SURAH AL-BAQARAH : AYAT 189

PERANAN HILAL, MIQAT HAJI DAN MASA PERJANJIAN & MEMBETULKAN ADAT YANG SALAH.

Full video : https://youtu.be/PmKPTtHeZ6k?si=iMrCzwTrfhcR64zI

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam satu ayat saja iaitu ayat 189, bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan peranan hilal iaitu anak bulan dalam menentukan perjalanan masa & taqwim Qamariyah (tahun Hijah) yang berpandukan kepada bulan iaitu bulanan.

Manakala kalendar masehi (Gregorian calendar) bergantung kepada peredaran matahari (Syamsiyah) iaitu harian dan menjadi takwim yang paling banyak digunakan di hampir seluruh dunia.

  1. Allah nyatakan peranan Hilal ini yang utamanya ialah menentukan miqat (waktu) haji dan masa perjanjian (timer) apabila tiba tempohnya.
  2. Dalam ayat ini juga Allah s.w.t membetulkan adat jahiliyah yang salah di mana apabila dalam ihram mereka akan keluar atau masuk ke dalam rumah bukan melalui pintu yang biasa.
  3. Munasabah dengan ayat sebelumnya iaitu ayat 188:
    i- selepas Allah s.w.t menerangkan ayat tentang puasa Ramadhan yang bermula dari ayat 183-187 dan di celahnya ada ayat doa (186). Kenapa?

Ulama’ kata ia untuk menggalakkan manusia untuk berdoa ketika berpuasa & nak berbuka puasa.

Ini untuk menunjukkan bahawa puasa adalah antara waktu mustajab doa.
Kemudian datang balik cerita tentang puasa dalam ayat {187).

ii- kemudian datang ayat 188 yang melarang daripada makan/ambil harta secara batil:- munasabahnya kerana pada siang hari puasa kita meninggalkan segala yang halal (makan minum bersama isteri) kerana patuh kepada perintah Allah yang mengharamkannya pada waktu siang.

Maka jika kamu boleh ikut perintah Allah itu- lalu datang ayat ini melarang kita agar jangan ambil pula harta secara haram, pastilah ia lebih utama untuk dijauhi!

  1. Kata Syeikh Wahbah az-Zuhaili rhm. dalam kitabnya Tafsir al-Munir, antara perbuatan makan/ambil harta secara batil ialah:
    i- semua perkara yang datang dari hasil tidak betul itu ialah haram.
    Antaranya ialah riba & judi; kerana kita ambil atau dapat bayaran yang tidak sepatutnya. Bayar atau beri sedikit tapi dapat balik banyak!

ii- rasuah- pengambil & pemberi; keduanya salah & kena tangkap.
Kerana ia boleh membantu & merancakkan kezaliman & ketidak-adilan.

iii- sedekah yang diambil walaupun dia mampu bekerja dan tidak ada keperluan.
Lebih-lebih lagi harta zakat, jangan ambil jika tidak layak!

iv- mencuri & merompak- kerana ambil harta orang lain. Tidak kira rompak barang atau rompak manfaat.
Rompak manfaat; seperti ambil tempat jualan orang , tak bayar sewa rumah orang, tak bayar hutang dan seumpamanya!

v- makan harta anak yatim- ada banyak versi. Ambil terus harta mereka atau salah guna haknya.
Jenayah batil yang besar ialah pengurusan runah anak yatim jika khianat atau selewengkan sumbangan yang diberi untuk pengurusan anak yatim.

vi- bayaran kepada artis tukang nyanyi (hiburan maksiat).

vii- duit hasil pelacuran- kaum musyrikin jahiliyah pun tak ambil duit ini untuk pembinaan Ka’bah dulu. Begitu juga duit judi dan lain-lain harta haram.

viii- bayaran dari tangkal azimat, pelaris & segala perbomohan sihir.

ix- khatam al-Quran-
( contoh seperti jual air yang dibaca al-Quran, jual air yasin atau lain-lain tentang al-Quran yang didakwa boleh menyembuh penyakit, untuk qada hajat, untuk arwah dan seumpamanya).

x- penipuan dalam jual-beli- mengurangkan sukatan & timbangan.
Sekarang ini secara digital atau perkhidamatan yang tidak lengkap- semua ini termasuk dalam tidak memberi hak orang!

AYAT 189- {MEREKA BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) MENGENAI (PEREDARAN) ANAK-ANAK BULAN. KATAKANLAH: “(PEREDARAN) ANAK-ANAK BULAN ITU MENANDAKAN WAKTU-WAKTU (URUSAN DAN AMALAN) MANUSIA, KHASNYA IBADAT HAJI. DAN BUKANLAH PERKARA KEBAJIKAN: KAMU MEMASUKI RUMAH DARI BAHAGIAN BELAKANGNYA (KETIKA KAMU BERIHRAM) AKAN TETAPI KEBAJIKAN ITU IALAH PERBUATAN ORANG YANG BERTAQWA; DAN MASUKLAH KE RUMAH (KAMU) ITU MELALUI PINTUNYA, SERTA BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH SUPAYA KAMU BERJAYA.”} (AL-BAQARAH 2:189)

  1. Apabila sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w bertanya tentang anak bulan kepada Baginda, kenapa ia berubah dari kecil (hilal) kemudian besar menjadi penuh (purnama) bukan seperti matahari yang sentiasa besar.
  2. Munasabah ayat ini dengan ayat puasa sebelum:
    i- sebelum ini Allah nyatakan tentang puasa dan hukum-hakamnya.

ii- lalu datang ayat tentang anak bulan (hilal) ini. Kaitan Ramadhan dengan hilal amat besar. Kerana puasa Ramadhan bergantung kepada rukyah hilal.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Jika kamu melihat anak bulan, maka berpuasalah, dan berbukalah (berhari raya) jika kamu melihatnya.” [HR Muslim (1081)].

  1. Lalu Allah s.w.t suruh Rasulullah s.a.w jawab {قُلْ}:
    i- Kaitannya hilal ini dengan puasa sebagai tanda masuk waktu bagi manusia.

ii- yang besarnya tanda masuk bulan Ramadhan serta setiap bulan lain yang menandakan waktu-waktu ibadat dalam Islam.
Allah s.w.t ajar Rasulullah s.a.w untuk terus jawan tentang kegunaanya, bukan soal atau isu yang remeh & tidak penting.

  1. Fakta & keistimewaan- lihat ayat 186- {وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى}
    i- Apabila ada soalan kepada Rasulullah s.a.w tentang Allah dari hamba-Nya; Allah jawab terus bahawa {Aku dekat- فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ} tidak ada {Katakan- قُلْ }. Kerana Allah nak nyatakan bahawa Dia amat dekat dengan hamba-Nya.
    Manakala semua ayat lain akan dijawab dengan Qul dulu.
  2. Apa pula maksud mawaqit {مَوَٰقِيتُ} ini? Ia adalah kata jamak bagi miqat (ميقت) dan membawa erti:
    i- iaitu waktu yang dijanjikan. Tanda waktu bagi perjanjian kita (timer).

ii- miqat untuk ibadat seperti tanda waktu bagi haji.

Haji ini pula ada dua miqat:
i) miqat zamani (ﻣﻴﻘﺎﺕ ﺯﻣﺎﻧﻲ)- tanda waktu masuk bulan-bulan haji atau ketentuan masa bagi seseorang untuk berniat ihram.

ii) miqat makani (ﻣﻴﻘﺎﺕ ﻣﻛﺎﻧﻲ)- ketentuan tempat atau sempadan tempat untuk berniat ihram. Rasulullah s.a.w telah tentukan bagi setiap manusia yang datang dari luar Makkah. Ia ada dari setiap arah dunia seperti Yalamlam, Bi’ru Ali, Qarnul Manazil dan lain-lain.
Ia bukan sempadan Tanah Haram seperti tanah halal Tan’im, Ja’ranah, Hudaibiyah dan lain-lain.

Sekarang ini banyak kekelirun bagi jemaah umrah yang tidak berniat di miqat kerana mereka tidak belajar sehingga habis atau masih tak faham!
Adalah kewajipan para pembimbing untuk maklumkan dengan jelas kepada para jemaah!

6. Kemudian Allah nyatakan untuk membetul & membasmikan adat lama jahiliyah bahawa bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya ketika kamu berihram.

7. Sebab nuzul ayat ini:
Al-Bara’ bin Azib r.a meriwayatkan bahawa ayat ini turun kepada kami orang Ansar:
Kebiasaan orang Ansar dan orang Arab jahiliyyah sekembalinya dari menunaikan ihram di Baitullah memasuki rumahnya dari pintu belakang. Iaitu seolah tanda haji yang mabrur.
Maka turunlah ayat ini; balik ke rumah kamu masuklah pintu depan kerana ia bukan kebaikan. [HR Bukhari & Muslim].

8. Maka ayat ini membatalkan adat kepercayaan jahiliyah yang datang mengerjakan haji- semua arab jahiliyah kecuali kaum Quraisy di Makkah.
Allah nafikan bahawa perbuatan itu bukanlah satu kebaikan!

9. Allah kata kebajikan yang sebenar itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah kamu itu melalui pintunya yakni masuklah melalui pintu depan rumah kamu seperti biasa.

9. Malangnya di kalangan orang Melayu kita pun masih ada yang percaya kepada perkara sebegini!
Ada yang keluar melalui pintu belakang rumah mereka apabila mahu pergi musafir termasuk pergi haji atau umrah!

10. Buatlah apa yang diperintahkan Allah s.w.t ini dan jauhilah apa yang dilarang oleh Allah, tinggalkan segala rekaan dalam ibadat kerana itu tidak akan mendekatkan kita kepada Allah Azza wa Jalla.

Jika nak bahagia, nak selamat, lakukan kebaikan dalam haji sebagaimana yang diperintah Allah s.w.t.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 189- {Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan.}- para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang hilal (anak bulan).
    Ini menunjukkan betapa para sahabat ini sukakan ilmu & banyak bertanya kepada Rasulullah s.a.w!

Kaedah dalam al-Quran apabila dibawa soalan {يَسْـَٔلُونَكَ}, Allah akan suruh Rasulullah s.a.w jawab dengan mengatakan {qul- قُلْ}.
Kecuali dalam ayat 186 yang kita telah bincangkan di atas tadi.

Allah juga ajar Rasulullah s.a.w untuk jawab soalan dengan jawapan yang padat & komprehensif- terus kepada isi & kepentingan sesuatu itu, tidak perlu ceritakan yang tidak penting & tidak ada keperluan kerana ia boleh menimbulkan persoalan yang panjang lagi.

Seperti hilal ini Allah katakan ia adalah tanda waktu untuk haji- tidak perlu cerita tentang bulan yang membesar & mengecil semua itu.

Antara mukjizat Rasulullah s.a.w adalah Baginda seorang yang (Jawamiul-Kalim- جَوَامِعَ الْكَلِمِ) – hanya mengeluarkan kata-kata yang memberi makna, yakni kata-katanya pendek, ringkas dan mudah tetapi padat dengan makna.

Sebagaimana hadis tentang air laut:
Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berlayar di lautan sambil membawa sedikit air, jika kami berwuduk dengan air tersebut kami akan kehausan. Bolehkah kami berwuduk dari air laut?”
Rasulullah S.A.W menjawab:
‏هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ الْحِلُّ مَيْتَتُهُ‏
“Airnya suci dan bangkainya halal.” [HR at-Tirmizi].

Ringkas dan mantap jawapan Rasulullah s.a.w tentang hukum air laut & anak bulan, yang menyeluruh tidak perlu kepada pertanyaan lagi.

  1. Ayat 189- {Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.}- anak bulan ini menjadi tanda waktu bagi manusia (timer) dan tanda waktu ibadat seperti waktu haji bermula & waktu puasa.

Sepatutnya kita umat Islam menggunakan taqwim Qamari dan menjadi kalendar kepada alam ini.
Telah terbalik kita sekarang menggunakan taqwim Syamsi yang direka oleh orang barat atau non-muslim.

Kata para pengkaji: Syari’ah orang dulu sebelum kita pun menggunakan taqwim bulan iaitu keadaan al-Qamari. Kerana ia lebih tepat dan berubah ikut peredaran bulan serta banyak hikmanya.

Contoh seperti puasa Ramadhan berubah setiap tahun, bukan hanya pada musim panas tetapi ia kena juga pada musim sejuk- jadi kita boleh rasa semuanya.

Allah Maha kaya- mahu hamba-Nya merasai semua ujian, maka kita akan terasa nikmat sesuatu keadaan itu & boleh bersyukur kepada Allah s.w.t dalam semua keadaan.

  1. Ayat 189- {Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram)}- adat-istiadat & ibadat adalah dua perkara yang berbeza dan mesti diasingkan.

Ibadat tidak boleh dilakukan kecuali ada ajaran atau hukum dari al-Quran & ajaran Rasulullah s.a.w.

Adat istiadat pula mengikut keadaan setempat & boleh dilakukakn selama ia tidak bertembung dengan Syari’ah.
Seperti pakaian- asalkan menutup aurat & elok.

Boleh makan-minum makanan apa saja- asal halal & baik.
Nak makan guna sudu garfu chopstick apa saja boleh- tapi mesti dengan tanan kanan.

Adat apabila dipasang dengan Syari’ah maka ia baik & elok.
Manakala adat yang bertentangan dengan Syari’ah & tidak membawa apa-apa kebaikan kita hapuskan & tinggalkan!
Yang tidak bercanggah & elok boleh kita kekalkan.
Membiasakan yang betul & membetulkan yang salah.

Hadis- kawin pokok tamar:
Anas r.a berkata:
“Bahawasanya ketika sampai di Madinah, Nabi s.a.w melewati suatu kaum (sahabat Ansar) yang sedang mengkahwinkan pohon tamar, maka Baginda berkata: “Sekiranya kalian tidak melakukan hal itu nescaya tamar itu tetap baik”.
Anas menyambung lagi: “Kemudian (mereka tidak melakukannya) sehingga hasilnya kurang. Tatkala Nabi s.a.w kembali melewati mereka, Baginda bertanya kepada mereka: “Bagaimana dengan pohon-pohon tamar kalian?” Mereka menjawab: “Bukankah engkau yang mengatakan begini dan begitu (mereka mengikuti perkataan Nabi s.a.w tersebut).
Maka Nabi s.a.w bersabda: “Kalian lebih tahu dengan urusan dunia kalian”. (HR Muslim)

  1. Ayat 189- {dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”}- ayat ini memberi motivasi & mengajar adab yang amat besar. Setiap perkara kit anak buat wajib ada peraturannya (SOP).

Semua perkara kita kena ikut jalan & cara peraturannya- ini maksudnya ikut pintu depan!

Nak masuk dalam kawasan rumah atau tempat orang kena minta izin & beri salam dulu.

Ini tidak, pergi rumah orang pintu depan tak buka- nya pergi cari pintu dapur, masuk rumah orang mata jangan melilau atau jenguk sehingga ke dapur atau dalam bilik orang!

Nak anak orang kena masuk meminang, nak masuk kampung atau pejabat orang kena minta izin dan minta kebenaran begitulah seterusnya.

Inilah adab yang tidak bercanggah dengan Syari’ah bahkan ia menjadi satu akhlak & sifat yang baik bagi manusia!

Alhamdulillah, inilah Allah ajar kita adab & peraturan agar hidup kita atas dunia ini harmoni.

  1. Ayat 189- { khasnya ibadat Haji. }- kenapa Allah s.w.t tekankan tentang soal haji ini? Sedangkan dua-dua haji & Ramadhan terikat dengan bulan.

Ini kerana haji adalah satu ibadat yang besar dan perlukan persiapan yang amat rapi.
Ia perlu kepada pengembaraan (musafir) & tempoh.

Bila nak keluar mengerjakan haji kena ada persiapan harta, persiapan ilmu (seperti kursus haji), penjagaan keluarga & harta yang akan ditinggalkan dan banyak lagi persediaan.

Ia bukan seperti ibadat lain kerana itu Allah sebut khas- ia perlu kepada pengembaraan & perbelanjaan maka kamu kena buat persiapan yang lenih & awal lagi.

Kerana itu Allah Syari’atkan haji hanya kepada sesiapa yang mampu pergi saja.
Hatta jika tak mampu kerana keuzuran, masalah kesihatan, tiada belanja & lain-lain halangan dimaafkan.
Bukan sebab malas atau orang kaya yang tidak mahu pergi haji!

Alhamdulillah tamatlah kita ayat yang kita bincangkan hari ini semoga dapat memberi ilmu & maklumat.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.