka’bah untuk solat!

Menghadap ke arah Ka’bah menjadi satu perundangan Syari’ah yang umum, yang besar, yang kekal sepanjang zaman.

Ia bermula daripada pertukaran kiblat semula pada bulan Sya’ban tahun ke-2H.
Di mana saja kamu berada wajib hadap ke arah Ka’bah, Baitullah al-Haram.

Boleh baca buku Tahzib Sirah untuk lihat kronologi Sirah ikut tahun.

Allah ulang sebanyak LIMA kali perintah untuk menghadap ke arah Ka’bah sebagai kiblat:

i- bermula dari ayat 144 lagi tentang pertukaran kiblat dari Baitul Maqdis kepada Ka’bah.
Allah sebutnya dua kali:

{Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah);}
{dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya}.

ii- kemudian sekali dalam ayat 149- {Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah);}

Serta Allah menyatakan bahawa perintah untuk menghadap ke arah Ka’bah sebagai kiblat adalah sesuatu yang benar dari Allah s.w.t.
iii- kemudian 2 kali dalam ayat 150-
{Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah); }
{dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya,}

Maka ulama’ tadabbur kata ada 3 manfaat kenapa diulang:
i- untuk matikan hujjah yahudi & musyrikin.

ii- untuk sempurnakan perjalanan agama nabi Ibrahim yang kiblatnya Ka’bah.
Kiblatmya adalah sama dengan kiblat agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Tak perlu fikir banyak lagi!

iii- supaya kamu dapat hidayah, keluar dari konflik atau fitnah yang berlaku dalam umat ini. Allah nak uji iman siapa yang teguh imannya & siapa yang goyah akan ikut yahudi!

  1. Ayat 150- {supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu),}-

Allah s.w.t ulang beberapa kali ayat tentang hadapkan muka ke arah Ka’bah ini supaya orang yang mempertikaikannya tidak ada alasan lagi.

Dalam ayat ini Allah bawa 3 hikmah & sebabnya:
i- Allah agungkan Rasulullah s.a.w dan tenangkan hati Baginda.
Allah tahu yang sebelum ini Baginda mendongak ke langit mengharapkan turunnya wahyu menukar kiblat ke arah Masjidil Haram.

Maka Allah muliakan Rasulullah s.a.w dengan tunaikan hajatnya, beri kiblat yang diredhainya.

ii- setiap agama ada arah kiblatnya. Allah pilih untuk umat Islam kaabah sebagai kiblatnya; yang terbaik, yang paling awal, rumah ibadat pertama, yang paling lama iaitu Ka’bah.

Banyak lagi keistimewaannya seperti hari Jumaat dipilih untuk umat Islam juga, hari yang terbaik sayyidul-Ayyam.
Yahudi pilih hari Sabtu manakala nasrani ambil hari Ahad.
Kita duk depan.

iii- Allah nak tolak hujjah orang yang degil keras kepala yang tak dengar kata dengan ayat-ayat yang diturunkan ini!

Allah ulang banyak kali untuk 3 perkara & 3 faedah yang besar, alhamdulillah!

  1. Ayat 150- {Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar)}-

Allah kata kamu jangan takut kepada orang tetapi takutlah kepada Aku.
Bila kita takut kepada Allah, Allah jamin diq akan dapat petunjuk.

Maka sesiapa nak mendapat petunjuk Allah, nak Allah pimpin hatinya kepada jalan yang benar, maka tidak ada jalan lain kecuali takut & bertaqwa kepada Allah!

Ya Allah jadikan kami daripada golongan orang yang khusyuk, yang takut kepada Allah, orang yang bertaqwa, orang yang Engkau pimpin hatinya kepada jalan yang benar!
Amin Ya Rabbal-Alamin.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.