SURAH AL-BAQARAH : AYAT 219-220

HUKUM ARAK DAN JUDI, APA YANG DINAFKAHKAN & MENJAGA HARTA ANAK YATIM.

Full video : https://youtu.be/uGlXORms1p4?si=-n8GnfAp8_yOpuUx

MUQADDIMAH :

  1. Alhamdulillah pada hari ini kita dapat meneruskan kuliah kita dalam ayat 219 sehingga ayat 220 bagi surah al-Baqarah.
    Surah yang kedua dalam juzuk yang kedua.
  2. Dalam siri ini Allah s.w.t menceritakan hukum tentang arak dan judi.
  3. Masih lagi bertaya kepada Nabi s.a.w tentang apa yang nak dinafkahkan untuk mencari kebaikan.
  4. Mereka juga bertanya tentang anak yatim- datang arahan Allah s.w.t apabila untuk menjaga anak yatim, bercampur dengannya & jaga hartanya.
  5. Munasabah ayat:
    i- dalam ayat yang lepas Allah telah menyatakan tentang hukum berperang. Biasanya perang adalah tentang hukum perhubungan dengan musuh & orang luar.

ii- maka dalam ayat ini Allah masuk kepada isu dalaman, kemaslahatan masyarakat setempat sendiri. Mereka perlu dididik dengan penjagaan akal yang sihat & penjagaan harta yang rapi. Maka dibawa dua isu ini iaitu arak & judi; iaitu dua penyakit besar dalam masayarakat.

Jika seseorang itu mabuk arak dia juga ada kemungkinan akan mabuk judi!
Maka akan terabailah keluarga & muflis kehabisan harta.

AYAT 219- {MEREKA BERTANYA KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD) MENGENAI ARAK DAN JUDI. KATAKANLAH: “PADA KEDUANYA ADA DOSA BESAR DAN ADA PULA BEBERAPA MANFAAT BAGI MANUSIA TETAPI DOSA KEDUANYA LEBIH BESAR DARIPADA MANFAATNYA:} (AL-BAQARAH 2:219)

  1. Ini adalah tentang soalan para sahabat datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang hukum arak {ٱلْخَمْرِ} dan judi {وَٱلْمَيْسِرِ}.

Maka Allah s.w.t jawab bahawa dalam arak & judi itu membawa kemudharatan yang besar kepada manusia walaupun ada sedikit kebaikan bagi sebahagian orang.

  1. Kata Ibnu Ababs r.a: Aku tidak melihat satu kaum yang lebih mulia daripada para sahabat Rasulullah s.a.w. Mereka tidak banyak bertanya kerana tidak mahu menyusahkan Baginda s.a.w.

Dalam al-Quran Allah s.w.t rakamkan hanya terdapat 13 soalan sahaja yang mereka bertanya kepada Nabi s.a.w. mereka bertanya perkara yang boleh memberi manfaat kepada mereka.

Nota nanti akan dibawa pertanyaan ini.

Terdapat 13 Soalan para sahabat kepada Rasulullah S.A.W.
Baca di:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=320108627506331&id=100085215893583&mibextid=Nif5oz

  1. Allah suruh Rasulullah s.a.w menjawabnya dengan mengatakan bahawa dua perbuatan ini {قُلْ فِيهِمَآ} adalah satu dosa besar kerana ia mengandungi mudharat yang besar kepada manusia.

Walaupun ada juga manfaat yang sedikit tetapi kerosakan yang dibawanya adalah lebih besar! Allah bawa perbandingan ini supaya manusia nampak sebab hukumnya.

  1. Ayat ini akhirnya diberi kata putus dengan firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maaidah (5:91)
  2. Kronologi pengharaman arak datang secara berperingkat, kali keempat baru kata pemutus HARAM:

i- Ayat pertama, diturunkan di Makkah iaitu, firman Allah s.w.t:
{Dan dari buah kurma dan anggur, kamu membuat minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik….}. [An Nahl: ayat 67].

Umat Islam ketika zaman permulaan Islam masih meminum arak. Dan ketika itu halal bagi mereka.

ii- Ayat kedua, diturunkan di Madinah iaitu ayat kita ini:
{Mereka bertanyakan kepadamu (Muhammad) tentang arak dan judi.
Katakanlah, ‘Pada keduanya itu terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia…’ } [Al Baqarah: ayat 219].

Ketika itu sudah ada sahabat yang meninggalkan minum arak berdasarkan ayat, {..padanya terdapat dosa besar..}.
Manakala sahabat yang masih minum berdasarkan ayat: {..dan beberapa manfaat bagi manusia..}.

iii- Ayat ketiga, terdapat suatu peristiwa itu, seseorang tersalah baca ayat Quran dalam solat, akibatnya turunlah ayat ini:
{Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendekati solat ketika kamu dalam keadaan mabuk, sehinggalah kamu sedar apa yang kamu katakan..}. [An-Nisa’: ayat 43].

Allah mengharamkan umat Islam minum arak ketika ingin mendirikan solat. Dikhuatiri mabuk menyebabkan mereka salah lagi dalam membaca ayat Al-Quran. Oleh kerana itu, mereka pun minum arak selepas solat Isyak. Apabila subuh tiba, mabuk itu sudah hilang.

iv- Ayat keempat, kata pemutus dengan firman Allah s.w.t ini:

{Wahai orang-orang yang beriman, hanyasanya arak, berjudi, berkorban untuk berhala dan menilik nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk dari perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu beruntung. Hanya sanya syaitan mahu mewujudkan permusuhan dan kebencian antara kamu dan menghalangi kamu dari mengingati Allah dan melaksanakan solat. Maka tidakkah kamu mahu menghentikan semua perbuatan-perbuatan kamu ini?} [Al-Maidah: ayat 90-91].

Selepas turunnya ayat ini maka berkata Sayyidina ‘Umar bin Al Khattab r.a:
“Kami berhenti dari segala perbuatan kami ini Ya Allah.. Kami berhenti…!” (انتهينا انتهينا).
[HR Ahmad, Tirmizi, Nasa’i, dan Abu Daud]

Maka barulah arak diharamkan secara mutlak.

6. Inilah peringkat-peringkat yang berlaku sebelum arak diharamkan secara terus sehinggalah hari ini arak tetap diHARAMkan.

Antara hikmah dilakukan secara berperingkat ialah kerana orang Arab memang sudah biasa dengan arak. Bahkan telah menjadi sebahagian daripada hidup mereka. Kalaulah arak ini diharamkan ke atas mereka hanya dengan sekali larangan sahaja, menyebabkan berlakunya kesukaran ke atas diri mereka untuk meninggalnya. Boleh jadi mereka tidak menghiraukan larangan ini.

7. Sabab nuzul ayat ini:

عن عمرَ بنِ الخطَّابِ قال : لمَّا نزل تحريمُ الخمرِ اللَّهمَّ بيِّنْ لنا في الخمرِ بيانًا شفاءً ، فنزلت الآيةُ الَّتي في البقرةِ يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ الآيةُ ، قال : فدُعي عمرُ فقُرِئت عليه ، فقال : اللَّهمَّ بيِّنْ لنا في الخمرِ بيانًا شفاءً ، فنزلت الآيةُ الَّتي في النِّساءِ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى فكان منادي رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ، إذا أُقيمت الصَّلاةُ يُنادي : ألا لا يقربَنَّ الصَّلاةَ سكرانُ ، فدُعِي عمرُ فقُرِئت عليه ، فقال : اللَّهمَّ بيِّنْ لنا في الخمرِ بيانًا شفاءً ، فنزلت هذه الآيةُ }فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ{ .قال عمرُ : انتهَيْنا) .المصدر : صحيح أبي داود

Sayyidina Umar bin Al Khattab r.a, menceritakan bahawa ketika turun ayat pengharaman khamr (arak), ia berdoa:
“Ya Allah terangkanlah kepada kami ihwal khamr sejelas-jelasnya.”
Maka turunlah ayat ini. Kemudian Umar dipanggil dan dibacakan ayat itu kepadanya.

Maka ia pun berdoa lagi: “Ya Allah, terangkanlah kepada kami mengenai masalah khamr ini sejelas-jelasnya.”

Maka turunlah ayat yang terdapat dalam Surah An-Nisaa’ ayat 43 yang ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat sedang kamu dalam keadaan mabuk.”

Seorang muazin Rasulullah s.a.w jika mengumandangkan iqamah solat, ia mengucapkan: “Jangan sekali-kali orang yang dalam keadaan mabuk mendekati solat.” Kemudian Umar dipanggil dan dibacakan ayat tersebut.

Maka ia pun berdoa pula: “Ya Allah, terangkanlah kepada kami mengenai khamr ini sejelas-jelasnya.”

Maka turunlah ayat yang terdapat dalam Surah Al-Maidah ayat 91 yang ertinya: {Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamr dan berjudi, serta menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat. Maka berhentilah kamu (dari mengerjakan perbuatan itu).}

Lalu Umar dipanggil dan dibacakan ayat tersebut, dan ketika bacaan itu sampai pada kalimat:
{berhentilah kamu (dari mengerjakan perbuatan itu)- فهل أنتم منتهون },
Umar berkata, “Kami berhenti, kami berhenti (انتهينا, انتهينا).”
[HR Ahmad, Abu Daud & at-Tirmizi].

8. Sebab-sebab & hikmah pengharaman arak, judi, riba dan lain-lain boleh dibaca dengan lebih lanjut dalam buku ini
KEINDAHAN ISLAM:
https://dartaibah.com/?page_id=179…

AYAT 219- {DAN MEREKA BERTANYA PULA KEPADAMU: APAKAH YANG MEREKA AKAN BELANJAKAN (DERMAKAN)? KATAKANLAH: “DERMAKANLAH – APA-APA) YANG BERLEBIH DARI KEPERLUAN (KAMU). DEMIKIANLAH ALLAH MENERANGKAN KEPADA KAMU AYAT-AYATNYA (KETERANGAN-KETERANGAN HUKUMNYA) SUPAYA KAMU BERFIKIR:} (AL-BAQARAH 2:219)

  1. Kemudian soalan kedua dalam ayat ini ialah mereka bertanya {يسألونك} pula tentang apakah yang mahu disedekahkan?
    Kadar sedekah itu pula sebanyak mana!
  2. Allah s.w.t tidak menjawabnya dengan menyebut apa yang perlu disedekahkan samada nak sedekah makanan, pakaian kain baju atau apa jenis harta- jika tidak panjanglah ayatnya.

Tetapi Allah kata sedekahkanlah apa saja yang ada lebih daripada keperluan nafkah & perbelanjaan kamu. Apa yang kamu perlu simpan atau gunakanlahnya.

Contoh: Ada harta 1000- keperluan & perbelanjaan hidup 800. Maka yang lebih 200 itu bolehlah disedekahkan!

  1. Allah telah menerang & menjelaskan ayat-ayat keterangan-keterangan hukum-Nya supaya kita berfikir.
    Allah telah nyatakan kenapa diharamkan arak, kenapa diharamkan judi.
  2. Allah s.w.t ajar & menggalakkan kepada kita untuk berfikir apabila membaca ayat-ayat al-Quran. Jangan bacanya hanya untuk ambil upah atau menunjuk-nunjuk.
  3. Kita kena fikir tentang urusan dunia & Akhirat. Dunia pula hanya tempat meninggal & akan ditinggalkan.

Apabila kita mati apakah yang kita tinggalkan atas dunia ini & apa yang kita bawa sebagai bekalan masuk kubur & di Akhirat kelak?

  1. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w perkara yang bermanfaat untuk kita tinggalkan ialah:
    i- anak keturunan yang soleh
    ii- ilmu yang bermanfaat
    iii- sedekah jariyah- harat kita, diwaqafkan.
  2. Kata bijak-pandai:
    i- Manusia yang bahagia ialah orang yang walaupun selepas mati, tetapi pahalanya tidak mati dan berterusan masuk akaunnya.

ii- Manakala manusia yang celaka ialah yang selepas mati pun fitnah yang dia buat, maksiat & bid’ah yang dia anjur masih dibuat & diikut oleh manusia, masih berterusan diamal.
Maka mayat di dalam kubur tetapi dosanya berterusan- wal ‘yazubillah!

  1. Maka kita kena muhasabah segala perbuatan kita- apa yang kamu buat ini boleh pahala atau tidak? Atau boleh dosa?
    Maka buatlah apa yang kamu fikir untuk mencari bekalan di Akhirat & meninggalkan legasi yang baik di dunia ini!
  2. Beza antara dua perkataan ini:
    i- meninggal dunia – mati.
    ii- meninggalkan dunia- berhijrah ke arah kebaikan, dia tinggalkan dunia yang lagha yang fana ini untuk buat amal ibadat pula atau zuhud.

AYAT 220- {MENGENAI (URUSAN-URUSAN KAMU) DI DUNIA DAN DI AKHIRAT DAN MEREKA BERTANYA LAGI KEPADAMU (WAHAI MUHAMMAD), MENGENAI (MASALAH) ANAK-ANAK YATIM. KATAKANLAH: “MEMPERBAIKI KEADAAN ANAK-ANAK YATIM ITU AMATLAH BAIKNYA”, DAN JIKA KAMU BERCAMPUR GAUL DENGAN MEREKA (MAKA TIDAK ADA SALAHNYA) KERANA MEREKA ITU IALAH SAUDARA-SAUDARA KAMU (YANG SEAGAMA); DAN ALLAH MENGETAHUI AKAN ORANG YANG MEROSAKKAN (HARTA BENDA MEREKA) DARIPADA ORANG YANG HENDAK MEMPERBAIKINYA. DAN JIKA ALLAH MENGHENDAKI TENTULAH IA MEMBERATKAN KAMU (DENGAN MENGHARAMKAN BERCAMPUR GAUL DENGAN MEREKA). SESUNGGUHNYA ALLAH MAHA KUASA, LAGI MAHA BIJAKSANA.} (AL-BAQARAH 2:220)

  1. Mereka para sahabat bertanya lagi kepada Rasulullah s.a.w tentang masalah anak yatim. Mereka yang terlibat dengan penjagaan & penggurusan harta anak yatim; amat takut & susah hati takut terbabas sebagaimana ayat al-Quran sebelum ini:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْماً إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَاراً وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيراً

{Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api dalam perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).} [An-Nisa’: 10].

  1. Allah suruh Rasulullah s.a.w menjawab bahawa memperbaiki keadaan anak yatim {إِصْلَاحٌۭ لَّهُمْ} itu adalah satu perbuatan yang amat baik.

Maksudnya {إِصْلَاحٌۭ لَّهُمْ} ialah:
i- mendidik & menguruskan mereka dengan baik. Beri perhataian nasihat & kasih sayang jika mampu.

ii- mengurus harta dan perbelanjaannya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Syara’.

Buat penilaian harta mereka yang ditinggalkan ibubapa mereka dan uruskan dengan baik agar ada dapat keuntungan mengikut SOP Syara’.

  1. Jika anak yatim itu yang kita pelihara di dalam rumah kita (mahram atau tidak) yakni tinggal & makan minum sekali;

i- tidak salah jika kita campurkan sekali perbelanjaan makan minum anak yatim itu dengan perbelanjaan makan minum kita dengan cara yang baik.

ii- tidak salah juga kita meniagakan atau melabur harta anak yatim itu dengan niat yang baik- jujur & Ikhlas untuk memberi keuntungan kepada mereka! Bukan dengan niat jahat untuk mengaut keuntungan bagi diri dia sahaja atau merugikan harta anak yatim!

  1. Munasabah ayat dengan yang sebelumnya:
    i- ayat sebelum ini adalah soalan tentang arak & judi. Dua isu ini berkait dengan kewangan dan mungkin ada antara kamu yang bertanggung jawab menjaga anak yatim.

ii- maka dalam ayat ini Allah s.w.t ingatkan agar jaga harta anak yatim dengan baik.
Jangan libatkannya dengan judi dan lain-lain perkara yang haram, yang membawa maksiat & dosa!
Sesiapa yang memegang harta dan amanah ini wajib amanah & jujur dalam menguruskannya!

  1. Sebab nuzul ayat- pada zaman Rasulullah s.a.w ramai para sahabat yang menjadi anak yatim atau terlibat menjadi penjaga kepada anak yatim, ini kerana ramai yang terkorban mati syahid meninggalkan anak yatim!
    Maka mereka ini dijaga oleh kaum kerabat yang dekat dengan mereka.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, dia berkata:
Ketika turun 2 ayat al-Quran ini:
i- {Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat)…(al-Isra’: 34)
ii- dan ayat: {Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim…} (an-Nisa’:10).

Maka mereka yang memelihara anak yatim memisahkan makanan dan minumannya dari makanan dan minuman anak-anak yatim itu. Begitu juga sisanya dibiarkan membusuk kalau tidak dihabiskan oleh anak-anak yatim itu. Hal tersebut memberatkan mereka.

Lalu mereka menghadap Rasulullah saw. untuk menceritakan hal ini.
Maka turunlah ayat tersebut diatas (Al-Baqarah: 220) yang membenarkan menggunakan cara lain yang lebih baik. [HR Abu Daud & an-Nasae’i].

  1. Tidak mengapa kita tolong niagakan atau melabur harta anak yatim di tempat yang tidak berisiko untuk memberinya keuntungan!

Semoga kita selamat di dunia & aman di Akhirat.

  1. Kemudian Allah beri peringatan kepada para penjaga anak yatim:
    Ingatlah Allah mengetahui siapa yang khianat- niat merosakkan harta benda mereka, dan Allah tahu juga orang yang hendak memperbaikinya yakni yang benar-benar jujur & ikhlas mahu membuat kebaikan!
  2. Di akhir ayat Allah kata jika Dia mahu Allah boleh keraskan undang-undang tentang anak yatim ini!

Tetapi alhamdulillah Allah s.w.t beri rukhsah kelonggaran- boleh bercampur & guna harta mereka sekadar keperluan dalam urusannya.

PENUTUP & FAEDAH :

  1. Ayat 219- {Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.}- sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang masalah arak.

Apakah arak???
Rasulullah s.a.w kata arak adalah semua benda yang memabukkan- ianya haram walaupun sedikit atau banyak!

Dalam apa jua makanan jika ada tertulis bahannya ada alkohol walaupun sedikit adalah haram!

Arak daripada anggur atau dari sumber bahan lain, segala jenisnya ciptaan baru yang boleh memabukkan adalah haram!

Begitu juga dengan permainan judi, semuanya haram walaupun jumlahnya kecil.

Judi sejuta haram- judi 50sen pun haram! Orang Kelantan panggil ‘menikam’- inilah bibit-bibit perjudian yang disebarkan di kalangan kanak-kanak di kedai-kedai runcit sejak dulu lagi.

Pihak berkuasa kena ambil perhatian & buat tindakan. Kita kena sekat terus kerana bibit-bibit dosa kecil boleh cetuskan dosa besar. Minuman arak dan judi boleh sebabkan ketagihan yang akan membawa kepada banyak kerosakan lain pula!

  1. Ayat 219- { Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya}-

Antara rahmat Allah kepada hamba-Nya ialah dijatuhkan hukuman arak secara tadarruj (berperingkat).
Perundangan Allah berperingkat, sedikit demi sedikit agar manusia faham- suatu keindahan Islam.

Kita juga belajar ilmu timbangan- Allah juga beri kayu ukuran untuk kita lihat- keduanya ada keburukan & kebaikan tetapi keburukannya lebih besar.

Maka kaedah dalam Islam-
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح

Menolak keburukan itu lebih baik daripada menarik kebaikan!

  1. Ayat 219- {Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir:}-

Allah beri kita jalan-jalan untuk mengelakkan kita daripada terjebak dengan perkara yang haram.

Allah mahu kita berfikir sebelum buat sesuatu keputusan.
Kena banyak berfikir, jangan banyak berkhayal.

Kerana itulah berlakukanya kerosakan kerana manusia tidak fikir tentang kesan-kesan yang berlaku dengan amalan buruk.
Seperti penganjur majlis maksiat atau penjual arak- mereka tidak fikir kesan buruknya.

Atau orang yang dapat projek sehingga sanggup merosakkan alam sekitar demi keuntungan.
Tidak timbang antara manfaat & kerosakan mana yang lebih besar!

  1. Ayat 220- {dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim.}- apabila para sahabat bertanya tentang anak yatim;
    Allah jawab tentang anak yatim untuk berbuat baik kepada mereka, jaga mereka baik-baik.

Inilah ilmu kemasyarakatan- ada orang sihat, ada orang sakit, orang dewasa & kanak, ada anak yatim & yang susah, ada orang kaya ada orang miskin- maka kita kena cakna & ambil kira tentang semua keperluan ini!
Kena ambil tahu satu sama lain, saling bantu-membantu demi Islam.

Inilah yang dipanggil (al-takaful al-ijtima’i) atau jaminan sosial dalam Islam adalah dipentingkan.

  1. Ayat 220- {Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama);} –

Allah ajar kepada kita jika terlibat dengan pengurusan harta anak yatim, kena lakukannya dengan baik.

Jika berlaku percampuran dengan harta anak yatim, kena ingat mereka adalah saudara kita- kaum keluarga kita sendiri, sesama Islam.

Kenapa nak ambil peluang dari kelemahan mereka, nak ambil keuntungan dari harta mereka!

Maka Allah suruh kita jagalah & uruskan dengan baik, jika terpaksa guna, gunakannya sekadar keperluan, dengan penuh amanah & kejujuran. Jika ada peluang dapat keuntungan untuk niaga & laburkan buatlah dengan baik- jika tidak tak payah!

Kerana tidak mahu menyusahkan kita, Allah bagi kelonggaran kepada kita dalam menguruskan harta anak yatim – mudah-mudahan kita jujur dalam menjaga harta anak yatim atau pengurusan harta awam yang diamanahkan.

Bila kita Ikhlas, insya’ Allah – Allah akan bantu & permudahkan urusan kita.

Semoga Bermanfaat buat pencinta ilmu al-Quran.