SURAH AL-BAQARAH : AYAT 183-185

DIFARDHUKAN PUASA, UZUR SAKIT DAN MUSAFIR & RAMADHAN BULAN AL-QURAN.

Full video : https://youtu.be/J43YU3gIQus?si=hB_l3W2HrwOBj58b

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 183 sehingga ayat 185 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Dalam ayat ini Allah s.w.t telah fardhukan puasa Ramadhan.
  3. Allah beri keringanan bagi orang yang uzur sakit dan musafir boleh ganti puasanya pada hari lain.
  4. Kemudian Allah nyatakan bahawa Ramadhan adalah bulan turunnya Al-Quran.

AYAT 183- {WAHAI ORANG-ORANG YANG BERIMAN! KAMU DIWAJIBKAN BERPUASA SEBAGAIMANA DIWAJIBKAN ATAS ORANG-ORANG YANG DAHULU DARIPADA KAMU, SUPAYA KAMU BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:183)

  1. Sekali lagi Allah menyeru kita orang beriman, wahai orang yang beriman {يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟}.

Kata Ibnu Mas’ud r.a: Apabila kamu mendengar Allah menyeru begini; buka telinga, buka mata kamu kerana di sana ada kebaikan yang Allah nak ajar, suruh atau perkara buruk yang Allah nak larang!

  1. dalam ayat ini Allah isytiharkan bahawa telah difardhukan {كُتِبَ} ke atas kamu puasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum dari kamu.
    Inilah kutiba {كُتِبَ} yang ketiga.
  2. Tujuan & objektif puasa ini adalah supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.
  3. Apakah makna puasa (ٱلصِّيَامُ) ini?
    i- dari sudut bahasa adalah menahan diri daripada sesuatu seperti tidak mahu bercakap.
    Sebagaimana kisah Sayyidah Maryam, ibu Nabi Isa a.s yang apabila dituduh macam-macam hanya menjawab:

{إِنِّى نَذَرْتُ لِلرَّحْمَـٰنِ صَوْمًۭا فَلَنْ أُكَلِّمَ ٱلْيَوْمَ إِنسِيًّۭا }-

{Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.} [Maryam: 26].

ii- dari sudut feqah & ibadat: Menahan diri daripada makan minum & jimak, bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari (maghrib). Juga segala perkara batin seperti bercakap buruk & sia-sia.

  1. Apakah pula maksud sebagaimana {كَمَا} orang terdahulu {عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ}:

i- tasybih (bandingan) asal bahawa ibadat puasa- bahawa orang dulu puasa kamu juga kena puasa.
Cuma mungkin berbeza masa, tempoh & syaratnya.

ii- tasybih dari sudut waktu sahaja. Sebagaimana umat Nabi Muhammad s.a.w difardhukan pada bulan Ramadhan, begitu juga umat dahulu puasa pada bulan Ramadhan.

iii- bandingan sifat puasa- yakni tidak boleh makan minum jimak pada siang hari kemudian boleh buka selama sejam selepas maghrib tetapi selama sejam sahaja, jika tertidur selepas itu tidak boleh lagi makan minum dan lain-lain.
Ini amalan yang dipegang oleh orang nasrani.

Alhamdulillah kita hari ini boleh berbuka sehingga subuh. Itupun masih ramai yang tidak menunaikannya!

iv- tasybih puasa sebulan dengan puasa 3 hari sebulan sebagaimana amalan puak yahudi.

  1. Allah suruh kamu berpuasa untuk menaikkan darjat kamu semua agar kamu menjadi orang yang bertaqwa!

Ya Allah jadikan kami daripada golongan yang berpuasa, yang bertaqwa dan taat kepada perintah-Mu.

AYAT 184- {(PUASA YANG DIWAJIBKAN ITU IALAH BEBERAPA HARI YANG TERTENTU; MAKA SESIAPA DI ANTARA KAMU YANG SAKIT, ATAU DALAM MUSAFIR, (BOLEHLAH IA BERBUKA), KEMUDIAN WAJIBLAH IA BERPUASA SEBANYAK (HARI YANG DIBUKA) ITU PADA HARI-HARI YANG LAIN; DAN WAJIB ATAS ORANG-ORANG YANG TIDAK TERDAYA BERPUASA (KERANA TUA DAN SEBAGAINYA) MEMBAYAR FIDYAH IAITU MEMBERI MAKAN ORANG MISKIN. MAKA SESIAPA YANG DENGAN SUKARELA MEMBERIKAN (BAYARAN FIDYAH) LEBIH DARI YANG DITENTUKAN ITU, MAKA ITU ADALAH SUATU KEBAIKAN BAGINYA; DAN (WALAUPUN DEMIKIAN) BERPUASA ITU LEBIH BAIK BAGI KAMU DARIPADA MEMBERI FIDYAH), KALAU KAMU MENGETAHUI.} (AL-BAQARAH 2:184)

  1. Puasa itu perlu dilakukan pada hari tertentu yang dapat dihitung, {أَيَّامًۭا مَّعْدُودَٰتٍۢ ۚ} iaitu pada bulan Ramadhan.
    Atau jika sebelum itu 3 hari sebulan.
  2. Kemudian Allah s.w.t bawa rukhsah (kelonggaran) untuk permudahkan urusan umat ini. Sesiapa yang sakit & musafir boleh berbuka puasa TETAPI kena gantikannya pada hari yang lain, bukan buka free saja.
  3. Puasa Ramadhan ini difardhukan pada bulan Sya’ban pada tahun ke-2 Hijrah.
  4. Pada peringkat awal ada hukuman pilihan; seseorang boleh pilih nak puasa boleh atau nak bayar boleh; iaitu bagi makan orang miskin. Tetapi Allah kata jika kamu pilih untuk berpuasa adalah lebih baik bagi kamu jika kamu tahu kelebihannya.

Ulama’ kata ayat ini telah dibatalkan hukumnya (pilihan puasa atau bayar ini) dengan datangnya ayat 185 selepasnya, tiada pilihan lagi, wajib puasa, kecuali orang sakit & bermusafir.

  1. Ada juga ulama’ kata ayat ini terbatal umum tetapi kekal khusus, iaitu:
    i- batal pilihan umum (untuk semua orang) untuk pilih nak puasa atau nak bayar secara umum tiada lagi.

ii- tetapi kekal lagi pilihan itu kepada orang-orang tua yang memang tak mampu berpuasa- boleh buka puasa dan gantinya dengan bayaran fidyah. Ini pendapat Ibnu Abbas r.a.

Tetapi kena cuba puasa dulu hari itu setakat mampu, bila dah tak larat sangat baru buka pusasa. Jangan lepas subuh buat kopi dah!

  1. Maksud ayat ini pula {Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya;}, ada dua pandangan ulama’:

i- Allah fardhukan siapa yang tidak puasa bayar makan untuk seorang misikin, tetapi jika dia bayar untuk lebih daripada seorang adalah lebih baik dan afdhal.

ii- ada kata jika kamu puasa adalah lebih baik daripada buka & bayar fidyah- yakni tidak berbuka puasa. Ini kerana puasa itu ibadat.

  1. Sekiranya kamu tahu kelebihan puasa ini, kamu tidak akan ambil yang ringan tetapi akan ambil yang berat kerana yang berat itu lebih besar pahalanya!

AYAT 185- { (MASA YANG DIWAJIBKAN KAMU BERPUASA ITU IALAH) BULAN RAMADAN YANG PADANYA DITURUNKAN AL-QURAN, MENJADI PETUNJUK BAGI SEKAMU MANUSIA, DAN MENJADI KETERANGAN-KETERANGAN YANG MENJELASKAN PETUNJUK DAN (MENJELASKAN) PERBEZAAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH. OLEH ITU, SESIAPA DARI ANTARA KAMU YANG MENYAKSIKAN ANAK BULAN RAMADAN (ATAU MENGETAHUINYA), MAKA HENDAKLAH IA BERPUASA BULAN ITU; DAN SESIAPA YANG SAKIT ATAU DALAM MUSAFIR MAKA (BOLEHLAH IA BERBUKA, KEMUDIAN WAJIBLAH IA BERPUASA) SEBANYAK HARI YANG DITINGGALKAN ITU PADA HARI-HARI YANG LAIN. (DENGAN KETETAPAN YANG DEMIKIAN ITU) ALLAH MENGHENDAKI KAMU BEROLEH KEMUDAHAN, DAN IA TIDAK MENGHENDAKI KAMU MENANGGUNG KESUKARAN. DAN JUGA SUPAYA KAMU CUKUPKAN BILANGAN PUASA (SEBULAN RAMADAN), DAN SUPAYA KAMU MEMBESARKAN ALLAH KERANA MENDAPAT PETUNJUKNYA, DAN SUPAYA KAMU BERSYUKUR.} (AL-BAQARAH 2:185)

  1. Ayat ini membawa kata putus- tiada lagi pilihan, wajib puasa ke aats setiap mukallaf kecuali orang sakit & musafir.
  2. Puasa itu difardhukan pada bulan Ramadhan iaitu bulan yang diturunkan al-Quran padanya. Iaitu:
    i- al-Quran pada asalnya tercatat di Lauh Mahfuz.

ii- pada malam Lailatul-Qadr dalam bulan Ramadhan, Allah turunkan secara sekaligus dari Lauh Mahfuz ke langit dunia, iaitu langit yang paling bawah sekali.

iii- Kemudian Al-Quran itu pada diturunkan pula oleh malaikat Jibril a.s secara berperingkat (منجما) kepada Rasulullah s.a.w dari langit ke tujuh sehingga habis 30 juzuk dalam masa 22 tahun lebih sehinggalah Rasulullah wafat.

  1. Jadi tepatlah tiga ayat al-Quran yang menyifatkan bila al-Quran ini turun, tiada khilaf & keraguan tentangnya iaitu:
    i- pada bulan Ramadhan {شَهْرُ رَمَضَانَ}.
    ii- pada malam Lailatul-Qadr {فِى لَيْلَةِ ٱلْقَدْرِ }.
    iii- iaitu malam yang diberkati {فِى لَيْلَةٍۢ مُّبَـٰرَكَةٍ}.
  2. Kelebihan & sifat al-Quran itu adalah:
    i- menjadi petunjuk kepada manusia kepada jalan yang diredhai Allah.

ii- keterangan yang menjelaskan petunjuk.

iii- al-Furqan- menjelaskan perbezaan antara yang benar & salah. Ada ibrah, ada pengajaran, adad hukum hakam. Lengkap & sempurna al-Quran.

  1. Maka sesiapa yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahui telah masuk bulan Ramadhan, sedangkan dia sihat wal afiat & bermukim tidak musafir, maka dia wajib kena puasa.

Maka sekaligus ayat ini memansukhkan ayat 184 yang sebelumnya memberi pilihanutk puasa atau bayar.

  1. Allah ulang sekali lagi di sini selepas tiada lagi pilihan untuk meninggalkan puasa- bahawa hanya orang yang sakit dan orang yang musafir saja boleh tinggalkan puasa {وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ}.

Tetapi bukan tinggal saja WAJIB gantikannya pada hari yang lain {فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ} apabila sihat atau kembali dari musafir.

  1. Allah sebut {كَانَ مَرِيضًا}- yang bermakna sakit sungguh baru boleh buka puasa, bukan hanya sakit sikit-sikit dan yang tidak berkait dengan puasa seperti tersepak kaki atau luka tangan.
  2. Manakala dalam musafir pula jika cukup jaraknya iaitu 2 marhalah (kiraan terbaru sekarang ini hanya 81 km), boleh berbuka jika dia mahu tetapi wajib ganti pada hari lain bukan buka saja.
  3. Allah beri rukhsah ini (boleh ganti hari lain) untuk memudahkan urusan hamba-hamba-Nya yang beriman, bukan kerana mahu menyusahkan mereka.

Kita kata alhamdulillah kerana puasa tidak seperti solat yang tidak gugur kewajipannya. Jika tidak ramailah orang yang mati pada bulan Ramadhan!

  1. Puasa ini wajib disempurnakan bilangannya iaitu sebulan bulan Ramadhan penuh- maka sesiapa yang tinggalkannya kerana uzur (yang dibenarkan Syara’), kena qadha’ kembali mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sehingga cukup penuh seperti sebulan juga.
  2. Setelah tamat & sempurna menunaikan puasa maka Allah suruh kita bertakbir membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya untuk menjalankan ibadat ini dan mendekatkan diri kepada Allah!
  3. Dengan kita bertakbir itu menunjukkan bahawa kita bersyukur kepada Allah atas nikmat & rahmat-Nya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 183- {Wahai orang-orang yang beriman!}- Allah ulang lagi seruan ini walaupun dua ayat sebelum ini sudah ada.
    Ulangan ini untuk menzahirkan penjagaan atas hukum yang mahu difardhukan {كُتِب} ini.

Ini kerana Allah mahu membesarkan hukum yang mahu diberikan, iaitu diwajibkan {كُتِب} ke atas kamu puasa.

Puasa pula adalah sesuatu yang berat kerana itu Allah tidak sebut nama pembuat (فاعل) iaitu siapa yang mewajibkan puasa itu kerana:

i- Allah tidak mahu sebut namanya sebagai (فاعل) yang mewajibkan keberatan ke atas hamba-Nya.
Maka disebut diwajibkan {كُتِبَ} bukan disebut Allah mewajibkan {كتب الله} ke atas kamu!

ii- juga kerana sudah diketahui Allah yang mensyari’atkan puasa itu & semuanya.

  1. Ayat 183- {Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.}- diwajibkan ke atas kamu sebagaimana difardhukan ke atas orang yang terdahulu ke atas kamu.

Faedah dibuat perbandingan ini kerana untuk:
i- sebagai galakan- jika orang lain boleh buat kenapa kamu tidak boleh buat?

ii- untuk ringankan sikit bebanan, bukan kita seorang saja yang kena, orang lain & ramai lagi yang kena buat juga!
Maka kita akan rasa lega & ringan sikit.

Kita kena tilik kepada hikmah kenapa Allah s.w.t pelbagaikan sumber atau cara beribadat:

i- ada ibadat dengan harta saja seperti zakat.
ii- ada ibadat dengan tubuh saja seperti solat
iii- ada ibadat dikembar dua-dua harta & badan iaitu Haji.
iv- ada ibadat kena tinggalkan apa yang nafsu suka seperti puasa.

Kata ulama’ Ini kerana Allah nak uji & lihat kesabaran hamba-Nya.

Ada orang yang mudah buat kerja dengan tubuh tapi payah dengan harta, juga sebaliknya- mudah keluar duit tetapi susah ibadat dengan badan.
Iaitu suka sedekah tetapi malas solat & puasa sunat, ada yang yang suka puasa tetapi tidak suka sedekah dan lain-lain.

Maka Allah pelbagaikan ibadat agar semuanya dapat buat & ada orang yang buat semua ibadat itu, supaya jiwa sentiasa semangat.

Allah bahagikan rezeki ibadat ini seperti rezeki harta juga, ada yang dapat banyak ada yang dapat sikit dan seumpamanya.

  1. Ayat 183- {Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.}- Allah bawa bandingan dengan orang dahulu untuk meringankan taklif dan menenangkan hati orang yang diwajibkan puasa ini.

Akhir ayat Allah kata- tujuan diperintahkan puasa ini juga agar kamu menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana orang dahulu yang bertaqwa juga.

Boleh baca buku ini untuk lebih pemahaman apa hikmah-hikmah di sebalik ibadat yang disyari’ahkan:
KEINDAHAN ISLAM
https://dartaibah.com/?page_id=179…

  1. Ayat 184- {dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.}- ini adalah hikmah (التدرج) iaitu ibadat diwajibkan secara berperingkat.

Dalam Islam, bab ibadat ini Allah buat secara berperingkat-ia ada dua cara samada ringan dulu kemudian bertambah berat.
Atau berat dulu pada peringkat awalnya, kemudian diringankan.

Ini supaya kita tidak merasa berat untuk menerima hukum & undang-undang Allah s.w.t. boleh menerimanya dengan mudah & baik.

Contoh:
i- ringan dulu kemudian berat dalam dalam bab puasa; pada awalnya boleh pilih- nak puasa atau bayar fidyah tak payah puasa.
Kemudian datang hukum tak ada pilihan lagi- wajib puasa semuanya.

ii- berat dulu kemudian ringan; dalam bab tempoh puasa- awalnya kena puasa 23 jam. Hanya satu jam boleh berbuka.

Kemudian Allah bawa datangkan ayat hanya berpuasa pada siang hari, sepanjang malam sehingga subuh boleh berbuka, alhamdulillah.

iii- isu pengharaman arak- tiga kali turun ayat al-Quran baru diharamkan terus.

Allah buat begini supaya kita tidak terasa berat, tidak terasa susah bahkan mudah & senanng untuk menerima hukum & perintah Allah s.w.t.

  1. Ayat 185- {Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi kamu manusia,}- ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran itu satu kitab yang besar kedudukannya, yang mulia dan suci kerana Allah s.w.t yang menurunkannya.

Al-Quran itu bukan sesuatu yang direka oleh Nabi s.a.w kemudian disetujui oleh Allah s.w.t. Al-Quran dari Allah, dari kalam Allah, dari kata-kata Allah {كلام الله}.

Maka sesiapa yang nak mulia ikut & berdampinglah dengan al-Quran- sesiapa yang nak hina lawanlah al-Quran.

Kata ulama’ semua yang berkait dengan al-Quran adalah mulia:
i- bulan Ramadhan bulan yang paling mulia kerana al-Quran turun padanya.

ii- malaikat Jibril yang menurunkan al-Quran dari langit adalah malaikat yang paling mulia dari kalangan malaikat.

iii- malam Lailatul-Qadr- malam yang paling mulia kerana al-Quran turun padanya.

iv-Nabi kita Muhammad s.a.w, nabi yang diturunkan kepadanya al-Quran adalah nabi yang paling mulia di kalangan anbiya’; bahkan di kalangan manusia seluruhnya

v- al-Quran itu sendiri adalah kitab yang paling mulia berbanding dengan kitab-kitab yang lain!

Kita nak jadi mulia marilah kita menjadi ahli Quran- ya Allah jadikan kami ahli al-Quran, orang yang cintakan al-Quran, baca Quran, tadabbur al-Quran & beramal dengannya.
Lapangkan dada kami untuk memahami al-Quran & beramal dengannya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.