SURAH AL-BAQARAH : AYAT 186-188

ALLAH DEKAT BERDOALAH, HANYA SIANG WAKTU BERPUASA & JANGAN MAKAN HARTA SECARA BATIL.

Full video : https://youtu.be/PxZQ27xniBs?si=h1RbvQvldhFU7JDJ

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 183 sehingga ayat 185 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t celahkan antara ayat puasa tentang arahan untuk berdoa kepada Allah.
    Allah nyatakan bahawa Allah dekat berdoalah kepada-Nya.
    Hikmahnya kita lihat dalam tafsiran ayatnya nanti.
  3. Kemudian Allah bawa keringanan bahawa hanya siang waktu berpuasa manakala pada waktu malam dihalalkan untuk kamu berbuka; makan, minum & bersama isteri.
  4. Allah juga nyatakan jika makanan yang halal kamu boleh tidak makan kerana takut kepada Allah (puasa) maka janganlah kamu makan harta secara batil juga!
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah fardhukan ke atas kita untuk berpuasa selama sebulan Ramadhan.
    Kemudian di akhir puasa galakan supaya kita bertakbir dan bersyukur.

ii- kemudian datang ayat ini menyatakan bahawa Allah s.w.t itu Maha Mendengar & melihat segala doa & perbuatan kita.
Ini menunjukkan dekatnya kaitan antara doa & Ramadhan, kerana bulan Ramadhan adalah bukan yang mustajab doa.

Rasulullah s.a.w telah kata antara doa yang mustajab ialah doa orang yang berpuasa apatah lagi ketika dekat waktu berbuka.
Jangan lupa jangan lalai, rugilah jika kita tidak ambil peluang berdoa pada waktu yang mustajab ini!

AYAT 186- {DAN APABILA HAMBA-HAMBAKU BERTANYA KEPADAMU MENGENAI AKU MAKA (BERITAHU KEPADA MEREKA): SESUNGGUHNYA AKU (ALLAH) SENTIASA HAMPIR (KEPADA MEREKA); AKU PERKENANKAN PERMOHONAN ORANG YANG BERDOA APABILA IA BERDOA KEPADAKU. MAKA HENDAKLAH MEREKA MENYAHUT SERUANKU (DENGAN MEMATUHI PERINTAHKU), DAN HENDAKLAH MEREKA BERIMAN KEPADAKU SUPAYA MEREKA MENJADI BAIK SERTA BETUL.} (AL-BAQARAH 2:186)

  1. Allah perintahkan kepada Rasulullah s.a.w jika ada orang beriman yang bertanya tentang-Nya; samada Allah itu jauh atau dekat?
  2. Maka beritahulah kepada mereka bahawa:
    i- Allah itu sentiasa dekat dan hampir dengan mereka { فَإِنِّى قَرِيبٌ}.

ii- dan Dia menerima perkenan doa orang yang memohon kepada-Nya { أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ}.

3. Doa itu ada dua kategori:
i- doa ibadat- kita berzikir sahaja, tidak minta apa-apa, semata-mata untuk beribadat kepada Allah.

ii- doa meminta permohonan- kita minta apa yang kita mahu dan Allah akan perkenankannya mengikut apa yang Dia rasa kita layak terimanya.
Kita juga akan diberi pahala atas doa itu.

4. Ayat ini ada kisahnya- Hadis riwayat dari Abi Musa R.A ia berkata:
Kami pernah bersama Rasulullah s.a.w dalam suatu perjalanan, kemudian orang-orang mengeraskan suara takbir mereka.

Maka Nabi s.a.w bersabda:
“Wahai para manusia, kasihanilah dirimu dan rendahkanlah suaramu!
Sesungguhnya kamu tidak sedang menyeru Zat yang tuli (pekak) dan tidak juga yang jauh. Sesungguhnya kamu sedang menyeru Yang Maha Mendengar lagi Maha Dekat.”
[HR al-Bukhari & Muslim].

5. Apakah maksudnya Allah itu dekat?
Iaitu:
i- Allah itu Tinggi tetapi Dia dekat dalam kebersamaan dan pengetahuan-Nya tentang kita.

ii- Segala ilmu dan maklumat Allah meliputi akan keadaan kita. Allah tahu semua tentang kita.

6. Maka hendaklah kita beriman kepada Allah, menyahut seruan-Nya, taat & akur menurut segala perintah Allah.
Allah juga Dia akan berkenankan jika kita berdoa & memohon kepada-Nya.

7. Antara doa yang kita kena minta selalu ialah agar Allah beri taufiq hidayah kepada kita & beri ilmu yang bermanfaat.
Inilah yang menjadi harapan kita.

8. Dalam ayat ini juga satu keistimewaan- biasanya apabila datang ayat yang menyatakan soalan dari hamba-Nya- Allah akan suruh Rasulullah s.a.w jawab dengan berfirman: {Katakan- قُلْ}- tapi dalam ayat ini Allah s.w.t jawab terus, digugurkan kalimah {Katakan- قُلْ}- untuk menunjukkan betapa cepat & dekatnya Allah s.w.t dengan hamba-Nya, Dia jawab terus.

9. Hari ini macam-macam yang dibuat, pergi ke tempat-tempa tertentu untuk berdoa seperti ke kubur dan seumpamanya.

Jika nak berdoa, berdoalah di mana saja kita berada, berdoa terus kepada Allah, jangan buat kepada Allah seperti kita nak minta kerja, kena ada orang tengah untuk hantar & serah borang, kena cari sokongan orang tu orang ni. Sokongan kita ialah ikhlas & amal kita yang soleh.

10. Para pendakwah didiklah masyarakat supaya kenal Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w tidak pernah ajar dan suruh kita pergi ke sana sini untuk berdoa kepada Allah s.w.t.
Berdoalah di mana saja sesungguhnya Allah s.w.t beritahu bahawa Dia amat dekat & maha Mendengar!

AYAT 187- {DIHALALKAN BAGI KAMU, PADA MALAM HARI PUASA, BERCAMPUR (BERSETUBUH) DENGAN ISTERI-ISTERI KAMU. ISTERI-ISTERI KAMU ITU ADALAH SEBAGAI PAKAIAN BAGI KAMU DAN KAMU PULA SEBAGAI PAKAIAN BAGI MEREKA. ALLAH MENGETAHUI BAHAWASANYA KAMU MENGKHIANATI DIRI SENDIRI, LALU IA MENERIMA TAUBAT KAMU DAN MEMAAFKAN KAMU. MAKA SEKARANG SETUBUHILAH ISTERI-ISTERI KAMU DAN CARILAH APA-APA YANG TELAH DITETAPKAN OLEH ALLAH BAGI KAMU; DAN MAKANLAH SERTA MINUMLAH SEHINGGA NYATA KEPADA KAMU BENANG PUTIH (CAHAYA SIANG) DARI BENANG HITAM KEGELAPAN MALAM), IAITU WAKTU FAJAR. KEMUDIAN SEMPURNAKANLAH PUASA ITU SEHINGGA WAKTU MALAM (MAGHRIB); DAN JANGANLAH KAMU SETUBUHI ISTERI-ISTERI KAMU KETIKA KAMU SEDANG BERIKTIKAF DI MASJID. ITULAH BATAS-BATAS LARANGAN ALLAH, MAKA JANGANLAH KAMU MENGHAMPIRINYA. DEMIKIAN ALLAH MENERANGKAN AYAT-AYAT HUKUMNYA KEPADA SEKAMU MANUSIA SUPAYA MEREKA BERTAQWA.} (AL-BAQARAH 2:187)

  1. Awal ayat ini menyatakan bahawa halal untuk bersama isteri kamu pada malam hari puasa.

Ini kerana sebelum turun ayat ini- waktu berbuka hanya sekejap lebih kurang satu jam sahaja selepas maghrib; iaitu samada sehingga masuk waktu isya atau jika kamu tertidur.
Kita tengok sebab turunnya ayat ini.

  1. Beberapa hadis sabab nuzul tentang ayat ini:

i- Diriwayatkan daripada al-Bara’ RA, katanya:

كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ صَائِمًا، فَحَضَرَ الإِفْطَارُ، فَنَامَ قَبْلَ أَنْ يُفْطِرَ لَمْ يَأْكُلْ لَيْلَتَهُ وَلاَ يَوْمَهُ حَتَّى يُمْسِيَ. وَإِنَّ قَيْسَ بْنَ صِرْمَةَ الأَنْصَارِيَّ كَانَ صَائِمًا، فَلَمَّا حَضَرَ الإِفْطَارُ أَتَى امْرَأَتَهُ، فَقَالَ لَهَا: أَعِنْدَكِ طَعَامٌ؟ قَالَتْ: لاَ وَلَكِنْ أَنْطَلِقُ فَأَطْلُبُ لَكَ، وَكَانَ يَوْمَهُ يَعْمَلُ، فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ، فَجَاءَتْهُ امْرَأَتُهُ، فَلَمَّا رَأَتْهُ قَالَتْ: خَيْبَةً لَكَ، فَلَمَّا انْتَصَفَ النَّهَارُ غُشِيَ عَلَيْهِ، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ: {أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ}[البقرة: 187] فَفَرِحُوا بِهَا فَرَحًا شَدِيدًا، وَنَزَلَتْ: {وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الخَيْطِ الأَسْوَدِ}[البقرة: 187]

Maksudnya: Para sahabat Muhammad S.A.W, apabila salah seorangnya berpuasa dan tiba waktu berbuka, lalu dia tidur sebelum berbuka puasa, maka dia tidak boleh makan pada malam itu dan juga hari esoknya sehingga waktu petang (ketika berbuka).

Sesungguhnya Qais bin Sirmah al-Ansari berpuasa. Apabila tiba waktu berbuka, dia pergi menemui isterinya, lalu bertanya kepadanya: “Adakah engkau mempunyai makanan?” Isterinya menjawab: “Tidak, tetapi aku akan pergi mencarinya untukmu.”

Dia telah bekerja seharian (pada hari itu). Oleh itu, matanya terlelap (tertidur).
Setelah itu, isterinya datang dan apabila melihatnya tertidur, lalu dia berkata: “Rugilah engkau.”
Ketika waktu tengah hari (keesokan harinya) dia telah jatuh pengsan.

Kejadian itu diceritakan kepada Nabi S.A.W, lalu turunlah ayat ini:

“أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُم “

(Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.”)
[Surah al-Baqarah: 187]

Maka mereka pun berasa sangat gembira disebabkan oleh turunnya ayat itu, lalu turunlah ayat:

“وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الخَيْطِ الأَسْوَد”

Maksudnya: {Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam).} [Surah al-Baqarah: 187] [HR Bukari].

ii- Dalam riwayat lain, al-Bara’ berkata lagi:

لَمَّا نَزَلَ صَوْمُ رَمَضَانَ كَانُوا لاَ يَقْرَبُونَ النِّسَاءَ رَمَضَانَ كُلَّهُ، وَكَانَ رِجَالٌ يَخُونُونَ أَنْفُسَهُمْ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ:{عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ}

Maksudnya: “Ketika turun (ayat tentang kewajipan) puasa Ramadhan, mereka tidak mendekati isteri-isteri mereka sepanjang bulan Ramadhan.
Ada beberapa orang lelaki yang mengkhianati (tidak dapat menahan) diri mereka sendiri.

Maka Allah menurunkan ayat:
{عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ}
(Maksudnya: “Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu”). [Surah al-Baqarah: 187] [HR Bukari].

iii- Yakni berdasarkan hadis-hadis ini, menunjukkan bahawa pada awal pensyariatan puasa, para sahabat dibenarkan untuk berbuka dengan makan dan minum sehingga masuk waktu isya’ atau mereka tidur selepas maghrib dan tidak dibenarkan untuk makan setelahnya sehingga terbenamnya matahari pada keesokan harinya.

Lalu Allah S.W.T menurunkan ayat ini dengan membenarkan untuk melakukan semua perbuatan yang membatalkan puasa bermula dari terbenam matahari sehingga terbitnya fajar.

  1. Apakah maksudnya mereka adalah pakaian bagi kamu?

i- Yakni suami isteri itu halal perhubungan mereka dan sangat rapat, masing-masing melindungi & melengkapi antara satu sama lain.

Ibaratnya dianggap seperti pakaian yang melindungi tubuh kita, apabila kita sejuk, kita pakai baju, juga untuk melindungi daripada panas matahari.
Maka menunjukkan betapa pentingnya kepada satu sama lain.

ii- sebagai ketenangan dan tempat kembali masing-masing.

Inilah keindahan ayat Islam yang menggunakan bahasa kiasan agar kita tidak malu dan tidak segan untuk dibaca dalam solat atau di khayalak ramai.

  1. Allah kata Dia tahu ada di antara kamu yang melanggar perintah Allah dengan berjimak juga dengan isteri kamu pada waktu yang diharamkan itu.
    Maka Allah kata tahu kesusahan kamu dan Dia memaafkan kamu & menerima taubat kamu.
  2. Maka sekarang waktu untuk kamu makan-minum & bersama isteri kamu dilanjutkan sehingga masuk waktu subuh atau fajar.
  3. Allah nyatakan {Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu;}- ulama’ menafsirkannya dengan dua tafsiran:

i- sekarang kamu boleh berhubung dengan isteri kamu, maka carilah rezeki yang Allah berikan kepada kamu samada dari zuriat dan lain-lain.

ii- tafsiran kedua: jangan lupa untuk beribadat pada malam Ramadhan, lebih-lebih lagi untuk mencari Lailatul-Qadr jangan dok sibuk bersama isteri sehingga lalai untuk beribadat & bermunajat kepada Allah pula!

  1. Dari Sahal bin Sa’ad r.a., katanya: “Ketika turun ayat:
    {.. dan makan minumlah kamu sehingga nyata bagi mu perbezaan benang putih dari benang hitam.} (Al Baqarah : 187),

Maka ada seorang lelaki mengambil benang putih dan benang hitam, lalu dia makan sehingga jelas baginya perbezaan keduanya.
Kemudian Allah swt. menurunkan kata “minal fajri” (iaitu ketika fajar).
Maka jelaslah apa yang dimaksud dengan benang putih dan benang hitam.” [Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1054].

  1. Hadis dari Umar al-Khattab r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إِذَا أَقْبَلَ اللَّيْلُ مِنْ هَا هُنَا وَأَدْبَرَ النَّهَارُ مِنْ هَا هُنَا وَغَرَبَتْ الشَّمْسُ فَقَدْ أَفْطَرَ الصَّائِمُ.

“Jika malam telah datang dari sana dan siang telah berlalu dari sana serta matahari telah tenggelam, maka orang yang berpuasa sudah boleh berbuka “. (HR. Bukhari no. 1818).
Senang saja penjelasan Rasulullah s.a.w.

9. Kemudian Allah s.w.t membawa hukum lagi dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid.
Yakni bagi orang yang berniat khas untuk beriktikaf di masjid selama beberapa hari atau malam- batallah iktikaf itu jika melanggar hukum ini.

10. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya {فَلَا تَقْرَبُوهَا }. Biasanya benda yang Allah tak bagi kita hampiri ini adalah benda yang haram- jangan kita dekatinya apatah lagi nak buatnya!

11. Jika benda harus- Allah akan kata: {Kamu jangan melanggarnya- فَلَا تَعْتَدُوهَا} sebagaimana firman Allah s.w.t ini:

{Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan…………….
Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.} (Al-Baqarah 2:229)

12. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada kamu manusia supaya mereka bertaqwa.

i- Iaitu pada mulanya Allah s.w.t menerangkan tentang kewajipan puasa, iaitu kita diperintahkan puasa agar kita menjadi orang bertaqwa- kamu {لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ}.

ii- kemudian setelah dijelaskan tentang hukum-hakam puasa Allah kata pula: semoga mereka orang yang ikut hukum Allah ini menjadi orang bertaqwa {لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ}.

AYAT 188- {DAN JANGANLAH KAMU MAKAN (ATAU MENGAMBIL) HARTA (ORANG-ORANG LAIN) DI ANTARA KAMU DENGAN JALAN YANG SALAH, DAN JANGAN PULA KAMU MENGHULURKAN HARTA KAMU (MEMBERI RASUAH) KEPADA HAKIM-HAKIM KERANA HENDAK MEMAKAN (ATAU MENGAMBIL) SEBAHAGIAN DARI HARTA MANUSIA DENGAN (BERBUAT) DOSA, PADAHAL KAMU MENGETAHUI (SALAHNYA).} (AL-BAQARAH 2:188)

  1. Selepas habis bab puasa tiba-tiba Allah s.w.t bawa ayat ini iaitu larangan dari memakan & mengambil harta secara batil iaitu harta haram.
  2. Munasabah ayat ini dengan sebelumnya:

i- Allah nyatakan kepada kita untuk wajib berpuasa iaitu tidak boleh makan minum. Jimak isteri dan lain-lain pada waktu berpuasa. Sedangkan semua itu adalah benda yang halal untuk kita asalnya, tetapi kita tidak makan kerana Allah s.w.t suruh kita tinggalkannya.

ii- maka ayat ini datang sebagai pelengkap kepada puasa!

Allah nyatakan dengan jelas di sini agar jangan makan harta secara batil tak kira waktu; malam pun tak boleh, siang pun tak boleh, gelap atau cerah pun tidak boleh, zahir atau sembunyi juga tidak boleh!
Haram makan harta orang secara batil pada setiap masa!

  1. Apakah harta batil ini? Iaitu semua harta yang dihasilkan, yang diperolehi dengan cara yang tidak halalkan oleh Syara’ ia adalah HARAM!!!!

Tak kiralah dengan cara menipu, kelentong ke, dengan cara sumpah palsu, rasuah dan lain-lain.

  1. Dalam ayat Allah fokuskan kepada rasuah yang diberi kepada hakim supaya memihak kepada kita dalam satu-satu kes- perebutan harta.
    Untuk menang tender perniagaan & seumpamanya.
    Atau bersumpah untuk menghalalkan perbuatan salah.
    Rasuah dikaburi dengan pelbagai nama hari ini duit kopi, duit minyak, tips, hadiah dan lain-lain.

Lihat kuliah Dosa Besar Memberi & Menerima Rasuah.
Link:
https://youtu.be/mruf9qb5nMk?si=S5BXaV3S4Cu2zK4N

5. Yakni jika kamu boleh berpuasa dengan yang halal kenapa tidak boleh kamu tinggalkan yang haram???
Kamu makan harta haram atau kamu ambil harta orang lain dengan batil sedangkan kamu mengetahuinya.

6. Tajuk rasuah ini panjang, bab makan harta haram ini panjang juga- maka cukuplah kita kata semua jalan yang tidak dihalakan oleh Allah ia adalah HARAM!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 186- {Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);}-

Wahai Muhammad jika hamba-Ku bertanya tentang Aku katakan Aku dekat dengan mereka.

Hatta kalimah Qul- قل (katakan) pun Allah tak sebut- kerana nak cepat jawab pertanyaan itu untuk menunjukkan betapa sentiasa dekatnya Allah s.w.t dengan manusia!

Kata ulama’ ayat ini dekat dengan ayat puasa untuk menunjukkan bahawa puasa itu adalah waktu yang mustajab untuk berdoa.

Hadis- 3 orang yang mustajab doa:
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Ada tiga orang yang doanya tidak ditolak:
(1) Pemimpin yang adil, (2) Orang yang berpuasa ketika dia berbuka, (3) Doa orang yang terzalimi.” (HR. Tirmidzi no. 2526, 3598 dan Ibnu Majah no. 1752.)

Jka kita tidak manfaatkan peluang yang Allah beri ini degan berdoa kepada Allah kitalah orang yang rugi!

Berdoalah dengan hati yang ikhlas, minta dengan bersungguh-sungguh, dengan penuh pengharapan menunjukkan kita sangat berhajat kepada Allah s.w.t!

Kisah bagaimana Khalifah Umar bin Abdul Aziz rhm. menegur seorang pemuda yang berdoa sambil lewa tidak dengan khusyuk.
Katanya: “Bukan begini cara berdoa.. nak berdoa kena ikhlas, fokus khusuk dan tidak lagha dengan perkara lain!”

Apabila berdoa- kena tunjukkan kita benar-benar berharap kepada Allah.

  1. Ayat 186- {Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka);}- Allah itu dekat dengan hamba-Nya.

Allah jawab terus pertanyaan ini sehingga tidak perlu kata {Katakan- } lagi.
Maka apabila Allah dekat bererti dalam apa jua zikir & doa tak perlulah kuat apatah lagi bertempik melaung, cukuplah sekadar untuk didengar oleh orang (jika ada) untuk mengaminkannya.

Allah juga nyatakan Dia dekat juga supaya kita manusia tidak terasa terasing, jauh, terasa bahawa Allah tidak dengar pun doa kita.

Cuma apa yang menyebabkan doa kita terhalang atau lambat ditunaikan adalah dengan sebab lain; mungkin dengan sebab makan haram atau Allah tangguhkannya dulu.

Kemudian Allah nyatakan lagi bahawa:
{Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu.} bahawa Dia akan jawab terus permohonan doa hamba-Nya.
Allah tak kata jika Dia kehendaki.

Tetapi dalam ayat lain Allah berfirman:
{Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepada-Nya jika Dia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).} (Al-An’aam 6:41)

Jawapan:
i- ayat yang pertama adalah jawapan kepada doa orang mukmin, maka Allah kata Dia akan perkenankan.
Allah tak kata Dia akan perkenankan jika Dia kehendaki, bahkan akan dijawab terus.

ii- ayat kedua adalah tentang doa orang kafir- mereka hanya berdoa kepada Allah ketika dalam keadaan terdesak & ditimpa bahaya. Kerana itu Allah kata jika Dia kehendaki {إِن شَآءَ}, Dia akan kabulkan permintaan mereka.

Tetapi kenapa kadang-kadang kita tengok seolah doa kita tidak dikabulkan pun oleh Allah dengan segera?

Sabarlah, ini kerana satu-satu doa itu dikabulkan Allah dengan 3 cara:

i- Allah perkenankan terus- Qabul secara cash apa yang dipinta.

ii- tangguh dulu tak beri di dunia tapi Allah beri pahala di akhirat kelak.

iii- Allah tukar; yakni benda yang kita minta tak dapat, tetapi Allah tukar buang benda yang tak baik yang akan kena kita, kepada yang baik.

  1. Ayat 187- {Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu.}- dalam ayat ini Allah s.w.t angkatkan kesusahan & keberatan dalam ibadat puasa.

Pertukaran ayat al-Quran (nasakh mansukh) ini samada kepada yang lebih berat, yang sama atau yang lebih ringan.

Alhamdulillah waktu puasa ini Allah s.w.t tukar kepada hukum yang lebih ringan, yang asalnya 23 jam, Allah tukar kepada wajib puasa hanya pada waktu siang saja.
Pada waktu malam boleh makan, minum & bersama isteri kamu.

Ini kerana Allah mahu kita syukur kepada Allah, sentiasa banyak bertaubat kepada-Nya, dan Allah akan ampunkan kamu apa yang tersalah!

  1. Ayat 187- {Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri,}- ini memberi maksudnya bahawa orang yang buat dosa dianggap sebagai orang yang membuat khianat terhadap dirinya sendiri.

Ada juga manusia yang marah balik apabila kita memberi nasihat agar jangan buat maksiat, mereka melatah & mengungkit yang tidak ada kaitan pula.

Semua perkara maksiat kita tegur & nasihat setakat kemampuan kita- kita tidak mahu jadi syaitan bisu!

Dalam ayat ini Allah kata Dia tahu kita banyak melanggar perintah & hukum Allah, langar Syari’ah, maka bertaubatlah kepada Allah & Dia akan ampunkan kamu.

  1. Ayat 188- {Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah,}- larangan agar jangan sekali-kali kita makan & mengambil harta secara haram & batil.

Kenapa tiba-tiba Allah s.w.t tutup ayat-ayat puasa dengan ayat 188 ini yang tiada kaitan dengan puasa Ramadhan???

Jawapan:
Larangan ini adalah puasa untuk meninggalkan semua yang haram; dari sudut makan mimum, harta pendapatan & semua kerja buat dalam hidup kita.

Kerana jika kamu boleh tahan diri tinggakan yang halal kenapa kamu tidak boleh berpuasa tinggalkan yang haram?

Semoga Allah s.w.t taufiqkan kepada kita agar mampu untuk meninggalkan maksiat, mampu untuk meninggalkan yang batil, mampu untuk bertaubat membersihkan harta-harta kita daripada yang haram.

Cara untuk bersihkan diri kita dari harta yang haram & syubhat ialah dengan sedekahkannya pada tempat awan seperti buat jalan, buat tandas atau seumpamanya.

Semoga Allah s.w.t bersihkan kita dari sifat yang buruk, sucikan harta kita dari perkara yang batil & syubhat.

Esok hari Jumaat; minggu ini kita masih lagi kempen untuk penuhkan tabung bagi pembinaan Masjid Wakayama di Jepun, Insya’Allah.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.