SURAH AL-BAQARAH : AYAT 196-197

SEMPURNAKAN HAJI DAN UMRAH, FIDYAH LANGGAR IHRAM & BULAN HAJI DAN 3 PERKARA LARANGAN.

Full video : https://youtu.be/e9phouqTI5c?si=u3-ueCDpH9qkM3_B

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam surah al-Baqarah bagi ayat 196 sehingga ayat 197.

Al-Baqarah adalah surah yang kedua dan surah yang paling panjang dalam al-Quran, dalam juzuk yang kedua.

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t bawa perintah untuk sempurnakan haji dan umrah yang kita buat, tidak boleh berhenti tengah jalan, tidak boleh main-main.
  2. Jika orang tersalah atau sakit sehingga terpaksa melanggar larangan ihram; maka dia kena bayar fidyah. Caranya akan dijelaskan nanti.
  3. Kemudian Allah s.w.t bawa 3 perkara larangan utama dalam ihram iaitu: tidak jidal (berbantah), rafath & fusuq.
    {فلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ}-
  4. Kemudian diakhiri dengan perintah mencari bekalan untuk pergi haji samada bekalan dunia dan juga bekalan Akhirat iaitu taqwa.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat sebelum ini iaitu ayat 183-187- Allah sebut tentang puasa.
    Kemudian dibawa pula hukum bulan-bulan haram & hukum Tanah Haram; tentang berperang padanya. Selepas itu tentang anak bulan.

ii- maka dalam ayat-ayat ini datanglah hukum tentang haji.
Ayat-ayat ini mengikut tertib- bulan puasa, bulan haram kemudian datanglah bulan Haji. Haji ada bulan atau musimnya yang tertentu, tidak boleh ikut suka kita.

  1. Satu kebetulan yang menarik- Kuliah maghrib AAM semalam adalah tentang Haji juga iaitu bab Ihram.
    Link: https://youtu.be/PHSL1PFKOo8?si=EzXqDysl-S38ZYal

AYAT 196- {DAN SEMPURNAKANLAH IBADAT HAJI DAN UMRAH KERANA ALLAH; MAKA SEKIRANYA KAMU DIKEPONG (DAN DIHALANG DARIPADA MENYEMPURNAKANNYA KETIKA KAMU SUDAH BERIHRAM, MAKA KAMU BOLEHLAH BERTAHALLUL SERTA) SEMBELIHLAH DAM YANG MUDAH DIDAPATI; DAN JANGANLAH KAMU MENCUKUR KEPALA KAMU (UNTUK BERTAHALLUL), SEBELUM BINATANG DAM ITU SAMPAI (DAN DISEMBELIH) DI TEMPATNYA.}

  1. Allah perintahkan kepada hamba-Nya yang telah berniat haji & umrah untuk sempurnakan haji & umrah dengan rukun, wajib & syaratnya, semata-mata Ikhlas kerana Allah.
    Bukan kerana sebab apa saja yang selain daripada Allah.
  2. Antara kata-kata ulama’ tentang ayat ini:
    i- kata al-Imam Ibnu Kathir rhm: ittifaq ulama’ bahawa sesiapa yang telah berniat haji atau umrah dia tak boleh batalkan lagi.

ii- ayat ini juga adalah dalil yang menunjukkan bahawa wajibnya juga umrah.

iii- Ibnu Asyur menukilkan ayat ini turun pada tahun Hudaibiyah iaitu tahunke-6 H iaitu semasa Rasulullah s.a.w disekat dari memasuki Makkah di Hudaibiyah.

Cerita penuh boleh baca dalam buku AAM ini:
Makkah al-Mukarramah.
https://dartaibah.com/?page_id=179…

  1. Kemudian jika kamu telah berniat haji dan berihram, tiba-tiba kamu dihalang dari memasuki Makkah; jika dulu oleh Quraisy Makkah, hari ini mungkin kerana peraturan dan undang-undang. Seperti ketiadaan visa atau permit haji.

Kita jangan samakan peraturan Kerajaan hari ini dengan kejahatan Quraisy pada zaman jahiliyah dulu.

  1. Ketahuilah bahawa sekatan kuota kemasukan untuk haji & umrah hari ini adalah satu keperluan untuk keselamatan & keselesaan para Jemaah juga!

Jika orang terlalu ramai akan menimbulkan banyak masalah & kesusahan nanti terutamanya haji.

Kerana haji orang akan duduk di tempat yang sama, serta akan melakukan ibadat wuquf, mabit, melontar, tawaf & sae’i dalam satu masa.

  1. Maka Allah ajar & perintahkan untuk mereka yang sudah dalam ihram tetapi tersekat dari melakukan haji atau umrah ini adalah dengan bertahallul iaitu membuka sekatan ihram ini!
  2. Ini kerana apabila berniat ihram haji atau umrah tidak boleh dibatalkan dengan mudah- maka berhati-hatilah ia bukan sesuatu yang boleh dibuat main & bermudah-mudah.
    Ia bukan seperti solat atau puasa yang terbatal dengan sendiri apabila melakukan perkara yang membatalkannya.

Kecuali ada halangan & keuzuran yang memang tidak dapat dielakkan lagi.

  1. Maka Allah ajar tahallul al-ihsar (تحلل الإحصار) iaitu untuk membuka ihram & bebas dari amalan haji atau umrah seperti sedia-kala jika terhalang:

i- cara pertama ialah dengan sembelih dam seekor kambing atau 1/7 bahagian dari unta atau lembu, haiwan yang mudah didapati. Dengan syarat binatang itu disembelih ditempat kita terhalang daripada mengerjakan umrah itu.

Dam umumnya ertinya menyembelih seekor kambing sebagai denda kerana meninggalkan sesuatu yang wajib atau melanggar larangan ihram.

ii- kedua dengan niat bersyarat- dengan mengatakan:

اللَّهُمَّ إن حبسني حابس فمَحِلِّى حَيْثُ حَبَسْتَنِي

Maksudnya : “Ya Allah, sekiranya aku terhalang dari menyelesaikan ibadat umrahku ini maka tempat tahallulku adalah di mana aku terhalang atas kehendak-Mu.”

Maka, telah gugur ke atasnya dam, dan dia hanya perlu bertahallul dengan hanya bercukur atau bergunting bersama niat sahaja.

Ini amat penting untuk perempuan yang masih datang haidh dan orang tua yang uzur, terhalang dek peperangan dan lain-lain halangan yang memang darurat.

Ini kerana tempoh kita berada di Makkah hanya sekejap dan terikat dengan visa & penerbangan pesawat.

  1. Syarat untuk lakukan dam ihsar ini:
    i- jangan cukur lagi kepala kamu (lelaki) atau gunting untuk perempuan untuk tahallul;

ii- sebelum sampai haiwan yang nak disembelih itu- kemudian wajib sembelih kambing itu ditempat dia terhalang itu!
Bukan sekembalinya ke negara dan di lain-lain tempat.

  1. Kata ulama’ tafsir ayat ini umum- kerana begitu juga syarat untuk orang yang buat haji Tamattu’ & Qiran juga mesti sembelih di Tanah Haram, juga bagi orang yang buat kesalahan haji dan umrah. Samada pada hari raya haji atau selepasnya.
  2. Kata Imam al-Baghawi al rhm: Semua sembelih dam bagi kesalahan haji & umrah wajib di buat di Tanah Haram kecuali dam al-Muhsar- orang yang terhalang tadi, dia kena buat di mana saja tempat dia terhalang.

Sebagaimana Rasulullah s.a.w yang tersekat di Hudaibiyah (tanah halal), Baginda s.a.w dan para sahabat menyembelih al-Hadyu di situ sebelum kembali ke Madinah & selepas buat perjanjian dengan Quraisy, satu perjanjian yang memberi keuntungan yang besar buat Islam.

  1. Kata Syeikh Muhammadul Amin asy-Syanqiti rhm. pula: Majoriti ulama’ kata dam al-Ihsar ini disembelih di mana saja dia terhalang samada di tanah halal atau tanah haram.

AYAT 196- {MAKA SESIAPA DI ANTARA KAMU SAKIT ATAU TERDAPAT SESUATU YANG MENYAKITI DI KEPALANYA (LALU IA MENCUKUR RAMBUTNYA), HENDAKLAH IA MEMBAYAR FIDYAH. IAITU BERPUASA, ATAU BERSEDEKAH, ATAU MENYEMBELIH DAM.}

  1. Bagi sesiapa yang sakit yang terpaksa buang rambutnya (cukur atau gunting) maka dibenarkan melakukannya. Tetapi dia dikenakan fidyah iaitu bayar hukuman dam kecil.
  2. Ada 3 dam pilihan dan caranya:
    i- hendaklah berpuasa 3 hari atau;
    ii- beri makan untuk 6 orang miskin- dalam sekilo beras atau;
    iii- sembelih seekor kambing.
    Ini undang-undang- siapa sakit dibenarkan pilih ikut kemampuan.
  3. Munasabah ayat:
    Abdur Rahman bi Abi Laila meriwayatkan bahawa:

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رضى الله عنه أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَرَّ بِهِ زَمَنَ الْحُدَيْبِيَةِ فَقَالَ لَهُ: آذَاكَ هَوَامُّ رَأْسِكَ. قَالَ: نَعَمْ. فَقَالَ لَهُ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم: احْلِقْ رَأْسَكَ ثُمَّ اذْبَحْ شَاةً نُسُكًا أَوْ صُمْ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ أَوْ أَطْعِمْ ثَلاَثَةَ آصُعٍ مِنْ تَمْرٍ عَلَى سِتَّةِ مَسَاكِينَ. (متفق عليه)

Diriwayatkan dari Ka’ab bin ‘Ujrah r.a:
“Sungguh Rasulullah s.a.w melewatiku di waktu perjanjian Hudaibiyah, lalu Baginda bersabda: “Apakah kutu kepalamu membuatmu sakit?”
Ka’ab menjawab: “Iya.”

Lalu Nabi s.a.w bersabda kepadanya:
“Cukurlah rambut kepalamu, lalu sembelihlah kambing sebagai nusuk (ibadah menunaikan dam), puasa tiga hari, atau memberi makan (makanan asasi) sejumlah tiga so’ (gantang) kurma kepada enam orang miskin.” (Muttafaq ‘alaih).

Lalu Ka’ab kata ayat ini turun kepada aku secara khasnya dan kepada kamu semua secara umumnya.

AYAT 196- {KEMUDIAN APABILA KAMU BERADA KEMBALI DALAM KEADAAN AMAN, MAKA SESIAPA YANG MAHU MENIKMATI KEMUDAHAN DENGAN MENGERJAKAN UMRAH, (DAN TERUS MENIKMATI KEMUDAHAN ITU) HINGGA MASA (MENGERJAKAN) IBADAT HAJI, (BOLEHLAH IA MELAKUKANNYA KEMUDIAN WAJIBLAH IA) MENYEMBELIH DAM YANG MUDAH DIDAPATI.}

  1. Apabila kamu berada dalam kedaan aman, tak sakit, tak takut; jika sesiapa mahu mengerjakan haji Tamattu’- iaitu mengerjakan umrah dalam bulan haji kemudian bertahalull buka ihram sehingga tiba waktu mengerjakan haji baru niat pula; dia boleh melakukannya!
  2. Jenis haji:
    i- Haji Ifrad:
    Ifrad bererti menyendiri, ertinya seseorang melaksanakan ibadah haji saja tanpa melaksanakan umrah sehingga selesai ibadat haji.
    Orang yang melaksanakan haji ini tidak dikenakan dam.

ii- Haji Qiran:
Qiran bererti berkembar atau bersamaan.

Dan dapat dilaksakan dengan dua cara.

Ertinya orang melaksanakan ibadah haji dan umrah secara bersamaan dengan sekali niat untuk dua pekerjaan.

Atau asalnya dia berniat umrah tetapi tak dapat disiapkan sebelum haji maka dimasukkan niat haji ke atasnya jadi berkembar (qiran)

Haji Qiran adalah jenis haji yang menggabungkan niat haji dan umrah sekaligus, yang mana dikerjakan pada bulan-bulan haji.

Yakni bermula dari niat tetap dalam keadaan berihram, dan tidak halal baginya untuk melakukan hal-hal yang diharamkan ketika ihram sehingga tiba masa tahallulnya pada 10 Zulhijjah.
Wajib membayar dam dengan menyembelih haiwan korban (al-Hadyu).

iii- Haji Tamattu’:
Kata tamattu’ bererti bersenang-senang. Maksudnya, orang melaksanakan umrah dahulu pada bulan haji, lalu bertahallul, kemudian berihram haji dari Makkah atau sekitarnya pada 8 Zulhijjah- hari Tarwiyah atau 9 Zulhijjah tanpa harus kembali lagi ke miqat semula.

Haji tamattu’ merupakan jenis haji dengan melaksanakan ibadah umrah terlebih dahulu, baru kemudian melaksanakan ibadah haji. Biasanya ini disebut sebagai haji bersenang-senang.

Pelaksanaannya, jemaah berihram untuk melaksanakan umrah pada bulan-bulan haji (yakni bulan Syawwal, Zulqa’dah, 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah).
Wajib membayar dam dengan menyembelih haiwan korban (al-Hadyu).

AYAT 196- {KALAU IA TIDAK DAPAT (MENGADAKAN DAM), MAKA HENDAKLAH IA BERPUASA TIGA HARI DALAM MASA MENGERJAKAN HAJI DAN TUJUH HARI LAGI APABILA KAMU KEMBALI (KE TEMPAT MASING-MASING); SEMUANYA ITU SEPULUH (HARI) CUKUP SEMPURNA.Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haram (Makkah).}

  1. Jika mereka yang mengerjakan Haji Tamattu’, Haji Qiran itu tidak mampu untuk mengadakan dam yang diwajibkan tadi (samada tiada atau belanja)- menyembelih haiwan korbam (al-Hadyu) maka Allah beri hukum lain.
  2. Iaitu dia mestilah berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji (di Makkah) dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali ke negeri masing-masing- jadi jumlahnya adalah 10 hari puasa yang penuh.
  3. Hukum ini adalah bagi orang yang tidak tinggal menetap di Makkah dan sekitarnya.. Penduduk Makkah tidak ada tamattu’, mereka boleh mengerjakan umrah sepanjang masa dan haji pada tahun yang sama.

AYAT 196- { DAN HENDAKLAH KAMU BERTAQWA KEPADA ALLAH; DAN KETAHUILAH BAHAWASANYA ALLAH MAHA BERAT BALASAN SEKSANYA (TERHADAP ORANG-ORANG YANG MELANGGAR PERINTAHNYA).} (AL-BAQARAH 2:196)

  1. Dia akhir ayat Allah berpesan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, takut kepada Allah dengan ikut arahan & tinggalkan larangan-Nya.
  2. Serta ingatlah bahawa Allah sangat keras siksaan-Nya bagi orang yang melanggar larangan-Nya!

AYAT 197- {(MASA UNTUK MENGERJAKAN IBADAT) HAJI ITU IALAH BEBERAPA BULAN YANG TERMAKLUM. OLEH YANG DEMIKIAN SESIAPA YANG TELAH MEWAJIBKAN DIRINYA (DENGAN NIAT MENGERJAKAN) IBADAT HAJI ITU, MAKA TIDAK BOLEH MENCAMPURI ISTERI, DAN TIDAK BOLEH MEMBUAT MAKSIAT, DAN TIDAK BOLEH BERTENGKAR, DALAM MASA MENGERJAKAN IBADAT HAJI.}

  1. Iaitu waktu untuk berniat haji ialah waktu yang sudah termaklum iaitu: Bermula dari Syawwal sehingga masuk waktu subuh pagi 10 Zulhijjah.
  2. Kemudian Allah nyatakan tiga SOP larangan haji yang besar iaitu siapa yang dah niat haji & umrah:
    i- jangan rafath { فَلَا رَفَثَ}- iaitu larangan bersetubuh dengan isteri termasuk juga dengan perbuatan, percakapan atau tulisan ke arahnya.
    Segala perkara yang berkait dengan hubungan intim antara suami isteri, jimak & muqaddimahnya adalah dilarang.

ii- larangan maksiat {وَلَا فُسُوقَ}- berbuat apa saja dosa & maksiat- segala keburukan termasuk merokok.

iii- larangan jidal {وَلَا جِدَالَ} iaitu tidak boleh berbalah bertengkar dalam ihram.
Berbalah sesama Islam termasuk juga dalam mengumpat, maki sumpah & mengata orang.

  1. Ayat ini Allah nyatakan dengan jelas larangannya – kerana itu ulama’ kata ia boleh di baca dengan dua bacaan:
    i- dengan bacaan {لا الناهية} jangan buat benda ini! Satu larangan.

ii- dengan bacaan (لا النافية) iaitu menafikan terus- tidak ada hubungan intim & tidak ada buat maksiat di Makkah.
Yakni menafikan dengan maksud larangan.

  1. Hadis Rasulullah s.a.w:

وَعَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم يَقولُ:
“منْ حَجَّ فَلَم يُرْفُتْ وَلَم يَفْسُقُ رَجَعَ كَيَومِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ”
متفق عليه

Dari Abu Hurairah R.A, ia berkata mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa mengerjakan haji, lalu ia tidak berbuat kelalaian dan tidak pula mengerjakan dosa yakni kemaksiatan besar atau yang kecil tetapi berulang kali, maka ia akan kembali dari ibadah hajinya itu sebagaimana pada hari ia dilahirkan oleh ibunya yakni tidak ada dosa dalam dirinya sama sekali.” (Muttafaq ‘alaih)

AYAT 197- {DAN APA JUA KEBAIKAN YANG KAMU KERJAKAN ADALAH DIKETAHUI OLEH ALLAH; DAN HENDAKLAH KAMU MEMBAWA BEKAL DENGAN CUKUPNYA KERANA SESUNGGUHNYA SEBAIK-BAIK BEKAL ITU IALAH MEMELIHARA DIRI (DARI KEAIBAN MEMINTA SEDEKAH); DAN BERTAQWALAH KEPADAKU WAHAI ORANG-ORANG YANG BERAKAL (YANG DAPAT MEMIKIR DAN MEMAHAMINYA).}(AL-BAQARAH 2:197)

  1. Allah nyatakan segala kebaikan apa jua sekalipun yang kamu lakukan; Allah s.w.t mengetahuinya!
    Tidak perlu kamu mendedah atau menyebarkannya kepada orang lain.
  2. Allah s.w.t berpesan supaya orang yang hendak mengerjakan haji & umrah untuk berbekal- kerana bersedia dengan bekalan ini adalah lebih daripada kamu susah dan meminta-minta dengan orang lain nanti.

Yakni dapat memelihara kehormatan diri kamu daripada menjadi peminta.

  1. Bekal di sini membawa dua pengertian:
    i- bekalan untuk dunia, benda yang diperlukan semasa mengerjakan haji supaya dapat menyelamatkan diri kesusahan, kena ada duit & bekalan.

ii- bekalan untuk akhirat seperti ilmu, taqwa, kesedaran diri dan ikhlas niat beribadat kerana Allah.
Sebaik bekal adalah taqwa untuk mencari keredhaan Allah s.w.t!

  1. Sabab Nuzul ayat:
    Ibnu Abbas r.a meriwayatkan:
    “Adalah orang Yaman selalu datang menunaikan haji tanpa membawa bekal, dan mereka berkata, ‘Kami bertawakkal kepada Allah’.
    Maka turunlah ayat ini.” [HR Bukhari dan lain-lain].

Yakni ayat ini turun untuk menegur kebiasaan jamaah haji dari Yaman yang pada masa itu enggan membawa bekal.
Akhirnya, setiba di Makkah mereka harus meminta-minta kepada jamaah haji yang lain untuk memenuhi keperluan mereka.
Ia juga terpakai untuk kita semua pada setiap waktu.

  1. Kemudian Allah menyuruh orang-orang yang berakal, yang dapat memikir dan memahaminya agar bertaqwalah kepada-Nya!
  2. Untuk cerita Haji yang lebih lengkap boleh lihat kuliha-kuliah AAM di Makkah & Madinah sepanjang mengerjakan haji & umrah: https://youtu.be/ocjU-Cq3pks?si=kYnpSCEbhL9EMEqC

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 196- {Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah;}-
    Allah suruh sempurnakan ibadat haji & umrah ikhlas kerana Allah.

Kata ulama’ wajib kita buat haji & umrah kerana Allah s.w.t semata-mata.
Allah ajar kepada kita agar ikhlaskan segala ibadat semata-mata kerana Allah s.w.t!

Amat bimbang sekali apabila kita bercakap bab ikhlas & khusyuk, takut kena atas kepala kita sendiri.
Ini kerana ihklas ini soal hati, hanya Allah & tuan empunya hati sendiri yang tahu.
Maka kita cuba usahakanlah dengan sebaiknya, insya’ Allah.

  1. Ayat 196- {maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati;}- ayat ini mejadi dalil bahawa agama ini mudah bukan payah- Allah s.w.t bercakap semuanya atas benda yang mudah.

Agama Islam ini senang & mudah, agama ini dibina atas Taisir kesemuanya.

Untuk mendengar tentang keindahan & kemudahan dalam Islam jangan lupa Kuliah Subuh AAM setiap bagi Jumaat berdasarkan buku Islam Adalah Cara Hidup:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

  1. Ayat 196- {Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).}- takutlah kepada Allah & ingatlah siksa Allah itu berat sekali!

Arahan untuk bertaqwa kepada Allah agar kita selamat dari balasan siksa Allah yang amat berat.

Ingatlah siksa Allah itu berat bagi orang yang melanggar SOP Syari’ah secara umum dan hukum haji & umrah secara khususnya!

Ini kerana melakukan kejahatan di Tanah Suci Makkah & Madinah lebih besar ganjaran dosanya, ia ada undang-undangnya yang tersendiri!

  1. Ayat 197- {dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri, }- bertaqwalah kamu kepada Allah dalam bab haji!

Dalam bab haji ini ada dua perkara yang Allah sebut & beratkan, iaitu:

i- pertama taqwa- ini kerana taqwa itu menjadi satu kepala modal dalam mengerjakan haji.

ii- zikir- pula untuk mengisi segala masa dalam haji, mengingati kepada Allah jangan pergi dok berdikir, mengumpat dan mengeji orang lain, orang cari haji mabrur, kita cari haji malboro!
Itu tidak bertaqwa namanya!

  1. Ayat 197- {dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).}-

Allah nyatakan bahawa hanya orang cerdik & orang yang boleh berfikir saja akan dapat menunaikan haji dengan sempurna!

Ini kerana rehlah kepada Allah mesti dengan hati bukan dengan kaki sahaja!

Yakni orang yang pergi haji dengan kaki saja bukan dengan hati maka dia tidak akan mendapat faedah & manfaat yang sepatutnya.

Allah s.w.t pesan tiga perkara yang besar kepada kita iaitu
{ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ}-
ia satu pesanan & peringatan yang amat penting dalam suasana orang ramai dan waktu yang agak lama.

Kita kena ada bekalan ilmu, maklumat, sabar, ikhlas & taqwa untuk menunaikan haji!

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.