SURAH AL-BAQARAH : AYAT 213-214

ASALNYA UMMATAN WAHIDAH, BERPECAH DAN MENYEMBAH BERHALA & UJIAN BAGI ORANG BERIMAN.

Full video : https://youtu.be/dX8ok8fdonE?si=MklzXzTRlW6SPfxp

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 213 sehingga ayat 214 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Syukur juga kerana Allah letakkan kita dalam kumpulan umat yang satu iaitu umat Nabi Muhammad s.a.w yang menerima & menyahut dakwah yang dibawa oleh Baginda Nabi s.a.w.

Juga kerana Allah pilih kita sebagai hamba-Nya yang sayang kepada al-Quran, beci kepada perkara maksiat, mungkar kufur & bid’ah- serta semua yang dibenci oleh Rasulullah sa.w.

  1. Dalam siri ini Allah s.w.t nyatakan bahawa manusia asalnya ummatan wahidah, umat yang satu, yang semuanya beriman kepada Allah s.w.t.
  2. Kemudian mereka berpecah kerana terlalu melampau dalam menyayangi, menghormati dan memuja orang-orang soleh dan akhirnya secara berperingkat mula menyembah berhala patung mereka (orang soleh).
  3. Allah sebut juga tentang ujian bagi orang beriman, sebagaimana emas & permata tidak dipastikan sehingga diuji, demikian juga iman seseorang tidak dapat dikesan kekuatannya kecuali setelah diuji Allah s.w.t.

Semoga Allah kurniakan kepada kita istiqomah atas iman ini sehingga mati!

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas (208) Allah telah perintahkan manusia yang beriman supaya menerima Islam sepenuhnya- bukan separuh-separuh, itu tidak lengkap.

ii- maka dalam dua ayat (213-214) ini Allah nyatakan bahawa manusia berhajat kepada rasul- kerana pemikiran & ilmu manusia tidak sampai untuk memikirkan tentang Allah s.w.t, dengan kuasa-Nya, tentang agama & tentang alam ini melainkan dengan wahyu yang diturunkan Allah s.w.t!

iii- tetapi ingat; orang yang ikut dakwah nabi mereka akan ditimpa dengan ujian, kerana Allah nak lihat siapa yang sabar, tetap istiqomah, maka mereka akan dapat kemenangan dan siapa yang lari akan kecundang.

iv- Orang yang lari dari dakwah Nabi s.a.w ini biasanya adalah pencinta dunia.

Insya’ Allah kita cuba belajar supaya kita tak lari dari perjuanagan dan dari apa yang diajar oleh Allah & Rasulullah s.a.w.
Sentiasa juga berdoa agar kita istiqomah selalu.

AYAT 213- {PADA MULANYA MANUSIA ITU IALAH UMAT YANG SATU (MENURUT AGAMA ALLAH YANG SATU, TETAPI SETELAH MEREKA BERSELISIHAN), MAKA ALLAH MENGUTUSKAN NABI-NABI SEBAGAI PEMBERI KHABAR GEMBIRA (KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN DENGAN BALASAN SYURGA, DAN PEMBERI AMARAN (KEPADA ORANG-ORANG YANG INGKAR DENGAN BALASAN AZAB NERAKA); DAN ALLAH MENURUNKAN BERSAMA NABI-NABI ITU KITAB-KITAB SUCI YANG (MENGANDUNGI KETERANGAN-KETERANGAN YANG) BENAR, UNTUK MENJALANKAN HUKUM DI ANTARA MANUSIA MENGENAI APA YANG MEREKA PERSELISIHKAN DAN (SEBENARNYA) TIDAK ADA YANG MELAKUKAN PERSELISIHAN MELAINKAN ORANG-ORANG YANG TELAH DIBERI KEPADA MEREKA KITAB-KITAB SUCI ITU, IAITU SESUDAH DATANG KEPADA MEREKA KETERANGAN-KETERANGAN YANG JELAS NYATA, – MEREKA BERSELISIH SEMATA-MATA KERANA HASAD DENGKI SESAMA SENDIRI. MAKA ALLAH MEMBERIKAN PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG BERIMAN KE ARAH KEBENARAN YANG DIPERSELISIHKAN OLEH MEREKA (YANG DERHAKA ITU), DENGAN IZINNYA. DAN ALLAH SENTIASA MEMBERI PETUNJUK HIDAYAHNYA KEPADA SESIAPA YANG DIKEHENDAKINYA KE JALAN YANG LURUS (MENURUT UNDANG-UNDANG PERATURANNYA).} (AL-BAQARAH 2:213)

  1. Pada mulanya manusia semua di atas agama Allah yang satu, ummatan wahidah (أُمَّةًۭ وَٰحِدَةًۭ) iaitu menurut agama Allah yang satu, yang dibawa oleh nabi Adam a.s Kemudian mereka berselisih, berpecah mengikut jalan masing-masing, banyak yang menjadi kafir.

Majoriti ulama’ kata permulaan ummat iaitu anak cucu Nabi Adam semua atas agama Islam awalnya.

  1. Kemudian Allah s.w.t mengutuskan kepada mereka nabi-nabi yang membawa khabar gembira bagi orang yang beriman dengan balasan syurga & memberi amaran kepada mereka yang ingkar dengan balasan azab neraka.
  2. Allah juga menurunkan bersama para nabi itu kitab-kitab suci yang mengandungi keterangan-keterangan yang benar untuk menjalankan hukum di antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan.
  3. Sebenarnya tidak ada yang melakukan perselisihan, kecuali di antara mereka yang menerima kitab suci tersebut yang mengandungi keterangan yang jelas nyata.

Mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri.
Maka Allah memberikan petunjuk kepada orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh orang yang derhaka itu!

Dan Allah sentiasa memberi taufiq dan hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki ke jalan yang betul lurus menurut undang-undang peraturan Allah!

5. Imam Ibnu Kathir rhm. menukilkan dari Ibnu Abbas r.a:

i- jarak antara Nabi Nuh & Nabi Adam ialah 10 kurun. Kesemua mereka duduk di Syari’ah yang satu, di atas landasan yang benar, beriman kepada Allah s.w.t.

ii- kemudian mati orang soleh di kalangan mereka.
Di sebut 5 nama mereka
{ وَدًّۭا وَسُوَاعًۭا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًۭا}
dalam surah Nuh ayat 23:

{“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.} (Nuh 71:23)

Selepas itu datang syaitan menghasut mereka untuk membuat patung bagi mengingati tuan-guru mereka ini, diletakkan di tempat mereka beribadat atau masjid, awalnya untuk dijadikan semangat beribadat.

iii- Habis generasi pertama yang tahu tentang ini, datang generasi kedua syaitan hasut pula untuk tunduk hormat.

Datang generasi ketiga hilang cerita asal- hormat bukan dengan setakat gosok lagi bahkan terus tunduk sujud kepada patung-patung itu!

iv-Akhirnya patung orang-orang soleh itu menjadi berhala yang disembah!
Inilah punca penyembahan berhala atas muka bumi ini ialah menghormati atau memuliakan orang soleh kemudian menyintai mereka dengan melampaui!

6. Kerana itu kita kena beri fahaman yang jelas kepada para jemaah bahawa amalan atau ritual di kuburan ini boleh mengundang bahaya yang besar terutama sekali akan bawa salah faham kepada generasi yang akan datang.

Sekarang ini ada lagi ulama’ yang menegur, selepas ini tiada orang yang tegur & mereka akan menganggap bahawa beribadat seperti solat, berdoa, berzikir dan bergendang di kubur adalah satu kebaikan bahkan mungkin akan menokok-tambahnya lagi!

7. Serta ingat juga bahawa tuan guru, tuan Syeikh, tuan kiyai ini dihormati bukan disucikan sehingga mengatakan apa yang mereka buat betul belaka, sampai peringkat cium kaki!

Hati-hatilah dengan perangkap syaitan yang masuk ke dalam hati kita melalui saluran darah!

8. Tentang kubur ini Rasulullah s.a.w telah berpesan dengan jelas dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Jangan kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan lari dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.” [HR Muslim (780) dan al-Nasa’ie (10735)]

Yakni dapat kita fahami bahawa orang tidak solat, beribadat dan buat lain-lain ibadat di kubur!

Boleh baca cerita penuh tentang kisah ini di:

9. Setelah mereka sesat beberapa lama, lalu Allah utuskan Nabi Nuh a.s – kerana itu Nuh dikatakan rasul yang pertama selepas Nabi Adam.

Ada perbincangan dalam isu ini- kita terima dua-dua; Adam juga Nabi yang dilantik oleh Allah s.w.t.

10. Kemudian Allah terus mengutus para rasul silih berganti, untuk berdakwah & menyampaikan dakwah kepada manusia serta menurunkan Kitab untuk menjalankan hukum di antara manusia tentang apa yang mereka perselisihkan.

Masing-masing nabi ada yang diberi kitab, ada yang sambung kitab nabi sebelumnya.

Ada yang disebut nama kitab mereka seperti Zabur, Taurat, Suhif Nabi Ibrahim & Injil dan ada yang tidak disebut kitab mereka.
Yang Allah tak sebut maka tak perlu kita ajar atau pergi cari.

11. Allah nyatakan punca perbalahan ini:
i- cinta kepada dunia.

ii- maka punca sembah berhala kerana terlalu mengagungkan orang soleh sehingga menjadi berhala yang disembah.

Kerana itu kita hendaklah hormat tuan guru kita dan muliakan ilmu mereka, tetapi bukan sehingga dipuja, mengatakan mereka tiada salah & dosa!

12. Allah telah turunkan kepada mereka Kitab yang mengandungi keterangan-keterangan yang jelas nyata, sebagai rujukan untuk menjadi pemutus hukum apabila berlaku pertikaian dan perselisihan di kalangan mereka.

13. Munasabah ayat ini:
Sepatutnya apabila sudah ada Kitab yang diturunkan mereka tidak berpecah & berselisih, berbalah lagi; bila ada masalah rujuklah kepada kitab, bila ada khilaf rujuklah kepada kitab! Tetapi sebaliknya yang berlaku!

14. Punca berbalahan ini adalah kerana {بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ} hasad dengki di kalangan mereka, dendam & mengikut hawa nafsu.

Sama seperti hari ini apabila dengki terhadap seseorang; dibuat tuduhan & fitnah supaya orang lari darinya.

15. Firman Allah s.w.t tentang ini juga:
{Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara agama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara agama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.} (Al-Jaathiyah 45:17)

16. Kemudian Allah nyatakan bahawa Dia telah memberi petunjuk kepada orang yang benar-benar beriman- Allah pimpin hati mereka ke jalan yang diredhai Allah Azza wa Jalla.

17. Doa minta Allah tunjukkan kebenaran itu benar:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Ertinya: “Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan bantulah kami untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu batil dan bantulah kami untuk menjauhinya.
Janganlah Engkau menjadikannya samar di hadapan kami sehingga kami tersesat.
Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”.

18. Daripada Abu Salamah bin Abdul Rahman bin Auf, dia berkata: “Aku pernah bertanya kepada Aisyah, Ummul Mukminin r.a., apa doa yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW dalam memulakan solat malamnya?”

عَنْ أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ، قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ، بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَفْتَتِحُ صَلَاتَهُ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ؟ قَالَتْ: كَانَ إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ افْتَتَحَ صَلَاتَهُ:
Aisyah menjawab, “Apabila Baginda mendirikan solat malam, Baginda membuka solatnya dengan doa ini:

«اللهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ»

“Ya Allah! Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Pencipta langit dan bumi, Zat Yang mengetahui perkara ghaib dan nampak.
Engkaulah yang menetapkan keputusan apa yang diperselisihkan di antara hamba-hamba-Mu.
Tunjukkanlah aku kepada kebenaran yang diperselisihkan (manusia) dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau menunjukkan siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.” (HR Muslim)

19. Tetapi kadang-kadang sesudah baca doa kita pergi buat benda yang sebaliknya, mulut berdoa lain, perbuatan pula lain- inilah kepincangan kita!

20. Doa-doa ini ada kita buat poster, doa yang baik & sahih kita sama-sama sebarkan; manakala benda yang tidak ada sanad, yang tidak datang dari Nabi s.a.w atau para sahabat kita akan berhenti sampaikannya!

Ini kerana tanggung jawab kita besar menyampaikan kebenaran kepada masyarakat, jika ada yang tidak suka mahu cari yang lain juga terpulanglah kepada dirinya sendiri!

21. Sekali lagi kita berdoa: “Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan bantulah kami untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu batil dan bantulah kami untuk menjauhinya.

AYAT 214- {ADAKAH PATUT KAMU MENYANGKA BAHAWA KAMU AKAN MASUK SYURGA, PADAHAL BELUM SAMPAI KEPADA KAMU (UJIAN DAN CUBAAN) SEPERTI YANG TELAH BERLAKU KEPADA ORANG-ORANG YANG TERDAHULU DARIPADA KAMU? MEREKA TELAH DITIMPA KEPAPAAN (KEMUSNAHAN HARTABENDA) DAN SERANGAN PENYAKIT, SERTA DIGONCANGKAN (OLEH ANCAMAN BAHAYA MUSUH), SEHINGGA BERKATALAH RASUL DAN ORANG-ORANG YANG BERIMAN YANG ADA BERSAMANYA: BILAKAH (DATANGNYA) PERTOLONGAN ALLAH?” KETAHUILAH SESUNGGUHNYA PERTOLONGAN ALLAH ITU DEKAT (ASALKAN KAMU BERSABAR DAN BERPEGANG TEGUH KEPADA AGAMA ALLAH).} (AL-BAQARAH 2:214)

  1. Dalam ayat ini Allah s.w.t berfirman bertanya apakah kamu menyangka kamu akan masuk syurga dengan percuma tanpa melalui ujian & dugaan seperti mana orang terdahulu yang telah melalui pelbagai ujian yang berat?

Bila baca ayat ini kita rasa menggigil ketakutan, sebab Allah kata orang yang beriman sebelum dapat syurga Dia akan uji dulu!

Ya Allah berilah kami kekuatan untuk menghadapi ujian ini supaya kita layak mendapat pertolongan & balasan baik dari Allah.

  1. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat sebelumnya Allah sebut tentang perpecahan umat yang terdahulu- setelah nabi-nabi mereka bawa keterangan mereka akan berkelahi!

Allah beri jaminan bahawa Dia akan beri petunjuk jalan yang benar kepada orang mukmin.

ii- maka di sini Allah nyatakan jalan untuk mendapat hidayah petunjuk itu ialah dengan diberi ujian- jika sabar & istiqomah lepas ujian, maka dia akan berjaya & mendapat balasan syurga! Allahu Akbar!

  1. Begitulah jalan ke syurga bukan dihampar dengan permaidani merah; tetapi dengan pengorbanan & titisan darah!

Yakni kita kena berjuang, kena bersabar dengan ujian yang diterima dari Allah, jangan mudah goyah & koyak.

  1. Firman Allah s.w.t juga:
    {Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
    Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.} (Al-‘Ankabuut 29: 2-3)
  2. Umat terdahulu mereka telah diuji dengan pelbagai ujian yang berat seperti ditimpa kepapaan , kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan hati mereka dengan ketakutan oleh ancaman bahaya musuh, sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”
    Lalu Allah jawab terus: Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah
  3. Ayat ini ditafsirkan lagi dengan firman Allah s.w.t ini iaitu ketika kaum muslimin di Madinah dikepung oleh tentera Ahzab:

{Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.
Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.
Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.} (Al-Ahzaab 33: 9-11)

7. Hadis yang menyebut apabila bersangatan penindasan ke atas orang Islam semasa di Makkah:

عَنْ خَبَّابِ بْنِ الْأَرَتِّ, قَالَ: شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ, قُلْنَا: لَهُ أَلَا تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلَا تَدْعُو اللَّهَ لَنَا,
قَالَ: كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الْأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ, وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ وَمَا يَصُدُّهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ لَا يَخَافُ إِلَّا اللَّهَ أَوِ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ

Daripada Abi Abdullah Khabbab bin al Arat r.a beliau berkata:
“Kami telah mengadu kepada Baginda S.A.W sedang Rasulullah pada ketika itu sedang berbaring di bawah naungan Kaabah beralaskan serban.

Maka kami bertanya: Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita?”

Maka berkatalah Rasulullah S.A.W: “Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu ada yang ditangkap, lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruh daging dan tulang-belulangnya, namun demikian mereka tidak memalingkan daripada agama.

Demi Allah, Allah akan menyempurnakan urusan ini (agama Islam) sehinggalah permusafiran dari Sana’a ke Hadhramaut tidak lagi ditakuti melainkan hanya kepada Allah, atau dia tidak risau serigala yang ingin menerkam gembalaannya.
Akan tetapi, kamu adalah golongan yang gopoh & tergesa-gesa.'” (HR al-Bukhari, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Hibban)

8. Begitulah, kita kena sabar dalam perjalanan dakwah ini, tiada pendakwah yang tidak ditimpa ujian!

Jika tiada ujian atau cabaran kita kena semak balik apa dakwah yang kita bawa!

9. Pada akhir ayat Allah mengingatkan bahawa pertolongan Allah itu dekat, bersama setiap ujian & kesusahan itu pasti akan datang selepasnya kemenangan & kemudahan!

10. Allah s.w.t juga berfirman:
{Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.} (Ash-Syar-h 94: 5-6)

11. Hadis, sabda Rasulullah s.a.w:

عَجِبَ رَبُّنَا مِنْ قُنُوطِ عِبَادِهِ وَقُرْبِ خَيْرِهِ وَقُرْبِ غيرِهِ يَنْظُرُ إِلَيْكُمْ أَزلينَ قَنِطِينَ, فيظل يَنْظُرُ إِلَيْكُمْ يضحك يَعْلَمُ أَنَّ فَرَجَكُمْ قَرِيبٌ
Maksudnya: “Allah Tuhan kita, ketawa (yakni heran atau takjub) dengan sifat putus asanya hamba-hamba-Nya, sedangkan dekatnya perubahan yang Allah akan lakukan.
Kamu dalam keadaan kesusahan dalam keadaan sudah putus asa dengan apa yang terjadi.
Maka Allah terus melihat kepada kamu dalam keadaan tertawa kerana Dia mengetahui bahawasanya keluarnya kamu dari kesusahan ini adalah sangat dekat. [HR Ibnu Majah & Ahmad].

Ini menunjukkan pertolongan Allah itu dekat, tugas kita teruskan buat kerja dengan apa yang diperintahkan Allah & Rasulullah s.a.w sehingga tiba masanya yang dijanjikan Allah!

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 213- {Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi..}- yakni semua manusia ini umat yang satu asalnya.

Manusia ini juga berhajat kepada rasul- dia tidak boleh nak reka sendiri agama kerana dia tidak mempunyai kekuatan untuk menerima wahyu direct dari Allah s.w.t.

Maka para rasul akan memimpin umatnya ke jalan yang benar berdasarkan kitab yang diwahyukan kepadanya.

Iaitu kepada agama yang benar, aqidah yang sahih, kepada Syari’ah yang adil & telus, kepada kebahagiaan di dunia & Akhirat.

Majoriti ulama’ kata: Yakni asalnya manusia bersatu atas dasar tauhid yang satu kemudian mereka berpecah atas dasar hawa nafsu setelah datangnya adat memuja orang soleh yang melampau!

  1. Ayat 213- {maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka);}

Allah s.w.t hantar rasul-Nya yang mempunyai dua sifat ini:

i- sebagai pemberi khabar gembira (مُبَشِّرِينَ) kepada orang-orang yang beriman dengan balasan Syurga.
ii- dan pemberi amaran (وَمُنذِرِينَ) kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan azab neraka.

Maka kita sebagai pendakwah wajib juga berdakwah dengan dua sifat ini, kena selari antara dua jenis dakwah iaitu beri khabar gembira sebagai galakan untuk melakukan kebaikan & beri amaran untuk menjauhkan maksiat dan keburukan.

Serta kena ada selari amar ma’ruf & nahi munkar- Jangan suruh orang buat baik saja tetapi tidak berani nak larang orang buat perkara mungkar!

Hati-hati tuan-puan di depan kita ada syurga & neraka!

Barulah lengkap dan sempurna dakwahnya seperti burung terbang yang mempunyai dua sayap.

  1. Ayat 213- {Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).}-

Allah kata Dia akan beri hidayah kepada sesiapa saja yang dia kehendaki!

Ini menunjukkan rahmat Allah kepada hamba-Nya – Dia tidak serah kepada akal kita untuk berfikir sendiri dalam mencari Allah, tidak serah kepada akal fikir untuk buat undang-undang agama!

Jika Allah serahkan kepada manusia dalam perkara ini pasti akan rosak segalanya alam ini!

Firman Allah s.w.t:
{Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;} (Al-Mu’minuun 23:71)

Maka Allah beri kepada kita hidayah dengan kudrat & izin-Nya.

Maka kita kena berusaha mencari hidayah dengan baca & tadabbur al-Quran, mengikut Sunnah Nabi s.a.w!

Manusia wajib belajar, berusaha & bekerja lalu berdoa sebagaimana yang kita ajar tadi.

Jika ada orang yang mendakwa dia dapat ilmu tanpa perlu belajar (dapat min ladunni) maka itu ilmu yang sesat, dari ladun syaitan!!
Tak belajar tiba-tiba pandai sendiri!

  1. Ayat 214- {Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)}-

Allah jentik & sentap hati kita dengan kenyataan ini; apakah kita menyangka kita akan masuk syurga dengan percuma & mudah saja?

Perjuangan ini bukan dengan cita-cita, dengan angan-angan & khayalan.
Tetapi perjuangan ini perlu kepada perlaksanaan.
Kita kena turun padang turun ke medan perjuangan.

Semoga Allah beri kita hidayah & petunjuk agar kita sabar dalam menyampaikan kebenaran barulah kita dapat apa yang dijanjikan Allah s.w.t!.

Allah nak tengok kuat atau tak kuat kita adalah dengan melepasi ujian atau tidak!
Jika lepas maka berjayalah, jika kecundang di tengah jalan- sia-sialah!

  1. Ayat 214- {Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).}-
    Allah telah janjikan bahawa pertolongan Allah itu dekat!

Tetapi ia tidak datang percuma- ia datang dengan keimanan yang mantap, dengan jihad perjuangan yang jitu, dengan kesabaran dan teguh, istiqomah atas kebenaran, berani menentang segala kemungkaran barulah kita akan dapat pertolongan Allah yang dekat, yang akan datang!

Kita kena usaha dulu- barulah boleh kita menunggu pertolongan Allah datang!
Bukan duduk saja menunggu tanpa usaha & kerja buat!

Alhamdulillah selesailah siri kita untuk hari ini semoga kita semua mendapat manfaat darinya.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.